Kematian tragis Thinasraj

 KEMATIAN TRAGIS THINASRAJ DI FLAT PPR, KOTA DAMANASARA

Pada Jumaat 21 Jun 2013 kira-kira pukul 4 petang, ThinasrajA /LManickadass menemui maut akibat terjatuh dari tingkat 14BlokD PPR flat Kota Damansara ketika dia sedang bermain bersebelahan dengan pagar beranda yang berkarat dan rapuh. Keluarganya teramat sedih akan tragedi tersebut. Hal ini kerana Thinasraj akan genap berumur enam tahun pada 26Jun 2013, malah keluarganya juga telah membuat persiapan bagi meraikan hari lahirnya minggu ini. Kematian tragis yang sia-sia ini seharusnya dapat dielakkan. Keadaan flat PPR yang teruk dan membahayakan ini telah dimaklumkan berulang-ulang kali kepada pihak berkuasa yang berkaitan supaya melakukan penyelengaraan bangunan yang sepatutnya. Berikut merupakan aduan-aduan yang telah dikemukakan oleh Persatuan Penduduk PPR Kota Damansara:

Tarikh:

Individu/ Organisasi

Bukti Disertakan:

12-06-11

YB Sivarasa

Bukti Gambar semasa lawatan

23-06-11

YB Nasir

Bukti Gambar semasa lawatan

25-06-11

YB Sivarasa, YB Nasir

Dialog MBPJ- PPR

23-10-11

Lawatan Menteri Besar ke Flat PPR

Bukti rakaman video/ ringkasan 10 perkara yang dituntut

29-11-11

Menteri Besar, YB Sivarasa, YB Dr.Nasir, Exco Kerajaan Tempatan & Datuk Bandar PJ

Surat aduan (tiada sokongan dari Ahli Majlis)

16-03-13

ADUN YB. Nasir

Keratan surat khabar

  Kami, penduduk Flat PPR Kota Damansara sangat marah dan kecewa dengan kematian tragis dan sia-sia yang tidak diingini ini. Ibu bapa Thinasraj juga telah membuat laporan polis agar siasatan selanjutnya dijalankan terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab akan kematian budak tersebut. Kami, ahli keluarga Thinasraj dengan sokongan penduduk-penduduk Flat PPR Kota Damansara, NGO dan Ketua Persatuan Penduduk PJ menuntut:
  1. Penyelenggaraan harus dilakukan segera ke atas semua ciri-ciri keselamatan flat PPR termasuk jeriji, pagar keselamatan dan alat pemadam kebakaran agar keselamatan kanak-kanak di flat ini terjamin.
  2. Siasatan selanjutnya harus dilakukan segera terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam hal kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan, isu kecuaian yang mengakibatkan kematian tragis tersebut, dan kes peruntukkan RM1.2 juta daripada Menteri Besar yang telah dibelanjakan.
  3. Permohonan maaf dan pampasan kepada keluarga Thinasraj.

Ditandatangani oleh:

Murally A/L Muniandi (Abang kepada ibu kandung) Dhana Lakshmi A/P Muniandi (Ibu kandung) En Johari Nander, Pengerusi Persatuan Penduduk flat PPR Kota Damansara Organisasi-organisasi Bukan Kerajaan (NGOs), menyokong tuntutan keluarga Thinasraj dan penduduk flat PPR Kota Damansara: ALIRAN Caring Citizens Childline Christian Advocacy Network on Poverty Issues (CANOPI) Community Action Network (CAN) Community Excel Services (CES) Friends In Conversation (FIC) Friends Of Kota Damansara (FOKD) Islamic Renaissance Front (IRF) Malaysian Child Resource Institute (MCRI ) Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) Projek Dialog Protect and Save the Children (PSC) Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) Voice of the Children Yayasan Chow Kit (YCK)     ]]>

Mangsa kemiskinan

5995_10151770935547494_413784251_n

Di pertengahan kediaman-kediaman mewah di Kota Damansara, terdapat sebuah kawasan setinggan dimana penghuni-penghuninya hidup dalam kedaifan dan kemiskinan. Mereka diusirkan dari kediaman mereka dan terpaksa tinggal di dalam 4 blok rumah-rumah pangsa ini. Penghuni-penghuni tersebut diabaikan oleh pihak berkuasa tempatan dan juga oleh pihak Majilis Bandaraya yang sepatutnya menjaga kebajikan mereka. Pada 21 June 2013, seorang budak yang berumur empat tahun bersandar pada sebuah berandah. Besi berandah tersebut karat dan repuh, ini telah mengakibatkan dia terjatuh dari bangunan 14 tingkat lalu menemui maut. Ibunya meraung kesedihan memegang tubuh anaknya yang tidak bernyawa dan enggan membiarkan pihak ambulans mengambil mayat tersebut. Baru dua bulan yang lepas, Selangor Times melaporkan bahawa rumah pangsa PPR Kota Damansara di Seksyen Lapan berada dalam keadaan yang teruk. Berandah besi yang karat dan rosak tersebut telah bertahun-tahun tidak diselenggarakan. Semalam berita sedih yang dijankakan tersebut telah berlaku. “Bilakah pihak kerajaan persekutuan akan memperuntukkan bajet bagi keperluan komuniti yang terpinggir ini. Dalam usaha menlaksanakan pembangunan lestari, adakah kita telah lupa tentang pembangunan yang SAKSAMA.” Kenapa harus terjadinya kematian seperti ini sebelum kita mula tergesa-gesa memberi perhatian?”   1014255_10151770941182494_184959354_n 1006183_10151770935677494_801732874_n 10170_10151770939492494_1651297356_n 1002819_10151770935737494_1360610984_n 1017073_10151770935492494_1614657422_n 7169_10151770935632494_10785480_n 934938_10151770935672494_2019027168_n 995676_10151770935692494_1484066655_n         ]]>

Projek Dialog membantah ISMA

Projek Dialog membantah kenyataan ISMA berhubung isu undang-undang jenayah syariah.  Projek Dialog membantah kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dalam sahutan mereka kepada The Joint Action Group for Gender Equality (JAG). Hal ini berkaitan isu undang-undang jenayah syariah dimana sebatan syariah dikenakan terhadap 39 orang pesalah yang melakukan sumbang muhrim dan zina. Kami mendapati bahawa hujah-hujah yang diketengahkan oleh ISMA agak sempit dan bersifat reaksioner. ISMA menyaran bahawa undang-undang Syariah adalah wajib dijatuhkan terhadap pesalah-pesalah tersebut atas sebab mereka telah melakukan dosa besar dan melanggar syariat islam. ISMA terlalu menekankan prinsip hukuman Syariah yang terlalu literal tanpa memahami konteks dan intipati sebenar Islam yang mementingkan semangat kemanusiaan and kecintaan. Ad-deen yang dipupukkan melalui Al-Quran adalah bertujuan untuk manusia senantiasa bersifat memaaf-maafan, berhati mulia, sentiasa bermuhasabah, dan mempunyai semangat kasih sayang terhadap manusia yang lain. Realitinya, Projek Dialog juga berasa risau akan perkembangan politik Islam di Malaysia, dimana Islam hanya digerak sebagai sebuah lebel identiti yang dihargai melalui sudut pandang yang amat sempit. Walhal Islam bukanlah sebuah agama yang bersifat institusi mahupun politik yang hanya rakus menghukum dan mengaibkan umatnya. Dakwaan ISMA bahawa hukuman Syariah adalah berdasarkan syariat Islam juga tidak betul. Sistem penghakiman dan undang-undang Syariah dilaksanakan oleh manusia dan begitu mudah digunakan bagi menindas golongan yang tiada hak dan suara. Tidak hairanlah wanita yang kebanyakkannya menjadi mangsa undang-undang Syariah. Kami juga risau akan penjelasan ISMA akan cara penghukuman tersebut dan mengatakan bahawa “hukuman perlu dilaksanakan tanpa menunjukkan belas kasihan.”  Dimanakah  nilai-nilai kemanusiaan kita jika Islam hanya dizahirkan sebagai satu fahaman yang gemar menghukum? ISMA juga bersikap biased terhadap golongan yang tidak bersetuju dengan mereka dan melebelkan mereka sebagai pejuang feminisme dan liberalisme tanpa memahami konteks label-label tersebut. Sebaliknya apa yang diperjuangkan JAG juga ditegakkan oleh Islam seperti keadilan sosial, hak kebebasan asasi, dan hak kemanusiaan. Bahkan, ISMA tidak mempunyai asas kukuh dalam menilai konteks keadilan. Mereka terlalu memandang berat isu maruah keturunan dan zuriat tetapi tidak mempunyai nilai perikemanusiaan akan hak dan suara seseorang individu. ISMA terlalu khusyuk dengan pembanterasan dosa-dosa besar di kalangan umat Islam dalam konteks seksual yang sempit seperti peraturan-peraturan dan perlaksanaan undang-undang jenayah Syariah yang mengawal hak kebebasan asasi masyarakat. Seperti kata pepatah “kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak”, ISMA juga tidak mempunyai tahap keintelektualan Islam yang mendalam mengenai isu jenayah dan hukuman. Sebagai contoh, memberi dan menerima rasuah adalah jenayah yang jauh lebih keji tetapi tidak pula diperjuang keras oleh ISMA untuk menetapkan undang-undang yang lebih berat dan saksama. Kami berpendapat ISMA sepatutnya memperjuangkan intipati keadilan Islam yang sebenar. Isu seperti ketidakadilan sosial, rasuah yang berlaluasa, pembinasaan alam sekitar, kemiskinan dan penindasan terhadap golongan kelas bawahan, sistem keadilan syariah yang dikawal oleh golongan ulama-ulama elitis, hak kebebasan bersuara dan beragama yang ditegakkan Islam, dsb, wajiblah diberi perhatian sepenuhnya oleh ISMA jika ia serius akan moto organisasinya iaitu “Membangun Umat Beragenda”. Lebih dikesali kami adalah dakwaan membuta-tuli ISMA terhadap ‘pandangan liberal’ dengan memberi contoh kursus “Sumbang Mahram Adik Beradik (Sibling Incest)” oleh University of Missouri dan ponorgrafi bertemakan sumbang mahram dari Barat. Kami berpendapat ISMA cenderung membuat andaian yang rawak dan tidak betul. Kursus yang disebutkan oleh ISMA sebenarnya merupakan sebuah subjek yang mengkaji perspektif sejarah bagi topik tersebut, ia tidak langsung berkaitan dengan agenda liberal yang dimaksudkan ISMA. Walhal isu pornografi adalah sebuah fenomenon global yang dipandang serius akan implikasi sosialnya, baik oleh Projek Dialog mahupun NGO-NGO hak asasi lain. Projek Dialog berpendirian teguh akan prinsip kami menentang undang-undang yang tidak berperikemanusiaan. Kami percaya Islam yang sebenar merupakan ad-deen yang menyeru kepada keadilan, kemanusiaan dan persaudaraan, bukannya lebelan politik yang bersifat menghukum, menindas dan mengaibkan.

]]>

Pertukaran agama kanak-kanak: Siapakah yang akan bertanggungjawab?

MCCBCHST bertanya kepada kerajaan Malaysia: Siapakah yang akan bertanggungjawab untuk memperbetulkan yang salah?  MCCBCHST (Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao) ingin membawa perhatian semua rakyat Malaysia yang mencintai keadilan – tidak kiralah apapun agama mereka – ke kejadian di bawah ini yang telah terlalu kerap berlaku … dan satu kes yang sama sekali lagi muncul dalam akhbar. Seorang suami meninggalkan keluarganya; tiada berita mengenai suami tersebut selama 16 bulan. Kemudian dia menganut agama Islam dan merampas anak-anaknya yang masih dibawah umur dan membawa mereka ke pihak Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan untuk meng-Islamkan mereka. Dia  memburuk-burukkan isteri bukan Islamnya tanpa sebarang bukti, malah juga tanpa sebarang dokumen yang membolehkan dia mengambil tindakan sebegitu tanpa kebenaran pihak isterinya. Namun begitu, pegawai di Jabatan Agama Islam tetap meneruskan langkah peng-Islaman kanak-kanak yang masih dibawah umur tersebut, tanpa persetujuan ibu mereka yang sah. Apabila ibu mereka pergi ke tadika untuk mengambil anak lelakinya yang bernama Nitran, dia mendapati bahawa dia telah dibawa pergi oleh seorang lelaki yang masih suaminya. Si Ibu pula kemudiannya pergi ke Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan di Paroi, dimana dia amat terkejut apabila dia diberitahu oleh seorang pegawai kanan di sana bahawa Nitran yang berumur lima tahun dan Sharmila yang berumur lapan tahun telah di-Islamkan tanpa persetujuan ibunya yang sah, semata-mata di atas permintaan bapanya yang telah baru-baru ini memeluk lslam (yang masih ada dalam perkahwinan sivil dengan si ibu yang bukan Islam). Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) berasa terkejut. Keputusan Kabinet sebelum ini pernah menyatakan bahawa “Ibu atau bapa berseorangan tidak boleh menukarkan agama kanak-kanak mereka” (di suratkhabar The Sun, 24 April 2009). Nitran dan Sharmila, berusia lima dan lapan, kini telah di-Islamkan – tetapi mereka masih berada dalam jagaan ibu bukan Islam mereka. Justeru itu, MCCBCHST meminta penjelasan daripada pihak berkuasa di Malaysia berkenaan perkara-perkara berikut:- 1.  Adakah keputusan Kebinet pada April 2009 hanya merupakan reaksi melepaskan batuk di tangga untuk menenangkan rakyat Malaysia yang bukan Islam berikutan munculnya banyak kes ketidakadilan yang dahsyat? 2. Adakah keputusan Kabinet mempunyai kuasa ataupun pihak kakitangan kerajaan boleh bertindak mengikut sesuka hati mereka – dan adakah kakitangan-kakitangan kerajaan lain dibenarkan berbuat sedemikian walaupun dengan arahan daripada Perdana Menteri dan kabinet? 3. Bukankah ia mandatori ataupun sekurang-kurangnya lebih pragmatik dan adil bagi pegawai yang menukarkan agama kanak-kanak yang masih dibawah umur kepada Islam untuk mengesahkan hak penjagaan dan isu-isu berkaitan dengan bapa mereka yang baru sahaja bertukar agama? 4. Bolehkah dan mampukah penukaran agama bagi kanak-kanak direverse semula atas premis ketidaktelusan? 5. Jika kes ini pergi ke makamah, adakah Makamah Sivil akan melepaskan tanggungjawab mereka atas kesalahtafsiran artikel 21A? 6. Walaupun Mahkamah Sivil mempunyai kuasa untuk menjamin hak-hak pasangan bukan Islam dan kanak-kanak dalam jagaan pihak isterinya dalam perkahwinan sivil, adakah pihak polis akan memastikan penguatkuasaan keputusan tersebut, dan adakah pihak berkuasa Islam akan mematuhi undang-undang tersebut? 7. Dalam proses membuat keputusan dalam hal ini, adakah kerajaan meletakkan kepentingan yang terbaik bagi kanak-kanak tersebut? 8. Akankah keadilan ibu bukan Islam itu terbela? Mahkamah Persekutuan mempunyai peluang baru-baru ini untuk menyelesaikan kes Shamala;  walaubagaimanapun mereka memilih untuk tidak menangani isu ini kerana Shamala telah meninggalkan negara ini.

]]>

Integrasi Harus Jadi Agenda Rakyat

Peserta DialogUthaya Sankar SB, Shahrulnizam Abd Hamid, Rayner Yeo, R. Balamurali dan Kughan Nadarajah yang terlibat dalam sesi dialog berkaitan topik perpaduan, bahasa, sastera, agama, budaya dan sebagainya bersetuju bahawa adalah lebih baik jika Kavyan meneruskan usaha-usaha integrasi secara kecil-kecilan melalui aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya seperti dilakukan sejak 1999 tanpa perlu menunggu pihak-pihak lain melaksanakannya pada skala besar-besaran. Kavyan berpegang teguh pada pendirian bahawa Bahasa Malaysia adalah wahana utama ke arah pembinaan Bangsa Malaysia. Kavyan menyokong usaha “pupuk perpaduan, tolak perkauman, raikan kepelbagaian”. Maklumat lanjut mengenai aktiviti Kavyan sejak 1999 serta pelbagai aktiviti yang dirancang dari semasa ke semasa boleh dirujuk di www.kavyan.blogspot.com. Uthaya Sankar SB

]]>

Hukuman Sebatan: Siapa yang terhukum dan dihukum?

enkrateia yang boleh dibahas secara psikologi, gender bahkan feminisme – yang hanya akan memfokuskan “penderitaan yang memerlukan pembelaan” dan “perilaku narsistik yang perlu dikecam” – cara pikir binari ini yang hanya membuat kita kembali kepada tulang rusuk dan meletakkan kesalahan pada biologi seseorang. Sedangkan al-Quran telah lama mengesahkan kesetaraan; perempuan dan lelaki sama-sama menerima perjanjian asal-primordial (al–A’raf, 7:127), dicipta sebagai hamba (al–Hujurat, 49:13), khalifah (al–An’am, 6:15), dimuliakan (al–Isra’ 17:70), diberi keampunan (al–A’raf, 7:20, 22, 23) dan keturunan (al–Baqarah, 2:187) serta berpotensi meraih prestasi (al–Imran, 3:195; an–Nisa, 4:124; Ghafir, 40:40). Sudah jelas bahawa tiada kelebihan yang membolehkan satu jantina mengatasi jantina yang lain sehingga dibentuk hukuman yang bertujuan merendahkan salah seorang daripada mereka. Sosioekonomi dan seksualiti Justeru, perkara pokok di sini adalah bagaimana boleh terjadinya sumbang mahram dan persetubuhan luar nikah bukan sahaja di Johor Bahru tetapi juga di tempat-tempat lain yang belum masuk berita. Jika diperhatikan, sumbang mahram berlaku dalam kalangan saudara yang tidak boleh berkahwin – sehingga tidak boleh menimbulkan syak pada sesiapa. Begitu juga dengan persetubuhan luar nikah antara pasangan kekasih yang boleh berkahwin – tetapi berlaku di tempat-tempat yang dikira selamat agar tidak menimbulkan syak. Kedua-dua kejadian ini dibenarkan berlaku dalam keadaan sosioekonomi yang tidak stabil dan seksualiti yang dikekang. Nah, apa pula kaitannya lelaki perempuan bermadu asmara dengan kadar inflasi yang kian meningkat? Suka untuk dinyatakan di sini, kejadian seperti ini tidak hanya terjadi pada mat rempit, kaki botol, kaki judi tetapi juga pak lebai dan ketua kampung yang menurut ramai, satu golongan itu kurang didikan dan satu lagi kuat pegangan agamanya. Adalah berasas untuk mengatakan bahawa ekonomi antara punca utama masyarakat berkelakuan devians – setidaknya mereka tidak perlu ke sarang pelacuran berbayar dan berdepan risiko ditangkap mata-mata atau menghidap penyakit berbahaya. Malah, duit yang ada boleh dibelanjakan untuk keperluan seharian kerana keperluan biologi sudah terpenuh dengan mereka yang berada depan mata (adik beradik, ibu ayah, sanak saudara, datuk nenek, cucu piut). Begitu juga halnya dengan persetubuhan di luar nikah yang banyak berlaku kerana hubungan yang diinstitusikan dalam bentuk perkahwinan menelan belanja banyak. Seksualiti yang diredam di sebuah negara yang didakwa sebagai negara Islam yang datang bersamanya masalah ekonomi yang tidak kunjung selesai menyebabkan masyarakat mengambil jalan mudah untuk mendapatkan kepuasan. Kepincangan sosial dalam konteks ini bolehlah dikatakan berkadar terus dengan kos hidup. Fungsi Negara Justeru, dalam isu sumbang mahram dan persetubuhan luar nikah ini penyelesaiannya bukan terletak dengan memisahkan atau menyatukan pasangan yang terlibat. Sebagaimana masalah buang anak tidak terselesai dengan menghukum ayah dan ibunya. Terdapat fungsi negara dalam hal ini untuk menyediakan jaringan keselamatan sosial buat warganya. Fungsi negara bukanlah mengintai-intai keseronokan orang lain tetapi memadam kesengsaraan warganya. Negara seharusnya mampu untuk patuh dalam sosial kontrak yang sudah ada. Kerajaan sebagai timbal balik kepatuhan yang diberi, mesti memenuhi kebajikan dan keselamatan warganya. Perhatian yang berat sebelah ini telah meminggirkan keselamatan negara sedang membangun (NSM) di rantau Asia terutamanya dalam konteks Malaysia. Neorealisme didapati gagal menjelaskan aspek keselamatan yang dihadapi NSM seperti kemiskinan, ketidaksetaraan dan pergolakan kaum. Jadi, keselamatan akhirnya untuk siapa – negara atau rakyat? Inilah yang dimaksudkan dengan jaringan keselamatan sosial yang menyentuh lebih banyak khalayak daripada menyalahkan masyarakat atas keruntuhan ‘moral’. Sebagai warga yang terdiri daripada cerdik pandai, tidaklah sukar untuk melihat bagaimana aktor bukan negara disalahkan sementara aktor negara memanfaatkan keadaan ini untuk menunjukkan siapa lebih Islam dan melepaskan diri daripada tanggungjawab akan keselamatan komprehensif – mengandungi keselamatan insan (rujuk 7 kategori yang digariskan PBB) yang salah satunya ialah struktur ekonomi dan hak asasi manusia. Ketidakstabilan sosial seperti sumbang mahram dan persetubuhan luar nikah ini petunjuk gagalnya jaringan keselamatan sosial untuk mengurangkan kemisikinan dan mencapai kesejahteraan. Dan ia bukan bahan gosip petang hari antara jiran melainkan petanda kelemahan dalam pelaksanaan dasar sosial dan dasar ekonomi negara.

]]>

Sang Sapurba, Demang Lebar Daun dan Perlembagaan

“Maka sembah Demang Lebar Daun. ‘Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Syarak.’ Maka titah Sang Sapurba, ‘Akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba.’ Maka sembah Demang Lebar Daun, ‘Janji yang mana itu, Tuanku?’ Maka titah Sang Sapurba, ‘Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.’ Maka sembah Demang Lebar Daun, ‘Baiklah Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah’ Maka titah Sang Sapurba, ‘Baiklah, kabullah hamba akan waadat itu.’” Ini adalah waadat Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun yang menjadi asas taat setia orang Melayu kepada raja mereka. Menurut perjanjian, keturunan Demang Lebar Daun (orang Melayu) harus taat dan setia kepada raja mereka, walau dizalimi sekalipun. Pada masa yang sama, keturunan Sang Sapurba (raja Melayu) juga berjanji bahawa tidak akan mengaibkan atau menista rakyatnya walau dosa mereka sebesar mana sekalipun, dan jika dihukum mati ia harus mengikut hukum Syarak. Daripada dialog ini, yang terkandung di dalam karya Melayu klasik ‘Sulalatus Salatin’ atau lebih dikenali sebagai ‘Sejarah Melayu’, kita dapat memahami konsep ‘derhaka’ dalam konteks budaya dan pemikiran orang Melayu. Jika rakyat keturunan Demang Lebar Daun itu melanggar waadat ini, maka derhakalah dia. Akta derhaka? Mutakhir ini, derhaka menjadi topik perbincangan.  Bekas hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Noor Abdullah mencadangkan supaya suatu ‘Akta Derhaka’ digubal. Menurut laporan Bernama: “Patut ada undang-undang khas digubal tentang apa-apa perbuatan yang terjumlah dan terangkum dalam kesalahan derhaka. Undang-undang ini sesuai kerana rakyat di beberapa lapisan tidak memahami sebenarnya kuasa Raja. “Sudah tiba masanya bagi kerajaan menggubal undang-undang mengenai penderhakaan, bukan di bawah hasutan,” katanya kepada pemberita di luar Seminar Institusi Raja anjuran Universiti Malaysia Perlis di sini. Mengulas lanjut, beliau berkata undang-undang khas itu perlu menggariskan definisi derhaka dari sudut perbuatan, ucapan, sindiran, grafik dan lain-lain, serta mengenakan hukuman keras sekurang-kurangnya dua tahun penjara. “Ini supaya rakyat tahu tiada maaf bagi mereka yang melakukan kesalahan derhaka,” katanya. Cadangan ini diutarakan kerana beliau berpendapat bahawa kesalahan hasutan itu berbeza dengan penderhakaan. Dari sudut ini, penulis bersetuju dengannya; kesalahan hasutan yang terkandung dalam Akta Hasutan memerlukan elemen kecenderungan pihak ketiga terhasut oleh kata-kata atau perbuatan tertuduh. Derhaka pula bersifat peribadi, iaitu di antara individu dengan raja atau institusi diraja itu sendiri. Bukan ‘Treason’ Media telah menterjemahkan cadangan Akta Derhaka ini sebagai ‘Treason Act’. Tetapi pada penulis, ‘treason’ berbeza dengan derhaka. Treason adalah belot atau khianat, seperti percubaan menggulingkan pemerintah. Melawan raja adalah ‘treason’. Tetapi derhaka tidak mermerlukan perbuatan yang begitu drastik, tidak taat kepada raja itu boleh dianggap derhaka. Di Malaysia, kita tidak mempunyai undang-undang lese majeste atau undang-undang yang menghukum perbuatan menjatuhkan maruah atau martabat raja. Bandingkan ini dengan Thailand, misalnya, di mana hukuman dikenakan ke atas mereka yang dikatakan telah menghina raja mereka. Akta Hasutan bukanlah undang-undang lese majeste, walaupun kadangkala ianya digunapakai seperti ianya undang-undang lese majeste. Cadangan bekas hakim tersebut akan membawa lese majeste ke dalam badan undang-undang tanahair. Persoalannya, adakah Akta Derhaka ini diperlukan? Kita balik semula kepada waadat Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun. Pentingnya waadat ini untuk memastikan kesinambungan di antara raja dan rakyat zaman berzaman. Untuk mengikat nasib sang raja dengan rakyatnya, melalui perjanjian yang tidak boleh dilanggar oleh mana-mana pihak. Sekiranya waadat ini dimungkiri, maka pihak lagi satu tidak mempunyai tanggungjawab untuk terus mentaati waadat tersebut. Sekiranya rakyat derhaka, ia akan mengancam kesinambungan masyarakat Melayu dan sistem pemerintahan diraja mutlak pada ketika itu. Waadat baru Kita ada waadat baru sebenarnya. Perjanjian di antara raja, kerajaan dan warganegara. Waadat ini adalah Perlembagaan Persekutuan. Perjanjian yang  jauh lebih utuh daripada waadat Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun. Kuasa raja-raja, kedudukan raja-raja dan keistimewaan raja-raja kesemuanya dijamin dan termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Begitu banyak dan lengkap perlindungan yang ada di dalam Perlembagaan, termaktub dan hampir mustahil untuk diubah. Apa-apa perkara yang menyentuh perihal raja-raja bukan setakat memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen untuk dipinda, ia juga perlu perkenan daripada raja-raja Melayu sendiri. Waadat Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun sudah berubah. Raja mutlak kini menjadi raja berperlembagaan. Di bawah waadat baru ini, kebebasan asasi rakyat didukung, kedudukan institusi diraja dimartabatkan serta dilindungi dan badan-badan kerajaan yang lain diberi kuasa dengan sempadan-sempadan yang nyata. Semuanya di bawah undang-undang terulung negara, Perlembagaan Persekutuan. Maka melalui waadat Perlembagaan ini, rakyat dijamin kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat. Kebebasan ini sememangnya boleh disekat, tetapi sekatan hanya boleh digubal oleh Parlimen atas sebab-sebab tertentu yang dinyatakan oleh Perlembagaan sendiri. Juga, sekatan yang dikenakan haruslah sekatan yang munasabah. Malahan, Perlembagaan memberikuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang untuk melarang dipersoalkan perkara berkenaan kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa raja-raja di negeri masing-masing. Kukuhnya kedudukan raja-raja Melayu di bawah Perlembagaan, ianya tidak mungkin terancam dengan kata-kata, walaupun boleh ditafsirkan sebagai menghina. Undang-undang lese majeste seperti Akta Derhaka untuk menghukum mereka yang menjatuhkan maruah atau martabat, menghina atau tidak menghormati institusi diraja tidak diperlukan kerana kedudukan dan kedaulatan institusi diraja sememangnya sudah terjamin. Undang-undang bukan jalan penyelesaian kepada semua cabaran yang kita hadapi. Sekiranya dihujahkan bahawa kita berhadapan dengan ‘penyakit’ rakyat yang tidak lagi menghormati institusi diraja, penjenayahan ‘derhaka’ bukanlah ubat yang mujarab. ‘Rawatan’ yang terbaik adalah pendidikan dan pemahaman, bukan dengan hukuman. Penulis yakin bahawa dengan pendidikan dan pemahaman, rakyat akan menghormati institusi diraja kerana mereka akan faham peri pentingnya institusi diraja di dalam kerangka tanahair kita.

]]>

Ayuh, cintai bahasa!

Oleh: Uthaya Sankar SB (Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya) Sesungguhnya Facebook sudah menjadi laman rangkaian sosial yang sangat penting dalam kehidupan seharian. Sejak mula menggunakannya semasa bertugas sebagai editor kandungan berita di Bernama Radio24 pada Ogos 2008, saya menjadikan Facebook sebagai alat komunikasi utama; selain telefon bimbit dan e-mel. PD 1BahasaWalau bagaimanapun, sehingga kini, jumlah “rakan” saya di Facebook tidak ramai. Antara sebab utama adalah kerana saya tidak mahu membaca komen-komen dan paparan status yang “membunuh bahasa” – mana-mana bahasa. Maka, apabila ada orang mahu menambah saya sebagai rakan, awal-awal lagi saya akan mengingatkan mereka supaya tidak “membunuh bahasa” di dinding (wall) saya. Rakan-rakan yang mahu menulis komen bagi mana-mana catatan status, pautan atau foto di laman Facebook saya pula akan dinasihatkan supaya menyemak dengan teliti apa yang ditulis sebelum dipaparkan. Rata-rata rakan-rakan saya sedia maklum akan syarat ketat yang saya tetapkan dalam soal penggunaan bahasa. Tidak kurang juga “pembunuh bahasa” yang merajuk dan segera membuang saya dari senarai sahabat. Saya mengalu-alukan tindakan mereka dengan penuh syukur dan rasa gembira. Saya tidak akan melayan sesiapa yang tidak tahu (atau tidak mahu) menggunakan Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil atau Bahasa Mandarin yang betul apabila berkomunikasi dengan saya menerusi Facebook. Selaras dengan usaha memartabatkan penggunaan bahasa yang betul, komen serta individu yang “membunuh” bahasa (mana-mana bahasa) akan dibuang serta-merta tanpa notis dan tanpa simpati. Demikian pendirian tegas saya. “Buatlah apa sahaja pada ruangan status dan dinding anda tetapi dinding Facebook saya bukan tempat untuk anda sewenang-wenangnya menganjurkan pesta membunuh mana-mana bahasa.” Demikian makluman awal yang saya nyatakan kepada rakan-rakan. Dari semasa ke semasa, saya meluangkan masa membuang (unfriend) sesiapa sahaja (ulang: sesiapa sahaja) yang tidak tahu membezakan antara “kah” dan “ke”, “what” dan “wat” serta “its” dan “it’s” apabila menulis komen di dinding saya. Malah, ramai juga individu yang mempromosikan diri di khalayak sebagai “pencinta bahasa” dan “pejuang bahasa” tetapi realiti berkenaan tahap kecintaan, keprihatinan dan usaha mereka memartabatkan bahasa – khususnya Bahasa Malaysia – dapat dilihat menerusi paparan pada akaun Facebook mereka. Memartabatkan bahasa di laman rangkaian sosial

PD 1LanguageTentulah saya sedar bahawa masing-masing berhak menulis apa-apa sahaja – dan dengan apa-apa gaya – pada dinding Facebook masing-masing. Saya menghormati hak itu dan tidak akan masuk campur dalam urusan “rumahtangga” orang.

Walau bagaimanapun, apa-apa yang ditulis pada ruangan status rakan-rakan pasti akan muncul pada paparan jalur masa (“timeline”) saya sendiri. Maka, bagi mengelakkan daripada terpaksa melihat segala macam “pembunuhan bahasa”, saya memanfaatkan fungsi “unfollow” yang tersedia tetapi kurang diketahui orang. Dengan cara itu, individu berkenaan masih kekal sebagai “sahabat” saya di Facebook tetapi segala paparan pada ruangan statusnya tidak lagi muncul secara automatik apabila saya mahu melihat senarai perkembangan rakan-rakan pada jalur masa. Berikutan tindakan saya meletakkan syarat-syarat ketat berhubung penggunaan bahasa yang betul, ramai juga yang pada mulanya bersemangat mahu menjadi sahabat saya di Facebook tetapi kemudian memutuskan untuk “membatalkan” persahabatan itu. Sebenarnya tidak menjadi masalah kepada saya kerana saya tidak mahu menyesakkan minda dan Facebook dengan terlalu ramai kawan. Sekitar 500 orang sudah lebih daripada mencukupi. Bagi saya, kualiti sahabat adalah jauh lebih penting daripada kuantiti sahabat. Ada juga orang yang mengatakan bahawa saya sepatutnya tidak menyingkirkan (“unfriend”) rakan-rakan yang tidak tahu – atau tidak mahu – menggunakan bahasa yang betul semasa menulis komen pada dinding saya. Kononnya saya perlu membimbing mereka. Kononnya mereka perlu dikekalkan dalam senarai “sahabat” supaya mereka boleh terus belajar tentang penggunaan bahasa yang betul. Sebenarnya, jika benarlah mereka mahu belajar penggunaan bahasa yang betul menerusi paparan pada Facebook saya, mereka tidak semestinya menjadi “sahabat” saya. Mereka masih ada pilihan untuk memanfaatkan fungsi “follow” bagi tujuan itu. Atau mereka boleh melayari blog saya untuk belajar penggunaan bahasa yang betul seperti yang kononnya dihajati. Hasil penelitian saya sejak mula-mula menggunakan Facebook pada 2008, ada orang yang tidak menggunakan bahasa (mana-mana bahasa) dengan betul di Facebook dan sering memberikan alasan “this is social network, not school exam”. Sebenarnya, jika diteliti dan dipantau – misalnya selama tiga bulan, seperti yang biasanya saya lakukan – maka akan terbukti bahawa individu berkenaan sesungguhnya tidak tahu menggunakan bahasa (mana-mana bahasa) dengan betul. Mereka sengaja mengemukakan alasan “this is social network, not school exam” bagi menutup kelemahan diri. Bodoh sombong. Ramai juga pengguna Facebook yang bertegas mahu menggunakan Bahasa Inggeris di Facebook. Saya bukannya anti bahasa berkenaan; malah saya secara automatik berfikir dalam Bahasa Inggeris. Bagaimanapun, saya sakit hati melihat Bahasa Inggeris – atau mana-mana bahasa – dibunuh sewenang-wenangnya oleh individu yang “bodoh sombong”. Membetulkan apa yang biasa, membiasakan apa yang betul PD 1MaklumanSedarkah anda? Ramai pengguna Facebook di Malaysia tidak tahu membezakan antara “never” (tidak pernah sama sekali) dan “did not” (tidak). Komen yang sepatutnya ditulis “You did not invite me” sering ditulis sebagai “You never invite me”. Sering juga orang memaparkan status “I never eat rice” sedangkan apa yang dimaksudkan adalah “I did not eat rice”. Saya berusaha menggunakan Facebook untuk berkongsi maklumat berhubung penggunaan bahasa yang betul. Apabila ada masa dan ruang, saya memaparkan trivia yang boleh dijadikan panduan oleh sesiapa. Sering kali, trivia berkenaan adalah berdasarkan pengalaman serta apa yang saya sendiri belajar dan mahu amalkan. Istilah “cop” yang sering digunakan orang Malaysia sepatutnya disebut/dieja “cap”. Setahu saya, sebutan “cop” digunakan penutur bahasa Melanau (Sarawak). Dalam istilah Bahasa Malaysia, “chicken/mutton/pork chop” (makanan) disebut “cop ayam/kambing/babi”. Dalam permainan pingpong, istilah “heavy/double/soft chop” biasa digunakan. “Time stamp” sering ditulis sebagai “cop masa” sedangkan istilah sebenar adalah “cap masa”. Orang Brunei menggunakan “cop waktu” manakala orang Indonesia menggunakan “bubuh waktu”. Orang Kedah menggunakan istilah “cop” apabila merujuk kepada sejenis alat yang digunakan untuk mengupas kelapa atau menggali tanah. Istilah “cop” juga bermakna “menghembus” atau “meniup” dalam loghat Kedah. Apabila saya memaparkan trivia itu pada ruangan status Facebook baru-baru ini, Zaid Akhtar bertanya mengenai “cop sawit”. Setahu saya, istilah berkenaan merujuk kepada alat yang digunakan di ladang kelapa sawit. Mungki boleh dirujuk pada Kamus Dewan. Rakan dari Kota Kinabalu, Rafi Harumin bertanya apakah pengesahan (endorsement) pada pasport juga sepatutnya disebut “cap”. Sebenarnya, ya. Malangnya orang Malaysia sudah terbiasa menggunakan istilah yang salah (“cop”) sehingga apabila disuakan dengan istilah/ejaan yang betul (“cap”), sukar pula untuk menerimanya. Apatah lagi apabila pembetulan dilakukan oleh “orang Bukan Melayu”. Dalam pada itu, agak menarik juga untuk diperhatikan bahawa dalam konteks Bahasa Inggeris (versi United Kingdom; bukan versi Amerika Syarikat), frasa “get the chop” bermakna “dibuang kerja”. Izni Rahim pula meminta kepastian mengenai kata “cop” yang biasa digunakan apabila, contohnya, mahu menyatakan bahawa tempat duduk itu kita yang punya. Sebenarnya, “cop tempat” sepatutnya disebut “cap tempat” dengan erti kata kita sudah “tandakan” (mark/reserve/book) tempat itu untuk kita. Akan tetapi, sudah menjadi kelaziman sejak zaman kanak-kanak menggunakan frasa “cop tempat” (bahasa pasar). Kesantunan berbahasa usah dilupakan Memang seronok apabila berkongsi maklumat mengenai soal penggunaan bahasa yang betul! Saya suka melakukannya menerusi Facebook pada waktu santai supaya cepat sampai kepada rakan-rakan yang berminat untuk belajar. Apabila bercakap mengenai penggunaan bahasa yang betul, aspek kesantunan berbahasa juga perlu diberikan perhatian. Sesekali saya cuba membimbing, mendidik dan menegur rakan-rakan di Facebook dengan “mengajar” mereka gaya santun dalam percakapan dan penulisan. Jika berkomunikasi dengan orang yang lebih dewasa, misalnya, jangan menggunakan kata ganti nama diri kedua “awak”, “engkau”, “kau” atau “kamu”. Perkara ini sebenarnya sudah diajar sejak sekolah rendah tetapi memandangkan sistem pendidikan Malaysia hanya mementingkan markah, aspek kesantunan berbahasa sering dilupa. Harap maklum bahawa “engkau” dan “kau” tidak sesuai digunakan apabila berkomunikasi dengan “orang yang lebih dewasa” tetapi boleh digunakan apabila berkomunikasi dengan Tuhan (sebagai “Engkau” dan “Kau”). Apabila saya memaparkan teguran berkaitan kesantunan bahasa itu di Facebook, Shela Rasin bertanya sama ada kata ganti nama diri kedua “anda” boleh digunakan. Saya berusaha menjelaskan bahawa kata ganti nama diri kedua “anda” boleh digunakan kerana ia tidak membezakan umur, taraf dan kedudukan. Penggunaannya bersifat “neutral” apabila digunakan dalam komunikasi formal, tidak bersemuka atau apabila ditujukan kepada khalayak umum. Bagaimanapun, penggunaan “anda” elok dielakkan dalam komunikasi bersemuka; bergantung kepada kedudukan, taraf dan hubungan anda dengan orang itu. Contoh lazim kata ganti nama diri kedua yang digunakan dalam komunikasi bersemuka: tuan, puan, cik, pak cik, saudara, cikgu, encik, abang, kakak dan mak cik. Ayat “Cikgu/Puan/Kakak, awak sudah makan?” yang sering digunakan boleh sahaja dibetulkan kepada “Cikgu/Puan/Kakak sudah makan?” dan “Encik/Tuan/Pak cik, kamu perlu mengisi borang ini” kepada “Encik/Tuan/Pak cik perlu mengisi borang ini” supaya memelihara kesantunan berbahasa tanpa sedikitpun mengubah makna. Saya tahu bahawa tindakan saya (minoriti) menegur dan mengajar penggunaan bahasa yang betul menerusi Facebook kurang disenangi orang (majoriti). Akan tetapi, saya tidak memerlukan sesiapa “menyenangi” apa yang saya lakukan kerana tindakan saya adalah demi memartabatkan penggunaan bahasa (mana-mana bahasa) yang betul; bukan untuk “disenangi” oleh sesiapa. Terima kasih kepada anda kerana sudi membaca makalah ini sepenuhnya. Semoga ada sesuatu yang dipelajari dan mampu dimanfaatkan supaya kita dapat sama-sama memartabatkan penggunaan bahasa yang betul dan penuh kesantunan. ]]>