Mengenali Teologi Queer: Suatu wawancara bersama Joseph Goh

Artikel ini merupakan terjemahan mengenai teologi queer di antara saudara Fuad Rahmat dan juga Ahli Akademik dari Monash University, Joseph Goh. (Kedua-dua nama dipendekkan menjadi FR dan juga JG untuk seluruh sesi temuramah)   FR: Selamat datang!   JG: Terima kasih kerana menjemput saya.   FR: Saya sebenarnya agak teruja dengan kehadiran kamu di sini kerana kita telah berhubung selama beberapa tahun yang lepas bagi menjemput kamu ke sini dan saya faham kamu sedang menyiapkan kedoktoran pada waktu itu. Saya cuba menghabiskan sesi ini secepat yang mungkin dan saya lega dengan kehadiran kamu di sini.   JG: Terima kasih. Saya menghargai jemputan kamu dan ayuh kita teruskan.   FR: Sudah tentu! Jadi, kamu adalah seorang pakar teologi atau teolog ‘queer’. Dan itu semestinya gabungan terma yang menarik, kerana jarang benar kita dengar gabungan terma seperti itu. Mungkin kita boleh mula dengan itu – bukan sahaja makna kedua-dua terma tersebut, tetapi bagaimana kamu menggabungkan kedua-duanya. Apakah yang menggerakkan kamu ke dalam wacana sebegini?   JG: Sedang saya jalankan kuliah pasca sarjana di Amerika Syarikat, saya memberi banyak fokus kepada bentuk-bentuk tradisional teologi. Secara asasnya, teologi yang kudus dan liturgi yang dikirakan penting di dalam sistem Roman Katolik tentang elemen-elemen ibadat dan bagaimana manusia mengaitkan diri mereka kepada Tuhan secara material. Kemudian saya mulai sedar, sewaktu semua kerja yang bagus sedang berlangsung, masih banyak golongan yang dipinggirkan dan diketepikan kerana dilihat sebagai tidak sah dari kerangka teologi. Golongan ini merangkumi komuniti LGBT, jadi kita berbincang mengenai lesbian, homoseksual, transgender, biseksual dan golongan queer yang lain. Mereka mempunyai dua pilihan: sama ada mereka meninggalkan gereja dan mempraktikkan ‘gaya kehidupan’ mereka seperti mana yang mereka inginkan dan meninggalkan iman mereka, ataupun jika mereka boleh, insaf dan menjalani sesi kaunseling, kemudian menjadi penganut Kristian yang soleh. Pendekatan ini begitu kuat di dalam gereja Roman Katolik dan di dalam gereja arus perdana yang lain, dan apa yang saya rasakan menarik adalah terdapat ramai ahli akademik yang tidak melihat seksualiti dan wacana mengenai Tuhan sebagai sesuatu yang terasing dan entiti yang mendatangkan mudarat. Dan berdasarkan apa yang disarankan oleh mereka adalah mustahil untuk menjalani kehidupan LGBT sambil mempunyai hubungan yang kukuh dengan Tuhan. Dan saya dengarnya pada tahun 2008 ataupun 2009 dan pada waktu sukar untuk saya mempercayainya; saya melihatnya sebagai suatu kesilapan dan tidak mustahil. Tetapi semakin saya membacanya semakin saya sedar akan teologi queer, mengangkat idea bahawa ianya mustahil untuk menjadi selesa dengan diri sendiri dan menghubungkan diri dengan Tuhan sebagai diri sendiri seadanya.   FR: Jadi, saya membayangkan ini adalah suatu tindakan yang sukar untuk dilakukan kerana sebelum berlangsungnya perbincangan untuk menjadi inklusif terhadap golongan minoriti yang berbeza dari segi seksualiti, bukankah masih wujudnya perbincangan mengenai penyediaan ruang yang inklusif untuk wanita? Jadi dengan pergi sebegini jauh, saya rasa ianya merupakan perjalanan yang mencabar bagi kamu.   JG: Oh ya. Jadi saya rasa pada waktu itulah aktivisme yang berteraskan teologi mulai membuak dan saya sedar yang teologi hanya menyediakan zon-zon yang selamat; hanya melayani individu yang dihormati, yang baik dan yang bersesuaian. Tetapi kemudian, praktik teologi yang telah saya jalani menyatakan bahawa teologi seperti apa yang diberitahu oleh Stephen Bevans adalah berdasarkan konteks. Tidak ada teologi yang objektif. Tidak ada teologi sebagai sesuatu yang asas dan rasmi. Jika kita amati sejarah Kristianiti, ianya selalu berdasarkan konteks. Ia bermula dengan tukang kayu dari Nazareth, jadi Kristianiti pada awalnya bersandarkan konteks komuniti Yahudi, yang kemudiannya berkembang kepada dunia Yunani-Romawi dan menjadi entiti yang menggambarkan kehidupan, hikmah dan ilmu bagi penduduk Yunani-Romawi. Setelah itu, setelah berlangsung lamanya ia berkembang ke seluruh pelusuk dunia dan kini kita mempunyai pelbagai bentuk teologi yang berdasarkan konteks: Teologi Orang Berkulit Hitam, Teologi Orang Asia dan juga Teologi Alam Sekitar. Eko-Teologi merupakan hal yang besar pada waktu ini dan juga Teologi Feminis, dan kini Teologi Queer. Apa yang kita fahami pada waktu ini adalah idea bahawa Teologi Queer adalah salah satu perbincangan yang sedang berlangsung di dalam perbincangan teologi.   FR: Pada suatu masa, saya dididik melalui pembelajaran Jesuit dan salah satu benda yang saya hargai mengenai tradisi Katolik adalah kayanya legasi wacananya – sebuah wacana intelektual yang menyerap masuk soalan-soalan yang telah wujud dari dunia Islam Timur Tengah. Saya mendapati ianya sesuatu hal yang menyegarkan tetapi saya seringkali terfikir, “kenapa masih berada dalam kerangka yang sama, kenapa tidak pergi kepada wacana Anglika yang nampaknya mulai membicarakan hal yang inklusif?’ Jawapan yang sering saya dapat adalah wujudnya perikatan kepada tradisi itu sendiri. Idea bahawa sejarah menyebabkan penjelajahan itu menjadi lebih meluas, bukan? Ini menjadikannya ia berbeza dengan mencari sebuah gereja yang sudah inklusif – dan mungkin sahaja tidak berakar di dalam wacana sebegitu. Betapa pentingkah tradisi di dalam perjalanan kamu dan idea bahawa kamu adalah sebahagian daripada persoalan sejarah yang telah bermula dari awal lagi?   JG: Saya lega dengan soalan yang dikemukakan oleh kamu. Saya ingin mula membalas jawapan kamu dengan memetik kenyataan Gayatri Spivak sewaktu beliau di sini di Universiti Malaya. Ada suatu kenyataan yang disebutnya, yang masih terpahat dalam pemikiran saya. Dia memulainya dengan mengatakan, “kamu perlu memikirkan apa yang dipertaruhkan bagi semua pihak yang terlibat.” Saya rasa mungkin sahaja bagi gereja-gereja arus perdana seperti gereja Roman Katolik, ada banyak yang dipertaruhkan dan kamu menyebut satu elemen yang benar-benar penting, iaitu tradisi. Banyak gereja arus perdana mencuba sedaya upaya untuk memelihara apa yang mereka rasakan sebagai hal yang berkanun, wacana murni mengenai Tuhan yang telah kita warisi melalui berzaman-zaman. Mungkin sahaja untuk memahami idea teologi dengan lebih mendalam, saya rasa ianya merupakan suatu hal yang penting untuk pergi ke hal-hal yang asas dan ianya adalah idea bahawa teologi secara umumnya mempunyai empat rujukan utama. Rujukan pertama adalah teks suci atau Alkitab, kedua adalah tradisi, ketiga adalah akal dan keempat adalah pengalaman manusia. Jadi ini yang kami sebutkan sebagai rujukan empat sisi untuk berteologi. Masalahnya adalah, keempat-empat elemen ini, komponen-komponen teologi ini, seringkali dilihat sebagai sesuatu hal yang statik. Teolog latin, Orlando Espin mengingatkan kita bahawa tidak ada pun hal yang disebut sebagai tradisi. Apa yang kita ada adalah idea mentradisikan sesuatu. Tradisi adalah hal yang berevolusi. Ianya merupakan proses dan perjalanan yang bermula dari satu titik pada satu masa dan tidak pernah berakhir. Apabila tradisi mulai maju, ianya penting untuk melihat bagaimana ia memberi impak kepada kehidupan manusia. Jika tradisi mulai menindas rakyat, maka idea untuk mentradisikan haruslah diluaskan dan ruang untuk berfikir perlu disediakan. Kamu tahu mengenai idea bahawa kita ingin memelihara tradisi. “Ianya adalah tradisi Kristian, itu yang kami selalu laksanakan”, tetapi idea bahawa ianya adalah hal yang selalu dilaksanakan adalah salah.   FR: Jadi menurut kamu tradisi bukanlah suatu hal yang statik; ianya adalah suatu hal yang kerap dijumpai semula, difahami semula, nyahkod semula, dan memberi jawapan kepada cabaran kontemporari.   JG: Benar. Jadi apa yang orang katakan pada waktu ini? Bagaimana teologi berhubung dengan orang ramai, kepada kehidupan manusia dan apakah yang ingin dinyatakan oleh kehidupan manusia terhadap teologi? Pastinya ianya merupakan perbincangan yang terus menerus; harus mempunyai tindakan mentradisi yang berterusan.   FR: Kini saya ingin bertanya mengenai bagaimana persoalan ini dikaitkan dengan wacana yang lebih meluas. Adakah ini hanyalah cabang akademik? Saya faham wacana Katolik banyak mengutamakan penggunaan akal dan agak skolastik, jadi adakah ianya masih dalam kerangka sebegini atau ianya sudah dipraktikkan ke dalam kehidupan sebenar?   JG: Apabila kamu menyebut ‘Katolik’, saya rasa bagi kebanyakan orang, terutama kepada pendengar kita, idea ‘Katolik’ secara automatiknya diterjemahkan kepada Roman Katolik. Terdapat pelbagai bentuk Katolikisme. Kebanyakan daripada kita kenal dengan Kristian Ortodoks, mungkin juga Katolikisme Ortodoks dan juga Katolikisme Anglika. Pada waktu ini, terdapatnya perkembangan gerakan Katolik Lama. Saya tergolong dalam Gerakan Katolik Lama, dan ianya merupakan gerakan gereja yang berpaut kuat pada tradisi Katolik tetapi tidak menyatakan kesetiaan kepada Rom. Mereka tidak terlibat dengan institusi Rom sejak abad ke-19. Apabila kita membicarakan hal teologi queer, benar ianya sesuatu yang berteraskan akal dan ianya berkisar kepada hal-hal yang akademik dan banyak buku-buku awal membicarakan teologi queer dari sudut pandang akademik. Untuk memahami teologi queer, kita perlu ingat bahawa ianya bukanlah sesuatu yang terus jatuh dari syurga ke riba kita. Ia adalah pertembungan pelbagai idea dan teologi. Pemikiran Foucalt banyak memainkan peranan di dalam Teologi Queer – iaitu idea mengenai kegiatan subversif dan memahaminya secara halus, dan juga saya ingin tambah, penstrukturan semula. Teologi Feminis turut memainkan peranan yang besar, tidak lupa juga Teologi Pembebasan dan juga Teologi Lesbian, Gay dan juga Biseksual. Bagi kebanyakan orang, Teologi Queer bersamaan dengan Teologi Lesbian dan Gay. Itu adalah suatu hal yang tidak tepat. Teologi Lesbian dan Gay bermula pada tahun 70an dengan gerakan pembebasan gay di Amerika Serikat, yang lebih memberi fokus kepada pendekatan yang apologetik terhadap teologi, dengan menegaskan bahawa golongan gay dan lesbian mempunyai peranan di dalam ekonomi golongan Kristian – di mana mereka bernilai bagi ekonomi golongan Kristian. Kebanyakannya adalah untuk menjustifikasikan keberadaan golongan gay dan lesbian yang berbeza secara seksualiti dan aktif beriman pada masa yang sama. Masalahnya gerakan ini kemudiannya memberi idea bahawa wujudnya dunia gay dan lesbian yang tersendiri. Orang mulai bertanya, “bagaimana dengan golongan transgender? Golongan biseksual? Bagaimana pula dengan praktik yang tidak tergolong di dalam bentuk kepelbagaian seksual seperti polyamory dan BDSM?”, dan “kenapa bentuk ekspresi seksual ini dilihat sebagai lemah dibandingkan dengan bentuk yang lebih dihormati?”. Beberapa teolog queer seperti Marcella Althaus-Reid dan Robert E. Shore-Goss mulai menjauhkan diri daripada Teologi Lesbian dan Gay yang ekslusif dan mulai berteologi ke dalam kerangka queer yang lebih transgresif,  lebih inklusif dan membuka ruang di dalam dunia teologi terhadap fakta bahawa wujudnya rujukan yang sebelum ini sering diketepikan. Apa yang kita punyai sekarang adalah idea bahawa Tuhan wujud di tempat yang jarang kita kenali dan jarang kita hormati dan itu bukanlah sesuatu yang baru, kerana jika kita lihat pada kehidupan Yesus Kristus sendiri, di mana dia menemui Tuhan? Di mana dia berdakwah mengenaiNya? Dia melaksanakan di tempat-tempat yang dilihat sebagai tidak bermoral dan tidak dihormati. Teologi Queer sebenarnya adalah pendekatan teologi yang berbalik kepada asas-asas dan memahami Yesus Kristus sebagai individu yang secara radikalnya seorang yang inklusif. FR: Sebentar tadi kami membincangkan bagaimana sesuatu teori itu dikaitkan dengan praktis. Apakah pendapat kamu mengenai hubung kaitan ini sebelum kita beransur ke komponen yang lebih teoretikal?   JG: Pada bahagian pertama telah-pun saya sebut mengenai idea empat sisi – sebagai sumber teologi – dan salah satu sumber yang penting adalah kehidupan manusia itu sendiri ataupun pengalaman manusia, tetapi selama ini pengalaman itu diterjemahkan sebagai kehidupan heteroseksual dan heteronormatif. Kini apa yang ingin dilakukan melalui Teologi Queer adalah untuk merangkumi kehidupan golongan queer dan juga LGBT, dan melihat bagaimana mereka bukan sahaja melangsungkan kehidupan sekadar itu sahaja, tetapi kehidupan yang berhubungan dengan Tuhan. Teolog Queer seperti Nancy Wilson dan juga Marcella Althaus-Reid sentiasa menyatakan bahawa kita tidak perlu bermula daripada asas falsafah untuk berteologi, tetapi perlu bermula dari kehidupan manusia, pengalaman, ilmu dan keadaan yang sebenar. Itu adalah penting. Jadi itu menjadi premis asas bagi teologi queer disebabkan ianya berasal dari manusia dan kembali kepada manusia. Kini, saya mengaku teologi queer memang sudah jauh dan ia memaparkan pelbagai idea yang menarik untuk kita menghiraukannya. Apa yang kebanyakan orang sedang lakukan sekarang, lebih-lebih lagi gereja-gereja queer di seluruh dunia adalah untuk menjadikan penteologian queer – turut juga sesuai bagi komuniti Kristian LGBT dan juga umat Kristian yang heteroseksual. Telah dilakukan kerja seperti ini di beberapa gereja seperti Free Community Church di Singapura dan mungkin juga Blessed Minority Christian Fellowship di Hong Kong. Queer Theology Academy di Hong Kong juga sedang mencuba menjadikan Teologi Queer lebih senang dipraktikkan. Kebanyakan orang mendapatkan inspirasi dari buku ‘Radical Love’ yang ditulis oleh Patrick S. Cheng, yang dikirakan sebagai penting dan memaparkan butiran-butiran penting bagi pengenalan terhadap Teologi Queer.   FR: Bagi saya, hal-hal seperti ini kelihatan menarik kerana adanya persepsi bahawa teori queer tidak bersentuhan dengan teologi disebabkan antinormatif dan secara tidak langsung cenderung ke anti sosial bukan? Jadi salah satu perkara yang saya ingin benar tahu adalah bagaimana kamu menggunakan teori queer di dalam kes seperti ini. Bukankah komuniti itu juga merupakan suatu hal yang penting? Kerana itulah anggapan terhadap kegunaan teori sebenarnya. Jadi mari kita ke arah persoalan mengenai teori dan perbincangan: Apakah yang dimaksudkan dengan menjadi antinormatif, untuk menjadi transgresif dalam kes ini? Maksud saya, pada suatu sudut adanya penerimaan. Kamu membawa golongan yang terpinggir untuk dikenali dan diterima masyarakat, kemudian itu pula dilihat sebagai normatif kerana mereka dirangkum sekali di dalam ‘kumpulan’. Jadi dimanakah terletaknya antinormativiti di dalam projek ini?   JG: Itu merupakan soalan yang penting. Saya rasa kebanyakan daripada kita sudah pun didedahkan dengan konsep homonormativiti di mana golongan gay dan lesbian, transgender, biseksual dan juga golongan queer yang ingin menyesuaikan diri mereka ke dalam kehidupan yang biasa. Saya tak rasa itu adalah sesuatu yang buruk. Saya fikir semua orang perlu hidup. Dengan menggunakan perspektif Judith Butler, kebanyakan orang merasakan diri mereka hina kerana mereka tidak tergolong di dalam lingkungan keadaan kehidupan yang dianggap sebagai ‘normal’. Jikalau kamu bukan heteroseksual dan tidak mengikuti garisan heteronormatif, dan tidak sesuai dengan masyarakat maka secara tidak langsung kamu dipinggirkan. Kamu mempunyai peluang yang kurang untuk berkembang dan untuk makmur dibandingkan dengan golongan heteroseksual ataupun heteronormatif. Jadi ia tidak semestinya sesuatu hal yang buruk. Di suatu sudut pula, saya rasakan idea antinormatif menjangkaui isu LGBT dan turut juga termasuk di dalam lingkungan komuniti keluarga heteroseksual juga. Jadi cuba kita lihat dari sudut begini: Berapa banyak keluarga heteroseksual yang hidup berdasarkan garisan normal heteronormatif? Boleh saja kita sekalikan dua keluarga dan ketara bahawa kedua-duanya menjalani kehidupan yang berbeza. Keluarga pertama, mungkin saja bapanya suka memakai pakaian perempuan pada waktu malam dan tiada siapa yang berbicara mengenainya dan keluarga kedua pula secara sedar membuat pilihan untuk tidak mempunyai anak. Jadi ada sahaja keluarga heteroseksual tetapi masih antinormatif, maka idea yang menentang heteronormativiti ataupun terhadap pelbagai bentuk normativiti bukan sahaja untuk golongan LGBT. Ianya untuk semua orang. Iaitu kita mempunyai hak untuk menjalani kehidupan sebagaimana kita inginkan, selagi kita tidak menyakiti diri sendiri ataupun orang lain.   FR: Benar. Kadang-kadang kita menggunakan istilah ‘normal’ itu sendiri seakan kita tahu apa maksudnya yang sebenar. Apabila kita cuba mendalaminya dengan lebih lanjut, sebenarnya sikit sahaja yang sesuai dengan istilah ‘normal’ kerana ada sahaja sisi kita yang tidak semestinya bersesuaian dengan sisi normal kita. Wujudnya sisi kita yang berlangsung secara tidak sedar, yang sedang kita jalankan dan itu adalah sesuatu hal yang tidak boleh dikenali dengan senang. Jadi kita kembali kepada akar gerakan intelektual pula. Kamu nyatakan bahawa ianya bermula pada tahun 70-an. Apakah teks pada waktu itu yang menggerakkan para teolog queer untuk terus menjalankan projek ini? Kamu ada sebut tentang Foucault, boleh jelaskan hal ini dengan lebih lanjut?   JG: Ada beberapa teks yang berpengaruh. Ia bukannya suatu hal yang timbul di fikiran saya pada waktu ini tetapi boleh sahaja saya nyatakan sebentar lagi. Mungkin untuk fokus pada satu atau dua benda, disebabkan kita ada sebut mengenai Foucault. Saya rasa salah satu pemikir yang mempengaruhi penteologian queer adalah Michel Foucault. Beliau menyatakan bahawa kekuasaan wujud di dalam wacana, tetapi kekuasaan menyerapi setiap aspek, setiap sudut di dalam kehidupan manusia dan mencetuskan tentangan. Visinya mengenai keadaan subversif yang radikal dan visinya mengenai dekonstruksi telah menjadi utama di dalam penteologian queer kerana ia mencabar idea-idea teologi Kristian iaitu ‘kita telah menjalankan apa yang selama ini kita jalankan’ dan itu bukanlah hal yang sebenarnya berlaku. Apabila kamu bertindak secara subversif dan membongkar semula, kamu akan mulai melihat bahawa wujudnya rekahan di dalam Teologi Queer dan kamu sedar bahawa ianya bukanlah pakej yang sempurna diwarisi dari satu generasi ke generasi selepasnya. Wujudnya belahan, wujudnya gangguan, dan ada banyak keadaan di mana teologi mengalami pergolakan untuk mencapai di tahap yang ia wujud pada waktu ini. Idea untuk bertindak secara subversif dan pembongkaran semula menyarankan bahawa tidak ada titik ketibaan bagi teologi. Awalnya saya ada sebut mengenai idea Orlando Espin iaitu pentradisian. Jadi apabila saya membicarakan tentang Teologi Queer, saya juga sedang fikir mengenai penteologian queer iaitu suatu proses yang tidak akan henti kerana ianya secara konsisten melalui proses pembongkaran semula. Ianya sentiasa menjalani proses yang subversif dan proses-proses ini berlaku kerana ianya merupakan kehidupan manusia yang menyesuaikan dan menghidupi proses penteologian. Malah apabila kita berbicara mengenai penteologian queer lebih sesuai kita menyebutnya sebagai proses ‘menteologikan’ queer, kerana ada banyak cara untuk melakukannya. Bagi saya, apa yang penting adalah pemberian ruang yang secukupnya untuk kehidupan yang sebenar, ianya perlu menyerap kehidupan yang sebenar ke dalam wacana yang ada.   FR: Jadi ini menarik bagi saya kerana dua perkara: pemahaman mengenai dosa. Apa yang sudah jadi dengannya? Sekarang saya tahu kita sudah menjangkaui pemahaman konvensional, jadi saya mulai fikir, apa sudah jadi dengan pemahaman mengenai dosa iaitu pemahaman lama mengenai dosa kerana dosa juga sentiasa diperbaharui dan berubah tetapi ia masih terikat dengan ketaqwaan kita. Adanya idea bahawa kita tidak ingin menjadi pendosa, jadi apa yang berlaku dengan pemahaman seperti itu? Dan kedua, berkaitan dengan hal di atas, apa yang terjadi dengan badan fizikal kita? Kerana apabila membicarakan tentang realiti yang dihidupi, kita adalah makhluk yang berbadan tetapi pada masa yang sama, mengikut konteks agama monoteisme, wujudnya sesuatu yang lain. Ianya sesuatu hal yang kabur apabila ianya berkaitan dengan badan. Ada juga yang ingin mengasingkannya terus. Ada yang ingin menerimanya dan ada juga yang menolaknnya secara penuh; dan ini adalah hubungan percanggahan yang sedang dihadapi oleh kebanyakan orang. Apakah hubung kaitan wacana ini dengan persoalan badan dan dosa? Malah untuk hal yang begitu lama, hal dosa dan badan berkait rapat – tujuh dosa utama dikaitkan dengan badan. Jadi apa yang berlaku dengan persoalan seperti ini?   JG: Tepat. Kamu tahu, para teolog queer telah menunjukkan betapa ironinya setiap kali seseorang berbicara mengenai dosa, ianya pasti berkait dengan badan ataupun seks. Idea etika telah menjadi persoalan etika seksual; idea moral menjadi kemoralan seksual. Persoalan seks di dalam Kristianiti menjadi terlalu tabu tetapi pada masa yang sama ia timbul di tempat-tempat yang lain. Ianya seperti apa yang dinyatakan oleh Foucault, jika kita menganiaya seksualiti pada suatu ruang, ia akan terus hidup dan timbul di ruang yang lain. Jadi ini adalah sesuatu yang biasa bagi manusia tapi kita sering melupainya. Jadi ya, bagi idea dosa seksual, kita perlu merujuk kepada teolog yang lama seperti Santo Agustinus dan Santo Thomas Aquinas. Agustinus, seorang uskup pada abad ke 4 pada masa yang lama bergelut dengan idea dosa seksual. Sebelum ini dia merupakan seorang individu yang tidak terlalu alim. Dia menjalani kehidupan yang penuh seksual dan mendapat anak di luar nikah. Bagi beliau, seksualiti dan seks adalah kejahatan yang perlu sehingga mengatakan bahawa dosa itu telah dijustifikasikan; kerana walaupun ianya dilihat sebagai dosa, lelaki dan wanita masih perlu menjalani hubungan seks kerana perlu menghasilkan anak. Aquinas, beberapa abad selepasnya turut mengambil idea tersebut dan merasakan bahawa jika lelaki dan wanita bersetubuh, mereka pasti melakukannya untuk menghasilkan anak. Jadi ianya merupakan sesuatu yang bagus, tetapi ianya mengambil masa yang sama sebelum gereja arus perdana sedar bahawa persetubuhan di antara suami isteri, perbuatan tersebut adalah sesuatu hal yang baik sifatnya. Jadi saya rasa kini kebanyakan gereja akan setuju bahawa persetubuhan dan penghasilan generasi seterusnya adalah kurnia dari Tuhan. Meskipun begitu, penting untuk kita fahami bahawa hal yang telah diperakui tidak semestinya dengan mudah dapat diterjemahkan kepada cara manusia menjalani kehidupan mereka. Di pelbagai pelusuk dunia, idea mengenai tubuh masih menjadi suatu hal yang negatif. Badan dilihat sebagai kenderaan bagi terhasilnya dosa; permulaan bagi ketidaksamaan dan juga dosa seksual. Kamu tahu kan, kita semua pernah melalui beberapa fasa, sama ada Kristian ataupun tidak, kita diberitahu bahawa kita perlu menjaga dengan elok bagaimana kita menggunakan tubuh badan kita kerana ia boleh membawa ke arah kebinasaan dan Tuhan tidak akan gembira mengenainya. Apa yang ingin dibuat melalui Teologi Queer adalah untuk memahami bagaimana badan itu berfungsi dan secara asasnya melihatnya sebagai sesuatu yang bersifat baik – iaitu hal yang seksual dan erotik adalah kurnia Tuhan. Dan jika ini disalurkan ke arah jalan yang konstruktif, tak kira heteroseksual atau homoseksual, ia masih berperanan sebagai saluran di antara manusia dan hal yang kudus. Teologi Queer telah menghasilkan pelbagai bentuk sub teologi seperti teologi badan, teologi badan dan juga teologi seksual. Di dalam teologi erotiklah secara khususnya kita temukan pemikiran lesbian. Teolog-teolog feminis dan queer seperti Carter Heyward, Mary Hunt dan juga teman sekerja saya dari Hong Kong, Lai-shan Yip dan juga Rose Wu, pernah membincangkan bagaimana badan dapat menjadi saluran yang kuat ke arah Tuhan.   FR: Kamu tahu, hal yang disebutkan kamu ada pengajarannya yang tersendiri; berpotensi ataupun tidak kepada sikap golongan bukan alim dan sikap mereka terhadap badan itu sendiri. Lauren Berlant menyatakan seperti berikut: beliau banyak menggunakan perkataan ‘erotophobia’ dan ini adalah pendekatan yang turut diambil oleh golongan liberal sama ada mereka sedar mengenainya ataupun tidak, iaitu walaupun badan kita telah disekularkan, tidak semestinya ianya cenderung untuk merasakan nikmat yang sebenar, lebih-lebih lagi di dalam konteks erotik. Di dalam dunia liberalisme, setelah Sex and the City, wujudnya idea bahawa ia hanyalah seks dan wujudnya reduksi terhadap hal tersebut. “Ia hanyalah hal yang biologikal, ia hanya pilihan kamu.” Tetapi nampaknya wujudnya pandangan lain melalui wacana kamu yang menyatakan “bukan hanya itu.”. Dalam pelbagai cara ia cuba untuk menyelamatkan badan daripada reduksi liberalisme yang hanya melihatnya sebagai reaksi kimia dan sinapsis di dalam otak dan juga wacana di dalam agama yang melihatnya sebagai sesuatu yang bermasalah. Jadi ia menyatakan bahawa, “tidak, wujudnya pelbagai misteri di sini, wujudnya keindahan di sini dan adanya suatu bentuk hubungan yang sedang berlangsung.”   JG: Betul. Saya rasa itulah teologi queer, dalam pelbagai bentuknya sedang lakukan. Mungkin cuba untuk mendemokrasikan badan dan membiarnya dihargai sebagaimana adanya, sama ada ianya adalah badan heteroseksual ataupun badan queer. Ia mengambil bentuk penghargaan yang tidak jumud dan itulah bukanlah sesuatu hal yang baru sebenarnya. Ia adalah penjumpaan semula sesuatu yang telah lama ada di situ. Jika kita membaca buku Genesis, apa yang ia beritahu? Ia adalah sebuah cerita yang metaforikal, tentang bagaimana wujudnya manusia. Jadi kita berbicara mengenai Tuhan, Sang Pencipta yang memilih untuk menyatakan cinta secara material. Jadi bermula dari awal, materialiti adalah sesuatu hal yang bagus. Lalu apabila berbicara mengenai asal-usul badan dari sudut pandang teologi dan bagaimana Tuhan melihatnya sebagai sesuatu yang baik, ini secara tidak langsung membenarkan manusia untuk melihat badan mereka dengan seadanya. Badan mereka dengan ekpresinya yang tersendiri, dengan ciri-ciri yang khusus dan kita katakan bahawa ianya adalah sesuatu hal yang baik sifatnya. Dan sesuatu hal yang baik itu mempunyai sifat Ketuhanan dan berhubung denganNya. Jadi saya rasa penteologian queer mempunyai peranan yang penting di dalam menolong orang, hetero ataupun tidak, untuk menghargai badan mereka seadanya dan hidup seperti mana mereka ingin hidup di dalam kehidupan seharian mereka dan hubungan mereka dengan Tuhan.   FR: Okay jadi saya ada soalan terakhir dan kemudian kita boleh habiskan sesi ini. Saya ingin tahu apa yang telah terjadi terhadap kategori tradisional seperti rasa bersalah, dosa dan juga keaiban. Saya tidak ingin bertindak seakan-akan kita perlu membuangnya secara penuh kerana saya rasa ianya boleh digunakan dengan elok. Maksud saya, jika saya tidak kitar semula saya patut malu dengan diri saya ataupun jika saya membuang sampah merata-rata, saya patut rasa bersalah. Adanya sesuatu mengenai kesedaran kita yang dapat kita nyatakan dengan jelas dan mengaitkannya secara sihat. Dan juga wujudnya cara yang dapat menghancurkan kita apabila kita merasa beban yang melampau disebabkan rasa malu atau rasa benci terhadap diri sendiri. Jadi apa yang terjadi dengan kategori yang tradisional seperti ini?   JG: Teologi Queer telah mengubah dan membaca semula pemahaman sejarah mengenai dosa dan rasa bersalah. Patrick S. Cheng di dalam bukunya ‘From Sin to Amazing Grace’ berbicara mengenainya dengan lebih lanjut. Beliau mengatakan bahawa untuk golongan LGBT, dosa tidak ada kaitan dengan menjadi LGBT tetapi lebih kepada penafian kepada diri sendiri. Dengan ini dia lebih menekankan idea tradisional mengenai kewujudan di mana manusia dicipta oleh Tuhan melalui gender dan ekspresi seksual yang khusus. Maka dia berbicara mengenai homofobia dan transfobia dalaman sebagai dosa. Dia berbicara mengenai kegagalan seseorang untuk mengenai nilai seseorang sebagai dosa. Jadi sudah ada pemahaman sebegitu rupa dan saya berkata hal ini selaku seorang teolog queer. Apakah tujuan perasaan bersalah apabila kita berbicara mengenainya? Perasaan bersalah adalah seperti ketukan di pintu untuk berkata, “Hey, ada sesuatu yang tidak kena, boleh tak kita tidak perlu berubah arah tetapi sebaliknya, daripada melihat perasaan bersalah sesuatu yang mengikat kita dan membuat kita merasa teruk kepada sesuatu yang menolong kita menjadi lebih bertanggungjawab?” Untuk masa yang lama, saya telah pun membuat keputusan bahawa dalam kehidupan, perasaan bersalah tidak mempunyai apa-apa tujuan selain membantu saya untuk tidak lagi membuat kesilapan yang sama pada masa yang akan datang. Jadi perasaan bersalah merupakan suatu fasa dan ianya tidak perlu ada di dalam diri kita buat masa yang lama. Ia hanya perlu wujud untuk mengingatkan kita bahawa kita tidak menjalani kehidupan yang konstruktif dan apa yang telah kita lakukan tidak membuahkan bentuk kehidupan yang bagus, dan bergerak dari situ. Saya rasa menteologikan queer dapat membantu kita untuk sedar bahawa kita melakukan kesilapan di dalam kehidupan, lebih-lebih lagi berkaitan dengan badan kita, tetapi ianya tidak akan kekal lama.   FR: Baik sebelum kita menamatkan perbualan ini bolehkah Joseph cadangkan buku, artikel ataupun filem yang kamu rasa sesuai bagi pembaca untuk terus membincangkan hal ini.   JG: Saya rasa buku Patrick S. Cheng yang bertajuk ‘Radical Love: An Introduction to Queer Theology’ adalah pengenalan yang sesuai bagi Teologi Queer. Selain itu bagi sesiapa yang ingin berkenalan dengan wacana ini boleh melawat laman web Gereja Metropolitan Community dan lihat rujukan-rujukan yang memberi bimbingan kepada ibu bapa tentang bagaimana untuk memahami anak LGBT. Buat masa ini saya sedang menyiapkan buku saya yang bertajuk ‘Living Out Sexuality and Faith’, jadi saya harap ia akan dikeluarkan tak lama lagi. Saya gembira jika para pendengar ingin emel saya untuk beberapa cadangan buku.    ]]>

BAGAIMANA STATUS FACEBOOK BOLEH MENJADI KEBENCIAN SECARA KOLEKTIF?

Pendahuluan Status facebook di DrMaza.com yang dikait dengan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainal Abidin, pada 21 April 2017, yang dinukil sebagai puisi Jumaat (walaupun ia tidak layak ditanggapi sebagai puisi menurut hukum hakam puisi) tercatat begini (maafkan saya menurunkan semula ‘ayat-ayat penghinaan’ ini sebelum mengulasnya): ..apabila yang mempertuhankan lembu bersatu.. lantas menyeru agar pendakwah kita dibelenggu.. mahu diserahkan kepada kerajaan zalim menyembah api dan penganut sati.. pembakar wanita janda..di benua sana.. ajaran yang mengkastakan manusia.. sedih, sehingga ada yang dipanggil paria.. wajarkah manusia diperlakukan demikian rupa.. betapa menghina insan sesama.. di sini pula tidak pernah mereka berterima kasih kepada apa yang ada.. berpakat mereka membuat angkara.. kita tidak boleh berdiam bahasa.. toleransi dan kesabaran ada hadnya.. puisi pagi jumaat.. Adalah tidak jelas sejauh mana hubungan mufti tersebut dengan facebook DrMaza.com. Tercatat di facebook tersebut kenyataan: ‘Fanpage ini diuruskan oleh team drmaza.com. Fanpage ini boleh diakses melalui web Minda Tajdid (www.drmaza.com) serta dihubungkan melalui twitter @drmazacom. Lain-lain page yang tidak dihubungkan melalui dua medium ini TIDAK DIURUSKAN oleh team drmaza.com’. Sehingga artikel ini ditulis, tiada satu penafian direkod daripada beliau, Mohd Asri. Kerangka ‘Puisi yang bukan puisi’ di atas, jika kita mengambil kira Pelan Tindakan Rabat (Rabat Plan of Action 2013 yang ditawarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu adalah jelas jatuh ke dalam kategori ‘kebencian dan hasutan’ dan bukan sesuatu yang boleh dikategorikan sebagai ‘kebebasan bersuara’. Bagaimanakah kita dapat membezakan ia sebagai satu kebencian dan hasutan dan bukannya kebebasan berekspresi? Sebelum memanjangkan tulisan ini, elok diperlihatkan apa yang terkandung dalam Pelan Tindakan Rabat? Pelan ini menyediakan, pertamanya, polisi dan juga panduan untuk kerajaan, dan masyarakat sivil dalam mencegah kebencian agama secara kolektif. Ia juga menghuraikan apa yang tidak wajar dianggap sebagai ‘kemerdekaan bersuara’ dan dapat dianggap sebagai kebencian terhadap agama secara kolektif. Kebencian terhadap agama secara kolektif melibatkan; i. Konteks; Hanya dengan analisis konteks, sesuatu ucapan itu dapat ditentukan latar sosial dan politiknya dan apakah ia ditujukan kepada satu kumpulan sasaran. ii. Pengucap; Kedudukan individu pengucap adalah penting untuk dikenalpasti. Secara khususnya apakah individu pengucap itu mewakili mana-mana kumpulan agama yang lain, atau apakah statusnya dalam masyarakat. iii. Niat; Dalam hal ini, niat dan bukan kelalaian atau ketidaksengajaan diberi fokus. Dalam erti kata lain terdapat elemen hasutan, dan mengajak; yang secara aktif dapat ditentukan berdasarkan adanya hubungan antara objek, subjek ucapan dan juga khalayak. iv. Kandungan dan bentuk; Analisis kandungan dan bentuk ucapan juga sangat kritikal dalam menentukan apakah ia satu pencabulan hak asasi manusia. Kandungan ucapan itu perlu ditentukan apakah ia berbau provokasi, langsung dan apakah hujah-hujahnya tuntas atau tidak. v. Keluasan; Keluasan ucapan juga dititik beratkan. Dalam konteks ini apakah ucapan tersebut dilakukan secara publik, juga saiz audiennya apakah kecil atau besar, dan apakah ia berbentuk penerbitan, atau media di internet atau arus perdana, dan apakah audien mempunyai akses kepada ucapan atau siaran terbabit. vi. Potensi risiko. Hasutan dan fitnah yang menanam kebencian terhadap agama secara kolektif ditentukan berdasarkan potensi risiko yang mungkin terjadi lantaran ucapan atau siaran tersebut. Dalam hal ini ucapan kebencian tersebut selalunya adalah langsung dan memang memaksudkan sesuatu yang buruk terhadap sasaran. Analisis Berdasarkan perkara-perkara yang dinyatakan di atas, kita dapat memahami ‘puisi’ ini ditulis sebagai satu refleksi kepada isu Dr Zakir Naik yang berada di Malaysia sebagai PR di tengah-tengah kepanasan bahawa beliau menjadi buruan ekoran beberapa kes jenayah di India. Pautan mengenai hal ini boleh dilayari di internet. Meskipun nama Zakir Naik tidak disebut, mengambil kira latar sosial dan politik ucapan atau ‘puisi bukan puisi’ tersebut di tengah hangat perbincangan mengenai mubaligh Wahhabi dari India ini, kita dapat merumus status facebook tersebut membincangkan perihal kedudukan Zakir. Tambahan pula komentar daripada pengongsi status dan juga pembaca status tersebut menjurus kepada Zakir Naik. Apakah ia ditujukan kepada satu-satu kumpulan sasaran? Ya, ucapan ini adalah untuk mereka yang menolak atau anti Dr Zakir Naik, yang Zakir dirujuk sebagai ‘pendakwah kita dibelenggu’. Dalam hal ini ayat i. ‘..apabila yang mempertuhankan lembu bersatu..’; ii. ‘mahu diserahkan kepada kerajaan zalim menyembah api dan penganut sati..’; iii. ‘pembakar wanita janda..di benua sana..ajaran yang mengkastakan manusia..sedih, sehingga ada yang dipanggil paria..’ lebih merujuk kepada masyarakat beragama Hindu, dan etnik India yang boleh dihujahkan di India (di benua sana). Pelan Tindakan Rabat seterusnya menyoal apakah kedudukan individu pengucap, jika benar ia datang daripada Mohd Asri, maka kedudukan beliau adalah seorang mufti, pendakwah agama Islam, dan seseorang yang memperagakan dirinya sebagai ilmuan Islam. Oleh kerana itu, kedudukan pengucap adalah cukup ‘wibawa’, bermakna ia sesuatu yang bukan main-main, dan bukan datangnya daripada orang awam atau orang biasa. Oleh kerana itu status facebook ini menjadi lebih berat dari segi nilai negatifnya. Apakah terdapat niat untuk menyebar kebencian secara kolektif? Dalam hal ini, niat dan bukan kelalaian atau ketidaksengajaan diberi fokus. Dalam erti kata lain terdapat elemen hasutan, dan mengajak; yang secara aktif dapat ditentukan berdasarkan adanya hubungan antara objek, subjek ucapan dan juga khalayak. Jika diperhatikan, ayat i. ‘di sini pula tidak pernah mereka berterima kasih kepada apa yang ada..’; ii. ‘berpakat mereka membuat angkara..’ dan, iii. ‘kita tidak boleh berdiam bahasa..’ menggambarkan ia bukan sesuatu yang tidak sengaja. Malah terdapat penekanan ayat ‘toleransi dan kesabaran ada hadnya..’. Juga ayat ‘puisi pagi jumaat..’ menunjukkan ia bukan sesuatu yang tidak dilakukan tanpa terurus. Seseorang yang ‘menulis puisi’ atau penyair (dalam hal ini si pengucap mengaku ia puisi) mengalami proses kedatangan ilham, pengeraman idea di mana idea tersebut dipertengkarkan wajar atau tidaknya, proses pematangan (bait-bait puitis ditulis dengan waspada) dan proses mengarang. Proses akhir sebuah puisi adalah penyuntingan, iaitu seorang penulis memilih kesesuaian ayat yang digunakan. Oleh kerana itu, ayat ‘puisi pagi jumaat..’ dalam puisi di atas adalah bukti ia sesuatu yang diniatkan, dan disengajakan. Untuk mengenal pasti apakah ‘puisi Jumaat’ ini satu kebencian secara kolektif kita wajar pula menilai kandungan dan bentuk; yang mana analisis kandungan dan bentuk ucapan sangat penting dalam menentukan apakah ia satu pencabulan hak asasi manusia. Kandungan ucapan itu perlu ditentukan apakah ia berbau provokasi, langsung dan apakah hujah-hujahnya tuntas atau tidak. Oleh kerana ia tidak bersifat akademik, yakni tiada fakta dan rujukan atau sandaran, ia tidak dapat dihujahkan sebagai satu alasan ‘perbandingan agama’. Ayat ‘kita tidak boleh berdiam bahasa..’ tidak syak lagi berbau provokasi tambahan pula ada ayat ‘toleransi dan kesabaran ada hadnya..’. Ini bermakna, ayat di atas dapat ditafsirkan sebagai; hujah dan wacana, dialog dan perbincangan tidak lagi dapat diperkirakan kerana pengucap mengatakan dengan tegas ‘tidak boleh berdiam’ dan ‘kesabaran ada hadnya’. Kebencian secara kolektif juga menitik beratkan keluasan ucapan. Kita tahu status tersebut dilakukan secara publik, saiz audiennya adalah besar (sehingga artikel ini ditulis, selepas 9 jam ia diterbitkan ia mempunyai lebih 4.5ribu suka dan dikongsi oleh 614 pemilik akaun facebook). Akan tetapi apakah status ini ‘lebih merujuk’ kepada masyarakat beragama Hindu di India yang boleh dihujahkan di India sahaja (dalam status facebook itu disebut ‘di benua sana’)? Tidak semestinya. Tentu sahaja hubungan genetik penganut Hindu di India, dan Malaysia akan perlu diperhitungkan. Salah seorang pengongsi status Mohd Asri bernama Kayathri Shammugam mengulas ‘Hindus don’t worship cows! We respect, honour and adore the cow (fact).We have to respect one another and accept our differences to live peacefully’. Ia bermaksud ‘Penganut Hindu tidak menyembah lembu! Kami menghormati, dan menyanjung lembu (fakta). Kita perlu menghormnati satu sama lain dan menerima perbezaan untuk hidup aman bersama-sama.’ Sementara Dhesegaan Ravi yang tersinggung memuatkan naik status berbunyi ‘Biarlah kami sembah api , sekurang-kurangnya kami tak mengapi-apikan orang dengan nama agama. Kalau kami pandai kastakan orang , tuan lagi hebat kafirkan orang. Maaf tuan, ini bukan caranya tegakkan iman.’ Terdapat pengongsi status beragama Islam dan Melayu yang tidak senang dengan ‘puisi’ tersebut. Azam Reno CH sebagai contoh mengatakan ‘Untuk mempertahankan penceramah terrorist, mufti pun kutuk agama hindu.’ Darul Ithmi dalam status facebooknya pula menyebut ‘Sama je la level bangang Maza ni dengan kebanyakan muslim lain. Nampak sangat Zakir Naik ni bukannya simbol penyatuan agama, tapi menggalakkan orang lain, secara tak sedar, walaupun dalam kalangan yang konon-konon ‘celik’, menghina kepercayaan orang lain.’ Status Kebencian Adakah ia, puisi bukan puisi di atas berpotensi menimbulkan bahaya. Ya. Ini kerana terdapat banyak juga status perkongsian puisi ini yang menyokong beliau dan alasan pendokongan adalah ‘beliau seorang agamawan’ yang menunjukkan kebencian secara kolektif telah berlaku. Status perkongsian ‘Mohammad Fairuz Afandi’ berbunyi begini ‘Solidariti Dr. Zakir Naik.. Inilah jalan dakwah.. Senantiasa akan dikecam.. Semoga Allah merahmatimu’. Azam Hazami menulis ‘Well said Dr Maza…pttlah mereka ini hitam sehitam hati mereka…allah maha besar, br aku tau knp?….’ Sementara Jebat Mohamad mencatat ‘Kawan, jangan cuba bermain api, jangan hina ulama kami, jangan duga kesabaran kami, jangan cabar kami’. Nor Rizam Mazlan pula saat berkongsi ‘puisi jumaat’ menyatakan ‘Terima Kasih Tuan. Sudah lama saya berharap ada orang berautoriti dalam agama menyatakan perkara sebegini…Terima kasih sekali lagi DrMAZA.com…Moga Allah berkati tuan’. Putera Azmi mencatat ‘TUGAS ORANG ISLAM MELINDUNGI SAUDARA MUSLIMNYA BUKAN BERSEKONGKOL MENYERAHKAN KEPALA SAUDARANYA KEPADA GOLONGAN PENYEMBAH BERHALA, PENGAMAL KASTA TERBURUK DI DUNIA.’ Turut berkongsi status adalah Muhammad Zairi Zakaria yang menyatakan ‘Sama2 kita pertahankan Saudara Kita DR.ZAKIR NAIK yg juga mempunyai Status Penduduk Tetap di Malaysia. Jangan kita serahkan dia pada Negara Kafir Harbi Penyembah Lembu.’ Adalah jelas status facebook yang diperlihatkan di atas merupakan satu seruan kebencian yang berbahaya, dan jika dianalisis menurut Pelan Tindakan Rabat 2013 anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bersifat menghasut. Alasan ia adalah sebuah ‘puisi’ menjadikan ia lebih kukuh berbau hasutan, dan mengendurkan hujah mendatang bahawa ia adalah satu ‘kebebasan bersuara’. Maka tidaklah menghairankan terdapat komentar di bawah status tersebut berbunyi antara lain: i.Ingatkah kita sebuah kisah hari yg sedih penuh sejarah….. Di ayuthia Bumi Islam India…. Masjid babri hancur dan musnah….. dulu babri indah tersergam…. menjadi lambang perjuangan Islam tapi kini sudah tiada dihancur rakus kafir durjana….. (oleh Chung Reen). Sayugia diingatkan, perihal Masjid Babri boleh menyebabkan pertumpahan darah kerana kerobohan Masjib Babri di Ayodhya India pada 6 Disember 1992 mengakibatkan rusuhan agama dengan korban lebih dua ribu orang. Harus diingatkan kejadian tragis tersebut berlaku di India dan sepatutnya menjadi sempadan untuk umat Hindu dan Islam di Malaysia agar menghindari sebarang bibit permusuhan seperti ini. ii.Ramai warga yg dahulunya pekerja lombong dan estate diberi warganegara sekarang mahu jadi kaduk naik junjung..Masukkan akta ISA semula..demi kebaikan semua yg mahukan keamanan..(oleh Belajar Dan Hijrah) Komentar beliau menunjukkan status facebook di DrMaza.com tersebut telah pun membangkitkan rasisme dalam kalangan rakyat Malaysia. iii.Ada kalanya,menghunus pedang lebih baik dari mengeluarkan kata-kata. (oleh Azhar Jahar) Komentar sangat berbahaya ini memaparkan betapa status ‘puisi jumaat’ berkait Mufti Perlis ini membenih kebencian secara kolektif dan boleh bertukar arah menjadi liar. Lihat rakaman skrin komentar beliau yang disertakan di sini. Rumusan Saya berpendapat ‘puisi pagi Jumaat’ ini mempunyai satu asas yang sama dengan novel The Satanic Versus oleh Salman Rushdie, dan kartun ‘Nabi Muhammad’ oleh Charlie Hebdo. Persamaan yang asas itu ialah seseorang, atau satu organisasi menggunakan lesen pengaruh dan wibawa yang ada untuk melakukan penghinaan ke atas agama (dan lebih penting, penganut agama) lain. Pada sesi United Nations yang ke-25 iaitu pada 11 Mac 2014, Profesor Dr Heiner Bielefeidt, Special Rapporteur on freedom of religion or belief ketika itu telah menegaskan kebencian terhadap agama secara kolektif bukan sesuatu yang alamiah tetapi adalah sesuatu yang boleh dielakkan. Kita tidak harus terkeliru bahawa isu berkait Dr Zakir Naik adalah isu jenayah di India di mana terdapat dakwaan beliau membenihkan keganasan, dan penggubahan wang haram. Samada benar atau tidak bukan soalnya di sini. Adalah tidak berbaloi untuk rakyat Malaysia yang rencam kaum dan agama bertelagah, apatah lagi bermusuhan semata-mata kerana mempertahankan seorang warga India yang kontroversial dengan dua waran tangkap. Kesejahteraan warga Malaysia semua kaum dan agama lebih wajar dilindungi. Status facebook dengan kebencianterkait Mohd Asri, Mufti Perlis ini sama sekali menyalahi Islam kasih sayang yang dianjurkan oleh Rasulullah saw. Saidina Ali, dalam surat kepada gabenornya Malik Asytar di Mesir menyatakan ‘manusia adalah saudara seagama kamu, atau berstatus manusia seperti kamu juga’ justeru maruah diri, kesetaraan, kemerdekaan dan persaudaraan sesama manusia hendaklah ditekankan. Rujukan Office of the United Nations High Commissioner for Human Rights. 2012. Rabat Plan of Action on the prohibition of advocacy of national, racial or religious hatred that constitutes incitement to discrimination, hostility or violence. Rabat: Office of the United Nations High Commissioner for Human Rights (OHCHR). Halaman 6-7 http://www.projekdialog.com/featured/melawan-kebencian-kolektif/ http://www.projekdialog.com/featured/pelan-tindakan-rabat-ungkapan-kebencian/ http://www.thestar.com.my/news/regional/2017/04/21/zakir-naik-second-arrest-warrant/]]>

Reviu: Dialog Tertutup Sunni dan Ahmadiyyah

Dan pendekatan untuk berdialog ini dihalang lagi oleh tindakan fatwa yang mengharamkan ajaran Ahmadiyyah di Malaysia, dengan mengatakan mereka menganut ajaran yang dikirakan murtad dan menyeleweng; diterukkan lagi dengan perletakkan penanda yang mengatakan bahawa mereka bukan Islam. Dan disebabkan inilah, kami merasakan bahawa dialog adalah langkah pertama yang seharusnya diambil oleh pihak majoriti; agar dapat memahami intipati dan ajaran sebenar yang difahami oleh mereka dan dengan harapan agar stigma dan prejudis yang berlaku dapat dikurangkan dan suatu proses rehabilitasi terhadap mereka dapat dilaksanakan oleh pihak penguasa sebagai proses untuk menjulang semula sikap keterbukaan. Kemudian tiba giliran saudara Wan Ji yang menerangkan bahawa kebenaran dapat diungkap melalui kebebasan, ujar beliau, “Kebenaran itu tersebar dalam kerangka kebebasan.” Kami bersetuju benar dengan pendapat beliau, kerana melalui kerangka kebebasanlah suatu proses demokratik dapat dijalankan. Melalui proses demokratik kesimpulan dapat dinyatakan secara jelas. Tetapi persoalan ‘halangan’ yang seringkali berlaku inilah yang benar-benar membingungkan pihak kami. Ini juga seperti yang ditegaskan oleh Wan Ji selepas itu, bahawa tiada agama apa-apa pun yang secara esensinya menghalang penyebaran ajaran agama lain. Jadi pastinya hal yang berlaku pada waktu ini merupakan hal yang lain, berhubung kepada suatu persoalan yang lebih besar dan barangkali hampir tidak ada kena mengena dengan persoalan akidah semata-mata dan lebih kepada sikap ataupun barangkali, kekuatan politik. Jadi, bahagian pertama lebih kepada pemahaman pihak masing-masing terhadap keadaan yang berlaku. Kemudian, bahagian kedua pula lebih memberi fokus kepada penyelesaian dan inisiatif yang sedang dilakukan oleh mereka. Seperti apa yang dijelaskan oleh pihak Ahmadiyyah, dan barangkali disebabkan oleh kedudukan mereka selaku ajaran minoriti. Pasti sahaja mereka lebih mengutamakan sikap keterbukaan sebagai langkah pertama dan hal inilah yang seringkali dilupakan oleh pihak majoriti sesuatu agama dan apabila ianya dikaitkan institusi agama yang mempunyai agenda politik yang melampaui tugas asas mereka; mereka seringkali menggunakan kekuasaan aparatus kerajaan sebagai pendekatan untuk menyekat penyebaran ajaran minoriti yang lain. Kemudian apabila soalan ini ditujukan kepada saudara Wan Ji, beliau lebih menekankan aspek sikap sebagai salah satu langkah utama untuk mengubah keadaan ini. Beliau memberi contoh segi pemakaian, bagaimana purdah dan jubah pada suatu masa dilihat sebagai suatu hal yang asing tetapi hal yang sebaliknya berlaku pada waktu ini. Jadi begitu juga dengan sikap keterbukaan dan berdialog, beliau yakin bahawa ianya juga mampu berubah jika usaha sebegini rupa dapat dilaksanakan secara konsisten. Seperti apa yang ditekankan oleh kami pada awal artikel ini, dialog adalah proses yang demokratik dan ini perlu dipraktikkan secara meluas bagi menyelesaikan apa-apa konflik. Walaupun begitu, pihak kami juga turut menyuarakan persoalan mengenai inisiatif politik, kerana jika benar hal ini ingin diselesaikan, bukankah hal yang sebenarnya perlu diangkat adalah sesuatu yang bersifat politik dan berkait rapat dengan isu perlembagaan? Dan apakah dialog yang berlandaskan topik yang sensitif seperti ini dapat dijayakan dengan bebas tanpa ada apa-apa sekatan dari pihak penguasa? Begitulah persoalan-persoalan yang masih terngiang di dalam pemikiran kami dan rasanya, dibiarkan sahaja begitu rupa sehingga realiti menunjukkan hal yang sebaliknya. Akhir forum, kedua-dua pihak bersetuju untuk berjumpa secara konsisten bagi memahami dan berharap untuk bekerjasama pada masa yang akan datang. Yang pastinya, kejahilan muncul apabila kebenaran dihalang untuk tersebar. Kejahilan menyelubungi kesedaran rakyat secara umum apabila budaya berdialog tidak dipraktikkan oleh golongan yang berkuasa. Kejahilan merajalela apabila ia menjadi alat utama golongan penindas. Oleh itu, ayuh kita menjadikan dialog sebagai suatu proses ke arah budaya rakyat yang benar-benar demokratik.    ]]>