Projek Dialog

Maka Hadirlah Imperialisme: Raja Putih & Pembunuhan Beramai-ramai Masyarakat Kajang

The White Rajah of Sarawak

Terjemahan makalah “Enter Imperialism” tulisan Shanthi Thambiah, yang diterbitkan di Malaysia History.net pada 13 November 2011. Diterjemahkan oleh Maryam Lee.

Sejarah Yang Makin Dilupakan Kira-kira 150 tahun yang lalu, sebuah peristiwa telah berlaku di Sarawak yang catatannya dalam sejarah ingin diperbetulkan penulis. Ini bertujuan untuk menegakkan keadilan untuk orang asal dimana sejarah dari sudut pandangan mereka dinafikan sejak berkurun lamanya. Peristiwa ini adalah mengenai kolonialisme yang merupakan detik yang paling memalukan bagi umat manusia, kerana dengan kolonialisme maka terjadilah eksploitasi, penaklukan, penghapusan kaum dan pembunuhan beramai-ramai. Terlalu berat usaha untuk membongkarkan sistem imperalisme global yang telah berkembang selama lebih 500 tahun ke atas masyarakat orang asal. Walaubagaimanapun, impak kolonialisme terhadap masyarakat orang asal seluruh dunia wajar disoroti, kerana sejarah mereka akan kehilangan ditelan zaman. Bencana kolonialisme boleh dilihat menerusi suatu peristiwa yang melibatkan masyarakat Kajang di Sarawak pada abad ke-19. Sejarah telah merakam peristiwa ini sebagai ‘Ekspedisi Besar Kayan’. Namun bagi kebanyakan orang yang hidup di Balui (kawasan di utara Sungai Rejang), peristiwa ini terpahat sebagai Pembunuhan Beramai-ramai Kajang. Kisah bermula dengan kehadiran Robert Burns (cucu kepada pemuisi terkenal di Scotland) seorang pedagang British  di Borneo pada ketika itu. Burns merupakan warga England pertama menjejakkan kaki ke Rejang, kawasan masyarakat Kayan, pada tahun 1847. Burns adalah seorang lelaki yang angkuh dan hanya berminat dalam aktiviti yang menghasilkan wang. Pada tahun 1850, tiga orang pemimpin masyarakat Kayan telah mengutus surat kepada Raja Putih, James Brooke bagi menyatakan hasrat mereka berdagang dengan Robert Burns. Bagaimanapun, mereka mendapati Burns bukan sahaja telah merampas isteri-isteri orang Kayan, malah telah memerintahkan puak-puak setempat agar membunuh sesiapa sahaja yang datang ke hulu sungai itu. Brooke telah membalas surat itu dengan menyatakan tiada seorang pun warga England yang berkelakuan buruk akan mendapat perlindungan daripada beliau. Burns menetap di Labuan dan kadangkala membuat lawatan perdagangan ke kawasan pedalaman. Pada bulan September 1851, Burns keluar ke pantai utara Borneo bersama Kapten Robertson dari kapal Dolphin untuk menjual senjata. Setibanya mereka di Teluk Marudu, Burns dan Robertson bertengkar dan ketika hendak berlayar pulang ke Labuan, mereka diserang lanun. Burns meninggal dunia dalam serangan tersebut. Bulan kemudiannya, anak saudara Brooke, Charles Brooke telah mengikuti sebuah ekspedisi dengan Admiral Sir Francis Austen untuk membalas dan menghukum lanun-lanun yang telah menyerang kapal Dolphin. Dengan itu, adik lelaki penulis Jane Austen telah membela kematian cucu pemuisi Robert Burns! Sebelum itu, pada bulan April 1851, Charles telah berlayar ke Sungai Skrang, Saribas dan kemudian ke Sungai Rejang serta Sungai Kanowit dimana beliau telah mendirikan sebuah kubu. Kubu tersebut diletakan di bawah kawalan Abang Durop, saudara Datuk Patinggi Sarawak yang kemudiannya telah digantikan oleh seorang pegawai British bernama Henry Steele. Beliau merupakan orang Eropah kedua yang menjejakkan kaki ke kawasan orang Kayan pada tahun 1852. Bermulanya Permasalahan di Sarawak Charles Brooke Masalah besar di Sarawak mula timbul pada 25 Jun 1859 apabila Charles Fox dan Henry Steele, dua orang pegawai Brooke di Bahagian Ketiga telah dibunuh di kubu Kanowit. Tokoh-tokoh utama di sebalik pembunuhan para pegawai Brooke itu adalah dua ketua masyarakat Melanau, Sawing dan Sakalai. Charles Brooke yang merupakan orang yang bertanggungjawab ke atas kerajaan Brooke di Sarawak sewaktu ketiadaan ayah saudaranya bertindak dengan berang. Setelah menyiasat kejadian di Kanowit, Charles kembali ke Kuching dan bersumpah untuk membalas pembunuhan pegawai-pegawainya. Pada akhir Julai 1859, Charles kembali ke Rejang lalu menghukum mati 10 orang tempatan yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan Fox dan Steele. Hukuman yang sama turut dikenakan ke atas lima orang pegawai yang telah meninggalkan tempat tugasan mereka di Kubu Kanowit sewaktu kejadian. Ketua pemberontak Sawing dan Sakalai serta para pengikut Melanau mendirikan benteng di Sungai Kabah, tidak jauh dari Kanowit. Charles Brooke telah melancarkan serangan ke atas mereka dengan bantuan masyarakat Iban tempatan. Rumah panjang berkubu masyarakat Melanau Kanowit diserang dengan banyak kematian menimpa kedua-dua belah pihak. Namun Sawing dan Sakalai berjaya melarikan diri ke arah kawasan Kayan di hulu Sungai Rejang. Charles Brooke yakin orang Kayan adalah kaum yang bermegah dan pembelot serta perlu diberikan pengajaran. Beliau berazam untuk menghukum orang Kayan kerana melindungi pembunuh-pembunuh pegawai beliau. Sejurus kembali daripada lawatan singkat ke Britain, Charles melancarkan Ekspedisi Besar Kayan pada 1863. Kayan Ekspidisi Besar Kayan 1863 Ekspedisi ini merupakan tindakan ketenteraan paling besar yang pernah dilakukan oleh keluarga Brooke. Angkatan Charles terdiri daripada 15,000 orang yang dimuatkan ke dalam 500 perahu besar. Kebanyakan orang yang terlibat dalam ekspedisi ini terdiri daripada orang Iban. Ekspedisi ini menembusi lebih dari 320km ke hulu sungai, melepasi jeram-jeram Pelagus dan Bakun. Walaupun saiz angkatan penyerang yang dan jarak yang diliputi adalah luas tetapi “Ekspedisi Besar Kayan” hanya menelan kos sebanyak £689 dalam mata wang tempatan. Ekspedisi ini tidak bertembung dengan masyarakat Kayan, tetapi telah mengakibatkan banyak kematian dan kemusnahan di kalangan orang Kajang (orang Sekapan, Kejaman, Lahanan dan juga Melanau) yang tinggal bertaburan di hulu sungai. Ramai wanita dan kanak-kanak terbunuh. Ekspedisi ini tidak berjaya menangkap Sawing dan Sakalai yang pada ketika itu mendapat perlindungan daripada orang Kayan yang tinggal jauh di kawasan pedalaman. Mereka berlindung bersama seorang lelaki bernama Talip yang juga dipercayai terlibat dalam pembunuhan Fox dan Steele. Sebelum pulang ke Kuching, Charles Brooke telah memberi sebuah peluru meriam dan sehelai bendera Sarawak kepada salah seorang daripada orang tawanan mereka dengan arahan untuk menyerahkannya  kepada Oyang Hang, pemimpin masyarakat Kayan. Charles mahu pemimpin Kayan itu menyerahkan pembunuh-pembunuh Fox dan Steele kepadanya. Bendera Sarawak bertindak sebagai jaminan keselamatan terhadap wakil-wakil Kayan untuk tiba di kubu Kanowit. Jika tidak, ia akan dianggap bahawa masyarakat Kayan menerima peluru meriam yang merupakan simbol peperangan. Tidak lama kemudian, sebuah rombongan Kayan tiba di kubu Kanowit mengibarkan bendera Sarawak bersama dengan kepala Talip dan Sakalai yang dipenggal. Mereka tidak dibunuh oleh orang Kayan kerana tindakan ini bercanggah dengan adat  yang tidak akan mencederakan tetamu mereka. Talip dan Sakalai mungkin telah dibunuh oleh kaum Iban meskipun hal ini tidak pernah dibuktikan dalam sejarah. Sawing telah berjaya melarikan diri namun ditangkap dan diserahkan kepada kerajaan pada hujung tahun yang sama. Dayak Adat Hukuman, Pembelaan & Pembinaan Negara – Menurut Kolonialisme Masyarakat Kajang telah menjadi mangsa utama dalam ‘Ekspedisi Besar Kayan’ pada tahun 1863, dan mereka melihat ini sebagai tragedi akibat membantu saudara-mara dan rakan taulan dari Kanowit yang telah membunuh Fox dan Steele. Tiada siapa yang mengetahui setakat mana serangan yang dibiayai kerajaan ini telah mengganggu taburan penduduk di bahagian utara Sungai Rejang. Charles Brooke menyesali kekejaman pahlawan-pahlawan Ibannya, namun walaupun jika dia telah dimaklumkan, ia barangkali tidak akan mengubah apa-apa. Matlamat utama beliau ketika itu adalah untuk memastikan kelangsungan pemerintahannya di Sarawak. Beliau percaya kepentingan membela kematian Fox dan Steele bagi mengajar penduduk di sekitar Sungai Rejang bahawa penentangan terhadap kerajaan akan membawa kepada serangan balas yang tidak pernah ditempa dalam sejarah negara itu. Keluarga Brooke menganggap ‘Ekspedisi Besar Kayan’ sebagai sebuah fenomena dalam proses pembinaan negara. Menurut sejarah lisan orang Kayan dan Kajang, pertumpahan darah yang berlaku merupakan balasan mistik dek perlakuan zina Robert Burns. Mereka percaya kelakuan buruk itu akan mengakibatkan bencana alam yang meragut nyawa sekiranya pesalah tidak dihukum dengan sewajarnya. Orang Kayan mahu membunuh Burns tetapi hajat mereka tidak kesampaian. Maka dengan itu, mereka membunuh Fox dan Steele kerana darah perlu mengalir untuk menyanggah balasan mistik ini. Apatah lagi Steele merupakan orang Eropah kedua yang menjejakkan kaki ke kawasan orang Kayan selepas Burns menetap bersama mereka. Orang Kayan mahukan perbicaraan setempat untuk Burns. Menurut adat mereka, beliau akan diminta untuk memberi secuil darah dan membayar denda dalam bentuk manik dan penyembelihan seekor babi hutan – namun permintaan ini ditolak oleh Raja Putih. Hatta, akibat kekurangan sensitiviti terhadap kepercayaan dan adat tempatan, pembunuhan Fox dan Steele telah berlaku. Tambahan lagi, tiada penyiasatan rasmi dijalankan ke atas pembunuhan kedua-dua pegawai tersebut, tidak seperti pembunuhan J.W.W. Birch di Perak. Lagipun, para Raja Putih yang dianggap sebagai pemerintah bertamadun di Sarawak juga merupakan golongan penjajah yang  ingin memerintah dan membina sebuah sistem pentadbiran yang berlainan untuk negeri Sarawak yang baru diasaskan. *Dr. Shanthi Thambiah ialah seorang ahli antropologi sosial di Universiti Malaya yang mengkaji orang-orang asal di Malaysia *Millennium Markers ialah sebuah siri mingguan yang memberi perhatian kepada peristiwa-peristiwa yang membentuk Malaysia dan kawasan sekitarnya sepanjang lebih 1,000 tahun yang lepas ]]>

KORBAN: Harga sebuah Cinta dan Revolusi

ROL Lee Oleh Lee Slimshady Senja 19 September aku duduk mengopi di Restoran Yassen Jalan Tuanku Abdul Rahman sambil memerhati rakan-rakan wilayah cinta sedang melayani dan menyantuni anak-anak jalanan di hadapan Alka Ria. Tetapi kali ini aku tidak menyertai rakan-rakan yang lain dalam menyebar cinta di jalanan buat anak-anak warga miskin kota. Mungkin memberi peluang kepada “pecinta – pecinta” lain mencurahkan kasih buat anak-anak jalanan ini. Dalam seketika teringat pula kepada seorang rakan berkepala botak yang menggunakan nama pena Sang Pencinta. Aku mengenali Sang Pencinta yang berkepala botak ketika sama-sama meneroka ruang demokratik dalam #OccupyDataran tapi sayangnya tidak mengenali secara dekat dan mengapa dia menggelarkan dirinya sebagai Sang Pencinta aku sendiri pun tidak tahu. Sambil menghirup kopi panas aku memerhati anak-anak kecil ini belajar dan sedikit demi sedikit fikiran ku mula menerawang jauh dalam sejarah cinta umat manusia beribu-ribu tahun lamanya. Dalam simpanan kotak sejarah yang aku ada, hanya satu nama sahaja yang mengaitkan Cinta dalam catatan sejarah tidak kiralah ia dari kitab suci, manuskrip papyrus mahupun catatan hieroglif purba di Babylon mahupun di Mesir. Paling tepat sosok inilah yang telah mengorbankan cintanya demi wahyu yang telah dikirim dari langit ke-7 yang terselit mesej rahsia buat seluruh umat manusia. Justeru aku tidak berniat untuk meminggirkan para atheist dalam  coretan populis ini hanya sekadar mahu berkongsi semangat revolusi dan fahaman tentang cinta buat seluruh insan di setiap pelosok jagat raya. Tidak semestinya pandangan dan pendapat aku ini betul dan janganlah sampai diakui keabsahannya sebelum dicabar dan disiasat kebenarannya. Kisah Ibrahim Alaihissalam Oleh itu bagi aku satu-satunya individu pertama yang aku rujuk terlebih dahulu sebelum Paderi Saint Valentinus adalah Nabi Ibrahim alaihis salam. Ibrahim HajarKerana ketika Ibrahim meninggalkan bayi comel dan isteri tersayang di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang tak mungkin aku dapat membayangkan perasaan hiba yang lahir dari naluri seorang ayah. Perasaan yang amat pilu tatkala anak yang dinantikan zuriatnya sendiri setelah bertahun lamanya akhirnya terpaksa ditinggalkan begitu sahaja di bawah panas terik mentari. Hati ayah mana yang tidak emosi apabila saat-saat manis membelai bayi comel dari darah keturunan sendiri terpaksa dilupakan demi menurut perintah dari langit ke-7. Andai aku berada di tempat Ibrahim secara jujurnya mustahil aku dapat melaksanakan perintah tersebut kerana naluri kebapaan mencengkam kuat dalam jiwa sebaik menatap bayi comel lebih-lebih lagi zuriatku sendiri. Sedikit demi sedikit wajah isteri yang tercinta hilang di tengah-tengah padang pasir kontang. Hatinya mula resah, jiwanya mula gelisah dan kini naluri bapanya berkecamuk. Demi cinta kepada isteri, dan kasihnya kepada bayi Ismail yang comel, ditadah kedua belah tangannya lalu dijulang ke langit lantas mengemis Cinta dari Sang Pencipta menagih simpati buat kasih insani. Ibrahim sedar hamba hina sepertinya tidak layak mengemis Cinta yang Maha Esa meski sang Jibrail yang setia tanpa sempadan pun belum mampu memiliki kasih Sang Pencipta. Di kala itu berlari-lari kecillah Siti Hajar mendaki menuruni bukit Marwa dan Safa mengejar bayangan fatamorgana yang disangka lautan tatkala bayi Ismail meraung mendahagakan air sedangkan susu dari tubuhnya telah kering. Mujur Sang Pencipta itu punya nama yang Maha Mengasihani. Korban emosi, kasih dan sayang hamba Ibrahim itu dibalas bawah hentakan kudus tumit bayi Ismail a.s lalu terpancurlah kejernihan sumur air ditengah-tengah padang pasir tandus yang menghapuskan segala kedahagaan. Ternyata Cinta yang Maha Esa adalah Cinta yang Teragung. Tanpa Rasul utusan itu sedar, kasih Maha Pencipta itu mengatasi segala-galanya. Cahaya CintaNya merentasi kebencian, kegelapan dan bisikan kejahatan. Maka berkumpullah seluruh bangsa jurhum demi berkongsi Cinta dari sebuah telaga hasil kurnia ilahi berkat hentakan kudus dari tumit kaki bayi Ismail. Kisah Cinta Ibrahim ini bermula dari hanya seketil rasa kasih dan akhirnya terbina sebuah kota di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang. Cinta Seni & Pemburuan Makna Lalu diabadikan cinta Ibrahim, Siti Hajar dan bayi Ismail itu dalam bait-bait puitis yang dicoret oleh bapa kesusasteraan Melayu moden Hamzah Fansuri. [caption id="attachment_5164" align="alignleft" width="351"]Hamzah Fansuri Hamzah Fansuri[/caption] Malah diadaptasi pula bait-bait puitis itu dalam sebuah lagu gubahan penyanyi dan komposer tersohor M. Nasir  bertajuk “Raikan Cinta” yang pernah menduduki carta teratas lagu popular tanah air suatu ketika dahulu. Aku juga turut mengalunkan bait-bait lirik lagu tersebut sambil memetik gitar milik rakan serumah tanpa menghayati dengan tepat makna dan maksud yang cuba disampaikan dalam lirik lagu berkenaan. Namun dalam pada masa yang sama aku mula mengesyaki ada maksud mendalam dalam bait-bait puitis ini, jika tidak takkanlah lirik tersebut dipetik dari karya tersohor Bapa Kesusateraan Melayu Moden seperti Hamzah Fansuri. Bermula dari saat itu aku mula memburu jawapan kepada setiap persoalan. Secara perlahan-lahan aku mula menyiasat segala naratif yang ada di sekeliling hidup aku dan mencungkil kebenaran serta kesahihan setiap naratif tersebut. “Nak, jiwamu mula memberontak dan mindamu sedang melalui proses evolusi” kata seorang pakcik tua yang aku temui di perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam. Terkejut dengan perubahan tanpa sedar itu, sebenarnya bukan sahaja dilalui oleh aku seorang malah rakan-rakan lain yang mula melakukan pemburuan terhadap kesahihan naratif. Cinta, Revolusi & Pengorbanan Revolusi pada awalnya adalah satu istilah yang amat asing tetapi hebat bagi aku. Setiap kali menyebutnya membuat aku rasa teruja tanpa mengerti lebih mendalam bentuk fiziknya. Mencari kesempurnaan dan menghapuskan pembodohan juga perlukan cinta untuk membina sebuah masyarakat yang progresif. Namun tanpa revolusi sebagai kaedahnya, maka cinta itu hanyalah sia-sia. Cinta kepada perubahan dan kebebasan untuk membina dunia baru, tanpa menggerakan perubahan itu secara drastik maka kekallah cinta itu sekadar ilusi maya. Sebab itu ia bukanlah hanya kisah lagenda antara Romeo dan Juliet atau kisah cinta tragik antara Uda dan Dara, maka secara fiziknya ia menuntut suatu pengorbanan. Lantas ia menjadi satu perkara yang menghantui minda para reformis. Banyak antara kita cukup petah dan lantang bila memperkatakan tentang perubahan, tetapi apabila diajukan persoalan tentang pengorbanan maka ramai yang mula memberi alasan untuk melarikan diri. Penyair terkenal W.S Rendra pernah mengungkapkan; “Andai takut pada risiko usah bicara pasal perjuangan” Maka risiko itu adalah pengorbanan yang akan dituntut dalam suatu gerakan perubahan. Kerana itu seringkali para revolusioner mengibarkan warna merah sebagai tanda menjadi korban dalam kebangkitan. Pengorbanan Helah & Pengorbanan Sebenar Tapi usah disamakan warna merah ini dengan himpunan baju merah tempoh hari kerana bagi aku himpunan itu bukan satu kebangkitan tetapi sekadar mengampu pemerintah. Janganlah juga disamakan dengan  demonstrasi depan Masjid Ubudiah dan Istana Bukit Chandan Kuala Kangsar ketika rampasan kuasa negeri Perak melalui pintu belakang istana suatu masa dahulu. Ramai telah ditangkap manakala pada sebelah malamnya pula diadakan ceramah di rumah Menteri Besar dan diceritakan betapa mereka yang ditangkap ini adalah wira rakyat dan kutipan derma dibuat untuk wira-wira ini. Diumumkan malam itu jumlah kutipan derma untuk menjamin semua para tahanan adalah sebanyak RM13 ribu. Tapi sampai hari ini duit tu tak sampai ke tangan para tahanan sebagai wang jaminan. Ahmad BoestamamKasihan buat rakan-rakan yang telah dijadikan sebagai mangsa ihsan orang ramai untuk mengaut keuntungan maka berhati-hati agar tidak dijadikan alat kepentingan politik orang lain untuk mengaut keuntungan. Tidak ada makna pengorbanan malah jauh sekali maksud perubahan di situ kerana keseluruhan ia sekadar helah ahli politik untuk mengekalkan kekuasaan dan mengaut keuntungan atas kesengsaraan orang lain. Sebab itu dalam sejarah kita lihat sendiri dalam merealisasikan cinta maka banyak jiwa yang telah terkorban. Secara psikologinya ia bukanlah satu perkara yang kita ingini namun itulah realiti yang perlu dihadapi. Justeru bergerak dari kebangkitan revolusi maka korban adalah perkara subjektif bagi para revolusioner. Maka tidak hairan jika kita lihat pendukung perjuangan radikal progresif seperti Ahmad Boestamam meletakan slogan “merdeka dengan darah” sebagai konsep perjuangan Angkatan Pemuda Insaf (API). Maka akan datang suara-suara sumbang memperlekehkan dasar perjuangan tersebut lantas mengaitkannya sebagai satu perkara yang ditegah oleh agama. Larangan Agamawan & Revolusi Murni Lalu ujian untuk menulenkan lagi cinta Ibrahim tidak terhenti di situ sahaja kerana perjalanan dan proses baru sahaja bergerak pada fasa pertama. Mesej Tuhan belum lagi jelas untuk diungkapkan meskipun dalam kiasan. Maka Ibrahim a.s diseru sekali lagi untuk  membuktikan kesetiaan kepada Maha Pencipta yang mana ia menuntut satu lagi pengorbanan yang amat besar dalam hidupnya. Kali ini zuriatnya diperintahkan agar disembelih sebagai korban. Buat kali kedua nalurinya sebagai seorang bapa diuji sepenuhnya. Tatkala perintah dari langit ke-7 mahu dilaksanakan maka muncul suara-suara sumbang Sang Azazel (Iblis) yang telah dilaknat lantas mengaitkan perintah itu dengan percanggahan dalam ajaran agama. Hajar IsmailMaka mempersetankan suara-suara kurang siuman yang mengaitkan suatu usaha murni itu dengan percanggahan dalam ajaran agama bukanlah suatu yang janggal kerana Siti Hajar sendiri melakukan dengan jayanya. Malah Ibrahim a.s sendiri merejam suara-suara “sial” itu dengan batu sehingga ia kekal ke hari ini sebagai ritual ibadah haji yang wajib dijalani setiap muslim yang mengerjakan haji. Tetapi malangnya ritual ini gagal dimaknai dalam realiti kehidupan sebenar. Sebab itu sering aku persoalkan dalam menggerakkan perubahan mengapa harus mempedulikan suara-suara sumbang yang mengaitkan segala usaha murni dalam membuat perubahan dengan penegahan dalam agama. Sebab itu ketika aku menyoal seorang rakan yang mahu menyertai demonstrasi #Bersih4 tentang kenyataan seorang agamawan yang mengatakan bahawa  himpunan itu haram di sisi agama maka jawabnya; “Kalau semuanya salah di sisi agama macam tu tak payahlah Nabi Ibrahim nak turut perintah Tuhan untuk sembelih Nabi Ismail ” “Kenapa pula? ” Soalku yang inginkan kepastian. “Sebab kata Iblis apa yang dilakukan oleh Ibrahim a.s tidak pernah diajar oleh mana-mana agama di dunia ini ” Jelas sahabatku dengan jawapan yang mampu buat aku tersenyum. Penjelasan yang dibuat sahabatku ini menunjukan andai usaha untuk membersihkan kekotoran itu ditegah kononnya atas nama agama maka haram untuk kita untuk menuruti larangan tersebut. Maka Tuhan pada awalnya telah mensyari’atkan keatas kita untuk mempersetankan apa sahaja larangan agamawan keatas usaha yang murni dan bersih. Justeru Imam Al-Ghazali telah mengingatkan  dalam Ihya Ulumudin bahawa setiap agamawan yang menjejakkan kakinya ke dalam istana maka akan hilanglah cahayanya. Maka setiap kebangkitan revolusi itu tidak terlepas dari asosiasi pembohongan agama kerana para agamawan itu telah di rantai lehernya oleh kuasa-kuasa politik kecuali mereka yang cekal untuk bangkit menentangnya.   Pengorbanan Untuk Menegakkan Keadilan Maka bangkit perlawanan untuk menegakan keadilan, kebebasan dan menuntut hak. Paling penting sekali adalah membina sebuah ketamadunan yang bebas dari parasit pembodohan. Sudah pasti ia pertarungan yang amat sengit yang akan mengorbankan banyak jiwa. Banyak lulusan agama tempatan enggan mengakui keabsahan naratif ini sebab motif pengorbanan Ibrahim a.s gagal difahami dengan jelas. Bagi aku ia tidak pelik kerana sang Jibrail juga mempertikaikan hal yang sama khususnya tentang pergorbanan dan pertumpahan darah. Namun begitu apabila aku meneliti babak akhir kisah korban Ibrahim dan Ismail maka pasti ramai yang akan mendakwa berlaku satu keajaiban. Di saat yang sepatutnya Ismail a.s dikorbankan, diturunkan seekor kibas lantas Ismail bukanlah korban yang sebenar kerana bagi aku itu bukan satu keajaiban tetapi anugerah. Ibrahim Qurban Lantas di sebalik korban itu maka Tuhan mengajarkan hamba bahawa di dalam hidup ini korban adalah suatu perkara yang subjektif dalam menggembleng sebuah perjuangan. Tertumpahnya darah merah itu ke bumi demi menuntut sebuah keadilan dan perubahan, biarpun ia perit untuk diterima. Sesetengah bangsa di dunia melihat pengorbanan itu satu kemuliaan. Ia seperti ibarat membelah dan mengupas sebiji durian yang memiliki kulit berduri tajam. Sudah pasti duri-duri itu melukai tangan yang mengupasnya. Tetapi andai kulitnya yang berduri tajam berjaya dikupas maka akan kita menikmati betapa lembut dan manisnya isi durian tersebut. Pengorbanan Penghayatan Maksud Korban Yang Hilang Maka sebelum kemanisan itu dikecapi ia harus melalui proses yang amat perit. Paling pasti ia menuntut nilai korban yang besar sebagai sebuah ganjaran yang harus  dibayar untuk sebuah kejayaan. Maka korban itu perlu untuk meraih kejayaan dalam suatu kebangkitan atau perjuangan. Tanpa pengorbanan takkan ada apa-apa kejayaaan. Korban adalah harga sebuah revolusi. Korban menjadi pertukaran penting untuk sebuah perubahan dalam hidup. Apa yang aku kesalkan ialah ibadah korban ini hanya sekadar syarat ritual sebagai muslim setiap kali tiba Aidil Adha tanpa setiap dari kita mengerti dan mempraktikkan maksud korban dalam revolusi hidup sebenar. Maka mesej Tuhan dalam kisah pengorbanan Ibrahim dan Ismail gagal diterjemahkan dalam hidup manusia Setiap kali itu juga aku sering teringat kata-kata Sam Witwicky (lakonan Shia Saide LaBeouf) dalam filem Transformers mengungkapkan slogan moyangnya Kapten Archibald Witwicky iaitu; “No Sacrifice, No Victory” (Tiada kejayaan tanpa pengorbanan) Salam Aidil Adha buat semua, aku menyusun sepuluh jari memohon ampun maaf zahir dan batin.   *Lee SlimShady adalah bekas aktivis #OccupyDataran yang beriman kepada perjuangan radikal progresif jalanraya.

]]>

Poligami Menurut Sisi Reformis: Tafsir Al-Manar

Polygamy

oleh Afiq M. Noor

Perdebatan tentang poligami bukanlah sesuatu yang baru dalam tradisi keilmuan Islam. Sekiranya kita membaca dan mengkaji teks-teks klasik Islam pasti kita akan menemui kepelbagaian hukum dan pendapat tentang poligami. Ada di kalangan ilmuan Islam yang membenarkannya secara mutlak, ada juga di antara mereka yang membenarkan poligami dengan syarat-syarat yang ketat dan ada juga yang mengharamkan poligami secara total. Di kalangan para ilmuan, ada yang mengatakan bahawa adalah satu bentuk diskriminasi terhadap wanita dan merupakan gambaran ketidak adilan status di antara lelaki dan wanita. Pada dasarnya, menurut mereka, poligami, merupakan sisa-sisa perhambaan terhadap wanita, di mana lelaki dengan sewenang-wenangnya memperlakukan kaum wanita sebagai pemuas nafsu seksual mereka semata-mata. Dalam tulisan ringkas ini, penulis akan menghuraikan poligami menurut sisi pandang reformis Islam, dan untuk tujuan itu penulis hanya akan memetik pandangan Sheikh Muhammad Abduh dan Sheikh Rashid Redha serta ulasan di dalam Tafsir Al Manar. Poligami Menurut Al Quran: Sejarah, Syarat & Konsep Keadilan Di dalam Surah Al Nisa’ ayat ke-3, Allah S.W.T menyatakan: “Dan jika kamu takut tidak dapat berlaku adil terhadap perempuan yatim, maka kahwinilah wanita-wanita lain yang kamu senangi; dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka kahwinlah seorang sahaja atau hamba-hamba yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya” Sekiranya kita meneliti ayat tersebut, ternyata Allah tidak hanya membenarkan para lelaki untuk berkahwin lebih daripada satu secara semberono. Terdapat dua pokok persoalan penting yang harus dikaji di dalam ayat tersebut. Pertama, tentang tanggungjawab memelihara anak yatim dan kedua, keizinan untuk beristeri lebih daripada satu. Apakah kaitan di antara dua permasalahan ini? Imam Al Thabari di dalam Jame’ Al Bayan sewaktu menghuraikan tentang ayat ini, memetik riwayat daripada Aishah RA tentang sebab turunnya ayat ini. Diceritakan bahawa Urwah Bin Zubair, anak kepada Asma Binti Abu Bakar sering bertanya kepada Aishah RA sekiranya beliau mempunyai sebarang permasalahan agama. Urwah bertanya kepada Aishah RA tentang bagaimana para lelaki diizinkan berkahwin lebih dari satu dengan alasan untuk memelihara anak yatim? Aishah RA menjawab: “Wahai anak saudaraku! Ayat ini mengenai anak yatim yang dalam penjagaan walinya dan telah bercampur harta anak yatim tersebut dengan harta walinya. Wali yang pada asalnya di amanahkan untuk menjaga anak yatim tersebut dan hartanya telah tertarik kepada harta dan kecantikan anak itu, lalu dia (wali) ingin menikahinya dengan tidak membayar mahar secara adil sebagaimana pembayaran mahar kepada wanita lain. Oleh kerana niat yang tidak jujur ini, maka dia dilarang menikah dengan anak yatim itu, kecuali sekiranya dia membayar mahar secara adil dan layak seperti perempuan lain. Daripada melangsungkan niat yang tidak jujur itu, dia dianjurkan lebih baik menikahi perempuan lain.” Berdasarkan kepada riwayat Aishah RA ini dapat kita mengambil kesimpulan, mengapa terdapat perkaitan di antara tanggungjawab memelihara anak yatim dan keizinan untuk beristeri lebih daripada satu. Sekiranya kita meneliti secara mendalam, ayat 3 Surah Al Nisaa’ ini merupakan lanjutan daripada ayat 2 yang melarang para wali yang diamahkan untuk menjaga anak yatim dan harta mereka agar tidak berbuat zalim dan aniaya terhadap mereka kerana ia merupakan dosa yang besar. Ayat ini diturunkan setelah terjadinya perang Uhud yang telah menewaskan 70 dari 700 orang lelaki Mukmin sehingga menyebabkan ramai wanita yang kehilangan suami dan anak-anak menjadi yatim. Justeru dalam konteks ini, jalan yang terbaik adalah membenarkan para lelaki Mukmin untuk menikahi wanita-wanita yang telah kematian suami dan memelihara anak-anak yang telah kehilangan bapa dengan syarat lelaki tadi perlulah berlaku adil terhadap mereka. Mampukah para lelaki berlaku adil terhadap wanita yang dikahwininya? Di dalam Surah Al Nisaa’ ayat ke- 129, Allah Azza Wa Jalla menyatakan: “Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu  walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, maka janganlah kamu terlalu cenderung kepada yang kamu cintai sehingga kamu membiarkan yang lain tergantung. Dan sekiranya kamu mengadakan perbaikan dan memelihara diri maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”  Melalui ayat ini, dapatlah kita simpulkan bahawa ‘adil’ itu merupakan sesuatu yang sulit dan mustahil untuk diberikan oleh para suami kepada isteri-isterinya. Si suami tadi mungkin boleh memberikan keadilan dari segi kewangan tetapi mustahil memberikan keadilan dari segi emosi dan kasih sayang. Ia secara langsung telah menyalahi objektif perkahwinan yang digariskan oleh Al Quran dalam Surah Al Ruum ayat 21: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanya, adalah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari kalagan kamu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram dengannya, dan dijadikannya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum yang berfikir” Sheikh Muhammd Abduh, Sheikh Rashid Redha & Al Manar Sheikh Muhammad Abduh dan Sheikh Rashid Redha berpendapat bahawa poligami dalam ayat berkenaan adalah dalam konteks anak yatim dan larangan memakan harta mereka meskipun dengan jalan perkahwinan. Perkara ini dinyatakan di dalam Tafsir Al Manar (Juz 4 Mukasurat 348) yang mana mereka melanjutkan bahawa jika khuatir para lelaki akan memakan harta anak yatim yang dikahwini itu, maka janganlah mengahwini mereka, sebaliknya kahwinilah wanita lain, dua, tiga atau empat. Walaubagaimanapun sekiranya si suami takut untuk tidak berlaku adil di antara isteri-isterinya, maka kahwinilah satu sahaja. Sheikh Muhammd Abduh selanjutnya mengaitkan ayat tersebut dengan ayat sebelumnya dan menyatakan – “Dari dua ayat di atas ketahuilah kebenaran untuk berpoligami dalam Islam adalah persoalan kesempitan atau darurat (yang amat berat), yang hanya dibolehkan dengan syarat dia boleh berlaku adil dan memastikan kesejahteraan” Sheikh Muhammad Abduh meskipun memahami ayat tersebut dengan diperbolehkan poligami dalam Islam, akan tetapi beliau sangat menentang poligami dalam masyarakat Mesir pada ketika itu. Menurutnya, poligami tidak akan mampu merealisasikan keadilan di dalam sebuah keluarga sebaliknya ia akan menciptakan permusuhan di antara isteri  dan anak-anak dari keluarga masing-masing. Menurut Sheikh Muhammad Abduh lagi poligami merupakan punca kerosakan masyarakat yang terjadi di Mesir. Beliau juga menyatakan: “Berdasarkan kaedah – Dar’ul Al Mafasid Muqaddamu ‘Ala Jalbi Al Masalih (mencegah kemudaratan harus didahulukan atas mengambil manfaat) maka poligami diharamkan apabila tidak mungkin terciptanya keadilan di antara para isteri dan keluarga” Sheikh Rashid Redha sebagaimana gurunya menganggap bahawa secara idealnya Al Quran menganjurkan perkahwinan monogami. Poligami hanya di benarkan dalam keadaan darurat. Akan tetapi beliau berpandangan meskipun dalam keadaan darurat poligami dibenarkan, jaminan untuk tidak akan muncul kejahatan dan kezaliman harus dipenuhi terlebih dahulu. Di dalam Nida’ Li Al Jins Al Latheef, Sheikh Rashid Redha menyatakan bahawa poligami adalah diharamkan bagi mereka yang mempunyai kecenderungan untuk menzalimi isterinya samada secara fizikal mahupun emosional. Menurut beliau lagi syarat penting untuk membenarkan berpoligami adalah berlaku adil yang mana ia adalah sukar untuk dipenuhi. Sheikh Muhammad Abduh dan Sheikh Rashid Redha secara tegas menyatakan bahawa tidak mungkin mendidik bangsa Mesir dengan pendidikan yang baik selagi poligami masih diamalkan secara meluas. Mereka begitu konsisten menentang amalan berpoligami sehingga pernah menyarankan kepada Kerajaan Mesir pada waktu itu untuk mengharamkan amalan berpoligami kecuali dalam keadaan yang benar-benar mendesak. Sheikh Rashid Redha sewaktu mengulas pandangan gurunya tentang poligami menyatakan bahawa pandangan Sheikh Muhammad Abduh yang mencela amalan berpoligami tersebut adalah disebabkan sikap masyarakat Mesir yang mudah berpoligami dan menceraikan isteri-isteri mereka , kerana mereka umumnya lebih mengutamakan kenikmatan seksual dan hanya menurut hawa nafsunya sahaja. ]]>

Renungan Raya: Islam dan keadilan

Teori keadilan dalam Islam Dalam Al-Quran, ungkapan keadilan juga termaktub dalam banyak ayat. Kadangkala ada ayat mengaitkan antara keadilan dengan ketauhidan. Ia dapat dilihat dalam surah Ali-Imran, ayat ke 18. Tauhid merupakan asas bagi Islam, sedangkan keadilan pula dikaitkan dengan ketauhidan itu. Apabila digabungkan antara tauhid dan keadilan, tidak bermakna keadilan itu perkara aqidah, tetapi menafikan elemen keadilan dalam aqidah adalah sesuatu perkara yang wajar dipersoalkan. Jika tidak, mengapa Tuhan yang maha Bijaksana itu menggabungkan keadilan dan tauhid. Rata-rata umat Islam mengenali keadilan sebagai meletakkan sesuatu pada tempatnya. Definisi keadilan ini, tidak diketahui siapa yang berikan, namun definisi ini amat popular sehingga dianggap sebagai definisi sakral. Al-Qaradawi dalam satu wacana Al-Syariah wa Al-Hayat yang boleh didapati dalam youtube, mencadangkan definisi yang lain bagi keadilan. Bagi beliau, keadilan itu adalah memberikan hak kepada yang berhak. Beliau mengemukakan definisi itu kerana merujuk kepada hadis saheh bahawa Nabi Muhammad SAW ada menyatakan bahawa tugasan seseorang manusia adalah memberikan hak kepada yang berhak, sama ada hak mata, iaitu dengan tidur; hak badan, diberikan waktu berehat; hak isteri, diberikan masa berkeluarga dan bersetubuh dan berbagai-bagai lagi. Jika dalam soal mata yang mengantuk pun punyai hak keadilan, sudah pasti perkara yang lebih besar juga perlu hak keadilannya. Di kalangan sarjana muslim lain, seseorang bernama Dr Abd Rab Al-Nabi telah menulis sebuah tesis bertajuk “Nazariyah Al-muwazanah Baina Al-Manaf’ wa Al-Madhar“. Beliau menyatakan bahawa keadilan itu adalah perimbangan antara maslahah dan mafsadah. Maslahah diterjemah oleh para sarjana dengan pelbagai tafsiran. Ada yang menterjemah sebagai manfaat, kelazatan dan elemen yang membawa kepada manfaat dan kelazatan itu. Begitu juga makna mafsadah: ada di kalangan sarjana muslim menafsirkan ia sebagai keburukan, kejahatan, kerosakan, kesakitan dan elemen yang boleh membawa kepada keburukan, kerosakan, kejahatan dan kesakitan. Perimbangan Apabila disebut sebagai maslahah dan mafsadah, sudah pasti ada sedikit kesamaran dalam pemikiran bagi mereka yang mahu berfikir. Ini kerana, kehendak di suatu tempat dianggap sebagai maslahah, tetapi tidak bermakna ia adalah sesuatu yang maslahah di tempat yang lain. Sesuatu yang dinilai sebagai maslahah di suatu ketika masa, tidak semestinya ia adalah maslahah di suatu ketika masa yang lain. Begitujuga dalam menilai mafsadah. Ekoran itu, terdapat perbincangan dalam satu tajuk dalam pemikiran Islam yang dinamakan sebagai fiqh muwazanat – iaitu kefahaman secara mendalam tentang perimbangan- apa yang dinamakan sebagai perubahan hukum berdasarkan masa, tempat dan situasinya. Dengan kata lain, kemaslahatan dan kemafsadatan tidak boleh dilihat secara statik atau sawabit, tetapi hendaklah dilihat secara non statik, atau mutaghayyirat. Kepentingan konteks Contoh dari sudut masa adalah, seseorang berdiri di tengah jalanraya di sesebuah kampung pada pukul 4 pagi, ia tidak menghasilkan mafsadah kepada orang lain, seperti jem, menyusahkan laluan orang lain dan sebagainya. Tetapi ia akan mendatangkan mafsadah jika dia berdiri di jalan raya yang sama pada pukul 8 pagi, iaitu saat orang bergegas mahu pergi kerja. Ekoran itu, dianggap sesuatu yang adil bahawa dalam pendapat imam Al-Syafie yang menfatwakan keizinan memiliki tanah yang diterokai tanpa mendapat geran dan surat keizinan dari pemerintah, kerana fatwa itu dikeluarkan di saat banyak tanah yang gagal dimajukan. Jika fatwa itu mewajibkan geran dan surat keizinan pemerintah untuk pemilikan tanah yang diterokai, sudah pasti tanah itu tidak akan dapat dimajukan oleh rakyat dengan alasan punyai birokrasi yang menyusahkan mereka. Namun fatwa itu tidak lagi diamalkan oleh ulama-ulama dalam mazhab Al-Syafie selepas itu. Ini kerana, perebutan pemilikan tanah sudah berlaku, maka sudah pasti mensyaratkan mendapat keizinan dari pihak pemerintah adalah satu keperluan. Contoh dari sudut tempat pula, seseorang yang buang air besar di khalayak ramai boleh dianggap sebagai melakukan mafsadah berbanding orang yang buang air besar dalam jamban. Orang yang buang air besar di tempat buang air kecil boleh dianggap sebagai melakukan mafsadah, sedangkan orang yang membuang air kecil di jamban membuang air besar boleh dianggap sebagai tidak melakukan mafsadah. Ekoran itu, Imam Abu Hanifah mengizinkan berlakunya penghakiman dengan penyaksian dari orang yang tidak diketahui keadaannya, kerana dengan merujuk kebiasaan orang pada era zaman Tabiin dan Tabii Al-Tabiiin yang terbiasa dengan keadilan, malahan ketika itu amat sukar untuk mencari orang zalim dalam kehakiman. Fatwa ini berubah pada era dua ulama dalam mazhab beliau, Al-Imam Abu Yusuf dan Al-Imam Muhammad disebabkan di zamannya tersebarnya kefasikan dan penipuan. Contoh dari sudut situasi pula seperti seseorang yang berceramah di hadapan kanak-kanak tadika tentang kegawatan ekonomi adalah sesuatu yang tidak mendatangkan maslahah, tetapi ia amat mendatangkan maslahah jika ucapan yang sama dilantunkan di hadapan ahli – ahli ekonomi. Ekoran itu, Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mengizinkan orang muda dari mencium isterinya ketika dia sedang berpuasa kerana bimbang keizinan itu boleh membawa kepada persetubuhan dalam bulan Ramadan, sedangkan Nabi SAW mengizinkannya kepada orang tua. Apabila Nabi Muhammad SAW ditanya, Baginda SAW menjawab bahawa orang tua itu boleh menahan dirinya. Dengan itu, meletakkan sesuatu itu dengan imbangan maslahah dan mafsadah ini merupakan keadilan menurut kupasan Dr Abd Rab Al-Nabi. Wahyu Ada sebilangan orang pihak islam menyatakan keadilan hanya tercapai dari sumber wahyu Islam sahaja, tidak dari sumber lain. Dakwaan ini tidak tepat. Hujahnya adalah, jika benar keadilan itu hanya tercapai melalui wahyu sahaja, sudah pasti keadilan tidak akan berlaku pada kalangan orang bukan Islam. Keadaan ini amat bercanggah dengan konsep Nabi, bahawa Baginda pernah mengakui keadilan Raja Habshah yang ketika itu beragama Kristian sehinggakan menyuruh para sahabat yang ditindas oleh pembesar Mekah agar berlindung di bawah kerajaan Raja Habshah itu. Dakwaan itu boleh dianggap tidak tepat juga, kerana dalam Al-Quran bahawa Allah pernah menyatakan bahawa Dia tidak akan membinasakan ahli sesebuah kerajaan secara zalim, jika ahli kerajaan tersebut saling melakukan islah (kandungan islah adalah kejayaan imbangan maslahah dan mafsadah). Hal ini dibahas oleh Al-Imam Fakhr al-Din Al-Razi dalam kitab Mafatih Al-Ghaib dan Al-Qaradawi dalam kitab Duar al-Qiyam wa al-Akhlak fi al-Isqtisad al-Islami, iaitu ketika membahaskan ayat ke 117 dari Surah Hud. Jika dianggap bahawa keadilan hanya tercapai melalui wahyu sahaja, sudah pasti Quran tidak akan memuji kebaikan kerajaan Saba’ yang diperintah oleh Ratu Balqis yang ketika itu belum beragama Islam lagi. Pihak mereka mahu mengukuhkan lagi pendapat mereka dengan mendakwa bahawa syirik adalah kezaliman yang paling besar, makanya orang yang tidak beragama islam sudah pasti tidak dapat melaksanakan keadilan. Dakwaan ini tidak tepat. Ini kerana, soal syirik adalah soal kepercayaan yang ia tidak memberi implikasi buruk pada keadilan yang berlaku dari sudut perbuatan. Jika mahu dikira, dalam Al-Quran pernah menyatakan bahawa kezaliman itu berlaku juga pada orang Islam yang melakukan kesilapan. Ini dapat dilihat dalam doa Nabi Yunus ketika berada dalam ikan (lihat surah Al-Anbiya, ayat 87), doa Nabi Adam ketika jatuh dari dunia (lihat surah Al-baqarah, ayat 37) dan berbagai-bagai lagi. Jika kesalahan yang dilakukan oleh para Nabi yang tidak melibatkan dosa pun, dianggap sebagai zalim menerusi Al-Quran, sudah pasti orang islam yang melakukan kesalahan yang melibatkan dosa, lebih-lebih lagi dikira sebagai zalim. Ekoran itu, kezaliman dalam ungkapan Al-Quran itu sendiri perlu diklasifikasikan kepada beberapa bentuk. Kezaliman dalam melakukan syirik, kezaliman dalam melakukan dosa dan kezaliman dalam melakukan kesilapan. Kesemua kezaliman ini tidak menafikan kewujudan melakukan keadilan dalam kerangka yang lebih besar, terutama dalam bernegara. Dengan maksud, selama mana wujud pemberian hak kepada yang berhak dan berjaya imbangkan maslahah dan mafsadah, maka ia adalah maksud meletakkan sesuatu pada tempatnya yang merupakan maksud bagi keadilan.         unnamed

]]>

Ramadan dan virus konsumerisme

Adakah umat Muslim memerlukan Santa Claus? Menerusi makalah ini, kita akan meninjau satu cabaran yang datang setiap tahun dalam apa-apa tradisi hari kebesaran dan perayaan agama-agama termasuk Islam, khasnya sekarang iaitu bulan Ramadan. Jenama-jenama dan kemasyhuran menjadi ganti berbanding rahsia dan kelebihan Ramadan yang wajar dikejar. Promosi Hari Raya di sesetengah pasaraya berlangsung beberapa bulan sebelum datangnya Ramadan, begitu juga media elektronik dan media cetak yang berperanan besar dalam mencorak perhatian penonton dan pembaca. Lebih jauh lagi, kita melihat perkara-perkara tertentu dikaitkan langsung dengan keagamaan demi melariskan lagi barang-barang perniagaan; seperti pakaian keAraban dan sebagainya. Kalau ia sudah biasa berlangsung pada bulan-bulan lain, ia berlangsung lebih hangat pada bulan Ramadan dan sebelumnya. Justeru suatu yang sentiasa berlaku, rahsia Tuhan yang menyebut keutamaan malam al-Qadar menjadi suatu yang tidak diendah sebilangan manusia, kerana malam-malam akhir pada bulan Ramadan menjadi tumpuan para peniaga untuk menghabiskan barang-barang jualan mereka. Oleh itu, tempat-tempat ibadat menjadi amat berkurang berbanding pada hari-hari awal, dan pasar-pasar pula menjadi tempat segelintir Muslim “beribadah”. Jika Santa Klaus yang “suci” dalam agama Kristian pun menjadi mangsa konsumerisme, kadang-kadang perkara sama berlaku dikalangan Muslim: biasa didengar bagaimana sesetengah pusat ibadat yang teruja amat mahu mendapatkan khidmat Imam solat terawih dari luar negara, hingga sanggup menanggung kos-kos yang tinggi, walhal duit tersebut boleh digunakan untuk manfaat ahli kariah yang memerlukan. Majlis berbuka puasa yang diadakan di hotel-hotel lebih mencemaskan kita, betapa di celah-celah tangisan segelintir pihak yang tidak cukup wang untuk membeli sesuap nasi, kita dihidangkan dengan pelbagai berita pembaziran pada majlis berbuka puasa, amat paradoks! Malah makanan yang tidak dapat dihabiskan, yang lazimnya bertimbun di buffet-buffet tersebut akan dibuang sahaja, atas alasan hak milik peribadi pemilik hotel. Bukan suatu yang rahsia, sebahagian pihak terjebak dengan hutang keliling pinggang hanya kerana “tidak mahu kalah” semasa hari raya, iaitu setelah sebulan perjalanan spiritual yang seperti tiada apa-apa. Mesej berjimat cermat, membantu orang memerlukan, kesamarataan manusia, persaudaraan kemanusiaan dan mesej utama ketakwaan (yang mana menurut Islam; ketakwaan itu ringkasnya ialah “menjaga hubungan dengan Tuhan dan memperbaiki kualiti hubungan dengan manusia dan kehidupan”) terabai begitu sahaja. Ramadan: Renung diri atau jual beli? Beberapa perenggan di atas merupakan secebis kecil kisah makna beragama dicabut secara rakus oleh konsumerisme, hingga akhirnya praktis-praktis keagamaan menjadi suatu adat yang lebih menguntungkan kaum pemodal, bukannya latihan dan pengalaman spiritual yang membina dan mendisiplinkan manusia, lantas menyelamatkan kemanusiaan. Suatu yang jelas dilihat praktis-praktis keagamaan dalam Islam ialah ia sentiasa akan dikaitkan dengan orang yang miskin dan memerlukan, demikian juga dengan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Namun menyedihkan, ia diragut oleh konsumerisme dengan begitu ganas. Galakan supaya memberi makan berbuka puasa kepada orang miskin dan memerlukan tidak diendahkan, kerana wang digunakan untuk dibazirkan pada tempat yang tak sepatutnya. Akibat ragutan itu, ia menjadikan Ramadan bukan lagi bulan untuk menghayati kelaparan dan kesusahan, tetapi bulan untuk lebih berbelanja berbanding bulan-bulan lain. Ramadan yang mengajar tentang kesamarataan manusia akhirnya mencipta jurang yang lebih besar antara kelas-kelas sosial. Sebahagian pemimpin politik turut terjebak dalam budaya ini, majlis rumah terbuka selepas berakhirnya Ramadan seperti pertandingan “majlis siapa lebih mewah”, kesederhanaan tidak menjadi keutamaan. Berhubung mereka (para politikus), sekalipun atas nama “berbuka puasa” dan apa-apa upacara keagamaan, persoalan berapa dan dari mana belanja dikeluarkan perlu sentiasa ditanya. Kembali kepada makna agama Isu-isu berkaitan kehampaan makna dalam beragama dan spiritual menjadi antara perbahasan yang tidak berkesudahan, cabaran arus deras konsumerisme mengeruhkan lagi keadaan. Karen Armstrong sesudah mengulas panjang lebar tentang sejarah dan pengenalan ringkas tentang agama dan falsafah keagamaan dalam buku terkenalnya History of God mengakhiri buku tersebut dengan dua topik menarik dalam falsafah ketuhanan iaitu The Death of God dan Has God a Future?. Ia satu persoalan serius tentang kehampaan makna dan erti beragama makin malap hari demi hari, tentang sejauh mana agama dan Tuhan benar-benar punya erti, atau ia mati di tangan sebahagian penganut agama sendiri? Sama ada kita bersetuju atau tidak, namun persoalan Armstrong menarik untuk diambil perhatian: “Human beings cannot endure emptiness and desolation; they will fill the vacuum by creating a new focus of meaning. The idols of fundamentalism are not good substitutes for God; if we are to create a vibrant new faith for the twenty-first century, we should, perhaps, ponder the history of God for some lessons and warnings.” Makalah ini sudah tentu tidak berhasrat pergi ke kesimpulan mencipta keyakinan baharu untuk abad baharu, tetapi sebagai suatu refleksi dalam tradisi beragama khasnya dalam kalangan umat Muslim. Meminjam semangat kata-kata Armstrong, jika kita persoalan makna, tujuan dan rahsia terabai serius dalam faham kita tentang Ramadan, ia pasti akan menyebabkan kekosongan itu terisi dengan hal-hal lain yang paradoks dengan tujuan asal pengsyariatan Ramadan dan amalan berpuasa. Oleh itu, mengajak kepada melihat kembali apa makna yang mahu dicapai menerusi Ramadan ialah satu usaha mengelak kehampaan makna berlangsung serius, selain menolak akhirnya hal-hal keagamaan menjadi bahan paling laku untuk diniagakan. Teladan daripada Ibn Tufail Jauh sebelum Armstrong melontarkan persoalan kemaknaannya, Ibn Tufail (meninggal 1185 M) menerusi teks kisah kefalsafahannya, Hayy Ibn Yaqazhan seperti mengungkapkan hal yang hampir sama, menerusi bahasa yang berbeza. Di hujung novel Hayy Ibn Yaqazhan itu, Ibn Tufail menceritakan perihal pertemuan dan perkenalan antara Hayy dan Asal. Asal berasal dari tempat yang sarat dengan aktiviti keduniaan yang mana hakikat dan makna beragama semakin bermasalah, Asal ke pulau tempat beradanya Hayy untuk mengasingkan diri dari tipu daya dan masharakat yang sudah hampa dari makna beragama. Hayy ketika itu sudah mencapai kedudukan yang tinggi dalam penghayatan keimanan, menerusi disiplin dan pengalaman kerohanian yang diperoleh sepanjang berada di pulau. Akhirnya, mereka berdua pulang ke tempat tinggal Asal dan di sana, Hayy melihat dengan matanya sendiri, masharakat yang lebih maju darinya ditimpa kecelakaan keduniaan yang serius, lalu Hayy mensyarahkan kepada mereka hakikat dan erti beragama. Tiada yang menyambut, lalu Hayy berputus asa dan sebelum beredar, Hayy menyeru mereka supaya beragama sekadar yang mereka mampu, tanpa melanggar arahan dan perintah Tuhan secara zahirnya. Hayy tidak mampu mengajak mereka ke penghayatan yang lebih tinggi, lalu Hayy dan Asal pulang semua ke pulau tersebut, meneruskan misi pencarian hakikat ketuhanan yang lebih tinggi. Teks tersebut sangat menarik, Ibn Tufail mengkritik keras budaya beragama secara zahir tanpa diimbangi dengan hal-hal yang menjadi rahsia dan makna dalam beragama. Kalau demikianlah pandangan Ibn Tufail pada zamannya, maka lebih-lebih lagi pada zaman di mana perindustrian merupakan segala-galanya. Itulah antara perkara yang dibimbangi berlaku dalam kehidupan dan praktis beragama, salah satunya Ramadan dan puasa. Ramadan dan puasa hanya contoh kecil, ia hakikatnya sebuah renungan terhadap hakikat beragama secara keseluruhannya. Menuntut kembali makna Ramadan dan beragama ialah satu kemestian, dan tanggungjawab. Kita harus tegas mendengung dan mengungkapkan; bertanya tentang kualiti keimanan, terjawab dengan sejauh mana manusia membantu orang yang memerlukan. Berhenti dari hal-hal kebiasaan, berhenti dan berfikir kembali makna dan erti Ramadan.         unnamed  

]]>

Malaysia: Ke arah negara Islam-totalitarian

 sebuah sistem pemerintahan, yang menjadi musuh kepada sistem pemerintahan demokrasi. Ia sebuah sistem pemerintahan dari suatu negara, yang bukan hanya berusaha mengontrol (mengawal) segala aspek ekonomi dan politik masyarakat, tetapi juga selalu berusaha menentukan nilai-nilai baik dan buruk, kepercayaan, anutan, dan faham sesebuah masyarakat. Hasilnya, tak ada lagi batas pemisah antara hak dan kewajiban oleh negara dan masyarakat. Dalam sistem totalitarian, bukan negara yang melayani masyarakat, tetapi sebaliknya sebanyak mungkin anggota masyarakat, khususnya mereka yang bekerja di lembaga–lembaga pemerintah diwajibkan melaksanakan berbagai tugas untuk membantu penguasa membangun negara ke arah bentuk yang ideal. Contohnya diwajibkan menjadi anggota satu-satunya parti politik atau satu-satunya serikat buruh ciptaan pemerintah. Apabila sesebuah nilai,dianggap oleh penguasa sebagai bentuk ideal, maka nilai tersebut akan dimasukkan ke dalam kepala masyarakat, sebagai pola fikir rasmi, pola fikir daulah. Totalitarian tidak mengira budaya Berbagai bentuk sistem totalitarian telah wujud semenjak hari–hari mula manusia mengenal apa itu ketamadunan. Tambahan pula sistem totalitarian ini boleh sahaja didirikan oleh orang–orang berketurunan Nabi-nabi suci, orang–orang yang bercakap Arab, orang–orang berkulit putih, berkulit hitam, bahkan sawo matang. Sistem totalitarian tidak mengenal ras, agama bahkan kepercayaan. Boleh jadi di sini adalah perbezaan – perbezaan antara pemeluk totalitarian tetapi semuanya memilik ciri–ciri bersama, iaitu sekurang–kurangnya dua yang utama, iaitu adanya ideologi yang disuapkan, disebarkan dan dipaksa masukkan (sama ada secara sedar ataupun tidak) ke dalam berbagai aspek kehidupan sehari–harian masyarakat dan keberadaan satu parti politik tunggal agar seluruh komponen masyarakat boleh diorganisir (diselia) melalui sebuah parti tunggal tadi. Alasan agama Pimpinan parti tunggal ini adalah jelmaan Tuhan. Sekiranya pada zaman-zaman klasik, dalam zaman monarki yang ketika itu belum dikenal sebuah perkataan bernama parti, konsep ini di dalam Arab –Islam, dinamai sebagai ‘zillullahu fil ard‘, atau ‘bayang Allah/ Tuhan di muka bumi’, seperti itulah konsep totalitarian inimahu menjadi, dalam zaman moden ini. Sistem ini mahu mengawal segala– galanya. Pimpinan parti tunggal ini akan mengontrol sistem perpolitikan negara, termasuk lembaga – lembaga pengadilan, parlimen (jika ada), lembaga – lembaga pendidikan (taska, taski, tadika, tabika, sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah agama, sekolah tak agama, sekolah asrama, sekolah tak asrama, pondok, kolej swasta, universiti) mengawal komunikasi seperti suratkhabar, radio, tv, bahkan di zaman moden ini, masih ada sosok yang gila mahu mengontrol internet meskipun sudah bersara dari jabatan presiden, samalah seperti kawalan Republik Rakyat Tiongkok (China) terhadap internet. Malaysia totalitarian? Bukankah itu yang tengah berlaku di Malaysia sekarang? Ekonomi politik sosial yang sudah menjadi semakin sial dan sundal hari demi hari, dan ahli-ahli politik sekular konon-konon sudah terima agama sebagai cara hidup, walhal sama ada mereka sedar atau tidak, mereka sedang memperkudakan agama, dan menunggangnya menjadikan kuda tunggangan untuk mencapai serakah nafsu politik mereka yang lebih liar dari kuda, untuk meraih kertas-kertas undi. Bilangan  pendengar ceramah-ceramah politik mereka yang semakin merosot dan susut, maka digunakanlah agama sewenang-wenangnya. Sebenarnya, tujuan paling fundamental mereka adalah terus berkuasa sampai kiamat, membolot hegemoni politik  dan ekonomi, dan semua ini cuma dimilik oleh segelintir elit (kroni) mereka. Timbunan – timbunan kekayaan bumi ini cuma beredar-edar di sekitar mereka sahaja. Maka mereka memerlukan sebuah tajuk yang bodoh untuk sebuah masyarakat yang tak mahu berfikir. Tanpa referendum dan kesepakatan (consensus) rakyat, dan semuanya cuma diputuskan oleh segelintir elit berkopiah dan berserban wajarlah dilawan tanpa belah bagi. Mereka sepatutnya sedar, bahawa perangai ini adalah perangai jahat, bodoh dan sombong, yang sekiranya, lawan mereka pula melakukan, mereka akan menentang mati-matian. Sekiranya negara ini diperintah oleh watak sekular dari garis keras seperti Attarturk, yang melarang simbol-simbol agama dan sangat gilakan barat, maka apakah reaksi mereka? Jalan keluar?  Asghar Ali Engineer menulis: “negara – negara Islam fundamentalis telah mencampakkan nilai-nilai falsafah Islam dan cenderung menerapkan hudud ini secara mekanis. Negara-negara ini tidak cukup memiliki pemahaman dan kesedaran untuk menerapkan hudud dalam perspektif falsafah dan rohani yang tepat. Mereka lebih menitikberatkan pada keuntungan politik daripada manfaat spiritualnya. Mereka tidak lagi mempedulikan kehidupan dunia dan akhirat. Mereka hanya memikirkan kepentingan politiknya.” Polemik ini sebenarnya sudah begitu busuk dan basi, tetapi masih diusung ke sana ke sini sampai ke hari ini, kerana wujudnya tukang–tukang politik yang hanya memikirkan pilihanraya dan perut masing–masing, dan wacana rakyat yang lembab dan dibiarkan stagnan, statik dan beku. Polemik kerat tangan orang, rejam sampai mati ini, cuma laku ketika rejim-rejim konon bertuhan ini mulai dipertikai, mulai dipersoal, mulai dipertanyakan tentang sikap –sikap mereka, terhadap kekakuan ekonomi, lantas mereka mengalihkan keisu undang–undang fundamentalist untuk meraih perhatian massa yang kononnya beriman. Undang – undang, sepatutnya keadilan adalah esensi utamanya: Rahmatan lil ‘alamin dalam konteks Islam. Tetapi di manakah keadilannya, jika undang – undang seberat Hudud, hanya jatuh kepada orang – orang Islam? Jika pelakunya adalah dua orang dari agama yang berbeza, maka yang berat menimpa yang Islam, dan yang ringan kena kepada bukan Islam, dimanakah keadilannya? Di manakah tarbiyahnya? Lebih jauh lagi elit di Malaysia berada terlalu tinggi di langit, dan nampaknya begitu sukar sekali undang –undang Islam untuk mencapai mereka, apatah lagi untuk merotan mereka! Jadi, undang – undang dipakukan kepada rakyat bawah,sementara mereka – mereka yang di atas, akan sentiasa di atas (above the law), di manakah keadilannya? Islamis jangan perasan Penggemar – penggemar kanun Islam di Malaysia, janganlah perasan bahawa mereka satu – satunya negara Islam yang pertama di dunia moden ini yang mahu mendaulatkan hukum Tuhan. Rejim Zia ul Haq (Pakistan), rejim monarki Saudi dan Bolkiah (Brunei) juga telah melaksanakannya, apakah mereka lebih okey dari kita? Kita boleh melihat hal ini dengan kunjungan Muhyidin Yasin ke Kelantan menziarahi Nik Aziz, Asyraf Wajdi Dusuki dengan Nik Aziz,dengan paparan besar di akhbar pembangkang: ‘PAS TIDAK TUNDUK’. Kemudian bola tanggung ini disambut tradisi cliché dari DAP, rakan – rakan non Muslim lain, bahawa ini cuma mimpi (walhal,mereka pun tahu bahawa ini cita – cita PAS semenjak azali lagi,seperti mereka yang bercita–citakan Malaysian Malaysia). Kemungkinan besar, tokoh reformasi popular DSAI akan dimasukkan ke dalam (penjara) untuk jangka masa yang lama, sementara Karpal Singh (ikon yang paling tegar menentang totalitarian di Malaysia) pula telah mati. Negara Islam fasis, yang tidak melalui perbincangan seluruh rakyat, dan demokrasi rakyat jelata, hanya boleh berlangsung dengan jayanya apabila seluruh penggiat – penggiat fasisme seperti Zulkifli Nordin, Ibrahim Ali, ISMA, PERKASA, PEMBINA dan fundamentalist – fundamentalist kanan seperti PAS bersatu hati.         unnamed  

]]>