Projek Dialog

My Name Is Jaclyn Victor

Oleh: Uthaya Sankar SB Ada beberapa perkara pelik yang berlaku di negara kita sejak beberapa hari lalu. Saya menggelarkannya “pelik” bagi menggantikan perkataan “bodoh” yang sebenarnya lebih sesuai. Mula-mula, kita dikejutkan dengan berita bahawa ada puak tertentu menggesa supaya penyanyi popular tanah air, Jaclyn Victor diboikot atas sebab dia tampil menyanyikan lagu “Harapan Bangsa” yang bertema Kristian. [caption id="attachment_1074" align="alignleft" width="183"] Jaclyn Victor berhak mengenalkan budaya dan agamanya walaupun menyanyi lagu-lagu Melayu.[/caption] Sebenarnya, saya tidak hairan dengan apa yang berlaku kerana pada September 2012, saya dikatakan cuba menyebarkan agama Hindu menerusi cerpen yang saya tulis. Dalam kes Jaclyn, dia dikatakan menyalah gunakan hak bersuara kerana lagu yang dinyanyikannya itu, kononnya, mengguris perasaan pihak tertentu. Untuk rekod, Jaclyn sendiri sudah membuat kenyataan bahawa lagu “Harapan Bangsa” dirakam pada sekitar 2007 dan khusus untuk khalayak beragama Kristian di Sabah dan Sarawak. Untuk rekod juga, penyanyi berumur 33 tahun itu memang penganut agama Kristian. Isu mungkin timbul kerana lagu tersebut dinyanyikan dalam Bahasa Malaysia; lalu Jaclyn dituduh “cuba menyebarkan fahaman Kristian” kepada masyarakat Melayu beragama Islam. Ternyata puak yang membuat dakwaan seperti itu lupa bahawa kebanyakan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak menggunakan Bahasa Malaysia dalam kehidupan seharian. Anehnya, lagu “Harapan Bangsa” disifatkan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) sebagai “suatu penghinaan kepada Islam” dan kenyataan ini ada dilaporkan di beberapa media baru-baru ini. Lagu khusus untuk gereja “Adakah seseorang penyanyi boleh menyanyi apa saja lagu walau mengguris perasaan pihak lain? Adakah itu hak bersuara?” Demikian kandungan SMS daripada setiausaha agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali yang disiarkan oleh portal berita The Malaysian Insider (28 Oktober 2012). Bayangkan! Apabila Jaclyn menyanyikan lagu berunsur Kristian khusus untuk kegunaan di gereja dan untuk penganut agama Kristian, dia dikatakan cuba menyebarkan agama Kristian kepada khalayak Melayu. Demikianlah realiti yang wujud di Malaysia. Saya mengemukakan isu ini menerusi Facebook dan mendapat reaksi daripada beberapa rakan. Jumiati Suparno dari Tawau, Sabah mengakui bahawa beliau juga selalu “mengajak orang Melayu (Islam) berzikir bersama saya di Facebook, tapi tak bermakna kaum (agama) lain tak boleh membacanya. Hidup yang memiliki pendirian yang utuh tidak menjadi rapuh dengan kenyataan sesiapapun.” Pada pandangan Hadi Bunyamin pula, “golongan sebegini tidak faham makna kebebasan beragama. Ada saja rancangan TV seperti Mr Bean yang memaparkan budaya orang Kristian, namun tidak menjadi isu.” Tentu sahaja apa yang berlaku dalam kes Jaclyn amat mengecewakan dan membuktikan bagaimana ada puak yang sanggup serta mampu memutar-belit dan memanipulasi fakta untuk menindas golongan minoriti dan marginal di negara bertuah ini. Tindakan sepatutnya dikenakan ke atas mana-mana pihak/individu yang sengaja menyebarkan lagu “Harapan Bangsa” kepada khalayak beragama Islam – selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan – dan bukan menghukum Jaclyn yang langsung tidak bersalah dalam hal ini. Lainlah kalau lagu “Harapan Bangsa” dimuatkan dalam album terbaru penyanyi itu dan dijual kepada umum. Alasan diberi oleh Perkasa Khabarnya Syed Hassan menegaskan bahawa Jaclyn tidak sepatutnya menyanyikan lagu itu kerana dia seorang penyanyi yang majoriti albumnya dalam Bahasa Malaysia dan peminatnya juga beragama Islam. Kenyataan itu juga membuktikan tahap mentaliti Perkasa dan sesungguhnya tidak mewakili pandangan kaum Melayu dan penganut Islam secara keseluruhan di Malaysia. Sebagai langkah seterusnya, timbalan presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman khabarnya mahu menunggu pengesahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung isu ini. Sementara itu, Perkasa akan meneruskan kempen memboikot Jaclyn yang secara kebetulan dicalonkan dalam enam kategori untuk Anugerah Industri Muzik (AIM) pada 17 November 2012. Saya ada menyebut satu peribahasa Tamil dalam novel “Panchayat: Edisi Khas” (2012) iaitu, “Seseorang yang ketakutan akan menganggap semua tempat yang gelap sebagai berhantu!” Kata-kata itu memang sesuai bagi puak anti-Uthaya dan anti-Kavyan yang bertungkus-lumus membuat pelbagai tuduhan terhadap Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sejak dahulu kerana “takut pada bayang-bayang sendiri”. [caption id="attachment_1075" align="alignright" width="300"] Filem “My Name Is Khan” ditayangkan menerusi TV3 baru-baru ini.[/caption] Perkara yang sama juga saya perhatikan dalam satu lagi isu yang dilaporkan di media alternatif pada 28 Oktober 2012. Nampaknya ada pihak yang tiba-tiba mengkritik filem “My Name Is Khan” (2010) lakonan Datuk Shah Rukh Khan. Antara alasan yang diberikan adalah bahawa dalam filem itu, isteri kepada watak Rizwan Khan beragama Hindu. Dalam kenyataannya, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berkata, “adegan hero (Rizwan Khan, lakonan Shah Rukh Khan) yang berkahwin dengan heroin yang beragama Hindu (dalam filem itu) jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Menerima dan mencampur-aduk cara penyembahan agama lain dengan Islam sebagai agama adalah sama jelas bercanggah dengan prinsip Islam”. Walaupun filem “My Name Is Khan” keluar pada 2010 dan hangat diperkatakan di Malaysia sejak itu, ternyata orang kuat Abim hanya berpeluang menontonnya apabila ditayangkan menerusi stesen televisyen yang dikuasai pemerintah, baru-baru ini. Harap Abim tidak tahu sampai kiamat [caption id="attachment_1076" align="alignleft" width="300"] Pasti puak etnosentrik “mengangkat senjata” jika tahu realiti sebenar keluarga Shah Rukh Khan![/caption] Kalaulah paparan itu menjadi masalah besar dan isu hangat yang wajar ditangani segera, saya benar-benar berharap Abim tidak akan tahu sampai dunia kiamat bahawa pada 25 Oktober 1991, Shah Rukh Khan berkahwin – dalam realiti, bukan dalam filem – dengan Gauri Chibber, seorang wanita yang kekal sebagai penganut agama Hindu. Malah, majlis perkahwinan mereka dilangsungkan mengikut tradisi Hindu. Anak-anak kepada pasangan itu – Aryan dan Suhana – mengamalkan ajaran Hindu-Islam. Menurut Shah Rukh Khan sendiri, dia berpegang pada ajaran Islam tetapi tetap menghargai agama-agama lain. Kalaulah Abim mendapat tahu mengenai perkara ini sebelum dunia kiamat, tidak mustahil pertubuhan itu akan mengusulkan supaya pingat “Datuk” yang dianugerahkan kepada pelakon berusia 47 tahun itu (sambutan hari lahirnya pada 2 November) ditarik balik dengan segera. Umum mengetahui bahawa Shah Rukh Khan menjadi pujaan ramai – termasuk dalam kalangan peminat Melayu-Islam di Malaysia – sejak awal 1990-an menerusi filem-filem seperti “Deewana” (1992), “Dilwale Dulhaniya Le Jayenge” (1995), “Dil To Pagal Hai” (1997) dan “Kuch Kuch Hota Hai” (1998). Saya tidak pula mendengar sebarang berita mengenai orang Melayu-Islam di negara ini yang “terpengaruh” dengan fahaman Islam Liberal dan pluralisme agama yang ternyata menjadi pegangan pelakon itu yang turut menerima pingat “Padma Shri” daripada Kerajaan India pada 2005. Apabila saya memaparkan isu mengenai filem “My Name Is Khan” di Facebook, seorang rakan mengemukakan pandangan bahawa “Islam liberal merupakan masalah besar di Indonesia dan kini sudah mula masuk ke Malaysia”. Lalu, John Phoon pula bertanya: “Wujudkah apa yang dikatakan Islam Liberal atau ini adalah salah satu cara untuk mengongkong fikiran? Mungkinkah Islam adalah liberal selama ini dan hanya manusia yang menjadikan agama itu sempit untuk kepentingan sendiri?” Mungkin Abim akan boikot TV3 Apa pun, berikutan “pendedahan” Abim pada 28 Oktober 2012, mungkin banyak lagi pihak yang akan tampil menyokong “perjuangan” puak-puak tertentu yang kononnya mahu mempertahankan “Melayu” dan “Islam” daripada sebarang unsur luar – seperti pengaruh agama Hindu, agama Kristian dan Islam Liberal. Maka, peminat Shah Rukh Khan harus bersedia untuk menghadapi kemungkinan kesemua filem lakonan “Badshah Bollywood” itu diharamkan bagi khalayak beragama Islam di Malaysia. Sekali gus, filem-filem lakonannya mungkin tidak akan ditayangkan di pawagam-pawagam Malaysia kerana “bimbang orang Melayu-Islam akan tertonton dan mengalami kecelaruan pegangan agama”. Tentu sahaja “kemungkinan” yang saya nyatakan di atas kedengaran agak keterlaluan tetapi kita perlu sedar bahawa segalanya adalah mungkin di negara ini kerana kumpulan seperti Perkasa dan Abim memang mempunyai “kuasa dan pengaruh” apabila melibatkan isu-isu Melayu-Islam. Malah, tidak menghairankan jika Abim mengusulkan supaya masyarakat Melayu dan Islam memboikot TV3 kerana stesen televisyen yang pro-pemerintah itu “tidak terlebih dahulu membuat kajian” sebelum menayangkan filem “My Name Is Khan” yang “tidak mencerminkan imej agama Islam yang sebenar serta bertentangan dengan syariat”. Pada masa sama, pasti akan ada pelbagai pihak lain yang turut “mengangkat senjata” sebagai tanda bantahan terhadap segala perkara yang diperkatakan menerusi makalah pendek ini. Tidak mengapa kerana seperti kata Mahatma Gandhi, “Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran”. Berbalik pada isu Jaclyn, apa yang dihadapinya adalah cabaran yang sentiasa terpaksa dihadapi golongan minoriti. Dalam keadaan seperti ini, saya teringat akan sabda Nabi Muhammad seperti diriwayatkan Abu Daud: “Berwaspada! Barang siapa yang menzalimi dan mengasari kelompok minoriti Bukan Islam, menyekat hak mereka, membebankan mereka dengan lebih daripada apa yang mampu mereka tanggung, atau merampas apa sahaja daripada mereka tanpa izin; maka aku akan mengadu terhadap orang itu pada Hari Pembalasan.”

]]>