Projek Dialog

Realiti gelandangan, denyutan jiwa kota

Rumah Pak Cik Wan “Kadang-kadang ada orang-orang yang pakcik tak kenal datang, pakcik bagi dia orang tidur situ” Pak Cik Wan yang baru aku kenal itu rumahnya dibuat sendiri dengan papan-papan yang dikutipnya dari kawasan sekitar. Setinggan di Kampung Periuk yang letaknya dekat Jalan Dewan Sultan Sulaiman itu menjadi rumah orang tua yang berasal dari utaraini. Ini bukan setinggan biasa, fikirku. Ini lebih dhaif dari setinggan. Zaman kanak-kanakku dihabiskan di setinggan. Aku kenal rupa setinggan. Aku pandang muka temanku McKoy. Namanya Khairul, saja gatal bubuh McKoy, nama pasca-setinggan dia. Aku tahu McKoy memikirkan benda sama. Orang tua ini sendiri hidup melarat, boleh pula dia tumpangkan gelandangan yang datang dari luar di teratak dhaifnya. Dan begitulah kesempitan hidup menyatukan manusia jua. Rumah Pak Cik Wan pernah terbakar, ini rumah yang dia bina semula. Sekali lagi aku terbayang kisah sendiri, berdiri di sebelah mak aku di waktu kecil, memerhatikan rumah-rumah jiran terbakar dan menunggu rumah sendiri jadi mangsa. Atau ketika berlari-lari dari masjid ke rumah mengekori kepulan asap tebal dan marah pada bomba kerana habis buku komik Slam Dunk aku lenjun dibasahi air pili bomba. Bukan sekali dua aku lihat kampung terbakar. Tapi tak terbakar pula rumah aku. Mampu kumpul duit sekolah beli komik pula tu. Jadi aku tak layak ceritakan duka prahara derita Karbala aku di sini. Pak Cik Wan tahun lepas diberi tawaran menyewa perumahan awam PPR DBKL di Cheras kerana menjadi mangsa kebakaran. Aku meminta dia mengeluarkan segala dokumen simpanannya. Borang Baitulmal 4-5 mukasurat dan surat tawaran DBKL. Katanya dia ke pejabat DBKL sehari selepas dapat surat dan disuruh isi borang. Pak Cik Wan menatap borang lama, keliru kerana tidak biasa isi borang sebegitu. Dimintanya encik petugas membantu tapi Yang Berhormat Encik Petugas punya urusan seri paduka baginda, jadi menolak untuk membantu dan menyuruh Pak Cik Wan pulang. Pak Cik Wan, si miskin solo kota yang kurang berpelajaran duduk menunggu mukjizat Tuhan Maha Pemberi. Amin si penyair dan Mckoy tak tahu nak geleng kepala atau tepuk dahi. Rasa sedih bercampur marah. Tak tahu nak salahkan siapa. Aku membelek surat tawaran. Tarikh luput 14 hari lepas tarikh tawaran pertengahan Jun tahun lepas. Bagaikan seorang politikus, aku pun mengucapkan kata-kata keramat “kena tengok lah apa yang kita boleh buat ni, Amin.” Amin sibuk membelek borang baitulmal “Ni surat perjanjian akad beli hotel 5 bintang ka ni?”. Kisah Pak Cik Wan, kisah jiwa kota Pak Cik Wan adalah salah satu jiwa di celah lambakan miskin tegar di kota Kuala Lumpur. Dia masih beratapkan zink. Ramai yang beratapkan jambatan dan beralaskan kaki lima. Mengikut anggaran yang pernah dibuat Pertiwi, jumlah gelandangan mencecah ribu. Usaha-usaha membantu gelandangan banyak dijalankan secara konsisten oleh Kechara, Pertiwi, gereja-gereja, dan NGO-NGO lain dan orang perseorangan. Tapi jumlah gelandangan semakin bertambah. Soalnya kenapa? Saudara, aku tidak percaya orang-orang seperti Pak Cik Wan malas. Dia polos dan naif, tapi bukan malas. Kalau malas, dia tidak berusaha membina tempat teduh dengan tangannya sendiri. Lebih dari itu, hatinya lebih besar dari bangunan-bangunan milik korporat di sekeliling terataknya itu, kerana di celah kesempitan ruang kecil rumah itu dia menempatkan gelandangan-gelandangan tak dikenali yang tiba di Kuala Lumpur untuk mencari sesuap nasi. Tapi berapa ramai gelandangan yang punya kudrat seperti Pak Cik Wan? Dan berapa setinggan yang boleh dibina di bandar ini? Berapa yang akan kekal dan tak diroboh? Bagi aku pegawai yang kerjanya cuma memberi borang lebih malas dan lebih layak bergelandangan dari para gelandangan kota. Sistem insititut kebajikan, baitulmal, pusat zakat yang menyusahkan dan borang berjuzuk-juzuk, birokrasi pentadbiran, semua ini lebih layak dipersalahkan dari gelandangan dan orang miskin. Politikus-politikus yang turun sekali-sekala sebelum pilihanraya dan menabur janji manis tanpa usaha konsisten lebih layak digelar malas. Masyarakat yang benci, prejudis terhadap orang miskinlah yang lebih layak diberi tazkirah motivasi. Siapa mereka?  Jabatan Kebajikan Masyarakat mengelaskan mereka sebagai pengemis dan kutu rayau dan menyerahkan tanggungjawab kepada polis. Kementerian Pembangunan Wanita, Kebajikan dan Masyarakat memasukkan gelandaan ke dalam Akta Orang Papa. Maksudnya definisi gelandangan pun masih samar dan berbeza mengikut badan-badan bertanggungjawab, jadi polisi apa yang patut digubal untuk mereka pun tidak jelas. Kita, masyarakat, ada banyak kerja sekarang untuk dibuat. Aku tak menafikan ada yang sedang berusaha. Tapi jika masalah ini tidak dipandang serius sekarang oleh semua pihak berwajib, sampai bila pun tidak akan ada penyelesaian kerana jumlah gelandangan dan miskin tegar kian bertambah. Masyarakat pula mudah melepaskan tangan mengatakan gelandangan itu yang mahu jadi gelandangan, dan kita terus akur pada sistem yang semakin menjarakkan jurang kelas masyarakat ini. Tuntutan perikemanusiaan Perlu ada usaha yang lebih teratur dan serius dalam menangani isu ini. Jabatan-jabatan bertanggungjawab, sektor korporat dan masyarakat boleh bekerjasama, tapi masyarakat perlu sedar yang aktiviti turun ke padang dan gotong royong ini sudah lama wujud dalam masyarakat kita dan perlu dikekalkan. Kalau ia hampir mati kita beri ia nafas baru. Budayakan menyantuni orang miskin. Bukankah ini tuntutan agama? Bukankah kita masyarakat pelbagai agama dan yang tak beragama masing-masing mahu mengarah ke matlamat merealisasikan sebuah masyarakat yang seimbang, saksama? Kenapa kita mahu mengeluarkan kata-kata seperti “gelandangan sudah banyak diberi makan, mereka tak mahu berubah?” Bukan gelandangan yang perlu berubah, cara kita mendekati mereka yang perlu berubah. Sistem yang mencipta gelandangan yang perlu berubah. Masalah ini perlu ada kajian khusus untuk diselami dasarnya dan kemudian diikuti dengan aksi-aksi terus-menerus yang melahirkan impak besar dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga seperti aktiviti ‘bermesra dengan rakyat tersisih’ setahun sekali untuk mendapat nama. Aku dan yang lain duduk bersembang dengan Pak Cik Wan di kedai mamak, sambil makan. Kami membincangkan tentang menolong Pak Cik Wan menyara diri. Katanya dia pandai buat steamboat. Seorang perempuan gelandangan juga duduk bersama, ingin jual-jual tisu katanya. Kami yang guerilla ini cuba membantu sepenuh daya. Memang kami naif. Bukan hero sangat pun. Kami perlukan hero-hero untuk turut sertai kami, sama-sama bergerak, sama-sama membentuk semula kota ini.         unnamed

]]>

Salah faham terhadap kesetaraan gender

Mengapa gerakan gender? Jika dahulu saya merupakan seorang lelaki yang sangat konservatif dan skeptikal terhadap gerakan yang saya fahami sebagai “feminism” ini, sesi dialog yang berterusan dan perasaan ingin tahu yang membuak-buak membolehkan saya meneroka dengan lebih jauh. Akhirnya saya jatuh cinta dengan sikap dan apa yang diperjuangkan oleh mereka. Pastinya gerakan kesetaraan gender ini tidak akan muncul suka-suka dan sengaja ingin mencetuskan huru-hara dalam pandangan umat Islam melainkan terdapat krisis ketidakadilan dan penindasan yang begitu sistemik di dalam konteks kita hari ini. Antara masalah-masalah yang disuarakan termasuklah poligami, perkahwinan bawah umur, perkahwinan paksa, masalah ketidakadilan pewarisan harta, keganasan rumah tangga, diskriminasi terhadap wanita berhijab/tidak berhijab dan sebagainya. Para pembentang dan peserta membahas isu-isu tersebut dalam perbincangan-perbincangan yang sangat penting dengan penghujahan ilmiah dan penafsiran semula terhadap teks Al-Quran dan Sunnah bagi mengangkat semula semangat keadilan yang dianjurkan dalam Islam dan mengembalikannya ke tempat yang sepatutnya. Feminisme nusantara Adalah sesuatu yang bersalahan jika kita memukul rata semua gerakan feminisme yang melanda nusantara dengan anggapan bahawa mereka hanya semata-mata bertitik tolak dari pengalaman Barat, khususnya yang memuncak pada abad ke 17 di bawah pengaruh gereja dan juga diskriminasi berterusan yang meminggirkan wanita selepas Revolusi Perancis 1789. Revolusi tersebut kemudiannya mengisytiharkan “Declaration of the Right of Man and the Citizen” di mana  wanita turut diiktiraf dengan satu lagi pengisytiharan “Declaration of the Right of Women and the (female) Citizen”. Terdapat perbezaan yang ketara antara feminism bawaan Barat (yang juga punya banyak kepelbagaian) dengan konteks feminism bawaan kebudayaan nusantara yang kuat dengan tradisi agama. Sebagai contoh, disebut dalam kajian Clare Chambers berjudul “Feminism, Liberalism and Marriage” yang menyatakan bagaimana gerakan feminism di Barat itu begitu kental dan tegar menyerang institusi keluarga. Bagi mereka, wanita itu secara langsung akan tertindas apabila “menyertai” perkahwinan. Wacana sebegini bukanlah apa yang dibawa oleh gerakan gender di Malaysia , Indonesia dan Singapura misalnya, yang harus kita fahami lahir dalam konteks masyarakat beragama Islam khususnya dan juga mencakupi masyarakat majmuk melibatkan orang bukan Islam. Justeru, wacana kesetaraan gender di nusantara bukanlah mencabar institusi perkahwinan dan keluarga akan tetapi memperkukuhkannya dengan semangat keadilan agama (dalam konteks artikel ini, Islam) Antara perjuangan gerakan gender di Malaysia adalah seperti Sisters In Islam (SIS) misalnya, yang antara lain telah menuntut diperkenalkan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Ini merupakan suatu pencapaian yang wajar diberi pujian. Ini kerana, sebelum akta itu diperkenalkan, tiada peruntukan undang-undang keganasan rumah tangga di mana suami yang sewenangnya memukul isteri sehingga menyebabkan kecederaan fizikal boleh didakwa di mahkamah. Ia dianggap “hal rumah tangga yang tidak boleh diganggu” sebelum ia menjadi kes polis seperti hari ini. Di Singapura pula, wujudnya sistem pewarisan harta di bawah dua sistem undang-undang (antara sivil dan AMLA atau Administration of Muslim Law Act) menjadi masalah yang sentiasa menindas wanita. Sebagai contoh, seorang warga wanita kematian suaminya, dan mempunyai dua orang anak perempuan. Di bawah undang-undang sivil Singapura, jika suaminya tidak mewasiatkan apa-apa untuk isteri dan anak-anaknya, si isteri boleh menuntut hak keatas “maintenance” beliau dan anak-anak atas perintah  mahkamah (jumlah ditentukan oleh mahkamah) di bawah Inheritance Family Provision Act. Ini berbeza dengan seorang wanita Islam. Dalam kes yang sama, di bawah AMLA 1966, beliau tidak dibenarkan memilih diadili di bawah mahkamah sivil (hanya boleh berbuat demikian jika menisytiharkan dirinya murtad)  di mana hanya 1/3 harta yang boleh diwasiatkan oleh suaminya kepadanya dan selebihnya dibahagikan mengikut faraid yang mana memberi bahagian yang besar kepada ayah suami dan adik beradik lelakinya. Penindasan berlaku apabila tiadanya peruntukan undang-undang sekiranya keluarga belah suami tidak bertanggungjawab dan tiadanya peruntukan “maintenance” yang boleh dituntut oleh si isteri seperti yang dijamin di bawah undang-undang sivil. Ini menyebabkan si isteri dan anak-anak terbiar tanpa diberikan hak mereka. Di Indonesia pula, tidak kurang hebatnya apabila Kongres Perempuan Indonesia julung kali di buat pada tahun 1928.Gerakan- gerakan gender seperti Gerakan Isteri Sedar dan AMAN (Asian Muslim Action Network) Indonesia, membuahkan beberapa hasil yang progresif seperti yang disebut Siti Mukarramah dalam tesisnya “Pengaruh Feminisme Barat Terhadap Gerakan Feminism di Indonesia” “Perjuangan perempuan di Indonesia sendiri telah banyak menghasilkan perundang-undangan yang melindungi mereka, diantaranya,UU No. 1 Tahun 1997 tentang perkawinan, UU No. 23 Tahun 2004 tentang penghapusan kekerasan dalam rumah tangga, UU No. 10 Tahun 2008 tentang pemilu yang mensyaratkan partai memenuhi 20% caleg dari perempuan, dan lain-lain. Indonesia sendiri pernah dipimpin oleh seorang presiden wanita yaitu Megawati Soekarno Poetri. Gerakan gender (keseteraan gender yang memberdayakan wanita dan penglibatan lelaki) di Indonesia juga mendapat saingan hebat apabila wujudnya variasi gerakan gender yang berideologi feminist Barat, Keluarga Sakinah (gerakan gender Islamik) dan juga gerakan ibuism dan “”houswefization”yang dikatakan bertunjang atas dasar “gender harmony”. Saya hanya sempat menyatakan sedikit sahaja dari ribuan contoh dan kes-kes yang signifikan yang menjadi asas perjuangan gerakan keseteraan gender ini. Tujuannya hanya untuk menaikkan martabat wanita supaya mereka bukanlah dianggap sebagai “second-class citizen”, akan tetapi mempunyai hak-hak asasi manusia. Namun begitu, ini tidak bermaksud lelaki itu harus dicabar dan tidak wajar dihormati. Ia cumalah mengangkat wacana ini bagi memberikan keadilan kepada lelaki dan wanita mengikut konteks yang sebetulnya. Membersihkan pengaruh patriarkal Arab dari semangat keadilan Islam Sesungguhnya, begitu banyak isi-isi penting yang perlu kita rungkai dalam penafsiran semula teks(Quran dan sunnah). Masyarakat Arab di zaman nabi memandang wanita dari sudut status, nilai, dan peranan sebagai inferior kepada lelaki. Nisbah satu lelaki bersamaan perempuan sebanyaknya tetapi lelaki aktif manakala perempuan pasif. Akan tetapi kedatangan Islam menukar semua ini dengan menjadikan status lelaki dan perempuan sama darjatnya di sisi Tuhan sebagai hamba dan khalifah dan memegang peranan melindungi satu sama lain. Sebagai contoh, Islam diturunkan dalam konteks masyarakat Arab yang mengamalkan poligami tanpa batasan. Al-Quran yang diturunkan memberi tamparan hebat kepada struktur masyarakat Arab ketika itu yang begitu partriaki dimana sumber ekonomi kebanyakannya terletak di tangan lelaki dan perempuan sebagai warga kelas kedua yang perlu “dilindungi”. Poligami misalnya, sering di salah erti sebagai galakan kepada suami untuk berkahwin lebih dari seorang. Sedangkan, di dalam Surah An-An-Nisa (4) : 3 yang menyatakan : “Jika kamu takut tidak dapat berlaku adil pada para isteri, maka nikahilah satu orang perempuan saja atau hamba sahaya yang kamu miliki ” Dan juga surah yang sama ayat- 129 yang menyatakan: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya) oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau-lampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awang) dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” Ini bukan suatu galakan poligami bahkan suatu galakan monogami! Bahkan di dalam hadith riwayat Bukhari dan Muslim mencatatkan bahawa, “Sesungguhnya Bani Hisyam bin Al-Mughirah meminta izin mengahwinkan puteri mereka dengan Ali bin Abi Thalib, aku pun tidak mengizinkan sekali lagi, sungguh tidak aku mengizinkan kecuali aku ceraikan puteriku lalu menikai puteri mereka. Sesungguhnya ia (puteriku) adalah bahagian dariku; menyinggungku apa pun yang menyinggungnya dan menyakitiku apa pun yang menyakitinya” Begitu jelas bahawa Nabi juga merasakan kesakitan jika puterinya dipoligami itu menambah lagi hujah betapa kerasnya kritikan keatas poligami. Ini juga hanyalah satu contoh dari banyak contoh-contoh pengaruh praktik Arab kurun ke-7 yang mempengaruhi wacana Islam dalam prinsip umum yang universal berteraskan keadilan yang sesuai mengikut konteks zaman. Gerakan gender merupakan affirmative action Banyak persoalan-persoalan yang melepak di fikiran saya tatlkala meneroka objektif perjuangan gerakan kesetaraan gender ini. Antaranya; 1) bagaimana gerakan gender ini memperkuatkan institusi keluarga? 2) Jika wanita ingin diiktiraf martabat dan kekuatan, mengapa mereka minta dilindungi dan diberi hak yang sama rata? Mengapa tidak bersaing sama dengan lelaki? Antara jawapan yang sama terima di dalam program tersebut bagi jawapan untuk soalan pertama ialah, melawan kezaliman dan penindasan di dalam keluarga itulah yang akan memperkuatkan institusi tersebut. Kestabilan dalam rumah tangga akan lebih terjamin dan harmoni akan wujud. Malah, dalam konteks zaman moden, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, wanita yang terdidik dapat membantu meringankan beban suami dengan sama-sama berkerja dan berkongsi peranan mendidik anak-anak. Bahkan, jika si suami ditimpa kemalangan, cacat , sakit dan sebagainya, wanita lantas boleh mengetuai keluarga dan menyara isi rumah. Bukankah itu memperkasa insitusi keluarga? Jawapan bagi soalan yang kedua pula ialah, tindakan menuntut wanita diberi hak dan perlindungan ini adalah affirmative action, yakni tuntutan yang tidak tetap dan akan lenyap apabila padang sama rata. Jika sejak dari kecil, lelaki dan perempuan tidak diberi akses pendidikan yang sama rata, bagaimana ingin bersaing secara adil? Begitu juga dengan pemberian hak yang lain sebagai tindakan menyaratakan kedudukan lelaki dan perempuan dalam masa yang sama mengiktiraf peranan masing-masing yang boleh berubah mengikut konteks. Kesimpulan Saya amatlah berharap jika artikel yang ringkas ini dapat memberi kesedaran seboleh mungkin kepada pembaca agar persepsi buruk terhadap gerakan gender dapat dikurangkan malah dilenyapkan bagi sama-sama menjunjung prinsip keadilan yang diterapkan atas nama hak asasi manusia mahupun Islam. Sesungguhnya,saya percaya, jika gerakan-gerakan Islam berminat dengan bersungguh-sungguh untuk menaikkan wacana kesamarataan gender ini sebagai keadilan yang ditegakkan di dalam Islam, .nescaya NGO feminism seperti AWARE & NJI (Singapura), SIS (Malaysia), Solidaritas Perempuan (Indonesia) dan sebagainya tidak perlu wujud untuk bangkit dan memperjuangkan nasib wanita-wanita yang tertindas dan dizalimi.         unnamed  

]]>

Ke arah pencapaian Islah Muslim

Makalah ini penyambungan kepada makalah awal yang bertajuk Krisis pemikiran politik Islam   Al-Quran bercakap tentang kemuliaan anak-anak Adam (17:70), tetapi sebahagian Muslim bercakap tentang kemuliaan dan kehormatan Muslim semata-mata, lantas mengabaikan hakikat setiap manusia mesti dimuliakan dan ada hak-haknya yang wajib ditunaikan. Al-Quran menyebut tentang konsep keadilan dalam menjatuhkan hukuman antara manusia (4:58), ada yang melupakan soal manusia selain mereka, lantas hanya bercakap soal adil dan saksama “sesama kami”, yang menganut agama kami! Al-Quran melarang kaum Muslim daripada bersikap tidak adil sekalipun terhadap kaum yang mereka benci (5:8), sebahagian Muslim pula bercakap soal lebih baik mengundi pemimpin Muslim yang jadong berbanding bukan-Muslim yang berkredibiliti dan terbukti keadilannya dalam mengurus tadbir. Apabila risalah agama merupakan kasih sayang untuk sekalian alam (21:107) bukan semata-mata untuk Muslim apatah lagi bangsa Melayu, bererti wacana negara yang mahu ditegakkan atas aspirasi dan keyakinan beragama haruslah memberi kebaikan kepada semua tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang sosial. Atas nama Islah, kita bermula Kita tiada pilihan lain, selain keluar dari kejumudan dan jalan gelap yang sedang menimpa masharakat kita khasnya di tanah air, kita wajib menggantikan wacana politik yang berorientasikan halalisation danharamisation kepada wacana-wacana soal etika-etika yang berada di sebalik praktikal politik. Suatu yang baik apabila etika-etika yang diletakkan Islam dalam soal pengurusan keduniaan ialah set etika yang secara asasnya boleh diterima semua agama sekalipun berlaku perdebatan dan perselisihan dalam pemerincian. Krisis yang disebutkan mesti ditangani atas semangat perobahan (at-Taghyiir) dan pembaikian (al-Islah), lantas memerlukan kerjasama banyak pihak sama ada intelektual, ahli politik mahupun masharakat kebanyakan. Untuk menjelaskan secara ringkas aspirasi Islah dalam pemikiran kontemporari politik Islam khasnya di tanah air kita, saya menjelaskan pandangan-pandangan di bawah secara ringkas: 1)     Revolusi etika  (Ethical revolution – at-Thawrah al-Akhlaqiyyah) Tentang ethical revolution, saya meminjam perkataan yang digunakan oleh intelektual terkenal, Dr Jasser Auda semasa beliau memberi ucapan dalam satu majlis di Qatar pada 9 Mac 2013.Antara yang dinyatakan beliau ialah kita melihat betapa seluruh dunia sedang menghadapi krisis moral dan etika dalam segenap lapangan kehidupan termasuk politik. Ini adalah zaman di mana sistem kehakiman yang diharap bisa memberi keadilan, sistem kehakiman pula menjadi pelindung kepada pemimpin jadong dan koruptor kelas atasan. Institusi-institusi pendidikan yang asalnya sebagai tempat mendidik manusia dan tempat pembudayaan ilmu, tapi akhinya ia menjadi tempat kreativiti terhalang, kebebasan intelektual menjadi terlarang. Sementara itu, kerusi-kerusi politik bukan lagi menjadi medium melaksanakan tanggungjawab dan berbakti kepada masharakat, sebaliknya tempat mengumpul kekayaan dan harta benda. Reaksi dan respon sebahagian masharakat dunia terhadap sekalian kecelaruan tersebut ialah dengan turun ke jalan raya dan menjatuhkan pemimpin diktator daripada singgahsana kuasa. Itu salah satu tindakan manusia berani dan bermaruah, tapi ia tidak benar-benar cukup karena pada saat ini kita sangat berhajat kepada revolusi intelektual dan spiritual. Supaya perobahan politik dan dunia yang dicita-citakan itu berlangsung lebih baik, islah radikal pada sisi intelektual dan spiritual sangat diperlukan. Negara bukanlah matlamat akhir, sebagaimana difikirkan oleh sebahagian Islamis ataupun bukan Islamis, tetapi negara salah satu jalan penting demi mencapai kebaikan. Untuk merealisasikan ethical revolution dalam pemikiran kontemporari politik Islam, wajarlah kita memandang politik dengan melihat ‘apa di sebalik apa’, dan di sebalik pemikiran kontemporari politik Islam, ‘apa di sebalik apa’ ialah objektif-objektif tertinggi Shariah (Maqasid as-Shariah). Keadilan, amanah, kebebasan, kemuliaan insan, keamanan, kebajikan, perpaduan nasional  dan pelbagai lagi nilai-nilai fundamental telah ditinggalkan daripada dibincang serius untuk dicapai dalam praktikal politik tanah air kita. Gerakan-gerakan Islamis dan ahli-ahli politik yang berada di kancah politik mestilah menjadikan sekalian nilai-nilai fundamental sebagai tujuan dan panduan dalam praktikal politik demi kepentingan negara dan warganegaranya. 2)     Islam dan demokrasi Kediktatoran wajib ditolak walau atas apa nama sekalipun, tokoh ilmuan terkenal, Almarhum Mahmud Shaltut menulis: “Dengan penegasan al-Quran akan prinsip Shura, Islam menghukum musuh dan perosak kemanusiaan; iaitu kediktatoran dalam pemerintahan dan pemikiran, monopoli perundangan, pengurusan kewangan dan pentadbiran. Demikian juga menetapkan kemuliaan pemikiran terhadap individu-individu, sementara bagi masharakat, haknya yang tabii dalam mentadbir urusan-urusannya.” Satu perbincangan yang telah lama berlangsung, masih berlangsung dan berkemungkinan akan terus berlangsung ialah mengenai Islam dan demokrasi. Untuk projek al-Islah, kita mesti sentiasa mengulang bahawa jawhar-jawhar agung agama Islam tidak bertentangan dengan konsep-konsep umum yang wujud dalam demokrasi. Malek benNabi semasa mengulas tentang Islam dan demokrasi, ia menyebut bahawa prinsip-prinsip demokrasi mengajar manusia tentang membebaskan diri daripada diperhamba sesiapa dan daripada memperhamba orang lain, demokrasi juga antara teras utamanya ialah kemuliaan manusia karena ia projek menolak sebarang tindakan perhambaan dan kecenderungan seseorang untuk memperhamba. Justeru demokrasi menurut Malek benNabi ialah projek pendidikan karamah insaniyyah (human dignity) yang mesti bermula dengan merobah apa yang ada dalam diri manusia terlebih dahulu. Dalam konteks tanah air kita, pendidikan nilai-nilai teras demokratik mesti terus dipergiat karena kita tidak bisa membina sebuah negara yang demokratik semata-mata dengan meletakkan perkataan demokratik dalam perlembagaan, manifesto atau nama parti, tetapi demokrasi akan berlangsung baik apabila rakyat mengetahui bahawa perjuangan menolak penipuan, korupsi dan kediktatoran ialah perjuangan yang hanya bisa didokong oleh pemilik dhamir yang menghayati nilai-nilai demokratis. Hanya manusia yang merdeka dan mengangkat kemuliaan insan bisa membina sebuah negara demokratik dan berpartisipasi dalam membentuk sebuah masharakat dan negara yang harmoni. Atas nama demokrasi juga, tidak wajar dihalang partisipasi mana-mana pihak dalam hal-hal kepolitikan selagi mana ia bergerak secara aman. 3)     Perbincangan kritikal Untuk menjayakan aspirasi Islah dan menangani krisis pemikiran kontemporari politik Islam di tanah air kita, wacana kritikal tentang hal tersebut wajar terus dihidupkan. Tanpa menafikan kebaikan wacana antara idea, fahaman dan agama, namun wacana yang bertujuan menyelesaikan hal-hal dalaman pemikiran politik Islam tidak boleh dikesampingkan. Saya memberi contoh, pembacaan teks-teks klasik tidak wajar berlangsung literal hingga apabila ditanya sesuatu soalan, terus dikeluarkan bulat-bulat apa yang wujud dalam teks-teks klasik. Bahana sikap tersebut ialah timbulnya isu “kafir harbi”, “darul kufr”, “pembangkang khawarij”, “haram pilihanraya” dan sebagainya. Penulis buku “Who Needs an Islamic State”, Dr Abdel Wahab el-Affendi dalam bab kedua buku itu telah menulis satu sub-topik bertajuk“Problems with the Classical Theory”. Beliau mengulas salah isu penerimaan al-Mawardi perihal penamaan (penentuan) pemimpin oleh pemimpin sebelumnya, dalam kitabnya, Ahkam Sultoniyyah: “Al-Mawardi memetik kisah Abu Bakr melantik Umar menjadi penggantinya sebagai dalil bahawa adalah sah untuk mana-mana pemerintah memilih penggantinya. Beliau mengabaikan hakikat bahawa tindakan sedemkian adalah sah bukan kerana individu menentukannya, tetapi juga kerana tindakan itu disahkan oleh umat-umat Islam yang utama pada masa itu. Beliau turut terlepas pandang, perbezaan ketara antara perlantikan Umar oleh Abu Bakr dan paksaan melalui kekerasan Muawiyah melantik anaknya sebagai pengganti. Ini merupakan kekurangan di dalam mana-mana teori.” (hlm. 76) Demikian juga penilaian kritikal terhadap beberapa isu seperti apabila apa-apa dasar (bersifat “sivil” mahupun “keagamaan”) yang mahu dilaksanakan dalam sesebuah negara, semua pihak wajar terlibat dalam perbahasan dan memberi komentar; tanpa mengira agama, kerana semua merupakan rakyat dan berhak tahu dan memberi respon terhadap apa-apa yang melibatkan negara. Dalam sesebuah negara, apabila perbahasan berhubung sesuatu dasar dan perdebatan serta komentar dalam hal-hal yang berkait dengan negara, tidak boleh sesetengah pihak menyuruh pihak yang lain “diam” atau “jangan campuri urusan agama/ideologi kami”, negara ini milik semua dan apa-apa bentuk partisipasi hendaklah diizinkan. Adapun yang wajar diberi perhatian oleh semua warga ialah mengelakkan menyentuh sensitiviti keagamaan dan perkauman, dan ia sangat berkait dengan soal etika dan kesedaran individu atau masharakat. Sebahagian pihak teruja amat untuk menutup mulut pihak lain yang mereka tak persetujui dengan pelbagai tuduhan dan kebengisan, sekalipun perdebatan dan perbahasan itu diizinkan dan menurut perlembagaan negara. Perlu diberi penekanan juga bahawa kepelbagaian identiti tidak semestinya bertentangan antara satu sama lain. Sebagai contoh seorang lelaki/wanita yang Muslim, maka identiti keagamaannya ialah Islam, dia juga punya identiti sebagai berbangsa Melayu contohnya beserta pelbagai lagi identiti. Dalam masa yang sama dia merupakan seorang warga sebuah negara, identiti kenegaraannya ialah warganegara Malaysia. Identitinya sebagai seorang Muslim tetap tidak menolaknya untuk terus hidup dan berpartisipasi sebagai anggota masharakat yang punya tanggungjawab dan hak dalam negaranya. Demikian juga identiti-identiti yang lain, kepelbagaian identiti apabila berada dalam sesebuah negara, kita akan menemui titik persilangan dalam beberapa sudut yang umum, tanpa menghapuskan identiti keagamaan dan kebangsaannya. Dalam sebahagian teks-teks klasik, perbincangan tentang teori identiti difahami secara literal dan jauh dari konteks sejarah oleh sesetengah Muslim, akibatnya (sebagaimana saya sebut berulang kali di atas) ia membawa kepada kekeliruan dalam memahami konsep kesamarataan kewarganegaraan khasnya dalam negara yang jamak agama, bangsa dana budaya. Akhirnya menatijahkan pandangan-pandangan yang “ekslusif” dan “tidak dibenarkan untuk didebatkan” dalam hal-hal bersifat nasional. Khatimah Sama ada disedari atau tidak, di tanah air kita krisis pemikiran kontemporari pemikiran Islam sememangnya berlaku, ia jelas tampak apabila kandungan perbincangan dan persoalan yang ditimbulkan masih lagi berlegar-legar pada sudut Muslim dan bukan Muslim, Islam dan demokrasi dan akhirnya menatijahkan halalisation dan haramisation oleh segelintir golongan literal. Untuk menghadapinya kita hanya ada dua pilihan iaitu; pertama, melakukan Islah dan ethical revolution. Kedua, kembali kepada yang pertama.         unnamed

]]>

Dilema MAIS terhadap saudara Kristian

Pendedahan Agenda Kristian (2014). Buku berkenaan yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) diedarkan secara percuma kepada para peserta “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Saya sudah selesai membaca Bab 5 (bab terakhir) dan ingin berkongsi pelbagai ilmu serta maklumat yang terkandung dalam bab berkenaan demi manfaat masyarakat pelbagai kaum, agama, etnik, mazhab dan kepercayaan di Malaysia. [caption id="attachment_3525" align="alignleft" width="300"]10388964_10152149113968990_1139270627_o Salinan buku diserah di IPD Shah Alam untuk membantu siasatan.[/caption] Tambahan pula, pada 20 Mei 2014, selepas pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk menyerahkan satu salinan fotokopi buku berkenaan bagi membantu siasatan polis di bawah Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan, saya singgah di pejabat MAIS di Seksyen 5, Shah Alam. Saya mendapat pengesahan bahawa seminar di UiTM tempoh hari bukan acara tertutup seperti dikatakan sesetengah pihak, tetapi terbuka kepada umum. Buku berkenaan pula biasanya hanya diedarkan (secara percuma) semasa MAIS mengendalikan program seperti ceramah dan seminar. Bagaimanapun, jika ada pihak yang berminat untuk mendapatkan buku tersebut (serta pelbagai bahan bacaan lain yang diterbitkan oleh MAIS), maka boleh sahaja mengemukakan permohonan menerusi surat rasmi dan pasti akan diberikan pertimbangan yang sewajarnya. Bagaimanapun, memandangkan bahawa ramai yang menghubungi saya untuk mendapatkan maklumat berkaitan kandungan buku tersebut, eloklah saya berkongsi sebahagian daripada kandungannya di sini. Tambahan pula, buku itu sukar diperoleh di mana-mana. Orang ramai juga boleh membaca makalah bertajuk “Benarkah ini agenda Kristian?” (Projek Dialog, 16 Mei 2014) dan “Buku MAIS boleh undang murtad” (Projek Dialog, 18 Mei 2014) yang turut membicarakan sebahagian kandungan buku ini dari beberapa sudut. Bab 5 bertajuk “Cadangan Penyelesaian dan Tindakan untuk Menangani Agenda Kristian” dan dikatakan adalah “bab terpenting yang perlu diberi perhatian dalam memperkukuh kesatuan dan kekuatan pegangan umat Islam dalam menghadapi isu ini (agenda Kristian)” (halaman 109). Sikap sebenar Kristian, menurut pandangan MAIS Perkongsian ilmu, maklumat dan fakta daripada Bab 5 dirasakan amat perlu memandangkan MAIS dalam buku tersebut sudah mengakui bahawa “isu murtad di kalangan umat Islam di Malaysia telah sampai ke tahap kritikal malah dikhuatiri semakin bertambah setiap hari” (halaman 30). Dinyatakan bahawa Hindu, Buddha dan Kristian “menjadi pilihan untuk dianuti oleh Muslim di Malaysia yang murtad” tetapi “hanya Kristian yang didapati paling aktif menggerakkan usaha misionari untuk menarik penganut agama lain khususnya Islam menganut agama tersebut” (halaman 34). [caption id="attachment_3521" align="alignleft" width="300"]Bekas paderi dan biarawati palsu diundang beri ceramah. Bekas paderi dan biarawati palsu diundang beri ceramah.[/caption] Atas sebab itulah juga saya merasakan amat perlu untuk menyebar-luaskan kandungan Bab 5 buku Pendedahan Agenda Kristian kepada orang ramai. Saya tidak akan berpihak kepada sesiapa tetapi membiarkan pembaca membuat penilaian sendiri. Harus diakui bahawa buku ini agak sukar diperolehi buat masa sekarang – susulan laporan polis pada 8 Mei 2014 serta pembukaan fail siasatan kes oleh IPD Shah Alam pada 16 Mei 2014. Maka, saya akan membuat banyak petikan langsung daripada buku berkenaan tanpa ada sebarang niat melanggar Akta Hak Cipta dan hak moral MAIS selaku penerbit. Petikan kata demi kata (verbatim) juga bagi memastikan saya tidak terkhilaf atau tersalah tafsir maksud sebenar yang terkandung dalam buku. Enam kesimpulan berkaitan “sikap sebenar Kristian” dipaparkan pada hujung Bab 1 (halaman 16) seperti berikut: Nasrani (Kristian) adalah musuh Islam yang sentiasa berniat jahat serta memaparkan sikap negatif kepada umat Islam. Nasrani (Kristian) adalah pembawa berita pendustaan dan mereka sentiasa berusaha menyelewengkan fakta tentang kebenaran ajaran Islam. Nasrani (Kristian) akan berusaha sehabis mungkin untuk menimbulkan rasa sakit hati di kalangan umat Islam. Jalan keluar dari usaha dakyah Nasrani (Kristian) ialah dengan berhujah kepada mereka mengenai kebenaran Islam di samping memantapkan keimanan kepada Allah dan Rasulullah SAW. Umat Islam mestilah bersikap tegas dan berhati-hati terhadap Nasrani (Kristian) serta tidak taat dan tidak menjadikan mereka sebagai pelindung/pemimpin/penjaga. Jika umat Islam alpa terhadap peranan hujah kebenaran dan ragu-ragu dengan Islam, mereka akan mudah terpengaruh dengan tipu daya Nasrani (Kristian). Manakala Bab 5 pula secara langsung mengemukakan pelbagai cadangan bagi penyelesaian dan tindakan untuk menangani apa yang dilabelkan oleh MAIS sebagai “agenda Kristian”. Evangelisme Kristian dituduh punca semua masalah Sebagai langkah muhasabah diri, umat Islam diseru supaya “melihat realiti umat dalam menghadapi cabaran agenda Kristian” berdasarkan lima urutan berikut: Kesedaran – Sejauh mana tahap kesedaran dan sensitiviti kita (umat Islam) dalam menghadapi isu ini (agenda Kristian)? Minat – Setakat mana kesediaan kita untuk menjaga kesucian akidah umat Islam? Kehendak – Pada tahap manakah kesungguhan kita untuk mempertahan kemuliaan agama Allah? Tindakan – Apakah tindakan yang telah kita ambil untuk menyuburkan dakwah dan mencegah anasir yang cuba meruntuhkan (Islam)? Susulan – Adakah kita bersedia secara proaktif untuk melakukan tindakan susulan bagi terus mempertahan kesucian akidah Islam? Ringkasnya, tugas-tugas di atas perlu dilakukan dari dalam (kalangan umat Islam sendiri) tanpa perlu menuding jari menyalahkan pihak luar (“musuh-musuh Islam” khasnya orang Kristian). Sekiranya akidah dan keimanan sudah utuh dan kukuh, datanglah apa-apa cabaran, umat Islam di Malaysia akan tetap berdiri teguh. [caption id="attachment_3524" align="alignleft" width="300"]MAIS menyeru umat Islam sentiasa waspada dengan agenda Kristian. MAIS menyeru umat Islam sentiasa waspada dengan agenda Kristian.[/caption] Apabila keimanan tidak kuat dan akidah tidak sempurna (iaitu masalah “dalaman” Islam dan bukannya masalah “dari luar”), barulah timbul beberapa isu seperti “mengiya dan sokong usaha musuh”, “tertipu dengan usaha musuh”, “meremeh usaha amar makruf dan nahi mungkar” serta “keliru dengan tindakan yang harus diambil” (halaman 110). Walau bagaimanapun, buku Pendedahan Agenda Kristian masih tetap dengan “misi” dan “niat” mahu meletakkan beban kesalahan atas bahu “agenda Kristian” (halaman 110-111). Umat Islam ditanya apakah mereka masih mahu bersangka baik dengan gerakan evangelisme Kristian. “Masih mahu membela evangelisme Kristian sedangkan Allah telah nyatakan mereka akan selama-lamanya tidak redha kepada orang Islam? Masih mahu berada di zon selesa dan yakin sepenuhnya tiada apa-apa yang mereka boleh lakukan?” Demikian antara pertanyaan kepada pembaca. Pada halaman 112-118, dikemukakan “tindakan untuk menghadapi agenda Kristian” yang perlu dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan, institusi agama Islam (peringkat persekutuan dan negeri), institusi pengajian Islam, politikus Muslim, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, gerakan belia, pendakwah Islam, umat Islam dan Individu Muslim. Antara cadangan MAIS yang menarik perhatian saya adalah “mewujudkan dasar keharmonian antara Islam dan Kristian ke arah masyarakat majmuk yang harmoni” serta “meningkatkan elemen pendidikan seperti kempen dan program kepada masyarakat tentang kehidupan harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum”. Perlu sebar Islam kepada orang Kristian Hal di atas tentulah selaras dengan pengakuan MAIS bahawa “penulisan buku ini bukan bertujuan untuk mengajak umat Islam membenci agama Kristian” (halaman vii) dan “kami umat Islam di Malaysia tidak mahu memusuhi penganut agama Kristian” (halaman 120). Dalam pada itu, MAIS turut menggesa supaya “menggunakan pelbagai medium penyebaran seperti khutbah Jumaat untuk mendedahkan situasi sebenar masalah kristianisasi di kalangan umat Islam” serta “merangka modul pendidikan khas untuk sekolah agama berkaitan kesedaran kristianisasi”. Selain daripada “menjalankan penyelidikan tentang cara terbaik menangani usaha kristianisasi ke atas Muslim”, institusi pengajian Islam juga disaran “melahirkan pakar-pakar dalam bidang dakwah kepada golongan Kristian”. Tokoh ultra kiasu, Ridhuan Tee Abdullah menyatakan harapan agar “ada umat Islam yang boleh menyamar masuk ke gereja dan dengar apa yang dibincangkan” (Sinar Harian, 19 Mei 2014) kerana dia beranggapan orang Kristian tiada kerja selain menghina Islam. MAIS pula menerusi buku Pendedahan Agenda Kristian meminta NGO Islam “melakukan risikan dan berdakwah kepada gerakan Kristian” serta “menjadi feeder kepada kerajaan dan institusi agama untuk menghadapi dakyah Kristian”. [caption id="attachment_3523" align="alignleft" width="300"]10396500_10152149114258990_85601244_n (1) Penulis sempat berkunjung ke pejabat MAIS baru-baru ini.[/caption] Sebagai kesimpulan (halaman 119-120), salah satu perkara yang diingatkan kepada umat Islam di negara berpenduduk majmuk ini adalah supaya “waspada dengan taktik, cubaan dan strategi gerakan evangelisme Kristian yang sentiasa tidak reda dan berusaha untuk menghancurkan Islam selagi umat Islam tidak mengikut jejak langkah mereka”. MAIS ternyata “merasa terganggu oleh tindakan evangelis Kristian yang cuba memurtadkan umat Islam” walaupun “kami umat Islam di Malaysia tidak mahu memusuhi penganut agama Kristian” (halaman 120). Ada semacam dilema dan unsur ironi yang amat nyata. Sewaktu berkunjung ke pejabat MAIS pada 20 Mei 2014, saya dimaklumkan bahawa buku Pendedahan Agenda Kristian agak sulit (sukar) diedarkan sekarang berikutan isu seminar anti-Kristian di UiTM yang sedang hangat dan masih dalam siasatan polis. Dalam keadaan seperti itu, besarlah harapan saya bahawa makalah ringkas ini mampu membantu masyarakat memahami sebahagian kandungan buku berkenaan. Saya tidak mahu “menghukum” pada kali ini, sebaliknya menyerahkan kepada pembaca untuk mengemukakan pandangan balas.         unnamed

]]>

UiTM, di hati seorang Kristian

Ketuanan Melayu serta Hak Bumiputera Semasa melanjutkan pengajian ke UiTM, saya didedahkan dengan Akta 174 mengenai tatatertib dan Artikel 153 Perlembagaan Malaysia mengenai ketuanan Melayu serta hak bumiputera. Ketika itu, saya ibarat pelajar baru yang akur kepada apa yang disampaikan. Selain itu,saya juga akur bahawa UiTM tidak mengambil pelajar kaum Cina dan India kerana ingin melindungi serta menjaga hak pelajar bumiputera secara total sebagaimana yang pernah ditaklimatkan kepada saya. Setiap semester, saya diwajibkan untuk mengikuti kursus-kursus kemahiran insaniah sehingga graduasi. Dalam setiap kursus tersebut, persoalan mengenai ketuanan Melayu serta hak bumiputera tidak pernah lekang dan pudar daripada pengisian program. Saya pernah didedahkan bahawa “bangsa Melayu” merupakan bangsa terulung di rantau Asia Tenggara dan kaum-kaum lain (juga merujuk kaum-kaum di Kepulauan Borneo) yang berada di kepulauan Nusantara juga serumpun dan berada dalam lingkungan “bangsa Melayu”. Bagi menanggapi persoalan mengenai hak bumiputera, pernah ada pengacara program me’momok’kan kaum Cina dan India sebagai penghalang kepada kemajuan bumiputera di Malaysia. Saya amat terkejut dengan pendedahan tersebut. Rentetan daripada peristiwa itu, saya mulai sedar bahawa UiTM mengunakan sedikit elemen perkauman dalam memupuk motivasi kesedaran hak bumiputera dalam kalangan pelajar dan kadangkala ianya menguris perasaan saya sebagai seorang bumiputera bukan Melayu. UiTM sebagai pengiat agama Islam Adalah menepati apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutan, bahawa Islam merupakan agama rasmi serta seseorang Melayu itu adalah Islam secara lahiriah tanpa mengikuti kehendak bebas individu tersebut. Selain daripada memantapkan perkara serta persoalan mengenai ketuanan Melayu serta hak bumiputera, UiTM bertanggungjawab dalam memantapkan kefahaman Islam ke atas semua pelajar termasuk yang bukan Islam. Saya secara peribadi tidak mempunyai masalah mengenai perkara tersebut. Bagi saya ianya perlu sebagai memupuk rasa perpaduan dan hormat terhadap agama Islam. Namun, ianya menjadi kurang menarik dan tidak semena-mena apabila elemen serta bab mengenai perbandingan agama yang diselitkan seperti subjek wajib “Islam dan Agama”, “Tamadun dan Peradaban Islam”, dan “Kemasyarakatan Islam” bagi program diploma serta “Peradaban Islam dan Asia” dan ”Hubungan Etnik” bagi program ijazah. Bukan itu sahaha. Topik juga dimanipulasikan secara berat sebelah dan tidak tepat faktanya melalui ‘taqiyya’ dan ‘kitman’ bagi menegakkan kebenaran Islam ke atas bukan Islam dalam penulisan buku akademik serta bahan pengajaran bagi subjek tersebut. Ulasan mengenai Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara Setelah segala itu berlaku pula seminar “Pendedahan Agenda Kristian. Ketika minggu tersebut, saya menjalani latihan pratikal dan tidak berupaya untuk menghadirkan diri ke seminar tersebut yang terbuka juga kepada yang berminat selain dipaksa demi memeriahkan kehadiran. Alangkah terkejutnya saya apabila melihat apa yang disebarkan oleh rakan-rakan saya di media sosial mengenai isi kandungan serta penceramah yang dijemput ke seminar tersebut. Ada diantara rakan saya yang merupakan pelajar junior terpaksa mengikuti program kerana tuntutan markah kehadiran bagi subjek “Hubungan Etnik”. Saya secara peribadi tidak bersetuju dengan penganjuran seminar ini secara terbuka kerana ianya bersifat berat sebelah dan tidak menggalakkan dialog antara agama serta keharmonian serta kepelbagaian masyarakat seperti di Malaysia. Selain itu, pengajuran seminar ini juga mengundang kontroversi apabila penceramah yang dijemput adalah dikatakan sebagai mantan paderi serta biarawati Gereja Katolik di Indonesia. Sudah tentu mereka berupaya berdakwah dan berdakyah tentang kebenaran Islam yang mereka temui sebagai hidayah mereka kepada yang bukan Islam tanpa halangan. Walaupun tidak berupaya mengikuti program tersebut, saya berupaya memperoleh banyak maklumat daripada rakan saya yang menghadiri seminar tersebut. Memang ternyata dia tidak senang dengan penyampaian penceramah tersebut kerana memutar belitkan ayat-ayat Alkitab sesuai dengan kehendaknya serta menghasut pelajar Kristian yang hadir dengan memberi dalil 10 sebab mengapa mereka sebagai pengikut Yesus harus masuk Islam. Tetapi setelah mengkaji serta mengikuti perkembangan semasa mengenai isu ini, ternyata penceremah yang dijemput tersebut bukanlah mantan paderi mahupun biarawati seperti yang dihebahkan. Oleh sebab itu, segala apa yang disampaikan mengenai agama Kristian ternyata boleh diragui kredibilitinya. Adakah niat penganjuran seminar ini? Menguatkan akidah umat Islam? Berdakwah kepada pelajar Kristian dengan harap dapat me’murtad’kan mereka kepada Islam? Sewajarnya UiTM menuju wawasan sebagai “insititut yang berupaya menjadi sebuah universiti unggul yang berteraskan kesarjanaan dan kecemerlangan akademik bagi menerajui dinamisme bumiputera dalam semua bidang profesional bertaraf dunia supaya terlahir graduan yang berdaya saing, global dan beretika”. Jika diletak pada aras wacana sebegini; beretikakah UiTM jika mahasiswanya dididik untuk menjadi rasisme serta etnosentrime terhadap diri dan bangsanya? Dalam isu ini, saya mendapati ianya merupakan seminar pertama yang saya lihat apabila agama Kristian diperlekehkan kepada penganutnya sebagai wacana ilmu secara umum semenjak saya bergelar siswa dari tahun 2009. Pengedaran buku “Pendedahan agenda Kristian” dan Obligation to Preserve the Sanctity of the Name of Allah” Pada masa yang sama tatkala UiTM menganjurkan seminar ini, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang juga penganjur bersama juga mempunyai agenda yang agak nakal dengan mengedarkan kedua-dua buku “Pendedahan agenda Kristian” dan Obligation to Preserve the sanctity of the name of Allah sebagai cenderahati kepada mereka yang hadir. Saya berupaya mendapat dan membaca buku-buku tersebut daripada rakan saya yang menghadiri seminar tersebut. Apa yang dapat saya katakan mengenai buku “Pendedahan agenda Kristian” adalah ianya merupakan usaha yang ‘murni’ MAIS bagi mengekang umat Islam daripada murtad. Saya lihat ia mungkin langkah defensif bagi menjaga akidah umat Islam sebagaimana ada disebut dalam pengenalan buku itu. Dengan nyata buku tersebut ada menyebut, “Penulisan buku ini bukan bertujuan untuk mengajak umat Islam membenci agama Kristian.” Namun, setelah membaca satu-persatu halaman muka surat buku tersebut ternyata ianya amat mendukacitakan saya. MAIS menanam rasa kebencian dan ‘Kristianofobia’ kepada umat Islam secara terang-terangan. Begitu juga dengan buku Obligation to Preserve the Sanctity of the Name of Allah, MAIS yang juga ingin menjadi jaguh dalam menyampaikan kewajipan melarang umat bukan Islam menggunakan perkataan ‘Allah’ menggunakan bahasa puitis yang indah pada pengenalan juga ada menyebut penulisan buku tersebut tidak mengugatkan perpaduan dan toleransi antara komuniti agama di Malaysia. Malang sekali, setelah pembacaan teliti dari awal hingga akhir muka surat buku tersebut dilakukan ternyata ianya meleset sama sekali. Saya tidak mahu bercerita panjang mengenai buku ini kerana saya tahu isu pengunaan kalimah ‘Allah’ masih dalam kes mahkamah. Dan sebagai umat Kristian sendiri, saya berpendapat umat Islam terutama pihak berkuasa agama Islam tidak berhak untuk menindas penganut lain dengan mengekang urusan penerbitan serta penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam upacara sembahyang yang sememangnya sebati dalam umat Kristian di Malaysia sekian lama. Kesimpulan Saya juga mengandaikan UiTM barangkali mempunyai agenda tersembunyi dalam mengadakan seminar tersebut memandangkan ketegangan agama dan politik menjadi-jadi di Malaysia bagi mengalih perhatian negara daripada segala isu-isu yang berkaitan dengan permasalahan rakyat seperti kos sara hidup, cukai GST serta salah urus tadbir kerajaan. UiTM pun sering memandang penuh aspirasi kerajaan pemerintah sekarang tanpa berbelah bahagi. Dengan menggunakan kaum dan agama, saya khuatir ianya berterusan sehingga PRU ke-14. Sudah pasti ianya tidak menguntungkan sesiapa ibarat kata pepatah “yang menang jadi arang dan yang kalah menjadi abu”. Cukuplah saya di’brainwash’ (memaksa perubahan pendapat) sejak diploma hingga ke ijazah dengan pelbagai program yang kurang bermanfaat dari segi agama dan hal ‘ketuanan’ yang melampau. Saya bersyukur kerana saya dibesarkan dengan masyarakat yang berbilang kaum dan agama dan sudah tentu saya tidak termakan segala hasutan apa jua program-program UiTM mengarah saya ke arah bersifat rasisme dan etnosentrime. Memetik falsafah UiTM – ”setiap individu mampu mencapai kecemerlangan melalui pemindahan ilmu serta penerapan nilai-nilai murni agar menjadi graduan profesional yang berupaya mengembangkan ilmu dan membangunkan diri, masyarakat dan negara” – saya percaya masih ada ruang untuk diperbaiki lagi dalam UiTM untuk menebus dosanya. Jangankan nanti wacana akademik tidak sihat ini berterusan, bermaknakah visi serta falsafah UiTM dalam melabur siswa-siswinya pada masa depan? Saya berharap ianya berubah selepas insiden ini. Walaubagaimanapun, sebagai alma-mater saya UiTM tetap di hatiku.         unnamed

]]>

Shamanisme Sabah : Mangambao

Mangamabo Sebelum memulakan upacara Mangambao, Bobolian dan Bobohizan (pengamal-pengamal upacara shamanisme) akan meletakkan satu tarikh khas untuk upacara Mangamabo. Selepas itu, Bobolian ataupun Bobohizan akan menjemput rakan-rakan Bobolian dan Bobohizan yang lain untuk menyertai upacara ini. Upacara Mangambao mesti dilakukan dengan 3 ataupun 10 orang Bobolian dan Bobohizan dan tidak boleh dilakukan oleh seoang Bobolian dan Bobohizan sahaja. Penduduk kampung disekitar juga dijemput untuk turut serta dalam Mangambao dengan satu syarat dimana mereka yang menyertainya harus mematuhi pantang larang seperti tidak boleh memetik pisang dan mengambil batang “Polod” ataupun “sejenis makanan dari batang pokok kelapa” untuk menghormati upacara Mangambao ini. Bobolian dan Bobohizan kemudiannya akan mencari seekor “babi” ataupun “Wogok” untuk dijadikan penyembahan dalam upacara Mangambao dimana Wogok akan dipersembahkan kepada rogon jahat semasa mengambil roh si pesakit dan juga kepada rogon-rogon lain yang berada di tanah, rumah, air dan pokok. Lagu-lagu mantera Upacara Mangambao  dimulakan dengan menyembelih atau “menombok” Wogok tersebut dengan di sertai  “rinait dan watang” atapun “lagu-lagu mantera” yang berbeza-beza mengikut kepandaian rinait dan watang setiap Bobolian dan Bobohizan. Rinait dan watang yang dinyanyikan adalah untuk memanggil malaikat-malaikat pelindung yang akan menolong Bobolian dan Bobohizan untuk mendapatkan roh si pesakit yang telah di ambil oleh rogon jahat. Mereka yang turut serta dalam Mangambao juga boleh mengikut membaca rinait dan watang yang di nyanyikan oleh Bobolian dan Bobohizan. Antara rinait dan watang yang di nyanyikan oleh nenek saya semasa Mangambao ialah rinait do “Sugang” Rinoit do “Sugang” Oi kumburongoh, sugaun ti topong sugang, ngoyo ku di kumborongoh Iso kudi rinokian,sungaun ti topong sugang,topong di kumborongoh Sugang tanak gararaong ngadau Irung tanak  irung sidang,aawi kanto garao ngadau Inda kanto irung sidang tolindakon dot nokuod soroungan dot nawalie Ko suminban kotugangon  dot tumitiu ko suminban dot tinogu Monida nogi tondiu manahang nogi kolumpod Molungou longou ei rinatai mansampur-sampur ei tanah Hilo no simbang tarasi, ei’ e  koh ei sugang nga amu osulian Rimuda om rumasa, ei’e  maga oii, simbang dahai kumborongoh Irung dahai rinokian hilo no sugang tarasu om hilo noh irung taadau Sugang nga amu osulian ei rimunda aaratan Bobolian dan Bobohizan yang mahir dalam upacara Mamagambil akan memanggil Tombilonnya iaitu Himbou, manakala Bobolian dan Bobohizan yang lain akan memanggil semangat komburongoh dengan menggunakan sejenis alat shamanisme iaitu Kumburongoh. Ada Bobolian dan Bobohizan memanggil  semangat yang dipanggil Dahao dengan menggunakan sejenis alat shamanisme iaitu Ginding. Semangat-semangat Himbou, Komburongoh dan Dahao akan terpanggil melalui rinait dan watang yang di nyanyikan oleh Bobolian dan Bobohizan dan ikut serta dalam upacara Mangambao. Monsuhut Di sebelah siang, Bobolian dan Bobohizan berterusan menyanyikan rinait dan watang masing-masing hingga sampai waktu malam. Di sebelah malam, Tombilon, Himbou dan Komburongoh bersama-sama dengan Bobolian dan Bobohizan akan melakukan Monsuhut (mengambil roh si pesakit) yang telah di ambil oleh rogon jahat. Rogon Bobolian dan Bobohizan juga akan berkomunikasi dengan rogon-rogon yang tinggal di rumah bersama dengan manusia untuk merapatkan hubungan rogon dengan manusia supaya rogon yang tinggal di rumah tidak akan menjadi jahat kepada manusia. Salah satu rogon iaitu Tandahou. Tandahao merupakan rogon yang baik dan menolong manusia dimana rogon ini membantu mengukuhkan kedudukan rumah supaya tidak tumbang apabila ribut kuat melanda. Bobolian dan Bobohizan juga berkomunikasi dengan rogon-rogon lain seperti rogon tanah iaitu Satana dan Koromit, rogon air iaitu tambaig, rogon di pokok-pokok besar iaitu Tompuan. Tompuan biasanya hidup di “Nunuk” ataupun “pokok-pokok yang mempunyai batang besar. Ini adalah bertujuan supaya rogon-rogon ini tidak akan menganggu kehidupan manusia terutamanya keluarga si Bobolian dan Bobohizan. Upacara turun-kemurun Upacara Mangambao adalah upacara shamanisme yang memakan masa yang lama untuk mempelajarinya. Nenek saya sendiri telah mengambil masa dua tahun untuk menghafal rinait dan watang dimana nenek moyang menyampaikan rinait dan watang dalam bahasa lisan kerana nenek saya tidak pandai menulis. Setiap malam, nenek saya akan menghafal beberapa bait rinait dan ratang sehingga rinait dan watang itu lengkap menjadi satu lagu mantera. Proses pembelajarannya memerlukan kesabaran dan minat yang tinggi untuk menguasai ilmu dan pengetahuan alam yang menakjubkan ini. Maka Mangambao itu sesuatu pengetahuan dan ilmu yang memerlukan kekuatan dan komitmen yang tinggi untuk mempelajarinya dimana ianya memerluka daya ingatan yang kuat untuk mengingati setiap bait rinait dan watang. Persoalannya sanggupkah kita memberi ruang kepada otak dan minda kita untuk menghafal semua ini? Penulisan saya akan bersambung kepada shamanisme yang seterusnya iaitu “Moguhok”.

]]>

Buku MAIS boleh undang murtad

salam (keamanan). Itu antara perkara paling asas yang diketahui dan diakui oleh semua pada peringkat antarabangsa. Bagaimanapun, nampak gayanya, keadaan sedikit berbeza dalam konteks di Malaysia kerana sentiasa ada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mencemarkan kesucian dan keindahan Islam dengan memanipulasi nama Islam itu sendiri. Dalam perkembangan terkini – dan masih hangat – adalah isu “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 6 Mei 2014. Seperti yang saya tegaskan dalam laporan polis pada 8 Mei 2014, sebagai pengamal multifaith (percaya pada ajaran semua agama), saya membidas kandungan seminar itu yang dijadikan platform mempersenda ajaran Kristian dan penganut Kristian secara keseluruhan. Rujuk www.uthayasb.blogspot.com untuk maklumat lanjut. Apabila saya berpeluang membaca buku Pendedahan Agenda Kristian (2014) terbitan MAIS, perasaan saya amat terganggu. Seperti yang saya nyatakan dalam makalah bertajuk “Benarkah ini agenda Kristian?” (Projek Dialog, 16 Mei 2014), saya berjaya mendapatkan senaskhah buku itu pada 15 Mei 2014 dan terus membacanya dengan penuh teliti. Perasaan saya terganggu bukan sahaja kerana buku itu berciri anti-Kristian serta boleh diklasifikasikan sebagai bahan bacaan berunsur fitnah terhadap ajaran Kristian dan penganut Kristian. [caption id="attachment_3495" align="alignleft" width="300"]Salah satu laman yang dipromosikan MAIS dalam buku ini. Salah satu laman yang dipromosikan MAIS dalam buku ini.[/caption] Selain daripada itu, saya terasa amat bimbang kerana buku itu khabarnya telah diedarkan secara percuma kepada peserta – majoriti Melayu-Islam – yang menghadiri (atau dipaksa menghadiri) seminar berkenaan. Saya mempunyai alasan untuk berasa khuatir bahawa buku Pendedahan Agenda Kristian boleh menjadi pencetus, pemangkin dan penggalak kepada lebih ramai orang Melayu meninggalkan agama Islam (murtad; daripada kata “riddah” dalam bahasa Arab) dan memilih untuk memeluk agama Kristian. Selepas saya dan Perzeus James membuat laporan polis (8 Mei 2014), kami berdua diminta pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 16 Mei 2014 untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes. Antara lain, kami menegaskan kepada pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Rohaini Baharom, bahawa penganjur dan penceramah seminar itu perlu disiasat mengikut Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan kerana menggalakkan perpecahan, permusuhan, ketidak harmonian dan kebencian dengan menggunakan alasan agama. Nampaknya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga perlu diminta segera mengkaji buku Pendedahan Agenda Kristian yang dikhuatiri menyelitkan “agenda” tersembunyi “memudahkan” orang Islam murtad! Punca orang Melayu keluar Islam Dalam pada Jakim dan KDN “meraikan kejayaan” mengharamkan novel Perempuan Nan Bercinta (2012) karya Faisal Tehrani hampir dua tahun selepas ia diterbitkan (dan khabarnya sudah habis dijual dan dibaca orang), jangan sampai buku “panduan untuk murtad” seperti ini terlepas daripada radar. Sesungguhnya Pendedahan Agenda Kristian adalah sebuah buku yang berciri anti-Kristian, tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat, mengancam ketenteraman awam, berniat jahat, berunsur fitnah dan mengandungi anasir-anasir yang mampu menghancurkan keharmonian rakyat pelbagai kaum, agama, etnik, kepercayaan dan mazhab di Malaysia. Seperti dinyatakan dalam buku itu sendiri, “tindakan memurtadkan umat Islam walau dengan apa alasan sekalipun adalah sesuatu perkara yang tidak wajar.” Anehnya, terdapat banyak unsur “galakan murtad” dalam buku ini sendiri! “Isu murtad di kalangan umat Islam di Malaysia telah sampai ke tahap kritikal malah dikhuatiri semakin bertambah setiap hari. Gejala ini memberi gambaran kepada kita bahawa semakin ramai umat Islam telah terpesong daripada ajaran Islam sebenar selain kekuatan Islam di Malaysia semakin tergugat oleh pelbagai anasir dalaman atau luaran.” Petikan di atas (daripada halaman 30 buku berkenaan) benar-benar merisaukan saya dan membuatkan saya khuatir akan kesan psikologi yang akan dirasai oleh generasi muda Melayu-Islam yang memiliki “kejahilan” dan “keinginan meneroka perkara baru” (halaman 31). Sejak kecil hingga sekarang, saya tidak pernah membayangkan ada orang Melayu-Islam yang sanggup meninggalkan segala keistimewaan, kemewahan dan peluang khas yang dimiliki (seperti dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan) semata-mata kerana terpengaruh dengan “gelombang murtad” iaitu “gejala yang semakin menular”. Tambahan pula, murtad dikira sebagai jenayah berat dalam Islam. Bagaimanapun, buku Pendedahan Agenda Kristian seolah-olah tampil “mengajar” pelbagai teknik dan taktik yang boleh ditangani untuk kekal murtad tanpa perlu kehilangan apa-apa kemewahan dan hak istimewa yang diperolehi sebagai Bumiputera dan Melayu-Islam. [caption id="attachment_3494" align="alignleft" width="300"]Kisah menarik bagaimana Jamaluddin menjadi paderi Melayu pertama. Kisah menarik bagaimana Jamaluddin menjadi paderi Melayu pertama.[/caption] Buku ini turut mengakui wujud “kelalaian dan kelemahan jatidiri umat Islam” termasuk faktor-faktor luaran seperti “ujian kebendaan, kelemahan penguatkuasaan, desakan hidup, perkahwinan, kelemahan ummah” selain “usaha mubaligh agama lain”. Orang Melayu yang ada “niat” untuk murtad mungkin tidak sanggup berbuat demikian selama ini kerana “Mahkamah Syariah mengharamkan seseorang Muslim keluar daripada agama Islam (murtad) berdasarkan peruntukan undang-undang Islam” (halaman 38). Bagaimanapun, kalau mereka berpeluang membaca buku ini, saya khuatir, bimbang dan gelisah bahawa mereka akan mendapat “semangat baru”. Apa tidaknya! Buku ini “mengajar” apa yang pernah dan boleh dilakukan secara langkah demi langkah (step by step). Diterangkan dalam buku ini (halaman 35) mengenai “kejayaan” Jamaluddin Osman @ Joshua Jamaluddin dilantik menjadi Paderi Melayu pertama di Petaling Jaya pada tahun 1987. Kes-kes yang menaikkan semangat! “Beliau pernah ditahan ISA. Tetapi pihak gereja, beberapa NGO, beberapa pemimpin politik dan Majlis Peguam pernah membantah dan mencabar kes berkenaan di mahkamah. Father Joshua Jamaluddin memiliki iras Melayu dan berpakaian seperti Melayu kini lepas bebas untuk menggerakkan program kristianisasi terhadap umat Islam.” Harap maklum bahawa perenggan di atas bukan daripada sebuah buku dakwah mubaligh Kristian, tetapi daripada sebuah buku terbitan MAIS yang diedarkan secara percuma kepada orang ramai (Islam) semasa seminar anti-Kristian di UiTM. Tidak mustahil bahawa “semakin ramai umat Islam (yang) telah terpesong daripada ajaran Islam sebenar” (halaman 30) akan berasa kagum membaca kisah kejayaan Father Joshua Jamaluddin yang “kini lepas bebas”. Mungkin mereka tidak pernah tahu mengenai perkara ini tetapi kini mereka sudah tahu secara jelas dan mendalam. Jangan lupa bahawa “kempen Kristianisasi” ini bukan dilakukan mubaligh Kristian, sebaliknya menerusi sebuah buku terbitan MAIS. Sementara UiTM menganjurkan seminar anti-Kristian, MAIS pula seolah-olah mengambil peluang mengedarkan buku “panduan untuk murtad” kepada peserta yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah. [caption id="attachment_3491" align="alignleft" width="300"]Kes Lina Joy dan Nor Aishah boleh dijadikan “panduan” untuk murtad. Kes Lina Joy dan Nor Aishah boleh dijadikan “panduan” untuk murtad.[/caption] Kes Lina Joy dihuraikan dalam bentuk isi-isi penting yang mudah dibaca dan difahami (halaman 36-41). Kalaulah saya seorang Melayu-Islam dan saya bercadang untuk murtad – tanpa “dipengaruhi” orang Kristian – maka banyak panduan berguna yang boleh saya pelajari dengan membaca buku Pendedahan Agenda Kristian. Bayangkan bahawa saya (andaikan saya Melayu-Islam) seorang pelajar yang menghadiri “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” pada 6 Mei 2014 dan menerima senaskhah buku berkenaan yang diedarkan secara percuma oleh MAIS. Ibu bapa saya pasti tidak menghalang saya membaca buku itu; malah mungkin berasa bangga melihat anak mereka sudah mula membaca buku-buku “agama” terbitan MAIS selepas menghadiri seminar anti-Kristian anjuran UiTM. Kes Aishah Bokhari (halaman 42-46) mungkin akan menambah semangat dan keyakinan saya bahawa ada pelbagai pihak (NGO, peguam dan sebagainya) yang akan tampil “membantu” saya sekiranya saya memutuskan untuk meninggalkan agama Islam (murtad). Pada halaman 47, dinyatakan bahawa salah satu kesan daripada kes Lina Joy dan Aishah Bokhari adalah “buka peluang kes baharu dan tambah keberanian yang telah murtad” walaupun mengikut hukum syarak, “pesalah murtad boleh dikenakan hukuman bunuh” (halaman 30). Pada penelitian saya sebagai seorang pengamal media, “impak dan kesan ke atas umat Islam” seperti yang dikhuatiri itu sebenarnya turut dibawakan menerusi buku Pendedahan Agenda Kristian terbitan MAIS. Tambahan pula, buku ini ditulis menggunakan Bahasa Malaysia yang amat mudah dibaca dan difahami orang Melayu. (Soal bahasa terpaksa diungkitkan di sini kerana terdapat kes buku tulisan Charles Darwin dan Karen Armstrong dalam versi Bahasa Inggeris dibiarkan tetapi terjemahan Bahasa Malaysia diharamkan oleh KDN di negara bertuah ini.) Jakim, KDN elok siasat sebelum terlewat [caption id="attachment_3492" align="alignleft" width="300"]Buku ini wajar diteliti oleh Jakim dan KDN kerana mungkin boleh menyesatkan orang Islam. Buku ini wajar diteliti oleh Jakim dan KDN kerana mungkin boleh menyesatkan orang Islam.[/caption] Memandangkan bahawa kini terdapat capaian internet di mana-mana, MAIS seolah-olah tidak lupa “membuka ruang dan peluang” kepada orang Melayu-Islam yang mungkin mahu mendapatkan lebih banyak maklumat dan “panduan untuk murtad” dari seluruh dunia. Mereka hanya perlu mendapatkan beberapa pautan (link) yang dipromosikan dalam buku ini (halaman 48-52) untuk tahu bahawa mereka tidak sendirian dalam “perjuangan” mereka untuk meninggalkan agama Islam! Malah, MAIS secara penuh licik memberikan pautan bagi sebuah laman “yang ditubuhkan untuk membela golongan murtad yang ingin melarikan diri ke luar negara setelah murtad”. Sekali lagi, harap maklum bahawa pautan itu bukan diberikan oleh “mubaligh Kristian” dan “musuh-musuh Islam”. Melalui buku Bahasa Malaysia ini juga, saya (bayangkan bahawa saya orang Melayu-Islam yang tidak tahu Bahasa Inggeris) berjaya memahami sepenuhnya makna “evangelisme”. Saya difahamkan – oleh MAIS – bahawa “agama Kristian adalah agama misionari, yang meletakkan statusnya sebagai agama universal. Ajarannya menetapkan bahawa agama ini mesti disebarkan ke seluruh umat manusia.” Menerusi buku ini juga (halaman 58-59), orang Melayu mungkin menjadi amat kagum dengan semangat para penganut Kristian yang “perlu menyediakan prasarana misionari mubaligh seperti penyebar agama, bahan, sasaran fokus dan cara penyebaran.” Pelbagai artikel berkaitan agama Kristian dalam Bahasa Inggeris diterjemahkan kepada Bahasa Malaysia untuk dimuatkan dalam buku ini sehingga mampu membuatkan pembaca Melayu-Islam (yang tidak tahu Bahasa Inggeris sekalipun) kagum dengan gerakan mubaligh Kristian yang amat profesional, tahan lasak dan intelektual. [caption id="attachment_3493" align="alignleft" width="300"]Pembaca akan lebih memahami dan kagum dengan gerakan mubaligh Kristian. Pembaca akan lebih memahami dan kagum dengan gerakan mubaligh Kristian.[/caption] Malah, dikemukakan pelbagai “penyamaran” yang boleh dimanfaatkan oleh orang Melayu yang sudah meninggalkan Islam dan memeluk Kristian secara senyap-senyap. Ada pelbagai idea yang mungkin tidak pernah kita terfikir selama ini. MAIS memang hebat, bijak dan licik dalam “menyampaikan maklumat berguna” berhubung perkara ini. Ingat: Segala maklumat dan “panduan untuk murtad” itu bukan disebarkan kepada anda oleh orang Kristian dan “musuh-musuh Islam” tetapi oleh sebuah pertubuhan Islam. Dan saya mungkin dipersalahkan kerana melakukan pendedahan ini serta meluahkan kekhuatiran saya secara terbuka. Buat masa ini, buku Pendedahan Agenda Kristian tidak diharamkan oleh Jakim dan KDN. Maka bayangkanlah bahawa orang Melayu-Islam bebas membacanya secara berani di tempat terbuka untuk mendapatkan “panduan untuk murtad”. Perkara ini amat merisaukan saya. Besarlah harapan saya bahawa Jakim dan KDN akan menganggap makalah ini sebagai aduan rasmi daripada seorang rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, lalu mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung gejala murtad dalam kalangan orang Melayu.         unnamed

]]>