Projek Dialog

Memikir semula pendidikan vernakular

defensive, masing-masing ingin mempertahankan hak dan suara komuniti mereka. Pihak-pihak seperti PERKASA dan Dong Jiao Zong pula melantikkan diri mereka sebagai benteng pertahanan bagi hak kepentingan kaum-kaum mereka. Fokuskan pada Pembaikan Sistem Bagi saya, topik ini tidak perlu menjadi sebuah topik yang partisan. Walhal, golongan elit atasan (termasuk juga ahli-ahli politik sendiri) langsung tidak kisah akan pertelingkahan golongan majoriti rakyat. Mereka menghantar anak-anak mereka di sekolah-sekolah antarabangsa ala ‘Eton’ yang mewah di mana isu bahasa penghantar langsung tidak menjadi kerisauan mereka. Maka di sini, saya ingin menyentuh isu yang lebih luas spektrumnya, iaitu sistem pendidikan. Realitinya, sistem pendidikan negara kita bukan sahaja tidak berfungsi, malah ia telah melampaui tempoh tarikh luputnya. Semua polisi dan pembuatan keputusan bagi pendidikan dibuat di peringkat atasan dan beraliran atas-bawah. Sistem kini hanya berfungsi untuk mencipta robot yang hanya mematuhi arahan tetapi tidak boleh berfikir. Sistem pendidikan ini adalah hasil daripada ketidakpercayaan dan ketakutan akan kebolehan masyarakat menguruskan hal ehwal pendidikan mereka. Jika dahulunya pada zaman penjajahan, sekolah merupakan alat pengaruh golongan berkuasa bagi melahirkan golongan pekerja dan birokrat yang setia terhadap hierarki kuasa barat. Kini, ia berasal daripada ketakutan terhadap kemunculan golongan masyarakat yang mampu berfikir melangkaui batasan politik pecah dan perintah, yakni politik partisan dan perkauman. Falsafah Pendidikan Persoalan utama yang perlu kita bertanya sekarang – apakah kepentingan pendidikan? Pendidikan dalam konteks yang sebenar bukanlah tertakluk pada peringkat umur kanak-kanak dan remaja, sebaliknya, pendidikan adalah sesuatu yang penting bagi kehidupan seseorang manusia. Pendidikan juga bukan bersifat pembelajaran yang pasif, ia adalah sesuatu yang diperlukan kerana ia merangsangkan minda manusia untuk berfikir. Berfikir membebaskan sesebuah masyarakat daripada roda penghambaan dan penindasan hidup dengan meningkatkan mobiliti sosial mereka. Tapi bagaimanakah anak-anak muda negara kita mampu berfikir jika isu kebebasan ilmu tidak disentuhi? Di sekolah-sekolah tiada langsung subjek atau pendidikan seperti falsafah dan kemanusiaan, mereka juga tidak digalakkan untuk bebas berfikir dan menyuarakan pendapat mereka secara intelektual. Apa tah lagi dengan peraturan-peraturan sekolah yang menkongkong dan undang-undang  seperti AUKU yang mencabuli hak asasi manusia. Sebaliknya, isu pendidikan di negara kita hanya berlegar-legar dalam pertelingkahan remeh seperti penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa penghantar, latar belakang bangsa seseorang guru dan perlumbaan skor peperiksaan. Walhal, jika pihak-pihak yang pro-nasionalis Melayu serta pro-budaya minoriti dapat mencelikkan mata, dan berusaha bersama meningkatkan kualiti sistem pendidikan kita yang semakin ketinggalan dek zaman, pelajar-pelajar kita tidak mungkin berada di tangga yang corot dalam penilaian PISA (Programme for International Student Assessment). Pendidikan Mengikut Arus Zaman Kini pendidikan perlu mara seiring dengan arus zaman teknologi ‘smartphone’, ‘google’, ‘facebook’ dan ‘ipad’. Realitinya, kanak-kanak dapat menimba ilmu dengan hanya bergurukan internet, hal ini kerana terdapat banyak laman-laman pendidikan percuma seperti Khan Academy, Coursera.org, dan juga Youtube. Di sekolah, pemikiran secara kritikal adalah sesuatu yang amat jarang, hal ini kerana pembelajaran di sekolah adalah bersifat satu hala. Buku-buku teks seperti matematik dan sains langsung tidak mengikut perkembangan terkini. Akibatnya fungsi pendidikan menjadi lapuk dan tidak relevan. Malah, pekerjaan guru merupakan ‘last resort’ (pilihan terakhir) bagi kebanyakkan para graduan tempatan. Hal ini berbeza jika dibandingkan dengan negara Finland atau Singapura dimana perguruan merupakan kerjaya yang disanjungi tinggi, antara profesion yang kompetitif dan berkelayakan tinggi. Ini menunjukkan polisi pendidikan negara kita tidak mempunyai arah tuju, ia hanya bertujuan untuk memenuhi kehendak sesetengah pihak. Tidak hairanlah kualiti pendidikan kita juga terlingkup. Penindoktrinisasian di Sekolah Lebih dikhuatiri, sekolah-sekolah nasional kini penjadi tapak pengindoktrinasian agama islam dari segi ritual agama seperti bacaan doa semasa perhimpunan sekolah, penguatkuasaan peraturan Islam seperti pengharaman makan babi di kawasan sekolah dan pengwajiban pakaian sekolah yang bercirikan islam. Sebaliknya, sekolah-sekolah vernakular pula menjadi tapak pengindoktrinasian bahasa dan budaya mono-etnik seperti pembelajaran subjek melalui bahasa penghantar ibunda dan menghadkan waktu kuliah bagi bahasa Ingeris  dan bahasa Melayu, serta pemahaman konteks budaya masyarakat lain yang bersifat satu dimensi. Secara tidak langsung, ia mengwujudkan polarisasi yang kita lihati dalam masyarakat negara ini. Peluang berinteraksi dan persahabatan diantara bangsa berlainan juga agak tipis walaupun dalam persekitaran kepelbagaian di peringkat sekolah menengah dan universiti. Perkara ini terjadi kerana pada peringkat pembesaran kanak-kanak di sekolah rendah, mereka telahpun melalui pengdoktrinasian dan pengasingan yang keterlaluan. Oleh itu, adalah penting bagi pendidikan nasional bersifat sekular dan bebas daripada agenda pengaruh-pengaruh politik tertentu. Agenda Inklusif dalam Sistem Pendidikan Agenda yang inklusif adalah penting kerana ia melingkupi keperluan pendidikan bagi semua rakyat Malaysia. Perkara ini termasuk memahami konteks demografik keperluan pendidikan bagi anak-anak muda yang tinggal di kawasan bandar dan luar bandar. Hal ini penting kerana ia akan membuka ruang untuk kepelbagaian agar kanak-kanak berpeluang untuk berinteraksi sesama mereka tanpa batasan sosial dan identiti. Jika dibandingkan dengan negara-negara maju seperti Jerman dan Finland, negara-negara tersebut bukan sahaja memahami kepelbagaian demografik populasi negara mereka serta keperluan pasaran ekonomi mereka, malah, nilai-nilai kemanusiaan dan kesamarataan juga diterapkan dan diutamakan dalam persekitaran pendidikan. Penerapan nilai kemanusiaan bukan sesuatu yang boleh dipelajari melalui sesebuah subjek seperti moral, tetapi ia adalah dasar kepada proses pembelajaran dan interaksi manusia. Nilai kesamarataan pula dapat dipupuk dengan pembelajaran subjek melalui bahasa penghantar yang sama, iaitu bahasa nasional. Minda kanak-kanak sekolah rendah bagaikan span (sponge) dan boleh menguasai pelbagai bahasa dengan mudah. Sebagai contoh, pelajar-pelajar dari negara-negara Scandinavia mampu menguasai empat bahasa apabila mereka mencecah peringkat sekolah menengah. Asas pembelajaran yang setara ini juga membolehkan pelajar-pelajar mengasah bahasa komunikasi mereka an mengeratkan interaksi mereka dengan masyarakat majmuk. Kesimpulannya, pendidikan vernakular harus dianalisa melalui konteks yang lebih luas dan neutral, tanpa dikaburi oleh emosi yang bersifat perkauman dan partisan. Maka demikian, cabaran seterusnya adalah menggerakkan pembaharuan sistem pendidikan negara ini – beranikah sesiapa menyahutnya?

]]>

Dokumentari "Ulama Perempuan": Gerakan Gender Sebagai Pengubah Sosial

Ulama Perempuan

Saya sempat menghadiri sebuah tayangan dokumentari oleh pembikin filem Norhayati Kaprawi bertemakan “Ulama Perempuan” di Petaling Jaya minggu lepas.

Temanya agak menarik perhatian kerana tumpuannya adalah terhadap wanita sebagai tokoh agama yang bergelar “ulama”.

Dokumentari tersebut menjejaki beberapa kaum wanita yang bukan sahaja memainkan peranan sebagai penyebar ilmu agama, bahkan mereka juga tidak segan silu untuk berhadapan dengan isu-isu yang pantang dibincangkan seperti melawati kawasan-kawasan pelacuran dan hubungan diantara bukan muhrim. Tambahan pula, mereka bukan bertindak sebagai pendakwah yang sibuk menghukum atau menyebarkan erti dosa pahala. Perhatian saya terhadap “Ulama Perempuan” tertarik bukan kerana fokus utama dokumentari tersebut adalah wanita, tetapi kerana ulama-ulama yang dipaparkan menghayati agama Islam sebagai: Pertamanya: Falsafah perubahan sosial Kedua: Prinsip kebebasan beragama yang membebaskan agama daripada kezaliman dan Ketiga: Agama yang menganggap wanita sebagai seorang yang mempunyai taraf, nilai dan martabat yang sama dengan lelaki. Perlu saya nyatakan juga bahawa dokumentari tersebut dirakamkan di Indonesia. Apa yang uniknya berkenaan Indonesia adalah negara tersebut mengamalkan prinsip kebebasan beragama. Mereka mempercayai pengekangan hak kebebasan seseorang untuk menganuti agamanya dianggap sebagai kezaliman spiritual. Gerakan Gender Sebagai Pengubah Sosial Dalam dokumentari ini, Norhayati Kaprawi mengikuti ulama-ulama wanita tersebut ke kawasan-kawasan rumah pelacuran. Perlu ditegaskan sekali lagi bahawa aktiviti mereka bukan bersifat diskriminasi dan menghukum, sebaliknya ulama-ulama perempuan tersebut amat peramah dan rendah diri serta amat senang memberi pendidikan seks, khidmat nasihat dan memberi sokongan emosi. Para pelacur tersebut menyambut baik kedatangan para ulama wanita tersebut. Malah mereka saling berpelukan dan bertangisan bagaikan saudara sedarah. Pelacuran terpaksa dipilih kerana desakan sosio-ekonomi yang kompleks dan rasuah yang berleluasa. Para pelacur merupakan golongan yang paling lemah dalam strata kelas sosial. Namun begitu, ulama-ulama perempuan tersebut menganggap tugas mereka adalah untuk memahami situasi masyarakat dan memperjuangkan hak-hak golongan yang lemah. Ini berbeza sungguh dengan keadaan di Malaysia. Jika dibandingkan dengan situasi negara kita, golongan wanita sering dijadikan mangsa korban dalam undang-undang syariah dan diskriminasi masyarakat. Isu-isu seperti kes Kartika Seri Dewi, Lina Joy, Maznah Mohd Yusof, dan sebagainya jelas menjadi bukti bahawa wanita sering menjadi mangsa kepada sistem syariah yang sering menindas. Malah para ulama pula mengagung-agungkan sistem tersebut, dan menghukum mana-mana pihak yang cuba mencabar ketidakadilan sistem syariah di negara kita. Kiyai Hussein Muhamad, salah seorang ulama Indonesia yang ditemuramah dalam dokumentari ini berpegang teguh dengan sebuah ayat yang terkandung di dalam Al-Quran. Ia menyebutkan bahawa asal-usul kejadian manusia, wanita dan lelaki merupakan satu entiti yang diciptakan daripada satu roh, dan semua roh adalah sama tarafnya di mata Tuhan. Bahkan, sejarah Indonesia juga banyak terkandung cerita-cerita wanita Indonesia yang mempunyai semangat jati diri yang tinggi dan menpunyai status taraf yang sama dengan lelaki. Seperti kisah isteri Teuku Umar, iaitu Cut Nyak Dhien. Beliau meneruskan perjuangan suaminya yang mangkat dibunuh dengan mengetuai gerila Aceh menentang penjajah-penjajah Belanda dalam perang Aceh sehingga tahun 1901. Kepentingan Memahami Pesanan Agama Dokumentari ‘Ulama Perempuan’ menunjukkan bahawa kemajuan Islam tidak boleh dinilai melalui peningkatan kuasa para ulama semata-mata, atau pengukuhan kuasa institusi syariah dan undang-undang. Ia terletak kepada gerakan gender yang berasaskan nilai-nilai universal, iaitu nilai kecintaaan dan saling hormat-menghormati, menyebarkan ajaran antara agama yang bersifat humanis. Di Indonesia, gerakan gender terutamanya oleh para ulama perempuan telah melahirkan golongan masyarakat yang terbuka kepada pemahaman Islam. Adalah menjadi kebiasaan dimana wanita-wanita Islam bersolat bersebelahan dengan lelaki-lelaki Islam di dalam masjid. Peraturan masjid juga adalah longgar, ia tidak mewajibkan wanita berhijab untuk memasuki masjid. Malah, yang lebih mengagumkan, menurut Norhayati Kaprawi, beliau melihat sendiri seorang janda yang bukan muhrim mencium tangan seorang ulama sebagai tanda salam tanpa melihatkannya sebagai sesuatu yang menyalahi agama. Di Malaysia, isu muhrim diangkatkan dengan sempit sehinggakan wanita tidak dibenarkan bersembahyang dihadapan lelaki. Sudah menjadi kebiasaan juga untuk para ulama lelaki tidak bersalaman dengan perempuan kerana dianggap bukan muhrim. Mengapa wujudnya perbezaan intepretasi dan amalan agama di Malaysia dan Indonesia, walhal mereka sama-sama mendukung agama Islam yang sama? Salah seorang hadirin di tayangan filem tersebut merumuskan perbezaan ini dalam satu ayat yang cukup bermakna. Beliau mengatakan “memahami sesebuah mesej agama di dalam Al-Quran adalah lebih penting daripada memahami tajwid bahasa Arabnya”. [Ulangsiar makalah yang telah diterbitkan pada 23 September 2013]
VERMOX
]]>

Cinta, Harapan & Identiti Malaysia

Malaysia Majmuk Warna-warni Malaysia Malaysia adalah sebuah negera majmuk dengan pelbagai budaya, tradisi and kaum etnik. Keadaan ini membuatkan negara kita unik, dimana kepelbagaian telah mencorakkan identiti kita sebagai rakyat Malaysia. Sejarah masyarakat Malaysia adalah amat berwarna dan bebas. Banyak imigran-imigran yang dibelenggu dengan kemiskinan, kepapaan dan sistem kasta pada masa lampau berhijrah ke tanah Malaya kerana ditawarkan dengan tiket kebebasan dan peluang untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Jadi tidak hairanlah, pertembungan kepelbagaian ini melahirkan komuniti-komuniti yang berdarah kacukan. Sejak kecil, saya tidak pernah terlintas di fikiran bahawa diri saya unik, bagi saya itu merupakan sesuatu yang lazim dalam negara kita. Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang berdarah kacukan. Ayah saya merupakan seorang Cina Hokkien yang mempunyai darah kacukkan Burma-Thai, dan ibu saya pula berdarah campuran Indonesia dan Serani. Jika saya mengupas balik sejarah nenek moyang saya, darah kacukan saya adalah amat luas. Tetapi kini, saya dikenali sebagai seorang Melayu di dalam sijil surat beranak saya. Hal ini adalah amat menghairankan, kerana saya telah ditempatkan di dalam kotak sempit yang dilebelkan Melayu. Dengan itu, saya juga dianggap perlu mempunyai perwatakan, selera dan pemikiran seorang Melayu. Walhal, kehidupan dan identiti saya adalah sama sekali bukan demikian. Politik pecah dan perintah (divide and rule) ini telah menyebabkan saya melalui saat-saat diskriminasi dan kekeliruan terhadap identiti saya semasa kecil. Keterasingan Perkauman di Malaysia Dasar pendidikan dan ekonomi bukan sahaja berat sebelah, malah masyarakat juga dipolitikkan untuk menstereotaip dan syakwasangka antara satu sama lain. Identiti nasional Bangsa Malaysia, langsung tidak diberi perhatian daripada ahli politik, guru-guru, mahupun masyarakat. Bahkan, sejak kecil kami telah dikelompokkan dan diindoktrinasikan dengan ideologi perkauman. Masyarakat kita, walaupun majmuk tetapi jarang sekali bergaul antara satu sama lain. Sejak kecil, saya sering didiskriminasi kerana identiti saya yang kompleks. Saya bersekolah di sekolah Cina dan kawasan perumahan kami kebanyakannya penduduk berbangsa Melayu. Oleh itu saya sentiasa didepani dengan kelompok-kelompok mono-etnik, menyebabkan saya sering keseorangan kerana saya tidak mencerminkan perwatakan mono-etnik. Cinta Malaysia Dahulu Kala Saya cemburu terhadap zaman ibubapa saya, walaupun hidup mereka tidak mempunyai teknologi canggih dan internet seperti kini, tetapi memori mereka tentang zaman itu adalah kebebasan. Ayah saya dari sekolah aliran Inggeris pada zaman British dahulu tetapi rakan-rakan sekolahnya terdiri daripada pelbagai bangsa. Zaman dahulu, adalah kebiasaan bagi masyarakat pelbagai bangsa mengadakan pesta joget di rumah, sama ada untuk jamuan ataupun majlis keramaian. Malaysia MultiracialSeringkali, wanita zaman dahulu memakai miniskirt atau kebaya ketat, membuat rambut ala ‘sarang tebuan’, dan berdandan. Lelaki pula memakai seluar ‘bell bottom’ yang ketat dan memiliki rambut dan kumis ala ‘hippie’. Kisah percintaan ibubapa saya adalah kisah cinta kebanyakan muda-mudi pada zaman mereka, tetapi idea perkauman langsung tidak terlintas difikiran mereka. Kisah cinta ibu dan bapa saya bagaikan cerita ‘Grease’, bapa saya merupakan ‘playboy’ pada zamannya, sentiasa kelihatan macho dan diidami wanita dari pelbagai bangsa, tetapi ibu saya seorang yang lemah-lembut menjadi idamannya. Bagi saya, cinta adalah sesuatu yang sangat berkuasa, ia mampu menyatukan warna kulit dan ideologi. Kisah cinta nenek moyang saya pula berbeza, mereka lebih bebas kerana pada zaman mereka tiada keperluan visa atau passport, seseorang mempunyai mobiliti yang tiada sempadan, jadi tidak hairanlah nenek moyang saya berkahwin campur. Datuk moyang ayah saya berasal dari negara Cina, di sebuah tempat yang bernama ‘Swatow’  di daerah Guangzhou. Kehidupannya sangat miskin dan tiada peluang pekerjaan yang bagus, jadi, seperti kebanyakan imigran-imigran Cina pada zaman dahulu, mereka sanggup menempuh risiko nyawa di lautan Laut Cina Selatan, semata-mata keinginan untuk kehidupan yang baru dan lebih baik. Tanah Malaya merupakan negara yang penuh dengan peluang hidup dan pekerjaan. Datuk moyang saya menjadi seorang ahli bisnes yang berjaya di Kedah, dan pada masa sama, dia telah jatuh cinta terhadap nenek moyang saya yang berbangsa Burma-Thai dari Songkla, yang lazimnya berkebaya dan bersarung. Nenek moyang belah ibu saya juga mempunyai kisah cinta berlainan budaya. Datuk saya seorang wartawan dan sasterawan dan merupakan salah seorang kaum kerabat dari Langkat, Sumatera. Ketika itu Indonesia sedang menghadapi pergolakkan politik dan rusuhan, maka dia telah menjadi pelarian politik ke Tanah Malaya. Namun begitu, dia telah jatuh cinta terhadap nenek saya yang berbangsa Serani. Nenek saya adalah dari masyarakat Kristang keluarga ‘De Rozario’ yang amat berdisiplin, ayahnya adalah seorang Portugis dan ibunya adalah dari kacukan Parsi dan Sri Lanka. Masyarakat Kristang dahulu amat berpegang terhadap agama katolik mereka. Perkauman tidak menjadi masalah pada zaman tersebut, malah agak lazim keluarga-keluarga susah memberi anak mereka kepada keluarga dari bangsa lain tanpa ragu-ragu. Adik angkat kepada nenek saya berbangsa Cina. Saya percaya, sejarah cinta ibubapa saya dan nenek moyang saya bukanlah unik atau berbeza dengan sejarah cinta kebanyakan masyarakat Malaysia dahulukala. Retorik bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain adalah lapuk, hal ini kerana cinta telah membuka ruang kepada kepelbagaian yang terdapat dalam masyarakat Malaysia kini. Budaya dan bangsa juga adalah lebih harmoni dan berkepelbagaian jika ia dibiar bebas untuk berkembang tanpa campurtangan dari kerajaan atau negara. Hakikat Malaysia Zaman Kini Jadi apakah identiti Malaysia dalam abad ke-21 ini? Adakah kita masih perlu melihat diri masing-masing melalui konteks bangsa and perkauman? Di mana-mana sekarang, masyarakat Malaysia kini terlalu taksub dengan identiti bangsa mereka sehinggakan ia memecah-belah kepercayaan dan kesamaan antara satu sama lain. Amat ketara dilihat kelompok-kelompok mono-etnik yang terasing di negara mereka sendiri, yang masing-masing mempunyai realiti hidup dan aspirasi yang berbeza. Identiti nasional kita terlalu lemah, apatah lagi dasar-dasar dan pemerintah kerajaan yang bersifat pecah dan perintah, dan golongan elit serta ahli politik yang lebih selesa dengan status quo. Saya percaya kita mampu mewujudkan identiti nasional yang kukuh, tetapi bukanlah berdasarkan konsep asimilasi. Perhatian kerajaan terlalu mengagungkan konsep kepelbagaian yang retorik dan cetek, pada masa yang sama budaya Melayu dijadikan satu-satunya tunggak identiti Malaysia. Maka wujudnya rasisme secara terang-terangan terhadap sesiapa yang tidak mengikut acuan tersebut sebagai ‘pendatang’ dan rasisme berbalik ‘reverse racism’ oleh kaum-kaum lain terhadap masyarakat Melayu. Kita perlu menghadapi realiti yang Malaysia merupakan negara imigran dan majmuk. malaysia-flag Membentuk Identiti Bangsa Malaysia Pada pandangan saya, identiti Malaysia seharusnya berdasarkan konsep kesamaan nilai dan cita-cita. Ini adalah konsep yang sangat asas dan universal, kerana kesamaan nilai dan cita-cita adalah matlamat asal bagi kebanyakan masyarakat Malaya dahulukala yang berhijrah ke tanah Malaya. Tanah Malaya merupakan bumi yang subur dan kaya dengan pelbagai peluang hidup yang cerah. Saya percaya, datuk dan nenek moyang saya berhijrah dengan harapan untuk membina kehidupan baru, dimana semua kaum dan bangsa diberi peluang untuk maju dengan sama rata. Mungkin idea saya terlalu romantik, namun hakikatnya ini juga adalah dorongan bagi kebanyakan muda-mudi zaman sekarang untuk berhijrah ke negara-negara maju yang lain. Mereka ingin mencari peluang hidup dan pekerjaan yang lebih baik, dan fenomena ‘brain drain’ ini akhirnya menyebabkan kehilangan yang besar bagi ekonomi Malaysia. Jadi, apakah kesamaan nilai dan cita-cita yang ada antara semua rakyat Malaysia? Saya rasa ini tidak susah untuk kita fahami. Kebanyakan rakyat Malaysia inginkan kesetaraan, kebebasan dan keadilan. Kita tidak semestinya perlu berperwatakan mono-etnik, berfikiran sama atau memiliki budaya yang ‘homogeneous’. Setiap manusia adalah berbeda-beda dan unik, tetapi aspirasi hidup kita adalah sama. Saya percaya, kebanyakan masyarakat Malaysia inginkan pendidikan yang bermutu tinggi, sistem pemerintahan yang bebas daripada rasuah dan kronisme, sistem kesihatan percuma dan berkualiti tinggi, pemeliharaan kebajikan pekerja, kos hidup dan perumahan yang rendah, alam sekitar terpelihara, kebebasan menjadi diri kita sendiri tanpa diskriminasi, kualiti kehidupan yang bagus, dan sebagainya. Selain itu, kepercayaan dan perpaduan antara kaum dan bangsa boleh dikecapi jika semua rakyat Malaysia diberi ruang untuk berbincang dan berkongsi untuk memajukan dan memakmurkan negara Malaysia. Pemahaman terhadap sejarah dan budaya Malaysia yang tidak berat sebelah juga penting, hal ini kerana raykat Malaysia dari pelbagai kaum dan bangsa telah bertungkus lumus dan berkeringat darah untuk membina negara ini. Perpaduan kebangsaan atau ‘National Unity’ adalah sebuah proses, dimana nilai-nilai yang utuh dan cita-cita yang universal dijadikan asas identiti Malaysia yang kita semua boleh banggakan. Walaupun aspirasi tersebut masih jauh tetapi saya percaya jika cinta dan harapan telah membawa nenek moyang saya dan ibubapa saya memanggil Malaysia sebagai ‘rumah’; cinta dan harapan juga boleh menjadi matlamat arah tuju bagi membentuk identiti Malaysia zaman kini. [Ulangsiar makalah yang diterbitkan pada 29 November 2012.]

VERMOX
]]>

Krisis Kemanusiaan ASEAN Kelaut?

Rohingya Prayer Rohingya di Mata Dunia – Reaksi Rakyat ASEAN Baru-baru ini tersebar luas isu “Boat People” atau pelarian bot di tengah-tengah lautan berdekatan negara Malaysia, Thai dan Indonesia. Ratusan pelarian Rohingya dan Bangladesh terperangkap di dalam bot oleh sindiket penyeludupan manusia di tengah-tengah laut tanpa makanan dan air minuman bersih. Malah, isu ini telah menjadi liputan berita utama tempatan dan antarabangsa, dan warga internet sibuk menjadi jaguh menegakkan hak asasi manusia. Pada masa yang sama, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah berkali-kali merayu ASEAN untuk bertindak. Di media, tersebar juga isu-isu kemanusiaan dimana terdapat ramai pelarian Rohingya dan Bangladesh yang mati kebuluran, yang terpaksa meminum air kencing sendiri, yang dihumbankan ke laut kerana sakit tenat, dan sebagainya. Terdapat juga gambar-gambar pelarian anak-anak kecil yang melaung menangis meminta pertolongan. Melihat keadaan tersebut, terdapat ramai rakyat Malaysia dan Indonesia yang telahpun mengadakan kempen dermaan untuk menolong pelarian tersebut. Malah, komuniti ASEAN juga saling bantu-membantu menyebarkan krisis kemanusiaan ini ke seluruh pelosok Asia Tenggara dan dunia. Di sini terlihatnya semangat kekitaan dan perpaduan ASEAN yang diwar-warkan oleh para pemimpin ASEAN.   [caption id="attachment_4737" align="aligncenter" width="522"]Rohingya Rejected Gambar: Stephanie Peray[/caption] Krisis Pemimpin Tepis Bola Ping Pong Sebaliknya, perkara yang berlainan pula berlaku dalam kepimpinan ASEAN di peringkat atasan. Para pelarian Rohingya dan Bangladesh ini dijadikan bola ping pong di antara negara-negara ASEAN; masing-masing bersikap tidak endah dan menepis krisis ini tanpa perikemanusiaan. Tidak kisahlah mereka ini sesaudara Muslim, harga nyawa mereka tidaklah sepenting isu Palestin-Israel yang menyebabkan sesetengah orang Islam memboikot McDonald’s dengan hangat-hangat tahi ayam; tidak kira jugalah mereka ini sesaudara Asia Tengara, walhal mereka berstatus pelarian politik dan bukannya pekerja migran seperti yang disalah-anggap oleh sesetengah pihak. Mereka lari ke sini bukan kerana ingin “mencuri” kerja warga tempatan, tetapi kerana kekejaman politik di Myamar terhadap minoriti Islam di daerah Rakhine. Di Myanmar, agama Buddha disalahgunakan menjadi ideologi negara bagi menghalalkan pembunuhan dan penyeksaan etnik Rohingya. Sepanjang pemerintahan Junta di Mynamar, mereka dikandangkan dalam kem-kem pelarian serta dikongkong melalui undang-undang diskriminasi seperti perkahwinan, hak beranak, kebebasan bergerak, status kewarganegaraan dan sebagainya. Perkara ini membawa saya kepada persoalan ASEAN yang kita masing-masing perlu bertanya: apakah agenda Komuniti ASEAN hanyalah suatu agenda geopolitik? Apakah isu kemanusiaan hanya dipandang berat jika ia sealiran dengan politik antarabangsa Malaysia dan ASEAN? ASEAN Leaders Malaysia – Kepimpinan Dayus dalam ASEAN? Malaysia sebagai pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak telah nekad menjadikan ASEAN sebagai Komuniti ASEAN yang kukuh dari segi politik, ekonomi dan sosial. Beliau juga memuji dasar ‘non-interference’ (tidak campur tangan) sebagai tunjang pencapaian ASEAN. Apa yang merisaukan, Myanmar telah mengancam ASEAN supaya tidak membincangkan isu Rohingya di Sidang Kemuncak ASEAN. Kita sering mengatakan bahawa kita berbeza dengan Kesatuan Eropah kerana kita mengikut cara ASEAN atau ‘ASEAN Way’ dan apa-apa isu akan dibincangkan bersama melalui konsep ‘ASEAN Centrality’. Kepentingan ASEAN diutamakan dalam kerjasama serantau dan pembinaan komuniti. Pada Sidang Kemucak ASEAN yang ke-26 baru-baru ini, Malaysia berkobar-kobar semangat untuk membentuk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), wawasan pasaran ASEAN yang disatukan, dan rancangan ASEAN Pasca-2015 untuk mencipta warga ASEAN yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi serta menjana ekonomi ASEAN yang setaraf dengan negara Cina, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun. Sebaliknya, interaksi dengan masyarakat awam tentang isu-isu hak asasi manusia agak dangkal. Selain memperkenalkan “Anugerah Masyarakat ASEAN” (“ASEAN Peoples’ Award”) dalam ucapan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, tiada cadangan konkrit yang diutarakan bagi menangani isu pelarian politik Rohingya. Isu kemanusiaan diperlekehkan sebagai tidak penting dalam pembentukan AEC. Persoalannya, dimanakah kepentingan ASEAN dalam isu krisis kemanusiaan ini? Yang menghairankan, partisan politik Malaysia di kiri dan kanan sebulat suara bersetuju dengan tindakan kerajaan untuk tidak menerima pelarian politik Rohingya ke dalam Malaysia. Isu Rohingya ini bukanlah isu baru, jika di zaman Tunku Abdul Rahman dahulukala kita boleh bersuara lantang menolak “Apartheid” di Afrika Selatan, di mana pendirian Malaysia sekarang? Adakah isu Rohingya ini satu isu keselamatan politik? Ataupun kita terlalu daif dalam realiti ASEAN yang perlu kita tangani? Rescue Rohingya Penyelesaian Sebenar Untuk ASEAN Saya tidak nafikan isu Rohingya ini perlu ditangani dengan hemah, terutamanya kerana ia melibatkan hubungan diplomatik serantau di antara Malaysia, Myanmar dan negara-negara ASEAN yang lain. Namun, ia hanya merugikan Malaysia dan ASEAN jika kita berdiam diri. Isu pelarian bot ini telah memalukan Malaysia di mata dunia, Malaysia dianggap gagal dan dayus dalam kedudukannya sebagai pengerusi ASEAN tahun ini. Langkah utama yang Malaysia perlu ambil adalah menegakkan pendirian negara kita, iaitu menawarkan hak kemanusiaan kepada pelarian politik tersebut seperti Filipina baru-baru ini yang mengambil tiga ribu pelarian bot Rohingya. Kes tentera laut Malaysia yang menghalang pelarian bot dari masuk ke perairan Malaysia adalah amat dikesali. Malaysia juga perlu meneliti dasar luar negara kita. Dengan cita-cita Komuniti ASEAN Pasca-2015, kita perlu bersedia mengukuhkan dan memperkembangkan institusi-institusi ASEAN bagi menangani isu-isu yang bersifat transnasional. Kini, sekretariat ASEAN mempunyai belanjawan tahunan yang amat daif berbanding dengan sekretariat Kesatuan Eropah, malahan kita tidak mempunyai mekanisma, pengetahuan mahupun sumber manusia yang sesuai untuk menangani krisis-krisis tersebut. ASEAN juga mempunyai hubungan antarabangsa yang terlalu polarisasi, perlunya lebih penyatuan agenda atau “shared agenda” dalam isu-isu yang bertindih atau “overlapping”, hal ini termasuklah menangani isu pelarian politik untuk jangka masa panjang. Semakin penting ASEAN di mata dunia, semakin ASEAN perlu mengenepikan dasar tidak campur tangan. Malaysia perlu menunjukkan semangat kepimpinannya dalam ASEAN dan menjadi orang tengah dalam isu politik dalaman Myanmar. Isu Rohingya ini rumit, ia bukan sahaja menyentuh isu diskriminasi etnik minoriti, tetapi juga struktur politik Myanmar yang majoriti penduduknya beragama Buddha. Isu ini mungkin tidak akan selesai dalam sekelip mata, namun ASEAN perlu menunjukkan bahawa ia sama sekali tidak dapat menerima diskriminasi dan penyeksaan yang dilakukan terhadap etnik Rohingya. Penyelesaian berbilang hala (multilateral) yang melibatkan kerjasama antara semua negara-negara ASEAN perlu diutamakan. [caption id="attachment_4734" align="aligncenter" width="461"] REUTERS/Junaidi Hanafiah (INDONESIA)[/caption] Realiti Kemanusiaan Malaysia & Warga Asingnya Yang paling penting sekali adalah rakyat Malaysia perlu berdepan dengan realiti masa depan Malaysia di Asia Tenggara. Negara Malaysia dibina oleh warga migran yang kebanyakannya diseludup masuk secara haram ataupun dijadikan kuli tanpa hak-hak pekerja. Sebahagian mereka adalah pelarian politik, dan ianya rahsia terbuka bahawa Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian politik. Walaupun telah berdekad-dekad menetap di Malaysia dan beranak-pinak, mereka tidak diberikan status warganegara ataupun penduduk tetap (PR). Kita angkuh dengan status negara membangun dan hidup dalam keselesaan duniawi. Tiap-tiap hari kita menutup sebelah mata kepada warga migran dan pelarian politik di sekeliling kita. Mungkin sekarang kita sudah celik, mungkin kita terharu dan berlinang air mata lihat gambar anak-anak kecil Rohingya yang menangis menjerit meminta tolong. Sebagai rakyat Malaysia, amat penting sekali kita melihat isu sebenar atau gambaran besarnya (“the big picture”). Malaysia hanya akan diiktirafkan sebagai negara dunia pertama jika prinsip kemanusiaan kita seiring dengan pencapaian ekonomi. Geopolitik Malaysia mestilah ke arah prinsip serantau yang mengutamakan komuniti ASEAN sebangai tunjang pencapaian. Isu Rohingya adalah isu rakyat Malaysia juga, kerana kos kemanusiaannya akan memberi impak ekonomi negatif terhadap Malaysia. Selain itu, perkara serius yang kita perlu depani adalah isu pelarian politik. Kita tidak mampu berdiam diri tanpa menyuarakan pendirian Malaysia tentang menandatangani deklarasi pelarian politik di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Persoalan yang saya ingin rakyat Malaysia bertanya: Adakah negara Malaysia sudah matang dalam politiknya untuk menerima pelarian politik? Sampai bila lagi tentera laut Malaysia perlu mengawasi pelarian politik dan bukannya menjalani tugas sebenar mereka, iaitu menjaga keselamatan politik negara kita? unnamed

VERMOX
]]>

Menzahirkan pluralisme dalam suasana kemelut

peaceful coexistence” atau kedamaian hidup bersama. Ia menggalakkan umat Islam untuk meletakkan nilai kesamarataan, keharmonian dan keamanan antara agama. Namun begitu, sempena Hari Raya Haji ini pula, dada akhbar dipampangi dengan kontroversi isu baru-baru ini berkenaan perkataan “Allah” dan beberapa lagi tindakan kontroversi pihak jabatan agama, memberi impresi bahawa agama adalah sesuatu yang bersifat eksklusif. Maka demikian, pengalaman menyertai Konvoi Interfaith di tempat-tempat keagamaan di sekitar Jalan Ipoh dan Jalan Sentul merupakan sesuatu yang amat berharga. Saya agak tertarik dengan konsep menziarahi kuil, tokong, masjid dan rumah-rumah ibadat yang terdapat di negara ini untuk meluaskan pemahaman antara agama. Agama Hindu Pencetus Kebenaran Jennifer Pak dari BBC turut mengikuti rombongan anjuran Projek Dialog dan Kumpulan Sasterawan Kavyan. Dalam kebisingan jalan raya dan kesibukan masyarakat bandar menjalani kehidupan seharian mereka, kami memulakan interfaith walk di kuil Hindu Subramanian Chettiar. Kuil tersebut aman indah dan menghijau, terdapat sebuah sangkar besar yang menempatkan beberapa merak dan burung, ukiran-ukiran dewa-dewi dalam mitos Hindu terpampang di dinding dan atap kuil, serta diselubungi bau-bauan wangian kemayan dan bunga. Sami-sami Hindu di kuil tersebut amat selesa dengan kehadiran kami, walaupun mereka sedang sibuk melayani beberapa penganut Hindu yang sedang beratur bersembahyang dan meminta berkat. Agama Hindu merupakan satu cara hidup untuk menuju ke jalan kebenaran atau Dharma yang meliputi setiap adat, tradisi, teologi dan falsafah. Tidak hairanlah ia juga dikatakan sebagai agama yang tertua dalam penyebaran tradisi kesedaran (Enlightenment Tradition). “Allah” dan Agama Sikh Seterusnya, kami berhijrah ke Gurdwara Sahib, sebuah kuil agama Sikh yang tersembunyi di selok Jalan Sentul. Wanita diwajibkan mengenakan selendang, manakala lelaki melilit kain di kepala untuk memasuki Gurdwara. Wakil-wakil daripada agamawan Sikh amat mesra menyambut konvoi kami, malah sempat menyajikan jamuan teh susu herba dan roti. Saya agak tertarik dengan kesamaan agama Sikh dengan agama-agama Nabi Ibrahim (Ibrahamic Faiths). Hal ini kerana mereka percaya kepada konsep monolitik, iaitu Tuhan adalah satu dan mempunyai kitab sucinya iaitu Guru Granth Sahib. Mereka juga mengelarkan Tuhan sebagai “Allah”, gelaran bahasa Arab yang lazim digunakan di Timur Tengah dalam agama Kristian, Yahudi dan Islam. Dewa Pengawal Kesejahteraan Konvoi kami bergerak ke Tokong Dewa Cheok Beh Keing (Dewa Pengawal) di Jalan Sentul, sebuah rumah ibadat dihiasi dengan pelbagai simbol mitos budaya Cina yang berwarna-warni seperti naga, dewa pengawal, ikan emas, dan sebagainya. Penghuni di sekitar tokong tersebut amat gembira menerangkan sejarah tokong tersebut; tokong tersebut telah bertapak di sana lebih daripada 100 tahun, ia menjadi pusat kemasyarakatan bagi kaum Cina untuk berdoakan kesejahteraan hidup. Doa tersebut bukan tertakhluk kepada penganut Dewa tersebut, sesiapa juga boleh mendoakan kesejahteraan kehidupan mereka. Maka, saya dan rakan-rakan yang lain turut membakar kayu bedil dan masing-masing berdoa untuk keamanan antara agama. Antara Islam dan Poster Anti-Syiah Kemudian, kami berangkat ke Masjid Al-Hidayah yang bersih rapi. Ia merupakan sesuatu pengalaman yang amat unik kepada yang bukan Islam, ini adalah pertama kalinya mereka mengambil wuduk dan memegang Al-Quran. Mereka juga sempat melihat para jemaah islam menunaikan solat Zohur. Sejuk mata memandang beberapa umat Islam yang kusyuk membaca ilmiah agama dan bertawakal. Penjaga masjid tersebut juga berbuka hati menerima kami, mereka mengatakan sesiapa sahaja, termasuk yang bukan Islam boleh melawati masjid di sana. Namun begitu, apa yang menyedihkan adalah kami dapati sebuah poster anti-Syiah yang terpampang di dalam masjid. Islam adalah agama sejagat dan realitinya terdapat pelbagai mazhab Islam di dunia ini. Mereka juga mempercayai Allah sebagai Tuhan, walaupun sejarah, adat dan tradisi penyembahan mereka berlainan. Apakah patut agama dijadikan alat bagi memecahbelahkan umat dan menyemarakan kebencian? Ketidakpentingan Ritual Kami mengakhiri destinasi konvoi rumah ibadat di Wat Buddha Sri Lanka. Kuil tersebut tersergam indah di dalamnya dengan sebuah patung Buddha putih yang besar, dihiasi dengan bunga-bunga cantik di mazbah hadapannya. Kami bersantap tengah hari dengan lauk-pauk ‘vegetarian’, sambil menghayati kedamaian kuil tersebut. Sami Buddha tersebut amat mesra dengan kedatangan kami, beliau mengatakan penganut di kuil tersebut sentiasa menerima kunjungan antara agama daripada pelbagai lapisan masyarakat, malah mereka juga sering melakukan aktiviti kebajikan terhadap rakyat Malaysia berbilang kaum. Saya bertanya mengapa terdapat hiasan bunga di mazbah? Apakah ritual pemujaan agama Buddha? Sami Buddha tersebut dengan tenang menerangkan konsep falsafah ajaran Buddha Teravada ini. Jelas beliau, ritual sebenarnya tidak penting langsung dalam mendapat restu atau pahala dari Tuhan, yang penting adalah karakter dan hati budi pengikutnya. Agama sebagai topik “Sensitif” Hakikatnya, walaupun negara kita dicerminkan sebagai sebuah negara yang pluralisme dan harmoni, rakyat Malaysia masih dibelenggu dengan budaya ‘sensitif’, setiap kaum tidak berani untuk berinteraksi mahupun mengambil berat dengan masyarakat beragama lain. Mereka lebih selesa dengan kepompong agama masing-masing, segala interaksi antara agama hanya sebagai ciri simbolik semasa upacara keramaian dan rumah terbuka. Bahkan, budaya berdialog antara agama masih merupakan sesuatu yang agak janggal dalam merapatkan silaturrahim dan keharmonian masyarakatan. Ironinya, saya dapati tiada satu pun penghuni  rumah ibadat yang kami kunjungi melayankan kami dengan buruk, walhal, mereka sering menekankan kepentingan kedamaian dan kesejahteraan dalam agama, dan sentiasa menerima penganut agama lain dengan hati yang terbuka. Saya percaya, sesetengah pihak berkepentingan mungkin boleh memperbodohkan umat dengan mempolitikkan nama Tuhan, tetapi, sesiapa yang benar-benar memahami kewujudan agama akan mengetahui bahawa “segala yang baik itu adalah daripada Tuhan, dan segala yang keji itu adalah perbuatan manusia sendiri”.

VERMOX
]]>

Dokumentari ‘Ulama Perempuan’: Gerakan gender sebagai perubah sosial

Saya sempat menghadiri sebuah tayangan dokumentari oleh pembikin filem Norhayati Kaprawi bertemakan “Ulama Perempuan” di Petaling Jaya minggu lepas. Temanya agak menarik perhatian kerana tumpuannya adalah terhadap wanita sebagai tokoh agama yang bergelar ‘ulamak’.

Dokumentari tersebut menjejaki beberapa kaum wanita yang bukan sahaja memainkan peranan sebagai penyebar ilmu agama, bahkan mereka juga tidak segan silu untuk berhadapan dengan isu-isu tabu seperti melawati kawasan-kawasan pelacuran dan berbincang mengenai hubungan diantara bukan muhrim. Tambahan pula, mereka bukan bertindak sebagai pendakwah yang sibuk menghukum atau menyebarkan erti dosa pahala. Perhatian saya terhadap “Ulama Perempuan” tertarik bukan kerana fokus utama dokumentari tersebut adalah wanita, tetapi kerana ulama-ulama yang dipaparkan menghayati agama Islam sebagai, pertamanya: falsafah perubahan sosial; kedua: prinsip kebebasan beragama yang membebaskan agama daripada kezaliman; dan ketiga: agama yang menganggap wanita sebagai seorang yang mempunyai taraf, nilai dan martabat yang sama dengan lelaki. Perlu saya nyatakan juga bahawa dokumentari tersebut dirakamkan di Indonesia. Apa yang uniknya berkenaan Indonesia adalah negara tersebut mengamalkan prinsip kebebasan beragama. Mereka mempercayai pengekangan hak kebebasan seseorang untuk menganuti agamanya dianggap sebagai kezaliman spiritual. Gerakan gender sebagai perubah sosial Di dalam dokumentari ini, Norhayati Kaprawi mengikuti ulama-ulama wanita tersebut ke kawasan-kawasan rumah pelacuran. Perlu ditegaskan sekali lagi bahawa aktiviti mereka bukan bersifat diskriminasi dan menghukum, sebaliknya ulama-ulama perempuan tersebut amat peramah dan rendah diri serta amat senang memberi pendidikan seks, khidmat nasihat dan memberi sokongan emosi. Para pelacur tersebut menyambut baik kedatangan para ulama wanita tersebut. Malah mereka saling berpelukan dan bertangisan bagaikan saudara sedarah. Pelacuran terpaksa dipilih kerana desakan sosio-ekonomi yang kompleks dan rasuah yang berleluasa. Para pelacur merupakan golongan yang paling lemah dalam strata kelas sosial. Namun begitu, ulama-ulama perempuan tersebut menganggap tugas mereka adalah untuk memahami situasi masyarakat dan memperjuangkan hak-hak golongan yang lemah. Ini berbeza sungguh dengan keadaan di Malaysia: Jika dibandingkan dengan situasi negara kita, golongan wanita sering dijadikan mangsa korban dalam undang-undang syariah dan diskriminasi masyarakat. Isu-isu seperti kes Kartika Seri Dewi, Lina Joy, Maznah Mohd Yusof, dan sebagainya jelas menjadi bukti bahawa wanita sering menjadi mangsa kepada sistem syariah yang sering menindas. Malah para ulama pula mengagung-agungkan sistem tersebut, dan menghukum mana-mana pihak yang cuba mencabar ketidakadilan sistem syariah di negara kita. Kiyai Hussein Muhamad, salah seorang ulama Indonesia yang diteuramah di dalam dokumentari ini berpegang teguh dengan sebuah ayat yang terkandung di dalam Al-Quran. Ia menyebutkan bahawa asal-usul kejadian manusia, wanita dan lelaki merupakan satu entiti yang diciptakan daripada satu roh, dan semua roh adalah sama tarafnya di mata Tuhan. Bahkan, sejarah Indonesia juga banyak terkandung cerita-cerita wanita Indonesia yang mempunyai semangat jati diri yang tinggi dan menpunyai status taraf yang sama dengan lelaki. Seperti kisah isteri Teuku Umar, iaitu Cut Nyak Dhien. Beliau meneruskan perjuangan suaminya yang mangkat dibunuh dengan mengetuai gerila Aceh menentang penjajah-penjajah Belanda dalam perang Aceh sehingga tahun 1901. Kepentingan memahami pesanan Agama Dokumentari ‘Ulama Perempuan’ menunjukkan bahawa kemajuan Islam tidak boleh dinilai melalui peningkatan kuasa para ulama semata-mata, atau pengukuhan kuasa institusi syariah dan undang-undang. Ia terletak kepada gerakan gender yang berasaskan nilai-nilai universal, iaitu nilai kecintaaan dan saling hormat-menghormati, menyebarkan ajaran antara agama (interfaith) yang bersifat humanis. Di Indonesia, gerakan gender terutamanya oleh para ulama perempuan telah melahirkan golongan masyarakat yang terbuka kepada pemahaman Islam. Adalah menjadi kebiasaan dimana wanita-wanita Islam bersolat bersebelahan dengan lelaki-lelaki Islam di dalam masjid. Peraturan masjid juga adalah longgar, ia tidak mewajibkan wanita berhijab untuk memasuki masjid. Malah, yang lebih mengagumkan, menurut Norhayati Kaprawi, beliau melihat sendiri seorang janda yang bukan muhrim mencium tangan seorang ulama sebagai tanda salam tanpa melihatkannya sebagai sesuatu yang menyalahi agama. Di Malaysia, isu muhrim diangkatkan dengan sempit sehinggakan wanita tidak dibenarkan bersembahyang dihadapan lelaki. Sudah menjadi kebiasaan juga untuk para ulama lelaki tidak bersalaman dengan perempuan kerana dianggap bukan muhrim. Mengapa wujudnya perbezaan intepretasi dan amalan agama di Malaysia dan Indonesia, walhal mereka sama-sama mendukung agama Islam yang sama? Salah seorang yang menghadiri tayangan filem tersebut merumuskan berbezaan ini dalam sebuah ayat yang cukup bermakna. Beliau mengatakan “memahami sesebuah mesej agama di dalam Al-Quran adalah lebih penting daripada memahami tajwid bahasa Arabnya”.
VERMOX
]]>

Cabaran Bangsa Malaysia dalam Realiti Etnosentrik

Caucasian’ berkulit putih, bangsa ‘Mongolian’ berkulit kuning, bangsa ‘Malayan’ berkulit coklat, bangsa ‘Ethiopian’ berkulit hitam, dan bangsa ‘American’ berkulit merah. Pengertian para saintis and antropologi berkenaan ras dan konsep bangsa pada masa itu terlalu daif, malah telah membuka jalan kepada Pergerakan Eugenik (Eugenics Movement). Mereka memberi konklusi bahawa atribusi biologi termasuk warna kulit boleh mencerminkan moraliti dan kepintaran sesebuah bangsa. Walhal, dalam sains, kepelbagaian pada ras kita adalah mutasi yang berlaku secara pilihan semula jadi (natural selection) dan terjadi sejak berjuta-juta tahun dahulu. Sebagai contoh bagi warna kulit, tidak kiralah sama ada ia berwarna hitam manis, kuning langsat, putih melepak ataupun sawo matang, warna kulit kita adalah ditentukan oleh pigmen melanin yang juga bertindak sebagai adaptasi biologi terhadap sinaran radiasi UV. Pergerakan Eugenik ini hanyalah membuka ruang kepada penciptaan ‘Master Race’, atau Bangsa Agung, dimana Hitler, pemerintah rakus kuasa mempergunakan ‘Sains Eugenik’ pada masa itu untuk mengikhtirafkan kesucian (purity) bangsa Aryan. Hilter menaikkan semangat nasionalisme bangsa Aryan di German melalui dakyah tersebut lalu mewajarkan pembersihan etnik terhadap bangsa-bangsa lain demi mempelihara kesucian bangsa Aryan. Hari ini, dengan kemajuan dan pergertian sains yang lebih mendalam, kita sepatutnya lebih celik akan fakta bahawa ras kita langsung tidak ada kena mengena dengan diri kita sebenar. Malangnya sehingga kini, masyarakat masih dipecahbelah oleh warisan pemikiran tentang ras yang lapuk dan tidak berasas. Stereotaip Bangsa Konsep ras hanyalah satu daripada banyak dinding ilusi yang menjuruskan kepada pemecahbelahan dalam masyarakat majmuk. Realitinya, manusia yang dilahirkan dalam norma-norma hidup dan nilai-nilai hidup dalam budayanya sering melihat dunia berdasarkan kaca mata budayanya sendiri, menganggap hanya norma-norma hidup mereka adalah normal. Maka tanpa disedari mereka akan menilai budaya dan cara hidup masyarakat lain dengan berat sebelah. Ditambahkan pula jika masyarakat tersebut tidak berkongsi identiti nasional dan aspirasi yang sama, maka sikap perkauman ini hanya akan bertambah kerana mereka hanya akan bergaul sesama sendiri tanpa memahami budaya dan nilai-nilai yang berlainan. Di Malaysia, kaum elit sering menggunakan strategi politik membahagi dan memerintah (divide and rule) untuk menyemaikan naluri perkauman bagi kepentingan mereka sendiri. Siapa yang tidak pernah dengar akan stereotaip buruk setiap bangsa dimana ‘bangsa Melayu adalah malas, bangsa Cina adalah tamak, dan bangsa India adalah penipu’. Yang amat merisaukan, sikap etnosentrik ini telah meresap dalam ke akar umbi pemikiran masyarakat kita. Cuba berbual dengan mana-mana rakyat Malaysia, rata-rata ramai yang pernah melalui saat-saat diskriminasi dan rasisme oleh masyarakat berlainan bangsa. Diskriminasi secara terang-terang Di dada akhbar, jika terdapat iklan-iklan peluang pekerjaan, dengan tanpa segan-silunya majikan akan meletakkan bahawa hanya bangsa tertentu sahaja boleh memohon untuk temuduga bagi jawatan tersebut. Kadang-kadang, majikan akan memberi kriteria-kriteria seperti diwajibkan berbahasa dialek atau bahasa ibunda bangsa tertentu yang bersifat diskriminasi dan tidak berkenaan langsung dengan tugas-tugas keperluan dalam jawatan tersebut. Diskriminasi juga berlaku di dalam persekitaran pekerjaan juga. Hal ini dapat dilihat dimana jawatan-jawatan kanan pengurusan hanya dipegang oleh sesetengah bangsa kerana persepsi stereotaip terhadap bangsa-bangsa yang lain. Terdapat juga diskriminasi secara terang-terang dimana informasi dikongsi diantara rakan sekerja yang sebangsa dengan menggunakan bahasa ibunda mereka. Selain itu, terdapat industri-industri yang bersifat rasisme, walaupun dengan tidak sengaja. Contoh yang amat ketara adalah rasisme dalam industri kecantikan. Mungkin ia adalah stereotaip di kalangan masyarakat Asia, tetapi iklan-iklan krim pemutih kulit senantiasa mencermin kecantikan yang bersifat satu dimensi dimana mesej yang mereka sampaikan adalah warna kulit sawo matang dan hitam manis adalah tidak secantik kulit putih melepak. Diskriminasi dan rasisme juga berleluasa dalam isu perumahan. Seringkali, pihak berkuasa memainkan peranan mengasingkan kepelbagaian bangsa di Malaysia dengan meletakkan satu-satu bangsa sahaja di sesebuah kawasan perumahan dengan alasan agama dan sebagainya. Polisi perumahan juga bersifat diskriminasi dimana diskaun perumahan diberi pada sesebuah bangsa sahaja dan bukan berdasarkan kemampuan atau pendapatan isu rumah mereka. Malah bagi sewa rumah, rasisme juga berlaku dengan terbuka melalui pengiklanan sewa rumah seperti ‘untuk Muslim sahaja’ atau ‘Chinese preferred’ atau ‘Only Indians can apply’. Jadi, jika seseorang itu merupakan bangsa ‘dan lain-lain’ yang bermigrasi ke kota Kuala Lumpur, mereka harus tinggal di mana? Polarisasi kaum ini juga berlarutan dengan melaratnya dalam sistem pendidikan negara kita. Setiap bangsa hanya selesa bergaul dengan bangsa mereka sendiri. Identiti nasional kita terlalu lemah, amat sukar bagi bangsa-bangsa yang berlainan di Malaysia untuk berkomunikasi dan memahami sesama mereka kerana konteks pemahaman nasional dan sejarah negara yang terlalu daif. Perpaduan negara hanya akan wujud jika terdapat ‘a sense of belonging’ atau semangat kekitaan dikalangan kita semua. Identiti sebuah Bangsa Malaysia Bagaimanakah kita mampu memupuk semangat kekitaan ini dalam masyarakat yang serba majmuk dan berlainan pergertian terhadap aspirasi negara ini? Pembangunan negara yang sihat dipupukan bukanlah dengan retorik ‘Satu Malaysia’ yang menggambarkan sesuatu  utopia dimana setiap bangsa digayakan dengan kostum tradisional mereka yang cantik. Keharmonian antara bangsa juga tidak harus berdasarkan kontrak sosial dan perwakilan parti politk etnik yang sempit. Sebaliknya, seperti dalam UNESCO Declaration Race and Racial Prejudice yang diterbitkan pada 1978, pemupukan gagasan sebuah Bangsa Malaysia adalah bermula pada diri kita masing-masing. Dalam erti kata lain, jika kita ingin menentang rasisme dengan sekeras-kerasnya, cubalah bermula dengan belajar menjadi seorang manusia yang penuh kasih sayang dan berkemanusiaan. Hindarilah dari melihat norma-norma hidup dan budaya orang lain hanya melalui kaca mata budaya kita sahaja. Sebaliknya kita perlu mencelik mata dan memahami budaya-budaya kaum lain melalui rukun tetangga, petukaran budaya, mempelajari bahasa ibunda kaum lain dan sebagainya. Eratkan hubangan melalui nilai-nilai universal seperti semangat kejiranan, perpaduan, kecintaan sesama manusia, kesamarataan, keadilan dan sebagainya. Semaikan etika humanistik di dalam budaya setiap kaum, dimana lagi mendalam kita menghayati dan menghargai warisan budaya kita, lagi tinggilah jiwa kemanusiaan kita. Bagi ketua-ketua agama setiap kaum, mereka mempunyai pengaruh yang luas dalam masyarakat. Selalunya, api hasutan dan kebencian antara kaum dapat dilenyapkan dengan mudah jika ketua-ketua agama mainkan peranan aktif dalam komuniti. Keharmonian sesama kaum dapat diperlihara melalui khutbah-khutbah yang bermesejkan kedamaian, perkhidmatan masyarakat yang tidak mengira kaum, dan menggalakan dialog antara agama. Komunikasi yang efektif antara setiap rakyat Malaysia dapat diwujudkan dengan memastikan bahasa nasional kita adalah bukan bersifat ekslusif, sebaliknya adalah bahasa bagi semua rakyat Malaysia. Dalam dunia pekerjaan, diskriminasi haruslah diambil berat dan diberi tindakan serius terhadap sesiapa yang memupuk semangat etnosentrik di kalangan pekerja-pekerja. Majikan dan kerajaan haruslah memainkan peranan yang aktif. Antaranya penguatkuasaan undang-undang anti-diskriminasi dalam pekerjaan, penghapusan kuota etnik, dan pemansuhan kategori kaum dalam pengisian borang-borang sama ada bagi urusan dengan kerajaan, pihak bank atau pun dalam sektor swasta. Kerajaan perlu memainkan peranan yang utama dalam membanteraskan putik-putik perkauman melalui polisi-polisi yang bersifat kesamarataan dan keadilan. Polisi ekonomi dan social perlulah pro-golongan berpendapatan rendah, dan bukan digunakan sebagai alat permainan politik perkauman bagi kaum elit. Seringkali rasisme diinstitusikan (institutionalised racism) dan diskriminasi berlalu secara terang-terang kerana tiada kehendak politik (political will) untuk mewujudkan sebuah masyarakat majmuk  bertamadun yang bersatu padu dan makmur. Seperti  kata-kata Aimé Césaire, seorang intelek Perancis ternama yang berasal dari Martinique: “Jika tiada satu kaum pun yang memegang monopoli bagi kecantikan, kebijaksanaan, dan kekuatan, maka sesungguhnya, akan adanya tempat bagi semua manusia pada titik pertemuan kemenangan”. (And no race holds a monopoly of beauty, of intelligence, of strength, and, there is a place for all at the Rendezvous of Victory).  

VERMOX
]]>