Hak Asasi Haiwan: Perspektif Islam

Petikan ini diambil daripada laman ‘Moments of Perfect Clarity ditulis oleh Amber Khan. Diterjemahkan oleh Yana Rizal.

 
Aku pernah melihat lelabah besar dalam hidupku – banyak yang membuatkan aku lari menjerit dari bilik seperti budak kecil. Tetapi semahu aku melanyaknya dengan objek paling besar yang dapat kucari, aku teringat kisah sewaktu seekor labah-labah menyelamatkan Nabi (saw) yang kita sayangi daripada orang-orang yang cuba membunuhnya. Apabila Rasulullah (saw) dan Abu Bakar (ra) terperangkap di dalam gua sewaktu penghijrahan mereka dari Mekah ke Madinah, mereka duduk diam di dalam ruang yang gelap ini, menunggu musuh-musuh – yang, pada waktu itu, sedang menjejaki pergerakan mereka – untuk melepasi mereka. Abu Bakar (ra) sangat gembira untuk mengiringi Rasulullah dalam perjalanan yang bersejarah ini, dan beliau berbesar hati menjadi pengawal peribadi Rasulullah. Namun apabila mendengar jejak langkah musuh-musuh mereka, beliau begitu takut bahawa Rasulullah akan dicederakan. Tapi Rasulullah tidak khuatir. Malah, baginda sangat yakin, dan seolah menjawab kerisauan sahabatnya itu, Rasulullah berkata: “Janganlah berdukacita: sesungguhnya Allah bersama kita.” Allah menceritakan kisah ini dalam Surah At-Taubah, firmanNya:

“Jika kamu tidak membantunya (Nabi Muhammad) – Allah telahpun membantunya apabila kaum kafir telah mengusirnya keluar (dari Mekah) sebagai salah seorang daripada dua, ketika mereka berada di dalam gua dan dia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah berdukacita; sesungguhnya Allah bersama kita. ” Maka Allah menurunkan ketenanganNya kepadanya dan membantunya dengan malaikat-malaikat yang tidak kamu lihat dan menjadikan seruan orang-orang kafir terendah, manakala perkataan Allah itulah yang tertinggi. Dan Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (9:40)

Ianya seekor labah-labah, askar yang dipilih oleh Allah – dengan kehendakNya – untuk menyelamatkan mereka. Ia menjalin sesawang di mulut gua, mengelirukan musuh dan membuatkan mereka percaya bahawa tiada siapa di dalamnya – lagipun, sesawang labah-labah tersebut masih sempurna. Pastinya ia akan rosak jika sesiapa telah menembusinya? Setiap kali aku melihat lelabah, aku teringatkan kisah ini dan merasa tanggungjawab untuk melindungi mereka – seperti aku terhutang budi kepada mereka. Dan ini sesuatu yang positif, kerana Islam adalah agama yang mengharuskan penganutnya menyantuni haiwan dengan belas kasihan dan kebaikan. Malah, status tinggi haiwan dalam Islam nyata dengan fakta bahawa begitu banyak surah di dalam al-Quran yang dinamakan sempena haiwan: Al-Baqarah (Lembu); An-Nahl (Lebah); Al-Fil (Gajah); Al-An’am (Ternakan); Al-Ankabut (Lelabah); dan An-Namal (Semut). Dalam Islam, manusia mempunyai tanggungjawab moral untuk berlaku adil terhadap haiwan. Nabi memerintahkan layanan yang baik, dan banyak riwayat hadis yang menyokong ini:

“Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kebaikan kepada semua; jadi apabila kamu membunuh, bunuhlah dengan cara yang baik dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan cara yang baik. Oleh itu, setiap kamu hendaklah menajamkan pisaunya dan biarlah haiwan yang disembelih itu mati dalam keadaan senang.”(Muslim)

“Jangan jadikan apa-apa yang hidup sebagai sasaran.” (Muslim)

Said b. Jubair meriwayatkan bahawa Ibnu Umar kebetulan melalui sekumpulan lelaki yang telah mengikat seekor ayam dan membusuri anak panah kearahnya. Sebaik sahaja mereka melihat Ibnu Umar, mereka lari bertempiaran daripadanya. Maka Ibnu Umar berkata: “Siapakah yang telah melakukan ini? Sesungguhnya Rasulullah telah menyumpah sesiapa yang berbuat demikian.” (Muslim)

  Al-Quran mengibaratkan manusia seperti haiwan, menerangkan bahawa mereka juga mempunyai komuniti sendiri, seperti kita:

“Dan tiada makhluk di bumi mahupun burung yang terbang dengan sayapnya kecuali [mereka] bermasyarakat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam Kitab ini. Kemudian kepada Tuhan mereka, mereka akan dihimpunkan.” (6:38)

Allah memberitahu kita bahawa binatang yang berkeliaran di bumi juga memuji Allah walaupun pujian ini bukanlah dalam bentuk yang difahami manusia, menunjukkan bahawa persamaan di antara kita ialah tujuan penciptaan kita, iaitu menyembah Allah.

“Langit yang tujuh serta bumi dan segala isi kandungannya memuji Allah. Dan tiada suatupun kecuali ia menyanjung dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham pujiannya.” (17:44)

Walaupun hadith memberitahu kita bahawa haiwan akan akhirnya bertukar menjadi debu pada hari kiamat, sebelum itu mereka akan menyelesaikan perhitungan sesama mereka. Hakikatnya, tiada ketidakadilan yang tidak akan terbalas di akhirat:

“Allah akan mengadili antara ciptaanNya, jin, manusia dan haiwan. Pada hari itu, Allah akan membenarkan haiwan yang tidak bertanduk menyelesaikan perhitungannya dengan yang bertanduk sehinggalah, apabila tiada lagi yang perlu diselesaikan, Allah akan berfirman kepada mereka, “Jadilah debu.” Pada ketika itu yang kafir akan berkata, “Kalaulah aku menjadi debu [dan bukan kafir pada hari ini]. ‘” (Disahihkan oleh al-Albaani dalam al-Silsilat al-Saheehah, no. 1966)

Oleh itu maknanya kepada kita, sebagai manusia, adalah kita mempunyai tanggungjawab untuk berlaku adil terhadap semua ciptaan Allah. Kita diberitahu bahawa kita akan dipertanggungjawabkan untuk tindakan kita pada hari kiamat. Nabi (saw) memberitahu kita berulang-kali bahawa orang yang melayani haiwan dengan hormat dan kebaikan akan diberi ganjaran, manakala orang yang melayani haiwan dengan kejam akan dihukum.

“Seorang wanita dihukum kerana menyimpan seekor kucing yang terikat sehingga ianya mati, dan (sebagai hukuman untuk kesalahan ini) dia dicampak ke neraka. Dia tidak memberinya makanan, atau minuman, dan tidak membebaskannya supaya dia boleh memakan serangga di bumi.” (Muslim)

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah (saw) bersabda: “Ada seorang yang terseksa kehausan ketika perjalanannya, apabila dia terjumpa sebuah telaga. Dia turun ke dalamnya dan meminum [air] dan kemudiannya keluar, melihat seekor anjing yang mejelirkan lidahnya kerana dahaga dan memamah tanah yang lembap. Orang itu berkata: ‘Anjing ini telah menderita kehausan sama seperti aku.’ Dia turun semula ke dalam telaga, memenuhi kasutnya dengan air, mencangkamnya dalam mulut dan memanjat naik dan memberikan anjing itu minum. Maka Allah meghargai perbuatannya ini dan memaafkannya …” (Bukhari)

Dengan kehendakNya, dosa-dosa besar juga boleh dimaafkan apabila seseorang melayani ciptaan Tuhan dengan belas kasihan:

“Seorang pelacur melihat anjing yang mengelilingi sebuah telaga pada hari yang terik sambil menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Dia menimba air untuknya dengan menggunakan kasutnya dan dia diampunkan (kerana perbuatan ini).” (Bukahri)

Oleh itu, kepentingan dan penekanan dalam melayani haiwan dengan empati dan kebaikan adalah terbukti. Sebagai perbandingan, zaman pra-Islam menyaksikan amalan khurafat jahiliah dan musyrikin yang melibatkan penyeksaan dan kekejaman. Rasulullah adalah perintis dari segi hak asasi haiwan semasa hayatnya, dan beberapa hadith baginda menunjukkan bagaimana kita patut melayani haiwan dalam konteks yang berbeza. Haiwan yang berkhidmat kepada manusia seharusnya diperlakukan dengan adil sebagai contoh; mereka tidak sepatutnya dalam keadaan apa sekalipun diabaikan. Semasa perjalanan dengan haiwan, Nabi Muhammad selalu menasihati yang berikut:

“Apabila kamu melalui tanah yang subur, kamu patut [berjalan dengan perlahan dan] memberi unta peluang untuk meragut rumput di kawasan tersebut. Apabila kamu melalui [tanah] gersang yang kekurangan tumbuhan, percepatkanlah langkah mereka [bagi mengelakkan unta kamu daripada lemah dan kurus kering kerana kekurangan makanan].” (Muslim)

Haiwan juga memainkan peranan penting dalam sejarah Islam, dan terdapat pelbagai kisah yang disebutkan di dalam al-Quran mengenainya, kisah Nabi Salih (as) salah satunya. Kaum Thamud – umat (bangsa) Nabi Saleh (as) – begitu angkuh dan enggan menerima bahawa Nabi mereka adalah utusan Allah.

“Mereka berkata, ‘Wahai Salih, kau di antara kami adalah seorang yang diharapkan sebelum ini. Adakah kau melarang kami menyembah apa yang disembah oleh nenek moyang kami? Dan sesungguhnya kami, mengenai apa yang engkau serukan, berada dalam ragu-ragu yang meresahkan. ‘”(11:62)

Selari dengan keangkuhan mereka, mereka menuntut Salih (as) memberi petanda untuk membuktikan darjatnya. Malah, mereka bukan sahaja meminta sebarang petanda, tetapi sesuatu yang lebih khusus. Mereka menunjuk kepada sebuah batu besar yang berdiri dengan sendirinya, dan mencadangkan supaya beliau memohon kepada Allah untuk mencipta seekor unta betina daripadanya. Meskipun kedegilan mereka, Salih melakukannya dengan syarat bahawa mereka akan beriman kepada Allah jika Dia menjadikan unta betina daripada batu itu. Mereka bersetuju. Salih (as) kemudiannya bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah supaya menjawab permintaan mereka itu. Benarlah, batu besar tersebut bergerak dan kemudiannya pecah, dan daripadanya jelmalah seekor unta betina yang menakjubkan, yang sedang bunting dan hampir bersalin. Allah memberikan Thamud keajaiban ini untuk menguji mereka, untuk melihat samaada mereka akan taat kepada perintahNya. Salih (as) mengatakan kepada mereka:

“Dan wahai kaumku, inilah unta betina dari Allah – [dia] kepadamu satu petanda. Maka biarkanlah ia mencari makanan di bumi Allah dan janganlah kamu menyentuhnya dengan bahaya, atau kamu akan ditimpa azab kelak.” (11:64)

Unta tersebut hidup di kalangan kaum Thamud, dan tidak lama kemudian melahirkan anak. Demikiannya, beberapa di antara mereka benar-benar beriman kepada Allah kerana apa yang mereka telah saksikan, dan apa yang mereka janjikan. Namun kebanyakannya tidak, dan mereka berpakat untuk membunuh kedua-dua unta dan anaknya itu, yang menyebabkan mereka diazab hebat. Di zaman Nabi Sulaiman (as), beliau berarak dengan tenteranya apabila beliau terserempak dengan beberapa semut:

“Sehingga apabila mereka sampai ke lembah semut, berkatalah seekor semut, “Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu supaya kamu tidak dihancurkan Sulaiman dan tenteranya sedang mereka tidak menyedarinya. “(27:18)

Sulaiman (as) terdengar kata-kata semut itu. Allah menceritakan di dalam al-Quran:

“Maka [Sulaiman] tersenyum mendengar ucapannya, dan berkata, ‘Wahai Tuhanku, benarkan aku mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau kurniakan kepadaku dan ke atas ibu bapaku, dan untuk melakukan amal soleh yang Engkau redhai. Dan masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam [darjat] hamba-hambaMu yang soleh.'” (27:19)

Mengagumkan bahawa ucapan seekor semut kecil juga mampu membuat Nabi Sulaiman (as) tersenyum dan merenungkan makna kehidupannya. Hari ini, satu topik kontroversi di dalam media ialah kaedah membunuh haiwan sepertimana yang disarankan Shariah (undang-undang Islam). Penyembelihan Islam telah diserang dan dikecam oleh aktivis hak asasi haiwan, kerajaan, dan orang awam sebagai kejam – tetapi setelah segala bukti-bukti yang diberikan di dalam artikel ini, ia sepatutnya jelas bahawa Islam hanya menggalakkan layanan baik terhadap haiwan. Agama ini ialah sesuatu yang telah diutuskan oleh Allah dan maka itu, ianya sempurna. Apabila difahami dengan sebenar, ianya mudah untuk melihat bahawa penyembelihan halal sebenarnya lebih berperikemanusiaan daripada kaedah yang digunakan di Barat! Rumah penyembelihan moden menggunakan pelbagai kaedah untuk memegunkan ternakan, termasuk pengejutan elektrik, pemegunan gas dan pemegunan hentakan. Kaedah ini jarang berkesan dengan serta-merta dan malangnya, haiwan tersebut hampir sentiasa menderita sebelum mati. Umat Islam tidak seharusnya, dan kebanyakannya tidak, mengambil subjek ini secara keterlaluan, dengan mencadangkan bahawa haiwan tidak sepatutnya dimakan – seperti yang dipegang oleh vegetarianisme dan veganisme. Sebaliknya, Islam mengiktiraf bahawa Allah telah memberikan manusia bumi, dan segala yang mendiaminya, supaya sumber-sumber ini dapat dinikmati sebagaimana yang dikehendaki dan diperlukan. Meskipun itu, ia tidak bermaksud bahawa kita harus menyalahgunakan planet ini, alam sekitar, atau binatang; sebaliknya ia meningkatkan tanggungjawab kita untukmenjaga apa yang telah dikurniakan Allah kepada kita. Ya, kita memakan daging, namun kita melakukannya dengan cara supaya haiwan tersebut mengalami kesakitan dan trauma yang paling sedikit dalam proses ini. Kami mematuhi garis panduan ketat yang diturunkan melalui Al-Quran, dan Sunnah (cara dan kehidupan) Nabi Muhammad. Dalam kehidupan seharian, bagaimanapun, kita sebagai umat Islam perlu bertanya kepada diri sendiri samaada kita benar-benar mengikuti contoh Nabi yang dicintai. Adakah kita benar-benar mengikuti panduan yang telah digariskan di dalam al-Quran? Adakah kita memainkan peranan aktif dalam memastikan bahawa haiwan, yang mana kita telah dikurniakan kelebihan ke atasnya oleh Allah, telah diperlakukan dengan cara yang Islami? Dalam era di mana ladang penganiyaan adalah norma, sedihnya, haiwan sering tertakluk kepada persekitaran yang kejam, termasuklah dikurung, kebuluran, pengabaian dan kematian. Islam, dan warisan Nabi sepatutnya terkehadapan dalam kempen untuk layanan baik dan adil terhadap haiwan. Mencontohi Nabi kita yang tersayang, kita sepatutnya menjadikan layanan terhadap ciptaan Allah satu keutamaan dalam hidup, bukannya detik pemikiran retrospektif sepintas membeli ayam hasil ladang penganiayaan dengan harga semurah mungkin. Dengan kehendak Allah, menjadikan diri kita walaupun hanya lebih sedikit prihatin terhadap hak asasi haiwan akan meraih ganjaran hebat kepada kita pada Hari yang terpenting.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa umat bertanya kepada Nabi Muhammad (saw): “Wahai Rasulullah! Adakah ganjaran buat kami yang berbakti kepada binatang?” Baginda berkata, “(Ya) Terdapat ganjaran dalam berbakti kepada apa-apa kehidupan (yang bernyawa).” (Bukhari)

]]>

Isu pemulangan Alkitab : Antara hak dan penafian

Dari seberang ke sini Di Indonesia, Alkitab (baca: Bible ) dijunjung dan digunakan untuk upacara mengangkat sumpah “Gubernur Daerah Khusus Ibukota Jakarta” iaitu Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali dengan gelaran Ahok 19 November lalu. Beliau merupakan gabenor pertama dari kalangan berbangsa Cina dan beragama Kristian Protestan. Ternyata ini merupakan kematangan dalam proses demokrasi Indonesia dan bukti toleransi kebebasan beragama di Indonesia yang dipraktikkan. Indonesia tampak kedepan dengan perlantikan Gabenor ini. Jika diperhatikan Alkitab yang digunakan dalam video upacara tersebut, ternyata ianya lebih kurang sama seperti Alkitab yang dirampas oleh JAIS pada Januari 2014 lalu. Pemulangan Alkitab Bahasa Melayu dan Iban pada 15 November lalu bukanlah perkara yang perlu dibanggakan. Namun, usaha pihak istana ini sedikit sebanyak meredakan ketegangan yang telah dimulakan JAIS. Beberapa persoalan wajar dipertanggungjawabkan. Mengapa sekian lama tindakan diambil untuk memulangkan Alkitab? Dimanakah hak Persatuan Bible Malaysia terhadap Alkitab tersebut? Mengapa pula syarat dikenakan bagi pemulangan Alkitab tersebut? Ianya bukan sukar sebagaimana ibarat sarang tebuan jangan dijolok. Tindakan JAIS pada Januari tempoh hari sudah pun menunjukkan bahawa ada penafian terhadap Persatuan Bible Malaysia mencetak, mengedar dan menjual Alkitab di Selangor. Bahkan sebelum enakmen agama bukan Islam Selangor dikuatkuasakan, Persatuan Bible Malaysia sudah ada. Jikalau tindakan JAIS ini adalah berlandaskan tekanan politik dan kes mahkamah, maka saya tidak hairan mengapa serbuan dilakukan. Bagi saya, tindakan ini sudah menunjukkan sikap JAIS yang ingin memanaskan lagi isu polemik kalimah “Allah” yang sepatutnya tidak dijadikan isu. Benarlah apa yang diperkatakan Fr Lawrence Andrew, SJ yang dikecam sesetengah kumpulan pergerakan Islam, “Agama kami tidak boleh diuruskan oleh sebarang kumpulan agama Islam. Ia bertentangan dengan Perlembagaan. Kami akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan kami,” katanya kepada The Malaysian Insider pada 2 Januari, 2014. Rampasan sah?  Apa-apa pun tindakan JAIS mahupun MAIS ke atas penganut Kristian adalah tidak sah meskipun berlandaskan enakmen agama bukan Islam Selangor 1988 kerana ianya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dalam Artikel 11 dan Perjanjian Malaysia 1963 Perkara 1. Umat Kristian berhak menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam apa jua penerbitan mahupun upacara sembahayang mereka. Dan berkaitan dengan kes tuntutan “Herald” ke atas penggunaan nama ‘Allah’ dalam kolum bahasa Malaysia, meskipun kalah dan dinafikan hak, Gereja Katolik tetap menfailkan rayuan demi menegakkan hak yang telah dinafikan. Adalah tidak wajar untuk menuduh umat Kristian menggunakan nama ‘Allah’ dengan niat yang tidak baik sedangkan ianya merupakan cara umat berkomunikasi dengan Pencipta mereka menggunakan bahasa mereka masing-masing. Berbalik kepada pemulangan Alkitab  Bahasa Malaysia dan Bup Kudus (Alkitab Bahasa Iban) yang mempunyai ribuan perkataan ‘Allah’ didalamnya, ianya adalah wajar jika dipulangkan kepada pihak yang sepatutnya. Sudah dirampas di Persatuan Bible Malaysia tetapi dipulangkan kepada Persatuan Bible Malaysia melalui Persatuan Gereja Sarawak (ACS). Alasan Alasan yang diberikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Datuk Mohammad Adzib Mohd Isa, dalam satu kenyataan menetapkan syarat naskhah yang dirampas itu tidak boleh diedarkan di Selangor dan hanya dibenarkan di Sarawak. Syarat tersebut memanglah menepati sebagaimana yang ditegaskan dalam enakmen. Sekadar menutup malu atas perbuatan, umat Kristian telah merasakan mereka ditindas di negeri Selangor. Logiknya, di Selangor rata-rata penganut Kristian tanpa mengira mazhab memang majoritinya terdiri daripada kaum India dan kaum Cina. Namun, sedarlah bahawa penganut Kristian daripada pelbagai kaum dari Sabah dan Sarawak bahkan juga komuniti orang Asli juga menggunakan bahasa Malaysia sebagai medium mereka di sini. Realiti Maka tidak hairanlah jika Alkitab Bahasa Malaysia juga digunakan dan upacara sembahyang dalam bahasa Malaysia juga diadakan bagi menanmpung keperluan umat yang menggunakan bahasa Malaysia yang turut juga dikongsi oleh masyarakat India dan Cina Kristian yang lain. Jadi amat keterluan jika mengatakan penggunaan nama ‘Allah’ adalah bersifat untuk memurtadkan umat Islam jika ianya pasti tidak benar. Komuniti politik amat licik dalam permainan mereka dalam mengatur isu keagaaman ini untuk mengalih kegagalan mereka serta tindakan sesetengah pergerakan Islam yang menjaja bahawa umat Kristian adalah ancaman bagi mereka adalah penyakit yang terlalu kerap diperlakukan. Kerajaan negeri tidak perlulah terlalu berbangga dengan usaha istana ini kerena mereka sendiri pun tidak mampu campur tangan atas urusan JAIS dan MAIS bagi membela umat Kristian dalam isu ini sejak Januari kerana sibuk dengan masalah dalaman mereka sendiri. Pergerakan Islam ‘konservatif’ pula tidak sepatutnya pula menjadikan umat Kristian sebagai ancaman mereka sebaliknya berusaha untuk menjaga keperluan ibadah serta usaha pemantapan akidah umat Islam mereka sendiri. Dan tidak pula menekan beban umat mereka ke atas penganut agama lain. Bukan isu Islam sahaja Yang patut difikirkan sebenarnya adalah beginikah imej Islam yang ingin dipaparkan di Malaysia terutama kepada penganut bukan Islam. Imej penguasa Islam yang menggunakan nas serta tafsiran mereka serta peruntukkan undang-undang Islam bagi menafikan hak penganut agama lain yang bukan merupakan tanggungjawab mereka. Imej pergerakan Islam yang terus menerus berkempen untuk menunjukkan mereka yang bukan Islam adalah ancaman sedangkan mereka sendiri mencipta ketidak harmonian dalam negara. Sedarlah bahawa agama beperanan sebagai tanda harapan berupaya menunjukkan keterbukaan untuk berdialog serta dijadikan sebagai keperluan yang mendesak untuk memadukan daya usaha bagi menggalakkan keadilan, persaudaraan, perdamaian dan kekuatan peribadi manusia dalam kemajmukan masyarakat. Cukuplah imej agama tercalar dek sikap penguasa dan penganutnya yang fanatik kerana menjadikan agama alat sebagai penindas bagi yang tidak sealiran dengan mereka. Walaubagaimanapun, umat Kristian tetap tenang walaupun apa yang terjadi dan berupaya meneruskan kepercayaan mereka sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Biarlah mereka umat Kristian Malaysia mengatakan, “Aku percaya akan satu Allah, Bapa yang Mahakuasa, pencipta langit dan bumi” sehingga ke akhir zaman. unnamed

]]>

Saksikan kemusnahan Kampung Chetti

PD 2Tamil Berita tentang kemusnahan Kampung Chetti turut dilaporkan akhbar Tamil.[/caption] “Kerja-kerja pembinaan di sini bermula sekitar 7.00 pagi dan berjalan sehingga 5.00 petang. Kadang-kadang berlarutan sehingga lewat malam. Hari ini (Ahad) sepatutnya tidak boleh kerja, tetapi mereka masih kerja,” kata Supramania di tengah-tengah bunyi bising jentera di tapak projek semasa kami melakukan tinjauan. Katakan, kerja-kerja di Lot 93 masih menyebabkan keretakan kecil pada bangunan Kuil Sri Muthu Mariamman yang bersempadan dengan kawasan pembinaan. Aduan sudah dilakukan sejak lebih setahun lalu tetapi tidak ada apa-apa tindakan positif daripada pihak berwajib, termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB). Seperti dinyatakan dalam makalah “Mengenali minoriti Kampung Chetti” (Projek Dialog, 29 Disember 2013), Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorthi di Kampung Chetti yang dibina pada 1781 dipercayai kuil Hindu tertua di Kepulauan Melayu (Nusantara). Tinjauan mendapati beberapa kuil lama yang dibina menggunakan batu kapur (limestone) berdepan masalah besar berikutan projek pembinaan ini. Misalnya, Kuil Sri Anggala Parameswari yang digazetkan sebagai Warisan Negara terletak sekitar 300 meter dari tapak pembinaan; Kuil Sri Kailasanar (sekitar 400 meter) dan Kuil Sri Muthu Mariamman (100 meter). Kampung Chetti seluas lima ekar sebenarnya sudah digazetkan sebagai perkampungan warisan pada tahun 2002. Menurut peraturan, undang-undang dan enekmen sedia ada, perlu ada buffer zone di sekililing (sempadan) perkampungan warisan ini. [caption id="attachment_4209" align="alignleft" width="300"]PD 2Supramania Supramania mengakui bahawa pihka berkuasa belum membantu menyelamatkan Kampung Chetti.[/caption] Malangnya, entah bagaimana projek diluluskan dan diteruskan di tapak Lot 93 yang secara terang-terangan melanggar enekmen sedia ada. Pihak berwajib – dalam hal ini, kerajaan pusat dan kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) – terang-terangan membiarkan sahaja kezaliman, ketidakadilan, pencabulan, kemusnahan dan kepupusan berlaku. Apa yang aneh dan menghairankan adalah bahawa wakil BN (termasuk MIC dan Nazri) beriya-iya mahu muncul sebagai wira dalam menggazetkan bagunan Vivekananda Ashram sebagai tapak warisan. Memang amat menghairankan, mendukacitakan dan menimbulkan seribu pertanyaan kerana pihak yang sama juga menutup mata sedangkan Kampung Chetti semakin terhapus di depan mata! Pelbagai bahan, makalah dan rujukan didokumentasikan oleh Kavyan di laman www.kampungchetti.blogspot.com sebagai rujukan dan perjuangan menuntut hak penduduk minoriti di Kampung Chetti. Banjir kilat paras pinggang musnahkan harta pusaka Supramania mengakui bahawa sejak kunjungan terakhir kami (15 Januari 2014) dan siri makalah di media alternatif, wakil MIC, Umno dan MBMB telah datang melakukan tinjauan di sekitar kawasan ini. “MBMB datang selepas kami buat aduan. Air dari kawasan pembinaan lari masuk ke dalam parit besar di kampung kami. Tanah yang masuk sekali menyebabkan parit tersumbat. Sebab itu, setiap kali hujan lebat, Kampung Chetti banjir kilat. “Setiap kali banjir lumpur yang boleh mencapai paras pinggang, penduduk terpaksa mengangkat barang. Pada tahun ini sahaja, sudah lima kali banjir kilat,” ketua kampung itu menceritakan dengan nada sedih kerana beliau sendiri tidak mampu melakukan apa-apa untuk menolak bala yang menimpa. Kerajaan negeri menghulurkan bantuan RM200 kepada setiap keluarga terjejas untuk menampung kos makanan, tetapi jumlah kerugian yang ditanggung setiap kali banjir tentulah tidak ternilai. [caption id="attachment_4207" align="alignleft" width="300"]PD 2Lawatan Kughan (tengah) dan Preevinn mendengar penerangan Supramania.[/caption] Tambahan pula, setiap rumah di kampung ini adalah bahan bersejarah yang boleh rosak akibat banjir kerana dibina menggunakan kayu. Setiap rumah pula menyimpan barangan lama yang merupakan bahan sejarah yang tidak ternilai. Sayangnya, kerajaan tidak tahu; atau buat-buat tidak tahu. Semasa berbual-bual dengan Supramania, saya bertanya secara khusus apakah wakil kerajaan negeri, Umno dan MIC yang datang melawat ada menghulurkan sebarang bantuan atau menjanjikan apa-apa. “Mereka hanya datang, tengok kampung dan kawasan projek (Lot 93), kemudian balik,” katanya tanpa menghuraikan lebih lanjut; mungkin kerana tidak mahu mendedahkan aib dan kelemahan pihak terbabit kepada umum. Pengerusi MIC Melaka, Mahadevan dalam kenyataannya kepada Bernama (8 Januari 2014) yang turut disiarkan di akhbar Kosmo! (9 Januari 2014) memberi jaminan bahawa parti komponen BN itu akan memastikan Kampung Chetti terus terpelihara sebagai warisan sejarah negara. Janji-janji manis politikus itu juga dilaporkan di akhbar The Star (10 Januari 2014) dan memberikan gambaran seolah-olah MIC sudah pun tampil membela nasib kaum Chetti. Tetapi sehingga kini, habuk pun tiada. Undangan terbuka ke majlis perkahwinan “terakhir” “Datuk Mahadevan ada datang tengok tetapi tidak ada apa-apa yang dilakukan setakat ini. Semangat para penduduk pun sudah semakin luntur. Kami memang tidak puas hati. “Apa yang pasti, kami tidak akan menyerah kalah. Sasaran kami adalah untuk meminta kerajaan negeri membatalkan projek pembinaan di Lot 93 dengan mengambil kira kedudukan Kampung Chetti sebagai tapak warisan yang diiktiraf Unesco,” Supramania masih optimis. Sambil mendengar penjelasan dan luahan perasaan beliau, saya memandang ke arah kawasan pembinaan yang kelihatan sudah hampir 50 peratus siap. Apakah mungkin kerajaan pusat dan kerajaan negeri masih mampu melakukan sesuatu untuk membatalkan projek itu? Buat masa ini, ketua kampung itu berasa lega kerana rancangan pembinaan jalan khas yang menghubungkan bangunan pencakar langit di Lot 93 dan jalan raya utama sudah dibatalkan. Jaminan lisan khabarnya diberikan oleh seseorang berjawatan “setiausaha” di pejabat ketua menteri. [caption id="attachment_4208" align="alignleft" width="300"]PD 2Projek Pembinaan di Lot 93 terus berjalan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.[/caption] Apabila ditanya, Supramania mengakui bahawa sebenarnya tiada sebarang jaminan juga dalam hal itu kerana tidak ada apa-apa surat atau dokumen rasmi diberikan berkenaan pembatalan itu. “Kalau jalan masih dibuat, kami akan bantah sekeras-kerasnya. Kami tak akan kasi masuk. Kalau jalan itu sudah masuk (dibina), kaum Chetti sudah hilang. Ke mana kami boleh pergi? Kalau kami sudah diarah berpindah, Kampung Chetti akan hilang,” katanya. Dahulu, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, ketua menteri waktu itu, Datuk Seri Mohd Ali Rustam memberikan jaminan projek dibatalkan. Selepas pilihan raya dan selepas BN menang, janji itu menjadi “janji dicapati”. Rayuan dan aduan penduduk Kampung Chetti tidak dihiraukan ketua menteri baru. Menurut laporan Malaysia Gazette (2 Januari 2014), “Kampung Chetti dilihat antara agenda utama Idris untuk mengembalikan semula kepercayaan masyarakat India terhadap kepimpinan BN di negeri tersebut.” Realiti yang pahit untuk ditelan adalah bahawa perkampungan warisan ini akan pupus dalam masa terdekat kerana sikap dan ketamakan yang ditunjukkan oleh pihak berkuasa pada peringkat kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Pada 22 November 2014, bermula jam 7.00 malam, suatu majlis perkahwinan tradisional masyarakat Chetti akan berlangsung di Kuil Sri Muthu Mariamman. Orang ramai dijemput hadir untuk menyaksikan serta memeriahkan majlis. Selain daripada tanda solidariti terhadap perjuangan penduduk Kampung Chetti, orang ramai juga boleh hadir supaya tidak terlepas peluang menyaksikan suatu upacara perkahwinan (terakhir?) penuh tradisi sebelum kerajaan “membunuh” kampung ini. unnamed

]]>

Industri sawit: Pemusnah alam dan pencabul hak asasi

Penebangan hutan, pencabulan Hak Asasi Manusia, kepupusan haiwan dan satu industri yang menggabungkan kesemuanya Penterjemahan ke BM makalah Deforestation, Human Rights Abuse, Animal Extinction and the One Industry That Unites Them All oleh Hamizah Hanan.  Minyak kelapa sawit adalah minyak sayuran yang diambil hasil daripada pemprosessan buah sawit yang tumbuh daripada pokok kelapa sawit tersebut. Tumbuhan ini asalnya dari Afrika Barat. Oleh kerana permintaan minyak kelapa sawit yang meninggi, digunakan dalam penyediaan pelbagai jenis makanan. Tanamannya kini berkembang ke seluruh Afrika termasuklah Asia, Amerika Utara dan Amerika Selatan. Walaubagaimanapun, kosnya merangkumi kemusnahan alam perlu dibayar untuk memenuhi permintaan minyak kelapa sawit. ianya datang dalam bentuk perubahan iklim, kekejaman terhadap haiwan, penebangan hutan, dan pencabulan hak asasi manusia. Menurut laporan WWF (World Wildlife Fund), ”hutan seluas 300 ukuran padang bola sepak ditebang setiap jam untuk memberi laluan untuk pengeluaran minyak kelapa sawit.” Pemusnahan habitat secara skala besar seperti ini tidak berlaku secara percuma. Banyak mangsa yang menderita di tangan pengeluar minyak kelapa sawit. Untuk mendapatkan gambaran bagaimana kesan pengeluaran kelapa sawit kepada ekosistem secara keseluruhannya, mari kita perhatikan keseluruh alam sekitar, haiwan dan kesan kepada manusia atas pengeluaran minyak sawit ini. Penebangan hutan dan perubahan iklim Indonesia, di mana kelapa sawit majoritinya ditanam dan pada ketika ini, Indonesia mempunyai kadar penebangan hutan tertinggi di dunia. Ini adalah disebabkan semakin banyak hutan-hutan simpan dibersihkan bagi tujuan penanaman ladang kelapa sawit dan akhirnya telah menyebabkan pengeluaran gas rumah hijau meningkat. Hampir 85 peratus daripada pelepasan gas rumaj hijau di Indonesia adalah berasal daripada kegiatan yang menggunakan tanah termasuklah pengondolan hutan dan pembakaran tanah gambut (amalan lain yang berkaitan dengan pengeluaran kelapa sawit). Hutan hujan tropika adalah ibarat paru-paru bagi planet kita. Ianya sangatlah penting dan apabila ianya dimusnahkan , kita semua menderita. Penebangan hutan bukan sahaja membawa kepada pembebasan berjuta-juta karbon dioksida ke atmosfera, malah ia juga menjejaskan keupayaan bumi untuk mengurangkan gas memerangkap haba. Walaupun ia mungkin kelihatan bahawa penebangan hutan di Indonesia jauh dari rumah anda sendiri, namun semakin banyak haba yang terperangkap do dalam atmosfera semakin cepat perubahan iklim akan berlaku. Buruh kanak-kanak dan kemiskinan Tanaman kelapa sawit memberi kesan yang negatif kepada penduduk yang tinggal di kawasan luar Bandar di Borneo dan Sumatera. Orang-orang tempatan bergantung kepada hutan hujan tropka yang sedang dimusnahkan. Satu-satunya sebab mengapa mereka menjadi pekerja ladang adalah kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain. Apabila syarikat-syarikat pertanian besar mula memasuki kawasan luar Bandar untuk tujuan memulakan pengusahaan ladang kelapa sawit, mereka dapat menguasai tanah tempatan kerana orang tempatan tidak mempunyai ‘hak undang-undang’ ke atasnya. Sebelum mulanya pertanian ladang kepala sawit, kebanyak masyarakat luar Bandar bergantung kepada penanaman padi atau getah, tetapi apabila mereka didesak oleh pengusaha sawit, satu-satunya pilihan adalah bertukar kepada peladangan kelapa sawit. Ia menelan masa sehingga tiga atau empat tahun untuk tanaman kelapa sawit berbuah, bermakna tiada sumber pendapatan dalam jangka masa itu dan pekerja dibayar dengan bayaran yang tidak seberapa $2.50 setiap hari sehingga ladang mula mengeluarkan hasil. Industri ini juga dikaitkan dengan buruh kanak-kanak. Di Indonesia dan Malaysia, kanak-kanak terpaksa mengangkut bebanan buah yang berat dan menghabiskan masa berjam-jam membungkuk untuk mengumpulkan bijian yang tertinggal. Untuk pekerjaan ini, kanak-kanak sama ada dibayar dengan bayaran yang sangat rendah ataupun lebih malang lagi tidak dibayar langsung. Kira-kira 2.5 juta orang telah kehilangan tempat tinggal di Borneo semenjak 1970 disebabkan oleh pengembangan ladang kelapa sawit. Kepupusan haiwan Penebangan hutan adalah salah satu ancaman utama kepada sepsis yang menjadikan hutan di Borneo dan Sumatera sebagai habitat mereka. Tetapi ia bukanlahsatu-satunya ancaman. Pemburu haram dan penyeludupan hidupan liar, melalui kerja-kerja peladangan kelapa sawit, menjadikan mereka mudah untuk mendapatkan haiwan di sini. Orang utan menjadi mangsa utama di sini. Mereka telah dijumpai samaada ditanam hidup-hidup atau diserang dengan parang. Dalam dua puluh tahun kebelakangan ini, leboh 50 000 orang utan telah mati akibat pengondolan hutan. 90 peratus daripada habitat mereka telah dihancurkan. Begitu banyak nyawa yang tidak berdosa yang telah terkorban. Apabila bahagian hutan ditebang, orang utan ditinggalkan tanpa makanan. Oleh itu, mereka tidak mempunyai pilihan lain melainkan masuk ke kampung-kampung berdekatan untuk mencari makanan. Yang kurang bernasib baik, sang ibu dibunuh oleh pemburu haram dan si anak akan diculik daripada keluarganya lalu dijual kepada taman hidupan liar atau dibela sebagai haiwan peliharaan. Hakikatnya orang utan yang dibunuh beramai-ramai merupakan satu lagi penyumbang kepada kemerosotan alam sekitar. Setiap tahun, hampir 5000 orang mati akibat penggondolan hutan. Orang utan mengekalkan keseimbangan ekosistem kita dengan menyebarkan benih-benih pokok di hutan termasuklah di Indonesia. Kita bergantung kepada mereka untuk mengekalkan kewujudan hutan. Kos kepupusan orang utan ini adalah lebih besar daripda kos keperluan minyak kelapa sawit. Beberapa spesies lain turut menderita akibat kerja-kerja peladangan kelapa sawit ini. Harimau Sumatera, beruang, gajah dan monyet semuanya berhadapan dengan masalah kepupusan di sebabkan oleh penebangan hutan dan pemburuan haram. Apa yang anda boleh lakukan? Kita tidak boleh mengabaikan hakikat dimana perladangan kelapa sawit telah menggangu keseimbangan ekosistem, kepupusan haiwan dan masalah orang-orang miskin terutamanya di Borneo dan Sumatera. Perladangan kelapa sawit telah melanggar undang-undang hak asasi manusia. Hakikatnya perkara ini menyebabkan kita kehilangan yang besar hanya untuk meningkatkan pengeluaran minyak kelapa sawit. Adakah ianya berbaloi apabila pada masa yang sama telah mengakibatkan kesan yang dasyat kepada manusia, haiwan dan alam sekitar? Jika anda menentang buruh kanak-kanak, kepupusan haiwan dan perubahan iklim, jadilah penguna yang peka. Mengurangkan penggunaan minyak kelapa sawit dapat membantu mengurangkan permintaan global terhadapnya. Usaha untuk meningkatkan kesedaran pengguna tentang kerosakan yang perlu ditanggung untuk barangan pengguna adalah merupakan langkah pertama untuk membuat perubahan.

]]>

…tetapi Nancy, apakah Hak Asasi ala Malaysia?

Beliau menegaskan Malaysia mempunyai etnik-etnik yang berbeza merangkumi Semenanjung dan Sabah dan Sarawak, justeru, aspek pemikiran dan budaya rakyat negara ini harus diambil kira. Selama beberapa dekad kumpulan relativis budaya telah dan akan terus menggunakan hujah, yang sama digunakan oleh Nancy di atas untuk membolehkan penganiayaan hak asasi manusia terus berjalan. Mereka berselindung di sebalik, budaya ketimuran dan agama untuk terus melanggar hak asasi minoriti dan warga awam. Ia berlaku di Myanmar sebagai contoh. Anda fikir mengapa kaum Rohingya diusir dan dibunuh? Kerana Myanmar ada acuan hak asasi manusia mereka yang sendiri. Mereka memanggilnya ‘acuan Myanmar’. Itu sahaja. Anda fikir mengapa penghuni Gaza dibunuh dan dibom sesuka hati? Kerana regim Zionis ada acuan hak asasi manusia mereka yang sendiri. Mungkin mereka memanggilnya ‘acuan Yahudi’. Ya, jika tidak dibiarkan melarat, kita akan ada puluh, ratus, ribu malah juta set hak asasi manusia. Begitukah Nancy? Apa itu hak?  Pertamanya Nancy, hak asasi manusia dalam dua kata adalah ‘Maruah’ dan ‘Hormat’. Justeru, mereka yang mempertahankan hak asasi manusia adalah mereka yang berhasrat untuk mempertahankan maruah, dan menghormati diri dan orang lain. Ini termasuklah anda sendiri. Keduanya Nancy, kerangka hak asasi manusia Barat yang digubal oleh United Nations pada tahun 1948 ingin mempertahankan nasib dan kedudukan “semua” manusia. Itu adalah persoalan pertamanya, iaitu hak asasi “semua”, ya “semua” manusia. Justeru, kerangka ini menjadikan taraf manusia itu di kedudukan pertama. Sementara perihal agama, warna kulit, gender, atau kecenderungan seksual sebagai hal kedua. Jika kita meletakkan Islam sebagai kedudukan pertama di Malaysia, mengatasi “manusia”, maka janganlah merungut jika Buddha diletakkan sebagai kedudukan pertama di Myanmar, mengatasi “manusia”. Kerana jelas, orang Rohingya tidak dianggap sebagai manusia pun di Myanmar. Jika Nancy memahami ini, beliau akan dapat membezakan seorang manusia sebagai ‘person’ atau pelaku dengan ‘behaviour’ atau tingkah laku. Ketiganya, Nancy, hak asasi manusia bukanlah untuk mempromosi persamaan. Anda tidak harus tersilap tentang itu. Bahkan hak asasi manusia bertujuan untuk mengiktiraf dan melindungi tiap perbezaan antara kita semua. Justeru Nancy, hak asasi manusia adalah persamaan dalam bentuk layanan atau ‘uniformity in treatment or status’ oleh mereka yang berada dalam satu kedudukan yang boleh mempengaruhi atau memberi kesan kepada mereka yang lain. Dalam negara demokrasi, kerajaan bertanggungjawab memberikan hak-hak ini kepada kaum minoriti. Jika tunjang ini pun gagal diberikan, maka Nancy, yang ada bukanlah demokrasi tetapi fasisme. Tahukah Nancy mengapakah hak kesetaraan perlu diperjuang, direbut, diperolehi, dituntut oleh mereka yang tidak bernasib baik daripada yang bernasib baik atau ‘the  right to equality often must be coerced from the advantaged by the disadvantaged’ ini ya? Nancy mesti berfikir dengan keras. Pandangan Cultural Relativists seperti Nancy dan penggubal lain dalam pasukan National Human Rights Action Plan (NHRAP) mengenai hak asasi manusia secara am merupakan salah satu ganjalan yang menyulitkan keamanan di seluruh dunia ini tercapai. Mereka menggunakan alasan agama. Dalam hal ini, Islam adalah agama yang mesti diberi perhatian khusus. Kumpulan Islamis seperti Sham Rahayu, dan Nancy, akan sering menghujahkan Islam mempunyai kerangka hak asasi manusia yang berbeza dan lebih istimewa. Hujah ini tentunya sudah agak lapuk Nancy. Tidak Nancy. Anda ketinggalan. Benar, sebagai satu alternatif kepada UDHR 1948, negara-negara Islam telah menggubal  Deklarasi Cairo Mengenai Hak Asasi Manusia Dalam Islam 1990. Deklarasi Cairo ini adalah rentetan dari Report of the Meeting of the Committee of Legal Experts yang diadakan di Tehran, Republik Islam Iran pada 26 sehingga 28 Disember 1989. Dalam erti kata lain Nancy, mesyuarat peringkat rendah OIC untuk Deklarasi Cairo tersebut bermula dan digerakkan oleh Iran, sebuah negara yang mazhab rasminya Syiah. Adakah Nancy dan NHRAP kini bersedia menerima Syiah sebagai salah satu mazhab yang diiktiraf di negara ini, seperti mana yang dilakukan oleh OIC dalam Islamabad Declaration 2006 dan ditandatangani oleh Malaysia itu? Inikah hak asasi manusia ala Malaysia yang dimaksudkan olehmu Nancy? Apa beza acuan Malaysia dan acuan Israel jika begitu? Okay, marah? Kita turunkan sedikit tahapnya, apakah beza acuan Malaysia dan acuan Myanmar jika demikian? Nancy, berhak mengetahui bahawa ketika Universal Declaration of Human Rights dikemukakan pada tahun 1948, salah sebuah negara umat Islam yang sudah menyertai United Nations dan tidak membantah deklarasi tersebut adalah Arab Saudi. Adakah Malaysia ingin menjadi lebih Islami berbanding Arab Saudi? Selain Deklarasi Cairo Mengenai Hak Asasi Manusia Dalam Islam 1990, kelompok Cultural Relativists seperti Nancy dan juak-juaknya turut cuba membentuk acuan hak asasi manusia tersendiri yang bersifat oriental (dengan mengambil kira Universal Declaration of Human Rights adalah mengikut acuan Barat). Sebagai contoh, negara-negara ASEAN berusaha memiliki deklarasi hak asasi manusia yang tersendiri. Dalam tahun 2012, negara-negara ASEAN memilih untuk mempunyai dan menandatangani satu deklarasi yang dinamai ASEAN Declaration of Human Rights (selepas ini ASEAN Declaration). Malaysia tatkala itu diwakili oleh Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Nancy, United Nations telah mengkritik ASEAN Declaration tersebut sebagai mengandungi kekaburan dengan terma-terma seperti ‘legitimate restrictions’, ‘morality’, atau ‘public order’ dan ‘national security’ yang terbuka kepada pelbagai penafsiran menurut selera masing-masing. Penafsiran menurut selera inilah yang berbahaya. Penafsiran menurut selera inilah yang akan dimanipulasi oleh regim pemerintah untuk  mengehad bahkan mencabul hak asasi manusia. Itulah yang akan dilakukan oleh National Human Rights Action Plan (NHRAP) apabila kononnya acuan Malaysia akan digunakan untuk mendukung hak asasi manusia. Untuk makluman Nancy dan anggota NHRA, apa kerangka dan apa acuan hak asasi manusia sekalipun boleh digunakan, acuan Melayu, India, Cina, Kadazan, Bugis, Eropah, Islam, Buddha, Hindu, apa sahaja. Tiada siapa yang peduli; asalkan Nancy, asalkan ‘maruah’ dan ‘hormat’ dapat ditegakkan. Jika acuan Malaysia yang disarankan itu hanya untuk melindungi kaum elit, kapitalis dan yang berkepentingan maka mengapakah acuan Malaysia itu harus disokong dan diterima pakai oleh orang awam? Beri jawapan yang konkrit Nancy. Sekarang! Jika Nancy, dan ‘sekumpulan penyelidik’ ingin menggunakan ‘acuan timur’ dan ‘acuan agama’ hanya untuk menafi, membuli dan mengabaikan ‘maruah’ dan ‘hormat’ kaum minoriti, maka tujuan asas hak asasi manusia tidak akan dapat ditegakkan. Malah akan dicemuh dan ditolak mentah. Acuan inilah yang digunakan oleh Myanmar untuk menafikan hak Rohingya. Kalian tidak mengasihani nasib Rohingya? Beginilah Nancy, apa kata kita kembali semula ke kerangka hak asasi manusia 1948, Malaysia adalah anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bukan? Kami keliru, ya atau tidak? Adakah negara kita ini moderat atau tidak? Menurut kerangka hak asasi manusia yang digubal di Barat pada tahun 1948 itu, hak asasi manusia terbina berasaskan tiga tunjang moral iaitu kebebasan, persamaan dan maruah manusia; ‘human rights are undeniably based upon an appeal to three moral ideals; freedom, equality and human dignity’ (Andrew Fagan, 2011: 3). Oleh kerana definisi hak asasi manusia menurut kaca mata Barat itu memelihara dan mengiktiraf hak setiap individu iaitu kebebasan, persamaan dan maruahnya, maka ya, ia benar-benar diperlukan malah didambai oleh setiap individu yang waras. Apakah yang ditawarkan oleh kerangka hak asasi manusia Malaysia ini Nancy? Mestikah rakyat menerima kepalsuan dengan pakej baru ini lagi? Adakah ia sejenis lagi perhambaan supaya manusia dipasung kaum elitis, kapitalis dan mereka yang berkepentingan? Nancy, mesti berfikir dengan keras. Untuk itu Nancy mesti belajar berdialog.  Dialog itu Nancy adalah apabila dua laluan dibuka, ia bermula dengan sifar dan bukan dengan satu kumpulan lain, kumpulan anda, Sham Rahayu dan lain-lain telah pun menskor markah pertama. Itu bukan dialog. Itu bukan keadilan. Dialog mestilah benar-benar meletakkan diri di meja rundingan dengan saksama dan kesetaraan. Nah lihat Nancy, itu sendiri sudah pelanggaran satu hak. Bagaimana kalian mahu melakukan ini? Apa kata kami mencadangkannya begini;  apa kata kita padamkan acara perundingan National Human Rights Action Plan (NHRAP) bersama masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan 13 November 2014 yang lepas. Kita mulakan yang baru. Yang tidak bias, dan benar-benar ‘berunding’? Yang tidak ada ketetapan sebelum bermulanya dialog. Boleh Nancy? Bolehkah begitu? Nancy, mesti berfikir dengan keras. unnamed

]]>

Isu transgender: Ringkasan Keputusan Kehakiman Mahkamah Rayuan / Keperlembagaan Seksyen 66

Seperti yang kita ketahui, Mahkamah Rayuan minggu lepas telah memutuskan bahawa pengharaman “cross dressing” (lelaki berpakaian seperti wanita) adalah bercanggah dengan prinsip keadilan yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Layarilah link dibawah untuk membaca keputusan ini dengan lebih lanjut!

Ringkasan Keputusan Kehakiman Mahkamah Rayuan – Keperlembagaan Seksyen 66 dipetik dari laman Scribd justice for sisters

]]>

"The Lost", "The Last", "The Least", "The Little" kepada Gereja

The Lost “I want to bring back the Lost those who have strayed away from Mother Church for whatever reason. I urge you to come back home . The Church needs you and you are restless until you rest in the bossom of our Mother. Here is where we need to go out in search of the sheep, bandage its wounds and carry it back on the shoulders.” The Last “The Last are the migrants in our Archdiocese, who have left everything in search of something better. I want to make them welcome, to know they have a safe place in the Church and that God loves them very much. We are hosts can play a more supportive and pro-active role in this area. We need to strengthen personnel and provide space for them.” The Least “The Least are the voiceless, the neglected, the oppressed, the forgotten of society. There is refuge and a place for everyone and the Church must speak out for them. We must provide and care for the weakest in our midst.” The Little “The Little are the Youth and the youngl who need a solid understanding of the Faith, preparing them for the challenges they will encounter . Therefore our catechesis must be re-visited, re-studied to ensure our youth know why they believe what they believe and be convinced of this Faith” Empat “L” Keempat-empat “L” di atas di harapkan akan membawa impak dan pengaruh yang besar ke arah perubahan pemikiran yang lebih holistik dalam mengintegrasikan ajaran Katolik dengan keadilan sosial dan hak-hak asasi manusia. Apabila kita mengamati setiap penerangan “L” di atas, Bishop telah menekankan beberapa aspek yang penting di mana gereja seharusnya mengambil berat dan perhatian yang lebih terhadap isu tersebut. Pertama adalah Migrant di mana ianya merupakan isu yang kritikal di negara kita. Kebanyakkan masyarakat di Malaysia masih mempunyai pandangan yang negatif dan prejudis terhadap Migrant di Malaysia. Kita seakan-akan lupa bahawa Migrant juga manusia yang mempunyai maruah dan nilai kehidupan di bumi. Penglihatan dan penelitian kita terhadap Migrant di kaburi dengan isu-isu yang sering kali kita dengar seperti pemberian kad pengenalan kepada Migrant, Migrant terlibat dalam jenayah dan kita sering terlepas pandang untuk melihat kepada sudut pandang yang lebih meluas dengan membuat renungan yang lebih holisitk tentang Migrant. Contohnya, kenapa Migrant mempunyai kad pengenalan? Adakah mereka menjadi mangsa kepada keadaan politik dan sistem di negara kita? Renungan-renungan seperti ini membantu kita untuk memahami kehidupan seorang Migrant. Pope Francis juga menyeru gereja Katolik dalam ucapannya semasa Hari Migrant Sedunia untuk melihat kepada keadaan seorang Migrant. Berikut adalah ucapan Pope Francis yang telah di siarkan oleh Vatican Council. “Pope Francis called on all to honor the “Biblical commandment of welcoming with respect and solidarity the stranger in need. Jesus Christ is always waiting to be recognized in migrants and refugees, in displaced persons and in exiles, and through them he calls us to share our resources, and occasionally to give up something of our acquired riches. Large numbers of people are leaving their homelands, with a suitcase full of fears and desires, to undertake a hopeful and dangerous trip in search of more humane living conditions. Such migration gives rise to eccelesial communities,prior to any knowledge of the migrants’ lives or their stories of presecution and destitution.” Ucapan ini menunjukkan pendirian Pope Francis terhadap Migrant di mana gereja seharusnya menyahut seruan Pope Francis dengan lebih terbuka. Bishop juga menyeru agar gereja memberi perhatian yang berat terhadap masyarakat yang di tindas dan menjadi suara kepada mereka yang tidak mempunyai peluang untuk menyuarakan hak-hak mereka. Panggilan ini merupakan satu cabaran kepada kita untuk melihat scripture Alkitab dan ajaran sosial katolik kepada satu dimensi yang lebih kreatif di mana kita tidak membaca dan melihatnya secara literal tetapi pembacaan yang lebih kepada reflective sehingga membawa kepada penghayatan yang lebih mendalam. Pembacaan yang lebih reflective akan membawa kepada satu analisa pemikiran yang kritikal di mana kita berkeupayaan menganalisa realiti seperti kenapa penindasan dan kemiskinan berlaku walaupun Tuhan sentiasa bersama kita? Kenapa sentiasa ada perang berdarah jika Tuhan adalah sumber segala cinta kasih? Kebolehan untuk menghubungkan scripture kepada realiti dunia yang penuh dengan masalah adalah sangat penting untuk menjadikan gereja sebagai alat pendukung kepada keamanan kepada mereka yang tertindas dan di pinggir. Selain itu, Bishop melihat anak muda Katolik mempunyai peranan yang sangat penting sebagai alat perubahan di gereja. Anak muda Katolik masa kini bukan lagi setakat menyertai acara koir, pembelajaran alkitab ataupun katekism tetapi anak muda Katolik di seru untuk mempunyai satu pemikiran yang kritikal di mana menyedari dan mempelajari bahawa terdapatnya penindasan dan masalah-masalah di sekeliling mereka. Anak muda Katolik mempunyai keupayaan untuk mengintegrasikan ajaran gereja Katolik dengan realiti dunia masa kini. Oleh itu,gereja seharusnya memberikan ruang kepada anak muda Katolik untuk terlibat dalam proses perancangan dan menentukan keputusan dalam mana-mana program dan pentadbiran gereja dengan menggunakan kreativiti anak muda itu sendiri. Sesungguhnya, empat “L” tersebut membawa makna yang sangat besar kepada gereja Katolik untuk menjadikan gereja sebagai alat kepada keamanan dan perubahan di dalam masyarakat dunia. unnamed

]]>

15 Muslimah penting dalam sejarah

Petikan ini diambil daripada laman ‘Ballandalus’ (http://ballandalus.wordpress.com/2014/03/08/15-important-muslim-women-in-history/) bertarikh 8 Mac 2014. Diterjemahkan oleh Yana Rizal. Sempena Hari Wanita Antarabangsa, ianya menarik untuk kita perkenalkan beberapa wanita penting dalam sejarah Islam yang mungkin tidak diketahui sebelum ini. Walaupun nama-nama tokoh seperti Empress Theodora, Eleanor of Aquitaine, Joan of Arc, Anne Boleyn, Caterina Sforza dan Elizabeth I sudahpun dikenali, tetapi wanita-wanita dunia Islam dari zaman pertengahan dan awal zaman pemodenan kurang diketahui. Wanita memainkan peranan penting dalam dunia pra-moden Islam sebagai sarjana, penyair, sufi, pemerintah, dan srikandi. Ini senarai ringkas beberapa tokoh wanita tersebut: 1. Khadijah b. Khuwaylid (m. 620) Malah sebelum pernikahannya kepada Nabi Muhammad, beliau sudahpun menjadi tokoh penting dengan sendirinya, sebagai pedagang yang berjaya dan bangsawan di Mekah. Beliau memainkan peranan penting dalam menyokong dan menyebarkan agama Islam yang baru ketika itu dan diiktiraf sebagai Muslim pertama. Dipercayai bahawa Nabi Muhammad sendiri bersabda, menurut hadith Sahih Muslim: “Tuhan Yang Maha Esa tidak pernah mengurniakanku seorang yang lebih baik dalam hidup ini daripada dia.Dia menerimaku apabila orang menolak aku; dia mempercayaiku ketika orang meragui aku; dia berkongsi harta denganku apabila orang mengurangiku; dan Tuhan mengurniakan zuriatku hanya dengan dia.” Malah, seorang lagi wanita terpenting di waktu awal Islam, Fatima al-Zahra, merupakan anak perempuan Nabi bersama Khadijah dan ianya hanya melalui Fatima (dan terutamanya dari kedua anak lelaki beliau, al-Hasan dan al-Husain) keturunan Nabi Muhammad dipelihara. Hakikat ini menjadikan Fatima dan ibundanya Khadijah antara tokoh wanita yang paling dihormati dalam sejarah Islam. 2. Nusayba b. Ka’b al-Anṣārīyya (m. 634) Juga dikenali sebagai Ummu ‘Ammara, beliau dari suku Bani Najjar dan merupakan antara penganut Islam terawal di Madinah. Sebagai sahabat Nabi Muhammad, terdapat banyak nilai-nilai murni yang dimiliki beliau. Namun, beliau paling diingati kerana perjuangannya di Perang Uhud (625), di mana beliau bersenjatakan pedang dan perisai berlawan menentang tentera Mekah. Beliau melindungi Nabi Muhammad dari serangan musuh semasa pertempuran, bahkan menanggung beberapa kecederaan tombak dan panah apabila beliau menggunakan tubuhnya sebagai penghadang kepada Rasulullah. Diriwayatkan bahawa beliau rebah pengsan setelah mengalami kecederaan yang kedua belas, dan apabila sedar (keesokan harinya di Madinah) persoalan pertama yang terpacul dari mulutnya ialah “adakah Nabi masih hidup?” 3. Khawla b. al-Azwar (m. 639) Seorang lagi sahabat Nabi Muhammad SAW. Beliau terkenal kerana perjuangannya dalam Peperangan Yarmuk (636) menentang Byzantine. Menurut riwayat penaklukan Islam yang terkemudian, beliau memiliki tahap kemahiran dan kepahlawanan yang setaraf dengan panglima Islam termasyhur, Khalid bin al-Walid. Namun, terdapat banyak tokok-tambah dan butiran kurang jelas dari sumber tersebut, yang menimbulkan keraguan di kalangan sarjana sama ada beliau sebenarnya pernah wujud ataupun tidak! Walau bagaimanapun, perlu diiktiraf bahawa kepahlawanan wanita diberi penekanan oleh sarjana seperti al-Waqidi dan al-Azdi, yang menulis pada abad kelapan dan kesembilan. Malah, walaupun sekiranya beliau tidak pernah wujud, ia hanya membuatkan legenda beliau bertambah menarik. 4. Aisyah b. Abu Bakr (m. 678) Seorang yang hampir tidak perlu diperkenalkan lagi, Aisyah merupakan isteri Nabi Muhammad yang barangkali mempunyai pengaruh terbesar ke atas umat Islam selepas kewafatan baginda. Beliau memainkan peranan penting dalam penentangan politik terhadap khalifah ketiga dan keempat, iaitu Uthman bin ‘Affan dan ‘Ali bin Abi Talib, bahkan memimpin tentera menentang ‘Ali di Basra pada tahun 656. Walaupun beliau menarik diri dari politik setelah kekalahannya, beliau terus memainkan peranan penting sebagai penyampai ajaran Islam. Beliau merupakan salah seorang perawi utama hadith dalam tradisi Ahl Sunnah wal Jamaah. Dari pelbagai segi, beliau merupakan antara tokoh yang paling kontroversi di zaman permulaan Islam, lebih lagi kerana implikasi kehidupan beliau kepada penyertaan wanita dalam kesarjanaan, politik, dan ruang masyarakat bertentangan dengan pemahaman konservatif tentang peranan wanita yang muncul kemudiannya. Untuk pengetahuan lebih lanjut tentang Aisyah dan kehidupannya, rujuklah buku Denise Spellberg yang bertajuk “Politics, Gender and the Islamic Past: The Legacy of ‘Ā’isha bint Abī Bakr” (1996). 5. Zainab b. ‘Alī (m. 681) Beliau adalah cucu perempuan Nabi Muhammad melalui anak perempuannya Fatimah (m. 633) dan suaminya ‘Ali bin Abi Talib (m. 661). Beliau antara tokoh yang paling terkenal dan disanjungi dari Ahl al-Bayt (Keluarga Nabi) dan memainkan peranan penting semasa dan selepas Pertempuran Karbala (680), di mana abangnya al-Husain bin Ali, dan 72 anak saudara serta adik-beradiknya dibunuh oleh Bani Umayyah. Pada waktu itu, beliau menjadi pemimpin Ahl al-Bayt dan pembela utama perjuangan abangnya, al-Husain. Di Kufa, beliau mempertahankan anak saudaranya – ‘Alī bin al-Husain – daripada dibunuh oleh penguasa kota tersebut, dan apabila berhadapan dengan Yazid bin Muawiyah di Damsyik, beliau memberikan ucapan yang begitu hebat di mahkamah kerajaan yang memaksa khalifah tersebut untuk membebaskan beliau dan banduan yang diambil di Karbala. Kekuatan, kesabaran, dan kebijaksanaan beliau membuatkannya salah seorang wanita yang paling penting di zaman permulaan Islam. Makam beliau di Damsyik masih merupakan kawasan lawatan utama oleh kedua-dua pengikut Sunni dan Syiah, yang membuktikan kepentingan legasi beliau di kalangan umat Islam. 6. Rabi’ah al-‘Adawīyya (m. 801) Salah seorang mistik (atau Sufi) terpenting dalam tradisi Islam, Rabi’ah al-‘Adawīyya menghabiskan zaman mudanya sebagai seorang hamba di selatan Iraq sebelum mencapai kemerdekaannya. Beliau dianggap sebagai salah seorang pengasas kumpulan Sufi “Cinta Ilahi,” yang menekankan kasih kepada Tuhan demi kasih itu sendiri, dan bukan kerana takutkan hukuman atau inginkan balasan. Beliau menzahirkannya dalam sebuah puisi: “Ya Tuhan! Jika aku menyembahMu kerana takut kepada neraka, bakarlah aku di dalamnya, dan jika aku menyembahMu dengan harapan syurga, halangi aku daripadanya. Tetapi jika aku menyembahMu kerana Kamu, relakan kepadaku Keindahan AbadiMu. ” Apabila ditanyakan mengapa kisah Rabi’ah diterangkan secara panjang lebar dalam kamus biografi mistik (iaitu Tadhkirat al-Awliya’) beliau, Fariduddin Attar (m. 1220), seorang sarjana abad ke-13 menjelaskan: “Nabi (saw) sendiri bersabda, “Allah tidak memandang luaran kamu. Tunjang sebuah perkara itu bukanlah bentuknya, tetapi niatnya. Manusia akan dibangkitkan mengikut niat mereka.” Tambahan lagi jika ianya wajar untuk kita mempelajari dua pertiga agama kita dari seorang wanita, iaitu ‘Aisyah binti Abu Bakar (ra) yang mulia dan diberkati, maka tentunya ia dibenarkan untuk kita mengambil pengajaran agama daripada seorang [yang statusnya boleh diibaratkan sebagai] dayang kepada ‘Aisyah (ra). ” 7. Lubna dari Cordoba (m. 984) Asalnya seorang hamba dari Sepanyol, Lubna akhirnya menjadi seorang tokoh istana terpenting pada zaman Umayyah di Cordoba. Beliau ialah setiausaha istana kepada khalifah ‘Abd al-Rahman III (m. 961) dan anaknya al-Hakam b. ‘Abd al-Rahman (m. 976). Beliau juga seorang ahli matematik yang mahir dan pengerusi perpustakaan diraja, yang mengandungi lebih daripada 500,000 buku. Menurut sarjana Andalusia tersohor, Ibnu Bashkuwāl: “Beliau cemerlang dalam penulisan, tatabahasa, dan puisi. Pengetahuannya tentang matematik juga amat luas dan beliau mahir dalam ilmu-ilmu lain. Tiada yang lebih mulia di istana Umayyah tersebut daripada dia.” [Ibnu Bashkuwal, Kitab al-Silla (Kaherah, 2008), Jil. 2: 324]. 8. Al-Malika al-Hurra Arwa al-Sulayhi (m. 1138) Nama penuhnya Arwa b. Ahmad b. Muhammad al-Sulayḥī. Dari 1067-1138, beliau memerintah sebagai ratu Yaman dengan sendirinya. Beliau seorang Syi’ah Ismailiyah dan mahir dalam pelbagai ilmu agama, Al-Quran, hadith, dan juga puisi dan sejarah. Sejarawan menggambarkan beliau sebagai yang sangat bijaksana. Hakikat bahawa beliau memerintah kerana kelayakannya sendiri sebagai ratu disokong dengan fakta bahawa nama beliau disebut sejurus selepas nama khalifah di zaman Fatimi, iaitu al-Mustansir-billah dalam khutbah Jumaat. Arwa diberi kehormatan tertinggi dalam hierarki keagamaan Fatimi Yaman (iaitu gelaran hujja) oleh Khalifah al-Mustansir. Beliau merupakan wanita pertama dalam sejarah Islam yang dianugerahkan pangkat dan mempunyai kuasa yang sebegitu dalam hierarki agama. Ianya di zaman pemerintahan beliau juga pendakwah Isma’ili diutuskan ke India barat, di mana pusat utama Ismailiyah ditubuhkan di Gujerat (yang masih merupakan pusat kepercayaan Ismailiyah Bohra). Beliau memainkan peranan penting dalam perpecahan Fatimi pada tahun 1094, apabila beliau menyokong al-Musta’li (dan kemudiannya al-Tayyib), dan kekuatan pengaruh beliau terbukti apabila kawasan-kawasan di bawah pemerintahan beliau – iaitu Yaman dan beberapa daerah di India – turut mengikuti beliau dalam hal ini. Yaman menjadi kubu kekuatan gerakan Ismailiyah Tayyibī. Pemerintahan beliau dicirikan dengan pelbagai projek pembangunan dan kemajuan infrastruktur Yaman, dan juga peningkatan integrasi Yaman dengan seluruh dunia Islam. Beliau barangkali merupakan contoh terunggul seorang ratu yang berdikari dalam sejarah Islam. 9. Fatima b. Abi al-Qasim ‘Abd al-Rahman b. Muhammad b. Ghalib al-Ansari al-Sharrāṭ (m. 1216) Beliau salah seorang wanita yang paling terpelajar di al-Andalus sekitar akhir abad ke12 – awal abad ke13. Kegiatannya dengan karya-karya teori perundangan dan juga mistik menunjukkan bahawa beliau fasih dengan pelbagai ilmu Islam. Beliau ialah ibu kepada profesor terkemuka Abu al-Qasim b. al-Ṭaylasān. Menurut sarjana Andalusia Abu Ja’far al-Gharnāṭī (m. 1309): “Beliau menghafal begitu banyak buku di bawah bimbingan bapanya, termasuklah Tanbih tulisan al-Makki, al-Syihab dari al-Qudā’ī, Mukhtasar dari Ibnu ‘Ubayd al-Ṭulayṭalī, ketiga-tiganya yang dihafal ayat demi ayat. Beliau juga menhafaz Al-Qur’an di bawah bimbingan Abu ‘Abd Allah al-Madwarī, penzahid hebat yang dianggap dari kalangan Abdal [iaitu pangkat penting dalam ilmu tasawuf]. Bersama ayahnya, beliau juga mempelajari Sahih Muslim, Sira [Rasulullah] yang ditulis Ibnu Hisham, Al-Kamil karya al-Mubarrad, Nawādir karya al-Baghdadi, dan karya-karya lain. “[Abu Ja’far Ahmad b. Ibrahim al-Gharnāṭī, Kitab Silla al-Silla (Beirut, 2008), hal. 460] 10. Razia Sultan (m. 1240) Beliau merupakan pemerintah Kesultanan Delhi di antara 1236-1240. Ayahandanya, Shams al-Din Iltutmish ( 1210-1236) telah menetapkan Razia sebagai waris sebelum kematiannya, menjadikan beliau pemerintah rasmi kesultanan tersebut. Beliau merupakan seorang pemimpin yang cukup berkesan dan penaung utama pembelajaran, mendirikan sekolah-sekolah dan perpustakaan di seluruh India utara. Dalam semua perihal, beliau bertindak sebagai sultan, memimpin tentera, menduduki takhta bahkan mengenakan pakaian diraja yang sama seperti ayahnya; walaupun dimurkai ramai, beliau juga berkeras untuk tampil di khalayak ramai tanpa hijab. Pada tahun 1240, beliau digulingkan dan dibunuh dalam pemberontakan oleh kerabat diraja, yang – di antara lainnya – sangat menentang kepimpinan seorang wanita. Terlalu banyak yang perlu diceritakan mengenai hidup beliau melebihi apa yang mampu digambarkan di sini, tetapi jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut, disarankan supaya anda membaca “Razia: Queen of India” (1966) tulisan Rafiq Zakaria. 11. Shajar al-Durr (m. 1257) Beliau janda kepada Sultan al-Salih Ayyub di zaman Ayyubi (1240-1249) dan memainkan peranan penting dalam politik Mesir selepas kemangkatan suaminya. Beliau berkemungkinan besar berasal dari Turki, memulakan hidupnya sebagai seorang hamba di istana Ayyubi tersebut. Menjelang 1250, beliau telah menjadi pemerintah (atau Sultanah) Mesir; pemerintahannya umum dianggap menandakan permulaan kesultanan Mamluk di Mesir. Beliau memainkan peranan penting dalam persiapan mempertahankan Mesir utara dalam Perang Salib Ketujuh, mengalahkan tentera salibi (walaupun beliau sendiri tiada di medan peperangan) dalam Pertempuran Fariskur (1250) dan mengambil Raja Louis IX dari Perancis sebagai tawanan. Beliaulah ketua negara dan nama beliau disebutkan dalam khutbah dan syiling ditatahkan dengan nama beliau dengan gelaran “Malikat al-Muslimin” (Ratu Muslimin). Walau bagaimanapun, ianya sukar bagi orang ramai untuk menerima pemerintahan seorang wanita dan pada bulan Ogos 1250, akibat pelbagai tekanan, beliau berkahwin dengan panglima besar ‘Izz al-Din Aybak, yang menjadi sultan pertama kerajaan Mamluk. Walaupun begitu, Shajar al-Durr tetap mengekalkan kuasa beliau, bahkan memastikan bahawa dokumen-dokumen negara dimaterikan dengan kedua-dua nama pemerintah tersebut, dan bukan hanya pada nama Aybak. Walau bagaimanapun, pada tahun 1257 beliau memutuskan untuk menghapuskan suaminya (di atas sebab-sebab politik selain mendapati suaminya terlibat dalam hubungan sulit dengan wanita lain atau ingin berkahwin lagi [sumber tidak begitu jelas mengenai hal ini]) dan membunuhnya ketika mandi. Apabila diketahui, beliau diusir dan dibunuh dengan kejam, menamatkan pemerintahan beliau dengan tragis. 12. Zainab b. Ahmad (m. 1339) Beliau antara sarjana Islam yang terkemuka di abad ke14. Zainab mengikuti mazhab Hanbali dan menetap di Damsyik. Beliau memperolehi beberapa ijazah (diploma atau sijil) dalam pelbagai bidang, terutamanya hadith. Pada awal abad ke14, beliau mengajar kitab-kitab seperti Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Muwatta’ dari Malik b. Anas, Shamā’il dari al-Tirmidhi, dan Sharh Ma’ani al-Athar karya al-Tahawi. Di antara anak murid beliau ialah pengembara Afrika Utara iaitu Ibnu Battuta (m. 1369), Taj al-Din al-Subki (m. 1355), al-Dhahabi (m. 1348), dan nama beliau muncul dalam beberapa dozen isnad Ibnu Hajar al-Asqalani (m. 1448). Penting untuk diketengahkan bahawa Zainab hanyalah salah satu daripada beratus sarjana wanita dalam bidang hadith pada zaman pertengahan dunia Islam. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang peranan wanita Islam dalam kesarjanaan hadith, bacalah karya Asma Sayeed yang bertajuk “Transmission of Religious Knowledge in Islam” (2013) dan juga karya Mohammad Akram Nadwi Al-Muhaddithat: “The Women Scholars of Islam” (2007). 13. Sayyida al-Hurra (m. 1542) Dengan nama yang bermaksud “Wanita Bebas,” Sayyida al-Hurra ialah salah seorang tokoh Islam yang paling menarik di abad ke-16. Asalnya dari Kerajaan Nasri di Granada, tetapi terpaksa melarikan diri selepas ditakluki Kristian Sepanyol pada tahun 1492. Seperti kebanyakan Muslim Andalusia, beliau menetap di Maghribi dan, bersama-sama suaminya, memperteguh dan memerintah kota Tetouan di pantai utara. Selepas kematian suaminya pada 1515, beliau menjadi pemerintah tunggal di bandar ini, yang kemudiannya berkembang dari segi kekuatan dan jumlah penduduk, apabila semakin ramai Muslim Andalusia diusir dari Iberia pada awal abad ke-16. Oleh kerana pelbagai sebab, antaranya keinginan untuk membalas dendam terhadap kemusnahan al-Andalus dan pemaksaan agama Kristian ke atas umat Islam di sana, beliau beralih tumpuan ke aktiviti pelanunan dan mengubah Tetouan menjadi pangkalan utama operasi angkatan laut menentang Sepanyol dan Portugal. Beliau bersekutu dengan laksamana Uthmaniyyah (yang sebelumnya seorang lanun) termasyhur iaitu Hayreddin Barbarossa di Algiers, dan bersama-sama mereka menghentam kuat kuasa imperialis Sepanyol di Afrika Utara dan Mediterranean Barat. Menarik untuk diperhatikan bahawa sumber-sumber Muslim tidak banyak menceritakan kisah Sayyida al-Hurra, dan kebanyakan maklumat mengenainya berasal dari dokumen Sepanyol dan Portugis, yang menekankan keberkesanan beliau sebagai seorang ratu lanun dan kemusnahan akibat serangan beliau ke atas pantai selatan semenanjung Iberia. Beliau kemudiannya berkahwin dengan Sultan Maghribi Wattasi, Abul Abbas Muhammad (1526-1545). Sementara nama seperti Anne Bonny dan Mary Read sudahpun terkenal sebagai lanun wanita di kalangan ramai, namun Sayyida al-Hurra jarang dikenali. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang hidup beliau, rujuklah “The Forgotten Queens of Islam” (1997) karya Fatima Mernissi, di mana beliau membincangkan al-Sayyida al-Hurra dan juga tokoh-tokoh wanita Islam yang penting di zaman pertengahan. Bagi mereka yang berbahasa Sepanyol, rujuk kepada “Sayyida al-Hurra, Mujer Marroquí de Origen Andalusi,” karya Rodolfo Grim Grimau, Anaquel de Estudios Arabes (2000): 311-320. 14. Parī Khān Khanum (m. 1578) Seorang puteri Safavid dan anak kepada Shah Tahmasp I ( 1524-1576) bersama seorang wanita Sirkasia, beliau merupakan salah seorang wanita Iran yang paling berpengaruh pada abad ke-16. Beliau terkenal sebagai seorang wanita yang berpendidikan dan mahir dalam ilmu-ilmu tradisional Islam seperti perundangan. Beliau juga dikenali sebagai seorang penyair yang hebat. Parī Khān Khanum memainkan peranan penting dalam memastikan kewarisan abangnya Ismail II ke takhta Safavid. Namun, dalam pemerintahan singkat abangnya, pengaruh beliau semakin berkurang. Semasa pemerintahan pewaris Ismail, Mohammad Khodabanda, beliau dibunuh kerana dianggap terlalu berpengaruh dan berkuasa. Untuk mengetahui lebih lanjut, rujuklah karya Shohreh Gholsorkhi, “Pari Khan Khanum: A Masterful Safavid Princess,” Iranian Studies 28 (1995): 143-156. 15. Kösem Sultan (m. 1651) Ramai di kalangan yang berbahasa Inggeris sudahpun mengenali Roxelana atau Hurrem Sultan, permaisuri kepada Suleyman I (1520-1566). Namun, kisah mengenai Kösem Sultan kurang diketahui. Sebagai isteri kepada Sultan Uthmaniyyah, Ahmed I ( 1603-1617), bonda kepada Sultan Murad IV (1623-1640) dan Ibrahim (1640-1648), dan nenda kepada Sultan Mehmed IV ( 1648-1687), beliau mempunyai pengaruh besar dan dianggap sebagai wanita paling berkuasa dalam sejarah Uthmaniyyah. Asalnya seorang Yunani bernama Anastasia, beliau diperhambakan pada usia yang muda dan dibawa ke istana Uthmaniyyah, di mana beliau menjadi gundik Sultan Ahmed I. Menurut sumber kontemporari, Cristoforo Valier, pada 1616, Kösem adalah ahli kerabat sultan yang paling berkuasa: “beliau mampu melakukan apa sahaja yang dikehendakinya dan memiliki hati sultan sepenuhnya, dan beliau tidak pernah dinafikan.” Di antara 1623 dan 1632, beliau bertindak selaku pemangku raja kepada anaknya Murad IV, yang menaiki takhta sebelum cukup umurnya. Sehinggalah pembunuhan beliau pada tahun 1651, yang disebabkan oleh kosnpirasi mahkamah, beliau mempunyai pengaruh besar terhadap politik Uthmaniyyah. Untuk pengetahuan lanjut mengenai Kösem Sultan dan institusi harem diraja Uthmaniyyah, bacalah “The Imperial Harem: Women and Sovereignty in the Ottoman Empire” (1993) karya Leslie Peirce.

]]>