Tuhan, aku ingin berbicara dengan Engkau dalam suasana yang bebas, aku percaya bahawa Engkau tidak hanya benci pada ucapan-ucapan yang munafik, tetapi juga benci pada fikiran–fikiran yang munafik, iaitu fikiran–fikiran yang tidak berani memikirkan yang timbul dalam alam fikirannya, atau fikiran–fikiran yang pura–pura tidak mahu tahu akan fikirannya sendiri…’ – Ahmad Wahib, 9 Jun 1969 Di Malaysia perbincangan tentang Tuhan tidak mendalam. Sering sahaja didengari ungkapan ungkapan yang berbunyi: “Tuhan, ku ketuk pintuMu”, atau “sepatuku dicuri tangan Tuhan sendiri, takdir tetap pasti, bahawa Tuhan tak akan memotong tanganNya sendiri.” Kita terus gegak gempita, meloncat, seolah di Malaysia ini adalah ranah wajib bertuhan dan barangsiapa yang tidak bertuhan, meragukan atau mengkritik Tuhan darah mereka adalah darah seorang bughah (sang pemberontak) dan halal diminum. Seperti rukun iman dan rukun Islam itu adalah wajib ditaati tanpa soal, diikuti tanpa tanya bagi seorang yang lahir dalam keluarga Melayu dan bersunat, begitu jugalah rukun negara, yang mengatakan tentang kepercayaan kepada Tuhan. Apakah golongan ateis, agnostik atau Muslim-Muslim yang mepersoalkan tentang Tuhan tiada tempat di Malaysia? Wacana dikongkong institusi Sedar atau tidak, isu kepercayaan, akidah, iman dan sebagainya – isu-isu pegangan fundamental – telah ditawan oleh mereka–mereka yang memegang kuasa. Seolah-olah sesiapa sahaja yang menjadi warganegara 1 Malaysia, selain mesti menerima Najib Abdul Razak sebagai Perdana Menteri, mesti menerima Tuhan, atau mempercayai Tuhan. Tetapi hakikatnya polemik dan huru-hara di Malaysia kebelakangan ini bukan berasal dari mereka-mereka yang tidak beragama atau tidak bertuhan. Sebaliknya ia dimainkan oleh kelompok-kelompok pelampau yang mengaku bertuhan. Kita tidak pasti apakah Tuhan yang mewahyukan kepada mereka untuk menjadi ekstrimis? Belum ada rekod lagi ateis atau agnostik yang memijak kepala lembu atau melempar babi ke dalam masjid. Sejarah menunjukkan bahawa perbincangan tentang Tuhan sudah berleluasa dalam masyarakat Islam. Contohnya pada suatu masa dulu ia diterajui oleh golongan Asya’irah – Wahhabiyah yang menyoal sama ada Tuhan bertempat atau tak bertempat, bertangan atau tak bertangan, berkaki atau tak berkaki. Tetapi, apa yang juga nyata dalam sejarah adalah bagaimana polemik ketuhanan mudah dipolitikkan. Jadi jika pemerintah memilih untuk berfahaman mujassimah (menjisimkan Tuhan) maka sesiapa sahaja yang berbeza fahaman ketuhanan dengan mereka akan dibuli, akan ditakut-takutkan. Apabila naik pemerintah yang berfahaman lain pula maka fahaman-fahaman ketuhanan yang lain pula akan dibuli dan disekat. Hanya fahaman pilihan pemerintah sahaja yang akan dipupuk, disemai, ditabur benih, diberikan subsidi itu subsidi ini, sementara fahaman ketuhanan yang lain boleh dianggap ‘dipaksa untuk mati’, jika kita benar-benar meneliti. Akan tetapi persoalan yang paling asas jarang ditanya. Wacana-wacana tentang nama Tuhan itu akhirnya berfaedah kepada siapa? Kepada manusia? Atau kepada Tuhan? Jika faedahnya kepada manusia, apakah faedahnya? Kita mahu tahu. Jika faedahnya kepada Tuhan, apakah Tuhan itu mengambil faedah daripada makhluk? Apakah Tuhan itu terlalu lemah sehingga memerlukan makhluk? Apakah yang diajar di sekolah? Apakah pemerintah takut akan ilmu-ilmu yang dianggap mencabar akidah, seperti teori evolusi, panteisme, agnostisisme, ateisme dan animisme? Apakah pemerintah takut akan soalan-soalan asas falsafah? Sampai bila empangan ini mampu bertahan? Ketakutan itu hanya menunjukkan bahawa mereka yang kononya beragama percaya tapi tidak benar-benar jelas apakah yang dia percaya. Bahkan, ajaran Islam yang diajar, di sekolah mahupun di universiti, sangat main -main dan sangat selective. Kita tidak berani mengajar aliran-aliran intelektual Islam yang lain seperti Syi’ah, Mu’tazilah, Khawarij dan Ahmadiyah. Kenapa? Bukan kerana kita jelas dengan kebenaran kita secara yang mutlak, tetapi kerana aliran sejarah secara kebetulannya membawa kita ke kelompok yang mendokong ideologi pihak pemenang, berkuasa atau majoriti. Kita terlalu takut, entah pada siapa, entah gementar kepada siapa. Kita melaung, mengatakan kita benar, tetapi kita takut dicabar. Betapa rapuhnya kita. Apa peranan jabatan agama? Jabatan-jabatan yang menguasai agama sepatutnya menguasai ilmu dan kebenaran. Akan tetapi, apa yang kita lihat kebelakangan ini ialah mereka akan menghambat sesiapa yang berani berdebat dengan mereka ke dalam akta itu dan akta ini. Melucukan. Jabatan – jabatan yang menguasai agama ini, tidak pernah menghasilkan apa- apa buku untuk menghuraikan siapa dia Karl Marx, siapa dia Charles Darwin, Richard Dawkins atau Christopher Hitchens. Mereka tidak pernah berfikir atau menjelaskan tetang teori evolusi, beza ateis dan agnostic, perbezaan panteisme Eropah moden dan wahdatul wujud dan idea-idea lain yang pernah diterajui wacana intelektual dunia. Tidak ada dan tidak ada. Baikpun mufti-mufti, baik yang intelektual Islam seperti ABIM atau PKPIM, atau golongan professional seperti JIM. Tidak ada. Islamis pun tidak ada Jangan haraplah gerakan yang berorientasikan kekuasaan seperti PAS, HT, ISMA dan Pembina nak bincang. Semua gerakan Islamis ini hanya berbincang bagaimana mahu berkuasa, mencapai kekuasaan, membolot kekuasaan dan berkompromi dengan siapa dan oleh siapa. Mereka tak sempat nak membelek buku tentang Tuhan atau nak berfikir tentang Tuhan. Ada kemungkinan besar Karen Armstrong itu mereka ingat adik perempuan kepada angkasawan yang naik ke bulan, Neil Armstrong. Mereka cuma pandai menyewa hujah-hujah Qardhawi, Zakir Naik atau Harun Yahya. Hujah-hujah yang mereka bangunkan sendiri boleh dikatakan tiada, kosong, namun mereka ingin mengatakan bahawa mereka telah berdakwah. Kita mengharapkan orang-orang Islam di luar negara tidak diganggu, tidak ditindas, bebas mengamalkan kepercayaan Islam mereka. Tetapi bukankah ironi dan munafik apabila di dalam negara kita sendiri sesiapa sahaja yang mahu berbeza kepercayaan dengan kita, mahu berbeza Tuhan dengan kita, atau tidak mahu percaya Tuhan sepertimana kita, ditahan dan dirampas kepercayaannya? (Rencana ini ditulis selepas penahanan Pak Kassim di Kulim)
]]>