Projek Dialog

Menemukan Tuhan di Filipina

Misi di Manila Tatkala menyelusuri perjalanan ke Gereja Malate untuk Misa Kudus jam 7 pagi setiap hari, saya lihat kanak-kanak jalanan masih lagi tidur di laluan pejalan kaki di tepi jalan yang hanya beralaskan kotak dan berselimutkan kain perca. Ada pula terlihat kelibat ibu memanaskan air menggunakan dapur buatan sendiri yang hanya menggunakan cerek usang, batu-bata dan arang. Tidak kurang juga ada gelandangan yang mengemis meminta sedekah dari rombongan kembara kami. Bayangkan setiap kali melalui kaki lima yang berdekatan penempatan gelandangan, bau air kencing dan najis jelas terhidu. Sayu hati melihat gelandangan ini tidak mempunyai rumah, akses air yang bersih serta hidup dengan hanya memakan sisa makanan manusia lainya. Bagi mereka apa yang ada disekeliling mereka, mana yang boleh diguna pakai, mana yang boleh dimakan atau diminum; itulah rezeki mereka setiap hari. Pada malamnya, kami melakukan aktiviti ‘prayer walk’ atau doa kelompok bersama gelandangan, dari situlah misi kami sebagai misionaris bermula. Kami menjangkau para gelandangan bukanlah untuk meng’kristian’kan mereka tetapi lebih kepada mengenali mereka dengan lebih dekat, memberi dokongan dan berdoa untuk mereka. Ada diantara mereka tinggal secara individu dan ada yang bekeluarga. Saya kagum dengan kepetahan mereka berbicara dalam bahasa Inggeris dan kesudian mereka untuk melayan kami. Rata-rata, kisah mereka kebanyakkan berkongsi pada migrasi mereka dari kawasan pedalaman ke metropolitan Manila dengan harapan untuk mencari pekerjaan bagi meningkatkan taraf hidup mereka namun berakhir dengan ketiadaan pekerjaan, wang serta bantuan dan seterusnya melarat di jalanan. Selain gelandangan, kami juga melakukan kunjungan ke penempatan penduduk di Barangay (mukim) San Andres kawasan 6,8 dan 9 untuk tujuan doa kelompok. Penempatan disana ibarat penempatan setinggan rumah kayu mahupun simen. Rumah mereka dibina sendiri tanpa teratur. Bergantung kepada keluarga masing-masing, ada yang mempunyai ahli keluarga melebihi 5 orang namun tinggal di rumah yang hanya ada ruang tamu yang dikongsi dengan dapur dan 1 bilik. Mereka hidup secara bermasyarakat dimana kemudahan seperti tandas, bilik air dikongsi bersama. Bagi kita di Malaysia, mereka mungkin kelihatan miskin. Namun bagi mereka, ianya kelihatan lebih betuah kerana mereka cukup keperluan hidup jika dibandingkan gelandangan. Keadaan yang sama juga terlihat di barangay yang terdapat di daerah Payatas, Quezon City, Metro Manila. 1477524_924897967534895_1721894747_nPayatas merupakan kawasan yang sangat terkenal sebagai kawasan pelupusan sampah terbesar bagi metropolitan Manila. Cuma apa yang menyedihkan saya adalah penduduk barangay disini kebanyakan hidup rata-rata memungut sampah sebagai sumber rezeki. Mereka memanfaatkan sampah untuk membina penempatan mereka. Berdasarkan pemerhatian saya, mereka juga terdedah dengan risiko penyakit berjangkit dan merbahaya. Gas metana juga boleh dihidu dikawasan tersebut. Kelihatan ada beberapa NGO serta organisasi antarabangsa turut ada untuk membantu dalam memberikan rawatan perubatan dan pemberian makanan nutrisi. Di samping itu, kami juga melawat rumah jagaan Missionaries of Charity di Tondo. Kami diberi peluang untuk bersama-sama anak-anak istimewa dan anak yatim piatu dengan berinteraksi dan memberi mereka makan. Ada diantara anak-anak istimewa ini mengalami sindrom down, Hydrocephalus (ketumbuhan otak), spastik dan lain-lain penyakit. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Sayu dan pilu hati saya melihat bagaimana kanak-kanak ini hidup dengan keadaan yang tidak berdaya, bergantungkan kepada ehsan dan kasih sayang manusia lainnya. Melihat ketabahan dan kesabaran biarawati dan sukarelawan bekerja menjaga mereka menunjukkan masih ada sinar dan harapan bagi golongan istimewa ini untuk hidup secara bermaruah. Kami juga berkongsi empati dan solidariti di sana. Kunjungan Paus Fransiskus Kunjungan Paus Fransiskus dilakukan atas dasar sebagai ketua negara dan pemimpin spiritual Gereja Katolik yang bertemakan ‘Mercy and Compassion’ (belas kasihan dan perikemanusiaan). Bagi umat Katolik Filipina, kunjungan ini menandakan bahawa ‘wakil Kristus’ untuk memberikan mereka berkat. Maka, tidak hairanlah jika 6 juta manusia membanjiri perkarangan Taman Rizal dan sepanjang laluan ke Manila Bay bagi Misa penutup di Quirino Grandstand. Paus Fransiskus dengan kapasiti serta pengaruh yang ada pada beliau menyampaikan pelbagai mesej yang menyenangkan kepada rakyat Filipina dan juga mesej yang kurang menyenangkan kepada para agamawan dan politikus di negara tersebut. Berikut merupakan antara terjemahan petikan penting mesej beliau: “Dalam semua lapisan masyarakat, semua bentuk korupsi harus ditolak habis-habisan dimana sumber pendapatan masyarakat miskin diambil, dan berusaha dengan sungguh-sungguh untuk memastikan kelangsungan semua lelaki dan wanita mahupun kanak-kanak dalam kehidupan bermasyarakat.” – Ucapan Paus Fransiskus di Istana Malacanang kepada Presiden dan diplomat, 16 Januari 2015. “Hanya dengan menjadi miskin secara peribadi kita sendiri, dengan menyingkirkan kepuasan keselesaan diri, kita berupaya untuk bersolidariti bersama saudara kita yang serba kekurangan.” – Homili (khutbah) Paus Fransiskus semasa Misa bersama para Uskup, paderi dan religius di Manila Metropolitan Cathedral, 18 Januari 2015. “Kita tidak sendirian. Kita mempunyai banyak saudara yang ketika menghadapi musibah ini datang untuk membantu. Dan kita juga, dalam hal ini, kita merasakan seperti saudara-mara kerana kita membantu satu sama yang lain.” – Homili Paus Fransiskus sempena Misa bersama mangsa ribut Yolanda di Tacloban. Renungan Kemiskinan urban merupakan kemiskinan yang paling teruk yang saya pelajari dalam sejarah kehidupan saya. Data daripada Bank Dunia menunjukkan Filipina merupakan negara yang mempunyai 25.2% daripada 100juta penduduknya diklasifikasikan sebagai populasi dibawah garis kemiskinan. Bila dinilai apa punca kemiskinan ektrim di Filipina, analisa mudah saya mengandaikan kekurangan sumber negara untuk menampung kepadatan penduduk disana, kesan sistem kapitalis di Filipina, kadar pengangguran yang tinggi, korupsi dari peringkat atas hingga ke bawah dan kurangnya capaian pendidikan untuk semua peringkat masyarakat adalah jawapannya. Kembara ke Manila ini mengajar saya erti kesyukuran dengan apa yang ada dan mengingatkan saya untuk tidak membazir segala sumber mahupun rezeki yang ada. Kedatangan kami disana sememangnya tidak berupaya membasmi kemiskinan para gelandangan jalanan meskipun kami memberikan mereka sedikit bantuan makanan dan minuman serta tikar atau keperluan lainya. Tiada apa yang lebih bermakna untuk dikongsikan selain daripada berbicara dan mendengar kisah mereka, memberi mereka pelukan dan berdoa sebagai tanda solidariti dan empati. Kasih sayang dan rasa kemanusiaan daripada masyarakat itulah yang mereka dahagakan. Dari dimensi spiritual dan religius, tampak jelas apa yang dimaksudkan sama ada menjadi manusia beragama dan beragama untuk manusia. Dengan merenungkan Injil, Yesus mengingatkan kami sepanjang kembara ini bahawa “orang miskin sentiasa ada di kalangan kamu” (Matius 26:11) dan untuk “kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” (Matius 22:39). Agama bukanlah sekadar ritual, ibadah dan soal hukum-hakam. Pergi ke gereja dan berdoa adalah ekspresi iman tetapi membantu mereka yang memerlukan, tanpa latar belakang agama dan etnik mereka, merupakan manifestasi iman; kedua-duanya saling melengkapi. Apa yang dapat disimpulkan disini, jurang sosial akan terus wujud bagi mewujudkan fungsi kemanusiaan yang lebih efektif. Saya percaya golongan miskin merupakan amanah yang dipercayakan kepada kita sebagai tanggungjawab sosial. Menjadi misionaris selama seminggu disana, tidak keterlaluan saya mengatakan bahawa saya telah menemukan Tuhan bukan hanya di gereja atau dalam doa tetapi pada orang miskin yang saya temui. unnamed

]]>

Hak asasi masyarakat trans: cabaran dan harapan

Forum yang berlangsung pada hari Sabtu yang lepas adalah suatu percubaan untuk menjelaskan segala silap faham dan rungkaian percanggahan yang wujud diantara Undang-undang Syariah Negeri dengan Perlembagaan Persekutuan. Forum yang merupakan anjuran Projek Dialog dan dengan kerjasama Justice for Sisters turut menerangkan bagaimana percanggahan yang terdapat di dalam undang-undang syariah itu, walaupun mampu disanggah dari sisi teknikaliti dan melalui kuasa Mahkamah Persekutuan, jelas memaparkan suatu gejala ataupun isu yang lebih besar dan menyeluruh. Secara amnya segala masalah ini menggambarkan tentang ketidakmampuan individu untuk berfikir dengan sendirinya tanpa bersandarkan suatu autoriti mutlak dan dogma, yang secara tidak langsung menghasilkan suatu kerangka pemikiran yang kedap idea dan empati. Info tentang penyalahgunaan dan penindasan kerap berlaku di dunia, walaupun setelah wujudnya UHDR (Universal Human Declaration of Rights). Stigma yang berleluasa di tanah kita memaksa golongan minoriti hidup dibelenggu ketakutan yang hanya mereka dan komuniti mereka sahaja yang mengalaminya. Kewujudan mereka ditentukan oleh tekanan prejudis keluarga dan masyarakat disekeliling mereka, dan menjalani kehidupan yang didominasi oleh rasa hampa dan kekecewaan. Relevan isu trans untuk masyarakat am Panelis yang pertama, Firdaus Husni menerangkan tentang kes yang berlaku baru-baru ini, berkenaan dengan kes tiga orang transgender Muslim yang ditangkap dibawah undang-undang Syariah Negeri Sembilan, Seksyen 66. Beliau merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan (Artikel 4(1), 5(1), 8, 9(2) dan 10) dan menerangkan dengan jelas tentang percanggahan yang berlaku dengan undang-undang syariah pada setiap negeri. Dari segi teknikaliti undang-undang, ianya jelas bercanggah dan bagi Firdaus Husni, langkah kemenangan kes ini merupakan suatu permulaan yang positif bagi pihak minoriti, dan beliau menegaskan tentang daya ini perlu dilakukan dengan konsisten dan merupakan langkah benar untuk menguatkan lagi pembelaan hak asasi setiap individu di negara kita. Kemelut undang-undang: antara sivil dan Syariah Kemudiannya forum diteruskan dengan Honey Tan yang memberi perspektif beliau mengenai cabaran yang membelenggu pihak transgender. Bagi beliau, melalui pengalamannya mengikuti kes yang sama di mahkamah, kemelut ini lebih kepada pergelutan yang mencakupi isu yang lebih besar. Ianya merupakan pergelutan diantara kelompok yang ingin memartabatkan undang-undang syariah lebih daripada undang-undang sekular. Diantara dogma yang melahirkan golongan pemaksa dan otoritatif dengan demokrasi yang bersandarkan persetujuan ramai pihak. Diantara pihak yang melaksanakan suatu tatanan yang seragam melalui penggunaan teks suci tanpa kompromi dengan pihak yang melaksanakan suatu tatanan bersendikan premis kebebasan hak individu sebagai permulaan utama. Pengalaman di pinggir Panelis seterusnya, Dorian pula menyatakan justifikasi aktivisme beliau membela pihak minoriti melalui pengalaman peribadi beliau. Dan terus terang saya nyatakan, stigma yang dialami oleh beliau sebagai seorang trans-lelaki cukup jelas untuk mengukuhkan pendirian beliau untuk menjadi seorang aktivis. Jika ingin dilihat daripada pengalaman saya sendiri sebagai seorang heteroseksual, perbualan dan prejudis yang berlegar dikalangan kelompok heteroseksual sendiri sudah cukup menjelikkan dan benar-benar memualkan. Empati yang harus dipupuk dari usia kecil seolah-olah tidak pernah wujud dan kebencian yang terkumpul di dalam benak mereka benar-benar merbahaya, dan ianya tidak langsung harus dikira melalui perlakuan fizikal seperti penggunaan keganasan, tetapi lebih kepada tanggapan dan kondisi pemikiran mereka sendiri. Dengan menggunakan pendekatan kewujudan itu sendiri, iaitu mengambil kira pengalaman kelompok minoriti sebagai fenomena pengalaman mereka, tahap empati boleh dikukuhkan dan membentuk pendirian yang lebih memihak kepada kelompok yang sentiasa ditindas. Kerangka pemikiran yang kedap empati dan idea ini juga menurut Dorian, dikuatkan lagi dengan penggambaran media utama terhadap kelompok minoriti. Ini secara tidak langsung membentuk pemikiran anak-anak muda yang penuh dengan rasa prejudis dan membenci kelompok lain yang berbeza daripada mereka, ini bukan sahaja dihadapi oleh golongan trans/homoseksual, tetapi turut dirasai oleh kelompok minoriti heteroseksual yang enggan menurut tatanan masyarakat yang telah sedia ada. Mempromosi hak asasi di kalangan Melayu Muslim Panelis terakhir, Faisal Tehrani meneruskan forum dengan memberitahu para audien bahawa apa yang harus dilakukan adalah melawan wacana relativiti budaya melalui penekanan tentang nilai kemanusiaan yang universal. Beliau dengan terus terang menyatakan bahawa prejudis yang telah lama wujud ini harus diatasi melalui cara dimana prospeknya untuk jangka masa yang lebih panjang. Bagi saya ‘kemenangan’ itu tidak akan dicapai dan ianya harus dilihat sebagai suatu titik proses yang sentiasa memerlukan pembaharuan dan berdiri diatas landasan pemikiran yang benar-benar layak untuk dikirakan sebagai kerangka pemikiran yang progresif. Dan itu bagi saya memerlukan masa yang lebih lama untuk terlaksana. Beliau mengutamakan wacana akademik dan melaluinya dapat memperluaskan wacana hak asasi. Sebagai contoh, nilai individualistik telah lama wujud di kalangan rakyat melayu pada waktu dahulu melalui ungkapan peribahasa “kita semua mati, tapi kubur masing-masing”. Nilai-nilai hak asasi harus dikuatkan lagi melalui peranan para ilmuan dan harus secara konsisten menyebarkan wacana sebagai tindak balas terhadap wacana yang membela status quo. Secara dasarnya penguatkuasaan untuk mendukung hak minoriti bukan hanya harus dikukuhkan, tetapi harus mempunyai kuasa yang cukup untuk melawan wacana yang sedia ada. Hak asasi: relatif? Sejagat?  Mungkin sahaja relativiti budaya itu adalah sesuatu yang sentiasa perlu dicanggah dengan daya nilai universal yang benar-benar ampuh, kerana terus terang dikatakan, kita semua ditindas bukan atas nama kebenaran yang mutlak, tetapi kuasa dan pengaruh yang berselindung disebalik agama dan budaya. Dan setiap perlawanan yang harus dikembangkan sekarang adalah perlawanan wacana, dan ini adalah cabaran yang paling sukar dan mengambil masa yang lama. Rakyat biasa mengambil masa beratus tahun untuk punyai kesempatan agar mereka dapat memikirkan dengan mendalam tentang status keberadaan mereka. Dunia di kala ini, dimana informasi dapat diterokai dengan sekelip mata, harus digunakan sebaiknya. Pada masa yang sama, batasan yang ada mengikut konteks negara kita (dari teori sejarah, sosiologi dan juga antropologi) harus dinyatakan dengan jelas, agar pendekatan yang dilaksanakan dapat terlangsung dengan konsisten, sesuai dengan visi jangka panjang dan bukan dengan perlaksanaan yang berlandaskan emosi yang membabi buta dan seringkali membawa padah. unnamed

]]>

Meneroka alam semesta yang mengkagumkan

Pelik benar manusia! Setiap kita di dunia hanyalah persinggahan; untuk tujuan apa, tidak kita ketahui… Idealisme yang telah mencerahkan perjalananku, dan setiap kali memberikanku keberanian untuk mengharungi kehidupan dengan ceria – adalah Kebaikan, Kecantikan dan Kebenaran.

Albert Einstein

  Pada 12 November 2014 yang lalu, kapal angkasa Philae dari misi Rosetta yang diketuai European Space Agency (ESA) berjaya mendarat di komet yang kini dinamakan sebagai Cheryumov-Gerasmienko. Ia merupakan antara misi angkasa paling bersejarah pernah dicapai manusia selepas kejayaan besar pendaratan manusia di bulan. Misi ini adalah demi merungkai permulaan terciptanya bumi, sistem solar dan alam semesta kita ini. Misi pendaratan ke komet yang telah menelan masa hampir 10 tahun ini, sudah tentu belum terhenti smpai disini. Philae yang telah mendarat akan mengikuti komet dan mengorbit matahari selama 13 bulan dan melalui jarak paling rapat dengan matahari pada 13 Ogos 2015 nanti. Komet ini adalah antara tinggalan tertua serpihan-serpihan batuan yang terhasil setelah penciptaan sistem solar kita. Sudah tentu mengkaji asal-usulnya dapat membuka pelbagai pintu-pintu rahsia yang menjadi jawapan kepada persoalan falsafah zaman-berzaman: “Dari mana kita datang?”, “Mengapa kita disini?”, “Bagaimana semuanya bermula?”, “Apakah kita dan segala kehidupan di dunia ini , keseorangan dalam alam semesta yang luas terbentang ini?” Artikel saya pada kali ini ingin mengajak pembaca, khususnya orang-orang Melayu yang terlalu sesak dengan tahyul-tahyul dan magis-magis yang tidak membantu perkembangan fikiran dan budaya bangsanya, supaya berminda saintifik dan sentiasa dalam keadaan ingin tahu dan berminat untuk meneroka misteri alam ini. Salah faham terhadap sains Saya bukanlah seorang saintis yang pakar untuk menceritakan tentang sains sebagai bidang yang memerlukan kepakaran. Namun begitu, tidak salah untuk kita menjadi seorang yang peka dan merasa teruja dengan persoalan-persoalan tentang kehidupan dan cara menjadikan ia lebih baik untuk kita lebih menghargainya. Disinilah sains memainkan peranannya. Banyak diantara kita yang mengecilkan sains terhadap penjelasan kiraan matematik dan teori-teori yang sukar difahami seperti yang tecatat di dalam buku teks fizik, kimia dan sebagainya. Sedangkan kehidupan seharian kita yang berhadapan dengan teknologi yang kita guna seperti kereta, telefon pintar, internet, televisyen, komputer dan sebagainya adalah hasil dari sumbangan sains. Begitu juga penemuan-penemuan planet-planet baru, komet, sistem solar, galaksi baru dan pelbagai lagi penemuan yang berguna dan penting bagi menjaga kelangsungan hidup manusia sebagai spesis dan keseimbangannya dengan hidupan yang lain. Sains Sains sentiasa disalah fahami sebagai suatu dogma yang memberi jawapan kepada semua persoalan yang kita ingin tahu. Ia disalah tanggapi sebagai alternatif kepada naratif agama yang selalunya memberi kita semua jawapan tentang semua persoalan tentang hidup dan alam ini. Sains sebenarnya hanyalah alat. Suatu kunci yang kita gunakan untuk membuka rahsia alam yang dahulunya tidak diketahui oleh kita. Ia juga sebuah proses yang mana segala misteri dan persoalan yang ingin kita jawab secara konsisten diuji secara empirikal dan pemerhatian dalam jangka masa yang lama. “Alat” ini pula sentiasa diperbaiki dan ditingkatkan teknologinya agar dapat menjawab soalan atau merevisi jawapan sedia ada dengan lebih baik dan lebih tepat lagi. Sains bermula dengan soalan tentang “apa yang ingin kita tahu?” dan kemudian segala data dan maklumat kita kumpulkan dan uji kebenarannya. Ia tidak semestinya menjanjikan kita jawapan. Apa yang diterokai sains pada hari ini boleh sahaja dicabar jika terdapatnya penemuan baru pada masa akan datang. Ia bukan seperti agama yang mana jawapan yang telah termaktub di dalam kitab tidak boleh dicabar kesahihannya. Oleh itu, sains menekankan kaedah yang konsisten dalam menguji kebenaran. Misalnya, persoalan tentang Tuhan. Saintis akan meletakkan dakwaan tentang kewujudan Tuhan separas dengan dakwaan tentang kewujudan Santa Claus, mitos-mitos Greek dan sebagainya. Jadi, metod sains diperlukan sebagai proses dan juga alat bagi menguji dakwaan-dakwaan tersebut. Kuasa sains  Berminda saintifik tidak bermaksud mengecilkan dunia yang penuh misteri ini kepada apa yang boleh dibuktikan sahaja. Akan tetapi ia mengajar kita berfikir dengan betul dan konsisten dengan sikap pembuktian bagi setiap dakwaan kita. Misalnya, jika seorang percaya malaikat itu benar walaupun tanpa apa-apa bukti, maka kepercayaan seseorang bahawa naga itu wujud walau tanpa bukti juga benar. Apakah sesuatu itu benar hanya atas dakwaan atau penekanan sahaja? Di sini minda yang santifik membolehkan kita menyoal tentang realiti di dunia ini. Dari mana bumi datang? Dari mana manusia datang? Bilakah kehidupan di dunia ini bermula? Benarkah bumi ini adalah pusat kepada alam semesta? Apakah alam semesta yang terbentang ini hanya untuk dimanfaatkan oleh sekelompok bangsa manusia yang mendiami bumi kecil yang mengorbit matahari, di antara jutaan planet dan sistem solar dan galaksi yang lain? Apakah wujudnya kehidupan di benua alam yang lain? Sebahagian dari soalan-soalan yang saya bentangkan ini telah dapat dijawab, dan sebahagiannya masih belum diselesaikan. Misalnya, kita sudah dapat mengetahui bahawa manusia berevolusi dan berkongsi moyang (common ancestor) homo habilis 2.5 juta tahun lalu. Kita juga sudah mendapati bahawa bumi bukanlah pusat kepada alam semesta dan bumi mengorbit matahari bersama 8 planet yang lain (bukan 9 kerana Pluto telah diputuskan oleh saintis bukan lagi sebuah planet, bahkan sebuah komet). Buku “The Science Class You Wish You Had [Kelas Sains Yang Anda Idamkan] tulisan David Eliot and Arnold R.Brody menjelaskan 7 penemuan terbesar sains sepanjang sejarah dan mereka yang menyumbang kearahnya. Antaranya penemuan graviti dan undang-undang dan universal fizik oleh Isaac Newton, struktur atom oleh Ernest Rutheford dan Niels Bohr, prinsip relativity oleh Albert Einstein, fenomena Big Bang [Letupan Besar] dan pembentukan alam semesta oleh Edwin Hubble, evolusi dan prinsip natural selection [pemilihan semulajadi] oleh Charles Darwin, penemuan sel dan genetik oleh Walther Flemming dan Gregor Mendel, dan juga struktur molekul DNA oleh Francis Crick dan James Watson. Di sini saya ingin berkongsi satu petikan menarik dari buku tersebut: “Sedangkan kita masih lagi berhujah tentang struktur politik dan falsafah agama, dan sementara kita masih tidak pasti cara yang terbaik untuk menghasilkan dan mengedar barangan dunia, atau memperuntukkan kekayaan di kalangan manusia, kita di masa ini mengetahui banyak tentang apa yang wujud. Kita kini didedahkan dengan lebih banyak pengetahuan daripada apa yang mampu diimpikan hanya beberapa abad yang lalu.” Kesemua penemuan yang besar ini memberi sumbangan yang cukup besar terhadap kebaikan manusia sejagat. Misalnya teori ‘general relativity’ [relativiti awam] Einstein telah menyumbang kepada teknologi moden terutama dalam penggunaan GPS. Teori fizik Newton pula bukan sekadar berupaya membongkar rahsia gerakan bulan dan planet sekitar alam ini, malah melalui teori undang-undang gerakan (Law of Motion) beliau, kita berupaya mencipta roket, kapal terbang, malah kapal angkasa yang kita gunakan hari ini. Bahkan, melalui teori tersebut juga, menyumbang besar terhadap kebangkitan Revolusi Industri kurun ke-18/19 dengan penciptaan enjin stim, lokomotif, dan juga mesin-mesin yang digunakan di kilang-kilang. Penemuan struktur atom pula membantu kita memahami reaksi kimia yang berlaku pada skala atomik dalam penciptaan ubat-ubatan yang lebih baik, mencari sumber tenaga yang mesra alam dan juga menambah baik inovasi produk-produk industri yang memberi manfaat kepada manusia. Melalui penemuan Edwin Hubble pula, kita dapat mengesahkan bahawa alam semesta ini berkembang dan memecut. Melalui penemuan Cosmic Microwave Background (CMB) [Latarbelakang Gelombang Mikro Kosmik] tinggalan radiasi yang tecipta selepas peristiwa Big Bang [Letupan Besar] oleh Arno Penzias dan Robert Wilson yang mengesahkan teori Big Bang bahawa alam ini suatu ketika dulu bermula dari satu titik dalam kepadatan yang infinit. Kini teori Darwin masih berguna untuk menjelaskan bagaimana kehidupan berevolusi, termasuklah kedudukan kita sebagai satu antara pelbagai hidupan alam yang lain di bumi yang bermula berbillion tahun yang lalu. Dan sudah tentulah penemuan DNA bukan sahaja membantu kita dalam menyelesaikan kes jenayah bahkan membantu kita menjejaki penyakit yang dibawa melalui keturunan dan menghapuskannya. Malah kesemua haiwan (manusia termasuk dalam kategori ini kerana kita juga produk dari evolusi) dan tumbuhan mempunyai kod DNA yang sama dan ini mengesahkan teori Darwin bahawa kita datang daripada satu “common ancestor” [moyang yang sama]. Hujah God of the Gaps [Tuhan Dalam Jurang] Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, penemuan sains bukanlah suatu dogma yang tidak boleh dicabar. Ia sentiasa terbuka untuk dikaji dan dibuktikan semula dengan penambahbaikan instrumen-instrumen dan teknologi yang kita guna untuk membuktikanya. Sudah tentu hujah-hujah sains tidak dibatalkan hanya dengan mengambil potongan ayat tertentu di dalam teks, akan tetapi berusaha membuktikannya melalui eksperimen dan pemerhatian dalam jangka masa yang lama. Ramai yang skeptik terhadap sains, misalnya orang beragama akan menggunakan hujah bahawa pada suatu titik misteri yang tidak ketahui, mesti datang dari Tuhan. Misalnya, sewaktu dahulu ketika manusia mendengar petir dari langit, mereka menyangka itu merupakan suatu tanda kemurkan Tuhan ataupun, atau mungkin Tuhan Thor datang. Akan tetapi sains moden telah membongkar mitos tersebut dan kita mengetahui bagaimana petir dan guruh tercipta malah tenaga elektrik dari petir tersebut dapat kita cipta semula di bumi dan menggunakannya untuk kehidupan seharian kita. Hujah God of The Gaps ini sentiasa diadvokasi saat kita buntu dalam misteri yang tak kita ketahui, yakni sesuatu yang tak kita ketahui itu, ada Tuhan dibelakangnya. Ia juga berlaku pada saintis terutama antara saintis teragung yang kita kenali Isaac Newton, di mana Neil Degrasse Tyson kosmologis terkenal menerangkan dalam tulisannya The Perimeter of Ignorance [Batas Kejahilan]: “Menulis berabad dahulu, ramai saintis berasa terpaksa ‘bersyair seni’ tentang misteri kosmik dan kekuasaan Tuhan. Mungkin kita tidak patut terkejut dengan hal ini: kebanyakan ahli saintis zaman itu, dan juga ramai ahli saintis sekarang, memperakui diri mereka berpegang teguh kepada agama. Namun pembacaan teliti terhadap teks-teks lama, terutamanya yang berkenaan dengan alam semesta, menunjukkan bahawa penulis-penulis tersebut merujuk kepada ketuhanan hanya apabila mereka tiba ke sempadan pemahaman mereka. Mereka merayu kepada kuasa yang lebih tinggi apabila merenung ke lautan kejahilan mereka sendiri. Mereka memanggil Tuhan hanya dari curam pemahaman mereka, yang sepi dan tiada ketentuan. Apabila mereka yakin dengan penjelasan mereka, jarang sekali Tuhan menjadi sebutan.” Namun, masa berlalu dan semakin lama, misteri tentang alam ini dan segala isinya dibongkar satu persatu. Misalnya, jika meyakini bahawa Bumi adalah satu-satunya planet yang menghuni benda hidup, tunggulah ketika saintis menjumpai hidupan di planet lain di alam yang terbentang luas ini dan membongkar suatu lagi “lingkaran kejahilan” kita. Yang paling terbaru saat ini ialah misi mencari hidupan di bulan Europa yang mengorbit planet Jupiter yang dikatakan berpotensi mempunyai hidupan. Kesimpulan Sains adalah metod penerokaan. Instrumen bagi membongkar mitos-mitos, menghumban dogma-dogma, dan segala benda yang dahulunya kita percaya tanpa persoal. Kita juga tahu, bahawa berminda saintifik ataupun menjadi seorang saintis tidak memerlukan seseorang wajib menjadi ateis. Berapa ramai orang beragama yang membuat pelbagai ciptaan dan inovasi yang menyumbang besar kepada sains dan teknologi yang kita ada hari ini. Penemuan sains cuma akan menggoncang dakwaan-dakwaan teks terhadap alam ini yang dipanggil “sains”dan secara konsisten menaakul dan mengkaji dakwaan tersebut apakah ia konsiten dengan bukti yang kita ada. Berminda saintifik juga menyalakan api pencarian dalam diri kita yang sentiasa mahu maju kehadapan dan sentiasa meneroka misteri alam ini dengan bertanya soalan baru dan membuat hipotesis dan dibantu daya instrumen dan teknologi yang kita ada untuk membuktikannya. unnamed ]]>

Buddha sebar Islam?

“Gautama Buddha Seorang Nabi?” (2014) sebenarnya mengupas mengenai hakikat agama Islam. Hal ini diakui Kamaludin Endol pada blurb (kulit belakang) buku setebal 190 halaman ini. “Walaupun jumlah nabi dan rasul dianggarkan seramai 124,000 orang … tidak ada sebarang bukti bahawa Gautama Buddha adalah Nabi Zulkifli sebagaimana pernah didakwa oleh sebilangan pendapat,” kata penulis. Sekiranya pembaca mahu tahu jawapan bagi soalan pada judul buku ini, maka boleh terus ke halaman 29 di mana dinyatakan bahawa Gautama Buddha besar kemungkinan salah seorang nabi yang diutuskan Allah dalam rencana-Nya memurnikan kembali agama tauhid Sanatana Dharma. [caption id="attachment_4381" align="alignleft" width="300"]Konvoi Rumah Ibadat ke sebuah wat pada Oktober 2013. Konvoi Rumah Ibadat ke sebuah wat pada Oktober 2013.[/caption] Kamaludin sudah menghuraikan mengenai kedudukan Sanatana Dharma (Hinduisme) sebagai agama tauhid pertama dan tertua menerusi buku “Hinduisme Agama Tauhid Terawal?” (2014). Melalui buku kedua dalam siri “Mengenal Allah Melalui Agama-agama Purba”, dinyatakan betapa Sanatana Dharma yang merupakan “agama yang kekal abadi” pada asalnya menyeru para pengamal menyembah Tuhan Yang Esa (Brahman). Bagaimanapun, kemudian, pengikut ajaran Hindu dikatakan mula beralih “menyembah beribu-ribu dewa-dewi” berikutan ajaran asal “mengalami campur tangan yang sangat berleluasa daripada manusia yang berkepentingan” (halaman 27) iaitu golongan Brahmin. Sanatana Dharma dikatakan berubah menjadi agama Hindu yang penuh dengan pertelingkahan dan kusut-masai mengenai kasta, di samping berbagai-bagai amalan dan adat-adat yang pelik-pelik yang bercanggah dengan kemurnian tauhid (halaman 7). Untuk makluman, pembaca sasaran buku kajian separa akademik ini adalah “umat Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman” (halaman xvii) dan Kamaludin awal-awal lagi sudah menegaskan bahawa “dalam Islam terdapat ajaran Hindu, Buddha, Zoroaster, Kristian, Yahudi, Taoisme dan lain-lain” (halaman ix). Konsep “Empat Kebenaran Mulia” (The Four Noble Truths) dan “Jalan Lapan Lapis” (The Noble Eightfold Path) dinyatakan pada Bab 3 sebelum dihuraikan secara panjang-lebar dalam bab seterusnya (halaman 40-169) yang merupkan bahagian paling penting dalam buku ini. Mengajak orang Melayu kembali kepada Islam Untuk berlaku adil, perlu dinyatakan bahawa segala huraian, penerangan, perbahasan dan fakta adalah berdasarkan ajaran Islam. Perkara ini juga jelas jika pembaca melihat senarai bahan rujukan yang dinyatakan pada bibliografi. Pembaca perlu sentiasa ingat – dan beringat – akan hakikat ini apabila membaca buku ini. Jika masyarakat ingin mengetahui tentang apa sebenarnya Buddhisme dan siapa sebenarnya Gautama Buddha, lebih baik merujuk “The Complete Illustrated Encyclopedia of Buddhism” (2011) yang amat komprehensif atau “The Life of Buddha for Young People” terbitan Maha Karuna Buddhist Society. Kedua-dua buku berkenaan turut menjadi rujukan silang sepanjang saya membaca buku terbaru tulisan Kamaludin supaya saya tidak terbabas daripada fakta sebenar Buddhisme. Pengalaman menyertai Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) ke rumah-rumah ibadat pelbagai agama sejak tahun 2010 juga membekalkan pelbagai maklumat berguna sebagai rujukan. [caption id="attachment_4382" align="alignleft" width="300"]Buku ini boleh dijadikan bahan dan topik bagi dialog antara agama. Buku ini boleh dijadikan bahan dan topik bagi dialog antara agama.[/caption] Memandangkan maklumat serta fakta sahih dan sebenar mengenai Gautama Buddha dan ajaran Buddhisme sudah diperoleh melalui pelbagai sumber primer sejak puluhan tahun dahulu, saya selaku pengamal multi-faith lebih berminat untuk memperkatakan pelbagai pendedahan lain yang dilakukan oleh Kamaludin menerusi kajian separa akademik yang dilakukannya. “Apabila ditoleh ke dalam semua ajaran agama-agama purba, ajaran Islam akan dapat dilihat dengan jelas dan nyata,” kata bekas pensyarah ini yang turut menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia sebanyak dua kali. Maka tidak hairanlah Jalan Lapan Lapis yang merangkumi pandangan, pemikiran, perkataan, kelakukan, kehidupan, matlamat, keinginan dan pertapaan yang benar, dilihat dan dibicarakan sepenuhnya oleh penulis dari sudut Islam. Pendekatan yang digunakan itu tidak salah sama sekali kerana sesungguhnya buku separa ilmiah ini bertujuan membuka ruang dan peluang kepada khalayak Melayu-Islam mengenali semula Islam (kembali kepada Islam) menerusi pemahaman terhadap agama-agama purba. Hal ini adalah wajar kerana seperti diterangkan oleh Kamaludin, umat Islam pada masa kini sudah berpecah kepada 73 golongan, “antaranya disebabkan sifat-sifat kebohongan para ulama dunia” (halaman 94) di mana “72 golongan Islam kesemuanya sesat kecuali satu golongan iaitu al-Jamaah” (halaman 28). Sekularisme, liberalisme mengagungkan Dajjal Namun begitu, agak menarik untuk diperhatikan bahawa pelbagai “fakta” dan “pendedahan” turut diselitkan oleh penulis dalam usahanya mengangkat Islam sebagai agama tauhid yang terakhir; manakala agama-agama tauhid sebelumnya dikatakan “tidak lagi murni” berikutan tindakan pihak yang diberikan amanah oleh Allah “telah menyembunyikan kebenaran dan merubah ayat-ayat Allah” disebabkan “bimbingan syaitan-syaitan” (halaman 93). Dikatakan bahawa pembohongan dilakukan oleh golongan Brahmin sehingga penganut Sanatana Dharma (Hinduisme) “menjadi abdi kepada para Brahmin, lantas memuja pula tuhan-tuhan yang dijelmakan dalam berbagai-bagai bentuk”. Mengenai Nabi Isa (Jesus) pula, dinyatakan bahawa fakta sebenar nabi berkenaan diselamatkan oleh Allah daripada komplot durjana kaum Yahudi yang mahu memakukan Baginda pada salib telah “diputarbelit oleh Ahli Kitab dengan dakwaan sebagai anak tuhan yang diutuskan untuk dibunuh bagi membebaskan manusia daripada dosa warisan, lantas dipatungkan sebagai lambang ketuhanan” (halaman 94). “Lihatlah bencana fitnah oleh kaum Yahudi Zionis dan Nasrani (Kristian) terhadap Allah oleh angkara Iblis. Fitnah mereka menjadi musibah terbesar kepada keamanan dunia dan merupakan bencana terbesar sepanjang zaman. [caption id="attachment_4383" align="alignleft" width="300"]Pembaca perlu mendapatkan maklumat dari sumber yang sahih. Pembaca perlu mendapatkan maklumat dari sumber yang sahih.[/caption] “Nabi Isa difitnahkan sebagai putera Allah, lalu dipertuhankan. Fitnah mereka ini menjadikan sepertiga penduduk bumi menganut agama Kristian. … Kesemua mereka adalah mangsa fitnah Iblis yang menyebabkan mereka jatuh ke dalam lembah syirik,” Kamaludin menegaskan pada halaman 101 dan 102. Nampaknya lebih banyak “maklumat” mengenai Kristian dan Yahudi berbanding fakta berkaitan Gautama Buddha dan kenabiannya! Malah, pembaca diingatkan bahawa selama lebih seribu tahun, bangsa Yahudi dan Nasrani berada dalam kesesatan yang nyata. “Yahudi Zionis sebagai umat yang terkutuk telah melakukan fitnah dan konspirasi jahat mereka melalui gerakan-gerakan dan pertubuhan rahsia seperti Freemason dan Illuminati. Freemason adalah satu pergerakan terancang untuk mengembangkan fahaman Yahudi Zionis,” kata penulis. Hanya melalui buku ini saya mendapat tahu bahawa khabarnya Illuminati mempunyai motif “menggalakkan fahaman sekular, liberalism, republikan, kebebasan berfikir dan kesamaan jantina” yang berajakan Dajjal. Rupa-rupanya pertubuhan kebajikan seperti Kelab Lion dan Kelab Rotary juga bermotif “menabur fitnah dan menyebarkan seruan Zionisme” (halaman 103). Protokol Zionis, Iblis, Freemason dan Illuminati Wajar diingatkan bahawa apa-apa yang saya kongsikan di sini merupakan maklumat yang dipetik daripada buku “Gautama Buddha Seorang Nabi?” (2014) terbitan Pustaka Kanzun Mahfiyyan dan buku “Pendedahan Agenda Kristian” (2014) terbitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Syaitan dikatakan bersembunyi di sebalik nama agama-agama tauhid yang sudah disesatkan, termasuk Hindu, Buddha, Taoisme, Confucianisme dan Kristian. Malah, pada zaman moden ini, syaitan khabarnya licik bersembunyi di sebalik nama-nama baru yang dianggap tidak begitu berbahaya kerana bukan berjenama agama. “Inilah kejayaan Protokol Zionis melalui gerakan rahsia Freemason dan Illuminati di seluruh dunia Islam,” penulis menyimpulkan pada halaman 127. Orang yang tidak berpendidikan dan tidak berilmu dikatakan akan terpedaya dan tertipu dengan kelicikan Iblis (atau Lucifer, Dajjal, Yakjuj dan Makjuj) yang bersembunyi di sebalik “sekularisme, kapitalisme, liberalisme, sosialisme, pragmatisme, individualisme, hedonisme, mordenisme, demokrasi dan lain-lain” (halaman 128). Pihak berkuasa dan pemimpin yang menganut dan menguatkuasakan sistem berasaskan “feudalisme, kapitalisme, sosialisme, komunisme, liberalisme, pragmatisme, materialisme, sekularisme” serta “egoisme, utilitarianisme, eksistensialisme, hedonisme, liberalisme, individualisme dan sebagainya” dikategorikan sebagai “ancaman yang paling besar kepada keamanan, kesejahteraan dan kebahagiaan masyarakat dunia dan alam sekitar” (halaman 131). Huraian seperti “satu-satunya agama tauhid yang dijamin murni hanyalah Islam” (halaman 133) dan “umat Muslimin sesungguhnya sedang menanti kibaran bendera agung ‘lailahaillallah’ untuk terjun ke medan jihad” untuk membawa “kemusnahan mutlak” kepada “Zionis Yahudi dan puak Kristian” (halaman 104) merumuskan inti pati sebenar buku ini. Frasa-frasa seperti “Gautama Buddha menekankan keinginan yang benar” (halaman 158) dan “Semoga demikianlah yang dimaksudkan oleh Gautama Buddha” (halaman 165) serta “ajaran Gautama Buddha yang asal ini adalah ajaran yang sangat sama dengan kehidupan kerohanian Islam” (halaman 41) bertujuan mengukuhkan hujah penulis. Sebagai sebuah buku dakwah separa akademik yang disasarkan khusus kepada masyarakat Islam yang sudah berpecah kepada 73 golongan, buah tangan Kamaludin sangat bermanfaat dalam niat “setelah kesemua agama-agama tauhid terdahulu menjadi musnah dan sesat, maka lihatlah kepada Islam” (halaman 177). unnamed

]]>

Agama Sikh: fakta-fakta menarik!

Bagaimana terlahirnya agama Sikh? Berasal daripada perkataan ‘Sikh’ (bahasa Punjabi) yang bermaksud ‘Pengikut’ ataupun ‘Pelajar’. Sikhism mula muncul pada abad ke 16 semasa berlakunya konflik diantara penganut agama Islam dan Hindu. Ianya diasaskan oleh Guru Nanak pada abad ke 15 di rantau Punjabi. Sikhisme terlahir apabila Guru Nanak sedang bergelut dengan realiti kehidupan beragama itu sendiri – bagaimana agama, kaum, dan status sosial yang berbeza berjaya memisahkan masyarakat. Ianya dipengaruhi oleh pergerakan reformasi agama Hindu dan pergerakan Sufi di India. Simbol universal agama Sikh adalah pedang bermata dua dan dua pisau bersebelahan pedang – yang mewakili kekuatan duniawi dan spiritual, yang bergabung di bawah kesatuan Tuhan. Siapakah Guru Nanak? Pengasas agama Sikhisme, dilahirkan pada tahun 1469 di perkampungan Rāi Bhōi dī Talwandī, sekarang dikenali sebagai Nankana Sahib di Pakistan. Sepanjang kehidupan beliau, Guru Nanak telah melakukan empat pengembaraan yang besar – perjalanan yang pertama ke arah timur iaitu menghala ke Bengal dan Assam, kedua ke arah selatan iaitu menghala ke Andhra dan Tamil Nadu, ketiga ke arah utara menghala ke Kashmir, Ladakh, dan Tibet, keempat ke arah barat menghala ke Baghdad dan Mekah. Pada umur 30, Guru Nanak hilang dan dikatakan mati lemas semasa beliau mandi pagi di sungai Kali Bein. Beliau muncul tiga hari selepas itu dan membuat pengishtiharan bahawa “Tiada Hindu dan tiada Muslim, jadi jalan milik siapa yang harus aku ikuti? Aku bakal mengikuti jalan Tuhan” Selepas kematian Guru Nanak, peranan Guru diambil alih dan diteruskan lagi dengan sepuluh guru. Guru yang terakhir, Guru Gobind Singh berakhir dan meninggal pada 7hb Oktober 1708. Apakah asas agama Sikh?  Konsep asas agama Sikh adalah sama seperti agama Islam, Kristian dan juga Judaism iaitu berasaskan monotheisme. Tetapi konsep tuhan agama sikhisme berbeza dengan agama lain. Ianya dikenali sebagai ‘Ik Oknar’ yang bermaksud ‘Satu Realiti Tertinggi’. Menurut Guru Nanak, proses memahami Tuhan menjangkaui kebolehan spesis manusia tetapi pada masa yang sama dapat Tuhan itu dapat dikenali. Sama seperti pemahaman Sufisme, Tuhan wujud dan dapat dikenali melalui kesemua benda yang wujud dan dapat dilihat oleh manusia yang telah mencapai kemuncak pencerahan. Mengikut ajaran Guru Nanak, penebusan dosa tidak bermaksud memasuki syurga setelah penghakiman yang terakhir, tetapi melalui persatuan dan penyerapan ke dalam Tuhan. Para penganut Sikh tidak mempercayai syurga ataupun neraka. Kitab-kitab agama Sikh:  Sumber utama kitab kepada agama Sikhisme adalah Gurū Granth Sāhib. Gurū Granth Sāhib adalah versi terakhir kepada Ādi Granth yang dicipta oleh Guru Arjan pada tahun 1604. Kitab Ādi Granth ditulis di dalam huruf Gurmukhī, ianya diguna luas di daerah Punjabi, ianya berasal daripada istilah Punjabi lama “gurumukhī” yang bermaksud “daripada mulut si guru”. Antara kitab-kitab lain yang utama bagi agama Sikh adalah kitab Dasam Granth dan Janamsakhis. Janamsakhis merupakan buku yang menceritakan kisah tentang Guru Sikh yang pertama, sebuah buku biografi tentang Guru Nanak. Sistem Langar:  Konsep ‘Langar’ merupakan konsep makanan/kantin percuma yang terbuka kepada semua orang secara adil dan saksama, menjangkaui batasan kaum, agama, ataupun status sosial. Pada abad ke-16 di India, ianya merupakan suatu konsep yang revolusioner, dimana masyarakat pada masa itu masih bersendikan tahap kasta yang berbeza. Melalui aktiviti Langar, hanya sayuran sahaja yang diberikan, untuk memastikan bahawa kesemuanya dapat makan secara adil dan saksama, tanpa menghiraukan batasan diet.   Disusun oleh Johan Zolhaidi. Sila emel editor di projekdialog@yahoo.com untuk rujukan-rujukan khusus fakta-fakta makalah ini.  unnamed

]]>

Identiti, pendidikan dan teknologi: wawancara bersama Prof. Ebrahim Moosa (Bahagian 2)

Bahagian  kedua penterjemahan temubual BFM Night School bersama Professor Ebrahim Moosa, ahli fikir Islam terkemuka masakini. Dicatat dan diterjemah oleh Hamizah Hanan.  (Klik link ini untuk bahagian pertama perbincangan.)   F.R: Saya bersetuju apabila prof menyebut tentang terdapat suatu masa di mana sikap optimistik itu seolah-olah diharamkan. Terutamanya apabila ada warga Malaysia sanggup untuk bersama dalam usaha yang jarang dilakukan untuk merapatkan jurang antara Islam dan moderniti. Sehinggakan ianya telah terhalang dan berubah arah ke suatu jalan yang tiada siapa ingin lalui. Terutamanya sekarang ini, dengan pimpinan negara sepertimana yang Prof sebutkan adalah dalam keadaan yang sangat merisaukan. Saya ingin menyimpulkan diskusi ini dengan perbincangan tentang pendidikan dan perundangan bersama buku tulisan Prof yang bakal diterbitkan pada bulan Mac tidak lama lagi iaitu berkenaan dengan Madrasah. Betul? Tajuk penuhnya apa ya? E.M: ‘What Is a Madrasa?’  F.R: Saya fikir Muslim zaman ini terutamanya yang berada di persimpangan perjalanan yang kompleks dan moden ini tertanya-tanya. Apakah cara yang terbaik untuk kita mendidik generasi Muslim yang baru? Terutamanya mereka yang celik media dan bersikap sentiasa ingin mencuba serta lebih banyak terdedah kepada permasalahan yang rumit. Selain itu sekarang ini, Prof juga boleh perhatikan bahawa terdapat banyak sekolah agama swasta yang dibina dan banyak aduan dibuat tentang kerisauan para ibu bapa berkenaan adakah pendidikan Islam yang terdapat dalam kurikulum kebangsaan ini adalah betul-betul menepati piawaian Islamik atau tidak dan sebagainya. Apa pandangan umum yang boleh Prof kongsikan daripada pengalaman Prof sendiri mempelajari dan mengkaji bidang pendidikan agama Islam ini? E.M: Buat pengetahuan kamu, apa yang kebanyakan orang maksudkan sebagai Islamik adalah mereka fikir ianya mesti mempunyai pelbagai pengkhususan tertentu dan ianya sangatlah kaku. Sedangkan itu bukanlah Islamik. Islamik adalah kecemerlangan dan kecemerlangan adalah Islamik. Dalam suatu kisah nabi yang terkenal di mana beliau ditanyakan tentang ‘apa itu ihsan?’. Kemudiannya, beliau menjawab Ihsan adalah sebuah perkataan yang memberi maksud kecantikan dan kecemerlangan. Ia membawa maksud sesuatu yang cantik dan mempunyai pengertian yang tertentu iaitu kesempurnaan. Jadi pada masa itu, nabi telah ditanya apakah pengertian Islam, iman dan ihsan. Nabi juga menjawab dengan cara, ihsan itu adalah apabila kamu menyembah Tuhan seolah-olah kamu melihatnya serta kamu juga mengetahui bahawa Tuhan melihat kamu. Inilah yang dikatakan dengan intipati kecantikan dan kecemerlangan. Ihsan, Islam dan syariah, teras utamanya adalah makarimul akhlak iaitu pembangunan peribadi. Sistem pendidikan menjadikan anda berfikir bahawa anda lebih baik daripada yang lain. Sistem pendidikan sebegini tidak mengajar kita tentang nilai kemanusiaan yang perlu ditekankan untuk mencipta kecemerlangan dalam pembentukan peribadi seseorang. Ianya sangat bertentangan. Sistem pendidikan tidak menerapkan rasa cinta akan ilmu pengetahuan, tidak menerapkan semangat untuk memahami bahawa ilmu pengetahuan adalah sebuah barang yang telah hilang bagi individu yang beriman. Sesiapa yang menjumpainya, dialah yang paling berhak menggunakannya. Apa yang dimaksudkan dengan Islam adalah berkaitan dengan kajian, percubaan dan eksperimen. Cuba anda fikirkan bagaimana orang Arab padang pasir, bila mana mereka meninggalkan semenanjung Arab, keluarga mereka, Iraq dan Syria? Anda fikirkan, agaknya bagaimana mereka berhadapan dengan legasi Byzantine dan legasi Parsi? Mereka tidak hanya berkata-kata untuk kekal dengan sejarah Mekah dan Madinah sahaja. Malah, mereka cuba meneroka dan mempelajari ilmu pengetahuan yang baru. Dan orang-orang Muslim ini bersungguh-sungguh. Mereka berusaha untuk mencapai kecemerlangan. Orang Parsi menulis tatabahasa Arab, dan ada yang menulis berkenaan falsafah. Al-kindi merupakan ahli falsafah Arab yang pertama. Banyak pusat-pusat intelektual terbentuk pada waktu itu. Semuanya berkaitan dengan eksperimen atau percubaan. Tiada siapa yang berkata ‘Ok, anda perlu berhati-hati sebelum mempelajarinya’. Anda yang menggunakan ilmu pengetahuan tersebut dan anda boleh meletakkan tepi perkara-perkara yang dirasakan tidak dapat diselesaikan atau tidak membantu. Tetapi yang penting adalah, anda tidak perlu berasa takut dengan ilmu pengetahuan. Jadi, apa yang saya fikirkan berlaku bukan sahaja di Malaysia, malahan di banyak tempat di dunia adalah berkenaan pertumbuhan pusat pendidikan swasta. Sering kali, pusat pendidikan swasta ini digunakan sebagai suatu jalan untuk melepaskan diri daripada sistem persekolahan awam semasa. Mereka mungkin berfikir bahawa sekolah awam boleh membahayakan atau terdedah dengan pelbagai adat serta budaya dan bagi mereka, mereka ingin mengekalkan tradisi Islam yang sebenar. Jadinya, mereka bina sekolah swasta. Sebahagian daripda sekolah agama awam ini adalah sangat bagus. Mereka mempunyai pelbagai pengalaman dan telah membuat kajian yang banyak. Bila mana mereka menekankan tentang pembentukan identiti, mereka sedar bahawa ini bukanlah matlamat sekolah, tetapi ini adalah berkenaan dengan ilmu pengetahuan. Sedikit sebanyak mereka telah berubah dan melahirkan pelajar-pelajar yang sangat bagus dan cemerlang. Sekolah agama awam yang dikatakan teruk itulah sekolah yang mahu untuk menyumbang kepada pembinaan jati diri pelajar mereka. pendidikan adalah berkenaan dengan pembangunan minda dan pemurnian jiwa. F.R: Apa pula reaksi prof kepada yang mengatakan bahawa permasalahan asal bukanlah pada sistem pendidikan itu sendiri. Tetapi, mentaliti dan pemilihan dalam berfikir itu sendiri yang merasakan perasaan tidak selamat yang semakin berkembang dan bermutasi di sebabkan oleh imperialisme, budaya dan ketenteraan. Terutamanya di kawasan Asia Selatan contohnya, di mana mereka sering berhadapan dengan permasalahan ini. Ini adalah suatu yang amat memalukan kita semua. E.M: Penjajahan ketenteraan adalah suatu masalah. Kita perlu sentiasa melawan, menentang dan sebagainya. Tetapi kita harus buang yang keruh dan ambil yang jernih. Jadi, jika pihak penjajah berbahasa Inggeris, adakah kita mahu menggunakan bahasa yang lain? Semestinya tidak. Kita perlu menggunakan bahasa Inggeris supaya kita mampu berkomunikasi dan berinteraksi dengan baik. Ini adalah halangan sementara. Jangan kita terlibat dalam suatu perbalahan atau dendam yang akan meyakitkan diri kita lebih daripada ianya menyakiti orang lain. Kadang kala sesetengah orang mengambil pandangan yang sangat epik daripada sisi pandang yang amat sempit dan berkata ‘kita akan melawan perkara ini habis-habisan.’ Tanpa menyedari bahawa sebahagian daripadanya adalah penjajahan budaya. Cuba perhatikan, sebelum berlakunya perubahan globalisasi secara keseluruhan, waktu itu masih terdapat pusat penyebaran berita utama. Hari ini, itu semua sudah tiada. Kita berada pada era globalisasi teknologi, bermakna anda mempunyai iPad, iPhone, Twitter dan mempunyai capaian kepada internet dan sebagainya. Tidak ada penyampaian berita utama secara berpusat. Jadi, jika anda berfikir untuk melakukan hegemoni dan penjajahan budaya, ianya sukar untuk berjaya. Pimpinan persekutuan yang melakukan penyebaran propaganda akan menjadi kurang berkesan sepertmana yang berlaku semasa kebangkitan Arab. Di mana rakyatnya membaca Twitter dan media sosial yang lain. Jadi bagi saya, ianya suatu perkara yang dibesar-besarkan. Isunya adalah, adakah kita mahu melahirkan manusia yang berbakat? Yang akan menjadi aset kepada umat manusia. Ataupun kita hanya ingin menghasilkan manusia yang akan berkhidmat kepada kawasan perumahan mereka sahaja? Atau manusia yang hanya tahu 2 blok sekitar rumah mereka sahaja? Mereka ini tidak akan berkembang maju di dunia. Ini kesan jangka pendek daripada sudut ekonomi. Daripada pandangan sosial pula, adakah kita mahu melahirkan manusia yang berkeyakinan? Perasaan tidak selamat adalah disebabkan oleh kurangnya keyakinan dalam diri dan ini adalah disebabkan oleh kurangnya ilmu pengetahuan. Sebaik sahaja anda terdedah kepada kerumitan dan kompleksiti dunia, anda akan membina keyakinan diri pada masa yang sama. Salah satu masalah utama yang saya dapati dalam kalangan belia Islam adalah kurangnya keyakinan diri, ketidak upayaan untuk menyatakan diri mereka dengan jelas, tidak mampu untuk berkomunikasi dengan baik dan banyak lagi. Bila pulang ke rumah keluarga nanti, cuba anda bercakap dengan anak-anak anda. Mereka hanya akan memberikan jawapan yang berbentuk monosilibus (satu patah perkataan) sahaja kerana mereka sentiasa menggunakan Twitter dan melayari internet hampir sepanjang masa. Mereka tahu untuk melakukan itu. Mereka mampu untuk menulis dengan baik. Namun, bukannya pada komunikasi. Jadi, kita perlu mengajar mereka kemahiran berkomunikasi dengan baik. Kita perlu menggunakan media sosial supaya ia memberi kelebihan kepada kita, iaitu untuk memupuk kehalusan jiwa dan pembinaan minda yang baik. Jadi, cabaran kepada mereka di bidang sosial ini adalah bagaimana untuk mencipta suatu teknologi di mana teknologi inilah yang digunakan oleh kanak-kanak hampir 80-90 % di media sosial. Mencipta sebuah permainan yang menggalakan dan menarik untuk memikirkan tentang pembinaan peribadi yang baik. Berbanding mencipta permainan berkenaan aksi tembak menembak dan membunuh sepanjang masa. Apa kata mereka membuat sesuatu permainan yang kompleks yang mampu mengasah minda dan membuatkan jiwa mereka memahami apa yang dimaksudkan dengan kecantikan. Mungkin, kita boleh memperkenalkan cerita–cerita ar-Rumi, cerita penghafaz al-Quran dan mungkin penceritaan tentang sejarah Melayu. Bawakan mereka kesemua cerita dan sejarah itu ke dalam media sosial. Anda mempunyai orang-orang yang amat berbakat di negara anda untuk mencipta permainan kompleks yang menarik. Dengan hanya menggunakan internet untuk merangsang perkembangan otak kanak-kanak ke arah tahap pemikiran yang lebih tinggi. Hanya mengunakan sesuatu yang seluruh dunia mengatakan ianya sia-sia. F.R: Betul tu. Teknologi yang ada sekarang, mengapa tidak kita gunakannya dengan cara yang betul dan ke arah yang benar. E.M: Tetapi, cuba anda lihat, untuk menggunakannya dengan cara yang betul, anda perlu berfikir di luar kotak. Satu masalah yang pada kebanyakan orang adalah mereka boleh mendapatkan keputusan peperiksaan yang tinggi. Namun, tidak semua bersikap inovatif. Inovasi berlaku bila mana kita digalakkan untuk berfikir secara luar kotak. Inovasi bermula daripada rumah. Ibu bapa boleh membantu dengan menanyakan soalan kepada anak-anak mereka. Contohnya, mereka bukan sahaja bertanyakan apa yang anak-anak mereka pelajari di sekolah. Tetapi, membantu anak-anak berfikir dengan cara ‘Mengapa tidak kamu lakukan dengan cara yang ini atau cara yang lain?’. Dengan cara ini, sedikit sebanyak membantu anak-anak untuk berfikir di luar kotak. Jika tidak, semuanya berfikir dengan cara yang sama dan akhirnya tiada inovasi yang akan berlaku. Inovasi bermakna kita memberi peluang untuk berkata ‘Ok, kamu tidak terbatas dengan bagaimana cara saya melakukannya. Kamu boleh melakukannya dengan cara kamu sendiri. Beri peluang anak-anak ini untuk berbuat demikian di makmal serta di dalam kelas supaya semuanya tiada pemikiran yang beku. Ini akan membuka peluang-peluang yang lain. Seingat saya salah satu cara yang saya lakukan untuk menjadikan diri saya lebih kehadapan daripada rakan-rakan yang lain adalah ke mana sahaja saya pergi untuk menuntut pendidikan tradisional ini, saya tidak pernah berasa puas hati dan cukup dengan apa yang mereka ajarkan. Jadinya, saya sering mengalami pergolakan dan membaca bahan-bahan selain yang terdapat dalam kokurikulum. Lebih banyak perkara yang saya temui, inilah yang banyak membantu saya. Tetapi pemikiran yang beku adalah merupakan jalan akhir kepada inovasi. F.R: Bercakap tentang pencarian di luar, terdapat juga kecenderungan dalam kalangan golongan liberal di bandar untuk memandang pemikiran secara tradisi ini ataupun pendidikan tradisional merupakan suatu pemikiran yang sudak lapuk. Model pemikiran yang mereka anggap sesuatu yang tidak lagi boleh digunakan. Apakah mereka tersilap faham ataupun terlepas pandang hingga menyebabkan mereka mempunyai pandangan sebegitu, terutamanya jenis sikap moden yang sombong? E.M:Dalam buku saya yang bertajuk ‘What is Madrasah’, saya ada kongsikan pengalaman saya sendiri bagaimana saya belajar di madrasah dan apa yang saya temui di sana. Pada mulanya, saya fikir ‘Ini adalah apa yang saya pelajari di sana. Jadi adakah ianya bernilai?’ Hanya kemudian, baru saya menyedari bahawa apa yang saya pelajari selama ini adalah suatu yang sangat bernilai. Kekayaan khazanah tradisi. Namun malangnya, belajar di madrasah, ianya tidak memberi kita kaca mata ataupun keupayaan sebenar untuk kita menghargai kekayaan tradisi itu sendiri. Hanya apabila saya mula membaca Derida, falsafah barat dan falsafah bahasa kemudiannya barulah saya dapat memahami dengan lebih baik, apa yang saya fikirkan. Apabila saya kembali kepada tradisi, saya dapat melihat kekayaan di dalamnya. Jadi saya kongsikan sedikit sebayak di dalam buku tersebut yang akan berada di pasaran pada bulan Mac depan. Jika para pendengar berminat dengan ‘What is Madrasah’ ianya juga boleh didapati di laman web amazon.com dan kedai-kedai buku tertentu. Saya berharap agar saya berpeluang untuk bertukar pandangan dan berbincang dengan pembaca selepas mereka mendapat buku saya. Tapi perlu diingat, kita kaya dengan tradisi. Tidak semua tradisi adalah mesra pengguna pada hari ini. Jadi, bila anda mahu melibatkan tradisi, anda perlu memilih jalan yang betul. Hakikatnya anda sentiasa memerlukan kesinambungan. Namun, ada sesetengah jalan yang tidak mempunyai kesinambungan. Maka di sinilah orang moden yang bersikap sombong ini akan memandang rendah kepada sejarah dahulu ataupun tradisi yang lama. Bahkan merekalah yang bercakap tentang tradisi dan cuba melangkaui batasan yang selama ini diterima oleh umum. Disebabkan tradisi memberi kita kesinambungan dan ianya membentuk siapa diri kita pada hari ini. Bagi saya, kehidupan tradisional yang diamalkan sebelum ini menjadikan diri anda sebahagian daripada tradisi tersebut. Tradisi mengajar kita apa yang perlu kita lakukan. Pada hari ini, kita bukanlah tradisi, tetapi kita adalah tradisionalis, iaitu kita sendiri yang memilih untuk mengambil tradisi yang kita mahu dan meninggalkan tradisi yang tidak berkenaan. Jadi, sepertinya kita berada di dalam sebuah kolej yang besar, di mana kita bercampur dan cuba untuk mencari cebisan-cebisan maklumat daripada tradisi kita. Maka, kita keluar daripada keadaan yang dihadkan dengan tradisi sepenuhnya kerana jika kita berpegang kepada tradisi semata-mata, kita akan mengalami krisis yang hebat kerana pengalaman kita akan bercanggah dengan apa yang terdapat dalam tradisi terdahulu. Akhirnya kita akan berakhir dengan jenis pemikiran seumpama bangsa Amish. Amish perlu berpegang kepada suatu jenis cara hidup di mana mereka menolak teknologi. Mereka tidak boleh menggunakan telefon, elektrik dan pemikiran seumpamanya. Ini bukannya cara memahami tradisi Islam yang sebenar. Dalam Islam, tradisi sentiasa diperbaharui, berkembang serta menyesuaikan diri dengan keadaan di negara tersebut. Ia merupakan suatu pengajaran yang sangat berharga buat saya. Berada di sekolah tradisional ini membolehkan saya melihat kedua-dua kebaikan dan keburukan, dan ini saya ada kongsikan di dalam buku tersebut. F.R: Wah, menarik sungguh. Sebagai penutup perbincangan ini, saya ingin menjemput Prof untuk merenung kembali masalah perkauman di Amerika pada hari ini. Selepas kematian ngeri Eric Garner, sebelum itu juga terdapat rusuhan di Ferguson dan Prof pula adalah warga Arfika Selatan yang terdedah kepada permasalahan perkauman ini. Jadi, bagaimana Muslim seluruh dunia seharusnya bertindak dalam berdepan dengan isu ini? Kerana sebagai Muslim ada kecenderungan untuk mereka berfikir tentang masalah mereka sendiri sahaja dan kerap kali berfikir tentang keperitan. Jarang sekali mereka berfikir selain daripada itu. E.M: Saya rasa ini adalah soalan yang sangat penting dan sering kali saya fikirkan. Bertanyakan tentang apa yang saya boleh lakukan ataupun apa yang seharusnya kita lakukan. Masalah perkauman adalah stigma, dan merupakan noda dalam keadaan manusia. Kadang kala kita secara tidak sengaja terlibat dalam masalah perkauman. Jadi kadang kala sesetengah orang akan mempunyai cara pandang yang mengaitkan sesiapa yang berkulit hitam bererti mereka adalah orang Amerika dan mereka tidak memakmurkan sejarah tentang permasalahan sosial dan masalah lain. Ya, kita ada sejarah dan ada masyarakat kulit hitam Amerika telah menaikkan martabat mereka dalam sektor tertentu. Tetapi bukan semua orang dapat keluar daripada kesusahan itu. Jadi, ya, masalah perkauman adalah isu utama di Amerika, Asia Selatan dan seluruh dunia. Bahkan orang Afrika juga mendapat tempias dari permasalahan ini. Ini kerana mereka dilihat sebagai orang asing. Mereka berasal daripada Nigeria, India, Pakistan, Indonesia, Malaysia dan lain-lain lagi. Mereka fikir bahawa mereka munuju kejayaan. Sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya. Warga Amerika Afrika telah berada di Amerika berabad lamanya. Mereka terpenjara dalam sistem yang dibina. Mereka tidak dapat untuk pergi belajar di sekolah yang baik dan mereka tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti. Terdapat lebih banyak warga Amerika Afrika yang berada di dalam penjara berbanding di universiti. Ianya menunjukkan bahawa rangkaian sosial di Amerika tidak mempunyai orang berkulit hitam. Isu perkauman ini perlu diperangi di setiap peringkat. Dan ianya bukanlah masalah mereka tetapi ini adalah masalah kita semua. Saya fikir apa yang sedang berlaku adalah, lebih malang lagi, polis dan pihak berkuasa yang boleh melakukan sewenang hati. Apa yang saya maksudkan ialah, bagaimana ianya boleh terjadi apabila polis menggari tangan pejalan kaki dan seterusnya mencekik mangsa. Sedangkan pada ketika itu, dia menjerit untuk mendapatkan pertolongan dan memberitahu bahawa dia tidak boleh bernafas dan akhirnya mati di tangan polis. Pada masa yang sama tiada dakwaan yang dilakukan? Saya tak mampu bayangkan bagaimana ianya boleh berlaku atau terlintas di fikiran mereka untuk melakukan sedemikian rupa. Tidak kira apa yang lelaki tersebut lakukan di Ferguson. Sesetengah pihak mengatakan pemuda tersebut terlibat dengan permasalahan jenayah dan mendesak dan banyak lagi. Tetapi untuk membunuhnya dengan cara sedemikian adalah suatu yang keterlaluan. Jadi apa yang kamu lihat adalah pemberontakan dan protes yang berlaku kerana kekecewaan. Ironinya, Presiden Amerika yang pertama adalah orang berkulit hitam. Presiden ini mencuba sedaya upaya untuk mewakili warga Amerika yang berkulit hitam tetapi beliau juga menyedari isu ini. Ini menjadikan beliau untuk berhati-hati supaya tidak dilihat sebagai seorang pemimpin yang berat sebelah dan juga supaya tidak dilihat sebagai menentang penguatkuasaan undang-undang kerana undang-undang merupakan mata dan telinga kerajaan. Jadi ianya sangat halus dan Presiden mestilah berwaspada dengan setiap perlakuannya. Polis yang tidak bertanggungjawab hendaklah diperangi. Tetapi pada masa yang sama kita tidak boleh menghapuskan sistem perundangan negara. Apa yang perlu kita lakukan adalah membongkar siapa polis yang tidak bertanggungjawab iaitu orang yang menganiayai bukan sahaja orang berkulit hitam, malahan coklat, putih dan lain-lain lagi. Disebabkan oleh beberapa polis yang tidak bertanggung jawab ini, dan mereka adalah minoriti. Tetapi minoriti ini yang selalu memberikan nama buruk kepada majoriti Muslim di dunia. Berfikir tentang ini, tidak semua warga Amerika yang berkulit putih mempunyai sifat perkauman yang tinggi. Makanya sama. Disebabkan segelintir warga Amerika yang mempunyai sifat perkauman yang tinggi, namun ia telah menyebakan keseluruhan warga Amerika dilabelkan dengan sama. Sama seperti penguatkuasa yang lain. Hanya disebabkan segelintir yang membuat masalah. Namun tempiasnya diterima oleh semua. Kita haruslah berwaspada sebelum menghukum seseorang. Namun, adalah penting untuk kita suarakan kritikan dan mencari jalan penyelesaian supaya kita mampu menyelesaikan permasalahan tersebut. F.R: Terima kasih Prof kerana sudi bersama kami pada hari ini. Nantikan buku tulisan Prof sendiri yang bakal dikeluarkan pada Mac ini dan anda juga boleh melakukan tempahan awal di Amazon.com. E.M: Sama-sama.

]]>

Mengharungi kerumitan dunia dan kewujudan: wawancara bersama Prof. Ebrahim Moosa (Bahagian 1)

Penterjemahan temubual BFM Night School bersama Professor Ebrahim Moosa, ahli fikir Islam terkemuka masakini. Dicatat dan diterjemah oleh Hamizah Hanan. 

(Bahagian kedua boleh dibaca di link ini.)

Fuad Rahmat: Selamat malam semua. Anda bersama saya, Ahmad Fuad Rahmat dalam rancangan BFM night school. Rancangan yang membawa anda untuk berbincang bersama, berkenaan beberapa konsep dalam sains sosial dan kemanusiaan.

Kali ini kita akan berbincang tentang kelebihan dan juga cabaran yang dihadapi dalam menerima kepelbagaian di dalam dunia yang pesat membangun. Bersama kita, tokoh intelektual, sarjana, dan aktivis terkenal: Profesor Ebrahim Moosa. Selamat datang Prof!

Professor Ebrahim Moosa: Terima kasih Fuad kerana menjemput saya.

F.R: Kami berasa bertuah dengan adanya prof sebagai tetamu kita pada hari ini. Saya dimaklumkan bahawa Prof sekarang ini berada di Notre Dame setelah beberapa lama di Duke.

E.M: Ya, saya berasal dari Afrika Selatan. Namun, saya mula mengajar beberapa tahun di University of Cape Town dan kemudiannya 3 tahun di Stanford. Manakala di Duke, saya mengabiskan 13 tahun di sana.

Kini, saya baru sahaja berpindah ke University of Notre Dame, Indiana. Di mana, saya dipertanggungjawabkan untuk mewujudkan suatu program yang bercita-cita tinggi dalam kajian pemikiran Islam dan masyarakat Islam.

Saya berasa teruja untuk itu. Jadinya, itulah perkembangan terbaru saya.

F.R:  Seperti mana yang kita semua ketahui, banyak perkara perlu dilakukan dalam pengkajian Islam di Amerika khususnya. Adakah ianya sejenis gambaran kepada perkembangan yang lebih luas dalam bidang akademik? Di mana minat terhadap Islam di Amerika semakin meningkat.

E.M: Apa yang berlaku di Notre Dame adalah di sana mereka cuba mewujudkan sebuah sekolah membincangkan tentang urusan global yang akan memulakan capaian di ruang web pada 2017 kelak.

Ianya mempunyai visi supaya urusan global perlu diajarkan melalui kajian terhadap agama. Pihak pentadbiran Notre Dame sedia maklum bahawa Islam merupakan agama yang penting di dunia. Walaupun dengan pengetahuan bahawa sesetengah pihak telah pun memulakan pengajaran tentang agama. Namun, mereka benar-benar mahu membangunkan program ini.

Lalu, mereka mengajak saya untuk menyertainya dan kami sedang berusaha bersama-sama untuk membangunkan program ini.

Program ini akan merangkumi perbincangan tentang pemikiran Islam dalam masyarakat Muslim, Islam dan pembangunan kemanusiaan, Islam dan pemikirannya, teologi, kajian normatif dalam pemikiran Islam dan juga termasuklah antropologi diskriptif, sosiologi Islam dan bagaimana untuk menghubungkan keduanya.

Ianya adalah sangat menarik. Dan bagi saya, secara peribadi, ini adalah suatu peluang yang sangat besar, apabila dapat melancarkan program tersebut dan saya berasa amat teruja dengan prospek itu.

F.R: Walaupun sekilas pandang membaca profil Prof, ia telah menunjukkan bahawa Prof adalah amat bersesuaian untuk bersama-sama menjayakan program tersebut.

Maksud saya, Prof merupakan seorang yang beretnik daripada Asia Selatan. Tetapi, tinggal di Afrika Selatan pada masa yang lama. Kemudian, Prof juga mengajar di Amerika Syarikat.

Seperti yang Prof maklumkan sebentar tadi, ini bukanlah kali pertama Prof berada di Malaysia. Prof sudah banyak kali berkunjung ke sini. Mungkin Prof boleh kongsikan serba sedikit, bagaimana latar yang memberi inspirasi dan mendorong Prof untuk berusaha dengan lebih kuat serta memberi motivasi kepada Prof sebagai seorang pendidik dalam bidang intelektual ini?

E.M: Ya, seperti mana yang anda ketahui, saya dilahirkan dan dibesarkan di Afrika Selatan pada tahun 70-an. Saya mempunyai impian dan cita-cita yang tinggi untuk melanjutkan pelajaran di institusi yang diiktiraf, ataupun dengan kata lain yang dikenali sebagai madrasah di selatan Asia.

Saya menghabiskan 6 tahun di pelbagai madrasah di India. Di mana konsep asas dan kukuh yang terdapat dalam teks-teks Islam saya pelajari, terutamanya dalam perundangan Islam, teologi, persoalan mengenai tatabahasa Arab dan falsafah-falsafah yang tradisional.

Jadi ianya telah menetapkan saya pada sebuah perjalanan untuk memahami apa itu tradisi. Namun, pada saat umur saya mencecah 23 tahun, selepas saya mendapat kelulusan daripada program tersebut, saya seakan baru tersedar terdapat sebuah dunia luar yang luas di mana saya benar-benar telah mengabaikannya selama 6 tahun yang lepas.

Makanya, sekarang ini saya perlu menilai kembali apa yang saya lakukan dan berfikir bagaimana caranya untuk membawa apa yang saya pelajari ke dunia realiti, iaitu pengetahuan yang saya dapati daripada pembelajaran dari institusi tradisional dahulu.

Peluang telah menghasilkan seorang lelaki yang hebat bernama Muhammad Fathi ‘Uthman. Beliau mengeluarkan sebuah majalah bertajuk ‘Islamic World Review’ di London. Beliau juga telah menjemput saya untuk menyertai Stanford dan ianya telah membuka suatu fasa baru bagi saya.

Saya masih lagi cuba memahami pemikiran moden, persoalan berkenaan perkembangan dunia moden, dan juga sains sosial.

Kemudian, saya kembali ke Africa Selatan atas permintaan arwah ibu saya. Dan di situ, saya meneruskan kerja-kerja jurnal saya. Bukan itu sahaja, saya juga terlibat dengan gerakan Islam yang mempunyai agenda yang besar iaitu menyediakan Muslim untuk berhadapan dengan masalah perkauman dan diskriminasi kaum.

Pada tahun 1984, saya melibatkan diri dan meneruskan kerja jurnal saya. Pada ketika itu, saya mula menggunakan apa yang saya pelajari di sekolah tradisional dahulu dan juga pemahaman saya berkenaan dunia disekeliling apabila saya terlibat secara langsung sebagai seorang pengarah kebangsaan dalam gerakan aktivis pemuda Islam di Selatan Afrika.

Tetapi kemudiannya, saya juga menyedari bahawa saya perlu meningkatkan kemahiran saya. Saya membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Sarjana dan juga PhD di University Of Cape Town.

Pada ketika itu, pihak universiti juga telah mengambil saya bekerja dengan mereka dan saya mengajar di sana selama belasan tahun.

F.R: Setahu saya, setidak-tidaknya di kalangan ahli akademik, Prof amat bertuah apabila dapat belajar bersama Fazlur Rahman. Malahan, Prof juga telah menulis pengenalan kepada buku Revival and Reform in Islam: A Study of Islamic Fundamentalism.

E.M: Profesor Fazlur Rahman adalah inspirasi yang hebat bagi saya. Saya tidak berpeluang untuk belajar secara terus daripadanya disebabkan saya tidak berada di Chicago.

Tetapi saya ada melawatnya sekali dan kami sering berurusan melalui perbualan telefon. Saya juga telah diberi penghormatan untuk menambah baik manuskrip terakhirnya. Di mana pada ketika itu buku tersebut belum lagi siap dengan sempurna. Saya tambah kata-kata pengantar.

Ia memerlukan sebuah kecintaan dan juga ketekunan. Tetapi akhirnya saya berjaya menyiapkannya dan kini ianya dikenali sebagai buku yang bertajuk Revival and Reform : A Study of Islamic Fundamentalism.

Ketika saya selesai menghabiskan pengajian di Madrasah, perasaannya adalah saya telah mempelajari kesemua perkara. Namun, saya gagal mengetahui apakah gambaran yang lebih besar. Kemudian, saya mula membaca satu buku yang bertajuk ‘Islam’ di London. Seterusnya saya mula membaca buku ini, iaitu buku tulisan Fazlur Rahman. Pada ketika itu, saya mula sedar ‘Wow! Beliau mengetahui kesemua perkara yang saya ketahui. Namun, yang lebih baik adalah beliau mampu untuk menyusunnya dan melihat gambaran yang lebih besar.’

Semenjak dari itu saya mula membaca lebih lanjut mengenai beliau. Saya juga membaca buku-buku tulisannya termasuklah Islam and Modernity, Islam dan lain-lain lagi.

Setelah itu saya sedar bahawa beliau merupakan seorang tokoh intelektual yang menakjubkan dan mampu menghasilkan sumbangan yang besar dalam dunia Islam. Iaitu melalui pemikiran tentang Islam di dunia yang kita diami ini.

Ia adalah sebuah inspirasi yang hebat bagi saya kerana ia membantu saya untuk memahami cara menulis dan menyediakan sumber dalam teologi pembebasan Islam di dalam konteks Afrika Selatan.

Jadi, ia tidak hanya berkaitan dengan bagaimana Islam berhadapan dengan demokrasi, kebebasan dan pembebasan. Tetapi juga merangkumi keadilan dalam hak asasi manusia dan juga pelbagai isu dalam masyarakat umum.

Dengan cara itu, kedua-duanya: pengetahuan tradisional yang saya pelajari dahulu telah menyediakan landasan yang kukuh dalam pengajian Islam dan pengkajian sains kemanusiaan moden memberikan banyak maklumat.

Kombinasi antara Fazlur Rahman dan semua yang lain mampu menghasilkan suatu yang menakjubkan terutamanya dalam memainkan peranan sebagai rujukan.

Saya fikir, dengan adanya kerjasama bersama rakan-rakan yang lain seperti Farid Esack, Abdul Rashied Omar, Abdulkader Tayob dan beberapa ulama yang lain, kita mampu menghasilkan sesuatu yang berguna bagi masyarakat di Afrika Selatan.

F.R: Menarik perancangannya. Kira-kira banyak juga pengalaman dan pandangan yang Prof kumpulkan dalam menjayakan kerja ini. Saya tertarik untuk menyentuh hal yang Prof sebutkan sebentar tadi. Iaitu mengenai kerumitan yang ada di dunia ini.

Di mana perkara yang terkandung di dalamnya adalah sangat luas dan banyak yang belum diterokai. Pada masa yang sama kita juga tinggal di dunia yang tidak dapat lari daripada dilabel.

Namun, saya fikir Prof tidak sesuai untuk menerima mana-mana label. Jadi, bagaimana Prof meletakkan diri Prof dalam kerangka kompleksiti ini? Adakah Prof seorang pemikir moden, tradisionalis, pemikir Muslim barat ataupun ulama klasik konvensional?

E.M: Bagi saya, saya berada di tengah-tengah dunia yang kompleks ini. Bersederhana. Ingin saya kongsikan apa yang saya temui sepanjang penulisan buku ini, Ghazali and The Poetics of Imagination. Saya menghabiskan bertahun-tahun menulis buku ini.

Ketika saya mula mendalami Ghazali sewaktu manjadi pelajar dahulu, saya seakan merasakan sesuatu kekurangan. Pada awalnya, saya tidak memahami apa yang cuba disampaikan oleh Ghazali pada ketika itu.

Saya juga membeli penterjemahan Bahasa Inggeris yang berwarna merah dan akhirnya buku tersebut tersimpan rapi di rak buku saya setelah habis membacanya. Sehinggalah suatu hari apabila saya cuba mencarinya semula, Ghazali seakan telah hilang.

Apabila saya pulang ke Afrika Selatan, saya perlu mengajar dan menyampaikan khutbah. Waktu itu, saya mula membaca Ihya’ Ulumuddin iaitu kebangkitan sains dalam agama.

Maka, pada waktu itu saya mula nampak dan memahami tulisannya. Beliau menulis berkenaan falsafah, rohani, perundangan dan teologi. Beliau berjaya meletakkan kesemuanya dengan baik.

Itulah titik permulaan saya meminatinya, saya baca autobiografi beliau dan kemudiannya saya teruskan sebagai kajian PhD saya seta akhirnya menjadi buku.

Di dalam bukunya, Ghazali ada menulis tentang perjalanan rohani, tasawuf dan sufi, di mana ianya mengajar kita tentang Pencipta. Dalam perjalanan ini, kita akan tiba di suatu tahap yang dikenali sebagai ‘dehleez’, iaitu ruang pertengahan. Entah bagaimana, saya tidak menangkapnya pada bacaan pertama saya.

Saya memetik kata-kata William James, tokoh falsafah Harvard yang juga merupakan tokoh antropologi dikenali ramai. William James telah banyak menulis dalam pelbagai jenis pengalaman agama dan beliau juga ada memetik kata-kata Ghazali daripada penterjemahan bahasa Perancis.

Di sinilah saya melihat ruang pertengahan tersebut dan kemudiannya kembali kepada tulisan Arab Ghazali. Saya bermonolog ‘Ya, inilah dia’. Ghazali berada di pertengahan persimpangan pelbagai arus dan itulah saya. Itulah kita semua.

Kita bukan sahaja mempunyi pengetahuan yang kukuh dan berakar dalam tradisi Islam. Bahkan, kita juga berpegetahuan tentang sains sosial barat. Kita cintakan demokrasi moden. Ghazali juga ada warisan Greek, Parsi, dan Zaman Nabi dahulu. Semua tulisannya ketika itu masuk akal.

Jadi, inilah dilema kita sebagai muslim moden. Kita ada pelbagai sumber pengetahuan, tetapi kita gagal untuk mengaitkannya. Maka, disitulah saya temui tempat yang paling istimewa adalah dehleez, ruang pertengahan.

‘Dehleez’ dalam Bahasa Parsi bermaksud ruang antara rumah nabi ke pintu luar, iaitu ruang halaman. Ruang yang sesiapa sahaja boleh melaluinya. Ruang tersebut bukanlah ruangan awam dan ianya bukan juga ruangan yang betul-betul bersifat peribadi. Dan inilah dahleez iaitu ruang perantaraan.

Apabila kita mula berfikir tentang Gloria Anzaldua dan beberapa pemikir Latin Amerika. Mereka berbicara mengenai sempadan pemikiran dan inilah yang saya kenali dengan pemikiran secara dehleez (Dehleezian thinking), pertengahan dan persimpangan antara banyak perkara.

Bagi saya ruangan mempunyai keduanya. Ia sukar dan juga pada masa yang sama merupakan sebuah ruang yang produktif dalam menghasilkan sesuatu yang menakjubkan.

Di dalamnya kita mampu mendapatkan yang terbaik. Tetapi, tidak dilupakan ianyanya menguji kita supaya berusaha keras untuk mengelakkan kesilapan. Dan kadangkala kita gagal. Namun, kita harus terus berusaha.

Tiada siapa yang berjaya memperolehinya secara tepat pada kali pertama. Tetapi in merupakan peluang yang besar bagi muslim seluruh negara.

Kerana ruangan ini bukanlah hanya untuk Muslim di barat mahupun hanya untuk Muslim di Malaysia, tetapi ia juga merangkumi jajahan Belanda iaitu Indonesia dan pelbagai lagi. Ini adalah situasi di dunia.

Walaupun di Amerika, orang terdedah dengan pelbagai jenis tradisi termasuklah tradisi Latin. Jadi sebagai warga Amerika mengapa mereka tidak hanya bertumpu kepada tradisi Latin? Mereka haruslah berusaha untuk membangunkan tradisi tersebut bersesuaian dengan tradisi Afrika Amerika.

Di antara ini, walaupun kita berada di dunia yang serba mencabar dan dengan kuasa Barat, ia perlu untuk berinteraksi dengan kita semua.

Makanya dunia adalah lebih kompleks dari yang kita jangkakan. Ia menjadi pelbagai warna, bentuk, dan pelbagai agama. Tidak dilupa, terdapat juga kemajuan global yang bergerak dengan pantas sekali.

F.R: Bagaimana kita boleh kekal tabah dalam kesukaran ini ya? Kerana bagi saya kecenderungan untuk cepat membuat konklusi, mudah melabel, memudahkan subjektiviti sesuatu perkara dan secara mudahnya tidak berfikir itu sentiasa ada.

Bahkan, ada yang tidak mahu berhadapan dengan kepelbagaian. Bagi Prof, apakah perkara-perkara praktikal yang boleh kita sampaikan terutamanya apabila kita berhadapan dengan cabaran perbezaan dan perubahan yang terlalu banyak?

E.M: Saya selalunya akan mengingatkan pendengar bahawa pemikiran sebegitu merupakan suatu pemikiran yang malas. Kita tidak seharusnya bersikap malas dalam berfikir walaupun hakikatnya, kita berasa selesa untuk tidak berfikir.

Bagi saya, kebenaran itu merupakan sesuatu yang amat penting. Saya juga temui inspirasi melalui ayat al-Quran yang menyebut:

Tuhanmu memberi inspirasi kepada lebah dan mengarahkanya untuk membuat sarang di setiap gunung, pokok-pokok kayu dan juga jeruji (16:68). Dan kemudiannya Tuhanmu menyuruh lebah-lebah itu untuk pergi dan makanlah daripada pelbagai jenis bunga-bungaan. Kemudian, ia membuat sejenis minuman pelbagai warna. Dan apa yang disampaikan oleh al-Quran?

Fi hi syifa ullinnas: yang merupakan penyelesaian kepada umat manusia

In na fi zalika la ayatin liqaumiy yatafakkarun: demikian itulah tanda bagi orang yang berfikir. (16:69)

Jadi, kita mestilah jadi seperti lebah. Lebah pergi ke banyak tempat dan apa yang alam semulajadi mengajar kita adalah untuk menghasilkan minuman yang menakjubkan iaitu madu. Madu bukan sahaja mempunyai kesemua warna yang ditawarkan oleh alam semula jadi. Malahan, ianya mempunyai sesuatu yang lebih daripada itu.

Inilah situasi yang perlu kita ambil pengajaran daripadanya. Ianya madu dan bukannya jem buah-buhan. Ianya sesuatu yang istimewa. Dan yang istimewa inilah mempunyai bahan yang sangat kompleks.

Ya, tidak dinafikan, kadang kala manusia ingin kembali kepada keaslian dan meringkaskannya. Saya X, tetapi anda bukan X. Anda adalah X dan juga Y serta pada masa yang sama anda juga Z. Anda seorang bapa kepada seseorang anak. Pada masa yang sama anda juga seorang guru, seorang professional, pekerja dan lain-lain lagi. Anda punyai pelbagai perkara pada suatu masa dan inilah keadaan sebenar.

Jadi, jika anda membenamkan kepala ke dalam timbunan pasir dan mengatakan bahawasanya anda adalah X, ianya bukanlah realiti yang sebenar. Jadi kita perlu berfikir secara realistik.

Saya fikir ini adalah realiti yang kita hadapi. Jelasnya kerumitannya dan bagaimana untuk kita menguruskannya adalah suatu cabaran yang besar. Apa yang kita perlu lakukan adalah menggalakkan dan mencari jalan untuk membantu orang yang menghadapi kesulitan itu. Kerana mereka pasti dan saya juga mengalami kesulitan untuk melalui fasa tersebut. Di antaranya terdapat ruangan kosong.

Ada perkara yang kita belajar sewaktu zaman kanak-kanak, ada juga yang kita pelajari sewaktu remaja dan kemudiannya mungkin kita perlu memilih untuk melupakan antara apa yang kita pelajari dahulu kerana pada waktu itu kita sedar rupa-rupanya dunia tidaklah seperti apa yang kita pelajari dahulu.

Kita perlu berurusan dengan jiran yang berbagai agama: Kristian, Hindu, Buddha. Kita perlu berfikir secara pluralisme. Walaupun kita dibesarkan dalam suasana pengajaran Islam yang sangat ketat. Islam adalah ini dan itu serta kadang kala dengan cara yang sangat eksklusif.

Tetapi kemudiannya kita menyedari bahawa al-Quran juga ada menyebut, ‘orang-orang Yahudi dan Kristian, dan orang-orang yang beriman kepada Tuhan. Di hari akhirat kelak, tiada apa yang perlu ditakutkan dan perlu disesalkan. Dan mereka akan diselamatkan.’

Ini memberikan kejutan besar kepada Muslim khusunya. Dengan secara tiba-tiba, sekarang ini saya dipertanggungjawabkan untuk memikirkan tentang jiran-jiran yang lain dengan penuh maruah.

Cuba anda lihat, apabila ada pihak yang mengajar bahawasanya Islam adalah yang terbaik, dan selain darinya adalah sesuatu yang tidak setaraf secara tidak langsung ianya akan mempengaruhi bagaimana pemikiran psikologi kita dan akan mempengaruhi bagaimana cara kita memahami agama yang lain.

Sehinggakan ada yang merasakan bahawa kita memikirkan agama yang lain dengan pandangan serba kekurangan.

Tetapi, apabila kita mula berfikir tentang ulama Islam seperti Ghazali, Rumi dan pemikir-pemikir Islam yang lain dalam bidang puisi serta lain-lain, mereka mengajar kita tentang maruah manusia.

Malah, sesetengah pemuisi mengatakan bahawa Muslim itu sendiri telah menyimpang daripada Kaabah, iaitu tempat suci yang terpenting. Arah tempat sujud kita setiap hari. Tempat yang penuh dengan sejarah. Tempat berlakunya pelaksanaan perintah penyembelihan anak Nabi Ibrahim yang akhirnya tidak berlaku. Betapa tingginya tempat suci tersebut diangkat.

Tetapi pemuisi Islam yang hebat pernah mengatakan bahawa maruah manusia adalah lebih tinggi daripada Kaabah tersebut.

Fa in naqamul baiti min qadriinsani: apalah yang nak dibandingkan dari sebuah rumah berbanding tingginya martabat manusia.

Manusia sebenarnya merupakan ciptaan yang paling menakjubkan yang dibanggakan oleh Tuhan dihadapan para malaikat. Dan Tuhan berkata untuk menghantarnya ke bumi. Jadi menghormati antara satu sama lain adalah merupakan antara ajaran penting dalam agama yang sering kali dilupakan.

Selalunya kita menggunakan pelbagai kod warna perbezaan agama untuk menjadikan martabat agama kita lebih tinggi daripada yang lain. Ini bukanlah apa yang disyorkan dalam Islam. Tetapi ianya datang daripada eksklusiviti.

Semua orang perlu mula memahami betapa kompleksnya hidup ini dan kepelbagaian yang diajarkan oleh al-Quran kepada kita. Kita perlu berfikir tentang lebah madu dan kerja-kerja yang dilakukan serta apa yang dapat kita pelajari daripada mereka.

Kita lihat apa yang kita pelajari sekarang dan apa yang telah dibincangkan oleh ulama terdahulu, untuk kita berhadapan dengan masalah kerumitan.

F.R.: Kata-kata yang bijak terutamanya untuk warga Malaysia dalam mendepani isu ini. Terutamanya berkenaan eksklusiviti dan ketakutan dalam berhadapan dengan kompleksiti dunia.

Saya ingin mengaitkan apa pandangan Prof dalam konteks Malaysia. Prof sudah berada di sini banyak kali dan sebagaimana yang Prof tahu warga Malaysia sentiasa bergelut dengan masalah untuk hidup bersama dengan harmoni walaupun berhadapan dengan pelbagai agama, bahasa, budaya dan etnik.

Apa tanggapan selama Prof berada di sini? Adakah Malaysia sepertimana yang disangkakan oleh kebanyakan orang, sebuah negara model yang baik ataupun adakah ianya bermasalah hinggakan orang terlepas pandang bila mana mereka memikirkan tentang negara ini?

E.M: Terima kasih Fuad kerana menanyakan berkenaan isu ini. Ia merupakan perkara berat yang sering kali saya fikirkan. Di era 15 tahun yang lalu, Malaysia merupakan merupakan harapan Muslim keseluruhannya.

Semua orang mengatakan bahawa Malaysia berada di keadaan moden, ekonomi yang stabil, masyarakat yang pelbagai budaya, banyak lahirnya pemimpin-pemimpin baru, pemimpin yang memainkan peranan penting, dan wanita progresif.

Ada orang yang berlatar belakangkan Cina, India, Kristian, Hindu, Budha, Islam dan lain-lain lagi. Ini merupakan peluang yang besar. Walau bagaimanapun, kita dapat lihat bahawa yang sebelum ini sudah tidak berlaku lagi.

Sekarang ini, saya juga tidak pasti, mungkin Malaysia ada penjelasan mereka sendiri. Apa yang boleh saya katakan adalah, perkembangan kebelakangan ini merisaukan orang di luar sana.

Harapnya Malaysia mampu menyelesaikan permasalahan ini dan maju kehadapan dalam setiap perkara progresif yang mereka lakukan terutamanya berkenaan dengan Islam.

Tidak membiarkan pekara-perkara kecil untuk memesongkan perhatian mereka. Banyak isu-isu picisan yang menarik perhatian golongan minoriti. Adalah suatu yang bijak untuk pemimpin menegaskan bahawa kita mempunyai isu yang lebih besar.

Kita inginkan kemajuan. Kita mahu hapuskan rasuah, menjadi contoh. Jadi, jangan biarkan isu-isu kecil ini mengalihkan perhatian kita.

Sebagai sebahagian daripada komuniti dan juga merupakan rakan Malaysia, apa yang saya mungkin boleh katakan adalah “Apa sebenarnya agenda orang yang mahu menekankan isu-isu kecil tersebut dan mengalihkan perhatian kita?” Mungkin inilah masalah yang besar.

Perkara tersebut perlu diingatkan, dan bukannya membiarkan golongan minoriti menghadapinya sendirian atau membuat idea kepelbagaian itu sebagai satu masalah.

Atau menjadikan pengetahuan itu sebagai suatu masalah. Ilmu pengetahuan tidak akan pernah menjadi sebagai suatu masalah. Masalahnya adalah pada kezaliman dan sikap autoritarianism yang takut kepada rakyat yang berpengetahuan.

Jika anda tahu, terdapat pemikir awal abad 20-an yang bernama Abdul Rahman al-Kawakibi. Kawakibi merupakan seorang yang berasal dari Syria dan dia merupakan sahabat kepada Sheikh Rashid Rida di Mesir.

Kawakibi ada menulis buku yang tidak lama lagi boleh didapati versi terjemahannya yang bertajuk ‘The Nature of Despotism’.

Di dalam bukunya, analisis yang paling mendalam adalah bila mana beliau berkata penzalim menyukai pemimpin agamawan yang patuh. Apa yang penzalim lakukan adalah mereka memegang pemimpin agamawan ini dan inilah apa yang kita pelajari di Afrika Selatan iaitu mereka menghapuskan kepimpinan agama yang berfikir.

Menjadikan mereka tidak berfikir. Ianya disebabkan, pemimpin agama mengetahui ajaran nabi di mana keadilan berlaku ataupun tidak. Mereka menyampaikan ajaran nabi, suruhan al-Quran, suruhan Bible dan kesemua saranan nabi untuk menentang ketidak adilan dan perkara yang buruk.

Maka, jika mereka boleh menyatakannya dengan jelas. Pimpinan yang zalim tersebut akan tergugat.

Jadinya satu perkara yang perlu kita beri tumpuan adalah pendidikan. Pendidikan adalah kunci kebebasan. Ia menjadikan manusia yang berfikir dan bukannya bersikap automatik dan ini merupakan perkara yang sangat penting.

Baca bahagian kedua perbincangan ini. ]]>

Maaf kepada Evelyn Beatrice Hall atau #JeSuisCharlie

Penterjemahan With apologies to Evelyn Beatrice Hall or #JeSuisCharlie  makalah oleh Umapagan Ampikaipakan dan Ezra Zaid. Penterjemah: Johan Zolhaidi.    Rabu lepas kita dipaksa oleh samseng-samseng yang bersenjata untuk berdiam diri. Mereka dipacu oleh nafsu amarah, ideologi dan ketiadaan nilai-nilai agung yang ada di dalam setiap budaya dan tamadun manusia, mereka membunuh atas alasan ianya adalah sesuatu yang benar-benar soleh. Seperti biasa, keadaan yang berlaku selepasnya adalah pujian-pujian terhadap kebebasan ataupun hak kita untuk menyatakan pendapat kita dengan terbuka. Kerana di kala berlakunya tragedi, adalah penting bagi kita untuk menyatakan semula tentang apa yang ketara di dalam kehidupan kita. Ianya merupakan sesuatu yang fundamental. Setiap pencapaian spesis manusia terlahir daripada kebebasan bersuara. Dan ianya juga jelas bahawa untuk melindunginya memerlukan keberanian yang hebat dan komitmen yang benar-benar utuh. Sudah lama kita semua dipupuk dan diajar untuk menjaga dengan penuh kasih dan teliti, untuk melihat apa yang kita lakukan, tulis, cakap ataupun lukis. Kita diajar untuk sedar bahawa ujaran yang tidak membawa apa-apa bala juga boleh dikirakan sebagai sesuatu yang meyinggungkan – walaupun benda itu adalah lukisan biasa ataupun pernyataan yang tidak langsung berbisa. Kita sudah dibersihkan dengan tuturan politikal yang dibenarkan dan dimandulkan dengan ketakutan hukuman. Secara tidak langsung, penyederhanaan itu disalah ertikan dan kita gagal untuk menyuarakan pendapat sebagai diri kita sendiri, dan apa yang kita inginkan di dalam masyarakat kita. Dan walaupun kita memetik pernyataan Voltaire, ianya dilakukan atas sesuatu yang sia-sia. “Saya melindungi hak kamu walaupun saya tidak bersetuju dengan kamu. Saya melindungi hak kamu walaupun kesalahan kamu jelas. Saya melindungi hak kamu, tapi …, saya melindungi hak kamu hanya kerana pembunuhan lebih teruk daripada perlekehan.” Disitu terletaknya ketidakikhlasan terhadap sokongan kita yang penuh rasa ragu terhadap kebebasan bersuara. Dengan apa yang terjadi di Paris, menyalahkan kartunis dan karya mereka adalah sama seperti menyalahkan mangsa rogol dengan pakaian yang mereka pakai. Kenyataan bahawa kartun yang diterbitkan oleh Charlie Hebdo adalah xenofobik dan rasis adalah suatu percubaan untuk mengalihkan perhatian kita daripada wacana bahawa satira bukan hanya harus dilindungi, tetapi ianya harus dipertahankan. Kenyataan xenofobik dan rasis itu lahir daripada kurangnya pemahaman kita terhadap fungsi dan bentuk satira. Jika benar kebebasan bersuara itu adalah sesuatu yang fundamental, maka satira adalah kayu ukur yang utama. Satira yang hebat membawa peranan seakan cermin. Ianya mempunyai pengetahuan yang intim tentang subjeknya dan pemahaman yang mendalam tentang motivasi disebaliknya. Satira, lebih daripada bentuk ekspresi yang lain, jelas bersandarkan fakta dengan realiti. Hanya satira merupakan bentuk yang lebih ekstrem. Ianya sesuatu yang berlebihan dan dilakukan dengan penuh ghairah. Dan kerana itulah satira adalah sesuatu daya yang hebat dan meyakinkan. Ianya sebahagian daripada proses yang harus dan sihat untuk mendamaikan diri kita dengan sesuatu yang dahulunya dikira sebagai tabu. Dan bagaimana jika kita adalah penerima kepada kritikan tersebut? Melewati perasaan yang tidak selesa itu – selalunya hati yang terguris dan tidak yakin – wujudnya satu proses katarsis yang membolehkan kita untuk menjangkaui dan menghadapi ketakutan-ketakutan yang wujud selama ini. Satira memang akan menghasilkan rasa yang tidak selesa. Ianya dihasilkan untuk membangkitkan kemarahan. Ianya memang digunakan untuk menyakitkan hati. Ianya dihasilkan untuk melampaui batasan yang ada. Untuk mengambil sesuatu yang suci dan mempersoalkannya. Untuk mencela tingkah laku kita, untuk menyerlahkan segala sikap buruk pada setiap individu – ketidakadilan kita, kebodohan kita, salah guna dan kelemahan kita. Tanggungjawab satira adalah untuk mengingatkan kita bahawa tiada apa yang suci. Ianya dihasilkan untuk mempersoalkan setiap kepercayaan kita, untuk memberi keutamaan kepada kerapuhan kita, kepada prejudis kita, dan juga kepada keinginan dan pemikiran kita yang paling dalam dan paling gelap. Untuk membawa kesemuanya keluar melalui cara yang agresif dan memaksa kita untuk menghadapinya. Bukan untuk menghiburkan kita, tapi untuk membuat kita fikir. Jika benar kebebasan bersuara itu adalah sesuatu yang fundamental, maka satira adalah kayu ukur yang utama. Sejak kebelakangan ini, kita melihat satira melalui susunan bingkai kartun dan juga di dalam melalui medium filem di Hollywood. Tidak semua satira itu elegan. Banyak juga karya satira di luar sana yang tidak ditulis dengan sindiran yang cerdik dan pandai seperti yang selayaknya dilakukan. Dan kepada karya mereka, kamu boleh mengkritik, meleter ataupun mencela. Tetapi kritikan kamu harus berhenti di tahap mengarahkan agar karya mereka ditapis. Kerana walaupun kartun-kartun itu jauh daripada ideal yang sepatutnya, dan sebanyak mana kita tidak bersetuju dengannya, satira harus dipelihara. Kerana, di penghujung hari, bukan kata-kata dan gambar-gambar yang tidak bermoral. Kerana kebebasan bersuara bukannya suatu pembunuhan, dan pembunuhan bukannya kritik yang bermakna.

]]>