https://www.youtube.com/watch?v=1ReyrP9fisc) Zulkifli Noordin telah memperolok-olokkan agama Hindu yang mana antara lain beliau telah menyatakan perbualan beliau dengan penjual berhala Hindu di Wisma Yakin, Kuala Lumpur. Terdapat kira-kira 7.1 peratus daripada rakyat Malaysia berketurunan India. Adalah dipercayai 76 peratus darinya beragama Hindu. Projek Dialog menyatakan kekecewaan kerana sebagai seorang Muslim dan pemimpin dalam masyarakat, Zulkifli Noordin seharusnya tidak menghina kepercayaan penganut agama Hindu ini. Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang toleran dan mengamalkan wasatiyyah. Perayaan Thaipusam di Malaysia merupakan contoh sikap toleran yang ada. Kira-kira 1.3 juta penganut Hindu dan pelancong menyertai perayaan yang unik ini. Ini adalah kali kedua dalam tempoh yang hampir, penganut agama Hindu telah dicemuh oleh tokoh beragama Islam. Pada 18 Februari 2013, pendakwah Ridhuan Tee Abdullah dalam artikel pendek berjudul ‘Kesabaran Umat Islam Ada Had’ juga telah menghina agama Hindu. Kami di Projek Dialog berpendapat Zulkifli Nordin dan juga Ridhuan Tee Abdullah, seharusnya belajar mengenal agama lain dengan melakukan dialog. Dalam hal ini agama adalah merupakan tunjang peradaban. Dialog adalah komunikasi antara dua pihak secara dua hala. Kedua-dua pihak mempunyai pandangan dan kaedah yang berbeza mengenai sesuatu persoalan tertentu. Dialog akan membantu supaya tujuan yang sama dapat dicapai secara harmoni. Untuk golongan terpelajar, apatah lagi seorang Muslim terpelajar, dialog adalah satu kaedah untuk mensuratkan yang tersirat dengan memahami pihak lain khususnya kaum minoriti. Projek Dialog berpendapat Malaysia menjadi kaya secara budayanya dengan sumbangan peradaban atau agama lain dari Islam yang merupakan agama rasmi negara. Kekayaan dan khazanah ini haruslah diraikan dan bukannya dipersendakan sehingga boleh menimbulkan ketegangan kaum atau agama. Sebagai seorang ahli politik dan pemimpin sebuah badan untuk mengupayakan orang Melayu-Islam, Zulkifli Noordin perlu diingatkan dengan The Islamic Symposium on Dialogue (1999), di mana negara-negara anggota OlC telah komited dengan sebuah deklarasi mengenai dialog peradaban. Deklarasi yang sangat baik ini telah diangkat sebagai satu resolusi ketika Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (53/22) yang telah mengisytiharkan tahun 2001 sebagai tahun Dialog Antara Peradaban Sedunia. Deklarasi menyeru supaya nilai-nilai agama Islam yang melibatkan maruah manusiawi, keadilan, tolak ansur, dan sikap meraikan kepelbagaian harus dikehadapankan demi meningkatkan dialog dan kesalingfahaman. Dialog akan membangkitkan sifat saling menghormati. Adalah dikesalkan Zulkifli Noordin tidak memilih jalan damai ini dan membawa dirinya ke jalan sengketa yang berbahaya. Kami di Projek Dialog menuntut supaya Zulkifli Noordin memohon maaf kepada penganut agama Hindu kerana telah bertindak tidak bijak dan tidak terpelajar dengan menghina agama tersebut.
]]>