1) Peranan AUKU dalam menyekat kebebasan bersuara mahasiswa Kedua-dua panelis mengambil posisi yang berbeza mengenai hal ini. Bagi saudari Afiqah, AUKU sangat menyusahkan mahasiswa. AUKU mempunyai kuasa menyekat wacana yang dianggap berlawanan dengan kerajaan malah menghalang demonstrasi aman yang diperuntukkan dalam Artikel 10 Perlembagaan Malaysia. Menurutnya, AUKU juga menyebabkan peranan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menjadi mandul kerana terpaksa mengikut rentak tarian pentadbiran universiti. Muziru pula beranggapan sebaliknya. Bagi beliau, AUKU tidaklah kejam pada dirinya sendiri. AUKU mempunyai beberapa bahagian yang baik dan tidak menganggu kebebasan mahasiswa. Perkara yang perlukan penelitian semula terhadap AUKU ialah Seksyen 4 dan 5 serta semua Seksyen 15 & 16. Seksyen 4 dan 5 menyentuh tentang perlantikan Majlis Tertinggi universiti dan Seksyen 15 & 16 yang menyentuh tentang penglibatan mahasiswa dan tindakan tatatertib. Bagi saya, mengatakan AUKU telah memandulkan kebebasan bersuara mahasiswa adalah satu analisa yang simplistik. Walau kita masih tidak mempunyai statistik tentang hal ini, kita boleh cuba secara pemerhatian dan turun padang bertanya soalan berikut kepada rakan-rakan mahasiswa kita di universiti: Apakah mereka tidak bersuara semata-mata kerana AUKU, atau faktor-faktor lain yang lebih memandulkan mereka dari AUKU? Saya berani kata ya. Mahasiswa tak ambil peduli dengan politik kampus mahupun luar negara kerana dilanda penyakit konsumerisme dan hedonisme. Budaya ini akhirnya membantutkan keupayaan intelektual dan kegigihan akademik mereka untuk memberi perhatian terhadap isu-isu besar yang melanda negara. Ini ancaman yang lebih besar terhadap mahasiswa berbanding AUKU. Tanpa AUKU pun, jika ancaman ini tidak ditangani dengan segera, mahasiswa akan tetap mandul, dan tidak mampu untuk menggunakan sebaiknya kebebasan mereka. 2) Mahasiswa bermain minda mangsa Ini satu isi penting menarik yang dibawa oleh saudara Muziru. Mahasiswa sememangnya sudah terlalu lama bermain watak sebagai mangsa. Wacana yang berlegar kini ialah tentang bagaimana mahasiswa dibentak-bentak, diherdik-diherdik, diperlakukan seperti anak kecil oleh pentadbir universiti dan pelbagai lagi. Saya setuju 100% dengan perkara ini. Akan tetapi, kita semua jangan lupa mahasiswa bukan maksum. Tanpa sekatan pentabir pun, masih ramai mahasiswa/wi lagi yang terdedah dengan hiburan memualkan yang tak henti-henti. Ramai antara kita menghabiskan sisa-sisa waktu di universiti dengan program-program tidak munasabah hasil tangan-tangan sendiri. Ketika forum berlangsung, persoalan kebebasan positif dan kebebasan negatif dibangkitkan. Kebebasan positif ialah memiliki kebebasan untuk melakukan sesuatu tindakan (freedom to) walhal kebebasan negatif ialah kebebasan seseorang dari tekanan pihak luar (freedom from). Kebebasan negatif lebih menitikberatkan halangan-halangan yang menganggu-gugat kebebasan seseorang. Kebebasan positif lebih kepada keazaman seseorang menggunakan segala kebebasan yang ada pada dirinya untuk meneroka peluang-peluang bagi melaksanakan tindakannya dalam apa jua keadaan. Jadi kita dapat lihat sekiranya kita masih tersangkut dengan kebebasan negatif yang ditarik dari kita, kita akan menjadi pasif dan sentiasa terperangkap melawan halangan-halangan dari luar. Sedangkan kapasiti kebebasan yang ada pada diri kita, yakni mahasiswa belum diterokai dan dimanfaatkan sebaik-baiknya mungkin. Mahasiswa kena jujur dengan diri sendiri. Apakah baki-baki kebebasan dan kelonggaran yang ada di universiti telah dimanfaatkan sepenuhnya? Mungkin ada sesetengah forum atau seminar yang dianggap “bertentangan” dengan kerajaan, ataupun “berbahaya” terhadap akidah, lalu tidak dapat dilakukan secara formal dan terbuka. Namun, apakah itu menghalang wacana daripada diteruskan? Tentutnya tidak sama sekali. Saya beri satu contoh mudah. Misalnya di Universiti Islam Antarabangsa, yang dikenali dengan pandang alam Islamiknya, kita mahu menganjurkan Seminar Atheism, ataupun Forum “Tuhan Telah Mati”. Kemungkinan besar, cadangan penganjuran akan serta-merta dihalang dan tidak dibenarkan. Jadi, saya beri anda pilihan, mana yang lebih baik: Pilihan A: Mahasiswa berdemonstrasi menyatakan bantahan bahawa “ini hak kebebasan bersuara kami!”, atau Pilihan B: Mahasiswa “let go” penganjuran tersebut, dan meneruskan kumpulan-kumpulan kecil “reading group” bagi membahaskan tema-tema forum tersebut secara tuntas dan berkala. Pada pendapat saya, pilihan B lebih efektif. Kita masih mempunyai pilihan yang lebih efektik dalam jangkamasa panjang. Dan tahukah anda, buku-buku mengenai atheisme dan tokoh seperti Nietzsche, Schopenhauer dan Dawkins, berlambak di dalam perpustakaan UIA? Buku-buku dan tokoh-tokoh tersebut sudah berhabuk menunggu untuk dibaca dan dibahaskan. Tidak pula universiti ini mengharamkan buku tersebut. Dan ini membawa kita kepada isi penting yang ketiga. [caption id="attachment_5416" align="aligncenter" width="1024"] Sumber gambar: The Malaysian Insider[/caption] 3) Universiti tidaklah sekuat mana untuk mengatur dan mengawal pergerakan mahasiswa Antara hujah yang dilontarkan oleh saudari Afiqah ialah mahasiswa sering kali tidak dapat menganjurkan wacananya sendiri tanpa campur tangan pentadbir. Malah panelis-panelis ditapis bagi mengelakkan panelis yang kritikal terhadap kerajaan menghasut mahasiswa. Contoh paling jelas ialah tragedi yang menimpa beliau sendiri. Beliau dan Presiden MPP universiti tersebut, saudara Hanif Mahpa, digantung pengajian selama setahun hanya kerana melaksanakan forum GST dan membawa masuk panelisnya YB Rafizi Ramli. Berikutan hukuman oleh pihak pentadbiran universiti kepada kedua rakan saya ini, saya sepenuhnya bersolidariti dan menyatakan bantahan terhadap tindakan tidak berasas itu. Namun, saya tidak bersetuju sekiranya kes seperti ini menjadi batu asas hujah bahawa pentadbiran universiti sentiasa campur tangan program mahasiswa dan mahasiswa tidak bebas berwacana. Hujah saya begini : a) Tidak semua ahli politik pembangkang tidak dibenarkan masuk berforum di dalam Universiti Islam itu. YB Rafizi dihalang masuk, tetapi berjaya diseludup. Tak dinafikan sekatan tersebut. Tetapi YB Ong Kian Ming, YB Yusmadi Yusoff, YB Mujahid Rawa, Dato` Saifudin Abdullah dan lain-lain pernah berforum secara aman di Universiti Islam tersebut. Nama-nama yang saya sebut ini hadir di forum-forum yang mana saya sendiri menjadi peserta dan penganjur. [caption id="attachment_5413" align="aligncenter" width="1024"] Sumber gambar: The Malaysian Insider[/caption] b) Tidak semua forum atau seminar yang dianggap sensitif terhadap kerajaan ataupun imej universiti tidak dibenarkan. Misalnya forum liberalism, feminism, sekularism dan sebagainya. Kebanyakannya (tidak semua) berjaya dianjurkan secara aman. Saya bersama rakan-rakan lain dapat membawa masuk Khalid Jaafar yang dikenali sebagai “bapa liberal” Malaysia ini ke Universiti Islam itu. Aktivis kontroversi seperti Kak Fadiah Nadwa juga pernah datang mengisi wacana. Saudari Afiqah mengatakan bahawa program-program berbentuk falsafah tidak mengapa dan tidak menakutkan pentadbiran. Ini tidak benar sama sekali. Mengapa? Ini akan merujuk kepada hujah saya yang ketiga. c) Seringkali bukan isi kandungan forum yang menjadi masalah, tetapi tajuk forum dan strategi “branding dan packaging” wacana dan juga format yang bermasalah. Saya beri contoh, jika kita ingin menganjurkan sebuah wacana mengkritik dasar pendidikan kerajaan, apakah tajuk yang sesuai? “Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 : Apakah relevan?”, ataupun “Konvensyen Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025”? Sudah tentu, yang pertama nampak provokatif, akan tetapi yang kedua nampak neutral, sedangkan objektifnya sama, iaitu kita mahu meneliti dasar ini secara kritis. Dan hakikatnya konvensyen seumpama ini berjaya dijalankan secara aman, malah laporan kajian sebanyak 30 muka surat mengkritik dasar ini telahpun berjaya dihantar kepada kementerian. Pokoknya apa? Seperti kata saudari Afiqah, pihak universiti banyak terlepas pandang. Ya, tepat sekali! Memang universiti bukan seperti figura Bapa yang sentiasa mampu memerhatikan gerak geri dan strategi mahasiswa. Dalam banyak-banyak forum yang dihalang, banyaknya juga yang terlepas dianjurkan secara aman. Pentadbiran universiti seringkali terlepas pandang! Mereka tidak punya cukup “The Force” untuk mengawal lambakan wacana-wacana anjuran mahasiswa pada setiap waktu. Maka, kita gunakanlah kesempatan-kesempatan ini untuk “balance The Force”. 4. Kurangnya representasi mahasiswa wanita dalam aktivisme mahasiswa Ini suatu lompong yang harus kita selesaikan. Kita harus tanya apakah faktornya? Apakah wanita tak diberi peluang? Atau mereka sendiri yang tidak punyai keyakinan diri? Atau sistem patriariki yang sudah terlalu lama membenam rasa percaya diri bahawa wanita juga boleh kehadapan dalam memimpin gerakan aktivisme? Atau penyakit konsumerisme yang membarah? Saya tidak mampu menjawab persoalan ini secara tuntas. Dalam forum tersebut, persoalan-persoalan ini masih tidak dijawab secara tuntas,. Akan tetapi, setiap satu jawapan diatas mempunyai “partial truth” yang menyumbang secara keseluruhan. Mahasisiwi harus sedar yang mereka sebenarnya lebih ramai berbanding lelaki di dalam universiti. Sekiranya kekuatan mereka dimobilisasi untuk gerakan intelektualisme dan aktivisme, pastinya perjuangan mahasiswa akan mendapat manfaat yang tiada tolok bandingnya. Akhir kata, perbincangan seputar forum ini membawa kita kepada persoalan-persoalan baru terhadap kebebasan mahasiswa yang tidak sempat saya tulis dalam satu artikel. Misalnya, apakah beza kebebasan bersuara dan kebebasan akademik? Bagaimana kita ingin memaksimakan potensi kebebasan positif yang kita miliki? Apakah strategi-strategi baru mahasiswa zaman teknologi maklumat bagi menangani masalah yang tidak dihadapi oleh mahasiswa lampau? Apakah mahasiswa masih ingin menempel dengan kegemilangan mahasiwa zaman 60an-80-an? Begitu banyak persoalan yang sekiranya kita rungkai dan kupas dengan teliti, termasuklah pendefinisian dan analisa bandingan, tidaklah tulisan ini menjadi artikel, tetapi sebuah buku.
]]>Meneroka alam semesta yang mengkagumkan
Pelik benar manusia! Setiap kita di dunia hanyalah persinggahan; untuk tujuan apa, tidak kita ketahui… Idealisme yang telah mencerahkan perjalananku, dan setiap kali memberikanku keberanian untuk mengharungi kehidupan dengan ceria – adalah Kebaikan, Kecantikan dan Kebenaran.
–Albert Einstein
Pada 12 November 2014 yang lalu, kapal angkasa Philae dari misi Rosetta yang diketuai European Space Agency (ESA) berjaya mendarat di komet yang kini dinamakan sebagai Cheryumov-Gerasmienko. Ia merupakan antara misi angkasa paling bersejarah pernah dicapai manusia selepas kejayaan besar pendaratan manusia di bulan. Misi ini adalah demi merungkai permulaan terciptanya bumi, sistem solar dan alam semesta kita ini. Misi pendaratan ke komet yang telah menelan masa hampir 10 tahun ini, sudah tentu belum terhenti smpai disini. Philae yang telah mendarat akan mengikuti komet dan mengorbit matahari selama 13 bulan dan melalui jarak paling rapat dengan matahari pada 13 Ogos 2015 nanti. Komet ini adalah antara tinggalan tertua serpihan-serpihan batuan yang terhasil setelah penciptaan sistem solar kita. Sudah tentu mengkaji asal-usulnya dapat membuka pelbagai pintu-pintu rahsia yang menjadi jawapan kepada persoalan falsafah zaman-berzaman: “Dari mana kita datang?”, “Mengapa kita disini?”, “Bagaimana semuanya bermula?”, “Apakah kita dan segala kehidupan di dunia ini , keseorangan dalam alam semesta yang luas terbentang ini?” Artikel saya pada kali ini ingin mengajak pembaca, khususnya orang-orang Melayu yang terlalu sesak dengan tahyul-tahyul dan magis-magis yang tidak membantu perkembangan fikiran dan budaya bangsanya, supaya berminda saintifik dan sentiasa dalam keadaan ingin tahu dan berminat untuk meneroka misteri alam ini. Salah faham terhadap sains Saya bukanlah seorang saintis yang pakar untuk menceritakan tentang sains sebagai bidang yang memerlukan kepakaran. Namun begitu, tidak salah untuk kita menjadi seorang yang peka dan merasa teruja dengan persoalan-persoalan tentang kehidupan dan cara menjadikan ia lebih baik untuk kita lebih menghargainya. Disinilah sains memainkan peranannya. Banyak diantara kita yang mengecilkan sains terhadap penjelasan kiraan matematik dan teori-teori yang sukar difahami seperti yang tecatat di dalam buku teks fizik, kimia dan sebagainya. Sedangkan kehidupan seharian kita yang berhadapan dengan teknologi yang kita guna seperti kereta, telefon pintar, internet, televisyen, komputer dan sebagainya adalah hasil dari sumbangan sains. Begitu juga penemuan-penemuan planet-planet baru, komet, sistem solar, galaksi baru dan pelbagai lagi penemuan yang berguna dan penting bagi menjaga kelangsungan hidup manusia sebagai spesis dan keseimbangannya dengan hidupan yang lain. Sains Sains sentiasa disalah fahami sebagai suatu dogma yang memberi jawapan kepada semua persoalan yang kita ingin tahu. Ia disalah tanggapi sebagai alternatif kepada naratif agama yang selalunya memberi kita semua jawapan tentang semua persoalan tentang hidup dan alam ini. Sains sebenarnya hanyalah alat. Suatu kunci yang kita gunakan untuk membuka rahsia alam yang dahulunya tidak diketahui oleh kita. Ia juga sebuah proses yang mana segala misteri dan persoalan yang ingin kita jawab secara konsisten diuji secara empirikal dan pemerhatian dalam jangka masa yang lama. “Alat” ini pula sentiasa diperbaiki dan ditingkatkan teknologinya agar dapat menjawab soalan atau merevisi jawapan sedia ada dengan lebih baik dan lebih tepat lagi. Sains bermula dengan soalan tentang “apa yang ingin kita tahu?” dan kemudian segala data dan maklumat kita kumpulkan dan uji kebenarannya. Ia tidak semestinya menjanjikan kita jawapan. Apa yang diterokai sains pada hari ini boleh sahaja dicabar jika terdapatnya penemuan baru pada masa akan datang. Ia bukan seperti agama yang mana jawapan yang telah termaktub di dalam kitab tidak boleh dicabar kesahihannya. Oleh itu, sains menekankan kaedah yang konsisten dalam menguji kebenaran. Misalnya, persoalan tentang Tuhan. Saintis akan meletakkan dakwaan tentang kewujudan Tuhan separas dengan dakwaan tentang kewujudan Santa Claus, mitos-mitos Greek dan sebagainya. Jadi, metod sains diperlukan sebagai proses dan juga alat bagi menguji dakwaan-dakwaan tersebut. Kuasa sains Berminda saintifik tidak bermaksud mengecilkan dunia yang penuh misteri ini kepada apa yang boleh dibuktikan sahaja. Akan tetapi ia mengajar kita berfikir dengan betul dan konsisten dengan sikap pembuktian bagi setiap dakwaan kita. Misalnya, jika seorang percaya malaikat itu benar walaupun tanpa apa-apa bukti, maka kepercayaan seseorang bahawa naga itu wujud walau tanpa bukti juga benar. Apakah sesuatu itu benar hanya atas dakwaan atau penekanan sahaja? Di sini minda yang santifik membolehkan kita menyoal tentang realiti di dunia ini. Dari mana bumi datang? Dari mana manusia datang? Bilakah kehidupan di dunia ini bermula? Benarkah bumi ini adalah pusat kepada alam semesta? Apakah alam semesta yang terbentang ini hanya untuk dimanfaatkan oleh sekelompok bangsa manusia yang mendiami bumi kecil yang mengorbit matahari, di antara jutaan planet dan sistem solar dan galaksi yang lain? Apakah wujudnya kehidupan di benua alam yang lain? Sebahagian dari soalan-soalan yang saya bentangkan ini telah dapat dijawab, dan sebahagiannya masih belum diselesaikan. Misalnya, kita sudah dapat mengetahui bahawa manusia berevolusi dan berkongsi moyang (common ancestor) homo habilis 2.5 juta tahun lalu. Kita juga sudah mendapati bahawa bumi bukanlah pusat kepada alam semesta dan bumi mengorbit matahari bersama 8 planet yang lain (bukan 9 kerana Pluto telah diputuskan oleh saintis bukan lagi sebuah planet, bahkan sebuah komet). Buku “The Science Class You Wish You Had” [Kelas Sains Yang Anda Idamkan] tulisan David Eliot and Arnold R.Brody menjelaskan 7 penemuan terbesar sains sepanjang sejarah dan mereka yang menyumbang kearahnya. Antaranya penemuan graviti dan undang-undang dan universal fizik oleh Isaac Newton, struktur atom oleh Ernest Rutheford dan Niels Bohr, prinsip relativity oleh Albert Einstein, fenomena Big Bang [Letupan Besar] dan pembentukan alam semesta oleh Edwin Hubble, evolusi dan prinsip natural selection [pemilihan semulajadi] oleh Charles Darwin, penemuan sel dan genetik oleh Walther Flemming dan Gregor Mendel, dan juga struktur molekul DNA oleh Francis Crick dan James Watson. Di sini saya ingin berkongsi satu petikan menarik dari buku tersebut: “Sedangkan kita masih lagi berhujah tentang struktur politik dan falsafah agama, dan sementara kita masih tidak pasti cara yang terbaik untuk menghasilkan dan mengedar barangan dunia, atau memperuntukkan kekayaan di kalangan manusia, kita di masa ini mengetahui banyak tentang apa yang wujud. Kita kini didedahkan dengan lebih banyak pengetahuan daripada apa yang mampu diimpikan hanya beberapa abad yang lalu.” Kesemua penemuan yang besar ini memberi sumbangan yang cukup besar terhadap kebaikan manusia sejagat. Misalnya teori ‘general relativity’ [relativiti awam] Einstein telah menyumbang kepada teknologi moden terutama dalam penggunaan GPS. Teori fizik Newton pula bukan sekadar berupaya membongkar rahsia gerakan bulan dan planet sekitar alam ini, malah melalui teori undang-undang gerakan (Law of Motion) beliau, kita berupaya mencipta roket, kapal terbang, malah kapal angkasa yang kita gunakan hari ini. Bahkan, melalui teori tersebut juga, menyumbang besar terhadap kebangkitan Revolusi Industri kurun ke-18/19 dengan penciptaan enjin stim, lokomotif, dan juga mesin-mesin yang digunakan di kilang-kilang. Penemuan struktur atom pula membantu kita memahami reaksi kimia yang berlaku pada skala atomik dalam penciptaan ubat-ubatan yang lebih baik, mencari sumber tenaga yang mesra alam dan juga menambah baik inovasi produk-produk industri yang memberi manfaat kepada manusia. Melalui penemuan Edwin Hubble pula, kita dapat mengesahkan bahawa alam semesta ini berkembang dan memecut. Melalui penemuan Cosmic Microwave Background (CMB) [Latarbelakang Gelombang Mikro Kosmik] tinggalan radiasi yang tecipta selepas peristiwa Big Bang [Letupan Besar] oleh Arno Penzias dan Robert Wilson yang mengesahkan teori Big Bang bahawa alam ini suatu ketika dulu bermula dari satu titik dalam kepadatan yang infinit. Kini teori Darwin masih berguna untuk menjelaskan bagaimana kehidupan berevolusi, termasuklah kedudukan kita sebagai satu antara pelbagai hidupan alam yang lain di bumi yang bermula berbillion tahun yang lalu. Dan sudah tentulah penemuan DNA bukan sahaja membantu kita dalam menyelesaikan kes jenayah bahkan membantu kita menjejaki penyakit yang dibawa melalui keturunan dan menghapuskannya. Malah kesemua haiwan (manusia termasuk dalam kategori ini kerana kita juga produk dari evolusi) dan tumbuhan mempunyai kod DNA yang sama dan ini mengesahkan teori Darwin bahawa kita datang daripada satu “common ancestor” [moyang yang sama]. Hujah God of the Gaps [Tuhan Dalam Jurang] Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, penemuan sains bukanlah suatu dogma yang tidak boleh dicabar. Ia sentiasa terbuka untuk dikaji dan dibuktikan semula dengan penambahbaikan instrumen-instrumen dan teknologi yang kita guna untuk membuktikanya. Sudah tentu hujah-hujah sains tidak dibatalkan hanya dengan mengambil potongan ayat tertentu di dalam teks, akan tetapi berusaha membuktikannya melalui eksperimen dan pemerhatian dalam jangka masa yang lama. Ramai yang skeptik terhadap sains, misalnya orang beragama akan menggunakan hujah bahawa pada suatu titik misteri yang tidak ketahui, mesti datang dari Tuhan. Misalnya, sewaktu dahulu ketika manusia mendengar petir dari langit, mereka menyangka itu merupakan suatu tanda kemurkan Tuhan ataupun, atau mungkin Tuhan Thor datang. Akan tetapi sains moden telah membongkar mitos tersebut dan kita mengetahui bagaimana petir dan guruh tercipta malah tenaga elektrik dari petir tersebut dapat kita cipta semula di bumi dan menggunakannya untuk kehidupan seharian kita. Hujah God of The Gaps ini sentiasa diadvokasi saat kita buntu dalam misteri yang tak kita ketahui, yakni sesuatu yang tak kita ketahui itu, ada Tuhan dibelakangnya. Ia juga berlaku pada saintis terutama antara saintis teragung yang kita kenali Isaac Newton, di mana Neil Degrasse Tyson kosmologis terkenal menerangkan dalam tulisannya The Perimeter of Ignorance [Batas Kejahilan]: “Menulis berabad dahulu, ramai saintis berasa terpaksa ‘bersyair seni’ tentang misteri kosmik dan kekuasaan Tuhan. Mungkin kita tidak patut terkejut dengan hal ini: kebanyakan ahli saintis zaman itu, dan juga ramai ahli saintis sekarang, memperakui diri mereka berpegang teguh kepada agama. Namun pembacaan teliti terhadap teks-teks lama, terutamanya yang berkenaan dengan alam semesta, menunjukkan bahawa penulis-penulis tersebut merujuk kepada ketuhanan hanya apabila mereka tiba ke sempadan pemahaman mereka. Mereka merayu kepada kuasa yang lebih tinggi apabila merenung ke lautan kejahilan mereka sendiri. Mereka memanggil Tuhan hanya dari curam pemahaman mereka, yang sepi dan tiada ketentuan. Apabila mereka yakin dengan penjelasan mereka, jarang sekali Tuhan menjadi sebutan.” Namun, masa berlalu dan semakin lama, misteri tentang alam ini dan segala isinya dibongkar satu persatu. Misalnya, jika meyakini bahawa Bumi adalah satu-satunya planet yang menghuni benda hidup, tunggulah ketika saintis menjumpai hidupan di planet lain di alam yang terbentang luas ini dan membongkar suatu lagi “lingkaran kejahilan” kita. Yang paling terbaru saat ini ialah misi mencari hidupan di bulan Europa yang mengorbit planet Jupiter yang dikatakan berpotensi mempunyai hidupan. Kesimpulan Sains adalah metod penerokaan. Instrumen bagi membongkar mitos-mitos, menghumban dogma-dogma, dan segala benda yang dahulunya kita percaya tanpa persoal. Kita juga tahu, bahawa berminda saintifik ataupun menjadi seorang saintis tidak memerlukan seseorang wajib menjadi ateis. Berapa ramai orang beragama yang membuat pelbagai ciptaan dan inovasi yang menyumbang besar kepada sains dan teknologi yang kita ada hari ini. Penemuan sains cuma akan menggoncang dakwaan-dakwaan teks terhadap alam ini yang dipanggil “sains”dan secara konsisten menaakul dan mengkaji dakwaan tersebut apakah ia konsiten dengan bukti yang kita ada. Berminda saintifik juga menyalakan api pencarian dalam diri kita yang sentiasa mahu maju kehadapan dan sentiasa meneroka misteri alam ini dengan bertanya soalan baru dan membuat hipotesis dan dibantu daya instrumen dan teknologi yang kita ada untuk membuktikannya. ]]>Transgender: Perbandingan perspektif Islam dan moden
Gender Identity Disorder ini dan kesimpulan yang menarik antara ketiganya (Dr. Syamirul , Dr.Murizan dan Dr. Rozanizam). Walaubagaimanapun, pada tulisan kali ini saya ingin membawa pembaca dari sudut yang berbeza , yakni falsafah, tentang siapakah diri kita. Apakah itu manusia? Apakah yang menjadikan diri kita ini “manusia”, atau dalam erti kata yang lain, apakah subjek manusia itu boleh dibincang diluar kerangka gender “lelaki”, “perempuan” atau “transgender”? Kisah Herculin Barbin Sebelum saya meneruskan perbincangan, saya ingin menceritakan mengenai seorang Intersex (ataupun Khunsa/hermaprodit ,seorang yang alat kelaminnya sukar menentukan jantina kebiasaan lelaki atau perempuan. Selalunya mereka mempunyai dua alat kelamin) yang bernama Herculin Barbin ataupun nama lain beliau, Alexina. Beliau mempunyai penis yang kecil, klitoris yang besar dalam vagina yang kecil dalam masa yang sama mempunyai testikel dan bertubuh tegap seperti lelaki. Walaubagaimanapun beliau dibesarkan sebagai perempuan dan bercinta dengan seorang guru bernama Sara. Kisah cinta mereka menjadi kontroversi dan dihukum pihak sekolah kerana perbuatan mencintai sesama perempuan. Setelah mengakui dosanya di hadapan pendeta, Jean-Francois-Anne Landriot di La Rochelle, beliau dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat pakar, Dr Chestnet pada tahun 1860. Walaupun keputusan klinikal mengesahkan ketidakseimbangan alat kelamin dan ciri-ciri tipikal yang mendefinisikan lelaki atau perempuan, mahkamah tetap membuat keputusan menentukan bahawa Alexina adalah seorang lelaki dan mesti berpakaian seperti lelaki walaupun selama ini beliau dibesarkan sebagai perempuan dan mencintai perempuan yang lain tanpa diberi pilihan menentukan jantinanya. Peristiwa ini menyebabkan Alexina berpindah ke Paris bersama kekasihnya dan beliau mengalami tekanan hidup yang melampau dan suatu penderitaan yang menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk membunuh diri. Alexina sering kali menyalahkan keadaan alat kelamin beliau yang menyebabkan penderitaan hidup beliau. Kisah ini sangat tepat untuk kita bawa dalam perbincangan selanjutnya. Jika kita renungkan, kompleksiti masalah Alexina berkait rapat dengan kecelaruan seks, gender dan seksualiti. Hakikat bahawa beliau secara biologis adalah seorang interseks/hermaprodit merupakan masalah dimensi pertama (masalah seks), kemudian beliau dibesarkan sebagai perempuan merupakan masalah dimensi kedua yakni masalah gender yang tidak dapat disandarkan kepada seks, dan masalah dimensi terakhir ialah masalah seksualiti/orientasi seks beliau kepada berlainan jantina yang juga suatu perasaan yang tidak dapat disandarkan pada seks dan gendernya. Dalam erti kata lain, Alexina menderita dalam hidupnya kerana kecelaruan ketiga-tiga ruang ini yang ditetapkan oleh konstruk sosial dan penghukuman oleh masyarakat lebih-lebih lagi melalui institusi undang-undang. Ini hanyalah suatu contoh dari banyak lagi kes. Namun, cukuplah sebagai pengenalan mengapakah masalah gender, seks dan seksualiti ini harus dirungkai semula dari persepsi lazim kita tentang manusia berjantina. Gender, Seks dan Seksualiti Manusia dan gender tidak dapat dipisahkan. Keseluruhan aspek hidup yang dibina hari ini sama ada dari segi politik, ekonomi sosial akan membincangkan mengenai manusia bergender. Manusia tanpa gender merupakan sesuatu yang tidak dapat diterima. Semestinya, terdapat perbezaan antara ketiganya. Gender merupakan sebuah konstruk atau pembentukan sosial mengenai bagaimana sebuah gender itu sepatutnya berpakaian, peranannnya dan sebagainya, seks pula berdasarkan identiti gender seseorang berdasarkan biologinya yakni, organ kemaluannya dan seksualiti pula merupakan orientasi seksual terhadap pasangan sejenis mahupun berlainan jenis. Selalunya di dalam pemahaman kita, hanya ada gender dan seks binari, lelaki dan perempuan, yakni ditentukan melalui organ biologinya dan diletakkan oleh masyarakat tentang peranan gender masing-masing dan dianggap orientasi seksual semestinya kepada yang berlainan jantina. Akan tetapi persoalan tentang gender, seks dan seksualiti ini lebih kompleks dari itu. Judith Butler seorang intelektual Jerman, memberikan kita sedikit pandangan yang menarik mengenai hal ini khususnya berkisar tentang topik kita kali ini dalam karyanya Gender Trouble (1990). Bagi Butler, gender malah seks adalah sebuah pertunjukan atau peragaan [istilah Inggerisnya adalah performance]. Ianya bukan suatu essence atau lumrah hakiki manusia, yakni seperti yang kita sering fahami manusia itu diciptakan ada lelaki dan perempuan. Bagi Butler, tidak ada gender, seks dan seksualiti yang azali, yakni suatu sifat yang ada diluar konstruk sosial. Ketiga-tiganya adalah pertunjukan di dalam ruang awam di mana kesuruhan sistem masyarakat dan wacana kehidupan penonton dan jurinya. Pendapat Butler melangkaui wacana feminism dalam erti kata mengkritik “stable point of reference” yang diandaikan oleh feminism. Tiada nilai, realiti atau perwatakan jantiina yang ideal, kekal tidak berubah. Bagi memudahkan perbincangan, Butler mudahnya mengkritik andaian bahawa gender adalah akibat atau manifestasi dari identiti seks, sebagai contoh, jika seseorang punya penis, maka gendernya mesti lelaki. Mengikut logik itu, jika dia mempunyai vagina pula maka gendernya mesti perempuan. Butler bukan sahaja menolak “reference” gender daripada seks bahkan menolak terus “reference” seksualiti daripada gender yakni, jika gendernya lelaki maka mesti menyukai perempuan, dan jika gender perempuan maka mesti menyukai lelaki. Implikasi Gender Trouble Penolakan terhadap “stable point of reference” ini mudahnya ialah menolak manusia yang dieertikan dengan “essence” gender,seks dan seksualiti diluar sejarah dan konstruk sosial. Dengan menumbangkan ilusi “stable point of reference” in juga , Butler mengajak kita berfikir bahawa penindasan terhadap lelaki atau perempuan khususnya lebih dari persoalan gender, bahkan penindasan seringkali terjadi secara berlapis-lapis (bersangkutan status sosial, warna kulit dan sebagainya). Sebagai contoh, perempuan juga boleh ditindas dari sudut seksualitinya, yakni seorang perempuan yang tidak boleh mengandung dianggap bukan perempuan sejati (kerana hubugan seks sering kali difahami dengan tujuan prokreasi (yakni untuk mendapatkan anak sedangkan seks juga boleh jadi semata-mata untuk rekreasi (yakni sekadar kenikmatan).
Disinilah menurut Butler, wacana feminism juga tidak bisa memahami kompleksiti “trangender” jika masih berpegang kepada “stable point of reference” yang dibincangkan tadi. Gender, Seks dan Seksualiti dari pandangan Islam Menurut Syeikh Imran (bukan nama sebenar), perbahasan fiqh mengenai ketiga-tiga isu ni sangat terbatas dan memerlukan penilaian yang rapi dan perlu dibuka semula bagi menjemput interpretasi-interpretasi baru yang lebih progresif dalam menangani permasalahan ini kerana ia berkenaan hal-ehwal kemanusiaan yang sangat ditekankan Islam. Islam menekankan 6 prinsip utama ; 1)Al-Ilahiyaah (Tuhan Yang satu), 2)Al-Insaniyah (Kemuliaan Manusia), 3)Al-Hurriyah (kebebasan pilihan), 4)Al-Musawa wal- Adalah (kesetaraan dan keadilan), 5)Ar-Rahmah (kasih sayang), 6)Al-Jihad (perjuangan dan kepedulian). Allah berfirman : “Mengapa kamu tidak ikut berjuang di jalan Allah dan (membela) orang yang tertindas, laki-laki, perempuan dan anak-anak yang berkata “Tuhan kami! Keluarkan kami dari kota ini yang penduduknya berbuat zalim”(QS. Al-Nisâ’ [4]: 75)” Jadi Syeikh Imran menjelaskan bahawa fiqh adalah karya manusia yang bersifat relatif dan seiring dengan perkembangan zaman dan keadaan. Fiqh pula dibentuk melalui pemahaman ulama terhadap teks dan realiti yang terbatas di pandangan mujtahid-mujtahid pada zaman dan keadaan tertentu.
Menurut Prof Muhammad Abid Al-Jabiri, seorang pakar dan intelektual terkemuka di Morocco, bahawa “peradaban Islam” yang kita warisi kini terlalu cenderung kepada “peradaban fiqh”. Jantina berdasarkan Quran Misalnya dalam persoalan seks (jantina biologi) dalam Quran Cuma ada pembahagian binary, yakni Cuma dua, lelaki dan perempuan. Manakala dalam persoalan gender pula, selalu diambil mudah dengan dikaitkan organ seksnya (alat kelaminnya). Sedangkan dalam perbahasan hadith juga ada terma yang disebut sebagai khunsa (yang mempunyai dua alat kelamin atau pun ciri-ciri tubuhnya yang tidak bersesuaian dengan gender yang dipaksa keatasnya oleh masyarakat). Dalam Quran (Sural Al-Haj:5) menunjukkan bahawa penciptaan manusia terjadi dalam dua keadaan yakni mukhallaqah (fitrah) dan qhair mukhallaqah (fitrah tetapi tidak sempurna / cacat). Ini memberi makna bahawa penciptaan manusia tidak selalunya seragam dengan binari lelaki dan perempuan berserta gender dan seksualitinya yang tipikal dan sempurna kerana banyak faktor-faktor lain yang menyebabkan berlakunya kelainan seperti kecelaruan gender akibat alat kelamin dan orientasi seks. Orientasi seks manusia dalam al Qur’an ada dua yakni heteroseksual (QS;3:14) dan ghairu lil irbah minal rijal (QS;24:31) yakni seorang laki-laki yang tidak memiliki hasrat kepada perempuan dan gayanya juga seperti seorang perempuan. Orang ini disebut oleh nabi sebagai mukhannats jika berjenis kelamin laki dan mutarajjilat jika berjenis kelamin perempuan. Namun begitu perlu diingat pengkelasan gender (maknyah dan tomboi) ini juga tidak mengharuskan bahawa orientasi seksualnya mesti kepada sesama jenisnya, misalnya ada juga maknyah (bergender perempuan yang menyukai perempuan) dan juga tomboi (bergender lelaki tetapi menyukai juga lelaki). Menurut Ibn hajar,orang yang tidak memiliki hasrat seksual kepada lawan jenis nya ini terbagi menjadi dua ; minkhilqah (given) atau bi ghair khilqah (constructed). Isu-isu halus dalam penafsiran tentang seksualiti Menurut Syeikh Imran juga, perbahasan fiqh yang ada selalu terkeliru antara orientasi seks dan jenis hubungan seks. Misalnya berkenaan ayat-ayat yang mengharamkan homoseksual. Menurut beliau, ayat-ayat yang mengharamkan homoseksual adalah berpandukan perbuatan liwat (anal seks, seks penis ke ruang dubur) sedangkan liwat adalah perbuatan seks, bukannya orientasi seksual. Ini bermakna, seseorang tidak perlu menjadi homoseksual pun untuk melakukan liwat . Bahkan banyak para sahabat yang melakukan anal seks kepada istrinya baik muhajirin mau pun Ansor .Al thabari menyebutkan sebuah hadits tentang perilaku liwath oleh Umar R.A terhadap isterinya yang kemudian menjadi sebab turunya ayat Quran 2 :223. Hasyim al Bahrani dalam Tafsirnya “al burhan fi tafsiril qur’an” menyebutkan bahawa kisah liwath pada masa nabi Luth bukan suatu perbuatan homoseksual (orientasi seks) akan tetapi suatu bentuk hubungan seks yang bertujuan mengusir orang asing (suatu penindasan dan upaya dominasi) dari daerah mereka kerana menganggap kemiskinan mereka datangnya dari orang asing. Maka yang diharamkan Tuhan bukanlah orietasi seksual (homoseksual) akan tetapi perbuatan seks yang dilakukan dengan tujuan penindasan dan kezaliman. Ini selalu boleh kita perhatikan dalam kes-kes penjara di mana ahli penjara meliwat rakannya kerana keperluan seksualnya dan sebagai suatu bentuk penghinaan dan penindasan sedangkan dia bukanlah seorang homoseksual. Tujuan seksualiti juga selalunya difahami sebagai heteronomativi yakni dengan tujuan prokreasi dan reproduksi (seks dengan tujuan mendapatkan anak dan keturunan) sedangkan tujuan seks tidak semestinya untuk mendapatkan anak, dan hanya semata-mata tujuan rekreasi yakni seks dengan tujuan kenikmatan semata-mata. Misalnya terdapat homeseksual yang berhubungan seksual hanya demi kenikmatan bukan untuk mendapatkan anak. Ada juga hubungan seksual lelaki dan isteri dengan hanya tujuan rekreasi. ]]>Tuhan tanpa agama, kerohanian tanpa Tuhan
Kali ini saya ingin mengajak pembaca-pembaca sekali merenung sejenak tentang sebuah lagi konsep “ketuhanan” seperti yang tertera pada tajuk. Sebagai seorang Muslim, saya melihat, perbincangan sekitar soal keagamaan dan ketuhanan selalunya tidak mengambil endah perbezaan “Tuhan” dan “agama” dan “spiritualiti” [kerohanian].
Sekiranya seseorang mengatakan kepada kita, “aku percaya Tuhan!” maka dengan sekilas pandang kita beranggapan bahawa dia seorang Muslim (kerana Tuhan, bukan tuhan-tuhan, memberi anggapan kebiasaan bahawa satu Tuhan merujuk Muslim, selain dari konsep Trinity Kristian yang kontroversial dan agama Hindu yang dikatakan menyembah satu Tuhan juga). Maka dengan menganggap seseorang itu percaya Tuhan, maka, kita terus beranggapan bahawa dia itu mempunyai “agama” dan “spiritualiti”. Ia seperti pakej Nasi Lemak, yang mana jika kita memesan “Akak, nasi lemak satu”, maka terus terbayang di fikiran kita bahawa Nasi Lemak mestilah ada ada telur, sambal , kacang, timun dan ikan bilis secara asas. Tetapi kepercayaan kepada Tuhan tidak semudah Nasi Lemak! Bagaimana punya Tuhan tanpa agama? Aneh bukan? Macam mana percaya Tuhan, tapi tiada agama? Sisinilah saya ingin memperkenalkan “agama” atau falsafah atau idea yang dinamakan “Deism”. Deism datang dari perkataan “deus” dari perkataan latin yang bermaksud “God/Tuhan”. Jika anda pernah mendengar “Theism”, ia pula berasal dari perkataan Greek “theos” yang juga bermaksud “God/Tuhan”. Deism adalah pecahan dari cabang asal Theism yang mengandungi banyak lagi cabang lain seperti monotheism, polytheism, pantheism dan sebagainya. Akan tetapi, tulisan kali ini kita sentuh berkenaan Deism dahulu. Deism lahir sekitar kurun ke-16/17 di Eropah kerana kesan perkembangan sains yang kita panggil “Scientific Revolution” dan juga kekecawan terhadap “organized religion” Kristian pada waktu itu yang menggunakan institusi agama dalam mengawal masyarakat dan paderi-paderi gereja memanipulasi agama untuk kepentingan mereka. Revolusi sains ini membawa perubahan penting dalam cara kita menanggapi alam semesta yang memberi ancaman kepada dominasi fahaman agama Kristian tentang alam semesta yang “geo-sentrik” (bumi sebagai pusat alam semesta, mengikut model Ptolemy) melalui sekurang-kurangnya Trio “Copernican-Galileo-Newtonian Revolution” yang mana ketiga-tiganya menentang fahaman gereja tentang alam yang bercanggah dengan penemuan baru sains. Deism boleh dianggap sebagai suatu kepercayaan, akan tetapi bukanlah sebuah “sistem kepercayaan”. Deism menolak sebarang bentuk magis, konsep kenabian, teks-teks suci, malaikat, syaitan, ,ritual-ritual agama, mukjizat-mukjizat dan apa sahaja dakwaan-dakwaan mistik ketua-ketua agama yang kononnya dapat berinteraksi dengan Tuhan dan apatahlagi mendapat perintah darinya (lebih-lebih lagi yang mendakwa dapat bermimpi jumpa Nabi dalam konteks Malaysia). Deism menggantikan mitos-mitos agama kepada “rasional/akal”, iaitu kewujudan Tuhan dapat dibuktikan melalui akal/rasional akan tetapi Tuhan tidak menurunkan apa-apa perintah atau manusia tidak berupaya mencapai atau memahami pun perintah Tuhan, apatah lagi ingin menjelaskan zat-zat Tuhan. Deism juga menolak konsep Tuhan “anthromorphic” yakni meletakkan sifat-sifat dan emosi manusia terhadap Tuhan, seperti Tuhan boleh “marah apabila perintahnya tidak diikuti” , “cemburu bila cinta terhadapNya di-duakan oleh manusia” , “Tidak boleh mandi dalam keadaan bogel, kerana Tuhan itu Maha Pemalu (kerana Dia kan Maha Melihat)” , “Tuhan itu Maha Sombong, kerana itu manusia tidak boleh sombong” dan pelbagai lagi sifat-sifat manusia yang diletakkan ke atas Tuhan. Deism juga menolak konsep “personal” God yang mana Tuhan dianggap sebagai “Supreme Being/Person” yang mana kita boleh berdoa kepadanya meminta itu dan ini, merintih, tempat kita mengadu dan mencari ketenangan. Deism menyatakan bahawa Tuhan mencipatakan alam semesta ini dengan undang-undangnya (natural law) dan membiarkan ia bergerak sendiri tanpa apa-apa campurtangan Tuhan. Deism moden pula telah merumuskan Deism dengan erti kata tidak menolak cerita-cerita mitos agama (kenabian, akhirat, malaikat,kiamat,wahyu Tuhan, etc) secara pukul rata, akan tetapi mengatakan bahawa jika pun perkara seperti itu wujud, ianya tidak akan tercapai oleh akal manusia apatah lagi melalui paderi-paderi, ulama`-ulama` atau ketua-ketua agama. Makna Tuhan Jadi, anda mungkin akan bertanya, jika begitu, apakah fungsi Tuhan kepada manusia jika ia hanya mencipta tanpa ada apa-apa tujuan? Jawapannya ialah, Deism tidak mengatakan hidup ini tiada tujuan kerana tiada wahyu dari Tuhan, akan tetapi Tuhan telah memberikan akal/rasional kepada manusia untuk mencari hala tujunya dan tujuan hidupnya sendiri. Maka manusialah yang memilih jalan hidupnya sama ada ingin menjadi jahat atau baik dengan mencipta sendiri sistem moral yang digali dari rasional dan pengalaman. Ini juga membolehkan pandangan Deism sebagai “Deist atau Theist” yakni orang bertuhan tidak bercanggah dengan sains malah bergerak seiringan. Ini kerana, deism percaya refleksi dan penemuan terhadap alam berlaku secara berterusan untuk merungkai seribu satu persoalan yang sebelumnya suatu misteri buat kita. Deism membuka seribu satu jalan bagi falsafah dan sains terus berkembang tanpa menolak kewujudan Tuhan, kerana walaupun Tuhan wujud, segala zat-zatNya, sifat-sifatNya tidak terjangkau oleh capaian akal manusia. Ini berbeza dari paradoks pandangan orang agama yang mengakui akal manusia tidak dapat mencapai rahsia Tuhan secara penuh akan tetapi boleh pula menjelaskan ciri-ciri Tuhan dan sifatnya melalui “wahyu” yang disampaikan kepada manusia. Bagaimana pula spiritual tanpa Tuhan? Ini juga suatu perkara yang menarik untuk dibincangkan. Apakah tanpa Tuhan, manusia tidak boleh merasa “spiritual”? Jawapannya boleh. Dalam banyak-banyak artikel dan tulisan yang menarik tentangnya yang sempat saya baca, makalah yang ditulis oleh Leon F.Seltzer bertajuk “Spirituality Without God” antara yang paling menarik. Beliau menyebut bahawa: “I’d also add that art and nature, “spiritualized” as I’ve described them, offer secular individuals a transcendent experience—just as does great music, art, drama, and literature. Relating to a work of art not as a passive observer but as an active participant, in the sense of somehow getting inside the work is a secularly (if not singularly) transcendent experience in its going considerably beyond our ordinary, everyday experience. And immersing ourselves in nature—whether it be up in the mountains, down in the valleys, or by a brook, river, or ocean—offers us a similar experience of “oneness,” of becoming part of something far beyond ourselves. It can, I think, legitimately be seen as an expansion of self, a liberation of our spirit.” Contoh-contoh ini terlalu mudah dan jelas kita rasai dalam kehidupan seharian kita. Kerana perkataan “spiritual” telah berkembang sepanjang zaman, maka seseorang boleh menjadi spiritual tanpa solat dan berzikir misalnya, akan tetapi dengan mendengar muzik yang sangat asyik dan memberi semangat dan motivasi, ataupun mencintai seseorang sehingga sanggup berkorban apa sahaja untuknya. Atau anda boleh baring mencerap langit dan bintang dan melihat kebesaran Alam Semesta ini, pastinya akan timbul rasa “spiritual” iaitu suatu emosi dan kesentosaan yang mendalam, mengasyikkan dan menyentuh jiwa. Kerohanian humanisme Ada juga yang digelar sebagai “humanist spirituality”: Ini pula ada spiritual yang kita rasai sewaktu merasa gembira dapat berkhidmat untuk masyarakat, membantu orang yang memerlukan dan mempertahankan idealisme kemanusiaan. Spiritualiti bentuk kemanusiaan ini tidak mengandungi apa-apa janji syurgawi, bidadari, pahala , atau apa-apa, akan tetapi ganjarannya adalah rasa gembira dari kebaikan yang dilakukan. Memetik kata-kata Thomas Paine: “I believe in God, and no more; and I hope for happiness beyond this life. I believe the equality of man; and I believe that religious duties consists in doing justice, loving-mercy, and endeavoring to make our fellow-creatures happy.” Bagi saya, alangkah indahnya agama jika ditanggapi seperti ini yakni sekalipun kita mengaku beragama (sama ada Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Mormon, Animism dan sebagainya). Ia menunjukkan betapa kita berbeza antara satu sama yang lain, akan tetapi kemanusiaan yang digali dari rasional dapat menyatukan kita semua dan membuang segala perbezaan akidah, ritual-ritual, seruan jihad, dan permusuhan atas dakwaan “agama aku sahaja yang betul” akan menyebabkan keamanan yang kita idamkan tergadai. Kesimpulan Diharap, penulisan kali memberi suatu kesedaran kepada pembaca agar tidak lagi terkeliru dengan konsep “Tuhan”, “agama” dan “spiritualiti”. Seseorang boleh sahaja percaya pada Tuhan tanpa agama, dan seseorang juga boleh mempunyai spiritualiti tanpa Tuhan dan agama. Justeru, jika anda seorang Muslim, janganlah kelam kabut dan anggap bahawa jika seseorang itu tiada agama maka dia tidak percaya Tuhan dan tidak punyai nilai rohani. Dengan sedikit pengenalan yang ringkas dan bersahaja ini, mudahan kita semua tidak lagi membuat lawak jenaka dengan memahami ketuhanan secara pakej “Nasi Lemak”. Sekian. ]]>Boikot sebagai revolusi tanpa pemimpin
“The first rule of good theatre is ‘Show, don’t tell.’ It applies to good political action as well” -Carne Ross Peristiwa penyerangan bertubi-tubi oleh Israel terhadap Gaza pada kali ini benar-benar mendukacitakan kita buat kali yang sudah menjadi lumrah dalam ceritera politik antarabangsa. Hipokrasi media-media barat seperti BBC dan Skynews menunjukkan kepada kita betapa rosaknya institusi media yang beralih menjadi alat propaganda yang bukan sahaja menyebarkan informasi yang tidak tepat bahkan mempunyai ideologi yang mendukung keganasan terhadap rakyat Palestin di Gaza. Artikel saya pada kali ini tidak akan menyentuh secara mendalam sejarah pergolakan Palestin-Israel, pembentukan Israel 1948, dan peristiwa panjang usaha perdamaian dan gencatan senjata, penjanjian-perjanjian yang dikhianati dan sebagainya. Pergolakan yang berlaku Palestin ternyata bukanlah perkara baru bagi seluruh dunia , terutama kepada umat Islam. Tumpuan saya, adalah kepada apakah yang boleh kita lakukan sebagai rakyat biasa, dari agama apa pun, dari bangsa dan budaya apa pun untuk bersama-sama bersolidariti secara padu dan berkesan bagi memberi mesej yang jelas kepada negara haram Zionis-Israel supaya rakyat dari seluruh dunia terutama di Malaysia benar-benar boleh membawa perubahan. Jawapan saya adalah, kita harus bermula dengan mengangkat kembali tradisi boikot dan memperkukuhkan mobilisasinya. Sejarah kejayaan boikot Perkataan boikot ini sejarahnya dari seorang British yang bernama Charles Cunningham Boycott. Semasa menjadi agen yang menjaga tanah milik Lord Erne, beliau dipinggirkan dan ramai petani-petani yang memprotes meninggalkan penuaian dianjurkan oleh Irish Land League bagi membantah keputusan Lord Erne yang tidak mahu menurunkan harga sewaan tanahnya kepada 25%. Ini kerana hasil tuaian ketika itu tidak memberangsangkan. Tindakan ini menyebabkan berlakunya boikot besar-besaran sehingga menyebabkan 50 Orangeman dari Pekan Cavan dan Monaghan terpaksa menawarkan khidmat sukarelawan membantu menguruskan tanah yang ditinggalkan itu. Proses memulihkan semula keadaan ini menelan belanja sehingga 10,000 pound untuk nilai tuaian berjumlah 500 pound. Dari sudut sejarahnya perkataannya sahaja telah menunjukkan kemampuan boikot untuk memberi impak dalam isu-isu yang diperjuangkan. Begitu ramai sebenarnya yang sudah skeptikal akan keperluan boikot ini. Ramai yang berpendapat bahawa boikot tidak boleh menyelesaikan apa-apa masalah kerana kebergantungan kita terhadap produk-produk tertentu dan ketidakmampuan kita untuk menggantikan dengan produk yang lebih baik. Apatah lagi dalam kerana ekonomi antarabangsa dimana negara dunia ketiga misalnya terpaksa bergantung kepada produk-produk dan barangan import dari dunia maju kerana ketiadaan produk local yang mampu bersaing sehebat kualiti barangan luar. Walaubagaimanapun, masih ramai yang saya kira tidak nampak bahawa boikot sebenarnya suatu kuasa massa yang tersembunyi akibat dari ketidakpedulian dan sifat ego masyarakat. Selain melontarkan kebencian yang melampau dalam terhadap Israel seumpama menyatakan hasrat ingin membunuh dan mendoakan kecelakaan mereka, boikot sebenarnya menjadi alternatif terbaik gerakan “non-violence resistance” yang telah terbukti berjaya sekiranya tindakan secara kolektif diambil. Misalnya, pada tahun 1957, di Afrika Selatan, Alexandra People`s Transport Action Committee (APTAC) dibentuk bagi berkempen memboikot dari menaiki bas yang harga tambangnya dinaikkan oleh Public Utility Transport Corporation (PUTCO). Kesedaran memboikot ini dilancarkan pada 7 Januari tahun yang sama dengan mereka beramai-ramai berjalan kaki dari Alexandra ke Johannesburg tanpa menaiki bas. Gelombang boikot ini juga disambut baik oleh penduduk Moroka dan Javabu yang turut bersolidariti walaupun tambang bas tidak dinaikkan di kawasan mereka. Masyarakat pula menunjukkan sokongan yang padu dengan menumpangkan sebahagian penduduk yang ingin bergerak ke destinasi mereka.Mereka melaluinya dengan tabah sehingga terpaksa tidak keluar rumah kerana kepenatan akan tetapi teguh mempertahankan tuntutan mereka. Akhirnya, tuntutan mereka berjaya melumpuhkan kepentingan industri bas dan rundingan dicapai pada bulan April dan seterusnya tuntutan kearah menyemak semula kadar gaji diteruskan pada June. Ini suatu kemenangan yang besar hasil susah payah masyarakat bersolidariti dengan teguh mempertahankan tuntutan. Pad tahun 1930-an, selain melancarkan demonstrasi besar-besaran bagi mengambil garam di laut dalam usaha memecahkan monopoli Bristih terhadap garam yang merupakan nadi kehidupan masyarakat India, Mahatma Ghandi juga melancarkan boikot terhadap produk Bristih terutamanya kain kotton British dan menyeru lokal menggunakan kain kotton buatan tangan di rumah. Gerakan ketidaktaatan sivil yang berterusan ini menyebabkan Ghandi ditangkap beberapa kali dan akhirnya perjuangan beliau membuahkan hasil apabila India mendapatkan kemerdekaannya pada Ogos 1947. Banyak lagi contoh-contoh boikot yang berjaya membuahkan hasil seperti Delano Strike 1960, pimpinan Cesar Chavez bersama United Farm Workers (UFW) yang memprotes gaji terendah yang diterima pekerja anggur Filipina tidak seperti di negeri lain. Kempen dan kesedaran boikot ini menyebabkan hampir 14 juta rakyat Amerika memboikot pembelian buah anggur sehingga Delano terpaksa mengalah pada tahun 1969 dan menandatangi perjanjian dengan UFW. Tidak lupa juga kejayaan Montgomery Bus Boycott, pimpinan Martin Luther King yang memboikot bas atas undang-undang Alambama yang rasis terhadap orang kulit hitam. Boikot ini berjaya sehingga kesnya di bawa ke mahkamah dan diisytiharkan “unconstitutional” Kenapa boikot berjaya? Boikot ini bukan suatu trend hipster mahupun kempen acah-acah jika tujuannya untuk memberi impak. Boikot memerlukan disiplin dan stamina yang padu , sikap kepedulian yang tinggi, menjujung nilai kebersamaan sebagai yang nilai terpenting serta menjadikan kemanusiaan sebagai tunjang perjuangan. Jikapun boikot tidak berjaya, ataupun digelar sebahagian pihak sebagai “bermusim”, ianya bukanlah kerana boikot itu tidak efektif, akan tetapi sikap masyarakat kita yang belum bersedia menjunjung tanggunjawab kemanusiaan bersama dan meninggalkan seketika ruang selesa yang dinikmati sebelum ini. Kita lebih suka berdoa dari jauh, menyerahkan keputusan kepada Tuhan untuk menyelesaikan masalah kita daripada bangkit membuat perubahan. Sangatlah malang apabila masyarakat diajak untuk boikot, sudahlah skeptikal, tidak mahu menyertai, bahkan mengherdik pula insan-insan murni yang cuba menyatakan sikap dan kepedulian. Lebih ironi lagi, apabila boikot tidak berjaya, kerana ketidakpedulian mereka-mereka yang hanya ingin duduk dibelakang papan kunci memakan “pop-corn”, aneh sekali apabila keluar dari mulut mereka “kan aku dah cakap, tak berjaya pun boikot ini. Sekejap je panas” sedangkan gagalnya boikot itu kerana tiada solidariti yang ditunjukkan oleh mereka sendiri. Carne Ross, di dalam bukunya “The Leaderless Revolution : How Ordinary People Will Take Power and Change Politics in the 21st Century” membentangkan bahawa, sekurang-kurangnya ada tiga elemen yang boleh membawa perubahan tanpa pimpinan. Pertama ialah, meningkatkan pemberdayaan sosial melalui pengukuhan “participatory democracy”. Beliau memetik model-model seperti Occupy Wall Stree Movement dan juga penyertaan besar-besaran rakyat dalam membincangkan polisi setempat seperti yang berlaku di Porto Alegre, Brazil. Ia menekankan politik “from all to all” dan bukan sekadar memberi tanggungjawab kepada perwakilan setempat. Kedua ialah, politik personal. Ini adalah suatu sikap politik yang meletakkan tanggungjawab revolusi sosial terhadap tanggungan setiap individu dalam merubah keadaan masyarakat. Ianya elemen yang mengalihkan sikap kita dari hanya menyerahkan urusan politik kepada kerajaan yang kita sendiri tidak percaya, kepada organisasi mandiri yang mengumpulkan masyarakat setempat dan kerangka hubungan yang kompleks dan sepadu. Ketiga ialah pembentukan budaya yang sihat dimana kita beralih dari budaya konsumerisme yang menjengkelkan kepada budaya “togetherness” di mana kita mengambil kembali kawalan keatas diri sendiri yang menjadi agensi terpenting mengelola tindak tanduk yang bertanggungjawab. Dunia ini menurut beliau sememangnya tidak pernah ada kawalan yang berupaya menjaga hal ehwal rakyatnya secara mutlak. Politik berbentuk anarki yang menekankan kebertanggungjawaban sosial lebih menguntungkan demokrasi dan menawarkan “public scrutiny from all to all”. Kesimpulan Sudah tiba masanya untuk kita berhenti mengherdik usaha satu sama yang lain dalam upaya memberi kesan kepada ekonomi Israel dalam bantahan kita terhadap keganasan mereka. Memboikot barangan dan produk mereka sangatlah berkesan sekiranya kita cermat dan realistik dalam memilih produk-produk yang boleh kita sama-sama tinggalkan atas faktor bukan keperluan (seperti MCD dan Starbuck) dan simbol solidariti terhadap kemanusiaan.. Tentunya isu Gaza hanya cetusan di antara banyak lagi pencabulan terhadap kemanusiaan dan bukannya isu agama. Boikot merupakan suatu disiplin (walau bermusim) seperti bulan ramadhan dimana kita melatih diri dari menjadi konsumer terlajak dan rakus kearah mencapai matlamat politik dan menjunjung prinsip kemanusiaan di atas tahap tertinggi. Semua bermula dari dalam diri kita. Kita tak perlukan pemimpin untuk menunjukkan jalan itu dan ini. Ayuh lancarkan boikot yang bersepadu ke atas produk-produk (kita mula dengan produk makanan) dan barangan Zionis-Israel dan memberi kesan kepada ekonomi mereka. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh! Sambutlah seruan ini!
]]>Tasawuf dan Satyagraha: Selari dalam perbezaan
Memaknai semula tasawuf Meskipun makna tasawuf itu berbeza-beza mengikut pendapat Ulamak, saya tidak berminat pemaknaan tasawuf yang hanya bersangkutan pencarian hikmah ilahiah yang tertinggi bersifat individualistik yang terpisah dari kerangka, pemaknaan dan fungsinya di dalam masyarakat. Di dalam konteks Malaysia, sebuah negara yang majoriti penduduknya umat Islam, saya kira dua perkara terpenting yang sangat memberi kesan kepada umat Islam ialah faktor akhlak dan kemampuan mengaitkan apa-apa teori, falsafah dan ideologi apa pun dengan Islam. Berbicara tentang demokrasi , kebebasan, keadilan, kemanusiaan dan apa sahaja pun jika tidak dikaitkan dengan galian dari dalam Al-Quran dan Sunnah, sukar bagi masyarakat umat Islam untuk menerimanya, kerana ia begitu asing, apatah lagi yang datangnya dari Barat. Fatima Mernissi, di dalam bukunya “Islam dan Demokrasi : Antologi Ketakutan” menjelaskan bagaimana Barat di dalam bahasa Arab disebut sebagai “gharb” yang bererti asing , tempat yang diliputi kegelapan, tempat matahari terbenam, dan sesuatu yang tidak diketahui itu selalunya menakutkan. Perkara ini menjadi jelas dalam wacana umat Islam yang sering saja ketakutan akan apa sahaja yang datang dari Barat yang di mana epistemologi dan ontologinya dikira cukup dikhuatiri mengelirukan umat Islam. Makanya membincangkan wacana-wacana falsafah Barat tanpa dikaitkan dengan khazanah Islam pasti menjadi suatu benteng bagi kebanyakan umat Islam mempelajarinya. Faktor kedua, yakni akhlak juga sesuatu yang sangat di”minati” oleh kebanyakan umat Islam. Tidak kira lah sehebat mana pun kita berbicara, berhujah dan berdebat, akan tetapi jika akhlak sang pembicara itu dilihat teruk dan tidak beretika, nescaya segala hujah-hujah rasional dan ilmiah kita akan tidak didengari. Begitulah cara kebanyakan umat Islam yang sering mengaitkan akhlak dengan keilmuan sedangkan mereka sangat mengetahui betapa ramai ilmuan-ilmuan dan agamawan yang akhlaknya baik dan penuh sopan santun akan tetapi korup dan bermuka-muka. Sedangkan pembunuh Sayidina Ali itu yang bernama Abdurrahman Ibnu Muljam juga merupakan seorang muslim yang rajin beribadah, berpuasa dan seorang hafiz Quran. Walaupun berakhlak baik bukanlah penyebab kepada keilmuan seseorang , ia bahkan menjadi aset terpenting bagi sesiapa pun yang ingin membawa wacananya ke ruang awam. Dalam konteks itu, pendekatan tasawuf sebagai akhlak bagi saya merupakan satu pendekatan yang wajar kita terokai sebagai bonus bagi membawa idea-idea yang berguna agar dapat disambut baik oleh masyarakat. Kiyai Said Aqil Siroj di dalam karyanya “Tasawwuf Sebagai Kritik Sosial : Mengedapankan Islam sebagai Insipirasi Bukan Aspirasi” menyatakan dengan jelas bahawa Islam perlu ditanggapi sebagai agama moraliti. Konsep keesaan Tuhan yang diturunkan kepada Nabi sarat dengan kesan terhadap sosio-politik keadaan masyarakat Arab Jahiliyyah yang melawan perhambaan manusia kepada manusia, pelbagai pencabulan ke atas hak asasi manusia dan penindasan terhadap golongan yang lemah. Siroj menerangkan lagi bahawa selain aspek akidah dan syariah yang merupakan elemen penting dalam Islam, ialah tasawuf. Beliau megatakan terdapat tiga sikap yang melampaui batas iaitu ghuluw yakni sikap dan respons yang berlebihan di luar batas kemanusiaan, tatharruf, yang didorong emosional keterlaluan dan irhab yang menjustifikasi kekerasan atas nama agama mahupun ideologi. Ketiga-tiga sikap ini saya kira( termasuk saya) sering kali kita amalkan apabila berwacana di media sosial dan tidak henti-henti menyebarkan kebencian antara satu sama lain. Termasuklah aktivis-aktivis, intelektual-intelektual, sama ada yang dogmatis atau pun progressif , sudah hilang tasawuf dan cinta dalam menyebarkan idea dan pendapat. Akhirnya kita terperangkap dengan sifat “self-righteous” dan egois (di mana yang berbangga seolah perjuangan “aku” sahaja yang betul, yang lain semua hipokrit) yang kita sendiri benci jika diamalkan pada diri orang lain. Pemahaman tasawuf yang positif dalam memberikan kesan sosial yang baik ialah segala perjuangan dan pemikiran kita menurut Kiyai Siroj, ialah satu pembawakan yang bersederhana, dakwah (ajakan) yang mengutamakan “qaulan karima” (perkataan yang baik), “qaulan maisura” (perkataan yang pantas), “qaulan layyinan” (perkataan yang lemah lembut), “qaulan baligha”(perkataan yang memberi kesan kepada jiwa) dan qaulan tsaqila (perkataan yang berkualiti) dan saya ingin menambah sendiri bahawa kesemua ini mestilah berdasarkan percakapan yang benar dan sebenar-benar percakapan yang jujur dan bukannnya menipu dan berselindung di sebalik akhlak yang baik. Lebih menarik lagi, Kiyai Siroj berusaha mengajak pesantren-pesantren supaya lebih progressif dan berubah menjadi agen transformasi sosial berpaksikan traditionaliti agama dan tasawufnya dalam mengejar apa yang disebut Al-Quran sebagai “khaira ummah” pastinya melibatkan pembangunan politik,sosial,ekonomi, sains dan teknologi dan segala macam bidang pengetahuan yang mesti dikuasi umat Islam. Sebagai contoh, matlamat pesantren yang di bawah Nahdatul Ulama (NU) di Indonesia yang memutuskan pada 1996 bahawa, kesemua pesantren mestilah bertindak sebagai ,1)lembaga pendidikan dan pengembangan ajaran Islam;2)lembaga perjuangan dan dakwah Islamiyah dan ;3)lembaga pemberdayaan masyarakat yang berkewajipan bergerak secara emansipatif dalam menjunjung masyarakat yang adil, harmonis dan demokratik. Mengambil ibrah dari Satyagraha bawaan Gandhi Konsep Satyagraha ini boleh difahami sebagai “non-violence resistance”. Ghandi menggabungkan satya yang beerti kebenaran dan agraha yang beerti ketegasan(firmness) yang berasaskan kepada satu-satunya kebenaran iaitu “non-violence”(Ahimsa). Ia merupakan suatu gerakan ketidaktaatan sivil. Suatu penentangan yang bersifat penuh cinta dalam ketegasan mempertahankan kebenaran bagi mencapai matlamat sosial. Saya ingin mengajak rakan-rakan menggunakan konsep Satyagraha ini dan menggabungkannya dengan tasawuf bawaan Islam dalam menerokai pendekatan wacana intelektual dan aktivism sehari-hari kita supaya ia berhasil bukan sebagai gerakan fizikal (bukan dalam konteks artikel ini) akan tetapi menjadi gerakan pemikiran progressif, emansipatif dan berbasis kemanusiaan bersifat penentangan yang kukuh dan mencabar pola pemikiran masyarakat yang kaku ini dipandu oleh tasawuf yang menyentuh nurani. Satyagraha bawaan Ghandi memerlukan disiplin yang kuat dan padu. Di dalam “Conquest of Violence: The Gandhian Philosophy of Conflict” tulisan Joan Valerie, Ghandi menekankan bahawa untuk melaksanakan Satyagraha, seseorang mestilah mempunyai keberanian yang cekal untuk mengamalkan tapasya, yakni “self-sacrifice”. Ia bukanlah bermaksud penentangan secara pasif yang membiarkan sahaja pihak lawan menabur fitnah, melakukan kekerasan, memperli, mengejek, menyebarkan aib dan sebagainya, akan tetapi suatu pengorbanan yang punya matlamat jangka panjang yang mana manfaatnya mungkin hanya boleh dirasai oleh orang lain atau generasi yang akan datang. Ini juga bermaksud, mungkin pengorbanan jiwa yang menahan kesabaran untuk tidak membalas kebencian dengan kebencian – tidak membalas cacian dengan cacian, fitnah dengan fitnah – tidak dapat dinikmati oleh mereka yang berkorban itu, akan tetapi untuk zaman anak cucunya pula menikmati hasilnya. Ghandi menyatakan: “Suffering injury in one`s own person is of the essence of non-violence and is the chosen substitute for violence to others. It is not because I value life low that I can countenance with joy thousands voluntarily losing their lives for Satyagraha, but because I know that it results in the long run in the least loss of life, and, what is more, it ennobles those who lose their lives and morally enriches the world for their sacrifices.” Kesimpulan Marilah kita sama-sama menilai kembali pendekatan kita dalam berwacana dan debat dan beralih kepada dialog yang benar-benar sihat di mana pertembungan konservatisme oleh agama mahupun ideologi dengan aliran yang lebih progresif dapat berlangsung tanpa kebencian antara satu sama lain dan pergelutan yang berlaku menjadi suatu yang positif dan bukannya menanam lebih ketidakpercayaan dan kesangsian yang tidak berasas. Ini kerana, jika kita tidak berhenti untuk saling mendengar dan saling memahami, saya yakin wacana pemikiran apa pun tidak berhasil memberi dampak positif yang kita idamkan. Kita sama-sama tidak akan boleh bergerak lebih jauh. Secara peribadi, saya telah melihat begitu banyak kebencian dari kecintaan. Saya penat dengan kebencian begitu juga anda. Ia memakan jiwa kita semua. Ayuh kita sama-sama fikirkan!
]]>Salah faham terhadap kesetaraan gender
Mengapa gerakan gender? Jika dahulu saya merupakan seorang lelaki yang sangat konservatif dan skeptikal terhadap gerakan yang saya fahami sebagai “feminism” ini, sesi dialog yang berterusan dan perasaan ingin tahu yang membuak-buak membolehkan saya meneroka dengan lebih jauh. Akhirnya saya jatuh cinta dengan sikap dan apa yang diperjuangkan oleh mereka. Pastinya gerakan kesetaraan gender ini tidak akan muncul suka-suka dan sengaja ingin mencetuskan huru-hara dalam pandangan umat Islam melainkan terdapat krisis ketidakadilan dan penindasan yang begitu sistemik di dalam konteks kita hari ini. Antara masalah-masalah yang disuarakan termasuklah poligami, perkahwinan bawah umur, perkahwinan paksa, masalah ketidakadilan pewarisan harta, keganasan rumah tangga, diskriminasi terhadap wanita berhijab/tidak berhijab dan sebagainya. Para pembentang dan peserta membahas isu-isu tersebut dalam perbincangan-perbincangan yang sangat penting dengan penghujahan ilmiah dan penafsiran semula terhadap teks Al-Quran dan Sunnah bagi mengangkat semula semangat keadilan yang dianjurkan dalam Islam dan mengembalikannya ke tempat yang sepatutnya. Feminisme nusantara Adalah sesuatu yang bersalahan jika kita memukul rata semua gerakan feminisme yang melanda nusantara dengan anggapan bahawa mereka hanya semata-mata bertitik tolak dari pengalaman Barat, khususnya yang memuncak pada abad ke 17 di bawah pengaruh gereja dan juga diskriminasi berterusan yang meminggirkan wanita selepas Revolusi Perancis 1789. Revolusi tersebut kemudiannya mengisytiharkan “Declaration of the Right of Man and the Citizen” di mana wanita turut diiktiraf dengan satu lagi pengisytiharan “Declaration of the Right of Women and the (female) Citizen”. Terdapat perbezaan yang ketara antara feminism bawaan Barat (yang juga punya banyak kepelbagaian) dengan konteks feminism bawaan kebudayaan nusantara yang kuat dengan tradisi agama. Sebagai contoh, disebut dalam kajian Clare Chambers berjudul “Feminism, Liberalism and Marriage” yang menyatakan bagaimana gerakan feminism di Barat itu begitu kental dan tegar menyerang institusi keluarga. Bagi mereka, wanita itu secara langsung akan tertindas apabila “menyertai” perkahwinan. Wacana sebegini bukanlah apa yang dibawa oleh gerakan gender di Malaysia , Indonesia dan Singapura misalnya, yang harus kita fahami lahir dalam konteks masyarakat beragama Islam khususnya dan juga mencakupi masyarakat majmuk melibatkan orang bukan Islam. Justeru, wacana kesetaraan gender di nusantara bukanlah mencabar institusi perkahwinan dan keluarga akan tetapi memperkukuhkannya dengan semangat keadilan agama (dalam konteks artikel ini, Islam) Antara perjuangan gerakan gender di Malaysia adalah seperti Sisters In Islam (SIS) misalnya, yang antara lain telah menuntut diperkenalkan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Ini merupakan suatu pencapaian yang wajar diberi pujian. Ini kerana, sebelum akta itu diperkenalkan, tiada peruntukan undang-undang keganasan rumah tangga di mana suami yang sewenangnya memukul isteri sehingga menyebabkan kecederaan fizikal boleh didakwa di mahkamah. Ia dianggap “hal rumah tangga yang tidak boleh diganggu” sebelum ia menjadi kes polis seperti hari ini. Di Singapura pula, wujudnya sistem pewarisan harta di bawah dua sistem undang-undang (antara sivil dan AMLA atau Administration of Muslim Law Act) menjadi masalah yang sentiasa menindas wanita. Sebagai contoh, seorang warga wanita kematian suaminya, dan mempunyai dua orang anak perempuan. Di bawah undang-undang sivil Singapura, jika suaminya tidak mewasiatkan apa-apa untuk isteri dan anak-anaknya, si isteri boleh menuntut hak keatas “maintenance” beliau dan anak-anak atas perintah mahkamah (jumlah ditentukan oleh mahkamah) di bawah Inheritance Family Provision Act. Ini berbeza dengan seorang wanita Islam. Dalam kes yang sama, di bawah AMLA 1966, beliau tidak dibenarkan memilih diadili di bawah mahkamah sivil (hanya boleh berbuat demikian jika menisytiharkan dirinya murtad) di mana hanya 1/3 harta yang boleh diwasiatkan oleh suaminya kepadanya dan selebihnya dibahagikan mengikut faraid yang mana memberi bahagian yang besar kepada ayah suami dan adik beradik lelakinya. Penindasan berlaku apabila tiadanya peruntukan undang-undang sekiranya keluarga belah suami tidak bertanggungjawab dan tiadanya peruntukan “maintenance” yang boleh dituntut oleh si isteri seperti yang dijamin di bawah undang-undang sivil. Ini menyebabkan si isteri dan anak-anak terbiar tanpa diberikan hak mereka. Di Indonesia pula, tidak kurang hebatnya apabila Kongres Perempuan Indonesia julung kali di buat pada tahun 1928.Gerakan- gerakan gender seperti Gerakan Isteri Sedar dan AMAN (Asian Muslim Action Network) Indonesia, membuahkan beberapa hasil yang progresif seperti yang disebut Siti Mukarramah dalam tesisnya “Pengaruh Feminisme Barat Terhadap Gerakan Feminism di Indonesia” “Perjuangan perempuan di Indonesia sendiri telah banyak menghasilkan perundang-undangan yang melindungi mereka, diantaranya,UU No. 1 Tahun 1997 tentang perkawinan, UU No. 23 Tahun 2004 tentang penghapusan kekerasan dalam rumah tangga, UU No. 10 Tahun 2008 tentang pemilu yang mensyaratkan partai memenuhi 20% caleg dari perempuan, dan lain-lain. Indonesia sendiri pernah dipimpin oleh seorang presiden wanita yaitu Megawati Soekarno Poetri. Gerakan gender (keseteraan gender yang memberdayakan wanita dan penglibatan lelaki) di Indonesia juga mendapat saingan hebat apabila wujudnya variasi gerakan gender yang berideologi feminist Barat, Keluarga Sakinah (gerakan gender Islamik) dan juga gerakan ibuism dan “”houswefization”yang dikatakan bertunjang atas dasar “gender harmony”. Saya hanya sempat menyatakan sedikit sahaja dari ribuan contoh dan kes-kes yang signifikan yang menjadi asas perjuangan gerakan keseteraan gender ini. Tujuannya hanya untuk menaikkan martabat wanita supaya mereka bukanlah dianggap sebagai “second-class citizen”, akan tetapi mempunyai hak-hak asasi manusia. Namun begitu, ini tidak bermaksud lelaki itu harus dicabar dan tidak wajar dihormati. Ia cumalah mengangkat wacana ini bagi memberikan keadilan kepada lelaki dan wanita mengikut konteks yang sebetulnya. Membersihkan pengaruh patriarkal Arab dari semangat keadilan Islam Sesungguhnya, begitu banyak isi-isi penting yang perlu kita rungkai dalam penafsiran semula teks(Quran dan sunnah). Masyarakat Arab di zaman nabi memandang wanita dari sudut status, nilai, dan peranan sebagai inferior kepada lelaki. Nisbah satu lelaki bersamaan perempuan sebanyaknya tetapi lelaki aktif manakala perempuan pasif. Akan tetapi kedatangan Islam menukar semua ini dengan menjadikan status lelaki dan perempuan sama darjatnya di sisi Tuhan sebagai hamba dan khalifah dan memegang peranan melindungi satu sama lain. Sebagai contoh, Islam diturunkan dalam konteks masyarakat Arab yang mengamalkan poligami tanpa batasan. Al-Quran yang diturunkan memberi tamparan hebat kepada struktur masyarakat Arab ketika itu yang begitu partriaki dimana sumber ekonomi kebanyakannya terletak di tangan lelaki dan perempuan sebagai warga kelas kedua yang perlu “dilindungi”. Poligami misalnya, sering di salah erti sebagai galakan kepada suami untuk berkahwin lebih dari seorang. Sedangkan, di dalam Surah An-An-Nisa (4) : 3 yang menyatakan : “Jika kamu takut tidak dapat berlaku adil pada para isteri, maka nikahilah satu orang perempuan saja atau hamba sahaya yang kamu miliki ” Dan juga surah yang sama ayat- 129 yang menyatakan: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya) oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau-lampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awang) dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” Ini bukan suatu galakan poligami bahkan suatu galakan monogami! Bahkan di dalam hadith riwayat Bukhari dan Muslim mencatatkan bahawa, “Sesungguhnya Bani Hisyam bin Al-Mughirah meminta izin mengahwinkan puteri mereka dengan Ali bin Abi Thalib, aku pun tidak mengizinkan sekali lagi, sungguh tidak aku mengizinkan kecuali aku ceraikan puteriku lalu menikai puteri mereka. Sesungguhnya ia (puteriku) adalah bahagian dariku; menyinggungku apa pun yang menyinggungnya dan menyakitiku apa pun yang menyakitinya” Begitu jelas bahawa Nabi juga merasakan kesakitan jika puterinya dipoligami itu menambah lagi hujah betapa kerasnya kritikan keatas poligami. Ini juga hanyalah satu contoh dari banyak contoh-contoh pengaruh praktik Arab kurun ke-7 yang mempengaruhi wacana Islam dalam prinsip umum yang universal berteraskan keadilan yang sesuai mengikut konteks zaman. Gerakan gender merupakan affirmative action Banyak persoalan-persoalan yang melepak di fikiran saya tatlkala meneroka objektif perjuangan gerakan kesetaraan gender ini. Antaranya; 1) bagaimana gerakan gender ini memperkuatkan institusi keluarga? 2) Jika wanita ingin diiktiraf martabat dan kekuatan, mengapa mereka minta dilindungi dan diberi hak yang sama rata? Mengapa tidak bersaing sama dengan lelaki? Antara jawapan yang sama terima di dalam program tersebut bagi jawapan untuk soalan pertama ialah, melawan kezaliman dan penindasan di dalam keluarga itulah yang akan memperkuatkan institusi tersebut. Kestabilan dalam rumah tangga akan lebih terjamin dan harmoni akan wujud. Malah, dalam konteks zaman moden, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, wanita yang terdidik dapat membantu meringankan beban suami dengan sama-sama berkerja dan berkongsi peranan mendidik anak-anak. Bahkan, jika si suami ditimpa kemalangan, cacat , sakit dan sebagainya, wanita lantas boleh mengetuai keluarga dan menyara isi rumah. Bukankah itu memperkasa insitusi keluarga? Jawapan bagi soalan yang kedua pula ialah, tindakan menuntut wanita diberi hak dan perlindungan ini adalah affirmative action, yakni tuntutan yang tidak tetap dan akan lenyap apabila padang sama rata. Jika sejak dari kecil, lelaki dan perempuan tidak diberi akses pendidikan yang sama rata, bagaimana ingin bersaing secara adil? Begitu juga dengan pemberian hak yang lain sebagai tindakan menyaratakan kedudukan lelaki dan perempuan dalam masa yang sama mengiktiraf peranan masing-masing yang boleh berubah mengikut konteks. Kesimpulan Saya amatlah berharap jika artikel yang ringkas ini dapat memberi kesedaran seboleh mungkin kepada pembaca agar persepsi buruk terhadap gerakan gender dapat dikurangkan malah dilenyapkan bagi sama-sama menjunjung prinsip keadilan yang diterapkan atas nama hak asasi manusia mahupun Islam. Sesungguhnya,saya percaya, jika gerakan-gerakan Islam berminat dengan bersungguh-sungguh untuk menaikkan wacana kesamarataan gender ini sebagai keadilan yang ditegakkan di dalam Islam, .nescaya NGO feminism seperti AWARE & NJI (Singapura), SIS (Malaysia), Solidaritas Perempuan (Indonesia) dan sebagainya tidak perlu wujud untuk bangkit dan memperjuangkan nasib wanita-wanita yang tertindas dan dizalimi.
]]>Melayu: kaum terasing
“Man is condemned to be free: condemned, because he did not create himself, yet nonetheless free, because once cast into the world, he is responsible for everything he does.” – Jean Paul Sartre
Masyarakat Melayu suka dikenali sebagai masyarakat yang mewarisi budaya sopan santun yang tinggi, menghormati orang yang lebih tua, menjaga tatasusila, memiliki kesetiaan yang tinggi terhadap autoriti, mempunyai sikap kejiranan yang baik, menjaga keluarganya, menyantuni pelbagai bangsa dan agama dan sebagainya.
Kita juga terkenal dengan kesantunan dalam mengkritik dan menegur dengan pantun-pantun, sajak-sajak, puisi-puisi dalam menyatakan pendirian. Kita malah tidak biasa menerima kritikan secara terbuka dan lebih memilih pendekatan yang lebih beradab dan hikmah. Walaubagaimanapun, sikap-sikap ideal ini menyebabkan “side-effect” tersendiri yakni takut bercakap benar dan bersikap jujur agar menjaga hati supaya tidak terluka jika perkara yang dilontarkan itu pahit untuk diterima. Kita adalah masyarakat yang lebih mementingkan adab berbandingkan sifat bertanya dan cabar mencabar secara kritis. Kita juga sering kali mengangkat nilai kekeluargaan , persahabatan terlalu tinggi sehingga membutakan mata terhadap kezaliman, ketidakadilan, korupsi dan segala negativiti yang dibawa oleh ahli keluarga sendiri dan orang-orang terdekat yang kita sayangi. Kita juga suatu masyarakat yang sentiasa mengambil pendekatan berhati-hati dalam mendepani sesuatu perkara. Kita takut untuk mengambil risiko akan perubahan yang ingin dibuat. Kita terlalu takut mengorbankan stabiliti yang dipunyai untuk mencapai keadaan yang lebih baik. Segala perubahan yang cuba dibawa oleh orang-orang yang mempunyai pemikiran yang berlainan dianggap suatu ancaman malah terasing dari nilai-nilai dari tradisi yang mereka pegang. Fenomena-fenomena ini melahirkan masyarakat kita yang susah untuk berubah, pasif terhadap pembaharuan, budaya suka mengampu asalkan punya keselamatan ekonomi, kronisme keluarga dalam pentadbiran, ketidakadilan yang diserahkan kepada takdir, penyerahan daya fikir kepada autoriti-autoriti kepada ilmu, kesetiaan membuta tuli kepada institusi masyarakat seperti keluarga dan raja, ketaksuban terhadap tradisi dan merasa superioriti, penyerapan segala pemikiran dari luar secara total tanpa mengikut konteks yang akhirnya terperangkap antara mendukung status quo dan memberi alternatif yang juga terbuka untuk dipersoalkan. Keterasingan dalam konteks Melayu Semua ini juga bertitik tolak dari sikap keterasingan masyarakat kita dari mendepani realiti. Keinginan untuk menjadi diri sendiri dimusnahkan dengan persepsi masyarakat dan norma-norma sedia ada yang mengekang dirinya untuk memanifestasikan potensi diri yang sebenar. Meluahkan pendapat dan diri sebenar mereka merupakan suatu pantang larang dan dosa besar jika ia bercanggah dengan nilai-nilai masyarakat. Kesannya mereka lebih rela menjadi hipokrit dan menyerah diri kepada nilai-nilai yang telah ditetapkan tanpa membuat pilihan yang bertanggungjawab. Masyarakat pula lebih suka melihat kestabilan yang kosmetik dan keamanan yang palsu tanpa mendepani dan mengakui perbezaan yang wujud dalam setiap individu-individu yang berbeza dari sistem nilai mereka. Sebagai contoh, seorang melayu yang menjadi muslim secara keturunan, yang mana pada akhirnya memilih untuk keluar dari sistem nilai Islam dan menjadi atheist, pastinya dia akan dikecam dan disisihkan dari keluarga dan masyarakat kerana dianggap sesat dan menyeleweng. Keterasingan: individu dan masyarakat Keterasingan ini berlaku kepada kedua-dua pihak yakni pada individu tersebut dan masyarakat. Individu yang cuba melawan atau keluar dari sistem nilai itu akan memilih sama ada untuk kekal berada dalam agama walaupun sudah tidak mempercayainya kerana takut disisihkan. Jikapun dia mengikuti agamanya, tetapi bukan dengan pilihannya sendiri, sebarang kerosakan dan kepincangan yang berlaku atas kapasiti dirinya akan terpalit kepada agama yang dianuti tanpa pilihannya itu. Mereka juga akan cuba memulihkan akidah mereka tanpa mempedulikan fikiran dan kejujuran hati mereka sendiri untuk membuat pilihan. Untuk masyarakat pula, keterasingan dari mendepani realiti bahawa setiap individu itu berbeza fikrah dan pegangannya walaupun anak mereka sendiri, menyebabkan mereka tidak dapat menerima hakikat wujudnya perbezaan, ketidaksetujuan dan perubahan dalam tradisi yang mereka pegang selama ini. Hasilnya, mereka lebih suka melihat masyarakatnya yang seragam dan bersetuju sahaja dengan tradisi zaman berzaman dan pegangan akidah yang sama secara luaran tanpa mengiktiraf terdapatnya perbezaan yang boleh sama-sama kita hormati, atau perubahan yang mendalam sepanjang aliran zaman. Melihat berbondong-bondong orang pergi ke masjid lima waktu sehari semalam , berbuat pesta zikir besar-besaran , dan memberi khutbah-khutbah setiap jumaat dan ditadahkan kepada telinga penganut-penganutnya itu seperti sudah cukup menjadikan mereka beriman dan beramal soleh tanpa mengambil kira konteks masyarakat moden yang terdedah kepada teknologi maklumat yang menyebabkan pemikiran penganutnya dipengaruhi idea-idea dari pelbagai saluran. Kesan terhadap keterasingan ini ialah, masyarakat melayu secara umumnya, lebih suka melihat “biah solehah” mahupun keamanan sosial yakni keamanan dari fikrah songsang (baca: berbeza) dan berada dalam keadaan selesa tanpa bersiap sedia dengan segala kemungkinan berlakunya perbezaan yang datang dari luar mahupun kesedaran individu-individu dalam masyarakat tersebut. Ketidaksediaan ini menyebabkan mereka terasing dengan sendirinya dengan hanya mempelajari dogma dan nilai-nilai tradisi masing-masing tanpa melihat dalam konteks masyarakat yang lebih luas yang dipenuhi dengan kepelbagaian. Mereka akan cepat merasa sensitif dan beraksi dengan ekstrim apabila nilai-nilai mereka diganggu gugat. Masyarakat juga akan menyimpan mereka-mereka yang hipokrit dalam agama mereka dan buih-buih yang sentiasa memburukkan imej dan ajaran agama yang indah itu. Mereka akan merasa ralat dengan keterbukaan dan harmoni yang cuba dibawa dalam proses interaksi dengan kepelbagaiaan dan perubahan. Perbezaan dan perubahan bukan lagi suatu rahmat, malah menjadi malapetaka yang tidak sanggup dihadapi. Kebebasan dalam konteks Melayu? Penyelesaian terhadap keterasingan ialah kebebasan. Tetapi apakah maksud kebebasan ini? Semua orang menceritakan tentang kebebasan dan menjuarainya. Namun kebebasan mempunyai banyak penakrifan yang berbeza. Tambahan pula, dalam masyarakat melayu yang berpegang kepada tradisinya, rempuhan pemodenan yang membawa aliran-aliran yang membawa konsep kebebasan individu yang digali dari rasionaliti tentu sekali memberi cabaran kepada masyarakat melayu Islam yang juga masih bergelut dengan variasi-variasi aliran akidah yang pelbagai. Georg Wilhelm Friedrich Hegel, seorang tokoh falsafah German yang Masyhur, bagi saya, tepat dalam soal kebebasan ini. Pada beliau pertembungan antara pelopor kebebasan individu dan pendukung tradisi masyarakat yang bukanlah suatu yang negatif. Beliau benar dalam mengatakan bahawa “The history of the world is none other than the progress of the conciousness of freedom.” Kebebasan sepanjang sejarah adalah pertembungan (struggle) untuk mencapai kebebasan. Sehingga ke hari ini, persoalan kebebasan bergema di merata tempat. Ia memberi kesan yang baik kepada proses kebebasan yang lebih segar dan baru. Melalui kaca mata Hegel, kebebasan bukan suatu nilai mutlak yang kekal dan tidak berubah akan tetapi sentiasa berkembang setelah pertembungan dan pergelutan itu berjaya diatasi. Ini jelas berbeza dengan konsep individualiti abstrak yang mana kebebasan itu merupakan hak asasi manusia yang ada sejak azali. Apa yang Hegel tunjukkan ialah, kebebasan bukanlah sewenang-wenang bagi sesuatu individu atau komuniti berbuat sesuka hati dan tidak mahu diganggu. Non-interference penting, tetapi ia tidak mencukupi untuk memberi maksud yang lebih lengkap dan menyeluruh kepada kebebasan. Kebebasan bagi Hegel suatu proses pergelutan berpanjangan. Seperti mana juga tradisi perlu difikir-kaji, begitu jugalah kebebasan liberal perlu diuji-cabar agar dialektik yang berterusan akan menumbuhkan kebebasan bentuk baru yang lebih mengambil sisi-sisi tradisi dan konteks secara konkrit dan digabungkan dengan konsep kebebasan individu yang akhirnya membentuk sintesis yang menggabungkan tradisi dan kebebasan. Tradisi di sini bukan sesuatu benda monolitik dan statik yang mesti disanjung dan diterima secara total dan buta tuli. Ia sudah memadai untuk dianggap sebagai sesuatu landasan yang tidak boleh dielakkan kerana kita hanya boleh bermula daripada keadaan yang sedia ada. Penolakan secara total terhadap tradisi dan pengambilan secara total konsep kebebasan individualist liberal juga adalah suatu bentuk kelampauaan yang tidak mengambil kira nilai-nilai masyarakat setempat. Tetapi ini bukan setakat menerima realiti semata-mata. Hegel akur kepada hakikat manusia sebagai makhluk yang mempunyai idealnya tersendiri. Cuma pencapaian ideal itu harus berlaku dalam dunia, dalam arus dan liku-liku realiti secara konkrit. Jika kita inginkan kebebesan itu sebagai suatu hakikat, jadi non-interference itu tidak mencukupi. Kebebesan harus dizahirkan sebagai satu cara hidup, di mana ia tidak terbatas dalam rangka apa yang dibayangkan dalam imaginasi kita, tetapi direalisasikan secara konkrit. Di sinilah pergelutan itu penting. Dalam pergelutan antara ideal dan realiti, apa yang ada sekarang dan impian kebebasan yang ingin dicapai boleh dizahirkan: keunikan setap individu akan dihargai. Pada masa yang sama, individu tersebut tidak memahami dirinya sebagai satu entiti yang tercerai dari masyarakat, tetapi dia memahami bagaimana potensi dan depth dirinya boleh dikenali dengan lebih mendalam dan bermakna setelah berhadapan dengan dunia secara langsung. Masyarakat pula melihat bagaimana pengiktirfan terbuka terhadap keunikan setiap individu membolehkan perkembangan dan kesuburan wacana dan budaya yang membawa kepada evolusi dalam penghayatan terhadap makna dan dimensi-dimensi kebebesan. Proses itu bukan satu yang mudah, atau singkat, tetapi itulah realiti yang harus diterima: kebebasan bermakna dan berharga kerana kemuncaknya boleh dirasa, maknanya difaham, apabila ia terhasil dan dirasa dalam pergelutan. Kesimpulan Anak-anak melayu yang ingin bebas dari kekangan masyarakatnya perlulah bersedia untuk berhadapan dengan penolakan dan penyisihan. Kebebasan tidak lagi sewenangnya diberi sebagai hak akan tetapi perlu dituntut dan diperjuangkan sehingga diterima oleh masyarakat. Pergelutan yang berlaku janganlah dianggap sebagai suatu permusuhan akan tetapi suatu pergelutan yang perlu bagi mendapatkan “recognition” dari masyarakat terhadap individu yang ingin menjadi diri sendiri. Mereka harus bertanggungjawab atas kebebasan yang dituntut itu. Masyarakat pula, perlu lah bersedia dengan sebarang tuntutan kebebasan dan mendepaninya dengan hujah dan cuba mengatasinya tanpa manipulasi undang-undang dan paksaan. Masyarakat perlu sedia keluar dari zon selesa mereka dan cuba menelaah mengapakah kebebasan begitu menggiurkan di zaman ini dan bagaimana menyuai padan kebebasan individu yang pelbagai untuk diadaptasi supaya nilai-nilai tradisi dapat menerima perubahan zaman untuk hidup bersama secara harmoni. ]]>