Projek Dialog

Pelan Tindakan Rabat & Ungkapan Kebencian

Gambar: Socialnomics.net Gambar: Socialnomics.net[/caption] Kebebasan Bersuara, Ungkapan Kebencian & Penyalahgunaan Undang-undang Dalam era serba moden ini, kita tidak terlepas daripada mengungkapkan segala sesuatu terutama di laman media sosial. Kebebasan bersuara dan berekspresi ini dilihat seolah-olah tidak mempunyai sempadan. Manusia tidak kisah apa jua latar belakang bebas bersuara tentang pelbagai perkara sama ada komen terhadap berita media, menyebarkan dakyah ideologi, menjaja kisah hidup peribadi atau meraikan keluarga dan rakan-rakan. Ada juga yang berjenaka, menyebarkan imej-imej serta video berunsur nasihat mahupun “menyerang” apa-apa yang dilihat tidak enak atau tidak selari dengan pendapat peribadi individu yang terasa. Tidak kurang hebatnya dalam era demokrasi ini, rakyat Malaysia sejak tahun 1998 dilihat semakin berani bersuara melalui demonstrasi dengan mempertahankan ideologi politik dan agama, membantah penindasan hak-hak tertentu dan melakukan tuntutan bagi sesuatu tujuan. Meskipun demikian, kebebasan bersuara mahupun berekpresi ini juga boleh disalahgunakan untuk menyebarkan kebencian. Di Malaysia, undang-undang yang boleh digunakan untuk mencegah ungkapan kebencian amat terhad seperti Seksyen 298 dan 298A dalam Kanun Keseksaan. Malangnya, penguasaan undang-undang masih dilihat meragukan meskipun kerajaan meminda akta seperti Akta Hasutan 1948. Tambahan pula, ada akta baru yang diperkenalkan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang dikenali sebagai SOSMA dan terkini Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA). Rakyat dapat menilai sendiri bagaimana akta tersebut diguna pakai. Ia bukanlah untuk membela suara minoriti mahupun mengekang kebencian tetapi lebih kepada memelihara kepentingan pemerintah dengan menghalang suara-suara sumbang yang mengkritik kerajaan. [caption id="attachment_5365" align="aligncenter" width="450"]Gambar: Clarespark.com Gambar: Clarespark.com[/caption] Apa itu Pelan Tindakan Rabat?[1] Pelan Tindakan Rabat merupakan dokumen praktikal bagi membendung kebencian dalam bersuara. Beberapa siri bengkel telah diadakan di pelbagai negara oleh Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR) bagi mendapatkan penilaian menyeluruh dari pakar-pakar dalam hal ini. Ia merangkumi pelaksanaan undang-undang dan dasar yang berkait dengan advokasi terhadap kebencian nasional, kaum atau agama yang membawa diskriminasi, permusuhan dan keganasan  di peringkat nasional dan serantau. Sudah tentu ia berusaha untuk mengekang ungkapan kebencian yang melampau, tanpa menjejaskan kebebasan berekspresi sebagaimana yang dilindungi oleh undang-undang hak asasi manusia antarabangsa. Siri bengkel ini berakhir di Rabat, Maghribi pada 4 dan 5 Oktober 2012 bagi menghasilkan analisa perbandingan bagi dapatan setiap bengkel sebelumnya. Hasilnya, bengkel tersebut mengenal pasti tindakan bagi setiap peringkat dan untuk merangka langkah terbaik serta alat bagi perkongsian pengalaman. Ringkasnya, kunci utama pelan tersebut adalah untuk menghalang sebarang hasutan kebencian secara tanggungjawab bersama daripada kakitangan kerajaan, pemimpin agama mahupun komuniti, media dan individu. Justeru, adanya keperluan untuk memupuk kesedaran sosial, tolak ansur, hormat-menghormati dan dialog antara agama/budaya. [caption id="attachment_5366" align="aligncenter" width="559"]Gambar: Hma-rekan.com Gambar: Hma-rekan.com[/caption] Ungkapan Kebencian yang Menjadi Jenayah Dalam hal ini, Pelan Tindakan Rabat mencadangkan ujian penentuan enam bahagian untuk ekspresi/ungkapan yang dianggap sebagai kesalahan jenayah:

  1. Konteks – konteks adalah amat penting apabila menilai jika kenyataan tertentu mungkin dilihat sebagai hasutan ke arah diskriminasi, permusuhan atau keganasan terhadap kumpulan sasar;
  2. Pembicara – kedudukan atau status pembicara dalam masyarakat perlu dipertimbangkan, terutama kedudukan individu dalam konteks khalayak yang ditujukan ungkapan tersebut;
  3. Niat – Artikel 20 Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) mensyaratkan niat jenayah sebagai penentu. Ia termasuklah “sokongan” atau “hasutan” dan bukannya pengagihan atau pengedaran bahan semata-mata;
  4. Kandungan dan bentuk – Kandungan ungkapan itu perlu menjadi tumpuan penentuan, pada tahap mana ia provokatif dan juga bentuk, gaya dan jenis hujahnya;
  5. Takat pengungkapan – Sejauh mana capaian ungkapannya, sama ada ia umum atau peribadi, saiz khalayak, kemampuan penyebarannya dan sama ada khalayak berupaya untuk bertindak atas hasutan itu;
  6. Kemungkinan, termasuk kesegeraan – Mahkamah perlu membuat keputusan sama ada terdapat kemungkinan munasabah bahawa ungkapan tersebut mampu menghasut tindakan sebenar terhadap kumpulan sasaran.
Menangani Perbezaan Sejarah mengajar kita untuk menjadi dewasa. Itulah pendirian yang wajar diambil bagi menilai kewajaran meraikan kebebasan bersuara dan pada masa yang sama mengekang ungkapan kebencian. Ingkatkah kita pada kulit depan akhbar Utusan Malaysia yang menyelar agenda “Kristian agama rasmi?” Bagaimana pula dengan paparan status Facebook Alvin Tan dan bekas kekasihnya Vivian Lee yang mempersenda bulan Ramadhan melalui gambar mereka menikmati bah kut teh? Tidak kita lupa dengan Dato Ibrahim Ali yang menghasut ahli PERKASA agar membakar Alkitab Bahasa Malaysia yang tertera penggunaan kalimah Allah. Himpunan HINDRAF yang menuntut keadilan bagi pihak penganut Hindu sebaliknya menuduh kerajaan pimpinan UMNO-BN melakukan pembersihan etnik yang mengundang kemarahan kaum Melayu. Ada banyak lagi peristiwa yang berlaku di negara ini yang perlu dikaji dan dijadikan pengajaran bahawa kebebasan bersuara tanpa memikirkan sensitiviti norma masyarakat, kaum serta agama akan mengundang tindak balas. Namun, pada masa yang sama itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk menyakiti individu yang bersuara tersebut. Cukuplah dengan membidas, memprotes atau membalas hujahnya. Atau diabaikan. Jawapannya bukan pada keganasan. Terutama sekali, hak individu, lebih lagi yang “minoriti” serta “berbeza” wajar diberi perhatian agar tidak ditindas mahupun didiskriminasi. [caption id="attachment_5367" align="aligncenter" width="470"]Gambar: Steve Morrish.com Gambar: Steve Morrish.com[/caption] Menilai Kemungkinan yang Ada Memang tidak dapat dinafikan faktor agama itu sendiri boleh dijadikan alat bagi menyebarkan kebencian. Teks kitab suci dalam setiap agama juga mengandungi ayat-ayat sukar yang boleh mengguris sensitiviti antara agama. Di sinilah pemimpin agama perlu memainkan peranan penting mereka agar tidak menanamkan kebencian terhadap sesuatu kelompok yang berlainan dengan mereka. Jelas, keterbukaan untuk menerima perbezaan dan meraikan kepelbagaian memerlukan dialog yang berterusan. Bersama Projek Dialog menerusi bengkel kebebasan bersuara yang dianjurkan, saya pernah menulis makalah “Kebebasan Bersuara Dan Toleransi Agama di Malaysia” sebagai renungan. Salah satu kempen penting yang perlu dididik kepada rakyat Malaysia adalah sikap “setuju untuk berbeza pendapat”, bahawa tiada pendapat yang wajar dipaksakan kepada yang lain jika perbezaan itu tidak dapat diterima. Pelan Tindakan Rabat ini wajar dilaksanakan dalam perundangan negara bagi mengekang ungkapan kebencian, namun melindungi kebebasan bersuara pada waktu yang sama. Usaha bagi memberi kesedaran serta pengajaran wajar dipergiat melalui video, risalah, media sosial, dialog antara agama dan dalam kehidupan seharian kita. Tuntas, ungkapan kebencian tidak wajar dijadikan sebahagian kebebasan bersuara kerana khuatir ia akan menjadi suatu bentuk penzaliman mahupun keganasan. [1] http://www.ohchr.org/Documents/Issues/Opinion/SeminarRabat/Rabat_draft_outcome.pdf ]]>

Tun Mahathir Lawan Najib: Sudut Pandang Anak Sarawak

Najib vs Mahathir dalam 'perang Pokemon' Najib vs Mahathir dalam ‘perang Pokemon’[/caption] Bapa-bapa Negara Seakan menjadi tradisi apabila melihat Tun Dr Mahathir sekali lagi melakukan perkara yang sama yang pernah dilakukan kepada Tun Abdullah terhadap Dato’ Sri Najib. Apabila satu demi satu perdana menteri tidak berupaya meneruskan Wawasan 2020 sepertimana yang dirancang dengan baik, Tun Mahatir akan mengatur strategi bagi menjatuhkan pengganti beliau. Dato’ Sri Najib, Perdana Menteri Malaysia yang keenam adalah anak sulung kepada mantan Perdana Menteri kedua iaitu Tun Abdul Razak. Tun Abdul Razak dikenang sebagai Bapa Pembangunan manakala Dato’ Sri Najib terkenal sebagai Bapa Transformasi 1Malaysia. Retoriknya gelaran yang diberikan, saya amat skeptik mengapa perlunya pengkhususan misi dan visi terhadap gelaran “bapa” kepada setiap Perdana Menteri. Sedangkan ada di kalangan mereka ini tidak berupaya untuk mengangkat gelaran tersebut seperti yang diwar-warkan gah ibarat adiwira. Seakan tidak menjadi “ke mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi”, personaliti Najib tidaklah seutuh dan sehebat legasi bapanya jika dinilai prestasinya sejak PRU-13 lalu. Harapan Yang Punah Pada mulanya, saya menaruh harapan yang tinggi kepada Najib sebagai Perdana Menteri. Bagi saya, beliau dilihat sebagai ikon Islam moderat bagi menyatupadukan rakyat Malaysia dengan slogan 1Malaysia “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” namun hampa. Ternyata tanggapan saya ketika itu amat meleset. Sejak beliau mentadbir kerajaan pada tahun 2009, banyak kejadian serta insiden yang tidak diingini berlaku di arena politik, sosial dan ekonomi tanah air. Sudah jatuh ditimpa tangga, adakah kegagalan Najib mentadbir kini disebabkan segala masalah pentadbiran yang diwarisi daripada Tun Abdullah dan Tun Mahathir sejak zaman reformasi 1998? Memetik kenyataan Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar yang juga anak kedua arwah Timbalan Perdana Menteri Ghafar Baba daripada SelangorKini, beliau mendakwa sikap boros Najib merupakan punca kepada krisis kepimpinan beliau. “Ketika rakyat tengah susah, harga barang naik tetapi Najib dan Rosmah tidak prihatin. Mereka pergi bercuti guna jet kerajaan ke Australia dan Amerika, tetapi Tun Razak ketika perjalanan terakhir ke London untuk berubat tidak benarkan Tun Rahah ikut kerana tidak ada jumbo jet, kena beli tiket kapal terbang. Tun Rahah tidak pergi akhirnya kerana ingin jimat dan tidak mahu guna dana kerajaan.” Baik Buruk Yang Lama Berbalik kepada soal kepimpinan, saya ingin menganalisa corak kepimpinan Tun Dr Mahathir sejak mengangkat jawatan sebagai Perdana Menteri dari 1981 dengan kaca mata saya sendiri. Saya mengenali Tun Mahathir melalui buku teks, televisyen, media cetak, akhbar, cerita ahli keluarga dan rakan-rakan saya sendiri. Ketika itu, internet belum lagi menjadi media yang utama. Saya adalah peminat Tun Mahathir sejak 1998. Rata-rata, komen-komen positif terhadap Tun Mahathir membuatkan reputasi beliau kelihatan seperti adiwira untuk negara ini. Sehinggalah saya menganalisa corak pentabiran beliau secara rinci menerusi internet dan media alternatif sejak tahun 2008, menunjukkan beliau juga tidak terlepas daripada kesilapan dalam pentadbiran. Kejayaan yang dikecapi di negara ini tidak mungkin dinikmati jika Tun Mahathir tidak mentabir selama 22 tahun dalam 5 penggal PRU. Bagi saya, beliau tahu apa visi dan misi yang ingin diterapkan pada negara. Beliau turut digelar diktaktor atau maha firaun oleh sesetengah rakyat dengan tindakan drakonian. Antaranya ‘Operasi Lalang 1987’, Akta ISA, kes pembunuhan beramai-ramai di Memali, pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan beberapa krisis yang memalitkan nama beliau seperti Projek IC di Sabah. Namun, apa yang mengagumkan saya sepanjang beliau mentadbir, rakyat Malaysia sepanjang tempoh tersebut tidak banyak merungut berbanding sekarang. Saya berpendapat satu kesilapan beliau dalam mentadbir negara mungkin adalah menyiapkan pengganti bagi Perdana Menteri. Tidak hairanlah lebih 4 Timbalan Perdana Menteri dilantik bagi memastikan aspirasi beliau diteruskan. Tuduhan kronisme serta rasuah terhadap beliau memang tidak dapat dielakkan. Selagi fungsi SPRM dan Jabatan Audit Negara tidak diletakkan pada tahap yang efisen, agak sukar untuk menzahirkan dakwaan tersebut. Krisis dan Praksis Berbalik kepada krisis kepimpinan Najib, 1MDB merupakan satu musibah yang Najib tidak lagi berupaya untuk memulih keadaan ekonomi negara ini. Satu demi satu skandal ditelanjangkan oleh media alternatif dan politikus pembangkang. [caption id="attachment_4809" align="alignleft" width="385"]Buku program sempena lawatan Najib ke Sarawak bagi sambutan Gawai Buku program sempena lawatan Najib ke Sarawak bagi sambutan Gawai[/caption] Najib yang dilihat tidak pernah hidup susah serta merakyat mungkin merasakan normal untuk memastikan hutang negara mencecah RM610 bilion. Bagi beliau yang hidup lebih setengah abad, tidak apa berhutang sekarang sebab nanti generasi akan datang yang menanggungnya! Najib lebih mementingkan tindakan populis dan survival politik beliau daripada kehendak dan keperluan rakyat serta negara. Makanya, tidak hairan beliau kerap mengunjungi Sabah dan Sarawak berbanding kesemua Perdana Menteri sebelum beliau. Ianya penting bagi mengekalkan status “deposit tetap Barisan Nasional” untuk menyelamatkan kariernya. Tak hairanlah mengapa pujian melambung Tan Sri Adenan Satem yang dipetik dari Berita Harian mengesahkan sikap serta mentaliti rakyat Sarawak “anang lawan printah” (jangan lawan pemerintah). “Bahkan Sarawak akan menjadi negeri yang sentiasa bersama beliau (Najib) ketika ‘susah’ mahupun ‘senang’, baik ketika laut tenang mahupun ‘dibadai gelora’. Rakyat Sarawak tahu mengenang dan menghargai jasa… bukan budaya kita menikam dari belakang.” Bagi saya tidak ada apa yang menghairankan saya sebagai rakyat Sarawak, sebab sudah dijangka pemimpin BN Sarawak yang ada sekarang ini amat memerlukan Perdana Menteri bagi survival politik mereka. “You help me, I help you,” kata Najib itulah yang menjadi motivasi politikus BN Sarawak. Soalan Tergantung, Realiti Rakyat Berterusan Bersyukurlah ada Tun Mahathir yang sekurang-kurangnya masih hidup dan dimana usianya yang mencecah 1 abad masih lagi waras akal fikiran untuk menyokong sentimen rakyat biasa dan bersuara. Siapa mahu bertanyakan di mana integriti Najib dalam membelanjakan dana awam berbilion-bilion ringit untuk bakal projek gajah putih yang dikenali 1 MDB? Menteri kabinet yang boleh dikatakan bangang? Perwakilan Agung UMNO? Wakil rakyat BN? Haram. Memetik kata-kata Santo Agustinus, uskup dan pemikir Kristian, “Orang yang baik, meskipun seorang hamba, adalah bebas; yang jahat, meskipun dia memerintah, adalah seorang hamba, dan bukanlah hamba kepada seseorang, tetapi apa yang paling dahsyat adalah hamba kepada seberapa banyak tuan seolah-olah dia mempunyai banyak maksiat.” Adakah Najib lawan Mahathir menguntungkan rakyat? Sudah tentu tidak. Masalah rakyat tetap sama, harga barang naik, cukai GST masih berjalan, kebebasan bersuara disekat dengan Akta Hasutan mahupun POTA dan seribu satu masalah rakyat yang lain masih lagi belum selasai. Saya tidak terkejut kerana arena politik Malaysia adalah sesuatu yang berkaitan dengan keterlangsungan kuasa oleh elit yang berpengaruh bagi pengukuhan empayar mereka. Rakyat sama ada senang atau derita bukanlah perhatian mahupun tanggungjawab mereka. Akhirnya, kita sebagai rakyat marhaen tetap bekerja keras untuk menampung kos sara hidup dan survival kita sendiri sebagai manusia dalam dunia yang fana ini. Article 19

]]>

Insiden Protes Salib: Renungan dan Harapan

Hindari konflik agama dan kaum! Meskipun protes salib tidak menggundang sebarang keganasan seperti mana insiden Taman Medan pada tahun 2001, amat jelas bahawa konflik membabitkan kaum dan agama wajar dielakkan di sebuah persekutuan yang bernama Malaysia. Tidak cukupkah apa yang berlaku di gereja The Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur yang dibakar pada 8 Januari 2010 serta insiden cat hitam disimbah pada dinding luar Gereja Baptist Melaka di Durian Daun pada 10 Januari 2010? Begitu juga insiden balas seperti serangan terhadap dua surau berasingan di Muar menjadi sasaran serangan pembakaran sengaja dan sebuah lagi surau di Seremban disimbah dengan cat merah dan disepahkan dengan botol arak pada tahun 2010. Malaysia sebagai sebuah negara persekutuan yang mempunyai masyarakat majmuk memerlukan toleransi rakyatnya untuk memahami adat, kaum serta agama antara satu sama lain.   unnamed  

]]>

Apa yang anda tahu mengenai agama minoriti?

Iktiraf kebebasan dan kepelbagaian agama dan fahaman Memang tidak dapat dinafikan bahawa kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia menuntut toleransi yang tinggi oleh semua orang. Perbezaan serta konflik merupakan sesuatu yang perlu dihadapi dengan tenang dan positif berbanding provokasi dan prejudis. Dialog, forum dan aktiviti kemasyarakatan antara pelbagai agama, serta rumah terbuka wajar dipergiat dengan sungguh. Jikalau berbicara mengenai persoalan iman manusia yang beragama, saya berpendapat iman adalah rahmat, memerlukan akal budi dan sewajarnya bebas untuk memilih. Iman adalah rahmat jika yang percaya betul-betul ikhlas mencari kebenaran masing-masing tanpa ada rasa ‘membodek Tuhan’. Iman memerlukan akal budi kerana setiap manusia wajar mendalami dan mempersoalkan apa yang mereka percaya dan sentiasa melakukan kebaikan dalam konteks kemanusiaan sebenar. Ianya bebas untuk memilih kerana fitrah manusia sewajarnya tidak boleh dipaksa melakukan sesuatu yang bertentangan dengan akal budi mereka. Saya amat menghormati konteks sebenar kebebasan beragama. Bagi saya kebebasan beragama sewajarnya diangkat sebagai martabat hak asasi manusia bagi semua orang. Saya percaya jikalau kebebasan beragama tidak dizahirkan dengan betul, amat sukar bagi kita melihat kehormonian dalam kepelbagaian masyarakat. Adalah lebih wajar jikalau setiap penganut agama memfokuskan “faith in action” iaitu iman dalam perbuatan bagi menyelesaikan pelbagai kemelut masalah masyarakat berbanding mencari perbezaan teologi serta intimidasi antara satu-sama lain. Akhir kalam, untuk memupuk keharmonian dalam pelbagai agama adalah harus kerana hidup bermasyarakat menuntut kita untuk berkongsi rasa kemanusiaan yang sama. Usaha masyarakat, NGO, kerajaan dalam mengetangahkan dialog seumpama Bengkel Kemajukan Agama wajar diteruskan dan diperkenalkan di pelbagai tempat di Malaysia. unnamed

]]>

Menemukan Tuhan di Filipina

Misi di Manila Tatkala menyelusuri perjalanan ke Gereja Malate untuk Misa Kudus jam 7 pagi setiap hari, saya lihat kanak-kanak jalanan masih lagi tidur di laluan pejalan kaki di tepi jalan yang hanya beralaskan kotak dan berselimutkan kain perca. Ada pula terlihat kelibat ibu memanaskan air menggunakan dapur buatan sendiri yang hanya menggunakan cerek usang, batu-bata dan arang. Tidak kurang juga ada gelandangan yang mengemis meminta sedekah dari rombongan kembara kami. Bayangkan setiap kali melalui kaki lima yang berdekatan penempatan gelandangan, bau air kencing dan najis jelas terhidu. Sayu hati melihat gelandangan ini tidak mempunyai rumah, akses air yang bersih serta hidup dengan hanya memakan sisa makanan manusia lainya. Bagi mereka apa yang ada disekeliling mereka, mana yang boleh diguna pakai, mana yang boleh dimakan atau diminum; itulah rezeki mereka setiap hari. Pada malamnya, kami melakukan aktiviti ‘prayer walk’ atau doa kelompok bersama gelandangan, dari situlah misi kami sebagai misionaris bermula. Kami menjangkau para gelandangan bukanlah untuk meng’kristian’kan mereka tetapi lebih kepada mengenali mereka dengan lebih dekat, memberi dokongan dan berdoa untuk mereka. Ada diantara mereka tinggal secara individu dan ada yang bekeluarga. Saya kagum dengan kepetahan mereka berbicara dalam bahasa Inggeris dan kesudian mereka untuk melayan kami. Rata-rata, kisah mereka kebanyakkan berkongsi pada migrasi mereka dari kawasan pedalaman ke metropolitan Manila dengan harapan untuk mencari pekerjaan bagi meningkatkan taraf hidup mereka namun berakhir dengan ketiadaan pekerjaan, wang serta bantuan dan seterusnya melarat di jalanan. Selain gelandangan, kami juga melakukan kunjungan ke penempatan penduduk di Barangay (mukim) San Andres kawasan 6,8 dan 9 untuk tujuan doa kelompok. Penempatan disana ibarat penempatan setinggan rumah kayu mahupun simen. Rumah mereka dibina sendiri tanpa teratur. Bergantung kepada keluarga masing-masing, ada yang mempunyai ahli keluarga melebihi 5 orang namun tinggal di rumah yang hanya ada ruang tamu yang dikongsi dengan dapur dan 1 bilik. Mereka hidup secara bermasyarakat dimana kemudahan seperti tandas, bilik air dikongsi bersama. Bagi kita di Malaysia, mereka mungkin kelihatan miskin. Namun bagi mereka, ianya kelihatan lebih betuah kerana mereka cukup keperluan hidup jika dibandingkan gelandangan. Keadaan yang sama juga terlihat di barangay yang terdapat di daerah Payatas, Quezon City, Metro Manila. 1477524_924897967534895_1721894747_nPayatas merupakan kawasan yang sangat terkenal sebagai kawasan pelupusan sampah terbesar bagi metropolitan Manila. Cuma apa yang menyedihkan saya adalah penduduk barangay disini kebanyakan hidup rata-rata memungut sampah sebagai sumber rezeki. Mereka memanfaatkan sampah untuk membina penempatan mereka. Berdasarkan pemerhatian saya, mereka juga terdedah dengan risiko penyakit berjangkit dan merbahaya. Gas metana juga boleh dihidu dikawasan tersebut. Kelihatan ada beberapa NGO serta organisasi antarabangsa turut ada untuk membantu dalam memberikan rawatan perubatan dan pemberian makanan nutrisi. Di samping itu, kami juga melawat rumah jagaan Missionaries of Charity di Tondo. Kami diberi peluang untuk bersama-sama anak-anak istimewa dan anak yatim piatu dengan berinteraksi dan memberi mereka makan. Ada diantara anak-anak istimewa ini mengalami sindrom down, Hydrocephalus (ketumbuhan otak), spastik dan lain-lain penyakit. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Sayu dan pilu hati saya melihat bagaimana kanak-kanak ini hidup dengan keadaan yang tidak berdaya, bergantungkan kepada ehsan dan kasih sayang manusia lainnya. Melihat ketabahan dan kesabaran biarawati dan sukarelawan bekerja menjaga mereka menunjukkan masih ada sinar dan harapan bagi golongan istimewa ini untuk hidup secara bermaruah. Kami juga berkongsi empati dan solidariti di sana. Kunjungan Paus Fransiskus Kunjungan Paus Fransiskus dilakukan atas dasar sebagai ketua negara dan pemimpin spiritual Gereja Katolik yang bertemakan ‘Mercy and Compassion’ (belas kasihan dan perikemanusiaan). Bagi umat Katolik Filipina, kunjungan ini menandakan bahawa ‘wakil Kristus’ untuk memberikan mereka berkat. Maka, tidak hairanlah jika 6 juta manusia membanjiri perkarangan Taman Rizal dan sepanjang laluan ke Manila Bay bagi Misa penutup di Quirino Grandstand. Paus Fransiskus dengan kapasiti serta pengaruh yang ada pada beliau menyampaikan pelbagai mesej yang menyenangkan kepada rakyat Filipina dan juga mesej yang kurang menyenangkan kepada para agamawan dan politikus di negara tersebut. Berikut merupakan antara terjemahan petikan penting mesej beliau: “Dalam semua lapisan masyarakat, semua bentuk korupsi harus ditolak habis-habisan dimana sumber pendapatan masyarakat miskin diambil, dan berusaha dengan sungguh-sungguh untuk memastikan kelangsungan semua lelaki dan wanita mahupun kanak-kanak dalam kehidupan bermasyarakat.” – Ucapan Paus Fransiskus di Istana Malacanang kepada Presiden dan diplomat, 16 Januari 2015. “Hanya dengan menjadi miskin secara peribadi kita sendiri, dengan menyingkirkan kepuasan keselesaan diri, kita berupaya untuk bersolidariti bersama saudara kita yang serba kekurangan.” – Homili (khutbah) Paus Fransiskus semasa Misa bersama para Uskup, paderi dan religius di Manila Metropolitan Cathedral, 18 Januari 2015. “Kita tidak sendirian. Kita mempunyai banyak saudara yang ketika menghadapi musibah ini datang untuk membantu. Dan kita juga, dalam hal ini, kita merasakan seperti saudara-mara kerana kita membantu satu sama yang lain.” – Homili Paus Fransiskus sempena Misa bersama mangsa ribut Yolanda di Tacloban. Renungan Kemiskinan urban merupakan kemiskinan yang paling teruk yang saya pelajari dalam sejarah kehidupan saya. Data daripada Bank Dunia menunjukkan Filipina merupakan negara yang mempunyai 25.2% daripada 100juta penduduknya diklasifikasikan sebagai populasi dibawah garis kemiskinan. Bila dinilai apa punca kemiskinan ektrim di Filipina, analisa mudah saya mengandaikan kekurangan sumber negara untuk menampung kepadatan penduduk disana, kesan sistem kapitalis di Filipina, kadar pengangguran yang tinggi, korupsi dari peringkat atas hingga ke bawah dan kurangnya capaian pendidikan untuk semua peringkat masyarakat adalah jawapannya. Kembara ke Manila ini mengajar saya erti kesyukuran dengan apa yang ada dan mengingatkan saya untuk tidak membazir segala sumber mahupun rezeki yang ada. Kedatangan kami disana sememangnya tidak berupaya membasmi kemiskinan para gelandangan jalanan meskipun kami memberikan mereka sedikit bantuan makanan dan minuman serta tikar atau keperluan lainya. Tiada apa yang lebih bermakna untuk dikongsikan selain daripada berbicara dan mendengar kisah mereka, memberi mereka pelukan dan berdoa sebagai tanda solidariti dan empati. Kasih sayang dan rasa kemanusiaan daripada masyarakat itulah yang mereka dahagakan. Dari dimensi spiritual dan religius, tampak jelas apa yang dimaksudkan sama ada menjadi manusia beragama dan beragama untuk manusia. Dengan merenungkan Injil, Yesus mengingatkan kami sepanjang kembara ini bahawa “orang miskin sentiasa ada di kalangan kamu” (Matius 26:11) dan untuk “kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” (Matius 22:39). Agama bukanlah sekadar ritual, ibadah dan soal hukum-hakam. Pergi ke gereja dan berdoa adalah ekspresi iman tetapi membantu mereka yang memerlukan, tanpa latar belakang agama dan etnik mereka, merupakan manifestasi iman; kedua-duanya saling melengkapi. Apa yang dapat disimpulkan disini, jurang sosial akan terus wujud bagi mewujudkan fungsi kemanusiaan yang lebih efektif. Saya percaya golongan miskin merupakan amanah yang dipercayakan kepada kita sebagai tanggungjawab sosial. Menjadi misionaris selama seminggu disana, tidak keterlaluan saya mengatakan bahawa saya telah menemukan Tuhan bukan hanya di gereja atau dalam doa tetapi pada orang miskin yang saya temui. unnamed

]]>

Harapan untuk 2015 sebagai seorang anak muda Kristian Sarawak

Ahli politik Setelah setahun lebih berlalu sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), saya mendapati politikus lebih gemar mencari masalah lain daripada menyelesaikan masalah rakyat. Jika kita lihat apa yang berlaku sejak Januari lalu, sama ada pemerintah mahupun pembangkang rata-rata banyak kontroversi tercipta berbanding dengan pencapaian. Lantaran itu, mengugat fikiran saya bahawa politik partisan di negara ini seakan-akan menjadi hampir tidak relevan kerana masing-masing mempunyai agenda tersembunyi untuk mengekalkan kuasa serta kekayaan. Janji pilihan raya entah kemana apabila manifesto yang menjanjikan kebajikan rakyat sepatutnya dipatuhi. Ambil contoh; janji menurunkan harga kereta ibarat melepas batuk di tangga, janji memberi BR1M dengan kadar RM1200 terpaksa ditunda kepada RM650 sedangkan di dalam manifesto tidak pula dinyatakan akan dinaikan secara beperingkat-peringkat kepada RM1200. Politikus pembangkang juga tidak kurang hebatnya permainannya dengan media dan rakyat dengan isu Hudud, “Kajang Move”, isu Kidex, isu Menteri Besar Selangor, isu air, isu ‘UMNO celaka’, isu pemilihan parti, demonstrasi sana-sini dan pelbagai lagi isu yang seakan-akan tidak begitu penting bagi meringankan rakyat. Rata-rata, politikus pembangkang sengaja mencipta isu-isu remeh bagi menaikkan populariti mereka. Namun, saya juga mahu memuji usaha segelintir mereka yang benar-benar memperjuangkan nasib rakyat sama ada yang tertindas, terpinggir mahupun hak minoriti. Harapan saya buat semua politikus pada tahun mendatang adalah melihat mereka menjadi lebih produktif. Belajarlah merakyat. Itulah sebabnya saya lebih suka jikalau negara ditadbir oleh ‘rakyat’ yang pernah hidup susah mencari rezeki dan bukannya dikalangan bangsawan seperti ahli perniagaan, agamawan dan nepotisme pemimpin lampau dimana mungkin hidup mereka tidak pernah susah, pelajarannya di luar negara dan makanannya mewah. Ekonomi Malaysia dianugerahkan khazanah alam serta kekayaan semula jadinya yang besar dan luas. Namun, dilanda hutang mencecah RM 605 billion berdasarkan maklumat daripada World Debt Clock. Jurang antara pendapatan rendah, sederhana serta atasan amat jauh dan sudah tentu akan mewujudkan ketidak seimbangan ekonomi. Berdepan dengan nilai mata wang ringgit yang rendah serta kadar inflasi yang tidak menentu pada tahun ini telah membuatkan rakyat banyak yang tertekan. Umum diketahui, banyak sudah harga barang dapur meningkat naik akibat kenaikan harga barang minyak. Adakala, saya melihat peniaga sengaja mengambil kesempatan bagi memeras orang ramai dengan menaikkan harga barangan sesuka hati demi nafsu kekayaan mereka. Saya tidak mempunyai harapan banyak untuk ekonomi bagi tahun 2015, kerana saya tahu GST sudah tentu akan membawa impak maksima terhadap kuasa daya beli rakyat Malaysia. Tiada gunanya GST jikalau inflasi tidak dikawal serta urus tadbir kerajaan persekutuan tidak telus dan golongan pendapatan rendah dan sederhana terus tertekan. Kononnya, GST merancakkan ekonomi serta meningkatkan pendapatan negara, saya berharap agar kerajaan telus melaksanakan sebelum digulingkan dek kemarahan rakyat. Isu golongan minoriti   Saya mengakui setiap sistem pentadbiran negara yang ada mempunyai kelemahannya yang tersendiri. Malaysia yang mengamalkan demokrasi berparlimen turut tidak lepas daripada kekurangannya dalam melayani tuntutan golongan minoriti. Ini tidak kurangnya reaksi dan respon masyarakat majoriti terhadap minoriti dan juga respon kelompok arus perdana terhadap kelompok yang ‘lain daripada yang lain’ dan yang dianggap ‘taboo’. Suara majoriti mungkin benar jikalau ianya memberi kesejahteraan umum kepada semua orang. Suara minoriti juga tidak boleh diabaikan jikalau ianya memberi kesejahteraan umum kepada mereka tanpa merosakkan suara minoriti. Suara majoriti adakala salah jika ianya tidak memberi kesejahteraan umum kepada suara minoriti. Prinsipnya mudah, mengikhtiraf keterlibatan masyarakat tanpa mengira fahaman dan ideologi, menghormati, sering mendengar dan berdialog, menerapkan perilaku menolong yang mendokong, memajukan serta mengembangkan keperluan hak asasi manusia yang saksama dan adil tanpa menjejaskan semua pihak. Tuntas, demokrasi tanpa prinsip kesejahteraan umum dengan mudah berubah menjadi totalitarisme terang-terangan atau terselubung. Saya amat tertarik dengan makalah saudara Uthaya Sankar SB yang bertajuk “Minoriti Perlu Berani”. Apa yang saya dapat simpulkan disini, kelompok minoriti sewajarnya tidak boleh membiarkan diri mereka ditindas dan mereka sepatutnya menjadi agen perubahan jika ingin menuntut hak mereka. Isu Sabah dan Sarawak Tahun 2014 merupakan tahun kebangkitan nasionalis Sabah dan Sarawak. Ini dilihat mereka memanfaatkan sepenuhnya kebebasan bersuara mereka di laman media sosial bagi memperjuangkan isu penting seperti Perjanjian Malaysia 1963, hak autonomi, referendum dan sebagainya bersangkut paut dengan hak Sabah dan Sarawak sehingga mendapat liputan luas media. Ramai anak muda dan golongan ‘celik sejarah’ turut tertarik menyokong usaha nasionalis Sabah dan Sarawak dalam mempersoalkan kembali hasil Perjanjian Malaysia 1963 selama 51 tahun ianya dimungkiri. Bahkan kerajaan Persekutuan juga mengugut untuk mengenakan Akta Hasutan 1948 bukanlah penghalang bagi mereka. Tahun 2015 akan menjadi lebih dramatik dalam perjuangan menuntut status quo Sabah dan Sarawak. Harapan Harapan saya untuk melihat Malaysia lebih baik pada tahun 2015 amatlah dinanti-nantikan. Untuk merubah situasi kepada lebih baik memerlukan kaedah “bottom to up” dimana rakyatlah yang perlu menjadi agen perubahan selain daripada mengharapkan golongan politikus mahupun kerajaan. Persoalan penting adalah mampukah rakyat Malaysia menghadapi cabaran yang bakal ditempuhinya? unnamed

]]>

Isu pemulangan Alkitab : Antara hak dan penafian

Dari seberang ke sini Di Indonesia, Alkitab (baca: Bible ) dijunjung dan digunakan untuk upacara mengangkat sumpah “Gubernur Daerah Khusus Ibukota Jakarta” iaitu Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali dengan gelaran Ahok 19 November lalu. Beliau merupakan gabenor pertama dari kalangan berbangsa Cina dan beragama Kristian Protestan. Ternyata ini merupakan kematangan dalam proses demokrasi Indonesia dan bukti toleransi kebebasan beragama di Indonesia yang dipraktikkan. Indonesia tampak kedepan dengan perlantikan Gabenor ini. Jika diperhatikan Alkitab yang digunakan dalam video upacara tersebut, ternyata ianya lebih kurang sama seperti Alkitab yang dirampas oleh JAIS pada Januari 2014 lalu. Pemulangan Alkitab Bahasa Melayu dan Iban pada 15 November lalu bukanlah perkara yang perlu dibanggakan. Namun, usaha pihak istana ini sedikit sebanyak meredakan ketegangan yang telah dimulakan JAIS. Beberapa persoalan wajar dipertanggungjawabkan. Mengapa sekian lama tindakan diambil untuk memulangkan Alkitab? Dimanakah hak Persatuan Bible Malaysia terhadap Alkitab tersebut? Mengapa pula syarat dikenakan bagi pemulangan Alkitab tersebut? Ianya bukan sukar sebagaimana ibarat sarang tebuan jangan dijolok. Tindakan JAIS pada Januari tempoh hari sudah pun menunjukkan bahawa ada penafian terhadap Persatuan Bible Malaysia mencetak, mengedar dan menjual Alkitab di Selangor. Bahkan sebelum enakmen agama bukan Islam Selangor dikuatkuasakan, Persatuan Bible Malaysia sudah ada. Jikalau tindakan JAIS ini adalah berlandaskan tekanan politik dan kes mahkamah, maka saya tidak hairan mengapa serbuan dilakukan. Bagi saya, tindakan ini sudah menunjukkan sikap JAIS yang ingin memanaskan lagi isu polemik kalimah “Allah” yang sepatutnya tidak dijadikan isu. Benarlah apa yang diperkatakan Fr Lawrence Andrew, SJ yang dikecam sesetengah kumpulan pergerakan Islam, “Agama kami tidak boleh diuruskan oleh sebarang kumpulan agama Islam. Ia bertentangan dengan Perlembagaan. Kami akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan kami,” katanya kepada The Malaysian Insider pada 2 Januari, 2014. Rampasan sah?  Apa-apa pun tindakan JAIS mahupun MAIS ke atas penganut Kristian adalah tidak sah meskipun berlandaskan enakmen agama bukan Islam Selangor 1988 kerana ianya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dalam Artikel 11 dan Perjanjian Malaysia 1963 Perkara 1. Umat Kristian berhak menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam apa jua penerbitan mahupun upacara sembahayang mereka. Dan berkaitan dengan kes tuntutan “Herald” ke atas penggunaan nama ‘Allah’ dalam kolum bahasa Malaysia, meskipun kalah dan dinafikan hak, Gereja Katolik tetap menfailkan rayuan demi menegakkan hak yang telah dinafikan. Adalah tidak wajar untuk menuduh umat Kristian menggunakan nama ‘Allah’ dengan niat yang tidak baik sedangkan ianya merupakan cara umat berkomunikasi dengan Pencipta mereka menggunakan bahasa mereka masing-masing. Berbalik kepada pemulangan Alkitab  Bahasa Malaysia dan Bup Kudus (Alkitab Bahasa Iban) yang mempunyai ribuan perkataan ‘Allah’ didalamnya, ianya adalah wajar jika dipulangkan kepada pihak yang sepatutnya. Sudah dirampas di Persatuan Bible Malaysia tetapi dipulangkan kepada Persatuan Bible Malaysia melalui Persatuan Gereja Sarawak (ACS). Alasan Alasan yang diberikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Datuk Mohammad Adzib Mohd Isa, dalam satu kenyataan menetapkan syarat naskhah yang dirampas itu tidak boleh diedarkan di Selangor dan hanya dibenarkan di Sarawak. Syarat tersebut memanglah menepati sebagaimana yang ditegaskan dalam enakmen. Sekadar menutup malu atas perbuatan, umat Kristian telah merasakan mereka ditindas di negeri Selangor. Logiknya, di Selangor rata-rata penganut Kristian tanpa mengira mazhab memang majoritinya terdiri daripada kaum India dan kaum Cina. Namun, sedarlah bahawa penganut Kristian daripada pelbagai kaum dari Sabah dan Sarawak bahkan juga komuniti orang Asli juga menggunakan bahasa Malaysia sebagai medium mereka di sini. Realiti Maka tidak hairanlah jika Alkitab Bahasa Malaysia juga digunakan dan upacara sembahyang dalam bahasa Malaysia juga diadakan bagi menanmpung keperluan umat yang menggunakan bahasa Malaysia yang turut juga dikongsi oleh masyarakat India dan Cina Kristian yang lain. Jadi amat keterluan jika mengatakan penggunaan nama ‘Allah’ adalah bersifat untuk memurtadkan umat Islam jika ianya pasti tidak benar. Komuniti politik amat licik dalam permainan mereka dalam mengatur isu keagaaman ini untuk mengalih kegagalan mereka serta tindakan sesetengah pergerakan Islam yang menjaja bahawa umat Kristian adalah ancaman bagi mereka adalah penyakit yang terlalu kerap diperlakukan. Kerajaan negeri tidak perlulah terlalu berbangga dengan usaha istana ini kerena mereka sendiri pun tidak mampu campur tangan atas urusan JAIS dan MAIS bagi membela umat Kristian dalam isu ini sejak Januari kerana sibuk dengan masalah dalaman mereka sendiri. Pergerakan Islam ‘konservatif’ pula tidak sepatutnya pula menjadikan umat Kristian sebagai ancaman mereka sebaliknya berusaha untuk menjaga keperluan ibadah serta usaha pemantapan akidah umat Islam mereka sendiri. Dan tidak pula menekan beban umat mereka ke atas penganut agama lain. Bukan isu Islam sahaja Yang patut difikirkan sebenarnya adalah beginikah imej Islam yang ingin dipaparkan di Malaysia terutama kepada penganut bukan Islam. Imej penguasa Islam yang menggunakan nas serta tafsiran mereka serta peruntukkan undang-undang Islam bagi menafikan hak penganut agama lain yang bukan merupakan tanggungjawab mereka. Imej pergerakan Islam yang terus menerus berkempen untuk menunjukkan mereka yang bukan Islam adalah ancaman sedangkan mereka sendiri mencipta ketidak harmonian dalam negara. Sedarlah bahawa agama beperanan sebagai tanda harapan berupaya menunjukkan keterbukaan untuk berdialog serta dijadikan sebagai keperluan yang mendesak untuk memadukan daya usaha bagi menggalakkan keadilan, persaudaraan, perdamaian dan kekuatan peribadi manusia dalam kemajmukan masyarakat. Cukuplah imej agama tercalar dek sikap penguasa dan penganutnya yang fanatik kerana menjadikan agama alat sebagai penindas bagi yang tidak sealiran dengan mereka. Walaubagaimanapun, umat Kristian tetap tenang walaupun apa yang terjadi dan berupaya meneruskan kepercayaan mereka sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Biarlah mereka umat Kristian Malaysia mengatakan, “Aku percaya akan satu Allah, Bapa yang Mahakuasa, pencipta langit dan bumi” sehingga ke akhir zaman. unnamed

]]>

Octoberfest dan Halloween: Fahami budaya, hormat kepelbagaian

Perbezaan pendapat Perbezaan pendapat antara ahli politik PAS juga menarik perhatian saya sepanjang mengikuti perkembangan isu ini. Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan mengatakan pesta arak ini mesti dicegah segera manakala Ahli Parlimen Shah Alam iaitu Khalid Samad menyatakan pesta ini tidak boleh dihalang. Nasrudin Hasan berpendapat negara tidak boleh dibiarkan membangun dengan budaya mungkar dan maksiat kerana ia akan membinasakan tamadun dan maruah, dan negara ini tidak mendapat keberkatan dan akan dimurkai Allah. Manakala Khalid Samad berpendapat Islam mengiktiraf yang arak bukan sesuatu yang haram mengikut ajaran agama mereka. Saya akur bahawa Persekutuan Malaysia adalah negara ber-Perlembagaan dan Islam adalah agama rasmi. Namun, saya berpendapat dalam meraikan kepelbagaian masyarakat yang berbilang kaum dan agama, adalah tidak wajar jika beban masyarakat majoriti diletakkan ke atas masyarkat minoriti. Sewajarnya masyarakat minoriti sedaya upaya menghormati senstitiviti masyarakat majoriti dan pada masa sama masyarakat majoriti tidak sewajarnya menidakkan apa yang ingin dilakukan masyarkat minoriti walaupun bertentangan dengan prinsip mereka. Jadi, kunci utamanya adalah hormat-menghormati serta saling memahami antara satu sama lain. Provokasi?  Tindakan segelintir politikus daripada parti DAP yang mempromosikan pesta Octoberfest sebagai tanda solidariti dan memuat naik gambar aktiviti mereka ke laman media sosial bukanlah sesuatu idea yang bijak. Ditambah dengan sensitiviti segelintir umat Muslim di Malaysia yang terlalu sensitif telah menyemarakkan api yang membara. Memang diakui politikus juga mempunyai hak peribadi dan kebebasan sivil mereka menggunakan media sosial, namun niat mereka tidak menghalalkan cara. Berkaitan dengan pesta Octoberfest, biarlah ianya menjadi urusan peribadi dan tidak perlulah diwar-warkan sehingga mendapat litupan media dan mengundang rasa tidak senang kepada rakyat yang beragama Islam. Sebagai politikus mereka merupakan public figure yang menjadi pemimpin serta teladan rakyat. Rakyat menilai apa yang politikus lakukan. Penghakiman mereka mungkin salah namun sebarang tindakan yang mendatangkan syak serta mendatangkan ketegangan kaum dan agama wajar dielakkan. Sejarah Octoberfest dan konteks kita Saya juga ingin berkongsi maklumat tentang “Octoberfest” dan hukum minum arak dalam agama Kristian Katolik. Pesta Octoberfest adalah budaya yang berasal dari Bavaria, Jerman. Jika dilihat dari sudut kaca Barat, pesta ini ada baik dan buruknya. Yang baiknya, pesta ini juga disambut sebagai aktiviti sampingan gereja bagi mengumpul dana untuk melakukan kebajikan. Ianya bukan semata-mata acara minum bir tapi juga pesta makanan dan pesta bida barang lama untuk dijual. Yang buruknya, pesta ini disalah gunakan sehingga membuatkan orang mabuk. Jadi mohon izin untuk saya kategorikan aktiviti ini dalam konteks Islam; saya boleh kategorikan pesta ini sebagai “harus” jika dilakukan dengan berhemah. “Makruh” jika tidak beretika. “Haram” jika mengundang mabuk dan menyinggung umat agama lain. “Halal” jika ianya untuk mencari dana kebajikan. Hukumnya jelas bagi penganut Katolik: “Kebajikan penguasaan diri menjauhkan segala bentuk keterlaluan: tiap penggunaan makanan, minuman (alkohol), rokok, dan ubat-ubatan yang berlebihan. Siapa yang dalam keadaan mabuk atau dengan kecepatan tinggi membahayakan keamanan orang lain dan keamanannya sendiri di jalan, di air, atau di udara, membuat dosa besar.” (Katekismus Gereja Katolik, 2290) Arak dan budaya Persoalan mungkin timbul: bukankah arak itu diminum untuk mabuk? Tanggapan itu adalah kurang tepat. Arak seperti wain juga digunakan dalam upacara Misa Kudus dalam Gereja Katolik dalam menghidupkan kembali peristiwa Perjamuan Terakhir sebelum Kristus disalibkan. Ajaran Katolik telah membataskan arak hanya diminum dalam keadaan sederhana. Jadi jika diminum selain daripada upacara dan bagi tujuan sosial maka pengawalan diri adalah penting untuk mengelakkan mabuk dan seterusnya mengundang masalah ketenteraman awam. Sebagai contoh salah satu Gereja Katolik di Amerika Syarikat boleh dijadikan case study bagaimana acara ini dimanfaatkan untuk kebajikan sebagai acara tahunan mereka yang saya lihat lebih pada manifestasi budaya masyarakat Barat. Ianya tidak diamalkan gereja di Malaysia, kerana kurang sesuai dek menghormati sensitiviti umat Islam. Pesta Halloween : Asal usul dan sudut Katolik Tetapi, belum lagi pulih kemarahan segelintir umat Islam mengenai Pesta Octoberfest, malam Halloween pula dijadikan mangsa. Ada  segelintir pihak konservatif Muslim mengkritik isu penganjuran ‘Malam Halloween’ di sebuah sekolah antarabangsa di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan. Promosi aktiviti tersebut dengan kain rentang dan papan iklan besar pada mula mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Seremban dan kemudian ditarik balik setelah mendapat aduan daripada kumpulan Islam. Antara persoalan yang dibangkitkan sebagai sentimen oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang terlibat dalam aduan tersebut menyifatkan acara itu sebagai “budaya barat” dan tidak sepatutnya diadakan kerana bertentangan dengan budaya Islam. Saya ingin menceritakan kisah disebalik ‘Malam Halloween’ yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun. Asal usul Halloween adalah tuntas amat bersifat Kristiani berbanding Kebaratan. Tarikh Halloween yang jatuh pada 31 Oktober berkait rapat dengan seorang Paus, sambutannya serta tuntutannya adalah kesan daripada kesalehan umat Katolik aman ‘medieval’. Namun, Halloween jatuh pada hari terakhir Oktober adalah berkait rapat dengan pesta Para Orang Kudus yang dikenali “Solemnity of All Saints” mahupun “All Hallows” yang jatuh pada 1 November. Upacara pesta dalam Gereja Katolik ini disambut untuk mengenang semua santo dan santa yang berada di syurga yang selalunya disambut pada 13 Mei sebelum dipindah ke 1 November oleh Paus Gregorius III pada tahun 741. Kemudian upacara pesta ini diperintahkan untuk disambut ke seluruh kawasan oleh Paus Gregorius IV pada 840. Misa yang diadakan pada malam hari 31 Oktober itu dikenali merupakan vigil dan ianya dikenali sebagai “All Hallows Even,” or “Hallowe’en.”. Manakala pada tahun 998, Santo Odilo dari biara Cluny di selantan Perancis, memperkenalkan pada 2 November hari khas untuk mendoakan kesemua roh saudara seiman yang telah meningal dunia. Hari khas tersebut dikenali sebagai Pesta Para Arwah ataupun All Souls Day yang tersebar dari Perancis dan diterima pakai seluruhnya ole Gereja Katolik. Halloween era kini Tampaknya Halloween dalam konteks pemahaman sekarang bukanlah sebagai vigil mahupun tradisi Katolik. Tradisi Halloween ini dijadikan pesta duniawi secara komersial mula dikenali dengan pemakaian kostum yang mula muncul di Perancis pada abad ke-14 dan ke-15. Budaya pesta Halloween ini berkembang dengan pesat apabila pertembungan imigran Perancis dan Irish sewaktu koloni British di Amerika Utara sewaktu zaman 1700an. Masyarakat Irish memfokuskan pada golongan neraka manakala masyarakat Perancis memfokuskan pada golongan kuburan. Kostum yang dikenakan selalunya setan dan iblis dari kebudayaan Eropah, manusia labu, zombie, mumia, tengkorak, makhluk angkasa luar, penyihir, kelawar, burung hantu, burung gagak, rumah hantu, kucing hitam, goblin, drakula dan manusia serigala. Budaya trick or treat dalam Halloween sinonim dengan kanak-kanak yang datang dari rumah ke rumah untuk meminta makanan dan duit dan perlakuan nakal akan dilakukan terhadap tuan rumah atau hartanya jika permintaan diabaikan. Budaya “trick or treat” ini juga mempunyai kaitan dengan Guy Fawkes yang turut disambut hari peringatannya pada 5 November dan terkenal dengan topeng Vandetta yang merupakan manifestasi wajahnya. Dia seorang pemberontak Katolik yang ingin meletupkan Raja James I dan Parlimen England dengan serbuk senjata api namun gagal. Konsep “trick or treat” boleh disimbolikkan sebagai pemberontakan akan berlaku jika sesuatu hak tidak diberikan yang merujuk kepada penidasan beragama umat Katolik di England dimana Gereja Anglican adalah denominasi rasmi England. Dipermudahkan, pesta Halloween ini tidak kurang seperti pesta Hari Santo Valentinus, pesta Paska (Easter) dan pesta Krismas yang dipopularkan untuk menepati budaya masyarakat setempat dengan niat dan tujuan tertentu. Jikalau ada dakwaan bahawa Halloween itu pesta menyembah syaitan, adalah lebih baik dihayati asal usulnya dari sudut Gereja Katolik yang membawa pengertian murni iaitu meneladani santo dan santa yang sudah pun pasti berada di syurga serta mendoakan para arwah yang sudah meninggal bagi meringankan azab perjalanan mereka ke syurga sementara berada di tempat penantian di akhirat. Kesimpulan: Faham isu, jangan menghukum dengan sentimen Memang tidak dapat dinafikan, terdapat konflik antara agama serta kaitannya dengan budaya dalam dinamika masyarakat di Malaysia. Perbezaan-perbezaan hukum agama semestinya tidak boleh dijadikan penyebab konflik; pencarian bersama akan keamanan daripada komuniti beragama merupakan sebuah sumber yang penting bagi perpaduan. Perlu diingatkan hormat-menghormati dan saling faham-memahami antara satu sama lain adalah kunci keamanan antara penganut berbilang agama dan fahaman di Malaysia wajar dititik beratkan. J Justeru itu, keamanan bukanlah bererti ketiadaan konflik, sebaliknya keamanan didasarkan pada suatu pemahaman yang tepat tentang peribadi kemanusiaan dan menuntut ditegakkannya suatu tatacara yang tuntas atas dasar keadilan serta cinta kasih. unnamed

]]>