Projek Dialog

9 Mitos mengenai Hinduisme, di bongkar!

Artikel ini diterjemahkan dari laman web CNN: http://edition.cnn.com/2017/03/03/world/believer-hinduism-nine-myths-debunked/index.html Suhag Shukla faham benar bagaimana orang luar memandang agamanya, iaitu Hinduisme. Selaku pengasas bersama Hindu American Foundation, Shukla seringkali menjelaskan silap faham yang terdapat pada agama Hinduisme. Hinduisme adalah agama yang kuno, meskipun tidak ada tarikh yang tepat bagi waktu ianya dibentuk. Namanya berasal daripada perkataan Sanskrit, Hinduisme dan Hindu dipanggil oleh para penjajah sebagai rujukan bagi orang yang mereka temui sewaktu mereka merentas gunung Hindu Kush dan tiba di Sungai Indus. Di Amerika Syarikat, agama Hinduisme dinaikkan oleh imigran India yang membawa ritual dan adat mereka bersama dan juga baru-baru ini, dengan perkembangan populariti ajaran Hindu seperti yoga dan meditasi. Hinduisme adalah agama tertua di dunia dan ketiga terbesar, dengan Kristian dan Islam sebagai agama terbesar. Hinduisme mempunyai pengikut melebihi 1 bilion. Ada juga yang berhujah bahawa Hinduisme merupakan cara hidup dan bukannya agama. Ia tidak mempunyai akidah ataupun gereja yang spesifik. Tidak juga ajarannya berdasarkan ajaran mana-mana pengasas ataupun kitab. Dan ianya tetap kekal misteri bagi kebanyakan orang.

Mitos pertama: Wujudnya 330 juta tuhan Hindu.

Realiti: Adanya satu Tuhan yang agung di mana ianya tidak dapat diketahui ataupun difahami. Hindu diwajarkan untuk mendekati dirinya dengan Tuhan melalui cara-cara yang sesuai dengan mereka, seperti memuja pelbagai dewa yang dipercayai sebagai manifestasi Tuhan. Tiga dewa utama adalah Trimurti ataupun Brahma, si pencipta; Vishnu, si pemelihara; dan Shiva, si pembinasa. Kerana itulah Hinduisme selalu difahami sebagai agama politeisme, ianya adalah hal yang sebaliknya. Tetapi wujud juga hujah mengenai terminologi yang benar bagi Hinduisme. Ada yang memanggilnya sebagai agama monistik, berdasarkan kepercayaan bahawa kesemua di dalam alam ini adalah sebahagian daripada satu inti ataupun alam. Ada yang, seperti Shukla, mengatakan bahawa Hinduism adalah honotheistik, iaitu pemujaan satu tuhan tanpa menafikan kewujudan tuhan-tuhan yang lain. Ada juga yang mengatakan bahawa Hinduisme adalah agama monotheistik. [caption id="attachment_6435" align="alignnone" width="982"] (AP Photo/Rajesh Kumar Singh)[/caption]

Mitos ke-2: Hindu adalah pemuja berhala.

Realiti: Pemujaan hindu merupakan peringatan kepada Tuhan. Tiada penganut Hindu akan mengatakan bahawa mereka memuja berhala. Sebaliknya, penganut Hindu mempercayai perwakilan fizikal Tuhan – melalui bentuk berhala bagi membantu mereka untuk fokus kepada beberapa aspek sembahyang ataupun meditasi. Sebagai contoh, seseorang yang baru sahaja membuka perniagaan yang baru berkemungkinan akan menyembah Ganesh, dewa gajah yang mewakili kejayaan.

Mitos ke-3: Hindu menyembah lembu.

Realiti: Para penganut Hindu tidak bersembahyang kepada lembu, tetapi tidak dinafikan bahawa mereka melihat semua ciptaan dan semua kehidupan sebagai sesuatu hal yang suci. Penganut Hindu mempercayai bahawa setiap kehidupan di dunia mempunyai roh yang tersendiri. Dan ini benar, bahawa lembu diletakkan di posisi yang istimewa di dalam masyarakat Hindu. Inilah sebabnya kenapa penganut Hindu mengelak daripada makan dagingnya. Lembu dilihat sebagai makhluk yang lembut, perwakilan keibuan yang menyediakan susu dan pelbagai bentuk rezeki yang lain. Mereka dihormati kerana nilai-nilai yang wujud pada mereka.

Mitos ke-4: Semua penganut Hindu adalah vegetarian.

Realiti: Majoriti penganut Hindu merupakan pemakan daging. Tetapi lebih kurang 30% tidak makan daging. Ianya berpunca dari kepercayaan asas terhadap Ahimsa, prinsip anti-keganasan. Disebabkan kesemua kehidupan di dunia merupakan manifestasi Tuhan, keganasan terhadap mereka dikirakan bercanggah kepada stabiliti alam yang semula jadi sifatnya.

Mitos ke-5: Hinduisme menyokong sistem kasta yang penuh diskriminasi.

Realiti: Diskriminasi kasta berakar dalam budaya dan bukannya agama. Kasta merupakan sistem kuno yang berdasarkan kelas pembahagian kerja di dalam teks Hindu, di mana ianya menjadi hierarki sosial yang kaku setelah bertahun-tahun ianya berlangsung. Kasta yang terendah ataupun yang tidak dapat disentuh, telah dipinggirkan dan menghadapi penganiayaan. Tetapi kebanyakan penganut Hindu pada zaman moden ini telah berhujah bahawa diskriminasi yang berdasarkan kasta bukan keutamaan Hinduisme dan tidak seharusnya diajar sebagai sesuatu hal yang diabsahkan oleh agama.

Mitos ke-6: Golongan wanita ditundukkan di dalam Hinduisme.

Realiti: Bukan disebabkan agama. Malah, satu ciri yang dapat membezakan Hinduisme daripada, kata Kristian ataupun Islam, adalah ia mengenal pasti bentuk-bentuk Tuhan sebagai feminin. Penganut Hindu menghormati Shakti, ataupun dikenali sebagai personifikasi tenaga Tuhan melalui bentuk wanita. Beberapa dewi yang seringkali dipuja adalah Parvati, bentuk utama Shakti; Saraswati, dewi hikmah; dan Lakshmi, dewi kemakmuran. Wanita di India mungkin sahaja tidak berada di dalam status yang sama dengan golongan lelaki, tetapi ini bukannya disebabkan oleh agama tetapi budaya, dan mereka menggunakan agama untuk merendahkan martabat wanita. Ini dapat sahaja di samakan dengan masyarakat penganut Islam yang memaksa wanita untuk menutup aurat mereka daripada kepala sehinggalah ke kaki. “Saya tak rasa ada asas untuk meminggirkan wanita di dalam agama kita,” terang Shukla. “Kitab Veda tidak memberi apa-apa arahan.”

Mitos 7: Wanita Hindu yang meletakkan ‘titik merah’ di dahi mereka telah berkahwin.

Realiti: Selalunya begitu. Titik merah pada suatu masa merupakan simbol perkahwinan bagi wanita Hindu. Kini, titik tersebut ataupun Bindi panggilannya, hanya sekadar hiasan. Wanita tua dan muda – berkahwin ataupun tidak – memakai bindi yang terdiri daripada pelbagai warna sebagai kenyataan fesyen. Manakala Tilak, yang juga penanda di dahi, mempunyai kepentingan dari segi agama. Ianya secara umum diperbuat daripada pes gaharu, abu ataupun kunyit merah dan ianya boleh sahaja diletak dalam bentuk garisan ataupun satu titik.

Mitos 8: Kitab Bhagavad Gita dilihat sebagai Kitab Injil.

Realiti: Tidak ada satu buku yang utama dan autoritatif di dalam Hinduisme. Tetapi Hinduisme amat kaya dengan pelbagai ayat-ayat suci dengan koleksi penulisan agama yang kuno. Para penganut Hindu percaya bahawa Tuhan menyatakan kebenaran-Nya kepada manusia-manusia agung yang menurunkan apa yang mereka tahu selama beribu-ribu tahun melalui tradisi lisan yang kaya sifatnya. Kitab-kitab tersebut termasuklah Kitab Veda, Upanishad, Purana dan Bhagavad Gita. Sebahagian daripada kisah epik iaitu Mahabharata, 700 ayat Gita adalah puisi yang paling panjang di dunia dan ianya dihasilkan di dalam bentuk dialog mengenai perang di antara dua putera, Arjuna dan Krishna. Ia menangkap beberapa kepercayaan penting di dalam Hinduisme tetapi tidak kesemua Hindu membaca Gita.

Mitos 9: Karma adalah suatu hal yang fatalistik.

Realiti: Kesemua mempunyai kebolehan untuk memilih tindakan di dalam kehidupan. Ini adalah teori di sebalik karma: bagi setiap tindakan yang orang lakukan, pasti wujudnya reaksi darinya. Penganut Hindu mempercayai bahawa mereka perlu menghadapi tindakan yang telah mereka lakukan. Setiap individu mencipta takdir mereka melalui tindakan yang mereka lakukan. Matlamat akhir adalah untuk mencapai karma yang akan membebaskan roh dan mengecapi Moksha, ataupun pembebasan daripada pengulangan kelahiran.                                  ]]>

Reviu: Kebebasan Bersuara Dalam Konteks Malaysia

Kebebasan Bersuara di Malaysia Slot bengkel bersama Masjaliza Hamzah mengupas dengan lebih mendalam mengenai teori dan praktik kebebasan bersuara di Malaysia. Masjaliza merupakan seorang bekas wartawan yang berkecimpung aktif dalam aktivisme sosial. Beliau memberikan mukadimah kepada topik kebebasan bersuara dalam konteks Malaysia dengan mengupas sejarah hak asasi manusia berkaitan kebebasan bersuara pasca Perang Dunia Kedua. Mengaitkan demokrasi dengan kebebasan bersuara, Masjaliza menyatakan bahawa kebebasan bersuara adalah hak yang harus wujud dan ditegakkan dalam sebuah negara demokratik. Dalam konteks Malaysia, sepertimana yang telah dinyatakan sebelum ini, kebebasan bersuara secara bersyarat diperuntukkan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Malaysia mempunyai pelbagai mekanisme undang-undang yang mengawal kebebasan bersuara di negara ini seperti Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, Akta Media Cetak dan Penerbitan 1948 – sekadar memberikan beberapa contoh. Kewujudan undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara ini dijustifikasi atas nama keselamatan dan ketenteraman awam dan masih digunapakai sehingga ke hari ini. Jelas Masjaliza, limitasi ke atas kebebasan bersuara mempunyai rasional: masyarakat perlu tahu bahawa wujudnya larangan tertentu dalam mengekspresikan diri agar tidak melakukan perkara-perkara yang dianggap sebagai melanggar undang-undang. Namun demikian, sekatan atau limitasi perlulah ditentukan oleh badan yang mewakili masyarakat dan tidak dimanipulasi untuk kepentingan pihak-pihak tertentu. Kebimbangan tercetus apabila keputusan untuk menyekat kebebasan bersuara diambil secara semberono tanpa perbincangan mendalam terlebih dahulu. Kewujudan undang-undang yang mengehadkan kebebasan bersuara tanpa limitasi yang jelas atau samar-samar pula membuka ruang bagi pemanipulasian undang-undang untuk berlaku. Iklim Ketakutan Memberi Impak kepada Kebebasan Bersuara Di Malaysia, bilangan individu yang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 meningkat secara drastik pada tahun 2015 dengan 220 individu disiasat di bawah akta terbabit – peningkatan sebanyak 500 peratus berbanding tahun 2014 di mana hanya 44 individu disiasat di bawah akta yang sama. Menurut Masjaliza, daripada 220 individu yang disiasat tersebut, 11 didakwa dan hanya 3 individu disabitkan bersalah oleh mahkamah. Peningkatan mendadak dalam bilangan individu yang disiasat di bawah akta hasutan walaupun hanya sebilangan kecil yang didakwa membawa kepada persoalan sama ada akta terbabit digunakan dengan adil dan telus oleh pihak berkuasa, atau digunakan untuk menimbulkan iklim ketakutan sehinggakan masyarakat takut untuk bersuara? Apakah motif yang digunapakai oleh kerajaan untuk menyekat kebebasan bersuara adalah untuk melindungi demokrasi dan keselamatan awam, ataupun untuk merencat kritikan terhadap urus tadbir negara? Motif untuk menggunakan akta hasutan mahupun mekanisme undang-undang lain yang menyekat kebebasan bersuara haruslah absah (legitimate) dari aspek tujuan dan juga impak. Jika undang-undang yang membatasi kebebasan bersuara ini dimanipulasi oleh pihak berkuasa atau pentadbir untuk kekal berkuasa dengan mengehadkan kritikan rakyat, tindakan sebegini adalah tindakan tidak demokratik yang jelas merupakan sebuah bentuk penyalahgunaan kuasa. Kebebasan Media Berdekad lamanya berkecimpung dalam bidang kewartawanan telah mendedahkan Masjaliza kepada selok-belok dunia kewartawanan dan kesukaran yang dihadapi oleh wartawan untuk melaporkan sesuatu peristiwa secara tepat berserta analisis kritis mengenai peristiwa terbabit. Menurut Masjaliza, media di Malaysia tidak bebas dan dikawal ketat oleh undang-undang seperti Akta Media Cetak dan Penerbitan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1988. Sukar bagi media untuk melaporkan berita dan juga analisis kritikal mengenai sesuatu perkara lebih-lebih lagi peristiwa politik yang tidak menyebelahi pentadbiran atau pemerintah negara. Namun demikian, kewujudan internet dan portal media memaksa media cetak untuk melaporkan peristiwa sebenar dengan telus. Masyarakat tidak lagi disuap dengan maklumat bersifat berat sebelah. Media sosial, walaupun tidak terlepas daripada mengimpak dunia kewartawanan secara negatif, memberikan alternatif kepada informasi yang diterima oleh umum. Dengan memberikan contoh gerakan Bersih, Masjaliza menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai percanggahan laporan media cetak dan arus perdana dengan berita yang bertebaran di laman sosial dan internet. Gerakan Bersih yang sering menjadi mangsa liputan berat sebelah oleh media arus perdana mendapat liputan media alternatif yang cuba untuk memberikan laporan yang lebih telus. Kebebasan Bersuara Tidak Perlu Ditakuti Seorang rakyat yang rasional dan bertanggungjawab tidak akan menyalahgunakan kebebasan bersuara yang diberikan kepadanya untuk menyebarkan ujaran kebencian, sebaliknya kebebasan sedemikian akan digunakan untuk membantu negara bangsa Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang lebih baik dengan memberikan pandangan dan kritikan yang membangun. Pentadbiran yang telus dan bersifat terbuka seharusnya tidak gentar untuk menerima kritikan. Pemanipulasian sekatan undang-undang terhadap kebebasan bersuara untuk kekal berpengaruh adalah tidak beretika. Suara rakyat tidak harus direnggut hanya kerana ianya mampu mencabar elit-elit politik yang tamak kuasa. Tuntasnya, hak kebebasan bersuara perlu dikembalikan semula kepada rakyat. ]]>

Reviu: Kebebasan Beragama dalam Konteks Undang-undang Malaysia

Malaysia Negara Hibrid Sejurus selepas menyapa peserta bengkel, Prof. Dr. Faridah Jalil awal-awal lagi sudah menyatakan bahawa perbincangan pada petang itu tidak akan berkisar dalam wacana untuk mengetahui sama ada Malaysia merupakan sebuah negara sekular ataupun sebuah negara Islam. Sebaliknya perbincangan akan tertumpu kepada aspek kebebasan beragama di Malaysia dari segi undang-undang. Prof. Faridah memulakan bicara mengenai kebebasan beragama dengan memperbetulkan tanggapan umum mengenai perlembagaan persekutuan Malaysia. Perlembagaan persekutuan tidak sepenuhnya sekular mahupun Islamik sebagaimana yang sering diperdebatkan umum tetapi, ianya adalah berbentuk hibrid yakni campuran antara kedua-duanya. Tanggapan bahawa perlembagaan persekutuan adalah sepenuhnya sekular atau sepenuhnya Islamik adalah tanggapan yang bermasalah. Isu Penukaran Agama di Malaysia Diberikan sifat dan posisi negara Malaysia sebagai sebuah negara hibrid dari segi undang-undang, Malaysia tidak menyekat penukaran agama warganegaranya termasuk yang beragama Islam. Menurut Prof. Dr. Faridah, pertukaran agama dalam kalangan penganut agama Islam adalah tidak mustahil, tetapi ianya harus melalui proses undang-undang. Undang-undang sedia ada di negara ini tidak membataskan hak seseorang individu untuk bertukar agama dan tidak pula bercanggah dengan mana-mana peruntukan perlembagaan. Namun demikian, proses undang-undang dalam kes pertukaran agama adalah rumit dan hal ini menjadi sekatan dalam kes pertukaran agama. Memandangkan negara ini adalah negara majoriti Muslim, isu pertukaran agama dalam kalangan orang Islam yang melibatkan proses undang-undang adalah amat sensitif. Kes Azlina Jailani atau Lina Joy yang mendapat perhatian (dan tohmahan) masyarakat kerana menuntut agar pertukaran agamanya kepada agama Kristian diiktiraf undang-undang adalah sebuah contoh ampuh dalam membuktikan bahawa kes pertukaran agama melibatkan orang Islam adalah sangat sensitif dalam konteks masyarakat Malaysia. Sentimen agama yang menebal serta sikap menuduh kumpulan agama lain sebagai cuba mencabar kesucian agama Islam di Malaysia dengan membawa ‘dakyah’ agama yang berbeza dengan Islam menjadikan mekanisme pertukaran agama menjadi lebih rumit. Apabila moral dan akhlak sang penukar agama menjadi persoalan masyarakat, pada ketika itulah kerumitan undang-undang berselirat dengan kerumitan untuk berhadapan dengan tuntutan masyarakat. Kerumitan Undang-undang Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan kebebasan pertukaran agama bagi semua warganegara. Tafsiran undang-undang yang liberal mengenai perkara ini berpendapat bahawa tiada halangan bagi sesiapa yang berusia 18 tahun dan ke atas untuk menukar agama secara sukarela. Tafsiran rigid atau konservatif mengenai perkara ini pula berpandangan bahawa perkara 11 (1) perlu dibaca bersama perkara 11 (4) yang menyekat pengembangan agama lain terhadap penganut agama Islam. Tambahan pula, perkara 3 (1) mengiktiraf Islam sebagai agama persekutuan walaupun kebebasan diberikan kepada penganut agama lain – agama Islam tetap diberikan kedudukan istimewa di negara ini. Pertentangan penafsiran undang-undang ini merumitkan lagi proses pertukaran agama dalam kalangan Muslim di Malaysia. Jelas Prof. Dr. Faridah lagi, walaupun pada zahirnya kelihatan seperti wujud halangan dan ancaman terhadap penganut agama Islam untuk menukar agama dari segi undang-undang, undang-undang sedia ada memberikan ruang untuk pertukaran agama dalam kalangan umat Islam. Ketika ditanya mengenai faktor yang menjadikan pertukaran agama seorang Islam menjadi rumit di negara ini, Prof. Dr. Faridah menyatakan bahawa ianya adalah kecaman masyarakat terhadap individu yang ingin keluar daripada Islam. Liputan meluas media dan tekanan umum mengimpak proses undang-undang. Lebih-lebih lagi mengambil kira pandangan majoriti mengenai status Malaysia sebagai sebuah negara Islam – hasil proses undang-undang yang memihak kepada sang penukar agama seringkali diterjemah sebagai sebuah keputusan yang mengancam kedudukan Islam dan penganutnya di negara ini. Percanggahan keputusan antara mahkamah sivil dan juga mahkamah shariah serta persoalan mengenai siapakah yang mempunyai lebih autoriti dalam membicarakan tuntutan pertukaran agama menyulitkan lagi keadaan. Menurut Prof. Dr. Faridah, terdapat kes di mana mahkamah shariah membenarkan tuntutan pertukaran agama seorang Muslim, dan terdapat juga kes di mana mahkamah sivil tidak membenarkan tuntutan pertukaran agama orang Islam. Kompleksiti undang-undang seperti ini agak sukar untuk difahami oleh masyarakat biasa yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai cara undang-undang ditafsir, dan berfungsi. Maka, adalah amat penting untuk memperbanyak bacaan, kajian, dan analisis mengenai sesebuah keputusan undang-undang sebelum menyimpulkan bahawa ianya adalah merupakan sebuah keputusan yang tidak adil – sepertimana yang sering dirumuskan dalam keputusan mahkamah mengenai kes pertukaran agama. Menghayati Kebebasan Beragama di Malaysia Negara Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang mendokong nilai-nilai demokrasi. Justeru, negara ini membenarkan perbezaan pandangan dan kepercayaan, dan seharusnya memberikan kebebasan untuk seseorang mengamal atau merubah agamanya. Kebebasan beragama adalah hak asasi manusia. Seseorang tidak boleh didiskriminasi hanya kerana ingin menganuti agama yang difikir sesuai baginya. Jika seseorang individu ingin mengubah kepercayaan beliau kepada sebuah kepercayaan yang lain atas kerelaannya sendiri, ianya tidak patut membawa kepada pengecaman terhadap individu terbabit. Masyarakat perlu menghormati kebebasan beragama di negara ini, dan dalam pada yang sama, tidak bersikap berat sebelah dalam kes pertukaran agama. Jika seorang bukan Islam dirai ketika memeluk agama Islam, mengapa apabila seorang Islam memeluk agama lain beliau dikecam serta diancam oleh masyarakat kita? Apakah sebilangan daripada kita hanya bertindak atas pegangan sendiri dan mendesak supaya semua orang lain untuk mempunyai pegangan yang sama? Bukan. Ini bukanlah sebuah artikel yang menggalakkan pertukaran agama dalam kalangan Muslim Malaysia mahupun meremehkan agama Islam sebagai sebuah agama yang dianuti oleh majoriti rakyat Malaysia, tetapi ini adalah sebuah artikel yang mengajak kita untuk sama-sama berfikir mengenai isu ini secara kritis. Konsep keadilan dan ehsan di dalam Islam seharusnya diaplikasikan dalam semua keadaan – termasuk dalam keadaan yang melibatkan pertukaran agama oleh seorang Muslim. Konflik yang melibatkan kepercayaan beragama seringkali disebabkan oleh sensitiviti keagamaan yang terlalu menebal dalam sesebuah masyarakat. Tiada agama yang mengajar kita untuk berkonflik, bahkan, semua agama menyeru kepada kebaikan dan kasih sayang sesama manusia dan juga alam sekeliling. Tatkala agama dijadikan sebagai punca untuk berkonflik, ketika itulah agama telah jatuh darjatnya kepada sebuah alat permainan emosi dan kuasa. Dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia, kurangnya toleransi antara agama dan kaum sering menjadi sebab utama yang membawa kepada pergeseran antara kaum dan agama di negara ini. Harapnya, apabila timbul isu-isu sensitif seperti isu pertukaran agama ini, kita dapat berbincang secara rasional dan kritis untuk mengelak timbulnya konflik dan kebencian sesama kita. ]]>

Reviu Hak Asasi Manusia dan Alam Melayu

Dr. Faizal Musa, atau Faisal Tehrani, penyelidik dan penulis novel terkenal. Setakat ini, enam buah novel beliau telah diharamkan badan penapisan buku.[/caption] Menurut Dr. Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani, tujuan utama Perishtiharan Hak Asasi Manusia diperkenalkan kepada dunia pada tahun 1948 adalah untuk melindungi hak asasi manusia seluruh dunia secara inklusif. Nilai-nilai perlindungan hak asasi manusia sebagaimana yang digariskan di dalam perisytiharan terbabit melangkaui elemen agama, budaya, bangsa, kewarganegaraan, orientasi seksual, gaya hidup, status sosial, dan fahaman politik. Oleh kerana itulah ianya dipanggil sebagai Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat – kerana setiap insan tidak boleh dinafikan hak-hak terbabit. Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat merupakan sebuah perisytiharan hak asasi manusia yang bersifat universal dan tidak mengambil kira relativisme budaya kerana ianya hanya akan merumitkan usaha penegakan hak asasi manusia. Relativisme Budaya Menyentuh mengenai isu relativisme budaya dalam pengolahan hak asasi manusia, Dr. Faizal berpendapat bahawa pengambilikiraan aspek relativisme budaya akan menyebabkan wujudnya pelbagai set dan dimensi berbeza dalam hak asasi manusia, dan keadaan ini menjadikan hak asasi manusia tertakluk kepada terma dan syarat tertentu – lantas bagi membuka ruang untuk hak asasi manusia dimanipulasi oleh pihak-pihak berkepentingan. Ketika membicarakan mengenai usaha sebilangan negara majoriti Muslim untuk mempunyai deklarasi hak asasi manusia yang berbeza daripada yang diisytiharkan oleh PBB pada tahun 1948, Dr. Faizal menegaskan bahawa pandangan Islam terhadap hak asasi manusia adalah penuntutan hak dan keadilan daripada yang teraniaya kepada yang menganiaya, bukannya antara Islam dan bukan Islam. Apabila negara Islam tampil ke hadapan dengan Deklarasi Cairo tentang Hak Asasi Manusia pada tahun 1990, walaupun ianya dilihat sebagai mewakili hak asasi manusia yang selari dengan hukum-hukum Islam, dalam masa yang sama ianya telah dimanipulasi oleh sebilangan untuk menekan hak asasi manusia penganut aliran Syiah – perkara sebeginilah yang menjadikan pengambilkiraan relativisme agama dan budaya dalam penegakan hak asasi manusia menjadi bermasalah. Model yang Kontemporari Adalah tidak dapat dinafikan bahawa model hak asasi manusia kontemporari adalah sebuah model hak asasi manusia acuan barat. Walaupun begitu, model acuan barat ini tidak seharusnya ditolak hanya kerana ianya dari Barat. Prinsip-prinsip hak asasi manusia sebagaimana yang digariskan di dalam perisythiran terbabit dan susulannya bersifat sejagat – rentas budaya dan agama. Adalah tidak adil untuk menuduh model ini bersifat tidak Islamik hanya kerana ianya tidak berlandaskan tuntutan hak asasi manusia di dalam agama Islam; kerana kesemua hak yang terangkum di dalam model kontemporari ini merupakan hak yang sama didokong oleh Islam. Sudah tentu akan ada suara-suara sumbang yang menuduh bahawa ianya tidak Islamik kerana tanggapan umum ialah: deklarasi hak asasi sejagat menyokong hak-hak golongan LGBTQIA, sedangkan deklarasi tersebut tidak secara khususnya menyebut mengenai hak golongan terbabit tetapi hanya menggariskan secara umum mengenai hak setiap insan untuk menjalani hidupnya tanpa didiskriminasi. Tuduhan sebegini merupakan hasil falasi intelektual yang tercetus daripada keengganan untuk melihat gambaran penuh mengenai hak asasi manusia sejagat. Hak Asasi dan Alam Melayu Mengupas mengenai hak asasi manusia dan alam Melayu, Dr. Faizal berkongsi intipati perbualannya dengan seorang pelajar yang mengatakan bahawa model hak asasi manusia yang wujud pada hari ini adalah tidak relevan untuk dipakai dalam konteks masyarakat Melayu Malaysia. Lantas, apabila pelajar terbabit disoal kembali mengenai model hak asasi manakah yang sesuai untuk diguna pakai oleh orang Melayu pada ketika ini, pelajar tersebut menyatakan bahawa orang Melayu seharusnya kembali kepada amalan hak asasi manusia zaman Kesultanan Melayu Melaka. Jawapan tersebut mengundang persoalan: adakah perbuatan Sultan Melaka membunuh ahli keluarga Tun Fatimah termasuk suaminya Tun Ali dan kemudiannya memperisterikan Tun Fatimah adalah perbuatan yang mendokong nilai-nilai hak asasi manusia? Semestinya tidak. Menurut Dr. Faizal, alam Melayu bukanlah tanpa bukti bahawa wujudnya usaha penegakan hak asasi manusia. Memberikan contoh dua batu bersurat: Batu Bersurat Talang Tuwo dan Batu Bersurat Pagar Ruyung, Dr. Faizal menjelaskan bahawa terdapat elemen hak asasi manusia termaktub sebagai intipati batu-batu bersurat terbabit. Batu Bersurat Talang Tuwo yang merupakan bukti tertua kewujudan aliran Buddhisme Mahayana di Indonesia dan Asia Tenggara misalnya, mempunyai premis mengenai keselamatan makanan. Tertera pada permukaan batu bersurat tersebut mengenai hak setiap insan untuk mendapatkan akses kepada makanan secara berterusan dan mencukupi untuk menjamin kelangsungan hidup – salah satu elemen terutama dalam hak asasi manusia kontemporari. Kerajaan Melayu lama Pagar Ruyung pula, menerusi Batu Bersurat Pagar Ruyung, menekankan mengenai hak untuk hidup. [caption id="attachment_6374" align="aligncenter" width="225"] Fridge magnet Batu Bersurat Terengganu yang dijual di eBay[/caption] Kesimpulan yang dapat dibuat daripada penelaahan intipati batu-batu bersurat kerajaan Melayu Lama terbabit ialah: hak asasi manusia bukanlah sebuah konsep yang asing dalam alam Melayu. Hak asasi manusia merupakan konsep yang tidak pernah lekang dengan perdebatan dan kontroversi. Walaupun model hak asasi manusia kontemporari dikritik dan ditolak sesetengah pihak, adalah tidak dapat dinafikan bahawa nilai-nilai hak asasi manusia yang termaktub dalam model kontemporari ini adalah bersifat sejagat. Desakan untuk merubah atau menolak sebahagian daripada nilai dalam model kontemporari ini adalah sebuah perbuatan yang tidak melihat kepada sejarah, atau ahistorik. Menilik realiti politik antarabangsa pada masa kini, kebanyakan negara yang menolak untuk mengguna pakai sebilangan premis model kontemporari ini lazimnya adalah negara yang sarat dengan praktis pencabulan hak asasi manusia terutamanya dari segi politik dan sosial. Seringkali juga, hak asasi manusia diketepikan bagi mencapai matlamat politik menggunakan justifikasi keselamatan negara. Sudah tiba masanya untuk sebilangan negara untuk berhenti menolak hak asasi manusia kontemporari atas nama relativisme budaya dan agama sedangkan realitinya, perjuangan penegakan budaya dan agama hanyalah alasan untuk permainan politik kuasa.]]>

Reviu Bengkel Penyah-stabilan Perdebatan Hijab: Pilihan atau Paksaan

Seorang wanita Iran memprotes pemaksaan pemakaian tudung[/caption] Walaupun pandangan arus utama ini tidak salah dalam meletakkan ciri-ciri seorang wanita Islam, ianya menjadi bermasalah tatkala ciri-ciri ini berubah menjadi ideal seorang wanita Muslim harus mempamerkan atau memanifestasikan diri, dan agama beliau. Menurut Najeehah, pandangan serong segelintir masyarakat terhadap wanita Islam yang tidak memakai tudung mahupun menutup aurat merupakan sesuatu yang tidak seharusnya berlaku kerana hubungan seorang Muslim dengan Tuhannya itu adalah bersifat personal; masyarakat tiada kuasa menghukum mahupun mendesak seseorang untuk mengamal praktis-praktis agama. Tudung Menjadi Perdebatan Awam Senario lazim dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini apabila melibatkan isu tudung dan aurat, ianya seringkali merupakan isu yang sensitif dan membawa kepada perdebatan awam, lebih-lebih lagi apabila isu yang diketengahkan melanggar norma masyarakat seperti isu penanggalan tudung. Apabila pelakon Uqasha Senrose mengambil keputusan untuk berhenti memakai tudung atas sebab-sebab peribadi, beliau menerima kecaman umum daripada pelbagai pihak. Namun, beberapa tahun lepas apabila beliau mengambil keputusan untuk memakai tudung, keputusan beliau diraikan majoriti masyarakat. Asas tohmahan yang dilemparkan kepada Uqasha dapat difahami; keputusan berhenti memakai tudung dianggap sebagai keputusan untuk berhenti menjadi seorang Muslim yang baik, sedangkan, tudung tidak seharusnya menjadi ukuran kepada tahap keimanan seseorang, lebih-lebih lagi apabila ianya sudah menjadi sebuah kelaziman untuk wanita Melayu beragama Islam untuk memakai tudung pada era ini. [caption id="attachment_6321" align="aligncenter" width="640"] Imej daripada artikel My Unveiling Ceremony https://www.nytimes.com/2015/04/11/opinion/mona-eltahawy-my-unveiling-ceremony.html?_r=0[/caption] Realitinya, pemakaian tudung tidak mencerminkan hubungan seorang wanita Islam dengan Tuhannya. Kegagalan masyarakat untuk memahami bahawa amalan pemakaian tudung seharusnya menjadi pilihan, bukan paksaan, adalah amat mengecewakan. Tudung, bukanlah sehelai kain yang menentukan syurga neraka seseorang. Tudung, tidak seharusnya menjadi konstruk sosial. Tudung, melambangkan hubungan personal dengan Tuhan tetapi bukan satu-satunya jambatan kepada hubungan terbabit. Ketiadaan tudung di kepala seorang wanita Muslim tidak melambangkan kebejatan moral wanita terbabit; tidak juga ia melambangkan bahawa beliau bukanlah seorang Muslim yang baik. Persepsi sebeginilah yang menjadi punca kepada perpecahan masyarakat Islam di Malaysia. Jika Islam itu bersifat adil dan memahami, maka siapakah kita ahli masyarakat untuk menilai seorang Islam yang lain dari segi ritual amalan agamanya? Bukankah elemen kasih sayang dan penerimaan itu lebih penting daripada penuduhan dan sifat judgmental sesama kita? Bukankah Allah SWT itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang, tetapi, di manakah manifestasi rasa kasih dan sayang ini dalam kalangan Muslim apabila melibatkan isu aurat dan pemakaian tudung terutamanya? Tudung bukan Ukuran Moral Sudah menjadi sesuatu yang lazim dalam kalangan masyarakat kita untuk mengaitkan pemakaian tudung dengan nilai kesucian diri seorang wanita Islam. Bukan sahaja itu, sedari kecil lagi, kanak-kanak perempuan dimomokkan dengan pandangan bahawa amalan pemakaian tudung adalah amat penting untuk mengelakkan inci tubuh badan mereka menjadi santapan mata kaum Adam – sebuah premis hujah yang bermasalah dalam menuntut seorang anak perempuan untuk memakai tudung. Pada pendapat Najeehah yang juga sedang melakukan kajian pada peringkat sarjana mengenai pandangan bahawa pemakaian tudung dan penutupan aurat akan mencegah tatapan mata bernafsu daripada lelaki, perkara ini tidak seharusnya menjadi asas hujah utama dalam usaha mempromosikan amalan pemakaian tudung dan penutupan aurat. Sebaliknya, ianya harus dikaitkan dengan hubungan interpersonal seorang wanita Islam dengan Tuhan. Menurut Najeehah lagi, penghuraian hikmah pemakaian tudung semata-mata daripada aspek mengekang nafsu lelaki hanya akan merendahkan martabat wanita, dan mengobjektifikasikan wanita sebagai alat pembangkit nafsu lelaki semata-mata. Seorang wanita Islam itu harus dihormati dan diberikan hak-hak sebagai seorang manusia tanpa mengambil kira bahawa beliau memakai tudung atau menutup aurat mahupun tidak. Premis hujah bahawa seorang wanita haruslah menutup aurat sebelum dihormati dan dipandang tinggi adalah sebuah pandangan yang salah, dan tiada dalam ajaran agama Islam. “Pernahkah anda mendengar analogi lolipop dan wanita yang tidak menutup aurat?” Soalan ditebak kepada peserta bengkel. “Ya.” Sahut majoriti peserta kembali. Lantas Najeehah menerangkan mengenai analogi lolipop dengan wanita yang tidak menutup aurat kepada peserta yang tidak pernah mendengar analogi terbabit. Perempuan tanpa tudung, perempuan yang tidak menutup aurat sering disamakan dengan lolipop atau gula-gula tanpa pembalut yang terjatuh ke tanah – tercemar, dan kotor. Jika lolipop atau gula-gula itu dibalut dengan kemas, maka, lemparlah ia ke tanah hatta seribu kali jua, tidak akan peduli dengan debu dan kotoran kerana ianya dilindungi kemas dalam pembalut itu. Perempuan yang menutup aurat disamakan dengan lolipop berpembalut; perempuan yang tidak menutup aurat disamakan dengan lolipop tanpa pembalut. [caption id="attachment_6320" align="aligncenter" width="403"] Imej perbandingan wanita bertudung dengan wanita bertudung dalam bentuk lolipop yang berpembalut dengan tidak berpembalut[/caption] Martabat perempuan Islam direndahkan ke taraf perbandingan dengan lolipop yang dicemari kotoran – hanya kerana kegagalan untuk menutup kepala. Pada ketika ini, pemakaian tudung bukan lagi sebuah tuntutan agama, tetapi ianya telah terjelopok menjadi sebuah tuntutan masyarakat. Konstruk Sosial Rentas Pengalaman Cara seorang wanita Islam berpakaian tidak seharusnya dihakimi; dan tudung, tidak seharusnya menjadi sebuah konstruk sosial. Adalah amat penting untuk memahami bahawa konteks hujah Najeehah adalah bersandarkan kepada pengalaman segelintir wanita beragama Islam di negara-negara majoriti Muslim, dan ianya berbeza daripada pengalaman wanita Islam di tempat lain. Dalam menghujahkan pemerhatian dan analisis beliau, beliau ada menyebut mengenai pengalaman berbeza wanita Muslim Malaysia juga. Perbezaan faktor demografik, taraf pendidikan, dan taraf sosial menjadikan pengalaman seorang wanita Muslim itu mungkin sahaja berbeza daripada pengalaman wanita Muslim yang lain. Namun demikian, hakikatnya, hujah mengenai isu pemakaian tudung dan penutupan aurat sebagaimana yang telah diketengahkan oleh Najeehah mempunyai asas yang ampuh, lebih-lebih lagi apabila isu ini ditilik dengan lebih mendalam dalam konteks masyarakat Islam Malaysia. Ekspresi kepercayaan agama melalui pakaian, menurut Najeehah, merupakan aspek lahiriah, bukannya rohaniah. Ekspresi kepercayaan itu adalah sesuatu yang peribadi; dan tudung dan aurat itu bukanlah kayu pengukur ulung dalam hubungan indah antara seorang hamba dengan Tuhannya. Fazilah Majeed merupakan pelajar tahun akhir Pengajian Antarabangsa dan Strategik di Universiti Malaya. Beliau seorang koordinator di Sekolah Feminisme Malaya, sebuah pergerakan pelajar feminis yang menjalankan aktiviti-aktiviti pembacaan dan aktivisme feminis di kampus. ]]>

Reviu Forum: Dialog Tertutup Baha’i dan Ahmadiyyah.

Begitulah permulaan bagi premis dialog yang kami langsungkan dan hasil kerjasama pihak lain yang pemurah hati. Dialog di antara Baha’i dan Ahmadiyyah diadakan dengan niat agar pihak awam dan juga pihak yang terlibat dapat memahami dengan lebih lanjut mengenai kedudukan masing-masing di dalam struktur masyarakat. Apakah perbezaan dan persamaan di antara mereka? Apakah inisiatif dan sudut pandang agama minoriti di sini? Wujudkah stigma dan prejudis yang jelas sedang berlangsung pada waktu ini? Dialog ini berlangsung di bangunan komuniti Ahmadiyyah sendiri, dan di situ kami sendiri menyaksikan papan tanda yang menyatakan ‘Qadiani Bukan Agama Islam’ sebagai peringatan kepada mereka oleh pihak berkuasa bahawa mereka merupakan penganut ajaran yang menyeleweng, sesat dan murtad. Untuk forum ini, saudara Maulana Ainul mewakili pihak komuniti Ahmadiyyah dan saudara TK Lee mewakili pihak komuniti Baha’i di Malaysia. Kedua-duanya menerangkan secara umum dan kemudian membincangkan keadaan mengenai agama masing-masing dan kedudukan mereka di dalam masyarakat di negara kita. Dialog dimulakan dengan pembukaan doa oleh pihak Ahmadiyyah dan kemudiannya diteruskan dengan saudara Maulana Ainul untuk menerangkan aspek legal, konteks perlembagaan dan bentuk-bentuk penindasan yang dialami oleh pihak mereka. Saudara Ainul menyentuh hal yang termaktub di dalam perlembagaan, terutama sekali mengenai kebebasan untuk mempraktikkan agama masing-masing dan kemudiannya disusuli dengan penekanan perkara 11(4) di mana Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam. Pada tahun 1953, satu fatwa telah dikeluarkan oleh Mufti Selangor yang menyatakan bahawa ajaran Ahmadiyyah adalah murtad dan terkeluar daripada agama Islam. Sehingga kini, hampir 65 tahun komuniti mereka masih mengalami bermacam bentuk prejudis dan stigma di kawasan mereka sendiri. Malah di dalam sukatan pelajaran Malaysia sendiri, terpampang jelas foto pengasas Ahmadiyyah yang dilabel sebagai sesat. Tohmahan negatif seperti ini telah menjadi suatu hal kebiasaan bagi pihak mereka, sehinggakan mereka sendiri terpaksa mencari jalan alternatif untuk terus mempraktikkan agama mereka tanpa dikacau oleh mana-mana pihak. Kemudian tiba giliran saudara TK Lee untuk menerangkan sedikit sebanyak mengenai agama Baha’i di Malaysia. Saudara Lee memulakan penerangan dengan nyanyian keagamaan Baha’i. Menarik untuk ditekankan, berbeza dengan komuniti Ahmadiyyah, agama Baha’i diterima dengan baik di Malaysia, malah diperakui oleh pihak kerajaan sebagai suatu agama yang bebas untuk dipraktikkan. Tetapi berbeza pula halnya di Iran, di mana komuniti Baha’i masih teruk ditindas dan masih menerima pelbagai bentuk prejudis dan juga segala bentuk tohmahan negatif. Jadi walaupun wujudnya perbezaan di negara kita, tetapi secara umumnya agama minoriti masih mengalami suatu bentuk penindasan di hampir seluruh dunia. Kemudian dialog dibuka kepada persoalan-persoalan yang dinyatakan oleh pihak awam. Ada yang mempersoalkan bagaimana hal yang perlu dipersoalkan ini akan menjurus kepada soalan yang politikal dan bagaimana kemudiannya isu ini membawa kepada pelbagai bentuk penyelesaian alternatif yang kebanyakannya di dalam kerangka yang sah dari segi undang-undang. Turut juga dibincangkan mengenai bahawa ahli-ahli politik seringkali bersikap oportunis terhadap isu pembelaan golongan agama minoriti tetapi tidak berani apabila ingin disebut nama mereka. Begitulah secara umumnya hal yang diperbualkan apabila ianya berkaitan dengan isu politik. Pada akhir forum, apabila soalan RUU 355 diajukan, mereka bertegas akan terus menjalankan aktiviti masing-masing dan akan terus memperkukuhkan komuniti mereka. Agama minoriti terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan ini bakal menguatkan lagi determinasi pegangan ajaran mereka. Kemudian pada akhir acara, pihak Projek Dialog, pihak komuniti Baha’i dan Ahmadiyyah, dan pihak awam bersembang santai sambil meneruskan beberapa perbualan yang masih belum selesai. ]]>