2014: Bertabahlah rakyat Malaysia!

Jangan lupa ikatan kemanusiaan kita Pertama sekali, buat rakyat Malaysia keseluruhannya. Ingatlah bahawa pada dasarnya, kita semua bersaudara. Ikatan inilah yang membuatkan kita anak warga Malaysia. Tidak kiralah sama ada kita berbeza rupa, warna, fahaman agama, mahupun ideologi kehidupan sekalipun, akhirnya perasaan sayang terhadap negara ini dan rakyatnya yang menakrifkan kita sebagai anak jati Malaysia. Dan ianya tidaklah lebih jelas daripada usaha semua anak Malaysia, dari pelbagai lapisan masyarakat, kaum dan umur yang tampil berganding bahu untuk menolong mangsa-mangsa banjir baru-baru ini. Pasti ramai yang menyaksikan sendiri tubuh-tubuh yang mengerahkan diri tanpa dipaksa, demi belas ihsan terhadap manusiawi dan juga haiwan. Lihat sahaja betapa rencamnya mereka. Kesepaduan dalam kepelbagaian inilah yang membuatkan Malaysia indah. Usah lagi persoalkan persaudaraan kita. Sudah terang lagi nyata, apabila tiba saatnya yang memerlukan, tangan-tangan beraneka warna inilah yang akan menghulurkan bantuan. Kebanyakan daripada mereka langsung tidak mengharapkan supaya mereka dikenali, mahupun ganjaran atau balasan. Di saat ini, segala perbezaan adalah enteng – diketepikan dahulu. Nyawa lebih penting daripada persoalan Muslim Sunni-Syiah, Kristian, Hindu, Buddha, Sikh, lesbian, gay, transgender, konservatif, liberal, ekstremis, imam yang menyokong Hudud, penari dangdut, pekerja asing, pelarian, politik – semuanya wajib diselamatkan dahulu. Anjing dan babi hutan sekalipun. Inilah kemanusiaan, kebaikan yang merentasi segala perbezaan agama dan identiti diri. Majoriti perlukan minoriti Buat rakyat Malaysia yang menganggap diri mereka majoriti di tanah air ini, ketahuilah bahawa anda amat memerlukan warga-warga lain dalam mengharungi cabaran ini dan yang akan datang. Hakikatnya ialah majoriti ini hanya mencecah 50%, dan jauh lagi untuk mengejar status ekonomi 50% masyarakat majmuk yang lain. Bayangkan jika 50% atau lebih daripada pertolongan ini hilang. Atau bayangkan jika mereka tidak pernah wujud, betapa ruginya kebudayaan Malaysia yang telahpun bercampur dan meresap ke dalam kehidupan sehari-harian sehingga mungkin kita sendiri tidak sedar ataupun lupa (roti canai, kain pelikat – semua ini asalnya dari luar Nusantara). Maka hargailah warga-warga yang dianggap minoriti ini. Jangan sesekali mudah terpacul kata-kata yang menghambat pertalian persaudaraan ini. Sebaliknya, cubalah mengenali sesama sendiri. Usah segan bertanya, asalkan santun. Pelajari mana yang baik untuk memajukan diri. Akhirnya rezeki masing-masing hasil usaha, dan bukan dari sikap ketuanan ataupun hak. Tanamkan azam menjelang tahun baru ini untuk berusaha lebih dan memperbaiki diri. Perjuangkan keadilan dan hak bersama. Pelihara hak dan martabat warga minoriti Untuk golongan minoriti, khususnya yang terpinggir. Harapan kami ialah supaya anda dapat hidup dengan martabat kemanusiaan yang setara dengan warga Malaysia yang lain. Prejudis dan kebencian berpunca daripada kekurangan pengetahuan dan persefahaman. Maka teruskanlah usaha anda dalam membina kesedaran, teguhkan hati dan bersabar, kerana ianya mengambil masa. Jangan mudah berputus-asa dengan warga Malaysia. Anda mempunyai hak untuk hidup, dan tidak harus memencilkan diri. Bagi golongan moderat. Walaupun ada kalanya diam itu lebih bermaruah, dan tindakan adalah lebih bermakna, namun ianya tanggungjawab anda untuk bersuara jika berlaku ketidakadilan. Perubahan hanya akan berlaku apabila suara rakyat cukup untuk memperbetulkan keadaan atau menuntut sesuatu yang lebih baik. Anda berhak untuk bersuara, dan keberanian perlu untuk menegakkan kebenaran. Bak kata Edmund Burke, “Kejahatan akan menang hanya apabila manusia-manusia baik berdiam diri.” Berteguhlah rakyat Malaysia! Maka berteguhlah rakyat Malaysia. Yang pasti, kita sendiri perlu lebih bertanggungjawab dalam membentuk negara ini. Untuk mendorong rakyat dan pemimpin kita supaya lebih cakna perihal-perihal penting, kita sendiri perlu beralih dari isu-isu remeh dan menumpukan perbincangan di sana. Pastinya satu iktibar besar kebelakangan ini ialah kepentingan untuk memelihara alam. Apa yang boleh kita lakukan secara persendirian? Ya, sudah wujud NGO-NGO yang menangani isu-isu ini. Yang perlu hanyalah usaha dari kita untuk menyokongnya. Sampai bila kita mahu menuding jari? Penyelesaian terletak di tangan kita. “Jadilah perubahan yang ingin kamu lihat,” kata Gandhi. Mungkin eloklah tahun 2014 ini menutup tirainya. Terlalu banyak perit jerih dan pengajaran yang sukar untuk kita. Moga di ambang tahun baru ini membawa satu nafas baru, harapan baru. Maju dan maju ke hadapan, selangkah demi selangkah anak Malaysia! unnamed

]]>

BFMkupas: Tahun pertama

Bfm Kupas yang dibentang oleh Edry Faizal (setelah mengambilalih daripada Ehsan Shahwahid) mengambil inisiatif untuk mewujudkan suatu ruang wacana atau pendebatan melalui saluran media Youtube. Seperti pengguna media di Malaysia, salah satu program yang paling diminati ramai (walaupun fokus utama mereka adalah penduduk bandar) adalah program ‘The Effing Show’ yang dikendalikan oleh PopTeeVee. Tetapi perbezaan ‘The Effing Show’ dan ‘Bfm Kupas’ adalah pendekatan ataupun penyelesaian yang berbeza, dimana The Effing Show hanya mengutamakan komedi dan menyindir secara tersirat melalui parodi. Bfm Kupas tidak mengutamakan sindiran, tetapi lebih kepada cara-cara alternatif tentang dialog yang harus dibangkitkan oleh penonton video tersebut. Inisiatif seperti ini dilihat sebagai sesuatu yang benar-benar positif kerana alternatif seperti ini bukan sahaja memberi ruang wacana yang baru, malah memudahkan lagi anak-anak muda untuk membincangkan tentang isu-isu yang diutarakan kerana ianya lebih senang untuk dicerna, tanpa paksaan pembacaan artikel ataupun esei yang penuh dengan istilah akademik. Mari kita ambil salah satu video terbaru dari pihak mereka, isu bantahan pembinaan gereja, isu posisi logo halal yang diletak bersebelahan dengan gambar kuil, dan isu ideologi yang dikecam oleh pihak ISMA itu disajikan secara santai dan pengacara di dalam video, Edry mencetuskan pelbagai jenis persoalan yang harus bagi kita sebagai rakyat untuk difikirkan. Seperti kemunculan NGO yang mula aktif di dalam ruang wacana politik, dan mempersoalkan konsep wira yang dipegang oleh bangsa melayu. Menarik untuk diperhatikan apabila persoalan-persoalan yang diutarakan oleh mereka lebih untuk membimbing para penonton untuk meneruskan wacana melalui komen-komen dibawah video, atau mungkin sahaja boleh dibawa ke topik kedai kopi dan sebagainya. Dan memberi ruang ataupun keselesaan untuk rakyat membicarakan setiap isu, walaupun tidak dapat kita nafikan bahawa keberanian untuk berfikir tanpa dorongan itu adalah sebenar-benarnya isu yang harus diutarakan. Membawa perbahasan kritis Barangkali mereka ingin membawa peranan sebagai orang tengah, hanya memainkan seni perbidanan untuk mempersoalkan setiap kata-kata ataupun pernyataan yang dibuat oleh pihak-pihak yang terbabit. Kerana saluran alternatif seperti video di Youtube, lebih senang untuk mengambat hati anak-anak muda, dan lebih bagus lagi ia dapat membantu mereka berfikir dengan lebih kritis dan bertanggungjawab untuk menggunakan pemikiran mereka secara mandiri semasa mencerna berita-berita yang dikeluarkan oleh media. Di dalam masa satu tahun, Bfm Kupas berusaha untuk mengeluarkan persoalan-persoalan yang diperlukan oleh kita semua. Selalunya terdapat tiga isu utama di dalam satu video, dan pengacara berjaya mempersoalkan isu-isu tersebut dengan halus. Episod pertama dikeluarkan semasa berlakunya siasatan ke atas Dr. Kassim Ahmad berdasarkan premis sensitiviti orang Islam di Malaysia. Kemudian diteruskan lagi dengan pernyataan ISMA (Ikatan Muslimin Malaysia) tentang perlunya pihak antarabangsa mengakui keberadaan Melayu sebagai pemilik utama negara ini. Pengacara Ehsan Shahwahid berjaya menyentuh bahagian-bahagian yang menjadikan setiap isu itu beralih menjadi rapuh, dan mempersoalkan kapasiti setiap pihak yang terbabit. Seperti kes Kassim Ahmad, pengacara menyatakan dengan jelas tentang keperluan dialog ataupun sesi debat untuk menyelesaikan segala silap faham ataupun kemelut yang berlaku, kerana suatu proses berdialog selari dengan tuntutan di dalam perundangan Islam, dan lebih elok daripada melakukan persidangan akhbar dan mengecam kesemuanya pihak-pihak yang berlainan pendapat daripada ketetapan dominan yang disokong oleh pihak yang berkuasa. Diteruskan lagi dengan kes pernyataan ISMA, pihak Bfm Kupas dengan jelas menyatakan percanggahan yang ketara, iaitu pengutamaan ISMA terhadap isu kedaulatan bangsa Melayu. Bukankah Islam menjangkaui batasan ras, dan bukankah cinta tuhan melebihi pergelutan ideologi ataupun politik? Tidak lari daripada hal sensitif Pihak Bfm Kupas berjaya menunjukkan (mungkin secara tersirat) bahawa pergolakan yang dihasilkan ini adalah disebabkan pengaruh kuasa, dan mengutip kata Ali Shariati di dalam bukunya ‘Religion VS Religion’, puak yang menyebarkan silap faham dan menghancurkan nilai-nilai agama itu sendiri adalah puak-puak agamawan yang menggunakan agama untuk mengukuhkan pengaruh politik mereka. Mereka memulakan dahulu usaha-usaha yang harus dilakukan oleh kita semua sebagai masyarakat. Iaitu suatu usaha untuk mempersoalkan segala masalah ataupun isu yang disebarkan melalui pihak media. Tidak dapat saya nafikan, memang terdapat segelintir daripada kita yang bersetuju dengan pendapat mereka, bahawa isu-isu disebalik semua ini adalah bersendikan suatu proses pembodohan yang ingin disumbatkan kepada rakyat, tetapi mereka mulai mengambil inisiatif untuk menyuarakan dengan cara yang lebih elok, tidak menuduh, tidak sinikal, pesimistik dan tidak juga membabi buta menyatakan alasan yang bakal menimbulkan segala jenis tidak faham yang tidak diingini. Mereka mengambil jalan tengah, jalan yang hanya membuka ruang untuk kita semua memikirkan segala kemelut yang berlaku ini dengan sendiri, dan bimbingan mereka harus dihargai seadanya. Kerana usaha-usaha sebegini juga harus diteruskan lagi oleh pihak-pihak lain, harus menjangkaui pendirian politik kepartian ataupun batasan bangsa dan agama. Mungkin sahaja segala penat lelah dan kebingungan yang berlaku pada masa ini hanya akan membawa kita ke arah sikap sinikal dan pesimistik terhadap cara-cara bagi menangani masalah-masalah yang ada. Tetapi atas nama kemajuan negara kita sendiri, bukan dari segi pembangunan fizikal ataupun dari pengumpulan harta persendirian, tetapi atas nama kesejahteraan manusia dan mampu mengiringi kita ke kerangka pemikiran yang lebih bagus. Tanpa sandaran kepada mana-mana inisiatif pihak luar, sebaliknya kukuh berdiri di atas kaki sendiri. Pihak mereka melalui usaha-usaha video mereka berjaya menunjukkan bukti bahawa kita sebagai rakyat biasa mampu berfikir secara kritis, suatu kondisi pemikiran yang berjaya menggugat naratif pihak berkuasa yang ingin berselindung disebalik sikap feudalisme, dimana rakyat biasa tidak mampu dan tidak boleh mempersoalkan apa-apa tindakan yang dilakukan oleh mereka. Mereka berdiri di atas dasar amateurism, seperti yang diajukan oleh Edward Said, “…keinginan yang tidak digerakkan oleh keuntungan atau ganjaran tetapi oleh nilai cinta dan minat yang tidak dapat dihilangkan dalam melihat sesuatu isu yang lebih besar dan menyeluruh, mencari hubung kaitnya, dan menolak untuk diikat di dalam suatu bidang kepakaran, dan kasih benar terhadap idea-idea dan nilai-nilai sejagat meskipun dibatasi oleh sesuatu karier.” Peranan utama yang dibawakan oleh mereka bersesuaian dengan objektiviti Projek Dialog dan buat masa ini, ianya satu-satunya platform media yang mempersoalkan niat ataupun agenda disebalik isu-isu sosio-politik melalui laman web youtube. Khas untuk masyarakat tempatan dan tidak disertakan individu yang berpengaruh, barangkali untuk mengelakkan tanggapan bahawa mereka merupakan platform yang berat sebelah. unnamed

]]>

Krismas dan konsumerisme

Semangat Krismas: Keuntungan atau keadilan?  Apabila melihat kepada suasana seperti ini, saya berfikir dengan mendalam bahawa suasana seperti ini akan cenderung menaikkan semangat para pengunjung untuk mengeluarkan duit lebih untuk melakukan pembelian barangan secara berlebihan di mana sesetengah barangan hanya di gunakan pada Krismas sahaja. Selepas Krismas, barangan tersebut akan di simpan di dalam stor ataupun di buang begitu sahaja. Maka secara tidak lansung, wujudnya sikap pembaziran di dalam konsumerisme di mana memberikan keuntungan yang banyak kepada para kapitalis khususnya para pengilang, para peniaga dan juga pengedar produk. Keuntungan para kapitalis akan berlipat ganda pada waktu Krismas di sebabkan permintaan yang tinggi daripada penawaran di pasaran. Oleh itu, sebagai seorang pengunjung kepada pusat membeli-belah, salah satu renungan yang sangat kritikal iaitu “Adakah saya perlu melakukan konsumerisme yang berlebihan semasa Krismas?” Renungan ini sepatutnya di pupuk di dalam pemikiran setiap mereka yang bergelar “konsumer”. Renungan seperti ini sedikit sebanyak membantu dalam pengurangan konsumerisme. Konsumerisme yang semakin meningkat membawa kepada pemusnahan ekologi dan perubahan iklim yang semakin kritikal pada masa kini. Seandainya Bumi tidak di limpahi dengan bahan material, ibu Bumi sudah pasti akan bersukacita dan mengalami kedamaian semasa Krismas dan sudah pastinya Yesus juga tidak akan menggalakkan kepada konsumerisma semasa Krismas. Apakah Yesus akan merasa sukacita apabila melihat segala material yang kita ada semasa Krismas? Apakah material ini menggambarkan maksud sebenar Krismas? Yesus pejuang keadilan melawan penindasan Menyentuh kembali kepada intipati Krismas iaitu kelahiran Yesus Kristus dimana Yesus dilahirkan dalam keadaan serba kekurangan iaitu di dalam sebuah palungan ataupun tempat makanan haiwan di sebuah kandang. Yesus tidak dilahirkan dengan barangan yang mahal tetapi Yesus dilahirkan dalam keadaan kemiskinan di mana menjadi yang termiskin di kalangan orang miskin. Melalui penceritaan ini, maka wujudnya satu renungan tentang bagaimanakah menjadi miskin seperti Yesus, renungan terhadap mereka yang hidup dalam kemiskinan dan tertindas. Paling penting di sini ialah renungan tentang diri sendiri dengan melihat apakah peranan kita dalam mengkongsikan kegembiraan dan kesukaan Krismas kepada mereka yang tidak bersuara dan serba kekurangan untuk mempunyai suatu Krismas yang bermakna. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menghayati dengan lebih mendalam apakah itu Krismas dengan renungan-renungan yang mendalam dan bermakna. unnamed

]]>

Hijab: Antara agama dan budaya

Oleh Afiq Noor Hijab, atau bertudung, merupakan satu amalan yang diterima sebagai sesuatu yang fardhu oleh kebanyakkan kita di Malaysia dan negara-negara Muslim lain. Anjuran untuk berhijab ini disokong oleh dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadith yang menurut saya tidak perlu dihuraikan dengan panjang lebar lagi. Namun saya tertarik untuk membawa perhatian kita kepada perbahasan alternatif seputar isu Hijab yang jarang sekali diketengahkan dalam wacana keislaman di Malaysia. Hijab dalam Al-Quran Anjuran untuk memakai Hijab dapat kita temui di dalam Surah Al-Nuur ayat 31 yang menyatakan: “Katakanlah kepada wanita-wanita mukminah hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau kepada lelaki yang tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya” Dan di dalam Surah Al-Ahzab ayat 59, Allah memerintahkan: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Inilah dasar pijakan hukum yang menjadi asas kepada perintah agar perempuan-perempuan Muslimah untuk menutup rambutnya dan melabuhkan tudungnya sehingga menutupi dada. Aurat berdasarkan fiqh klasik Aurat ditakrifkan sebagai kekurangan atau sesuatu yang memalukan dan mengaibkan dari anggota tubuh badan sekiranya di dedahkan untuk tatapan umum. Menurut Imam Al-Nawawi di dalam Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, aurat diertikan sebagai anggota tubuh manusia yang menurut pandangan umum buruk atau mengaibkan sekiranya diperlihatkan kepada umum dan sekiranya dibiarkan terbuka akan menimbulkan fitnah. Fitnah yang dimaksudkan oleh Al-Nawawi adalah fitnah seksual, oleh yang demikian majoriti ulama’ berpendapat bahawa aurat wajib ditutup. Sekiranya kita meneliti perbahasan fiqh tentang aurat, terutamanya aurat perempuan. Kita akan menemui perbezaan di antara batas aurat perempuan merdeka (Al-Hurrah) dan batas aurat hamba (Al-Amah). Di dalam Mazhab Syafie, batas aurat perempuan merdeka adalah keseluruhan tubuh mereka kecuali muka dan tapak tangan. Bahkan Al-Muzani menambah bahawa tapak kaki perempuan juga bukan termasuk dalam batas aurat yang harus ditutup. Begitu juga pendapat tentang batas aurat perempuan merdeka menurut Mazhab Maliki, walaubagaimanapun menurut Muhammad Bin Abdullah Al-Maghribi sekiranya perempuan merdeka tersebut merasa bimbang terhadap fitnah, maka ia harus menutup muka dan tapak tangannya. Manakala menurut Ibnu Qudamah batas aurat perempuan menurut Mazhab Hanbali adalah keseluruhan tubuh badannya bahkan menurut Abu Bakr Al-Harits, keseluruhan tubuh perempuan adalah aurat termasuklah kukunya. Batas aurat perempuan merdeka dan perempuan hamba Manakala batasan aurat bagi perempuan hamba menurut Imam Al Nawawi boleh dibahagikan kepada tiga pendapat. Pertama, majoriti ulama’ Syafieyah menyatakan bahawa batas aurat bagi perempuan hamba adalah sama seperti batasan aurat lelaki merdeka, iaitu di antara pusat sehingga lutut. Kedua, menurut Al-Thabari batas aurat perempuan hamba sama seperti batas aurat perempuan merdeka kecuali kepala tidak wajib ditutupi. Ketiga, aurat perempuan hamba adalah sama dengan perempuan merdeka kecuali bahagian tubuh badan yang diperlukan untuk membuat kerja seperti kepala, leher dan lengan. Al-Marghinani dalam kitabnya Al-Hidayah Syarh Al-Bidayah menyatakan bahawa batas aurat lelaki adalah sama dengan batas aurat perempuan hamba, perut dan punggung perempuan hamba dan lelaki adalah aurat. Selain dari itu seluruh tubuhnya adalah bukan aurat. Kesimpulan ini dibuat berdasarkan kisah Umar Al Khatab yang telah memerintahkan agar Daffar (seorang hamba perempuan) untuk membuka tudung kepalanya. Umar bertanya kepada Daffar – “Adakah engkau ingin menyerupai perempuan merdeka?” Menurut Al-Marghinani lagi, aurat perempuan hamba tidak sama dengan perempuan merdeka kerana pada kebiasaannya hamba perempuan ini harus keluar dari rumah untuk melunaskan pekerjaan sebagaimana yang diarahkan oleh tuannya. Muhammad Ali Al-Shobuni di dalam Rawa’i Al-Bayan Tafsir Ayat Al Ahkam Min Al Quran senada dengan Al-Marghinani dalam hal aurat perempuan hamba. Menurut beliau perempuan hamba akan terbeban dengan urusan-urusan pekerjaan sehingga terpaksa keluar dari rumah, pergi ke pasar dan memenuhi segala keperluan tuannya. Sekiranya diperintahkan untuk berpakaian seperti perempuan Muslimah merdeka, sudah pasti ia akan menyusahkan dan membebankan hamba perempuan tersebut menyelesaikan urusan pekerjaannya. Sementara itu, Ibnu Hazm di dalam Al-Muhalla’ berpendapat bahawa batas aurat bagi perempuan merdeka dan perempuan hamba adalah sama dalam apa keadaan sekalipun kerana tidak ada dalil dari Al-Quran mahupun Hadith yang menyatakan perbezaan di antara batas aurat perempuan merdeka dan perempuan hamba. Makna aurat berbeza berdasar tafsiran Secara umumnya, sekiranya kita meneliti teks-teks klasik fiqh yang membahaskan tentang persoalan aurat kita pasti akan berjumpa dengan perbahasan-perbahasan tentang perbezaan aurat di antara perempuan merdeka dengan perempuan hamba. Dan perbezaan ini sangat ketara kerana para ulama menyatakan bahawa alasan perbezaan tersebut rata-ratanya adalah untuk memudahkan, keperluan dan mengelakkan kesulitan bagi perempuan hamba tersebut melakukan urusan kerja yang diarahkan oleh tuannya. Ibnu Hajar Al-Asqalani di dalam Fath-Al Bari menyatakan bahawa pakaian (Al-Malabis) adalah berbeza-beza di setiap negeri. Sekiranya kita meneliti dari sudut sejarah dan latar sosial masyarakat arab pada masa tersebut pakaian-pakaian seperti khimar dan jalabib sebagaimana yang disebutkan di dalam Surah Al Nuur ayat 31 merupakan pakaian kebudayaan bagi masyarakat Arab pada ketika itu. Muhammad Tahir Ibn Ashoor di dalam bukunya Maqasid Syariah Al Islamiyah menyatakan bahawa adat kebiasaan sesuatu kaum tidak boleh dipaksakan ke atas kaum lain atas nama agama. Beliau sewaktu menghuraikan Surah Al-Ahzab ayat 59 yang memerintahkan agar isteri-isteri Nabi dan perempuan beriman untuk melabuhkan jilbab mereka sehingga menutupi dada menyatakan – “Ini adalah ajaran yang mempertimbangkan adat orang-orang Arab sehingga bangsa-bangsa lain yang tidak menggunakan jilbab tidak diwajibkan atas syariat ini”. Makna “aurat” bergantung kepada budaya masyarakat dan zaman Tafsiran aurat sendiri begitu subjektif dan berbeza-beza di antara ulama’ walaupun objektif utama penutupan aurat adalah untuk mengelakkan berlakunya fitnah seksual (Khauf Al-Fitnah) terhadap perempuan. Pemahaman terhadap batas anggota tubuh yang membawa keaiban juga berbeza dari setiap tempat dan banyak dipengaruhi oleh keadaan budaya masyarakat setempat. Perempuan, sebagaimana lelaki, mempunyai hak yang sama ke atas tubuh badannya dan berhak diberikan kebebasan untuk memilih pakaian yang menurut pandangannya adalah sesuai dan mampu mengelakkan fitnah. Sekiranya dia memilih untuk bertudung, itu baik untuknya dan sekiranya dia memilih untuk tidak bertudung itu juga baik untuknya. Yang lebih penting ialah mereka memakai pakaian yang terhormat. unnamed

]]>

Harapan untuk 2015 sebagai seorang anak muda Kristian Sarawak

Ahli politik Setelah setahun lebih berlalu sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), saya mendapati politikus lebih gemar mencari masalah lain daripada menyelesaikan masalah rakyat. Jika kita lihat apa yang berlaku sejak Januari lalu, sama ada pemerintah mahupun pembangkang rata-rata banyak kontroversi tercipta berbanding dengan pencapaian. Lantaran itu, mengugat fikiran saya bahawa politik partisan di negara ini seakan-akan menjadi hampir tidak relevan kerana masing-masing mempunyai agenda tersembunyi untuk mengekalkan kuasa serta kekayaan. Janji pilihan raya entah kemana apabila manifesto yang menjanjikan kebajikan rakyat sepatutnya dipatuhi. Ambil contoh; janji menurunkan harga kereta ibarat melepas batuk di tangga, janji memberi BR1M dengan kadar RM1200 terpaksa ditunda kepada RM650 sedangkan di dalam manifesto tidak pula dinyatakan akan dinaikan secara beperingkat-peringkat kepada RM1200. Politikus pembangkang juga tidak kurang hebatnya permainannya dengan media dan rakyat dengan isu Hudud, “Kajang Move”, isu Kidex, isu Menteri Besar Selangor, isu air, isu ‘UMNO celaka’, isu pemilihan parti, demonstrasi sana-sini dan pelbagai lagi isu yang seakan-akan tidak begitu penting bagi meringankan rakyat. Rata-rata, politikus pembangkang sengaja mencipta isu-isu remeh bagi menaikkan populariti mereka. Namun, saya juga mahu memuji usaha segelintir mereka yang benar-benar memperjuangkan nasib rakyat sama ada yang tertindas, terpinggir mahupun hak minoriti. Harapan saya buat semua politikus pada tahun mendatang adalah melihat mereka menjadi lebih produktif. Belajarlah merakyat. Itulah sebabnya saya lebih suka jikalau negara ditadbir oleh ‘rakyat’ yang pernah hidup susah mencari rezeki dan bukannya dikalangan bangsawan seperti ahli perniagaan, agamawan dan nepotisme pemimpin lampau dimana mungkin hidup mereka tidak pernah susah, pelajarannya di luar negara dan makanannya mewah. Ekonomi Malaysia dianugerahkan khazanah alam serta kekayaan semula jadinya yang besar dan luas. Namun, dilanda hutang mencecah RM 605 billion berdasarkan maklumat daripada World Debt Clock. Jurang antara pendapatan rendah, sederhana serta atasan amat jauh dan sudah tentu akan mewujudkan ketidak seimbangan ekonomi. Berdepan dengan nilai mata wang ringgit yang rendah serta kadar inflasi yang tidak menentu pada tahun ini telah membuatkan rakyat banyak yang tertekan. Umum diketahui, banyak sudah harga barang dapur meningkat naik akibat kenaikan harga barang minyak. Adakala, saya melihat peniaga sengaja mengambil kesempatan bagi memeras orang ramai dengan menaikkan harga barangan sesuka hati demi nafsu kekayaan mereka. Saya tidak mempunyai harapan banyak untuk ekonomi bagi tahun 2015, kerana saya tahu GST sudah tentu akan membawa impak maksima terhadap kuasa daya beli rakyat Malaysia. Tiada gunanya GST jikalau inflasi tidak dikawal serta urus tadbir kerajaan persekutuan tidak telus dan golongan pendapatan rendah dan sederhana terus tertekan. Kononnya, GST merancakkan ekonomi serta meningkatkan pendapatan negara, saya berharap agar kerajaan telus melaksanakan sebelum digulingkan dek kemarahan rakyat. Isu golongan minoriti   Saya mengakui setiap sistem pentadbiran negara yang ada mempunyai kelemahannya yang tersendiri. Malaysia yang mengamalkan demokrasi berparlimen turut tidak lepas daripada kekurangannya dalam melayani tuntutan golongan minoriti. Ini tidak kurangnya reaksi dan respon masyarakat majoriti terhadap minoriti dan juga respon kelompok arus perdana terhadap kelompok yang ‘lain daripada yang lain’ dan yang dianggap ‘taboo’. Suara majoriti mungkin benar jikalau ianya memberi kesejahteraan umum kepada semua orang. Suara minoriti juga tidak boleh diabaikan jikalau ianya memberi kesejahteraan umum kepada mereka tanpa merosakkan suara minoriti. Suara majoriti adakala salah jika ianya tidak memberi kesejahteraan umum kepada suara minoriti. Prinsipnya mudah, mengikhtiraf keterlibatan masyarakat tanpa mengira fahaman dan ideologi, menghormati, sering mendengar dan berdialog, menerapkan perilaku menolong yang mendokong, memajukan serta mengembangkan keperluan hak asasi manusia yang saksama dan adil tanpa menjejaskan semua pihak. Tuntas, demokrasi tanpa prinsip kesejahteraan umum dengan mudah berubah menjadi totalitarisme terang-terangan atau terselubung. Saya amat tertarik dengan makalah saudara Uthaya Sankar SB yang bertajuk “Minoriti Perlu Berani”. Apa yang saya dapat simpulkan disini, kelompok minoriti sewajarnya tidak boleh membiarkan diri mereka ditindas dan mereka sepatutnya menjadi agen perubahan jika ingin menuntut hak mereka. Isu Sabah dan Sarawak Tahun 2014 merupakan tahun kebangkitan nasionalis Sabah dan Sarawak. Ini dilihat mereka memanfaatkan sepenuhnya kebebasan bersuara mereka di laman media sosial bagi memperjuangkan isu penting seperti Perjanjian Malaysia 1963, hak autonomi, referendum dan sebagainya bersangkut paut dengan hak Sabah dan Sarawak sehingga mendapat liputan luas media. Ramai anak muda dan golongan ‘celik sejarah’ turut tertarik menyokong usaha nasionalis Sabah dan Sarawak dalam mempersoalkan kembali hasil Perjanjian Malaysia 1963 selama 51 tahun ianya dimungkiri. Bahkan kerajaan Persekutuan juga mengugut untuk mengenakan Akta Hasutan 1948 bukanlah penghalang bagi mereka. Tahun 2015 akan menjadi lebih dramatik dalam perjuangan menuntut status quo Sabah dan Sarawak. Harapan Harapan saya untuk melihat Malaysia lebih baik pada tahun 2015 amatlah dinanti-nantikan. Untuk merubah situasi kepada lebih baik memerlukan kaedah “bottom to up” dimana rakyatlah yang perlu menjadi agen perubahan selain daripada mengharapkan golongan politikus mahupun kerajaan. Persoalan penting adalah mampukah rakyat Malaysia menghadapi cabaran yang bakal ditempuhinya? unnamed

]]>

Surat terbuka untuk Ridhuan Tee

Oleh Afiq Noor Sekiranya saya diberi pilihan untuk meninggalkan prinsip hak asasi dan kebebesan bersuara yang saya percaya, maka saya tanpa ragu-ragu lagi akan menasihati Ridhuan Tee Abdullah untuk diam daripada terus memalukan Islam dan mencemarkan imej agama yang saya cintai ini. Saya membaca respon Ridhuan Tee terhadap surat terbuka yang ditulis oleh 25 mantan pegawai tinggi kerajaan yang antara lain mencadangkan agar Perdana Menteri memberikan perhatian terhadap wacana keislaman dan mempromosikan kepelbagaian pendapat dalam tradisi keilmuan Islam. 25 mantan pegawai tinggi kerajaan tersebut juga mengingatkan kepimpinan Perdana Menteri agar menghormati dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang dasar negara. Ridhuan Tee di awal responnya telah melakukan serangan peribadi terhadap 25 orang mantan pegawai tinggi kerajaan ini dengan tuduhan tidak bersih dan korup serta sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan jawatan mereka. Saya mengingatkan Ridhuan Tee bahawa serangan peribadi seperti ini adalah bercanggah dengan nilai-nilai keislaman serta adab budaya orang Melayu. Sejarah keilmuan Islam mencatatkan bahawa agama ini tidak pernah sunyi dari perdebatan dan perbezaan pendapat. Para ilmuan sehingga kini sering berbeza pendapat dalam berbagai hal dan ini bukanlah sesuatu yang janggal dalam tradisi keilmuan Islam. Adalah mustahil untuk kita memaksakan pendapat kita untuk diterima oleh orang ramai dan begitulah sebaliknya. Tetapi apa yang lebih utama, kita menghormati dan meraikan kepelbagaian pendapat tersebut dengan beradab. Islam bukan agama monopoli Islam bukanlah agama yang eksklusif untuk dimonopoli oleh golongan tertentu sahaja dalam masyarakat. Perbincangan dan perdebatan dalam Islam adalah bersifat inklusif dan memerlukan input daripada ramai pihak. Sikap pihak berkuasa dan golongan agama di Malaysia yang memonopoli agama seolah-olah cukong yang mengawal syarikatnya adalah sangat memualkan dan mendukacita. Sheikh Muhammad Al Nuwaihi, seorang pemikir Arab di dalam bukunya Nahwa Al Tsaurah Fi Al Fikri Dini menyatakan bahawa Islam pada awalnya merupakan agama yang progresif dan revolutionari tetapi ia berubah sifatnya menjadi agama yang menyekat intelektualisme dan pembekuan masyarakat kerana dua (2) hal. Pertama munculnya kelas masyarakat yang memonopoli tafsiran agama yang menurut mereka, hanya mereka yang berhak untuk berbicara tentang agama dan menentukan pendapat dan doktrin yang sesuai dengan Islam. Kedua, keyakinan kelas ini bahawa sumber-sumber keagamaan atau teks memiliki aturan yang mengikat dan tidak boleh dimodifikasi atau diubah baik yang bersifat doktrin atau yang menyentuh kehidupan seharian. Kelas masyarakat yang mendominasi dan mengawal agama ini merupakan sesuatu yang asing dan tidak dikenali dalam tradisi keilmuan Islam. Islam tidak pernah mengakui pengkelasan dalam masyarakat seperti kelas kependetaan. Golongan inilah yang menolak diskusi dan perbincangan ilmiah serta menggunakan pengaruh dan kuasanya untuk melabel orang yang berbeza pandangan dengannya sebagai kafir dan sesat. Justeru Islam dilihat sebagai agama yang kaku dan pegun serta anti-establishment. Al-Wasatiyah Saya juga terpanggil untuk membetulkan kenyataan Ridhuan Tee bahawa Islam bukan agama yang “moderate.” Sedangkan “moderate” atau dalam bahasa arabnya “Al Wasathiyah” adalah diskripsi Allah kepada kita sebagaimana yang dinyatakan di dalam Surah Al Baqarah ayat 143 – “Dan demikianlah kami menjadikan kamu umat yang moderate (Ummatan Wasatha) agar kamu menjadi saksi atas manusia dan Rasul menjadi saksi atas kamu.” Gagasan Al Wasathiyah ini juga turut diakui oleh para ulama’ klasik semisal Al Imam Ibnu Taymiyah, Ibnu Al Qayyim, Al Syathibi dan Ibnu Atheer. Saya tertanya-tanya adakah Ridhuan Tee tidak pernah membaca karya-karya hebat para ulama’ ini yang menyatakan Al Wasathiyah adalah bahagian penting di dalam Islam. Penyimpangan dari prinsip Al Wasathiyah inilah yang menyebabkan berlakunya Irhab Al Fikri atau terorrisme pemikiran yang kesannya jauh lebih bahaya dan boleh membuka pintu kepada terorrisme fizikal atau Irhab Al Hissi. Di Malaysia, kita mungkin tidak punya terorris seperti ISIS dalam bentuk fizikal tetapi pola pemikiran seperti Ridhuan Tee, jika tidak dibendung memungkinkan Malaysia mempunyai ISIS nya sendiri.  

]]>

Minoriti perlu berani

Kelas bimbingan bahasa diadakan di Rumah Kavyan. Kelas bimbingan bahasa diadakan di Rumah Kavyan.[/caption] Di seluruh dunia, golongan minoriti sering diberikan perlindungan khas. Bagaimanapun, hakikat yang amat nyata di Malaysia adalah bahawa golongan minoriti atau marginal sering dipinggirkan, diabaikan, tidak diberikan hak untuk bersuara serta terus-menerus dizalimi. Memanglah ada kes-kes terpencil di mana individu daripada kumpulan minoriti tertentu diberikan peluang dan dijulang tinggi. Bagaimanapun, biasanya individu minoriti terbabit seringkali sudah meninggalkan kumpulan asal (minoriti) dan sudah menjadi penyokong atau pengikut kumpulan teras (majoriti). Sementara itu, kumpulan minoriti masih meneruskan perjuangan menuntut apa yang menjadi hak yang sah di sisi undang-undang. Namun begitu, selalu pula pelbagai alasan diketengahkan oleh kumpulan majoriti untuk terus menindas kumpulan minoriti. Antara alasan yang sering digunakan untuk menakut-nakutkan golongan minoriti adalah perkara-perkara kecil yang sebenarnya tidak menghadkan hak dan peluang sah yang sepatutnya menjadi hak minoriti. Misalnya alasan bahawa tuntutan minoriti akan menjejaskan hak majoriti. Antara golongan minoriti yang dimaksudkan dalam konteks ini termasuk (tetapi tidak terhad kepada) golongan Bukan Islam, bukan mazhab Syafi’i, Bukan Melayu, bukan penutur asli bahasa Melayu serta golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Termasuk dalam kumpulan ini adalah Orang Asal (Orang Asli) dan Bumiputera Bukan Islam di Sabah dan Sarawak. Sesiapa yang bukan ahli atau penyokong (pengampu) Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) juga sering dilayan seperti golongan minoriti. [caption id="attachment_4252" align="alignleft" width="300"]Kumpulan minoriti perlu memperkasakan diri demi mempertahankan hak. Kumpulan minoriti perlu memperkasakan diri
demi mempertahankan hak.[/caption] Kita yang tidak termasuk dalam kumpulan rasis, etnosentrik, pelampau, ultra kiasu dan fanatik dalam soal agama, bahasa, kaum dan politik juga sering dianggap minoriti. Apatah lagi jika kita berfikiran terbuka, plural dan moderat. Begitu juga aktivis dan nasionalis di Sabah dan Sarawak yang menuntut hak. Walau dalam kategori minoriti mana pun kita dimasukkan, ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian bagi memperkasa diri. Hal ini penting bagi memastikan kita dapat mempertahankan hak serta tidak lagi diperlekeh, dihina, diperkotak-katik dan dizalimi kelompok majoriti, kuasawan dan politikus. Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran. Demikian antara kata-kata Mahatma Gandhi yang boleh dijadikan pemberi semangat. Kita sebagai golongan minoriti perlu berani tampil bersuara. Daripada pengalaman dan pemerhatian saya, ramai yang suka bising-bising dan menjerit-jerit di laman rangkaian sosial seperti Facebook. Akan tetapi, apabila diminta memberikan pandangan bagi tujuan penerbitan dalam makalah, mereka terus kecut dan membisu. Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan Sekiranya kita memang berani untuk memperjuangkan hak-hak sah golongan minoriti, maka kita perlu berani bersuara lantang. Manfaatkan Facebook, Twitter, blog dan sebagainya. Beranilah mengirimkan surat pembaca, komen atau pandangan untuk disiarkan di media konvensional dan media alternatif. Keluarkan kenyataan dalam bentuk kenyataan media dan paparan status di Facebook. Apabila bersuara, jangan berselindung di belakang nama samaran atau identiti yang tidak boleh dikenali. Itu adalah tindakan golongan pengecut. Jika kita memang berani bersuara mewakili golongan minoriti, maka lakukan secara berani dan terbuka. Usah berselindung di sebalik identiti yang samar. [caption id="attachment_4250" align="alignleft" width="300"]Kumpulan minoriti perlu memperkasakan diri demi mempertahankan hak. Kumpulan minoriti perlu memperkasakan diri
demi mempertahankan hak.[/caption] Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini. Demikian satu lagi pandangan Gandhi yang menjadi semacam penyuntik semangat kepada saya untuk berani bertindak walaupun apa yang dilakukan mungkin tidak menyenangkan pelbagai pihak. Sekiranya golongan minoriti tidak memulakan langkah, maka perubahan yang diharapkan itu tidak mungkin menjadi kenyataan. Kita sebagai minoriti jangan mengharapkan kumpulan majoriti tampil membantu membawa perubahan yang kita harapkan. Kalau bukan kita yang memulakannya, siap lagi? Apatah lagi dalam isu-isu melibatkan hak golongan minoriti yang tentu sahaja sedaya upaya cuba dipinggirkan golongan majoriti tertentu yang mahu terus berada di atas dan terus-menerus menafikan hak golongan minoriti. Dalam memperjuangkan hak yang sah, golongan minoriti tertindas tidak boleh mengharapkan sokongan dan liputan media arus perdana; media cetak dan media elektronik. Sekadar contoh, golongan Orang Asal tidak boleh mengharapkan Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3, Utusan Malaysia dan Berita Harian untuk memberikan liputan yang menyeluruh, objektif dan mendedahkan masalah sebenar yang dialami golongan minoriti itu. Kalau laporan secara permukaan (surface) yang menjadikan golongan Orang Asal sebagai komoditi tarikan pelancongan, maka bolehlah diharapkan. Walau bagaimanapun, golongan minoriti tidak perlu bimbang kerana capaian media alternatif adalah lebih meluas berbanding media konvensional. Paparan di portal berita dalam talian dan blog juga boleh diakses orang ramai di seluruh dunia. Malah, lebih mudah dikongsikan menerusi Facebook dan Twitter. Senjata utama: Bahasa Malaysia Sejak beberapa bulan lalu, saya mengendalikan kelas bimbingan Bahasa Malaysia bagi sekumpulan aktivis yang disegani dan lantang bersuara. Mereka bukan calang-calang orang kerana mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa. Namun, mereka memilih untuk mengikuti kelas bimbingan Bahasa Malaysia kerana menyedari kepentingan bahasa kebangsaan sebagai medium paling penting untuk melakukan perjuangan pada peringkat akar-umbi. Semangat yang ditunjukkan sekumpulan aktivis ini amat membanggakan dan mengharukan saya. Mereka sedar bahawa tiada gunanya jika Bahasa Inggeris sahaja digunakan untuk mengetengahkan masalah dan perjuangan golongan minoriti di negara ini. Golongan minoriti yang mahu bersuara demi memperjuangkan hak perlu menyedari kepentingan menguasai Bahasa Malaysia; selain bahasa-bahasa lain. Kalaulah kita tidak mampu bersuara menggunakan Bahasa Malaysia, apalah gunanya kita menggelarkan diri kita sebagai warganegara Malaysia [caption id="attachment_4251" align="alignleft" width="300"]Datuk Ambiga sedia belajar semula untuk menguasai Bahasa Malaysia. Datuk Ambiga sedia belajar semula untuk
menguasai Bahasa Malaysia.[/caption] Janganlah kita menjadi seperti majoriti politikus, menteri dan timbalan menteri yang tidak mencintai serta tidak menguasai Bahasa Malaysia. Sebagaimana kita mentertawakan, memperkecilkan dan mengabaikan politikus terbabit, begitulah juga orang ramai akan memandang kita jika kita tidak mampu berkomunikasi menggunakan bahasa kebangsaan. Golongan minoriti juga perlu bersatu. Walaupun pelbagai kelompok minoriti berdepan dengan masalah, hambatan, kezaliman dan penindasan yang berbeza daripada kelompok majoriti yang berbeza, aspek bersatu dan bergabung perlu diutamakan. Contohnya, golongan minoriti Orang Asal serta penduduk asal Sabah dan Sarawak wajar bergabung bagi mempertahankan hak yang sah di sisi undang-undang. Minoriti Kristian dan minoriti Hindu yang sering dituduh menyebarkan ajaran agama menerusi bahan bacaan Bahasa Malaysia boleh bersatu memperjuangkan hak menggunakan bahasa kebangsaan. Bagi mengukuhkan kesatuan, satu-satu kelompok minoriti perlu juga tampil membantu dan bersolidariti dengan kelompok minoriti lain. Misalnya minoriti yang sering ditindas kerana identiti jantina boleh bersolidariti dengan minoriti yang ditindas kerana perbezaan mazhab atau jantina. Percayalah, jika para minoriti yang memperjuangkan hak daripada ditindas mampu bergabung tenaga dan suara, maka minoriti akan dapat mengatasi kuasa majoriti yang sudah terlalu lama melakukan penindasan. Lihat sahaja bagaimana Sisters in Islam (SIS) mampu bergabung tenaga dengan pelbagai kumpulan minoriti lain untuk sama-sama berjuang demi hak yang sah. Ketidaksatuan antara kumpulan minoriti sebenarnya dijadikan salah satu senjata oleh kumpulan majoriti untuk meneruskan penindasan dan ketidakadilan secara sedar atau tidak sedar, secara terancang atau tidak terancang. Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini. Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran. Minoriti perlu memperkasakan diri untuk mencapai hasrat itu. unnamed

]]>

Kemerdekaan agama dan masyarakat Ahmadiyah: Suatu Tumpuan Kes

Kemeredekaan Kemerdekaan digunakan dalam makalah ini dengan merujuk erti yang diberi oleh Kamus Dewan (2000, halaman 883) iaitu ‘perihal bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan’ dan ‘lepas daripada tebusan, tuntutan’ yang mana merdeka juga dimaknakan sebagai ‘berdiri sendiri’ dan ‘tidak bergantung pada yang lain’. Hari ini kemerdekaan beragama sering disalahertikan sebagai mengiktiraf kepercayaan atau kebenaran lain. Untuk penganut Islam, hal ini menjadi taboo kerana ia dikaitkan dengan keimanan. Mereka, umat Islam amat bimbang jika, sebagai contoh, mengiktiraf kesetaraan agama Hindu dan Islam. Mereka berpendapat hal ini boleh mengakibatkan kerosakan atau kecacatan akidah Islam. Dalam ruang hak asasi manusia sebenarnya, yang ‘merdeka’ adalah manusia, bukan agama atau kepercayaan itu. Itulah puncanya, kemerdekaan BERagama, diberi penekanan kepada imbuhan ‘Ber’. Ia juga bermaksud kemerdekaan BERagama bukan bermaksud kemerdekaan dari agama. Dari segi bahasa, awalan ber- mempunyai beberapa makna, antara lain: (a) mempunyai; berayah = mempunyai ayah atau beribu   = mempunyai ibu Oleh itu beragama adalah mempunyai agama. Kemerdekaan beragama adalah kemerdekaan untuk mempunyai agama. (b) menggunakan; berpayung = menggunakan payung atau bertongkat = menggunakan tongkat Oleh itu beragama adalah menggunakan agama. Kemerdekaan beragama adalah kemerdekaan untuk menggunakan agama, dalam hal ini misalnya untuk melakukan ritual atau ibadah. (c) mengeluarkan atau menghasilkan; berbunga = mengeluarkan bunga atau bertelur = menghasilkan telur Oleh itu beragama adalah menghasilkan agama. Kemerdekaan beragama adalah kemerdekaan untuk mengeluarkan agama dari dalam diri, dalam hal ini misalnya untuk menghasilkan produk berkaitan agama. (d) mengusahakan; bersawah = mengusahakan sawah atau berkedai = mengusahakan kedai Oleh itu beragama adalah mengusahakan agama. Kemerdekaan beragama adalah kemerdekaan untuk mengusaha atau membangunkan agama, dalam hal ini misalnya untuk memberdaya, atau memajukan agama. (e) mengucapkan; berdoa = mengucapkan doa atau berjanji = mengucapkan janji Oleh itu beragama adalah mengucapkan agama. Kemerdekaan beragama adalah kemerdekaan untuk mengucapkan agama, dalam hal ini misalnya untuk melafaz ajaran agama. (f) menunjukkan sikap; berkasar = menunjukkan sikap kasar atau berlembut = menunjukkan sikap lembut Dalam hal ini beragama adalah menunjukkan sikap agama. Kemerdekaan beragama adalah kemerdekaan untuk memaparkan sikap agama masing-masing, dalam hal ini misalnya untuk menunjukkan sikap sesuatu agama dalam satu-satu isu. (g) dalam keadaan; bergembira = dalam keadaan gembira atau berduka = dalam keadaan duka Dalam hal ini beragama adalah merujuk kepada sifat agama itu sendiri. Kemerdekaan beragama adalah kemerdekaan untuk mensifati agama masing-masing, dalam hal ini misalnya untuk menunjukkan sifat kasih-sayang agama dalam mendepani kebencian. (h) ada sesuatunya; berbahaya = ada bahayanya atau berduri = ada durinya Sekali lagi beragama penting untuk merujuk kepada kesesuatuan agama itu. Kemerdekaan beragama adalah kemerdekaan untuk mensesuatukan agama anutan masing-masing. Dalam hal ini beragama berperanan untuk menunjukkan manfaat dan ciri khas agama atau kepercayaan masing-masing. Kemerdekaan agama bukan persamaan semua agama Justeru, kemerdekaan beragama bukan lah bermaksud persamaan agama atau kepercayaan. Perihal ‘sama’ merujuk kepada sifat-sifat. Adalah mustahil semua agama ‘sama’. Konsep kemerdekaan BERagama meraikan kesetaraan BERagama. Setara dalam hal ini adalah setanding. Ini juga bermakna yang ditangani dan diuruskan di sini adalah manusia dan hak BERagama. Justeru, yang ditangani dan diuruskan bukan agama. Sebelum memahami kekangan yang dialami minoriti agama Ahmadiyyah, wajar difahami apakah yang dimaksudkan dengan agama menurut piawai antarabangsa. Definisi agama sangat luas meliputi kepercayaan, panduan baik dan buruk atau moral yang turut merangkumi kepercayaan yang bertuhan, yang tidak bertuhan dan tiada kepercayaan. Dalam sudut pandang hak asasi manusia, sesebuah kerajaan perlu mengiktiraf kemerdekaan agama dan kepercayaan. Sekiranya atas sesuatu alasan keagamaan atau ideologi, sesebuah kerajaan enggan mengiktiraf sesuatu ajaran itu sebagai agama, kerajaan masih bertanggungjawab untuk mengiktirafnya sebagai satu kepercayaan (belief). Sesebuah minoriti agama itu terikat oleh solidariti sesama mereka untuk mempertahankan budaya, tradisi, agama atau bahasa. Adakah pengikut sekte atau kultus tertentu juga ikut diiktiraf sebagai minoriti agama? Apakah bezanya Syiah sebagai satu sekte atau mazhab dengan Ahmadiyyah? Sekte dan kultus Sekte adalah satu pecahan atau kumpulan dalam agama atau tradisi sedia ada, yang menuntut dan mengikat pengikutnya dengan satu standard yang sesuai; eksklusif dari segi ‘keahlian’; yang mana ia berlainan dari kumpulan besar yang sedia ada; sekte juga mendakwa memiliki kebenaran berbanding kumpulan besar tersebut. Dalam hal ini Syafie, Hanafi, Maliki, Hanbali dan Ja’fari mengikat pengikutnya dengan satu standard fikah yang sesuai menurut masing-masing; bersifat eksklusif dan mempunyai pegangan hukum tersendiri. Dalam hal Syiah sebagai sebuah mazhab yang lebih umum, terdapat perbezaan-perbezaan mendasar yang antara lain adalah menerima kepimpinan Saidina Ali sebagai pengganti Rasulullah saw. Ahmadiyyah walaubagaimanapun mempunyai ciri-ciri sebuah kultus. Menurut Lawrence S Cunnibgham dan John Kelsay dalam buku mereka The Sacred Quest: An Invitation to the Study of Religion, tiga ciri sesebuah kultus adalah; i) ia diasaskan oleh seorang tokoh berkarisma yang mana kewibawaannya menjadi perhatian pengikutnya, dan juga di mana tokoh tersebut menjadi sumber untuk ajaran-ajaran kultus itu; ii) terdapatnya dakwaan pewahyuan daripada Tuhan yang memberi perspektif baharu kepada sesebuah tradisi atau agama sebelumnya, samada dalam bentuk merubah atau menyempurnakan agama atau tradisi tersebut; iii) kultus pada permulaannya, atau sepanjang kewujudannya dicurigai oleh komuniti dominan sedia ada dan kesan dakwaan pewahyuan tadi mengakibatkan terbitnya tuduhan sesat, atau menghina agama atau tradisi sedia ada. Pada 18 Jun 1975, kerajaan melalui Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengumumkan bahawa ajarah Ahmadiyah merupakan ajaran yang diharamkan dan bukan ajaran Islam. Ekoran dari itu Kerajaan Negeri Selangor melalui mesyuarat Jawatankuasa Undang-undang Fatwa Negeri Selangor pada 25 November 1975 turut mengharamkan ajaran Ahmadiyyah dan menetapkan pengikutnya sebagai bukan Islam. Lebih dua dekad kemudian, melalui pewartaan Fatwa Tentang Ajaran Ahmadiyah/Qadiani pada 24 September 1998, pengikut-pengikut Ahmadiyyah telah ditetapkan sebagai kafir. Kemudian pada 17 Ogos 2001, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah menggariskan secara lengkap hal-hal yang berkaitan dengan pengikut ajaran ini. Oleh kerana pengikut Ahmadiyyah telah dianggap bukan Islam maka terdapat beberapa implikasi berkaitan dengan undang-undang keluarga Islam yang perlu diberi perhatian. Kecaman dan penindasan Dalam hal ini, Azharudin Mohamed Dali, pengkaji dari Universiti Malaya dalam makalah beliau “Gerakan Ahmadiah (Qadiani) Di Malaysia: Satu Sorotan Sejarah” menjelaskan terdapat banyak hak-hak pengikut ini tergugur dengan sendirinya, khusus melibatkan hal nikah kahwin dan pewarisan apabila mereka dikafirkan: Ini termasuklah menjelaskan bahawa pengikut ajaran ini diistilahkan sebagai telah murtad atau keluar dari Islam hingga boleh membawa akibat sama ada dari hukum syarak mahupun sivil iaitu, perkahwinan orang tersebut boleh dibubarkan dengan pengesahan Mahkamah Syariah mengikut seksyen 46 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 1984. Orang tersebut tidak boleh menjadi wali dalam akad nikah anak perempuannya; orang tersebut tidak boleh mewarisi harta peninggalan kerabat kerabat Muslimnya; dan orang tersebut tidak berhak untuk mendapatkan apa-apa keistimewaan yang diperuntukkan kepada orang Melayu di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Negeri. Sekiranya hak-hak tersebut telah diberi, dinikmati atau diperolehi oleh orang tersebut, ia hendaklah terhenti dari berkuatkuasa dan bolehlah dilucut, ditarik balik dan dibatalkan, mengikut mana berkenaan, oleh pihak yang berkuasa yang berkaitan. Untuk bersikap adil, perlu dinyatakan di sini yang makalah tulisan Azharudin Mohamed Dali di atas agak sendeng untuk mensesat dan menidakkan keIslaman pengikut Ahmadiyyah. Pakar perlembagaan Profesor Shad Saleem Faruqi menegaskan sebagai ‘bukan Islam’, pengikut ajaran ini masih perlu dilindungi hak-hak kemerdekaan beragama mereka: “Every religion has its own jurisdiction to ‘excommunicate’ deviant followers, but in this case [Ahmadiyah] it should be a matter of last resort since the implications are devastating…as the law was concerned, the Ahmadiyya should enjoy constitutional protection for their freedom of religion if they are considered non-Muslims. But if they want to declare themselves Muslim and follow their version of the faith, then the superior courts will defer to the syariah courts.” Oleh kerana makalah ini bukan berpusat dalam bidang teologi dan hanya berminat membincangkan isu kemerdekaan beragama, maka benar atau sesatnya kelompok Ahmadiyyah diketepikan di sini. Makalah ingin menghujahkan kedudukan pengikut Ahmadiyyah yang mengalami diskriminasi dan pelanggaran hak asasi manusia. Sebagai ‘bukan Islam’, minoriti agama Ahmadiyyah masih kerap menerima gangguan walaupun tidak sekerap dan sekeras yang dialami oleh minoriti Syiah. Sebagai contoh, Jabatan Agama Islam Selangor telah mengeluarkan notis larangan mengerjakan sembahyang Jumaat di Baitussalam berlokasi 11A, Jalan Nakhoda Kanan, Kampung Nakhoda. Surat bertarikh 24 April 2009 ini mendorong pengikut Ahmadiyyah menyewa sebuah ruang kedai di nombor 16-2, Dolomite Park Avenue di Jalan Batu Caves untuk mengerjakan sembahyang Jumaat. Pada 11 April 2014, satu serbuan telah dilakukan yang menyebabkan 37 orang dimuatkan dalam sebuah lori untuk disiasat dan ditahan di Shah Alam. Salah seorang dari mereka, iaitu Encik Ainul Yakin Muhammad Zain telah diminta hadir ke mahkamah syariah pada 23 Oktober 2014. Hal ini ternyata mengelirukan memandangkan secara fatwa, beliau bukanlah seorang Islam. Ini bukanlah kali pertama beliau ditahan Jabatan Agama, pada 17 April 2009, beliau diundang memberi ceramah agama di Masjid Othmaniah Perlis. Dalam majlis tersebut, beliau telah ditahan dan kemudian dilokapkan selama 3 hari tanpa diberitahu sebab-musabab beliau ditahan. Masyarakat Ahmadiyah harus dipertahankan Kes yang melibatkan minoriti Ahmadiyyah menunjukkan kedudukan minoriti agama di Malaysia mengalami gangguan kemerdekaan beragama yang serius. Meskipun jumlah pengikut Ahmadiyyah adalah kecil di negara ini tetapi hak-hak kemerdekaan beragama untuk mereka mestilah diberikan dan tidak dientengkan. Mereka malah dinafikan sebagai seorang Islam dan kehilangan status dalam masyarakat. Kemerdekaan beragama adalah komponen paling utama dalam mencapai kebahagiaan dan kerukunan dalam masyarakat. Oleh kerana itu, perlu difahami yang kesejahteraan rakyat tidak selalunya identik dengan kemakmuran negara. Kesejahteraan orang kecil tidak dapat dicapai jika bahagian masyarakat yang paling dominan melakukan pemomokan dan pembulian terhadap kumpulan kecil. Pemomokan adalah satu bentuk untuk meminggir dan meninggalkan bahagian yang ada dalam masyarakat; tentu ia bukan gagasan yang ingin diutarakan oleh pemerintah. Pemomokan dan pembulian terhadap komuniti agama tertentu di Malaysia memberi gambaran sistem yang ada di Malaysia adalah pincang. Pemomokan ialah apabila berlaku empat perkara; iaitu ketika i) ahli masyarakat yang dominan bertindak membeza dan melabel kumpulan tertentu; ii) pelabelan ini, dalam konteks ini adalah minoriti agama, ditanggapi sebagai ‘sesuatu yang tidak dikehendaki’; iii) seterusnya pihak atau sasaran yang dilabel mengalami pengasingan; iv) dan pengasingan itu, membawa kepada pihak yang dilabel kehilangan status dalam masyarakat secara tidak adil. Apa yang dialami oleh minoriti Ahmadiyyah setelah dilabel sesat dan kafir ternyata menjurus kepada pengasingan sehingga mereka kehilangan status dan hak yang mesti. Untuk membaiki keadaan ini kerajaan perlu segera menandatangani International Covenant on Civil and Political Rights dan menyertai masyarakat antarabangsa. Hal ini sangat mendesak apatah lagi Malaysia kini adalah anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. unnamed

]]>