Perjanjian antarabangsa tentang Hak-hak Awam dan Politik Antarabangsa (ICCPR): Apa lagi yang masih kita tunggukan?

ICCPR memberi ruang kebebasan untuk kumpulan minoriti agama dan ia akan membenarkan hak kebebasan menukar beragama. ICCPR telah ditandatangani oleh 167 buah negara. Ketika sidang UPR Malaysia pada 24 Oktober lalu, Palestin (sebuah wilayah Islam) telah bertindak menyuarakan pandangan supaya Malaysia segera memeterai perjanjian antarabangsa ini. Tindakan Palestin ini sememangnya terpuji. Selain Palestin, negara lain yang mendesak Malaysia menandatangani ICCPR adalah Slovakia, Ukraine, Belanda, Australia, Hungary, Jepun, Switzerland dan Sierra Leone. Apakah yang ditakuti oleh NGO Muslim dengan  ICCPR? Mesir, Jordan, Bahrain, Iraq, Iran, Maghribi, Lubnan, Sudan, Syria, Turki, Algeria, Pakistan, Indonesia, Yaman dan Afghanistan adalah antara negara Islam yang telah menandatangani ICCPR. Antara negara Islam yang tidak menandatangani ICCPR adalah Arab Saudi dan Qatar. Sebagai sebuah negara Islam yang bercita-cita kelihatan moderat di peringkat antarabangsa, keraguan untuk menandatangani ICCPR tidak mencerminkan hasrat wasatiyyah pimpinan negara ini. Apakah yang Malaysia tunggu lagi? Perjanjian ini akan melindungi hak-hak minoriti agama. Ini merupakan satu tindakan paling waras untuk dilakukan oleh Malaysia bagi mengimbangi kepelbagaian agama, dan mazhab yang wujud di negara ini. Sikap angkuh penindas yang menafikan hak kaum marjinal dan terpinggir adalah tidak Islamik dan bertentangan dengan ajaran Islam asal yang dibawa oleh Rasulullah saw. Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad melindungi kaum buruh, pro wanita, menjaga hak minoriti Yahudi, menjalinkan hubungan mesra dengan Nasrani (seperti yang ditunjukkan ketika hijrah pertama ke Habsyah) dan tidak bersifat menghukum. Apabila Rasulullah saw membuka kota Mekah dan menjadi kuasa majoriti, kaum musyrikin yang jatuh menjadi minoriti tidak dikerasi, bahkan diampun. Dua artikel berkaitan iaitu Artikel 18 dan 20 dari Perjanjian Antarabangsa Tentang Hak-Hak Awam dan Politik ini sudah pasti akan dapat menghentikan pemomokan pihak berkuasa agama, khutbah Jumaat sarat kebencian, fenomena media mengarang cerita palsu dan serbuan ganas Jabatan Agama terhadap komuniti Syiah. Malaysia wajar memenuhi tuntutan antarabangsa supaya menghapuskan diskriminasi terhadap penganut agama minoriti.

]]>

Kalimah Allah: Satu sudut pandang Kristian Sarawak

Penjelasan konteks Sememangnya dalam kemelut isu ini terdapat banyak salah faham mengenai keadaan demografik dan budaya masyarakat Kristian Malaysia, terumatanya di Borneo. Disini saya ingin mengambil kesempatan untuk memberi sedikit penjelasan: Umum diketahui, dianggarkan lebih 40 etnik di Sarawak dan 32 etnik di Sabah yang terdiri dalam pelbagai kelompok bangsa, ras dan kaum. Jika ditanya mengenai demografi penduduk agama Kristian di Kepulauan Borneo, jumlah Bumiputera Kristian di Malaysia Timur adalah 1,448,967 orang daripada jumlah keseluruhan Bumiputera Kristian Malaysia yang terdiri daripada 1,549,193 orang. Berdasarkan daripada stastistik tersebut, dapat dinyatakan disini kepelbagaian Bumiputera Kristian berbilang kaum dan etnik juga dipengaruhi dengan kawasan geografik dan kepelbagaian mazhab serta aliran agama Kristian itu sendiri yang turut mempunyai latar belakang sejarah yang pelbagai. Seperti yang diketahui, antara mazhab Kristian yang utama di Malaysia termasuk Roman Katolik, Anglikan, Evangelikal, Baptis, Brethren, gereja berkarisma bebas, Lutheran, Methodis, Presbyterian dan gereja-gereja yang tak ber-denominasi. Tetapi, jika kita perhatikan pada tahap yang lebih lokal di Borneo, demografiknya begitu rumit. Tiada masyarakat Kristian yang “monolitik” yang senang difaham secara pukul rata. Contohnya di Sarawak, penganut Kristian berbeza mengikut kaum serta mazhabnya. Sebagai contoh umum, kaum Bidayuh kebanyakkannya menganut fahaman Roman Katolik dan Anglikan. Kaum orang Ulu (Kayan, Kelabit, Lun Bawang) majoritinya menganut fahaman Evangelikal. Kaum Iban menganuti pelbagai mazhab/aliran Kristian. Kaum Melanau di Sarawak dilihat majoritinya Islam juga mempunyai penganut Kristian aliran Katolik. Begitu juga di Sabah, penganut Kristian dibezakan melalui etnik dan daerah. Contohnya kaum Kadazan-Dusun majoritinya adalah Roman Katolik, kaum Murut pula lebih ke arah evangelikal. Medium bahasa yang digunakan dalam upacara keagamaan Kristian di Sabah dan Sarawak memang pelbagai: secara umumnya ia termasuk Bahasa Inggeris di samping bahasa ibunda etnik / suku masing-masing dan juga Bahasa Malaysia. Akan tetapi, Bahasa Malaysia tetap digunakan lebih kerap kerana ianya bertindak sebagai medium yang menyatu padukan pelbagai etnik, kaum dan mazhab Kristian di Borneo apabila berkumpul dalam satu upacara keagamaan. Membumikan teologi Memang tidak dapat dinafikan bahawa agama Kristian tidak mempunyai kata nama khas yang khusus untuk merujuk kepada nama tuhan bagi menerangkan konsep Trinitas (Trinity) sebagaimana Yahudi mahupun Islam. Justeru, kaedah pembumian agama untuk keadaan tempatan (atau dalam istilah Bahasa Inggeris contextualization ataupun indigenization) digunakan untuk menterjemah istilah ‘Elohim’ dan ‘Adonai’ daripada bahasa Ibrani (Yahudi) dalam Perjanjian Lama, dan istilah ‘Kurios’ dan ‘Theos’ daripada bahasa Yunani dalam Perjanjian Baru yang ada pada Alkitab (Bible) mengikut bahasa ibunda dan bahasa setempat. Pembumian digunakan dalam kajian terjemahan Alkitab berhubung dengan tetapan yang berkaitan dengan budaya masyarakat setempat bagi memahami penggunaan perkataan yang dipinjam daripada Perjanjian Lama bahasa Ibrani dan Perjanjian Baru bahasa Yunani yang merupakan bahasa asal Alkitab. Keputusan yang tidak adil Dari sini kita boleh lihat bahawa larangan untuk penggunaan kalimah Allah di konteks Malaysia timur jelas meminggirkan. Umat Kristian sudah menggunakan kalimah tersebut sekian lama sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia. Bahkan dalam bahasa Iban, pencipta juga digelar ‘Allah Taala’ sebelum kedatangan agama Kristian. Secara mudahnya kita hanya harus merjuk kepada pernyataan berikut dalam 20/18 Perjanjian Malaysia 1963: Perkara 1: Agama “Tiada bantahan terhadap Islam sebagai agama kebangsaan Malaysia tetapi Borneo Utara/Sarawak sepatutnya tidak mempunyai agama rasmi. Segala bidang kuasa Malaya yang berkaitan dengan Islam tidak patut dikuatkuasakan di Borneo Utara/Sarawak.” Dalam ini, kita juga patut sedar bahawa penganut Kristian Bumiputera di Semenajung Malaysia juga terdiri daripada penduduk asal Orang Asli dan penduduk asal Sabah dan Sarawak yang berhijrah ke sana turut menggunakan bahasa ibunda sebagai medium. Adakah adil larangan ini ke atas akhbar Katolik Herald sekiranya petikan Alkitab, upacara sembahyang dan doa itu dipetik dalam bahasa Malaysia di Semenanjung Malaysia? Keliru? Dakwaaan penggunaan kalimah ‘Allah’ tersebut akan mengelirukan umat Islam adalah tidak benar kerana akhbar tersebut tidak dijual dan diedarkan di luar lingkungan gereja. Pihak gereja juga ingin bersifat defensif bagi memastikan terjemahan Alkitab dan bahasa pertuturan upacara keagamaan dalam Bahasa Malaysia terpelihara daripada perubahan. Akhir, gereja juga ingin memelihara kebebasan nurani penganut Kristian Orang Asli, Sabah dan Sarawak agar bebas menggunakan bahasa ibunda dan bahasa Malaysia dalam kehidupan keagamaan mereka. Dialog untuk pemahaman dan penyelesaian Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan Islam dan Melayu, JAKIM, majlis agama Islam negeri-negeri, mufti-mufti, ahli politik dan kerajaan Persekutuan seharusnya bertindak rasional dalam mengendalikan isu ini agar ianya tidak menjadi satu barah berlanjutan yang akan merosakkan perpaduan antara kaum dan agama. Penjelasan, pengajaran dan dialog adalah jalan terbaik memahami persamaan dan perbezaan antara agama. Akhir kalam, ayuhlah rakyat Malaysia tinggalkan pemikiran jumud dan dangkal mengenai isu ini. Sama-samalah menghayati pegangan agama masing-masing dan hormatilah pegangan agama lain selaras dengan prinsip kebebasan beragama. Sehubungan dengan itu, kita dapat membaiki perpaduan dan kestabilan negara Malaysia ini sebaik mungkin.

]]>

Apabila agama dipolitikkan: Cabaran dan penyelesaian

Talibanisme Semasa Taliban memerintah di Afghanistan, banyak keputusan dan tindakan Taliban kelihatan tidak cermat dan tanpa difikirkan kesan buruk disebalik tindakan itu. Antara yang ketara adalah, tindakan Taliban yang meruntuhkan patung Buddha yang didakwa berumur lebih 2 ribu tahun di satu kawasan bernama Bamiyan. Patung itu amat besar, sehinggakan ia sama tinggi dengan bukit di situ. Diberitahu juga, bahawa kawasan Bamiyan sudah tidak ada penganut Buddha tetapi terdapat penduduk yang berfahaman syiah. Taliban telah meletupkan patung tersebut untuk dihancurkan dengan alasan penjagaan aqidah dan memerangi syirik. Tindakan Taliban itu dikritik hebat oleh Dr Yusuf Al-Qaradawi. Kritikan itu, menjadikan kalangan Pro-Taliban melebelkan Qaradawi sebagai ulama berhala. Dalam kenyataan Al-Qaradawi dalam perkara ini, beliau menyatakan bahawa pada tahun ke 7 hijriah, berlaku Umrah al-Qadha’ bahawa Nabi MUHAMMAD SAW dan para sahabat masih lagi melakukan Tawaf keliling Kaabah dalam keadaan kaabah ketika itu masih  dipenuhi dengan patung-patung sembahan orang Quraish. Al-Qaradawi menyatakan lagi, tindakan Taliban itu kelihatan bermusuh dengan Amerika dan Eropah, tetapi tanpa mereka sedar bahawa mereka sudah menjadi punca permusuhan orang Islam dengan orang bukan Islam di Timur. Ekoran kebencian mereka terhadap barat mereka meruntuhkan patung Bamiyan. Kesan dari itu, umat Islam di negara Buddha ditekan dan ditindas atas sentimen yang sama. Ternyata keadaan itu berlaku, sepertimana selepas kejadian runtuhnya patung Bamiyan, kedengaran pembunuhan beramai – ramai terhadap umat Islam di selatan Thailand dan keadaan tidak selesa di kalangan Umat Islam di Vietnam. Fikir kesan Dalam Al-Quran, Allah SWT ada menyatakan, “Jangan kamu cela mereka yang menyembah selain Allah, kerana bimbang mereka akan mencela Allah secara  permusuhan dan tanpa ilmu” (Surah al-an’am, ayat 108) Dalam komentar Imam al-Baidhawi terhadap ayat ini, beliau menyatakan, “Pada awalnya, Umat Islam selalu mencela mereka (yang menyembah selain Allah), lalu mereka ditegah supaya (dipihak mangsa celaan) tidak melakukan celaan balas terhadap Allah. Ia menjadi dalil bahawa perkara yang dibenarkan pun pada asalnya, jika boleh membawa kepada maksiat yang pasti, maka ia wajib ditinggalkan, kerana perkara yang membawa kepada kejahatan, ia turut sama dianggap sebagai jahat” (al-Baidhawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, jld 2, hlmn 177) Dalam erti kata yang lain, dalam ayat ini Allah SWT mengajar kepada manusia bahawa sesuatu tindakan yang mahu dilakukan hendaklah diperhatikan juga sudut kesan sampingannya. Jika diperhatikan, seseorang doktor di hospital tidak akan memberikan sesuatu ubat kepada pesakitnya sesuka hati, tetapi difikirkan juga apa implikasi atau kesan sampingan yang bakal berlaku. Politikkan agama Di Malaysia, banyak isu-isu melibatkan hubungan Muslim dan non-muslim menjadi calar ekoran sudut faham agama cukup terkebelakang. Cara faham Islam sebilangan orang Islam di Malaysia tidak berasaskan kepada ilmu, tetapi lebih kepada sentimen dan mainan politik. Sebelum ini, di malaysia pernah di bisingkan dengan isu larangan orang bukan Islam masuk ke masjid dengan alasan bahawa orang bukan Islam tidak mandi junub. Sedangkan dari sudut perbahasan Islam, jika dibaca dalam hadis yang saheh diceritakan ada seorang lelaki yang bernama Sumamah bin Ussal yang tidak beragama Islam telah diikat dalam masjid ekoran ditawan dalam satu peperangan, disamping dalam hukum fiqh, orang bukan Islam tidak akan sah mandi junubnya. (ibn Hibban, al-Sirah al-Nabawiyyah wa Akhbar al-Khulafa’, jld 1, hlmn 268) Begitujuga, di Malaysia pernah dibisingkan  dengan isu larangan mendoakan kepada orang bukan Islam ekoran seorang pendakwah telah berkhutbah di salah sebuah masjid di Pulau Pinang telah mendoakan kepada Allah agar diberikan hidayah kepada ketua Menteri Negeri tersebut yang tidak beragama Islam. Dari sudut pandang Islamnya, tiada larangan pun perbuatan tersebut. Ini kerana, dalam banyak hadis didapati bahawa Nabi Muhammad SAW mendoakan hidayah kepada Umar bin al-Khattab sebelum beliau memeluk Islam. [sila rujuk Muhammad bin Afifi al-Bajuri, Nurul al-Yaqin Fi Sirah Said al-Mursalin, hlmn 52] Begitujuga doa harapkan hidayah oleh Nabi Muhammad SAW terhadap kaum Taif yang menolak dakwah dan melontarkan kepada Nabi dengan batu. [Sila rujuk Ibn al-Qayyim, Zad al-Maad, jld 3, hlmn 29]. Tanpa kita lupa juga dengan isu larangan orang bukan Islam membaca Al-Quran ekoran seorang ahli politik yang tidak beragama Islam telah membaca satu ayat dari Al-Quran dalam satu ceramah beliau. Walhal, jika dibaca dalam hadis terdapat beberapa kisah yang mempamerkan keizinan orang bukan Islam membaca Al-Quran, seperti Abu Bakar al-Siddiq pernah menyatakan kepada seorang perempuan yahudi yang sedang menjampi Aisyah dengan kata Abu Bakar al-Siddiq, “Jampilah dia dengan membaca kitabullah (Al-Quran) [Sila Rujuk Imam Malik, Muwatta’, hadis no : 1982] Jika kita perhatikan balik, semua isu-isu yang dibangkitkan tidak lebih kecuali mahu mewujudkan suasana yang tidak sihat dalam hubungan antara Muslim dan orang bukan Islam di malaysia. Ia tidak menguntungkan dakwah, tetapi lebih kepada mewujudkan suasana yang tidak harmoni. Hubungan Di Malaysia, sudut pandang Islam dalam beberapa perkara, jika dibandingkan dengan cara Nabi Muhammad, pasti kita akan nampak perbedaan yang amat ketara. Terdekat seperti isu penggunaan Kalimah Allah untuk orang bukan Islam, ia menjadi isu yang berpanjangan sehinggakan melibatkan perbicaraan mahkamah. Walhal, jika diperhatikan dari sudut sumber Islam disamping pengamalan di semua negara dan sejak zaman wahyu sehingga sekarang, hanya semenanjung malaysia sahaja yang melarang. Ini gambaran keanehan cara sudut faham Islam di malaysia jika mahu dibandingkan di tempat lain, yang sudah pasti terlalu amat ganjil jika dibandingkan dengan Islam di era keNabian. Melihat kepada itu, tidak hairan implikasi dan kesan yang tertimpa, hubungan Muslim dan orang bukan Islam di malaysia kelihatan seperti tenang di luar, tetapi dari sudut hati kecil wujud seribu satu permusuhan. Ekoran dari itu, mula wujud suara-suara tidak puas hati, hilang keharmonian seperti terbaru kedengaran suara orang bukan Islam yang beragama hindu melarang penyembelihan lembu korban secara terbuka dengan alasan menghormati sensitiviti dan sebagainya. Seharusnya, Islam itu perlu dibahas mengikut nilai, lunas dan ajaran Nabi, bukan dipolitik-kepartiankan atau disentimenkan tanpa ilmu, kerana ia bukan mendatangkan hasil yang baik, sebaliknya keadaan semakin memburuk. Dalam keadaan begitu, di pihak rakan-rakan yang tidak beragama Islam, mereka perlu sedar bahawa tindakan provokasi atas nama Islam itu sebenarnya bukan dari ajaran Islam, tetapi itu adalah sikap sebilangan orang Islam yang tidak bertanggungjawab. Hakikat sebenar, rujukan mereka bukan kepada Islam, tetapi kepada sentimen mereka yang berasaskan kepada hawa nafsu. Namun, lebel Islam di gunakan untuk mempamerkan tindakan mereka seperti benar, walhal Ia tidak benar sama sekali. Tindakan mereka itu, tidak sepertimana yang pernah diungkapkan oleh Saidina Ali yang pernah berkata, “Kalimah yang benar, tetapi yang dikehendaki adalah kebatilan.” [sila rujuk Ibn Hibban, al-Sirah al-Nabawiyyah wa Akhbar al-Khulafa’, jld 2, hlmn 545) Wallahu alam. Sila hubungi editor@projekdialog.com untuk bibliografi yang lebih lengkap. 

]]>

Temubual BFM bersama Reza Aslan, bahagian 2: Kalimah Allah di Malaysia

Temubual Ezra Zaid dan Umapagan Ampikaipakan bersama Reza Aslan berterusan. Kali ini, perbualan mereka turut merangkumi isu kalimah Allah di Malaysia. Reza Aslan merupakan seorang penulis dan cendakiawan agama yang diiktiraf antarabangsa. Beliau merupakan pengarang buku paling laris dalam New York Times bertajuk Zealot: The Life and Times of Jesus of Nazareth.

Buku Pertama Reza Aslan juga merupakan buku paling laris antarabangsa bertajuk “No God But God: The Origins, Evolution, and Future of Islam” (Tiada Tuhan Melainkan Allah: Asal-Usul, Perkembangan dan Masa Depan Islam). Buku tersebut dinamakan salah satu buku yang paling penting dalam dekad ini. Ia juga telah diterjemahkan dalam 30 bahasa yang lain, termasuk dalam Bahasa Melayu, dan boleh didapati dalam kebanyakkan kedai buku.

Berikut adalah transkrip perbualan mereka.

Isu Kalimah Allah Umapagan Ampikaipakan: Kita telah berbincang berkaitan dengan perkembangan yang sedang berlaku dalam wacana Islam di Timur Tengah dan Asia Tenggara, kini saya ingin membawa fokus perbincangan tersebut ke negara ini, iaitu berkenaan keputusan makamah terhadap isu kalimah ‘Allah’ yang telah mendapati liputan berita antarabangsa. Pada Isnin lepas, Makamah Rayuan sebulat suara menolak keputusan makamah pada tahun 2009 yang membenarkan pihak gereja Katolik untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam seksyen Bahasa Malaysia majalah mingguan The Herald. Ezra Zaid: Di tengah-tengah kontroversi di Malaysia berkenaan isu kalimah ‘Allah’, terdapat pelbagai alim ulama, ahli akademik, dan sejarahwan di negara ini yang berkongsi pendapat mereka mengenai asal-usul penggunaan kalimah tersebut. Apakah pendapat anda mengenai isu kalimah ‘Allah’ ini? Reza Aslan: Perspektif saya mengenai isu ini adalah berdasarkan intepretasi sejarah. Ini merupakan fakta sejarah iaitu perkataan ‘Allah’ adalah berdasarkan perkataan asalnya ‘Al-Ilah’. ‘Al-Ilah’ bermaksud Tuhan yang Satu. ‘Allah’ bukan sebuah nama khas bagi Tuhan. Secara jujurnya, sesiapa yang fikir bahawa perkataan ‘Allah’ merupakan sebuah nama bagi tuhan bukan sahaja salah, tetapi mereka sebenarnya mencabar ajaran Al-Quran itu sendiri dan boleh menjadi syirik jika berkeras bahawa tuhan mempunyai sebuah nama. ‘Allah’ hanya adalah sebuah perkataan dalam bahasa Arab yang merujuk kepada maksud tuhan – ia bermaksud setiap tuhan dalam setiap agama, bahkan kita mengetahui secara fakta bahawa masyarakat Kristian dan Yahudi di Semenanjung Arab sebelum kedatangan Islam merujuk kepada tuhan mereka sebagai ‘Allah’. Kenapa perkara ini berlaku? Sebab mereka bertutur dalam bahasa Arab. Bukan kerana ‘Allah’ merupakan sesuatu tuhan yang tertentu, tetapi ia tidak lebih daripada makna bahasa Arabnya bagi tuhan. Ini bukan sebuah pendapat, tetapi fakta. Umapagan Ampikaipakan: Anda mengeluarkan satu tweet yang geli hati berkenaan keputusan makamah  mengharam orang bukan Islam untuk menggunakan perkataan ‘Allah’ yang tidak masuk akal. Anda mengatakan ia bagaikan mengharam perkataan ‘twerking’ kepada sesiapa yang berumur kurang daripada 17 tahun di Amerika Syarikat. Kenapa anda rasa ia tidak masuk akal? Reza Aslan: Perkataan yang saya gunakan bukan ‘tidak masuk akal’, tetapi ‘bodoh’. Menganggap bahawa Allah itu hanya Tuhan untuk orang Islam memanglah satu perkara yang bukan-bukan. ‘Allah’, seperti yang telah saya katakan, hanya merupakan sebuah perkataan bagi tuhan, dan keputusan makamah ini adalah tidak masuk akal dan meyinggung perasaan orang lain:  tanggapan dimana bukan sahaja orang Kristian tidak boleh menggunakan perkataan ‘Allah’ tetapi dengan menggunakan perkataan ‘Allah’ ia mengancam Islam. Ia seakan-akan masyarakat Malaysia teramat bodoh,  bahawa jika mereka mendengar orang Kristian menggunakan perkataan ‘Allah’, mereka akan menjadi Kristian secara tidak sengaja. Kenyataan tersebut adalah bahlul. Terus-terang, ia adalah memalukan. Ia adalah memalukan bagi negara perlembagaan moden yang demokratik, bagi negara bermajoritikan Islam seperti Malaysia yang setanding dengan negara-negara dunia pertama yang maju. Perkara bodoh ini mungkin akan berlaku di Saudi Arabia tetapi tidak sepatutnya berlaku di sini. Ezra Zaid: Menurut ringkasan kuputusan makamah rayuan tersebut, ia menyatakan bahawa penggunaan kalimah ‘Allah’ bukan sesuatu yang penting bagi masyarakat Kristian bagi menunaikan keimanannya terhadap agama Kristian. Jika penggunaan perkataan tersebut dibenarkan oleh orang Kristian, ia akan menyebabkan kekeliruan bagi orang Islam dan mengganggu kestabilan negara ini. Reza Aslan: (KETAWA) Bagaimana anda boleh membaca kenyataan tersebut dan tidak merasa geli hati? Ezra Zaid: Apa yang saya ingin ketengahkan ialah masyarakat Melayu Islam di negara ini dianggap mempunyai hak pemilikan perkataan ‘Allah’ untuk diri mereka sendiri. Adakah idea pemilikan hak perkataan ‘Allah’ oleh sesebuah komuniti melangkaui konteks sejarah and etomologi maksud perkataan tersebut? Reza Aslan: Jawapan saya dari segi sejarah adalah:  Tidak. Dari segi budaya and etomologi adalah:  Tidak. Tapi perkara yang paling penting bagi orang Islam perlu mengetahui, dari segi teologi juga adalah:  Tidak. Mana-mana imam yang mengatakan bahawa Allah mempunyai nama adalah syirik. Allah bukan nama kepada tuhan, orang Islam tidak mempunyai hak pemilikan terhadap nama ‘Allah’. Jika anda membaca Bible dalam bahasa Arab, tuhan dirujukkan sebagai ‘Allah’. Malah di Iran dimana rakyatnya tidak bertutur dalam bahasa Arab, tuhan dirujukkan sebagai ‘Allah’ sebagaimana tuhan juga dirujukkan sebagai ‘Khuda’ dalam bahasa Farsi. Tanggapan bahawa sesiapa boleh mengawal idea, perbuatan, keimanan, dan pemikiran orang ramai dengan mengawal perkataan yang digunakan adalah bodoh dan tidak masuk akal. Ia adalah amat memalukan, bahkan mengaibkan dan tidak akan mendatangkan apa-apa manfaat kepada negara yang progresif seperti Malaysia. Idea sebegini adalah tidak sepatutnya ada dalam wacana mana-mana negara moden demokratik. Ia hanya akan mencemarkan nama baik negara ini, seperti saya utarakan awal tadi. Malaysia merupakan negara model bagi orang Islam diserata dunia. Sebaliknya, isu ini telah menjadi Malaysia sebagai jenaka ejekan oleh orang ramai. Saya ingin jelaskan kepada rakyat Malaysia: seluruh dunia sedang ketawakan korang! Umapagan Ampikaipakan: Jika anda membuat perbezaan tentang apa yang diperkatakan oleh makamah – sebagai contohnya, orang asing yang melawat ke negara ini mungkin akan menggunakan perkataan ‘Allah’ sebagai maksud tuhan dalam agamanya dan dia juga mungkin tidak mempunyai perkataan lain untuk mengambarkan tuhannya. Hal ini adalah amat penting bagi amalan agamanya, tidak kiralah agama Kristian atau Sikh. Reza Aslan: Tepat sekali, kedua-dua agama tersebut (agama Kristian dan Sikh) menggunakan perkataan ‘Allah’. Umapagan Ampikaipakan: Jika saya tidak silap terdapat 56 rujukan perkataan ‘Allah’ dalam Kitab suci agama Sikh. Dalam konteks ini, penduduk Borneo tidak mengetahui perkataan lain selain ‘Allah’ bagi merujukkan kepada tuhan. Reza Aslan: Tepat sekali. Ada seperkara lagi, saya fahami memang terdapat makanisme politik di negara ini; makamah di negara ini tidak bebas dan terikat daripada keputusan cabang eksekutif kerajaan. Saya fahami bagaimana politik di Malaysia berfungsi – keputusan makamah ini adalah keputusan politik lebih daripada apa-apa yang lain. Tetapi, saya ingin bincangkan aspek yang lain, iaitu tanggapan bahawa orang Islam di Malaysia perlu dilindungi – oh, orang-orang Islam yang sungguh lemah imannya! Anda perlu dilindungi oleh makamah kerana anda tidak boleh berfikir atau berbuat keputusan untuk diri anda sendiri. Kalau tidak silap, salah seorang hakim mengatakan:  membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’ merupakan ancaman kepada Islam. Keputusan makamah tersebut berlaku pada hari yang sama kejadian teruk pembunuhan masal di Pakistan pada Eid al-Adha. Seorang Taliban meletakkan bom di dalam Al-Quran, membawakannya ke dalam masjid di hari suci dalam kalander Islam ini lalu membunuh orang-orang Islam. Anda ingin mengatakan pasal isu ancaman terhadap Islam? Kelakuan sebegini adalah ancaman yang sebenarnya. Seorang Kristian di Malaysia yang menggunakan kalimah ‘Allah’ sebagai maksud tuhan BUKAN ancaman kepada Islam. Wacana Islam di Amerika Ezra Zaid: Berkata tentang hak pemilikan dan sejarah dalam agama Kristian, anda juga merupakan pengarang kepada buku ‘Zealot’ yang merupakan buku jualan terlaris di New York Times, adakah sukar bagi anda sekarang sebagai seorang cendakiawan Islam menulis buku tentang Nabi Isa di Amerika Syarikat? Reza Aslan: Memang sukar menjadi seorang Muslim di Amerika Syarikat untuk macam-macam sebab, terdapat pelbagai aktiviti dan sentimen anti-Islam di sana. Namun begitu, secara jujurnya, ia telah menjadi perniagaan yang menguntungkan. Terdapat ramai orang di Amerika Syarikat menjadi sangat kaya dengan cuba menyakinkan rakyat Amerika Syarikat bahawa orang Islam sedang cuba untuk mengancam hidup mereka. Dalam bila-bila sahaja, 1% populasi masyarakat Islam Amerika Syarikat akan bangkit dan mengambilalih negara ini. Kebanyakkan idea ini telah pudar, kerana orang ramai mula menyedari kebodohan idea tersebut. Tetapi idea tersebut wujud kerana ketakutan. Rakyat Amerika Syarikat juga sedang berhadapan dengan krisis identiti yang serius. Saya tidak pastilah jika anda perasan tentang perkara tersebut. Masyarakat negara kita [AS] dalam keadaan teruk, politik negara kita [AS] juga sudah tidak berfungsi. Umapagan Ampikaipakan: Tetapi krisis hutang di Amerika Syarikat berjaya dielakkan. Reza Aslan: Betul. Sekali lagi, pada saat-saat terakhir kita berjaya mengelak daripada krisis hutang tersebut. Taniah kepada kita dan kita akan masih berada di sini untuk berbulan-bulan ayang kan datang. Kita juga sedang berhadapan dengan perubahan demografik perkauman dan budaya yang serius – pengkaji demografik memberitahu kepada kami bahawa Amerika Syarikat dalam kurang daripada satu dekad ini akan menjadi negara yang pertama dalam sejarah dunia sebagai negara yang bermajoritikan kaum-kaum minoriti [secara keseluruhnya], dan ini merupakan sesuatu yang luar biasa! Sesuatu yang patut disambut, tetapi seperti yang anda bayangkan, kebanyakkan raykat Amerika Syarikat tidak berfikir seperti itu. Umapagan Ampikaipakan: Pihak Republican tidak tahu untuk berbuat apa lagi. Reza Aslan: Ya. Ini merupakan titik tamat harapan politik mereka, selagi mereka masih mengekalkan sebagai parti orang putih selatan yang bersikap berang. Dalam erti kata lain, isu ini bukan lagi berkenaan dengan orang Islam, tetapi berkenaan dengan rakyat Amerika Syarikat sendiri. Ini adalah tentang identiti krisis Amerika Syarikat, dan orang Islam hanyalah sebagai kambing hitam dalam hal ini. Umapagan Ampikaipakan: Ini adalah peluang yang besar bagi berhadapan dengan isu ini – dengan memperbanyakkan bilangan orang Islam yang berjaya dan kaya di Amerika Syarikat; mereka boleh mengeratkan silaturrahim dengan mengatakan, ‘Hey, kita adalah kawan!’ Reza Aslan: Seperkara yang anda perlu mengetahui tentang orang Islam Amerika Syarikat adalah kita tiada masalah untuk menjana kekayaan, orang Islam di Amerika Syarikat adalah bukan kepalang kayanya. Malah, sebuah kumpulan pengiklanan JWT baru-baru ini menjumlahkan gaji isu rumah tahunan oleh masyarakat Islam dan Timur Tengah Amerika Syarikat dengan jumlah USD170 billion. Anda cuma perlu lihat ahli-ahli pengasas bagi syarikat eBay, Google, Yahoo, Apple, dan sebagainya, berapa orang yang bernama Muhamad atau Ali dalam senarai nama syarikat-syarikat tersebut yang dapat anda jumpai? Masyarakat Islam di Amerika Syarikat telah mengaut kekayaan yang banyak, kini mereka perlu mencari jalan untuk membelanjakannya dengan betul. Dan ini adalah masalahnya, saya fikir ia adalah masalah antara generasi. Anda perlu fahami, mereka adalah kelompok komuniti yang datang dari negara seperti Iran (seperti saya), Pakistan, dan sesetengah kawasan di Timur Tengah; tempat-tempat tersebut tidak mempunyai tradisi yang lama berkenaan kerjasama sivik atau penglibatan politik. Malangnya, kebanyakkan orang Islam yang amat kaya ini tidak menyedari kuasa yang mereka ada untuk mengubah masyarakat. Ini kerana masyakarat Amerika Syarikat adalah berfungsi berdasarkan kapitalisme atau wang. Di negara ini, wang adalah suara. Saya malas dan meluat mendengar rungutan tentang sentiment-sentimen anti-Islam di Amerika Syarikat. Saya fikir, jika anda ada masalah dengan isu ini, anda kenalah menggunakan wang anda untuk memusnahkan mana-mana ahli politik yang mengatakan perkara negatif tentang orang Islam. Beginilah sistem negara ini berfungsi. Semuanya adalah berkaitan dengan wang. Mereka masih belum menyedari hakikat tersebut. Ini adalah sesuatu yang disedari oleh masyarakat Yahudi sejak awal dahulu. Pada tahun 1920-an sehingga 1930-an, di Amerika Syarikat, sentimen anti-Yahudi adalah keterlaluan, maksud saya anti-Semitisme. Ahli politik dan ahli bisnes yang hebat merupakan golongan anti-Semit yang menjelekkan. Masyarakat Yahudi dilihatkan sebagai golongan ‘fifth column’ (*golongan yang dicuriga oleh masyarakat majoriti sebagai golongan bersimpati dengan pihak lawan secara rahsia) dalam masyarakat Amerika Syarikat. 50 tahun kemudian, mereka menjadi sebahagian besar daripada budaya dan gaya hidup Amerika Syarikat. Rakyat Amerika Syarikat sering berkata tentang nilai-nilai hidup Yahudi-Kristian (Judeo-Christian values) negara ini. Bagaimanakah ia boleh terjadi? Mereka sangat bijak untuk menyedari bahawa cara mengubah persepsi masyarakat Yahudi di Amerika Syarikat adalah dengan menggunakan wang anda untuk mempromosikan pendidikan, perhubungan, seni, filem, dan muzik. Terdapat hanya 6 juta orang Yahudi di dalam 350 juta populasi rakyat Amerika Syarikat, namun begitu, mereka berada di serata tempat di televisyen, radio, dan buku; banyak pengarang yang hebat adalah orang Yahudi, banyak artis yang hebat adalah orang Yahudi, banyak arkitek yang hebat adalah orang Yahudi, termasuk juga di dalam perniagaan dan politik. Apa yang mereka lakukan adalah dengan mengintegrasikan komuniti mereka secara keseluruhan ke dalam masyarakat Amerika Syarikat. Walaupun bilangan populasi mereka adalah amat kecil, mereka mempunyai pengaruh kuasa yang kuat dalam budaya Amerika Syarikat. Ezra Zaid: Saya rasa ini merupakan pengajaran kepada rakyat Malaysia di sini. Reza Aslan: Sudah tentunya. Ia merupakan pengajaran bagi semua orang; kita perlu menyedari hakikat tersebut lambat laun juga, bukannya duduk dan merungut terhadap persepsi orang lain terhadap kita. Ezra Zaid: Terima kasih masa anda bersama kami. Reza Aslan: Terima kasih. Anda juga turut dijemput membaca bahagian pertama temubual ini. (Diterjemah oleh Nor Arlene Tan) ]]>

Temubual BFM Bersama Reza Aslan, bahagian 1: Islam, globalisasi dan pluralisme

Pada 21 Oktober 2013, Ezra Zaid dan Umapagan Ampikaipakan menemubual Reza Aslan untuk rancangan Evening edition di BFM Radio 89.9. Reza Aslan seorang penulis dan cendakiawan agama yang diiktiraf antarabangsa. Beliau merupakan pengarang buku paling laris dalam New York Times bertajuk Zealot: The Life and Times of Jesus of Nazareth.

Buku Pertama Reza Aslan juga merupakan buku paling laris antarabangsa bertajuk “No God But God: The Origins, Evolution, and Future of Islam” (Tiada Tuhan Melainkan Allah: Asal-Usul, Perkembangan dan Masa Depan Islam). Buku tersebut dinamakan salah satu buku yang paling penting dalam dekad ini. Ia juga telah diterjemahkan dalam 30 bahasa yang lain, termasuk dalam Bahasa Melayu, dan boleh didapati dalam kebanyakkan kedai buku.

Perbincangan mereka merangkumi hal-hal yang pelbagai, termasuk persoalan politik, sejarah, kebebasan dan juga penghayatan akidah. Berikut adalah transkrip perbualan mereka.

Islam: antara Barat dan dunia Islam  Ezra Zaid; Untuk memulakan perbincangan, Reza, dalam dunia globalisasi yang saling berhubung kait bagaimanakah bezanya wacana tentang Islam dalam masyarakat Islam sendiri berbanding dengan persepsi Barat berkenaan Islam? Reza Aslan: Perbezaan tersebut bagaikan malam dan siang. Jika kita bercakap dengan orang awam dari Barat yang berasal daripada Amerika Syarikat atau Eropah, mereka akan fikirkan bahawa Islam merupakan agama monolitik yang mempunyai hanya satu jenis; semua orang Islam mempercayai kepada perkara yang sama. Sudah tentu, perkara yang anda dengari berulang-ulang kali dari kebanyakkan orang di Barat adalah orang Islam tidak mengutuk keganasan, dan ini adalah jauh daripada kebenaran. Bagi setiap aktiviti keganasan yang berlaku atas nama Islam, terdapat beribu-ribu kenyataan, pengumuman dan fatwa yang mengutuk aktiviti keganasan tersebut. Tetapi hakikatnya adalah orang Islam hanya kerap menghabiskan masa berbincang antara satu sama lain wacana mereka tidak selalunya dimaklumkan ke masyarakat uang lain di serata dunia, dan ini adalah sesuatu masalah yang besar. Umapagan Ampikaipakan: Dalam 12 tahun selepas kejadian 9/11, mungkinkah terdapat sedikit sebanyak peningkatan mutu dalam perbincangan-perbincangan berkaitan Islam tersebut? Reza Aslan: Terdapat perkembangan yang amat besar dalam perbincangan-perbincangan diantara orang Islam; wujudnya pelbagai organisasi-organasasi dan pergerakan-pergerakan Islam seperti pergerakan Islam yang progresif, pergerakan Islam yang konservatif, pergerakan Islam gay dan lesbian, pergerakan Islam yang khusus untuk mempromosikan demokrasi, pergerakan Islam yang khusus untuk kembali kepada ajaran Al-Quran, iaitu prinsip-prinsip Al-Quran. Kebanyakkan pergerakan Islam tersebut terdapat di negara seperti Indonesia, dan juga Malaysia, mereka mempercayai bahawa orang Islam hanya perlu mengikut Al-Quran dan bukannya Sunnah. Secara jujurnya, perkara-perkara ini tidak pernah wujud 12 tahun yang lalu, jikalau pun pergerakan-pergerakan tersebut wujud, ia tidak diketahui ramai. Apa yang terjadi apabila berlakunya kejadian 9/11 adalah, ia telah benar-benar membangkitkan suara-suara pergerakan Islam tersebut. Tetapi, adakah suara-suara tersebut didengari oleh orang bukan Islam? Saya tidak fikir sebegitu. Asia Tenggara dan masa depan Islam Ezra Zaid: Bagaimanakah pengalaman Islam tersebut berbeza diantara orang-orang dari Timur Tengah dan orang-orang dari Barat? Dan kepada orang-orang Islam di sini, dimana pula letaknya Asia Tenggara di dalam wacana Islam yang lebih besar? Reza Aslan: Secara jujurnya, Asia Tenggara bukan sahaja merupakan masa depan Islam, ia juga merupakan model Islam. Apa yang menarik berkenaan perkara yang berlaku di Asia Tenggara, adalah percubaan dalam pengembangan kemodenan Islam – terpulanglah bagaimana anda mahu mendefinasikan maksudnya – sedang berlaku di dalam masyarakat yang sangat pluralistik. Cuba kita lihat negara seperti Mesir, negara Arab yang terbesar di dalam dunia yang mempunyai 88-89% orang Islam – dimana wacana penting berkenaan topik seperti demokrasi Islam, kemodenan Islam, dan politik Islam – didapati 9 daripada 10 orang yang terlibat dalam perbincangan tersebut adalah orang Islam. Situasi tersebut tidak akan berlaku di Asia Tenggara kerana kepelbagaian masyarakatnya seperti kelompok masyarakat Buddha, Hindu, Kristen dan Yahudi, dan situasi sebegini menyebabkan berlaku kemajmukan perbincangan berkaitan agama berbanding dengan perbincangan yang berlaku di Timur Tengah. Islam dan pluralisme Umapagan Ampikaipakan: Bagaimanakah Islam berfungsi di dalam sebuah masyarakat yang bercirikan pluralisme, dimana kebebasan dalam agama dianggap sebagai salah satu rukun agama? Reza Aslan: Jika kita kembali kepada prinsip-prinsip Islam yang diseru oleh Nabi Muhamad dan masyarakat awal Islam, ia adalah berdasarkan konsep pluralisme dan kebebasan agama. Apa yang mengagumkan mengenai zaman Al-Quran diturunkan, ia adalah zaman dimana agama dikawal ketat oleh kerajaan. Konsep pluralisme langsung tidak wujud di zaman Kristian Eropah atau di zaman Empayar Sassanid (Parsi) yang beragama Zoroastrian semasa kedatangan Nabi Muhamad. Jadi, Al-Quran menyampaikan mesej berkenaan ahli-ahli Al-Kitab dan memberikan mereka hak dan keistimewaan dibawah pemerintahan Islam. 1500 tahun kemudian, ia mungkin dilihat sebagai sesuatu yang anakronistik. Malah, kita akan melihatkan kembali dan berkata, idea yang memaksa orang bukan Islam untuk membayar cukai yang lebih menunjukkan Islam adalah agama yang tidak bertoleransi. Tetapi jika diletakkan di dalam konteks, ia adalah zaman dimana jika anda merupakan seorang Yahudi di dalam masyarakat Kristen Eropah, anda akan dibakarkan hidup-hidup. Sebaliknya jika anda merupakan seorang Yahudi di dalam Empayar Islam, anda cuma perlu membayar cukai yang lebih. Anda boleh hidup dengan cara hidup anda sendiri. Ini adalah asas kepada Islam sebagai agama, dan sesuatu yang malangnya telah dilupai oleh kebanyakkan orang Islam. Timur tengah: pusat Islam?  Umapagan Ampikaipakan: Terdapat tanggapan dimana Islam wujud bukan untuk fungsi sedemikian; terdapat persepsi yang Islam berkembang di Timur Tengah, dimana ia adalah tapak bagi monumen-monumen Islam yang termasyhur, maka tempat-tempat lain yang berkembangnya Islam dianggap sebagai pengikut kepada islam. Seperti yang anda jelaskan Asia Tenggara merupakan model bagi Islam moden, mungkinkah Muslim-Muslim di Timur Tengah boleh mempelajari sesuatu berkenaan Islam di Asia Tenggara? Reza Aslan: Saya fikir kebanyakkan orang di luar Timur Tengah akan mengatakan: Ya. Sebaliknya, kebanyakkan orang di dalam Timur Tengah akan mengatakan: Tidak. Terdapat sebuah idea yang muncul entah dari mana mengatakan bahawa Timur Tengah, dan khususnya dunia Arab adalah sinonim dengan Islam. Secara jujurnya, orang Arab hanya meliputi 15% daripada populasi 1.5 billion masyarakat Islam sedunia. Diantara 10 negara Islam yang mempunyai rakyat Islam yang terbanyak, hanya 3 buah negara adalah negara Arab. Selebihnya adalah negara bukan Arab. Zaman dimana Timur Tengah merupakan titik pertembungan dan perkembangan Islam telah lama berlalu. Islam kini berkembang secara khususnya di luar Timur Tengah, bukan sahaja di Asia Tenggara, tetapi juga di Barat. Peratusan orang Islam di Amerika Syarikat masih kecil iaitu 1%, di Eropah bilangannya dalam 4-7%. Namun begitu, orang Islam yang menetap di dalam masyarakat ini didedahkan dan diterapkan dengan nilai-nilai individualisme, yang bereksperimen dengan kepelbagaian agama dan ideologi politik; yang paling pentingnya mereka mempunyai kelebihan akses kerana menetap di negara-negara kaya dan maju. Mereka mempunyai akses kepada teknologi komunikasi dan mampu menyebarkan idea-idea mereka di televisyen, radio dan internet. Walaupun di Barat populasi orang Islamnya adalah kecil, mereka sebenarnya adalah lebih berpengaruh berbanding dengan orang Islam di Timur Tengah. Dan ini termasuk juga Asia Selatan dan Asia Tenggara dimana sebahagian besar masyarakat Islam dunia menetap, dan mempunyai pengaruh yang amat besar dalam intepretasi dan perkembangan agama Islam berbanding dengan masyarakat di Timur Tengah. Malangnya, konflik politik, ekonomi dan sosial dalam Islam sering berlaku secara khususnya di Timur Tengah, dan kebiasaannya ia menjadi fokus dan perhatian kepada orang ramai. Mesir merupakan sebuah negara Arab yang paling besar dan penting di dunia, ia hanya mempunyai bilangan orang Islam yang kurang daripada 80 juta orang. Ia merupakan bilangan yang kecil jika kita lihat jumlah bilangan penduduk Islam di Indonesia, Malaysia, India, Pakistan dan Turkey. Kepentingan budaya Ezra Zaid: Dalam perbincangan kita berkenaan Timur Tengah, apakah peranan aslanmedia.com? Seperti yang diketahui ia merupakan platform jurnal maya dan media sosial untuk wacana bagi isu-isu berkaitan. Reza Aslan: Betul. Aslanmedia.com ditubuhkan selepas Pergerakan Hijau (Green Movement) di Iran. Secara umumnya ia adalah untuk memberi peluang kepada orang muda menyertai perbincangan berkenaan agama, politik, budaya, seni, filem, muzik – bahkan kemungkinan besar kami mempunyai ulasan muzik yang terbaik mengenai muzik dari Timur Tengah dan dunia Islam, yang anda tidak dapat jumpai dimana-mana tempat lain. Ia merupakan peluang bagi orang muda untuk memahami bahawa terdapat banyak lagi perkara menarik yang berlaku di Timur Tengah dan dunia Islam, selain daripada isu konflik agama dan politik identiti sahaja. Sekali lagi, dari perspektif dunia luar anda mungkin fikir bahawa perkara itu sahaja yang sering dibincangkan berkenaan Timur Tengah, seolah-olah mereka duduk sepanjang hari menghisap Shisha dan berborak berkenaan politik dan agama. Ia tidak sama sekali begitu; mereka juga berborak berkenaan seni, buku dan muzik. Umapagan Ampikaipakan: Anda sememangnya betul. Ini merupakan kaedah lama untuk menyebarkan ‘soft culture’. Reza Aslan: Sememangnya. Ia masih lagi relevan sehingga kini. Lihatlah pada kebangkitan ‘Arab Spring’, apa yang kurang dilaporkan oleh media adalah peranan dimainkan oleh seni, muzik dan sajak dalam revolusi tersebut. Masyarakat yang keluar ke jalan membantah bukannya melaungkan ayat-ayat Al-Quran, sebaliknya melaungkan ayat-ayat sajak atau syair. Terdapat pemuzik-pemuzik terkenal Rock stars) dan artis-artis Hip Hop yang sebenarnya menyemarakan pergerakan ini, dan mereka masih berbuat demikian, malah merupakan pengkritik budaya utama. Pergerakan sebegini telahpun hilang di Barat. Muzik, terutamanya muzik alternative seperti Hip Hop, Punk Rock atau Heavy Metal kini hanya merupakan sebuah saluran untuk mendapat keuntungan kewangan dan menjual rekod. Pada suatu masa dahulu muzik merupakan sebuah mesej politik dan sosial, tetapi kini muzik di Eropah dan Amerika Syarikat bukan lagi berfungsi sedemikian. Sebaliknya di Timur Tengah, muzik masih merupakan mesej bagi politik dan sosial untuk masyarakat. Seseorang yang hanya menulis sajak boleh disabit hukuman mati, seseorang yang menulis lagu Hip Hop boleh disabit hukuman penjara: Secara tiba-tiba, seni menjadi sesuatu yang amat penting. Ia bukan lagi bertujuan untuk menjual rekod, sebaliknya ia adalah bertujuan untuk mengubah dunia menjadi lebih baik. Islam dan kebebasan Ezra Zaid:Saya ingin bercakap mengenai kebebasan bersuara dan kepentingannya di dalam Islam. Menurut Al-Quran atau tradisi Nabi atau hadis, bila agaknya kebebasan bersuara boleh disekat secara sah dalam Islam? Reza Aslan: Ini adalah sesuatu yang perlu dikefahami oleh masyarakat, hal ini kerana kebebasan bersuara adalah sesuatu yang dicipta manusia sendiri. Malah di Amerika Syarikat, kita mungkin menganggap bahawa kita mempunyai kebebasan mutlak untuk bersuara apa sahaja yang kita inginkan – perkara ini tidak berlaku kerana terdapat undang-undang libel yang perlu diikuti, anda berisiko didakwa di makamah atas dasar menyebarkan fitnah (defamation), terutamanya jika perbuatan anda menyebabkan bahaya atau kerosakan langsung terhadap seseorang, atau difahami sebagai menyebarkan keganasan terhadap seseorang, kita tidak membenarkan perkara tersebut berlaku. Terdapat had dan batas terhadap perkara yang boleh dan tidak boleh disuarakan. Bahkan dalam masyarakat yang amat terbuka, sebagai contoh di United Kingdom, anda mempunyai kebebasan bersuara yang mutlak, melainkan jika anda bersifat perkauman dalam bersuara. Maka semangat perkauman atau ekspresi rasis di United Kingdom adalah menyalahi undang-undang, sebaliknya di Amerika Syarikat anda boleh menjadi seseorang yang amat rasis, mungkin orang ramai akan melihatkannya sebagai jijik dan keji, tetapi anda tidak akan dihukum penjara disebabkan perbuatan tersebut. Semua ini adalah berdasarkan budaya. Adalah penting untuk difahami bahawa lagi bebasnya sesebuah budaya tersebut, lagi berkuasa budayanya. Saya fikir terdapat sebuah idea yang menganggap jika anda menyekat kebebasan bersuara, anda sebenarnya mengawal orang ramai, atau menganggap ia merupakan sebuah simbol negara yang berkuasa. Ironinya, sebaliknya adalah benar. Jika anda [pihak berkuasa] terlalu khuatir perkara yang mungkin diperkatakan oleh orang lain, jika anda fikir ia mungkin akan membahayakan atau merosakan masyarakat atau negara, dan anda rasa perlu bertindak untuk menyekatkan kebebasan bersuara, ini hanya membuktikan bahawa negara [state] yang anda kononya kawal adalah lemah. Negara [state] itu sungguh lemah sehingga ia tidak boleh menyambut suara rakyatnya sendiri. Saya bukanlah seseorang yang akan berdiri di sini dan berkata perlunya kebebasan bersuara di setiap pelusok dunia, supaya anda boleh berkata apa-apa yang anda inginkan tanpa kira dimana jua, ini bukanlah maksud sebenar kebebasan bersuara yang saya fahami. Akan tetapi jangan kita lupa bahawa kebolehan untuk membenarkan rakyat bersuara dan berfikir apa yang mereka inginkan adalah tanda kekuatan sesuatu masyarakat, bukan tanda kelemahannya. Umapagan Ampikaipakan: Bukankah agama pada dasarnya merupakan sesuatu yang mengawal masyarakat – ia tidak membenarkan tafsiran agama secara rawak dan terbuka? Reza Aslan:Agama sememangnya merupakan institusi ciptaan manusia – saya menggunakan terma ini secara literal, kerana kesemua agama adalah institusi ciptaan manusia – sememangnya ia adalah tentang kawalan dan kuasa. Anda benar-benar betul. Tetapi bukan akidah. Akidah bukan berkenaan kawalan ataupun kuasa. Terdapat perbezaan diantara agama dan akidah. Akidah adalah sesuatu yang tidak dapat dijelaskan, ia adalah sesuatu yang teramat peribadi. Agama pula hanya merupakan bahasa yang digunakan mengekspresikan keimanan ketuhanan seseorang. Maka, bahasa keagamaan tersebut merupakan simbol dan metafora ciptaan sejarah (historical construct). Ia wujud dalam masa dan tempat tertentu. Maka, simbol-simbol tersebut boleh berkembang dan mempunyai makna berbeza bagi orang yang berbeza dalam zaman yang berbeza. Tetapi janganlah kelirukan simbol dan metafora tersebut dengan institusi agama. Jika kepercayaan anda adalah berdasarkan pada institusi agama, anda sebenarnya adalah salah. Ezra Zaid: Bagaimanakah kita boleh mendamaikan kebebasan bersuara dengan Islam? Reza Aslan: Kembali kepada perkara yang telah saya katakana: tidak akan wujudnya agama tanpa budaya dan masyarakat. Islam dluahn dan difahami dalam beribu-ribu cara yang berbeza di serata dunia, bergantung kepada budaya tempatan tersebut. Saya asyik mengembalikan perbincangan ini kepada budaya kerana hal ini adalah bukan berkaitan dengan apa yang Islam benarkan atau tidak benarkan; Islam membenarkan apa yang anda fikir ia benarkan. Ia bergantung kepada anda sebagai individu untuk menterjemahkan Al-Quran berdasarkan kehendak dan kemahuan anda. Jika anda merupakan seseorang yang memerlukan seorang Imam untuk menterjemahkan maksud Al-Quran bagi anda, tiada salahnya. Tetapi anda perlu menerima hakikatnya bahawa Imam anda mempunyai perbezaan fikiran dengan Imam saya, dan juga Imam orang lain. Bezanya Islam dengan agama Katolik adalah kita tidak mempunyai sebuah penguasa yang mengawal; kita tidak mempunyai Paus (Pope) yang berhak mengatakan atau menterjemahkan maksud seperti apa yang dibenarkan Islam atau siapa yang merupakan orang Islam. Perkara tersebut tidak pernah berlaku sejak kematian Nabi Muhamad, dan ia sama sekali tidak sepatutnya berlaku. Maka demikian, idea dimana Islam mengatakan X atau Islam mengatakan Y, saya tahu, ia membuat orang Islam berasa bagus, tetapi ia sebenarnya mengarut. Akan bersambung….. – Diterjemahkan oleh Nor Arlene Tan
]]>

Mahasiswa, ‘Malaysia Book of Records’ dan pesan-pesan terhadap cendekiawan

“Nilai yang diwariskan oleh kemanusiaan hanya untuk mereka yang mengerti dan membutuhkan. Humaniora memang indah bila diucapkan para mahaguru—indah pula didengar oleh mahasiswa berbakat dan toh menyebalkan bagi mahasiswa-mahasiswa bebal. Berbahagialah kalian, mahasiswa bebal, karena kalian dibenarkan berbuat segala-galanya,” Rumah Kaca, Pramoedya Ananta Toer.

Musim pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar universiti datang lagi. Saya difahamkan berbeza dengan tahun sebelum ini, tarikh Pilihanraya Kampus (PRK) telahpun diumumkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Seperti diumumkan oleh pihak GAMIS, berikut adalah tarikh yang dikeluarkan oleh KPM: 23 Oktober – UM, UKM, UPNM; 24 Oktober – USM, Unimas, USM, USIM; 29 Oktober – UUM; 30 Oktober – UIAM; 21 November – Unisza; 27 November – UPM, UTM, UMT, UTHM, UiTM, Unimap, UMK, UTEM, UMP dan 29 November – UPSI. Berbeza dengan suasana di dalam kampus, kehangatan PRK belum dapat dirasai walaupun sudah memasuki pertengahan Oktober. Tidak pasti bagaimana mahasiswa secara seluruhnya melihat PRK dan kepentingan PRK ini dalam menentukan hala-tuju gerakan mahasiswa. Apakah PRK masih relevan terhadap diri mereka? Ataupun apakah PRK hanyalah sebuah formaliti untuk mereka sebagai seorang pelajar? Apakah entiti gerakan mahasiswa seperti Pro Aspirasi dan Pro Mahasiswa membentuk ideologi mereka? Apakah mereka memilih calon secara per-se atau memilih ideologi calon? Pemimpin Baru, Aktiviti Lama Untuk menjawab soalan-soalan di atas, penelitian harus diletakkan ke atas fraksi-fraksi calon yang bertanding. Entiti perwakilan yang terhad mewakili pro kerajaan (Pro Aspirasi) melawan fraksi yang dikenali sebagai pro pembangkang (Pro Mahasiswa) membosankan mahasiswa lain secara umum yang melihat pertentangan ini tidak tumpah seperti pertentangan parti politik luar kampus. Untuk sebahagian besar mahasiswa, politik luar kampus bukanlah keutamaan mereka. Keutamaan mereka adalah isu peribadi yang melingkari diri mereka saban hari dalam kampus seperti masalah kafetaria dan masalah parking. Akur untuk mendapatkan undi, fraksi-fraksi ini tidak dapat lari dari isu kebajikan sahaja. Perkara ini lebih jelas dapat dilihat melalui manifesto calon yang bertanding. Masing-masing akan berlakon seolah-olah berjuang memperjuangkan nasib mahasiswa. Jarang sekali calon-calon ini akan mengetengahkan ideologi mereka, visi atau misi terhadap pemikiran mahasiswa, ataupun hala tuju universiti pada masa depan. Pertentangan satu lawan satu aka ‘kerajaan vs pembangkang’ yang bosan ini sangat mendukacitakan kerana di akhirnya, pemimpin baharu akan sibuk dengan program tahunan mereka sementara mahasiswa kekal tagih janji kebajikan. Bahkan ideologi dan pemikiran tidak berkembang, serta bakat kepimpinan pula semakin lama semakin buruk kerana pemimpin baharu hanya akan diangkat menjadi pemimpin jika boleh dan mahu taat kepada perintah pihak atasan. MAHA dan SISWA: Apa Ertinya? Ini adalah soalan yang paling asas sekali untuk dijawab oleh golongan mahasiswa. Apakah mereka faham apakah makna ‘maha’ dan ‘siswa’ itu? Apakah mereka melihat diri mereka sebagai mahasiswa ataupun hanya sebagai pelajar biasa? Apakah ketika mereka mula mendaftar di jabatan atau fakulti masing-masing – mereka sedar bahawa kini mereka bukan sahaja seorang pelajar pusat pengajian tinggi, tetapi juga adalah seroang intelektual muda? Apakah ketika menjawab soalan peperiksaan mereka sedar bahawa jawapan yang dituliskan di atas kertas soalan itu kelak bukan sahaja beri kesan kepada diri mereka tetapi juga kepada masyarakat? Apakah mereka sedar tanggungjawab intelektual yang terbeban di atas pundak dan bahu mereka tatkala mereka berbangga dengan status mahasiswa tersebut? Ilmu dan Pesan-pesan Kepada Cendekiawan Kemudian timbulnya soalan; apakah Ilmu? Syed Muhammad Naquib al-Attas di dalam buku Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam secara panjang lebar ketika memperincikan tentang Ilmu menyatakan; “Ilmu adalah penetapan diri atau kalbu tentang kebenaran sesuatu sewaktu shak dan ragu-ragu timbul mengenainya. Ilmu itu kepercayaan yang teguh dan tiada berubah di dalam kalbu. Ilmu adalah suatu gerak daya ke arah penjelasan, penetapan dan penentuan. Ilmu itu pengikraran terhadap kebenaran. Ilmu adalah suatu sifat yang menghapuskan kejahilan, shak dan dugaan. Ilmu itu tibanya makna ke dalam diri serempak dengan tibanya diri kepada makna, dan ilmu itulah yang menjadi hasrat dan kehendak diri,” Menarik untuk diperbahaskan dengan konsep ilmu adalah syarahan Dr Ali Shariati ketika menganalisis Surah al Rum melalui ‘A Message to The Enlightened Thinkers’. Di dalam Bab 2 Ali Shariati menceritakan bagaimana Nabi Muhammad memberitahu pengikutnya yang pada ketika itu hanyalah sekumpulan kecil orang miskin dan gelandangan; “You will be the victors of history. Neither the superpowers, the great kingdoms nor the Ceasar, but Muslims, will dominate the world. Not only you will rule Arabia, Mecca or Quraysh, but you will also conquer Persia, Byzantium, Yemen and Egypt” Dalam keadaan tertindas, dakwah secara senyap dan sembunyi, suasana begitu lemah di kalangan pengikut dengan perasaan tidak berdaya, Nabi Muhammad menegaskan kepada pengikutnya bahawa mereka bukan sahaja akan menguasai peradaban hebat zaman itu seperti Rom atau Parsi tetapi juga Barat dan Timur. Kemudian Shariati meneruskan dengan bertanya; Siapakah golongan Intelektual dan Cendekiawan pada zaman Nabi tersebut? Mereka adalah golongan peniaga kaya yang memiliki ladang di Ta’if, pengimport barangan dari Iran, Byzantium, Yemen dan Syria, yang terdedah dengan pelbagai agama lain, yang biasa dengan negara luar serta punya hubungan politik antara negara akibat dari perniagaan komersil mereka. Kontra dengan ‘Intelektual’ – timbul soalan; Bagaimana seorang buta huruf yang tidak tahu membaca, yang hanya beberapa kali keluar Mekah, tidak pernah mengaji kitab lama, tidak belajar ilmu peradaban, geografi atau empayar mahupun kepercayaan lain atau politik malah tidak tahu lansung tentang alat perang ataupun kekuatan kuasa dunia besar ketika itu – boleh mengeluarkan ucapan dan kata-kata untuk menakluk dunia? Maka kaum yang dikenali sebagai ‘Intelektual’ dan ‘Cendekiawan’ ketika itu mula berasa ragu, mempersenda dan memperlekehkan kata-kata Nabi Muhammad. Cendekiawan vs ‘Malaysia Book of Records’ Analisis surah al-Rum oleh Dr Ali Shariati ini membuktikan bagaimana kaum terpelajar yang dikenali sebagai ‘Intelektual’ dan ‘Cendekiawan’ pada zamannya tidak dapat menjadikan ilmu di dalam diri mereka itu sebagai sesuatu yang bermanfaat. Rom mahupun Parsi menakluk hampir separuh dari dunia tetapi meninggalkan Mekah dan Madinah kerana beranggapan kawasan ini tidak bernilai. Tetapi Nabi Muhammad membuktikan melalui ilmu yang memberi makna kepada diri sebagaimana dijelaskan Syed Naquib al-Attas, Islam berjaya menundukkan kuasa besar dunia dan menakluk hampir separuh dari dunia. Shariati menjelaskan ‘Intelektual’ dan ‘Cendekiawan’ ini berada di dalam keadaan ketidak-tahuan. Apakah yang mereka tahu? “They know only about superficial considerations including who has better administration, where the most sophistical arms are and where the bulk of the wealth is located. In addition, the intellectuals evaluate and appraise situations, but in a superficial and short sighted manner. They only know mere appearances of the life of the world, and are heedless of the Hereafter,” (30:7) Pesan-pesan Shariati di dalam ‘A Message to The Enlightened Thinkers’ ini perlu dibaca semula oleh golongan ‘Intelektual’ dan ‘Cendekiawan’ di negara kita. Ketika laman web Harvard University memaparkan penyarah mereka memenangi Hadiah Nobel (Kimia), kejayaan Stem Cells Intitute dalam menemui metodologi baharu transplan, ujian baharu untuk mengesan ‘Down Syndrome’; ataupun ketika laman web Oxford University memaparkan kejayaan saintis mereka menemui cara baharu untuk menghantar dadah kepada pesakit kanser yang telah merebak sehingga ke otak ataupun ketika Cambridge Institute of Astronomy menerbitkan jurnal yang memaparkan penemuan bintang GD 61 yang mempunyai kebolehan yang hampir sama dalam sistem perairan bumi; Universiti tempatan masih sibuk dengan acara rekod merekod donut terbanyak, bina peta terbesar, ‘macro-teaching’ selama 182 jam ataupun aktiviti bersenam selama 36 jam dengan ‘Malaysia Book of Records’. Mahasiswa harus segera sedar bahawa mereka adalah ‘siswa’ – iaitu pelajar yang berada di tahap paling tinggi – ‘maha’ dan paling dekat dengan tingkat ‘Intelektual’ dan ‘Cendekiawan’. Mereka ini adalah Intelektual Muda dan Cendekiawan Muda yang harus segera mempersiap diri untuk menggalas tanggungjawab membawa kemaslahatan ke atas masyarakat. Sekiranya mereka sedar dan faham makna tanggungjawab ‘mahasiswa’ ini dan kedudukannya yang sangat rapat dengan ilmu, sesungguhnya mereka akan takut dengan tanggungjawab tersebut yang mana masyarakat sangat memerlukan mereka di saat ketidaktentuan politiko-sosio-ekonomi ketika ini. Maka tanggungjawab pemimpin mahasiswa pula bukanlah terhad sekadar menjalankan ritual tahunan dan program-program fakulti sahaja, tetapi memimpin pemikiran dan fahaman mahasiswa yang lain terhadap ilmu serta keterikatan mereka dengan tanggungjawab yang besar tehadap akademik secara intelektual. Sehingga kini saya fikir kerja memenangkan calon mahasiswa di dalam pilihanraya kampus adalah kerja no.2 sementara kerja no.1 adalah memahamkan mahasiswa apa makna menjadi mahasiswa yang sebenar-benarnya – maka kemenangan terhadap mahasiswa yang sebenar akan hadir selepas itu. Mahasiswa perlu guna kelebihan mereka sebagai intelektual dan cendekiawan muda untuk menjadi kuasa pendesak ‘non-political’ terhadap memperbaiki polisi negara yang selama ini ditentukan oleh ahli politik. Inilah masanya untuk mereka mengambil bahagian di dalam model semak dan imbang terhadap keputusan penting melibatkan isu kepentingan nasional. Dari fakulti pendidikan, undang-undang, ekonomi, syariah hinggalah kepada seni bina – semuanya berfungsi untuk menjadikan negara sebagai sebuah tempat yang lebih baik pada masa depan mengikut kapasiti masing-masing. Bayangkan jika gerakan kesedaran seperti ini muncul di setiap menara gading? Dan saya akui ini bukan kerja mudah, tetapi Murtadha Mutahhari melalui syarahan ‘Masalah Epistemologi’ menerangkan; “Dalam logika Islam, sebab Adam AS dikeluarkan dari syurga adalah kerana ia tidak mengamalkan peringkat keempat dari pengetahuannya. Peringkat pertama adalah epistemologi, kemudian pandangan dunia, kemudian ideologi dan terakhir ideologi mengharuskan ia untuk melaksanakan suatu amal perbuatan. Di sinilah ia tergelincir, sehingga Allah mengusirnya dari syurga,” ]]>

Biar khatib berkhutbah

Lihat dan pertahankanlah apa yang telah dilaksanakan oleh pemerintah negara hari ini demi menjaga kesucian agama, nyawa, akal, maruah, keturunan dan juga harta. Semuanya berasaskan kepada kepentingan rakyat dan negara. Justeru sebagai rakyat yang bijaksana, kita hendaklah bersyukur di atas segala nikmat ini dan menghargai pihak pemerintah dan bandingkanlah keadaan kita dengan umat Islam di negara-negara jiran. Untuk konteks, khutbah ini disampaikan semasa negara mengalami musim pilihanraya. Kebetulan? Khutbah juga digunakan untuk menyerang apa yang ditakrifkan sebagai ‘musuh Islam’, tetapi lebih tepat sebenarnya jika kita katakan bahawa mereka adalah ‘musuh pihak yang memegang tampuk kuasa’. Contohnya pada tahun 2011 masjid-masjid di Kuala Lumpur menyampaikan khutbah yang menyerang penganjur Bersih 2.0 dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas. Liberalisme, pluralisme, sekularisme, Syiah, LBGT  dan penganut agama Kristian juga sering menjadi sasaran mereka yang menyediakan teks khutbah Jumaat. Tidak hairanlah ada makmum yang bercakap, tidur, ber-Facebook atau tweet atau makan cendol di luar masjid. Jangan salahkan makmum yang tidak menghayati khutbah sekiranya khutbahnya sedemikian. Jangan terkejut sekiranya orang bukan Islam yang mendengar khutbah atau membaca teks khutbah mempunyai tanggapan negatif tentang agama kita. Bagaimana mahu menunjukkan keindahan agama Islam sekiranya mesej yang disampaikan sering menyerang agama lain? Bukan niat penulis untuk menetapkan apa yang patut disampaikan. Kepakaran dan ilmu penulis tidak di situ. Tetapi penulis merasakan bahawa terdapat peluang dalam masa setengah jam setiap minggu untuk menyampaikan khutbah yang benar-benar bermanfaat kepada para makmum. Sia-sialah sekiranya peluang itu digunakan sebagai saluran propaganda. Penulis berpendapat bahawa penyelesaiannya adalah dengan memberi kebebasan kepada setiap khatib untuk menyampaikan khutbahnya. Kita perlu bebaskan khutbah kita dari tangan pihak berkuasa agama dan kembalikannya kepada khatib-khatib kita. Biar mereka tentukan apa yang mereka ingin sebarkan kepada makmum, bukan pihak berkuasa agama. Biar khatib-khatib kita menjadi sumber maklumat, bukan setakat penyampai maklumat yang ditentukan oleh pihak atasan. Ya, mungkin ada khatib yang masih menyampaikan puji-pujian dan penghargaan kepada pihak yang berkuasa. Mungkin juga masih ada yang akan menyebarkan mesej negatif tentang agama lain. Tetapi sekurang-kurangnya, ada kemungkinan bahawa khatib akan menyampaikan khutbah yang bermanfaat, seperti khatib bermelodi yang pernah menyampaikan khutbah di sebuah masjid di Petaling Jaya suatu ketika dahulu. Bebaskan khutbah kita, biar khatib yang berkhutbah!

]]>

Isu kalimah Allah: Membalas andaian-andaian dangkal

Hujah keizinan Jika dibaca dalam riwayat-riwayat hadis, didapati penggunaan kalimah Allah di kalangan non-Muslim berlaku dihadapan Nabi Muhammad SAW. Antaranya adalah seperti dalam sejarah Perjanjian Hudaibiyah bahawa wakil dari Quraish bernama Suhail bin Amr yang tidak setuju kalimah “bismillah al-Rahman al-Rahim” tertulis dalam surat perjanjian tetapi ditukar kepada “Bismikallahumma”. [Sila rujuk Sahih Muslim, hadis no : 3337] Perkara itu disetujui oleh Nabi Muhammad SAW, walaupun masih lagi menyebut kalimah Allah pada “Bismikallahumma”. Bahkan, cadangan awal Nabi Muhammad SAW terang-terang menyebut nama Allah dengan disertai dua sifatNya yang Agung, iaitu al-Rahman dan al-Rahim. Al-Quran sendiri ada mengiktiraf nilai halal sembelihan ahli kitab, seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam ayat ke 5 dari surah Al-Maidah yang bermaksud, “Hari ini, dihalalkan kepada kamu perkara-perkara baik dan makanan golongan Ahli Kitab halal bagi kamu”. Dalam menafsirkan ayat ini, Al-Imam Ibn kathir menyatakan, “ini merupakan perkara yang telah diijmakkan (disepakati) di kalangan ulama: bahawa sesungguhnya sembelihan mereka (ahl al-Kitab) adalah halal bagi orang-orang Islam. Ini kerana, mereka beriktiqad pengharaman sembelihan tanpa menggunakan nama Allah. Mereka tidak akan menyebut terhadap sembelihan mereka melainkan dengan menyebut nama Allah.” Dalam Majmuk Syarh Muhazzab, Imam Nawawi menyatakan, “Berkata Abu Sur, apabila mereka (ahl al-Kitab) menyebut nama Allah (pada sembelihan), maka makanlah. Dan jika mereka (ahl al-Kitab) tidak menyebut nama Allah, maka jangan kamu makan” [Sila rujuk Majmuk Syarh Muhazzab, jilid 9, halaman 78] Terdapat juga hujah yang mengatakan bagaimana Allah SWT menceritakan tentang sikap orang musyrikin pada zaman Nabi Muhammad SAW yang bersumpah dengan nama Allah dalam janji mereka mahu beriman dengan Allah. Perkara ini diungkapkan oleh Allah SWT dalam surah Al-‘An’am ayat 109 yang bermaksud, “mereka bersumpah dengan nama Allah dengan segala kesungguhan bahawa sungguh jika datang kepada mereka sesuatu mukjizat pastilah mereka beriman kepadaNya” Dalam menafsirkan ayat ini, Al-Imam Fakhr al-Din al-Razi menyatakan yang bermaksud, orang-orang musyrik telah bersumpah dengan “Allah”. Sekiranya datang kepada mereka tanda (mukjizat), pasti mereka akan beriman dengan Allah, lalu turun ayat ini” [Sila rujuk Al-Tafsir Al-Kabir, jilid 4, halaman 34] Namun, mereka yang menghalang penggunaan kalimah Allah untuk non-Muslim dengan mencipta alasan bahawa di Malaysia, larangan itu perlu berlaku kerana mahu mengelak berlaku proses pemurtadan terhadap umat Islam. Hairannya, dakwaan mahu memurtadkan itu hanya tanggapan mereka yang tidak punyai satu bukti yang kukuh kecuali andaian, menjadikan mereka mahu melarang keizinan ilahi itu. Sedangkan di zaman Nabi Muhammad SAW, amat jelas usaha memurtadkan itu berlaku, disamping wujud ayat al-Quran yang menyatakan perkara ini, iaitu menerusi ayat ke 109 dari surah Al-Baqarah. Malah dalam keadaan begitu, tidak terdapat satu tindakan Nabi Muhammad SAW pun melarang non-Muslim di zaman itu menggunakan kalimah Allah. Firman Allah SWT mengatakan: “Sebahagian besar Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, karena dengki yang (timbul) dari diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran. Maka ma’afkanlah dan biarkanlah mereka, sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” Yang pasti, Nabi Muhammad SAW berhadapan perkara ini dengan tidak melakukan tindakan yang boleh mendatangkan permusuhan antara Muslim dan non-Muslim. Nabi Muhammad SAW tidak mengambil tindakan yang boleh mendatangkan imej buruk kepada Islam, yang boleh menggalakkan anggapan bahawa Islam adalah agama yang penakut dan tidak berfikiran terbuka. Ekoran itu, Nabi Muhammad SAW menghadapi perkara ini melalui dialog dan perbahasan secara matang, sepertimana yang diceritakan oleh Allah SWT menerusi al-Quran dalam banyak ayat, khususnya dari surah Ali-Imran, ayat 59 hingga ayat 61. “Sesungguhnya misal (penciptaan) Isa di sisi AllAh, adalah seperti (penciptaan) Adam. Allah menciptakan Adam dari tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya: “Jadilah” (seorang manusia), maka jadilah dia (Apa yang telah Kami ceritakan itu), itulah yang benar, yang datang dari Tuhanmu, karena itu janganlah kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu. Siapa yang membantahmu tentang kisah Isa sesudah datang ilmu (yang meyakinkan kamu), maka katakanlah (kepadanya): “Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, diri kami dan diri kamu; kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya la’nat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang dusta” Kesan   Di sebalik larangan non-Muslim dari menggunakan kalimah Allah ini, ia memberi kesan yang merisaukan dalam berberapa isu fiqh. Antaranya adalah soal membaca Al-Quran bagi non-Muslim. Kitab-kitab fiqh menyatakan bahawa tidak terlarang bagi non-Muslim membaca al-Quran, seperti  dinyatakan dalam al-Bujairimi ‘ala al-Khatib dengan katanya, “Adapun kafir, tidak dilarang dia dari membaca (al-Quran)” [Sila rujuk Hashiah al-Bujairimi ‘Ala al-Khatib, jld 3, hlmn 259] Tetapi, jika dilarang non-Muslim dari menggunakan kalimah Allah SWT, sudah pasti membaca Al-Quran bagi mereka turut terlarang. Ini kerana, dalam Al-Quran cukup banyak diungkap kalimah Allah. Malah, Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani ada membincangkan hal yang sama tetapi dalam konteks jampi. “Berkata Rabi’, aku telah bertanya Al-Syafie berkenaan dengan jampi. Dia Aal-Syafie) menjawab, tidak mengapa bahawa menjampi dengan membaca Kitab Allah (Al-Quran) dan apa yang diketahui dari zikirullah (menyebut nama Allah). Aku (Rabie) bertanya, apakah boleh Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) menjampi orang Islam? Dia (Al-Syafie) berkata, Ya, apabila mereka menjampi dengan apa yang diketahui dari Kitab Allah (Al-Quran) dan dari Zikrullah (menyebut nama Allah)” [Fath al-Bari Syarh al-Bukhari, jld 16, hlmn 258]. Melalui contoh ini kita boleh lihat dengan jelas bahawa non-Muslim juga boleh menggunakan ayat Al-Quran untuk merawat orang Islam. Disamping itu juga, larangan penggunaan kalimah Allah akan memberi kesan terhadap sudut pandang Al-Quran itu sendiri. Ini kerana, dalam Surah At-Taubah, ayat 30, Allah SWT menyatakan bahawa Nasrani beranggapan bahawa Al-Masih adalah anak Allah. Dalam surah Al-Maidah ayat 73 pula, Allah SWT menyatakan telah kufur mereka yang mengatakan Allah itu ketiga dari yang tiga. Dalam kedua-dua ayat ini, Allah SWT menggunakan kalimah “Allah”, bukan kalimah selainnya dalam menyatakan pegangan Nasrani tentang Allah. Kesimpulan Al-Imam Al-Baidhawi yang pernah menyatakan; “Setiap suruhan dalam syariah itu  semestinya memberi kebaikan kepada makhluk, dan setiap larangan itu sudah pasti terdapat keburukan disebaliknya” [Sila rujuk Al-Tahqiq Al-Ma’mul Li Minhaj Al-Usul ‘Ala al-Minhaj, halaman 92) Al-Qaradawi pula ada menyatakan; “Allah SWT tidak halalkan sesuatu kecuali ia akan ada kebaikan, dan tidak akan haramkan sesuatu kecuali ada keburukan disebaliknya. (Sila rujuk Al-Halal Wa Al-Haram Fi Al-Islam, halaman 21) Sesuatu perkara yang dibenarkan melalui nas, tidak kira namanya halal, harus atau wajib dan sebagainya, sudah pasti punyai kebaikannya tersendiri, walaupun kadangkala ia tidak kita sukai. Allah SWT ada menyatakan dalam al-Quran yang bermaksud, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” (Surah al-Baqarah, ayat 216) Dilema hari ini, keizinan ilahi mahu dilawan. Peliknya, mereka yang melawan keizinan ilahi itu menggunakan lebel agama Islam, malahan sanggup menuduh murtad terhadap mereka yang mahu membenarkan perkara yang dibenarkan oleh Allah SWT itu. Semua ini tidak akan berlaku kecuali berlapikkan hawa nafsu dan sentimen yang dikecam dalam Islam, kerana dengan hawa nafsu dan sentimen ini, ia tidak membawa kepada hidayah, tetapi kepada kerosakan yang tidak disedari. (untuk bibliografi yang lebih lengkap, sila email editor@projekdialog.com)

]]>