Projek Dialog

Bahasa Malaysia dan agama Hindu

Oleh: Uthaya Sankar SB (Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya) Rata-rata rakyat Malaysia daripada kalangan kaum India beragama Hindu berumur 50 tahun dan ke bawah menguasai Bahasa Malaysia (selain bahasa  ibunda dan bahasa-bahasa lain). Tentulah kenyataan ini boleh dipertikaikan sekiranya kita hanya melihat kepada politikus dalam Barisan Nasional (BN) yang diberikan kepercayaan oleh pucuk pimpinan untuk memegang jawatan tinggi pada pelbagai peringkat. Bagaimanapun, saya lebih merujuk kepada orang ramai – masyarakat biasa – yang mempunyai kemampuan minda yang jauh lebih tinggi berbanding “badut-badut politik”. Ramai juga generasi muda kaum India yang tidak belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta hanya menguasai Bahasa Tamil dari segi pertuturan; bukan dari segi bacaan. Malah, tidak kurang juga lepasan SJKT yang lebih menguasai Bahasa Malaysia berbanding Bahasa Tamil. Memandangkan rata-rata kaum India beragama Hindu menguasai Bahasa Malaysia, secara logik, tidak salah sekiranya bahan bacaan berkaitan budaya India dan agama Hindu – termasuk buku cerita, rencana dan komik – diterbitkan dalam Bahasa Malaysia. Di negara bertuah ini, apa-apa bahan yang menggunakan Bahasa Malaysia dianggap ditujukan secara khusus kepada kaum Melayu beragama Islam. Maka, biar saya tekankan bahawa bahan-bahan berkaitan agama Hindu yang diperkatakan di sini adalah khusus bagi khalayak beragama Hindu. “Walaupun tumpuan pasaran yang dinyatakan adalah untuk masyarakat India beragama Hindu di Malaysia, kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Saya amat mengalu-alukan sebarang usaha menerbitkan bahan-bahan bacaan berkaitan agama Hindu dalam Bahasa Malaysia.” Demikian reaksi yang diterima daripada Mohd Zaidi Md Zabri, pemuda kelahiran Ipoh, Perak yang sedang dalam proses menamatkan pengajian peringkat kedoktoran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). “Saya sedang menelaah sebuah buku tulisan Dr Farish Noor mengenai mitos, sejarah dan asal-usul keris di Nusantara. Beliau meletakkan premis bahawa agama Hindu memainkan peranan amat besar dalam mencorakkan rupa bentuk keris yang ada sekarang,” kata pemuda berumur 30 tahun itu. Mohd Zaidi juga berharap penerbitan bahan-bahan berkaitan agama Hindu dalam Bahasa Malaysia boleh membantu masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini untuk saling mengenali, memahami, menghormati serta meraikan kepelbagai yang wujud. Hasil pemerhatian dan pengalaman saya mengendalikan pelbagai bengkel penulisan kreatif dan non-kreatif sejak 1993, memang wujud kebimbangan yang tidak berasas apabila ada pihak yang mahu menulis mengenai budaya India dan agama Hindu menggunakan medium bahasa kebangsaan. Apabila saya menulis makalah dan cerpen/novel yang mengangkat budaya kaum India beragama Hindu, saya sering dituduh cuba menyebarkan agama Hindu. Pasti sahaja puak yang menyebarkan fitnah seumpama itu tidak sedar akan hakikat kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di negara ini. Bukan bertujuan menarik orang peluk agama Hindu “Pada pandangan saya, usaha penerbitan seperti ini memang sepatutnya sudah dilakukan sejak dahulu. Bagi saya, bahan bacaan ini bukan hanya sesuai bagi orang Hindu. Pada hakikatnya, terdapat banyak kekeliruan berkenaan agama Hindu dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum/agama di Malaysia.” Demikian pula pandangan ikhlas yang dikemukakan oleh R Balamurali (Vehl Murali), pemuda berumur 29 tahun dari Pahang yang kini menjadi peguam di Sungai Buloh, Selangor. “Namun, disebabkan kita hidup di sebuah negara yang ultra sensitif, maka cara penyampaian mengenai agama Hindu perlulah dipastikan bersifat informatif dan bertujuan membekalkan ilmu semata-mata. Jika boleh, maklumat berkenaan agama-agama utama di Malaysia dimasukkan dalam sistem pendidikan negara supaya pengetahuan dan pemahaman mengenai agama-agama ini dapat dikongsikan demi memupuk perpaduan,” katanya. Saranan dan cadangan Balamurali bukanlah supaya usaha penyebaran agama Hindu dilakukan kepada orang lain menerusi penerbitan bahan bacaan dalam Bahasa Malaysia. Sebaliknya sebagai usaha murni pembinaan Bangsa Malaysia yang saling mengenali, memahami dan bertolak-ansur. Fakta menunjukkan bahawa bahan-bahan berkaitan agama Hindu pada mulanya disebarkan menggunakan Bahasa Sanskrit di Benua Kecil India. Kemudian bahan-bahan berkenaan diterjemah dan diterbitkan semula dalam bahasa-bahasa utama di negara berkenaan. Di Malaysia pula, bahan-bahan bacaan berkaitan agama Hindu terdapat dalam Bahasa Tamil dan Inggeris. Hakikat ini turut dinyatakan oleh Nagathisen Katahenggam, seorang penjawat awam dari Jelutung, Pulau Pinang dalam perbincangan kami berhubung topik berkaitan. “Makalah, majalah serta bahan bacaan berkaitan budaya India dan agama Hindu dalam Bahasa Malaysia akan membolehkan skop pembaca diperluaskan supaya turut merangkumi anak-anak muda. Saya merujuk juga kepada anak-anak muda kaum India yang kurang pendidikan, kurang menguasai Bahasa Tamil dan Inggeris, serta terlibat dalam masalah sosial,” kata pemuda berumur 31 tahun itu. Dalam pada itu, Nagathisen sedar akan hakikat sebenar di negara ini yang dipenuhi golongan fanatik, ultra kiasu, etnosentrik dan rasis. Katanya, apabila bahan-bahan bacaan berkaitan agama Hindu diterbitkan dalam Bahasa Malaysia, mungkin akan menerima reaksi negatif serta dakwaan kononnya ada usaha menyebarkan agama Hindu kepada penganut agama-agama lain. [caption id="attachment_2014" align="alignleft" width="150"]Bahan berkaitan budaya India dan agama Hindu memang banyak dalam Bahasa Inggeris. Bahan berkaitan budaya India dan agama Hindu memang banyak dalam Bahasa Inggeris.[/caption] Sambil berkongsi kebimbangan yang sama, Navanitha @ Nitha Nairu dari Menglembu, Perak tetap melihat cadangan penerbitan itu sebagai usaha murni ke arah memupuk pendidikan agama, nilai-nilai murni dan motivasi dalam diri generasi muda beragama Hindu. “Apabila ditulis dan diterbitkan dalam Bahasa Malaysia, iaitu bahasa kebangsaan dan bahasa paling utama di Malaysia, sekurang-kurangnya akan menarik minat remaja beragama Hindu yang mungkin kurang menguasai Bahasa Inggeris dan Tamil. Maka, Bahasa Malaysia menjadi medium untuk mereka menimba ilmu agama yang sangat penting ke arah pembinaan jati diri yang utuh,” kata juruteknologi makmal perubatan itu yang berasal dari Kangar, Perlis. Navanitha juga menyatakan bahawa pengetahuan agama Hindu yang ditimba (menerusi medium Bahasa Malaysia) akan menguatkan semangat generasi muda kaum India apabila berdepan dengan puak tertentu yang gemar memperlekeh amalan/ajaran agama Hindu. Contoh terdekat yang boleh kita fikirkan adalah puak seperti Zulkifli Noordin (ahli Perkasa dan rakan BN) dan Ridhuan Tee Abdullah (rakan Umno) yang merosakkan imej murni agama Islam. Suatu cara memartabatkan bahasa kebangsaan Topik yang dibicarakan turut mendapat reaksi daripada Poul Nanggang, penulis terkenal dari Miri, Sarawak. Penjawat awam berumur 48 tahun dan penganut Roman Katholik ini mendapati bahawa dilema yang dialami dalam usaha penerbitan bahan-bahan bacaan berkaitan agama Hindu dalam Bahasa Malaysia hampir sama dengan dilema yang dihadapi penduduk pelbagai etnik dan agama di Bumi Kenyalang. “Bagi saya sebagai Bumiputera Sarawak (yang dianggap kelompok minoriti), usaha penerbitan yang dinyatakan adalah murni; asalkan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Medium pengantara menggunakan Bahasa Malaysia sebagai alat adalah tepat dengan tujuan supaya budaya India dan agama Hindu dapat dikongsi bersama dan difahami setiap lapisan masyarakat,” katanya. Penulis novel “Memori Abadi” (2010) itu meluahkan perasaan bahawa kelompok Bumiputera Sarawak juga ingin mengangkat wajah budaya pelbagai etnik dan kepercayaan dalam bentuk penulisan menggunakan Bahasa Malaysia. “Bagi saya, tanggapan mana-mana pihak bahawa perbuatan itu (menulis menggunakan Bahasa Malaysia) menyentuh sensitiviti adalah persepsi yang sempit. Kita harus lebih terbuka supaya jalinan hubungan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia akan terus utuh. Janganlah dijadikan isu agama dan politik atau menimbulkan kebencian dalam kalangan rakyat. “Saya amat menyokong usaha-usaha memartabatkan Bahasa Malaysia dengan menerbitkan serta berkongsi pengalaman pelbagai suku, etnik, kaum, agama dan budaya. Dengan itu, barulah kita akan lebih saling memahami dan saling menghormati,” kata Poul. Sesungguhnya, bahasa adalah alat untuk manusia saling berkomunikasi. Demikian diakui Murugan Alimuthu, seorang akauntan bertauliah kelahiran Langkawi, Kedah. “Jika bahan bacaan berkaitan agama Hindu diterbitkan dalam Bahasa Malaysia, ia sepatutnya menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Saya yakin bahawa bahan-bahan berkenaan tidak boleh dianggap menyentuh sensitiviti penganut Islam kerana tidak sesekali memperkecilkan, memperlekeh atau menghina mana-mana agama lain,” kata pemuda itu yang kini menetap di Taiping, Perak. Muthannah Marawan dari Kota Kinabalu, Sabah juga tidak merasakan penggunaan Bahasa Malaysia dalam penulisan dan penerbitan bahan bacaan berkaitan agama Hindu sebagai salah. “Sebaliknya, usaha itu dapat mengintegrasikan masyarakat majmuk di Malaysia; sekali gus memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan. Saya tidak merasakan seseorang akan terus memeluk agama Hindu sekiranya membaca bahan berkaitan agama Hindu dalam Bahasa Malaysia. [caption id="attachment_2015" align="alignleft" width="150"]Uthaya menerapkan budaya India menerusi cerpen dan novel sejak 1992. Uthaya menerapkan budaya India menerusi cerpen dan novel sejak 1992.[/caption] “Kebanyakan rakyat Malaysia menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa. Begitu juga orang Melayu-Islam. Jika bahan bacaan berkaitan agama Hindu tidak diterbitkan dalam Bahasa Malaysia, tidak bermakna mereka tidak akan berpeluang untuk membaca maklumat menerusi majalah atau buku Bahasa Inggeris,” tegas Muthannah yang belajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Shah Alam, Selangor. Saya percaya bahawa mana-mana pihak yang menentang usaha murni penerbitan bahan bacaan berkaitan budaya India dan agama Hindu mempunyai dua niat jahat. Pertama: Tidak mahu wujud persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Kedua: Mereka tidak mahu generasi muda kaum India berpeluang mengetahui dan mendalami agama Hindu supaya mudahlah nanti bagi mereka untuk “menyesatkan” kelompok berkenaan.

]]>

Share your thoughts!

More Articles