Projek Dialog

Menganyam impian

Oleh: Uthaya Sankar SB Saya tidak mengamalkan budaya membuat azam tahun baru. Hal ini kerana bagi saya, setiap hari adalah anugerah Tuhan dan saya sudah pun amat bertuah kerana diberikan kesempatan untuk terus hidup dan terus melakukan apa-apa yang saya suka: membaca, menulis, menonton filem dan tidur seenaknya. Dalam pada itu, hidup saya amat aman dan bahagia kerana saya tidak menyokong mana-mana parti politik dan politikus; walaupun saya memang ada beberapa rakan (dan musuh) daripada kalangan politikus dan penulis. Memandangkan tahun 2013 adalah suatu tahun yang amat penting – selain daripada umat manusia kononnya “terselamat” daripada kehancuran dunia yang “dinanti-nantikan” pada Disember 2012 – maka ramai juga yang bertanya apakah “senarai impian” (wish list) saya bagi tahun ini dalam hal-hal berkaitan politik. Berikut antara perkara yang sering saya nyatakan apabila ditanya oleh rakan-rakan dan kenalan semasa kami berbual-bual “hal dunia-akhirat” dan “gosip artis tempatan” di restoran/warung mamak. Tentu sahaja susunannya tidak mengikut sebarang urutan. Bil Air dan Elektrik [caption id="attachment_1325" align="alignleft" width="150"] Pembiayaan bil air dan elektrik ada kesan positif.[/caption] Saya hanya seorang penulis sepenuh masa dengan pendapatan tidak seberapa. Saya tinggal di Shah Alam, Selangor dan rumah saya juga adalah pejabat serta tempat kerja saya sejak Mac 2011. Sebagai seorang penduduk yang memang perlu menggunakan elektrik dan air setiap hari, saya berpuas hati dengan sikap “murah hati” yang ditunjukkan oleh kerajaan – Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Umum mengetahui bahawa Kerajaan Negeri Selangor menanggung bil air bagi 20 meter padu yang pertama. Maklumat “bayaran air 20 meter padu pertama oleh Kerajaan Negeri Selangor” tertera pada bil. Bagi saya sebagai seorang marhaen, jumlah itu sudah cukup lumayan dan mengurangkan tanggungan saya. Pada masa sama, sejak 1 Oktober 2008, Kerajaan Persekutuan membiayai RM20 daripada jumlah bil elektrik saya setiap bulan. Amaun rebat berkenaan dicatatkan pada bil bulanan dan dinyatakan sebagai “dibiayai oleh Kerajaan Malaysia”. [caption id="attachment_1329" align="alignright" width="150"] Rakyat adalah “raja” sebenar dalam sistem demokrasi.[/caption] Harap maklum bahawa saya menyebut “Kerajaan Negeri Selangor” dan “Kerajaan Persekutuan” tanpa menyentuh mana-mana parti politik. Hal ini amat wajar diberi perhatian kerana sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR), apa yang penting bagi saya adalah bahawa mereka melakukan kerja dan tanggungjawab demi Rakyat (huruf besar disengajakan), iaitu “raja” sebenar dalam sebuah negara demokrasi. Impian saya adalah agar “bayaran air 20 meter padu pertama oleh Kerajaan Negeri Selangor” dan “RM20 bil elektrik dibiayai oleh Kerajaan Malaysia” berterusan walau siapa yang memegang tampuk kerajaan negeri/persekutuan. Namun, jika BN menguasai kerajaan negeri dan persekutuan – seperti sejak 1957 – tentulah pula kedua-dua manfaat (pembiayaan bil air dan elektrik) tidak mampu dinikmati penduduk marhaen seperti saya. Iklan Sayangi Selangor [caption id="attachment_1326" align="alignright" width="300"] Stesen Komuter “dijajah” iklan pembangkang.[/caption] Pada 22 Disember 2012, saya menaiki Komuter dari stesen Shah Alam ke stesen Kuala Lumpur (KTM) untuk bertemu penulis terkenal, Roslan Jomel untuk sesi perbualan “hal dunia-akhirat” dan “gosip artis tempatan” di Pasar Seni. Pada 1 Januari 2013 pula, saya menaiki Komuter dari Shah Alam ke Seremban untuk bertemu Atriza Umar dan Khalid Abideen bagi menguruskan Konvoi Rumah Ibadat yang dijadualkan pada 17 Februari ini. Saya muak melihat poster kecil-sederhana-besar yang memujuk pengundi di Selangor supaya “Sayangi Selangor” dan mengundi pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Harap maklum bahawa “pembangkang” merujuk kepada BN dalam konteks Negeri Selangor berikutan pilihan pengundi negeri itu pada PRU-12 (2008). Entah berapa banyak wang Rakyat – ulang: wang Rakyat – yang dibazirkan untuk menguruskan kempen besar-besaran “Sayangi Selangor” itu. Impian saya adalah agar BN menghentikan segera kerja sia-sia dan membazir wang Rakyat melalui cara ini. Harap maklum bahawa saya menyebut “BN” di sini kerana kerja-kerja “memujuk” pengundi di Selangor melalui poster-poster yang memaparkan wajah ceria Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak tentu dilakukan BN dan bukannya Kerajaan Malaysia. Kalau Kerajaan Malaysia, tentu kerajaan yang prihatin dan melaungkan slogan “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” akan menggunakan wang berkenaan untuk manfaat Rakyat; bukan untuk perang poster memujuk pengundi dengan cara licik tetapi kurang cerdik. Apa Khabar Pak Samad? Bercakap mengenai Kerajaan Negeri Selangor, saya langsung teringat akan Anugerah Sasterawan Tamu Selangor yang diumumkan pada September 2012. Hal ini mungkin dekat dengan jiwa saya kerana ia melibatkan Datuk A. Samad Said (Pak Samad). [caption id="attachment_1327" align="alignright" width="150"] Pak Samad diumum sebagai Sasterawan Tamu Selangor.[/caption] Akhbar Sinar Harian (28 September 2012) melaporkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai berkata, pengiktirafan itu sejajar dengan perjuangan Pak Samad yang gigih dan konsisten menulis serta memperjuangkan isu kemasyarakatan melalui penulisan. Umum mengetahui bahawa Pak Samad sering terlibat dalam ceramah dan acara baca puisi di Selangor sebelum dan selepas diumumkan menerima anugerah berkenaan. Setahu saya, Pak Samad bukanlah seorang seniman dan sasterawan yang mengejar kebendaan. Namun begitu, anugerah yang diberikan pasti menaikkan semangat serta membuka ruang yang lebih luas kepada Pak Samad untuk melakukan pengisian yang wajar dalam aktiviti seni dan sastera di Selangor. Dengar khabar, Rahmat Haron sedang menyelenggaran antologi “Unjuk Rasa” yang memuatkan sajak-sajak Pak Samad. Menurut maklumat yang tersebar menerusi laman rangkaian sosial, antologi berkenaan akan terbit pada Fabruari ini. Saya percaya bahawa kelahiran antologi ini juga sebahagian daripada “sumbangan” Pak Samad selaku Sasterawan Tamu Selangor. Apabila Wira Bukit Sdn Bhd menerbitkan novel “Salina: Edisi Khas” (2012), saya perhatikan sambutan golongan politikus (PR) kurang mengujakan. Edisi kulit lembut (paperback) novel itu kini sudah ada secara eksklusif di kedai-kedai buku Popular. Impian saya adalah agar sesiapa yang memberikan alasan “Salina: Edisi Khas” terlalu mahal akan tampil membeli – dan membaca – edisi kulit lembut ini; sementara menanti kelahiran “Unjuk Rasa. Pilihan Raya Bersih, Adil, Bebas Seperti saya nyatakan sejak awal, tahun 2013 tidak dapat dipisahkan daripada PRU-13. Walaupun Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN merangkap Presiden Umno kelihatan sedang cuba “mencuri masa”, tempoh wajib membubarkan Parlimen mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan semakin hampir. [caption id="attachment_1328" align="alignright" width="150"] Najib wajar menyarung baju kuning. (Sumber: Internet)[/caption] Sebagai seorang Rakyat dan pengundi berdaftar, impian saya adalah agar proses pilihan raya itu nanti dijalankan secara telus, adil, bebas dan bersih. Tugas itu tentulah terletak pada pundak (bahu) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi amat malang apabila badan bebas itu sendiri bagaikan (ulang: bagaikan) menentang proses pilihan raya yang bebas dan adil. Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) sudah mengesahkan “pihaknya tidak akan campur tangan atau mengadakan perhimpunan lain bagi menyuarakan bantahan terhadap perhimpunan itu (12 Januari 2013)” kerana presidennya, Datuk Ibrahim Ali sedar “kehadiran Perkasa hanya akan mengeruhkan keadaan” (mStar, 4 Januari 2013). Kalau saya menjadi Najib (namun, mohon Tuhan jauhkan!) pula, saya akan memakai kemeja-T kuning bersama-sama Pak Samad, Datuk Ambiga dan Rakyat sebagai usaha murni dan ikhlas menyokong pilihan raya yang adil, bebas dan bersih. Sebagai pengerusi kepada gabungan parti-parti politik yang mantap dan sesungguhnya sudah mendapat mandat serta sokongan padu Rakyat/pengundi sejak negara merdeka, masakan saya (selaku Pengerusi BN) tidak mahu membuktikan kepada dunia bahawa BN terus berkuasa – dulu, kini dan selama-lamanya – menerusi proses pilihan raya yang adil, telus, bebas dan bersih. Impian saya – yang tentu sahaja tidak akan menjadi kenyataan – adalah untuk melihat para pemimpin dan penyokong tegar BN tampil menyokong perhimpunan yang khabarnya dijadualkan pada 12 Januari ini untuk menyeru proses pilihan raya yang bersih, bebas dan adil. Tidak keterlaluan, bukan? Jika Suka, Boleh Kekalkan Pada 7 Januari 2012, saya tertarik dengan kenyataan yang dipaparkan oleh seorang rakan, Amin Ahmad, pada ruangan status Facebook. Kata pemerhati politik itu, “orang ramai perlu dididik untuk memahami bahawa tujuan pilihan raya dibuat secara berkala adalah untuk membolehkan adanya kawalan rakyat terhadap pemerintah. Dalam bahasa mudah, jika suka, boleh kekalkan; jika tidak, boleh undi pihak lain”. Saya sangat bersetuju serta menyokong pandangan itu kerana demikian juga pendirian saya selaku individu yang bersikap apolitikal dan tidak pandai mengampu politikus. Dalam hal ini, terus-terang, sebagai seorang penduduk dan pengundi di Selangor, saya berpuas hati dengan apa yang sedang cuba dilakukan oleh Kerajaan Negeri sejak PRU-12 pada 8 Mac 2008. Kebetulan, kerajaan negeri yang saya maksudkan adalah Kerajaan PR. Walaupun mereka tidak sempurna, saya masih berpuas hati. Ya, memang ada suara-suara sumbang daripada juak-juak politik sejak 2009 yang mengatakan “Kerajaan PR” gagal menyelesaikan isu itu dan isu ini. Hello! Mereka baru sahaja diberi peluang oleh Rakyat (ulang: Rakyat) untuk “bekerja bagi Rakyat Selangor” pada 2008. Antara 50 tahun dan 5 tahun, pastilah ada perbezaan. Untuk berlaku adil, BN telah diberi peluang demi peluang demi peluang – serta diletakkan harapan demi harapan demi harapan – sejak negara merdeka (1957) untuk “bekerja bagi Rakyat Selangor”. Akhirnya, Rakyat/penduduk sendiri yang menggunakan akal dan budi bicara serta kuasa yang ada untuk mengubah tampuk pemerintahan kerajaan negeri. Maka, jangan menghina pilihan Rakyat dengan menghina kerajaan negeri yang dipilih oleh Rakyat Selangor. Tentu sahaja apa yang berlaku di Negeri Perak lebih wajar diberi perhatian dan tumpuan apabila bercakap mengenai “kerajaan negeri yang dipilih oleh Rakyat untuk bekerja bagi Rakyat”. Walaupun saya lahir dan membesar di Taiping, Perak, biarlah saya tidak mengulas lanjut mengenai isu ini. Saya percaya Rakyat/penduduk negeri itu lebih tahu akan hak, kuasa dan kemampuan mereka apabila tiba tarikh PRU-13 nanti. Sebagai pengundi berdaftar di Selangor, sekiranya tiba masa saya mendapati “Kerajaan PR” sudah tidak mampu “bekerja bagi Rakyat Selangor”, tentu saya akan menolak PR. Malah, saya tidak akan teragak-agak untuk sama-sama mendidik Rakyat “untuk memahami bahawa tujuan pilihan raya dibuat secara berkala adalah untuk membolehkan adanya kawalan rakyat terhadap pemerintah” seperti dinyatakan Amin. Impian Bonus Akhir sekali, sebagai seorang penulis sepenuh masa yang menerbitkan sendiri buku-buku saya, impian bonus saya bagi 2013 adalah agar ada “Datin-Datin” dan “Datin Politikus” yang sudi tampil membeli buku-buku saya. Kalau mereka mahu menaja kembara saya ke beberapa tempat di Malaysia untuk mengumpul bahan bagi penulisan, memang lebih bagus dan amat dialu-alukan. Tentunya, tanpa sebarang ikatan (no strings attached). Tidak salah menganyam impian di negara bertuah ini, bukan?  

]]>