Jurang kemewahan dan makna Raya

Oleh Hamizah Hanan Setiap tahun, Aidilfitri disambut dengan penuh suka cita, tidak kira apa jenis latar belakang sekalipun. Persiapan dilakukan berbulan sebelum datangnya Syawal atau dikenali dengan kata lain sebagai ‘hari kemenangan’. Di samping didendangkan dengan lagu-lagu raya yang berkumandang di corong radio, pusat membeli belah mula dibanjiri dengan manusia dan dapat dilihat pelbagai promosi jualan yang dijalankan. Ada yang mula memasak pelbagai juadah dan mengemas rumah. Hal ini berlaku adalah disebabkan Aidilfitri ini juga didefinisikan sebagai hari ‘serba baharu’. Hari Raya, pesta membeli-belah Baik dari segi pakaian, perkakas rumah, hisasan rumah, makanan dan pelbagai lagi, hampir semua perlu ditukar dek kerana ingin selari dengan konsep serba baharunya itu. Persiapan yang dilakukan menelan ratusan ringgit dan mungkin juga ribuan ringgit. Sehinggakan ramai yang tidak menyedari bahawa mereka sudah terjebak dengan pembaziran dan semua ini dilihat seperti suatu yang dibenarkan hanya dengan alasan ianya dilakukan sebagai suatu ibadah. Hal ini lebih jelas lagi kelihatan natijahnya apabila dikaitkan dengan nafsu sedikit demi sedikit dipendam selama setahun ini dan ditambah ‘pemangkin’ bulan Ramadan selama sebulan. Kemudiannya, keinginan yang dipendam itu dilepaskan secara sekali gus, ibarat satu momentum yang kuat bersempena hari raya yang merupakan hari bergembira. Menjelang hari raya, ramai sanak saudara yang akan pulang ke kampung halaman. Berkumpul setelah setahun tidak berjumpa dan kali ini bercuti meluangkan masa bersama untuk menyambut hari raya. Di sinilah pertemuan dengan sanak saudara baik yang jauh atau dekat, yang rapat ataupun yang jarang-jarang kelihatan. Hari raya yang bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim, disambut beramai-ramai dengan sederhana ini boleh bertukar rupa sebagai sebuah pesta untuk bertanding dan menunjuk-nunjuk. Jurang pendapatan, jurang Raya Yang kaya akan bergaya dengan serba-serbi baru sehinggakan melupakan masyarakat yang miskin dan tidak bernasib baik. Yang kurang berkemampuan ini hanya akan menyambut perayaan dengan apa yang ada. Malahan kepada anak-anak keluarga yang kurang berkemampuan, mereka akan mula bertanyakan kepada ibu bapa mereka tentang, ‘mengapa mereka tidak dapat merayakan hari raya seperti anak orang kaya?’ seperti mana yang mereka lihat anak-anak jiran yang pulang ke kampung ketika hari raya. Bukan itu sahaja, budaya pemberian duit raya juga memberikan impak yang mendalam. Jurang perbezaan kelihatan ketara apabila anak-anak orang kaya memperoleh sejumlah duit raya yang lumayan. Manakala, kepada anak-anak orang miskin ini, mereka hanya mendapat beberapa ringgit sahaja. Lama kelamaan budaya yang diterapkan semenjak kecil ini akan membuahkan masyarakat yang mementingkan diri dan kelak membentuk moral yang rendah. Apa makna raya sebenarnya? Hari raya dirayakan dengan pelbagai perkara yang mementingkan rupa dan persembahan yang kebanyakkannya bersifat dangkal. Semangat dan makna disebalik apa yang dilakukan semakin luntur. Lebih malang lagi apabila generasi yang seterusnya hanya dapat menginterpretasi apa yang dilihat amatlah bersifat superficial dan dijadikan sebagai sebuah budaya yang dilakukan saban tahun tanpa mendalami makna disebaliknya. Agama yang sifatnya adalah intrinsik (mendalam) juga mahu ditafsirkan dan dimenifestasikan ke dunia realiti secara extrinsik (luar). Hakikatnya manusia malu, takut dan gentar untuk memikul tanggungjawab sendiri atas apa yang dilakukan. Segalanya memerlukan alasan agama untuk menjustifikasikan setiap perbuatan mereka. Bermula dari pemendaman keinginan, nafsu, penahanan emosi dan diri sendiri sehinggalah ke tahap menghalalkan segala perbuatan pembaziran, bermegah-megah, bersuka ria dan pelbagai lagi. Padahal awalnya mereka sendiri sudah mengiktiraf yang dia berkuasa atas dirinya sendiri. Akhir kata, beribadahlah dengan sifat yang bersederhana. Kemeriahan hari raya Aidilfitri disambut dengan tidak meninggalkan makna disebaliknya dan juga tidak melupakan orang-orang yang dalam kesusahan. Setiap perbuatan yang baik itu haruslah datang dari dalam diri tanpa diantarakan dengan agenda lain mahupun alasan lain. Soalnya, adakah setiap kebaikan yang kita lakukan itu memerlukan sebab agama? Tanyakan pada diri kita, adakah kita akan melakukan kebaikan jika itu bukan suruhan sesiapa pun.         unnamed  

]]>

Pesanan Hari Raya Projek Dialog

n, sukar sekali untuk melangkaui Ramadhan kali ini tanpa memikirkan tentang saudara yang sedang sengsara. Sepanjang bulan ini, sedang kita berpuasa menahan diri, pelbagai peristiwa di dunia yang menjadi tragedi. Terhempasnya pesawat MH17 membawa kesedihan, pembunuhan di Gaza membawa penderitaan. Lagi konflik-konflik bersenjata di seluruh dunia membawa derita buat manusia, atas tindakan manusia. Aidilfitri tiba buat kita merayakan fitrah. Fitrah insan yang berkedudukan mulia diiktiraf Tuhan serta diberi amanah mentadbir alam agar jadi sejahtera dengan teras keadilan dan keamanan. Jelas amanah ini bukan mudah. Adakah Aidilfitri kali ini selayaknya kita menyambut kejayaan, sedang di pelbagai pelusuk dunia, tangisan masih berlinangan, rintihan kesedihan masih kedengaran? Sempena perayaan kali ini, disebalik kegembiraan hari-hari keraian bersama seisi keluarga, sanak-saudara dan sahabat handai, sebaiknya kita merenung fitrah kita sebagai insan. Sejauhmana kita telah berperanan dalam mencipta kejayaan sebagai manusia? Sesungguhnya perjalanan dan perjuangan kemanusiaan itu masih panjang. Projek Dialog, dengan semangat persaudaraan, memohon kemaafan berserta harapan kesejahteraan buat semua, demi dunia yang lebih aman, demi manusia yang lebih kemanusiaan. Selamat Hari Raya Aidilfiti.

]]>

Renungan Raya: Islam dan keadilan

Teori keadilan dalam Islam Dalam Al-Quran, ungkapan keadilan juga termaktub dalam banyak ayat. Kadangkala ada ayat mengaitkan antara keadilan dengan ketauhidan. Ia dapat dilihat dalam surah Ali-Imran, ayat ke 18. Tauhid merupakan asas bagi Islam, sedangkan keadilan pula dikaitkan dengan ketauhidan itu. Apabila digabungkan antara tauhid dan keadilan, tidak bermakna keadilan itu perkara aqidah, tetapi menafikan elemen keadilan dalam aqidah adalah sesuatu perkara yang wajar dipersoalkan. Jika tidak, mengapa Tuhan yang maha Bijaksana itu menggabungkan keadilan dan tauhid. Rata-rata umat Islam mengenali keadilan sebagai meletakkan sesuatu pada tempatnya. Definisi keadilan ini, tidak diketahui siapa yang berikan, namun definisi ini amat popular sehingga dianggap sebagai definisi sakral. Al-Qaradawi dalam satu wacana Al-Syariah wa Al-Hayat yang boleh didapati dalam youtube, mencadangkan definisi yang lain bagi keadilan. Bagi beliau, keadilan itu adalah memberikan hak kepada yang berhak. Beliau mengemukakan definisi itu kerana merujuk kepada hadis saheh bahawa Nabi Muhammad SAW ada menyatakan bahawa tugasan seseorang manusia adalah memberikan hak kepada yang berhak, sama ada hak mata, iaitu dengan tidur; hak badan, diberikan waktu berehat; hak isteri, diberikan masa berkeluarga dan bersetubuh dan berbagai-bagai lagi. Jika dalam soal mata yang mengantuk pun punyai hak keadilan, sudah pasti perkara yang lebih besar juga perlu hak keadilannya. Di kalangan sarjana muslim lain, seseorang bernama Dr Abd Rab Al-Nabi telah menulis sebuah tesis bertajuk “Nazariyah Al-muwazanah Baina Al-Manaf’ wa Al-Madhar“. Beliau menyatakan bahawa keadilan itu adalah perimbangan antara maslahah dan mafsadah. Maslahah diterjemah oleh para sarjana dengan pelbagai tafsiran. Ada yang menterjemah sebagai manfaat, kelazatan dan elemen yang membawa kepada manfaat dan kelazatan itu. Begitu juga makna mafsadah: ada di kalangan sarjana muslim menafsirkan ia sebagai keburukan, kejahatan, kerosakan, kesakitan dan elemen yang boleh membawa kepada keburukan, kerosakan, kejahatan dan kesakitan. Perimbangan Apabila disebut sebagai maslahah dan mafsadah, sudah pasti ada sedikit kesamaran dalam pemikiran bagi mereka yang mahu berfikir. Ini kerana, kehendak di suatu tempat dianggap sebagai maslahah, tetapi tidak bermakna ia adalah sesuatu yang maslahah di tempat yang lain. Sesuatu yang dinilai sebagai maslahah di suatu ketika masa, tidak semestinya ia adalah maslahah di suatu ketika masa yang lain. Begitujuga dalam menilai mafsadah. Ekoran itu, terdapat perbincangan dalam satu tajuk dalam pemikiran Islam yang dinamakan sebagai fiqh muwazanat – iaitu kefahaman secara mendalam tentang perimbangan- apa yang dinamakan sebagai perubahan hukum berdasarkan masa, tempat dan situasinya. Dengan kata lain, kemaslahatan dan kemafsadatan tidak boleh dilihat secara statik atau sawabit, tetapi hendaklah dilihat secara non statik, atau mutaghayyirat. Kepentingan konteks Contoh dari sudut masa adalah, seseorang berdiri di tengah jalanraya di sesebuah kampung pada pukul 4 pagi, ia tidak menghasilkan mafsadah kepada orang lain, seperti jem, menyusahkan laluan orang lain dan sebagainya. Tetapi ia akan mendatangkan mafsadah jika dia berdiri di jalan raya yang sama pada pukul 8 pagi, iaitu saat orang bergegas mahu pergi kerja. Ekoran itu, dianggap sesuatu yang adil bahawa dalam pendapat imam Al-Syafie yang menfatwakan keizinan memiliki tanah yang diterokai tanpa mendapat geran dan surat keizinan dari pemerintah, kerana fatwa itu dikeluarkan di saat banyak tanah yang gagal dimajukan. Jika fatwa itu mewajibkan geran dan surat keizinan pemerintah untuk pemilikan tanah yang diterokai, sudah pasti tanah itu tidak akan dapat dimajukan oleh rakyat dengan alasan punyai birokrasi yang menyusahkan mereka. Namun fatwa itu tidak lagi diamalkan oleh ulama-ulama dalam mazhab Al-Syafie selepas itu. Ini kerana, perebutan pemilikan tanah sudah berlaku, maka sudah pasti mensyaratkan mendapat keizinan dari pihak pemerintah adalah satu keperluan. Contoh dari sudut tempat pula, seseorang yang buang air besar di khalayak ramai boleh dianggap sebagai melakukan mafsadah berbanding orang yang buang air besar dalam jamban. Orang yang buang air besar di tempat buang air kecil boleh dianggap sebagai melakukan mafsadah, sedangkan orang yang membuang air kecil di jamban membuang air besar boleh dianggap sebagai tidak melakukan mafsadah. Ekoran itu, Imam Abu Hanifah mengizinkan berlakunya penghakiman dengan penyaksian dari orang yang tidak diketahui keadaannya, kerana dengan merujuk kebiasaan orang pada era zaman Tabiin dan Tabii Al-Tabiiin yang terbiasa dengan keadilan, malahan ketika itu amat sukar untuk mencari orang zalim dalam kehakiman. Fatwa ini berubah pada era dua ulama dalam mazhab beliau, Al-Imam Abu Yusuf dan Al-Imam Muhammad disebabkan di zamannya tersebarnya kefasikan dan penipuan. Contoh dari sudut situasi pula seperti seseorang yang berceramah di hadapan kanak-kanak tadika tentang kegawatan ekonomi adalah sesuatu yang tidak mendatangkan maslahah, tetapi ia amat mendatangkan maslahah jika ucapan yang sama dilantunkan di hadapan ahli – ahli ekonomi. Ekoran itu, Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mengizinkan orang muda dari mencium isterinya ketika dia sedang berpuasa kerana bimbang keizinan itu boleh membawa kepada persetubuhan dalam bulan Ramadan, sedangkan Nabi SAW mengizinkannya kepada orang tua. Apabila Nabi Muhammad SAW ditanya, Baginda SAW menjawab bahawa orang tua itu boleh menahan dirinya. Dengan itu, meletakkan sesuatu itu dengan imbangan maslahah dan mafsadah ini merupakan keadilan menurut kupasan Dr Abd Rab Al-Nabi. Wahyu Ada sebilangan orang pihak islam menyatakan keadilan hanya tercapai dari sumber wahyu Islam sahaja, tidak dari sumber lain. Dakwaan ini tidak tepat. Hujahnya adalah, jika benar keadilan itu hanya tercapai melalui wahyu sahaja, sudah pasti keadilan tidak akan berlaku pada kalangan orang bukan Islam. Keadaan ini amat bercanggah dengan konsep Nabi, bahawa Baginda pernah mengakui keadilan Raja Habshah yang ketika itu beragama Kristian sehinggakan menyuruh para sahabat yang ditindas oleh pembesar Mekah agar berlindung di bawah kerajaan Raja Habshah itu. Dakwaan itu boleh dianggap tidak tepat juga, kerana dalam Al-Quran bahawa Allah pernah menyatakan bahawa Dia tidak akan membinasakan ahli sesebuah kerajaan secara zalim, jika ahli kerajaan tersebut saling melakukan islah (kandungan islah adalah kejayaan imbangan maslahah dan mafsadah). Hal ini dibahas oleh Al-Imam Fakhr al-Din Al-Razi dalam kitab Mafatih Al-Ghaib dan Al-Qaradawi dalam kitab Duar al-Qiyam wa al-Akhlak fi al-Isqtisad al-Islami, iaitu ketika membahaskan ayat ke 117 dari Surah Hud. Jika dianggap bahawa keadilan hanya tercapai melalui wahyu sahaja, sudah pasti Quran tidak akan memuji kebaikan kerajaan Saba’ yang diperintah oleh Ratu Balqis yang ketika itu belum beragama Islam lagi. Pihak mereka mahu mengukuhkan lagi pendapat mereka dengan mendakwa bahawa syirik adalah kezaliman yang paling besar, makanya orang yang tidak beragama islam sudah pasti tidak dapat melaksanakan keadilan. Dakwaan ini tidak tepat. Ini kerana, soal syirik adalah soal kepercayaan yang ia tidak memberi implikasi buruk pada keadilan yang berlaku dari sudut perbuatan. Jika mahu dikira, dalam Al-Quran pernah menyatakan bahawa kezaliman itu berlaku juga pada orang Islam yang melakukan kesilapan. Ini dapat dilihat dalam doa Nabi Yunus ketika berada dalam ikan (lihat surah Al-Anbiya, ayat 87), doa Nabi Adam ketika jatuh dari dunia (lihat surah Al-baqarah, ayat 37) dan berbagai-bagai lagi. Jika kesalahan yang dilakukan oleh para Nabi yang tidak melibatkan dosa pun, dianggap sebagai zalim menerusi Al-Quran, sudah pasti orang islam yang melakukan kesalahan yang melibatkan dosa, lebih-lebih lagi dikira sebagai zalim. Ekoran itu, kezaliman dalam ungkapan Al-Quran itu sendiri perlu diklasifikasikan kepada beberapa bentuk. Kezaliman dalam melakukan syirik, kezaliman dalam melakukan dosa dan kezaliman dalam melakukan kesilapan. Kesemua kezaliman ini tidak menafikan kewujudan melakukan keadilan dalam kerangka yang lebih besar, terutama dalam bernegara. Dengan maksud, selama mana wujud pemberian hak kepada yang berhak dan berjaya imbangkan maslahah dan mafsadah, maka ia adalah maksud meletakkan sesuatu pada tempatnya yang merupakan maksud bagi keadilan.         unnamed

]]>

Berhadapan dengan derita dan mati: Perspektif seorang doktor

Ini penterjemahan tidak rasmi makalah “Our unrealistic views of death, through a doctor’s eyes” oleh Craig Bowron yang diterbitkan oleh Washington Post pada February 17 2012.    Telefon berdering dan aku dapat mengagak ke mana panggilan telefon ini ditujukan. Aku berada di dalam wad, seorang doktor di ruang kecemasan di bawah memaklumkan tentang seorang pesakit warga emas untuk dimasukkan ke dalam wad. Pesakit ini baru buat diriku, tetapi ceritanya sudah biasa ku dengari: Pak cik ini mempunyai bebrapa penyakit kronik- sakit jantung, lemah buah pinggang, kurang darah merah, Parkinson’s dan nyanyuk (dementia). Semuanya dirumuskan dengan segengam ubat untuk mengawal penyakitnya. Kesihatannya semakin merundum dan selera makannya juga hilang. Kini, serangan angin ahmar (stroke) pula datang menduga. Aku dan doktor di ruang kecemasan berbincang tentang apa yang boleh kami lakukan. Serangan angin ahmar ini telah menyebabkan tekanan darah menjadi tinggi melangit, menerukkan lagi keadaan kegagalan jantungnya, seterusnya mengugat fungsi buah pinggangnya yang kian lemah. Serangan angin ahmar itu telah menerukkan lagi keadaan yang sedia adanya sudah kekurangan dengan penyakit Parkinson dan kini mungkin pak cik tersebut tidak mampu untuk berjalan lagi. Disebabkan umur yang sudah tua, apabila diberikan terapi, kemungkinan untuk menerima komplikasi adalah amat tinggi, manakala kelebihannya pula amatlah sedikit. Ini merupakan jalan buntu dalam perubatan: semua pilihan berakhir dengan kekurangan. Aku menuju ke ruangan kecemasan. Jikalau nasib menyebelahiku, keluarganya akan menerima kenyataan bahawa pada ketika kita dapat memisahkan kembar siam dan berusaha menyambung semula anggota badan yang terputus, manusia itu tidak lari dari kematian kerana usia tuanya. Jikalau nasib menyebelahiku lagi, keluarganya dapat menyedari bahawa orang kesayangannya hampir menemui ajal. Nasib? Namun, nasib tidak selalunya menyebelahi aku. Keluarganya mungkin akan meminta untuk aku menggunakan kepakaran kedoktoran ini supaya berusaha melakukan sesuatu kepada badan pesakit yang semakin lemah ini bagi menganjakkan sedikit lagi limitasi badannya, dengan harapan sedikit penderitaan ini akan berbaloi. Bagi kebanyakan rakyat Amerika, perkembangan perubatan moden telah membuatkan kematian seolah-olah menjadi suatu pilihan bukannya sebuah ketetapan yang akan dilalui oleh setiap orang. Kita mahukan orang yang kita sayang untuk hidup bersama kita selama mungkin, tetapi budaya kita telah melihat kematian sebagai sebuah kegagalan dalam perubatan, dibandingkan sebagai sebuah kesimpulan hidup yang semula jadi. Sebahagian besar daripada penurunan ini telah datang pada separuh abad yang pertama. Dapat dilihat, daripada kesihatan awam yang sifatnya mudah seperti menjaga kebersihan dan pemakanan nutrisi dan bukannya pembedahan jantung terbuka, rawatan magnetik (Magnetic Resonance Imaging-MRI), ataupun ubat-ubatan yang canggih. Begitu juga, pendidikan berkenaan ibu mengandung yang lebih baik dan kelahiran yang lebih selamat pada masa yang sama juga telah membawa kepada penurunan mendadak untuk kadar kematian ibu mengandung. Jadi pada tahun 1950, purata jangka hayat seseorang telah melonjak kepada 68 tahun. Untuk semua kecanggihan teknologi ini dan tag harga yang mahal, perubatan moden mungkin merumitkan lagi pengakhiran nyawa seseorang daripada memanjangkan atau memperbaikinya. Jika seseorang yang hidup pada tahun 1900 berjaya hidup pada zaman kanak-kanak sehinggalah melahirkan anak, dia berpotensi untuk menjadi tua. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit: seseorang yang berjaya ke usia yang mencecah 65 pada tahun 1900, dia boleh mengharapkan untuk hidup dengan purata 12 tahun lagi; manakala, jika usianya berjaya mencecah 85 tahun, dia boleh mengharapkan untuk pergi secara purata, 4 tahun lagi. Pada tahun 2007, seorang rakyat Amerika yang berusia 65 tahun dijangkakan untuk hidup secara purata 19 tahun lagi; dan jika umurnya berjaya mencecah 85 tahun, dia boleh mengharapkan untuk pergi 6 tahun lagi. Menafi kematian Satu lagi faktor penafian kematian adalah lebih berkaitan dengan perubahan demografi daripada kemajuan teknologi sains perubatan. Penghijrahan secara besar-besaran keluar negara dan kewujudan cara hidup pertanian dan ke arah gaya hidup yang lebih urban membawa makna bahawa kita telah meninggalkan skeptik terhadap kematian dan alam semulajadi di belakang kita. Pada awal Perang Saudara, 80 peratus rakyat Amerika tinggal di kawasan pedalaman dan 20 peratus lagi tinggal di kawasan bandar. Menjelang tahun 1920, dengan adanya Revolusi Perindustrian yang giat dijalankan, nisbahnya menjadi 50-50. Pada tahun 2010, 80 peratus rakyat Amerika kini tinggal di kawasan bandar. Bagi kebanyakkan kita yang hidup di kaki lima dan lampu jalan, kematian telah menjadi suatu yang jarang ada saksi, ianya acara yang terasing daripada kehidupan harian kita. Kematian yang paling mirip yang disaksikan oleh anak-anak yang dibesarkan di bandar ialah kematian ikan semasa aktiviti memancing bersama keluarga secara sekali sekala ataupun kematian sekumpulan tupai yang dibunuh dengan mengunakan batu. Ayam yang dimakan selalunya datang tersedia dalam bungkusan plastik, bukannya di akhir hayunan parang yang menyembelih dirinya. Petani yang aku jaga tidak teragak-agak untuk menemui ajalnya berbanding pesakit di bandar yang saya kendalikan. Kerana apabila kematian datang menjemput, mereka bersedia dan sudah biasa dengannya. Mereka menyaksikan kematian, mengetahui bagaimana bau kematian itu datang dan sedalam-dalamnya, dihujung jari mereka. Seekor lembu yang akan mati tidak sama dengan seorang manusia yang menghampiri kematiannya, tetapi pemergiannya mengukuhkan pemahaman seseorang bahawasanya setiap yang hidup itu akan akhirnya mati. Urbanisasi, modenisasi Projek urbanisasi secara besar-besaran ini bukanlah satu-satunya perkara yang menyebabkan kita terasing daripada kehidupan kita. Kemewahan yang semakin berkembang ini membolehkan kita untuk mengasingkan perihal tua. Sebelum ini, rumah pengjagaan, pusat bantuan dan jururawat peribadi, datuk, nenek, anak-anak dan cucu-cicit duduk di bawah bumbung yang sama, di mana perjuangan semua orang adalah jelas kelihatan. Pada tahun 1850, 70 peratus daripada warga tua yang berkulit putih tinggal bersama anak mereka. Menjelang tahun 1950, 21 peratus daripada penduduk keseluruhan tinggal di rumah multigenerasi, dan kini angkanya tinggal 16 peratus sahaja. Pengasingan warga tua ini menyebabkan ramai antara kita tidak mengetahui bagaimana perasaan hidup berusia atupun menjadi tua. Jarak antara fizikal dan emosi semakin jelas terutamanya apabila kita membuat keputusan berkenaan kematian seseorang. Derita bagaikan api Penderitaan ini bagaikan api. Siapa yang duduk paling dekat akan merasakan bahang yang lebih panas. Namun, sekeping gambar kebakaran tidak memberikan kehangatan. Sebab itu, kebiasaannya anak lelaki atau anak perempuan yang secara fizikalnya paling rapat dengan ibu bapanya, merekalah yang paling bersedia untuk melepaskan pemergian orang tuanya. Kadang kala ahli keluarga yang agak jauh itulah yang akan ‘terbang pada minggu hadapan untuk berusaha menguruskan perkara ini.’ Kebiasaannya mereka inilah yang mengetahui paling sedikit saat ibubapanya bergelut dalam kesakitan. Dia akan mempunyai masalah untuk membawa barangan yang mewah dalam bagasinya. Orang seperti ini mungkin berfikir bahawa dirinya dipandu oleh perasaan belas kasihan, tetapi apa yang dirasainya di dalam kapal terbang berlainan hanyalah sebagai satu jalan untuk menghilangkan rasa bersalah dan menyesal kerana tinggal berjauhan dan juga tidak melakukan kerja-kerja berat dalam menjaga ibu bapanya pada saat akhir usia mereka. Adalah suatu yang tidak rialistik apabila mengharapkan keupayaan kami untuk memanjangkan jangka hayat seseorang, padahal mereka tidak mengenali kematian malah menganggapnya sebagai suatu perkara yang luar biasa. Tanpa sentuhan yang realistik beberapa pesakit warga tua menderita apabila dengan mudahnya meminta lebih banyak ujian, ubat-ubatan dan juga prosedur. Kebanyakkan kita merasakan, adalah baik kita melakukan sesuatu daripada tidak melakukan apa-apa. Tidak bertindak atau berusaha akan meningkatkan lagi rasa bersalah ahli keluarga kepada yang terlantar. Mereka bingung memikirkan “Mengapa saya tidak boleh melakukan lebih banyak untuk seseorang yang amat saya sayangi?” Memilih untuk mencuba semua bentuk rawatan perubatan dan prosedur untuk mengurangkan rasa bersalah ini juga dijadikan sebagai insurans emosi seseorang. Apabila seseorang yang disayanginya meninggal dunia, kaum keluarga akan saling mengingatkan diri mereka sendiri, “Kami sudah melakukan semua yang kami mampu untuk ibu.” Dalam pengalaman ku, ini adalah suatu kecenderungan yang lebih kuat daripada menerima fakta yang sebenar (dan dengan mungkin suara hati yang lebih jujur) iaitu “kita telah meletakkan ayah melalui sebuah alat pemerah untuk beberapa bulan yang lalu denagn kata lain lebih menyeksanya.” Adakalah rawatan juga penyeksaan Pada tahap yang tertentu dalam hidup, rawatan perubatan yang agresif boleh menjadi sebuah penyeksaan yang selama ini disekat. Apabila kes seperti ini muncul, jururawat, doktor dan ahli terapi kerap merasa konflik dan merasakan dirinya tidak bermoral. Kami telah berjanji kepada diri sendiri untuk membantu melegakan penderitaan, dan bukannya menerukkan lagi penderitaan yang dialami. Serorang jururawat yang sudah bersara pernah menulis kepada ku, “ Saya sangat gembira kerana saya tidak perlu menyakiti orang–orang tua lagi.” Apabila keluarga berbicara tentang perihal membiarkan orang yang tersayang mati secara ‘semula jadi’ mereka sering memaksudkan ‘perginya dalam tidur’- bukannya daripada sesuatu penyakit yang boleh dirawat seperti angina ahmar, barah ataupun jangkitan. Memilih untuk membiarkan orang yang tersayang untuk pergi jauh dengan tidak merawat atau melakukan sesuatu terhadap penyakit tersebut akan merasakan yang mereka bersubahat. Sebaliknya, pemilihan untuk merawat penyakit tersebut akan menyebabkan pesakit mengalami perit getir rawatan tersebut, di mana ini akan menyebabkan anak yang menjaganya akan merasakan bahawa mereka telah melaksanakan tangungjawab menjaga orang tuanya. Walaupun mudah untuk memahami permintaan ahli keluarga, namun, apa yang mereka tidak sedari adalah hakikatnya hanya beberapa warga tua sahaja yang bernasib baik apabila mereka menemui ajal ketika dalam tidur. Hakikatnya, hampir semua orang mati kerana sesuatu. Salah seorang daripada teman rapat ku membawa bapanya yang menghidapi penyakit nyanyuk, tinggal bersama mereka untuk saat akhir hayatnya, tahun yang indah dan mencabar bagi beliau. Di sana mereka menyayanginya sepenuhnya, walaupun ayahnya disahkan menghidap Alzheimer. Ini bukan umpama merenung poskad yang mempunyai gambar kebakaran, bahkan, mereka sanggup untuk menghadapi segala api yang hampir membakar dalam pengalaman itu. Mereka cuba memahami sendiri bagaimana peritnya proses kematian tersebut. Akhirnya, apabila saat ayahnya dijangkiti penyakit radang paru-paru, mereka sanggup melepaskan pemergiannya dengan tenang.     Diterjemah oleh Hamizah Hanan  

]]>

Konflik Israel-Palestin dari sudut pandang Katolik

Bangsa Israel berdasarkan Alkitab Dalam Alkitab, nabi Abraham (Ibrahim) mempunyai 2 isteri iaitu Hagar dan Sarah. Melalui Hagar, Ismael (Ismail) dilahirkan dan keturunannya tersebar di kawasan Arab. Sementara itu, Sarah melahirkan Ishak pada usianya yang agak lanjut. Ishak mempunyai dua orang anak yang bernama Esau dan Yakub. Yakub pula mempunyai keturunan yang besar iaitu 12 anak: Ruben, Simeon, Lewi, Yehuda, Isakhar, Zebulon, Benyamin, Dan, Naftali, Gad, Asyer dan Yusuf. Melalui anak-anak Yakublah, mereka menjadi nenek moyang bagi 12 keturunan suku bangsa Israel. Sehinggalah kejadian Yusuf dijual kepada rakyat Mesir, dan seluruh keturunan Yakub berpindah ke Mesir. 400 tahun lamanya mereka tinggal aman di Mesir sehingga diperhambakan. Kemudian muncul Nabi Musa dan nabi Harun yang turut serta dalam misi membebaskan umat Israel daripada perhambaan dan membawa mereka kepada tanah perjanjian mereka seperti yang dijanjikan Tuhan. Sehingga tahun 1050 SM, umat Israel berkembang dan perlahan-lahan sehingga menguasai seluruh tanah Kanaan (yang kini dikenali Palestina) dan nabi mereka Samuel ketika itu mula melantik Saul sebagai raja atas permintaan umatnya. Sistem beraja kerajaan Israel diteruskan lagi kepada nabi Daud dan Salomo (Sulaiman) sehingga kerajaan Israel terpecah dua bahagian iaitu kerajaan Israel di bahagian utara dan kerajaan Yehuda di bahagian selatan. Perpecahan yang terjadi kerana perebutan kuasa antara keturunan Raja Salomo. 10 suku pro kerajan Israel manakala 2 suku iaitu suku Benjamin dan suku Yehuda yang merupakan pro kerajaan Yehuda. Kerajaan Isreal hancur apabila diserang bangsa Assyria pada tahun 722 SM dan keberadaan 10 suku ini sehingga kini masih lagi menjadi misteri. Kerajaan Yehuda pula bertahan sehinggalah di serang oleh kerajaan Babilonia pada tahun 586 menyebabkan mereka diusir daripada Yerusalem. 2 suku (membentuk Yahudi masa kini) iaitu Benjamin dan Yehuda inilah yang terselamat dan bertahan sehingga kini. Kemudian penguasaan asing beterusan lagi dibawah kekuasaan Raja Persia, Cyprus dan Darius dimana bangsa Israel yang terselamat dibenarkan kembali dan membangunkan kembali Yerusalem. Penguasaan Alexander the Great turut menyaksikan bangsa Israel masih bertahan di Yerusalem sehingga tahun 165 SM dimana Yudas Makabe melakukan revolusi yang dikenali sebagai Revolusi Makabe yang berakhir berjaya ditahun 163 SM dan Israel menjadi negara merdeka selama 100 tahun. Kemerdekaan dinikmati singkat kerana bangsa Israel dijajah lagi oleh kerajaan pagan Romawi. Pada tahun 70 AD, majoriti umat Israel diusir lagi daripada Yerusalem sehingga berselerak ke seluruh muka bumi. Kemudian penguasaan Romawi diganti kerajaan Kristian Byzantium, Tentera Salibi, monarki Arab, Khalifah Turki Uthmaniyah (1517 hingga 1917) dan British sehingga akhirnya tahun 1948 bangsa Yahudi dikumpulkan dan ditempatkan ditanah asal mereka setelah diberi kemerdekaan oleh PBB dan membentuk negara Israel seperti yang dikenali sekarang. Sejarah Palestin Palestin mahupun Palestina berasal dari terjemahan Ibrani iaitu Pelesheth; sebutan Yunani menyebut Philistine. Mengikut kajian sejarah, bangsa asal Palestin merupakan para pelaut Eropah yang berasal dari Yunani. Wilayah Gaza dulu bernama Philistia atau rumah para Setelah umat Israel dijanjikan wilayah Kanaan sebagai tanah perjanjian, wilayah ini merupakan penempatan bangsa asal Palestin ketika itu. Bangsa asal Palestin di Kota Gath, wilayah Philistia ketika itu terlalu kuat sehinggalah Daud mampu menewaskan Goliat yang dikatakan bertubuh raksasa dan sekaligus menguasai menguasai seluruh tanah Kanaan dan bangsa Palestin serta bangsa-bangsa lain ketika itu sebagaimana yang diceritakan dalam Alkitab Perjanjian Lama. Saat kerajaan Babilonia menakluki kerajaan Israel, suku bangsa asli Palestin ini akhirnya musnah. Semasa Israel berada dibawah kerajaan Romawi selepas 100 tahun Revolusi Makabe, Hadrian penguasa Roma saat itu mengabungkan wilayah Samaria, Yudea, Galilea dan Idumea dalam satu propinsi yang disebut Syria Palastina. Hadrian mempunyai niat untuk melenyapkan Israel daripada sejarah. Disaat itu dia sedar bahawa bangsa asli Palestin seperti yang ada dalam Alkitab adalah musuh bangsa Israel, Hadrian sengaja menggunakan nama Palastina untuk menyakiti hati kaum Yahudi. Pada tahun 330 AD hingga 638 AD Kerajaan Kristian Byzantium menguasai Palastina diikuti pada tahun 638 kerajaan Arab menguasai Palestin selama 461 tahun. Tentera Salibi pada tahun 1099 AD menguasai Palestina dalam kempen Perang Salib tapi pada tahun 1244 AD, monarki Arab kembali mengambil alih Palestina. Sepanjang tempoh orang Arab memerintah, penghijrahan bangsa Arab ke Palestin telah membentuk suatu entiti baru bagi bangsa Palestin sehingga menjadikan umat Israel yang ada ketika itu sebagai majoriti kecil. Pada tahun 1517 kerajaan Turki Uthmaniyah menyerang kerajaan Arab dan mengambil alih wilayah Palestina selama lebih dari 400 tahun. Dalam siri penjajahan ini, bangsa Arab Palestin dan Yahudi bersama-sama menjadi korban penjajahan bangsa lain. Pada tahun 1917 British mengalahkan kerajaan Turki Uthmaniyah dan menguasai Palestina hingga tahun 1948. Kedudukan Israel dan Palestin dari sudut kaca mata umat Kristian Negara Israel sekarang masih lagi belum menepati ciri-ciri yang ada dalam Alkitab disebabkan ianya lebih kecil daripada kerajaan Israel semasa raja Daud. Namun, jika disoroti teliti, umat Israel tetap mempunyai hujahnya tersendiri membentuk negara mereka setelah kira-kira 3300 tahun bangsa ini dijajah. Sepanjang mereka dalam buang, mereka juga tidak dilayan dengan baik di negara-negara asing bahkan ada usaha penghapusan etnik di Jerman dibawah Nazi. Janji Tuhan sendiri telah berfirman kepada Nabi Musa dalam petikan Alkitab Perjanjian Lama ada menyebut, “Aku akan menjadikan kamu umat-Ku sendiri, dan Aku akan menjadi Allah kamu. Kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah kamu, apabila Aku membebaskan kamu daripada perhambaan di negeri Mesir. Aku akan membawa kamu masuk ke negeri yang telah Aku janjikan dengan sumpah untuk diberikan kepada Abraham, Ishak, dan Yakub. Aku akan memberikan tanah itu kepada kamu sebagai milik kamu sendiri. Akulah TUHAN.” (Keluaran 6:7-8) Mewakili komuniti umat Kristian terbesar di dunia, Gereja Katolik memainkan peranan penting dalam menjaga hubungan baik antara Israel dan Palestin. Gereja Katolik juga menyokong penuh usaha Palestin dalam membentuk negara merdekanya tersendiri dengan temeterainya perjanjian Inter Sanctam Sedem atque Consilium pro Liberatione Palaestinae (Perjanjian Asas Antara Takhta Suci dengan Organisasi Pembebasan Palestin). Hubungan Vatikan dengan Israel dan Palestin terjalin sejak tahun 1948.  Gereja menyokong referendum pembentukan 2 negara yang dicadangkan PBB pada tahun 1947, hubungan baik antara agama Yahudi dan Islam, pentadbiran Gereja ke atas komuniti Katolik di Palestin dan Israel, status quo perlindungan terhadap rumah-rumah ibadat ketiga-tiga agama di Yerusalem (Baitulmaqqdis) daripada ancaman serta intimidasi serta segala usaha kemanusiaan dalam mencapai keamanan sejagat bagi Israel dan Palestin. Kesimpulan Jadi saya mengajak pembaca untuk berfikir dengan lebih tentang makna sebuah pembentukan keamanan oleh Paus Fransiskus: “Pembentukan keamanan menyeru kepada ketabahan, yang melebihi daripada peperangan. Ia merupakan keberanian untuk mengatakan ‘ya’ kepada dialog dan ‘tidak’ kepada keganasan; ‘ya’ kepada rundingan dan ‘tidak’ kepada pertikaian; ‘ya’ kepada kehormatan perjanjian dan ‘tidak’ kepada tindak tanduk provokasi; ‘ya’ kepada kejujuran dan ‘tidak’ kepada talam dua muka. Kesemua ini memerlukan ketabahan, dengan kekuatan serta kesungguhan.” Memetik kata-kata Pakistan Votes sebagai penutup makalah, “Jikalau kamu tidak bangun menyuarakan bagi penindasan yang dilakukan terhadap Syiah, pembunuhan terancang Ahmadiyah, pengeboman gereja dan pembakaran kuil/tokong, mangsa undang-undang penghinaan agama, rogol serta pembunuhan, dan kesemua yang dibunuh oleh pengganas seperti TTP, ISIS dan Boko Haram dan hanya bersuara untuk Gaza, maka kamu bukanlah pro hak asasi manusia, tetapi hanyalah anti-Israel.”         unnamed  

]]>

Belasungkawa MH17

Watan Mungkin sebahagian besar mereka juga adalah pelancong dari bahagian sebelah sana dunia yang mendengar tentang keindahan Langkawi, kesejukan Pangkor, keriuhan Kuala Lumpur, ketinggian Kinabalu, dan kelazatan hidangan di pulau mutiara. Kami juga di Projek Dialog berasa sedih kerana terdapat penumpang MH17 adalah saintis dan aktivis kesihatan terkemuka yang berjuang untuk isu-isu kemanusiaan. Semua mereka yang terkorban itu adalah watan, atau tetamu kita walau untuk sekejap. Projek Dialog berharap kepimpinan negara akan menunjukkan ketokohannya dalam hari-hari rancu, rusuh, kacau dan gelap ini. Kami berharap supaya keadilan dapat ditegakkan. Pesawat MH17 tidak hilang secara misteri, tetapi ditembak jatuh dan merupakan satu pembunuhan di angkasa yang amat keji. Malaysia juga termasuk Tragedi ini juga menunjukkan Malaysia, kita seluruhnya, terdedah dan tidak terkecuali dari apa pun konflik di dunia ini secara global. Peperangan mengorbankan nyawa orang yang tidak bersalah. Atas nama cinta dan kasih sayang, insiden ini membuktikan perbalahan ternyata mengambil orang yang tidak perlu. Krisis yang jauh dari negara boleh sahaja menimpa kita secara di luar duga. Kami menuntut supaya kepimpinan negara bertegas seluruh kudrat yang ada untuk membawa perkara ini ke tengah. Sebagai sebuah nusa yang sudah dipersenda di mata dunia, Malaysia perlu mengorak ke hadapan dan menjadi kuasa di barisan hadapan untuk menuntut kebenaran. Sebagai negara yang kecil Malaysia tidak lagi harus dikucil dari segi maklumat dan alamat. Malaysia mesti bersungguh mendapatkan keadilan dan membersih citra di mata dunia. Kalian akan diingati Sesungguhnya ini adalah hari malang dan amat duka buat seluruh rakyat Malaysia. Kami di Projek Dialog menyeru supaya seluruh rakyat Malaysia tidak kira apa agama, bangsa dan kepercayaan supaya bersatu dan melihat ke hadapan sambil menjadikan tragedi ini suatu bekal. Mereka yang membawa nama baik Malaysia di hadapan dunia ini adalah anak-anak nusa pelbagai warna, ras dan keyakinan. Terdapat Melayu, India, Tionghua, Sikh dan mecakupi pelbagai lapis umur. Kami ingin sekali memberitahu kalian, dan semua, hari ini Malaysia mengerti. Ini adalah titik permulaan untuk kita mendengar satu sama lain; mendengar dan memahami. Bukan sahaja sekadar mendengar untuk menjawab. Sesungguhnya Malaysia adalah sebuah nusa yang hebat dan penuh kekayaan cerita dan peradaban. Hari ini Malaysia akan berhenti untuk berperibadi rendah, meninggalkan tengkar dan balah dan melakukan apa yang kalian lakukan; gigih, tabah dan berani. Buat penumpang-penumpang dan krew pesawat MH17, kalian akan diingati.

]]>

Ramadan dan budaya Malaysia: Suatu renungan Kritis

Muslim berpuasa Jika dilihat dari perspektif seorang muslim, yang rata-ratanya berpuasa pada hari ini adalah kerana ianya merupakan salah satu suruhan tuhan. Latihan berpuasa ini dilakukan sejak dari kecil lagi oleh kedua ibu bapa yang selalunya dijanjikan dengan pelbagai ganjaran sebagai suatu galakan untuk memenuhi tuntutan berpuasa tersebut. Namun, sudah semestinya penghayatan terhadap amalan berpuasa akan berkembang selari dengan usia seseorang. Setelah dewasa, muslim mula sedar berpuasa merupakan salah satu tuntutan agama. Antara lainnya, berpuasa juga mengajar kita untuk menghayati kehidupan masyarakat sekeliling yang berada dalam kesusahan dan keperitan hidup. Semangat yang tersirat ini dapat dihayati apabila seseorang itu berpuasa kerana ianya membuahkan perasaan yang lapar dan dahaga, mengawal keinginan nafsu syahwat, nafsu untuk berbelanja lebih, makan secara berlebihan dan pelbagai lagi. Ada juga yang mempercayai bahawa puasa menjadi salah satu cara dalam mengawal diri daripada melakukan kemaksiatan serta sebagai langkah untuk berubah kearah yang lebih baik. Katolik Kristian berpuasa Amalan berpuasa juga tidak asing bagi umat Kristian. Khususnya bagi seorang pengganut Katolik, puasa bagi mereka tidak jauh bezanya daripada amalan puasa seorang muslim dan yahudi yang didefinisikan dengan unsur menahan diri. Namun menariknya, dari perspektif pengganut Katolik puasa tersebut tidak terhad kepada penahanan diri daripada makanan sahaja. Penghayatan berpuasa lebih kepada pengurangan dalam pengambilan dan perlakuan sesuatu yang digemarinya. [caption id="attachment_3754" align="alignleft" width="300"]Pengalaman puasa dari perspektif Kristian dikongsi oleh saudara Calvin Ohsey, antara kolumnis Projek Dialog (kiri). Yana Rizal (tengah) dan Ehsan Shahwahid (kanan) juga berkongsi pandangan. Pengalaman puasa dari perspektif Katolik dikongsi oleh saudara Calvin Ohsey (kiri). Yana Rizal (tengah) dan Ehsan Shahwahid (kanan) juga berkongsi pandangan.[/caption] Amalan berpuasa bagi pengganut Kristian, dilakukan secara khas dalam bulan Prapaskah (Lent) selama 40 hari. Paskah yang ditakrifkan sebagai pembebasan. Jadi, umat Kristian berpuasa dengan tujuan untuk menanti hari pembebasan. Dalam Kristian, Paskah merujuk kepada kebangkitan Jesus Kristus iaitu Sang Penyelamat yang dianggap sebagai tuhan dan manusia pada masa yang sama. Dalam menghayati amalan berpuasa bagi seorang Kristian, elemen penting yang ditekankan bukan sahaja mengawal pemakanan, mereka juga ditekankan untuk melakukan amalan kebaikan dan yang paling penting dan ini merupakan pelengkap dalam amalan berpuasa adalah memperbanyakkan doa. Doa ini bukan sahaja untuk diri sendiri, malahan ianya juga ditujukan untuk masyarakat dan seluruh dunia. Menariknya amalan berpuasa bagi pengganut Kristian, ia tidak terhad kepada satu stuktur yang ditetapkan secara rigid. Umat Kristian boleh memilih untuk mengisi 40 hari yang diberikan dengan pengisian rohani yang tersendiri. Namun, elemen penting tersebut mestilah menjadi syarat dan perlu disertakan dalam amalan berpuasa yang dilakukan. Contohnya, si A berpuasa daripada menonton televisyen selama 24 jam pada hari pertama: hari kedua- berpuasa makan dan minum: hari ketiga- menanam pokok dengan niat untuk menjaga alam sekitar: dan seterusnya. Mereka juga tidak lari daripada dugaan dalam amalan berpuasa ini dan bagaimana untuk menguatkan diri adalah melalui doa dan amal kebaikan. Walau bagaimanapun, mengikut kod undang-undang canon yang telah ditetapkan oleh pihak gereja Katolik bagi puasa wajib ini, umat Kristian masih terikat untuk wajib berpuasa makan pada hari Jumaat yang dikenali sebagai Good Friday (hari kematian Jesus Kristus) dan dilarang untuk berpuasa makan pada hari Ahad dalam tempoh sepanjang 40 hari tersebut. Mereka disyaratkan untuk berpuasa daripada mengambil sebarang daging (simbolik kepada hawa nafsu) dan juga tidak dibenarkan makan sehingga kenyang. Hari Ahad pula tidak dibenarkan untuk berpuasa makan adalah kerana ianya dikenali sebagai Hari Kebangkitan. Mereka boleh mengantikan dengan amalan yang lain. Amalan ini adalah wajib dilakukan bagi yang berumur 18 hingga 65 tahun. Berbeza dengan amalan penahanan diri daripada pengambilan daging adalah bermula dari umur 14 tahun sehingga akhir hayat. “Dan apabila kamu berpuasa, janganlah muram mukamu seperti orang munafik. Mereka mengubah air mukanya, supaya orang melihat bahawa mereka sedang berpuasa. Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya mereka sudah mendapat upahnya. Tetapi apabila engkau berpuasa, minyakilah kepalamu dan cucilah mukamu, supaya jangan dilihat oleh orang bahawa engkau sedang berpuasa, melainkan hanya oleh Bapamu yang ada di tempat tersembunyi. Maka Bapamu yang melihat yang tersembunyi akan membalasnya kepadamu.” (Met 6:16-18) Petikan ini menyarankan umat Kristian untuk tidak menunjuk-nunjuk ketika berpuasa. Adalah lebih baik jika orang lain tidak mengetahui yang sebenarnya mereka sedang berpuasa. Hal ini adalah selari dengan saranan gereja yang mengecam tindakan menghakimi orang lain. Puasa dan konsumerisme Puasa bukanlah dilihat sebagai sebuah ritual agama sahaja, tanpa kita sedari setiap manusia berpuasa setiap hari dalam tidurnya, dan ada juga yang berpuasa untuk tujuan kesihatan termasuklah persediaan sebelum pembedahan dijalankan. Perlu dijelaskan bahawa amalan konsumerisme dan berpuasa adalah tidak berkaitan antara satu sama lain. Setiap orang yang merasakan dirinya tidak mahu membeli atau ingin berbelanja secara berlebihan itu adalah bergantung kepada habitnya tersendiri. Budaya konsumerisme adalah berkait rapat dengan kelas sosial. Sejak dari tahun 80-an masyarakat Malaysia secara amnya dilihat menjadi semakin konsumeristik. Ianya adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh adanya dasar ekonomi baru, perindustrian dan banyak lagi yang menyebabkan banyaknya penghijrahan orang luar bandar ke bandar besar. [caption id="attachment_3753" align="alignleft" width="300"] Forum disertai rakyat Malaysia dari pelbagai latarbelakang. Perbincangan yang terhasil kaya dengan perspektif-perspektif kritis yang berbeza.[/caption] Ini juga melahirkan banyak budaya baru termasuklah majlis rumah terbuka yang dilakukan sebagai langkah untuk mengeratkan hubungan sesame masyarakat daripda pelbagai latar belakang budaya. Dilema kelas pertengahan dilihat bukan sahaja berlaku di Malaysia namun pada peringkat antarabangsa, telah menjadi faktor utama dalam budaya konsumerime ini. Contohnya, di Shang Hai, dalam masa 10 tahun mengalami perubahan daripada kawasan yang lapang menjadi sebuah tempat yang membangun disebabkan oleh penghijrahan yang berlaku oleh golongan kelas pertengahan untuk mencapai kehidupan yang lebih baik di kawasan Bandar. Hal ini juga berlaku kepada budaya di Malaysia, di mana perkembangan moden telah menekan kita untuk menjadi lebih konsumeristik. Jika ditanyakan kepada zaman ibu bapa kita dahulu, mereka hanya dapat menikmati makanan yang istimewa terutamanya daging pada majlis-majlis keramaian, festival tertentu sahaja. Jadi mulalah ada pihak yang menggunakan agama sebagai salah satu cara untuk menjustifikasikan amalam konsumerisme. Disebabkan mereka sudah seharian berpuasa, maka pada waktu berbuka mereka merasakan bahawa mereka mempunyai hak sewenang-wenangnya untuk berbelanja dan makan sesuka hati. Bulan puasa yang disinonimkan dengan amalan menahan diri dan bersederhana berserta tujuan untuk menghayati bagaimana kehidupan orang susah ini seolah-olah telah kehilangan semangat dan tujuan utamanya. Sesuatu yang sangat paradoks apabila pada bulan puasa ini kita dibanjiri dengan isu gelandangan yang semakin hangat diperkatakan baru-baru ini dan juga dapat dilihat pola perkembangan tentang promosi juadah berbuka puasa di hotel-hotel yang bernilai ratusan ringgit. Bukan itu sahaja, bagi orang yang berkemampuan, ramai antara mereka yang menganjurkan majlis berbuka puasa dan pemberian sumbangan sehinggakan pembaziran yang tidak terkawal. Ironinya, jika mahu berbuat baik seolah-olah hanya pada bulan ini sahaja amalan kebaikan itu diterima. Habisnya bulan Ramadan ini, sumbangan-sumbangan ini sepertinya tidak kelihatan lagi. Campur tangan pemerintah dalam ruangan Individu Pandangan lain melihat bahawasanya masalah pada asasnya berpunca daripada campur tangan pemerintah dalam ruang lingkup peribadi manusia. Ianya menjadi masalah apabila agama itu diinstitusikan dan mempunyai kuasa. Ini akan melahirkan suatu pimpinan yang diktator yang menyekat kebebasan ruangan individu tersebut dan akhirnya akan menyebabkan ramai orang bersifat hipokrit. Penstukturan yang sangat efektif dan pemahaman dalam agama oleh institusi keagamaan negara membawa suatu natijah yang lebih buruk apabila perkara dalam agama yang sepatutnya dalam lingkungan kebebasan individu ini diseratakan dan dilaksanakan secara selari kepada semua masyarakat. [caption id="attachment_3755" align="alignleft" width="300"]Perbincangan menyentuk isu puasa dari aspek budaya, ekonomi, falsafah, agama dan politik! Perbincangan menyentuk isu puasa dari aspek budaya, ekonomi, falsafah, agama dan politik![/caption] Contohnya, apabila waktu berpuasa, semua kedai hanya boleh beroperasi bermula jam 3 petang, denda terhadap orang-orang yang tidak berpuasa atau makan diruangan awam, sedangkan amalan ibadat setiap individu ini adalah urusan dia dengan tuhannya, sama sekali tidak melibatkan pemimpin yang ingin menjadi orang tengah. Ianya juga menjadi masalah apabila institusi ini mempunyai kuasa untuk menghakimi orang lain tentang urusan ibadatnya. Cuba kita lihat, seorang pegawai pentadbiran yang kerjanya di dalam kawasan yang berhawa dingin berpuasa dan dibandingkan dengan seorang pekerja kontraktor yang bekerja di bawah panas terik matahari dengan memikul bebanan yang berat dan berpeluh-peluh. Adakah nilai puasa mereka sama? Dan jika ini di pukul rata, akhirnya akan kelihatanlah pekerja-pekerja kontraktor yang terpaksa makan di dalam tandas kerana bebanan kerja yang berat, kerana dikhuatiri tertangkap oleh pihak yang berkuasa kerana mereka tidak berpuasa di bulan Ramadan. Secara kesimpulan berpuasa memerlukan penghayatan yang mendalam. Kita perlu menjadi seorang yang jujur dalam segala amalan seharian kita. Sekalipun ianya adalah urusan ritual agama yang menghubungkan kita dengan tuhan. Namun, diri kita sendiri sahaja yang mengetahui sejauh mana penghayatan yang diberikan. Tiada gunanya jika kita berpuasa hanya untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain dan juga perlu diingat bahawa ianya bukan berhenti sekadar sebulan sahaja. Amalan berpuasa seharusnya dihayati setiap hari dan bersikap bersederhana dalam kehidupan seharian.         unnamed

]]>

Boikot sebagai revolusi tanpa pemimpin

“The first rule of good theatre is ‘Show, don’t tell.’ It applies to good political action as well” -Carne Ross Peristiwa penyerangan bertubi-tubi oleh Israel terhadap Gaza pada kali ini benar-benar mendukacitakan kita buat kali yang sudah menjadi lumrah dalam ceritera politik antarabangsa. Hipokrasi media-media barat seperti BBC dan Skynews menunjukkan kepada kita betapa rosaknya institusi media yang beralih menjadi alat propaganda yang bukan sahaja menyebarkan informasi yang tidak tepat bahkan mempunyai ideologi yang mendukung keganasan terhadap rakyat Palestin di Gaza. Artikel saya pada kali ini tidak akan menyentuh secara mendalam sejarah pergolakan Palestin-Israel, pembentukan Israel 1948, dan peristiwa panjang usaha perdamaian dan gencatan senjata, penjanjian-perjanjian yang dikhianati dan sebagainya. Pergolakan yang berlaku Palestin ternyata bukanlah perkara baru bagi seluruh dunia , terutama kepada umat Islam. Tumpuan saya, adalah kepada apakah yang boleh kita lakukan sebagai rakyat biasa, dari agama apa pun, dari bangsa dan budaya apa pun untuk bersama-sama bersolidariti secara padu dan berkesan bagi memberi mesej yang jelas kepada negara haram Zionis-Israel supaya rakyat dari seluruh dunia terutama di Malaysia benar-benar boleh membawa perubahan. Jawapan saya adalah, kita harus bermula dengan mengangkat kembali tradisi boikot dan memperkukuhkan mobilisasinya. Sejarah kejayaan boikot Perkataan boikot ini sejarahnya dari seorang British yang bernama Charles Cunningham Boycott. Semasa menjadi agen yang menjaga tanah milik Lord Erne, beliau dipinggirkan dan ramai petani-petani yang memprotes meninggalkan penuaian dianjurkan oleh Irish Land League bagi membantah keputusan Lord Erne yang tidak mahu menurunkan harga sewaan tanahnya kepada 25%. Ini kerana hasil tuaian ketika itu tidak memberangsangkan. Tindakan ini menyebabkan berlakunya boikot besar-besaran sehingga menyebabkan 50 Orangeman dari Pekan Cavan dan Monaghan terpaksa menawarkan khidmat sukarelawan membantu menguruskan tanah yang ditinggalkan itu. Proses memulihkan semula keadaan ini menelan belanja sehingga 10,000 pound untuk nilai tuaian berjumlah 500 pound. Dari sudut sejarahnya perkataannya sahaja telah menunjukkan kemampuan boikot untuk memberi impak dalam isu-isu yang diperjuangkan. Begitu ramai sebenarnya yang sudah skeptikal akan keperluan boikot ini. Ramai yang berpendapat bahawa boikot tidak boleh menyelesaikan apa-apa masalah kerana kebergantungan kita terhadap produk-produk tertentu dan ketidakmampuan kita untuk menggantikan dengan produk yang lebih baik. Apatah lagi dalam kerana ekonomi antarabangsa dimana negara dunia ketiga misalnya terpaksa bergantung kepada produk-produk dan barangan import dari dunia maju kerana ketiadaan produk local yang mampu bersaing sehebat kualiti barangan luar. Walaubagaimanapun, masih ramai yang saya kira tidak nampak bahawa boikot sebenarnya suatu kuasa massa yang tersembunyi akibat dari ketidakpedulian dan sifat ego masyarakat. Selain melontarkan kebencian yang melampau dalam terhadap Israel seumpama menyatakan hasrat ingin membunuh dan mendoakan kecelakaan mereka, boikot sebenarnya menjadi alternatif terbaik gerakan “non-violence resistance” yang telah terbukti berjaya sekiranya tindakan secara kolektif diambil. Misalnya, pada tahun 1957, di Afrika Selatan,   Alexandra People`s Transport Action Committee (APTAC) dibentuk bagi berkempen memboikot dari menaiki bas yang harga tambangnya dinaikkan oleh Public Utility Transport Corporation (PUTCO). Kesedaran memboikot ini dilancarkan pada 7 Januari tahun yang sama dengan mereka beramai-ramai berjalan kaki dari Alexandra ke Johannesburg tanpa menaiki bas. Gelombang boikot ini juga disambut baik oleh penduduk Moroka dan Javabu yang turut bersolidariti walaupun tambang bas tidak dinaikkan di kawasan mereka. Masyarakat pula menunjukkan sokongan yang padu dengan menumpangkan sebahagian penduduk yang ingin bergerak ke destinasi mereka.Mereka melaluinya dengan tabah sehingga terpaksa tidak keluar rumah kerana kepenatan akan tetapi teguh mempertahankan tuntutan mereka. Akhirnya, tuntutan mereka berjaya melumpuhkan kepentingan industri bas dan rundingan dicapai pada bulan April dan seterusnya tuntutan kearah menyemak semula kadar gaji diteruskan pada June. Ini suatu kemenangan yang besar hasil susah payah masyarakat bersolidariti dengan teguh mempertahankan tuntutan. Pad tahun 1930-an, selain melancarkan demonstrasi besar-besaran bagi mengambil garam di laut dalam usaha memecahkan monopoli Bristih terhadap garam yang merupakan nadi kehidupan masyarakat India, Mahatma Ghandi juga melancarkan boikot terhadap produk Bristih terutamanya kain kotton British dan menyeru lokal menggunakan kain kotton buatan tangan di rumah. Gerakan ketidaktaatan sivil yang berterusan ini menyebabkan Ghandi ditangkap beberapa kali dan akhirnya perjuangan beliau membuahkan hasil apabila India mendapatkan kemerdekaannya pada Ogos 1947. Banyak lagi contoh-contoh boikot yang berjaya membuahkan hasil seperti Delano Strike 1960, pimpinan Cesar Chavez bersama United Farm Workers (UFW) yang memprotes gaji terendah yang diterima pekerja anggur Filipina tidak seperti di negeri lain. Kempen dan kesedaran boikot ini menyebabkan hampir 14 juta rakyat Amerika memboikot pembelian buah anggur sehingga Delano terpaksa mengalah pada tahun 1969 dan menandatangi perjanjian dengan UFW. Tidak lupa juga kejayaan Montgomery Bus Boycott, pimpinan Martin Luther King yang memboikot bas atas undang-undang Alambama yang rasis terhadap orang kulit hitam. Boikot ini berjaya sehingga kesnya di bawa ke mahkamah dan diisytiharkan “unconstitutional” Kenapa boikot berjaya? Boikot ini bukan suatu trend hipster mahupun kempen acah-acah jika tujuannya untuk memberi impak. Boikot memerlukan disiplin dan stamina yang padu , sikap kepedulian yang tinggi, menjujung nilai kebersamaan sebagai yang nilai terpenting serta menjadikan kemanusiaan sebagai tunjang perjuangan. Jikapun boikot tidak berjaya, ataupun digelar sebahagian pihak sebagai “bermusim”, ianya bukanlah kerana boikot itu tidak efektif, akan tetapi sikap masyarakat kita yang belum bersedia menjunjung tanggunjawab kemanusiaan bersama dan meninggalkan seketika ruang selesa yang dinikmati sebelum ini. Kita lebih suka berdoa dari jauh, menyerahkan keputusan kepada Tuhan untuk menyelesaikan masalah kita daripada bangkit membuat perubahan. Sangatlah malang apabila masyarakat diajak untuk boikot, sudahlah skeptikal, tidak mahu menyertai, bahkan mengherdik pula insan-insan murni yang cuba menyatakan sikap dan kepedulian. Lebih ironi lagi, apabila boikot tidak berjaya, kerana ketidakpedulian mereka-mereka yang hanya ingin duduk dibelakang papan kunci memakan “pop-corn”, aneh sekali apabila keluar dari mulut mereka “kan aku dah cakap, tak berjaya pun boikot ini. Sekejap je panas” sedangkan gagalnya boikot itu kerana tiada solidariti yang ditunjukkan oleh mereka sendiri. Carne Ross, di dalam bukunya “The Leaderless Revolution : How Ordinary People Will Take Power and Change Politics in the 21st Century” membentangkan bahawa, sekurang-kurangnya ada tiga elemen yang boleh membawa perubahan tanpa pimpinan. Pertama ialah, meningkatkan pemberdayaan sosial melalui pengukuhan “participatory democracy”. Beliau memetik model-model seperti Occupy Wall Stree Movement dan juga penyertaan besar-besaran rakyat dalam membincangkan polisi setempat seperti yang berlaku di Porto Alegre, Brazil. Ia menekankan politik “from all to all” dan bukan sekadar memberi tanggungjawab kepada perwakilan setempat. Kedua ialah, politik personal. Ini adalah suatu sikap politik yang meletakkan tanggungjawab revolusi sosial terhadap tanggungan setiap individu dalam merubah keadaan masyarakat. Ianya elemen yang mengalihkan sikap kita dari hanya menyerahkan urusan politik kepada kerajaan yang kita sendiri tidak percaya, kepada organisasi mandiri yang mengumpulkan masyarakat setempat dan kerangka hubungan yang kompleks dan sepadu. Ketiga ialah pembentukan budaya yang sihat dimana kita beralih dari budaya konsumerisme yang menjengkelkan kepada budaya “togetherness” di mana kita mengambil kembali kawalan keatas diri sendiri yang menjadi agensi terpenting mengelola tindak tanduk yang bertanggungjawab. Dunia ini menurut beliau sememangnya tidak pernah ada kawalan yang berupaya menjaga hal ehwal rakyatnya secara mutlak. Politik berbentuk anarki yang menekankan kebertanggungjawaban sosial lebih menguntungkan demokrasi dan menawarkan “public scrutiny from all to all”. Kesimpulan Sudah tiba masanya untuk kita berhenti mengherdik usaha satu sama yang lain dalam upaya memberi kesan kepada ekonomi Israel dalam bantahan kita terhadap keganasan mereka. Memboikot barangan dan produk mereka sangatlah berkesan sekiranya kita cermat dan realistik dalam memilih produk-produk yang boleh kita sama-sama tinggalkan atas faktor bukan keperluan (seperti MCD dan Starbuck) dan simbol solidariti terhadap kemanusiaan.. Tentunya isu Gaza hanya cetusan di antara banyak lagi pencabulan terhadap kemanusiaan dan bukannya isu agama. Boikot merupakan suatu disiplin (walau bermusim) seperti bulan ramadhan dimana kita melatih diri dari menjadi konsumer terlajak dan rakus kearah mencapai matlamat politik dan menjunjung prinsip kemanusiaan di atas tahap tertinggi. Semua bermula dari dalam diri kita. Kita tak perlukan pemimpin untuk menunjukkan jalan itu dan ini. Ayuh lancarkan boikot yang bersepadu ke atas produk-produk (kita mula dengan produk makanan) dan barangan Zionis-Israel dan memberi kesan kepada ekonomi mereka. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh! Sambutlah seruan ini!         unnamed

]]>