Projek Dialog

Kenyataan media CFM mengenai kematian-kematian dalam tahanan polis.

KENYATAAN MEDIA CFM : RAKYAT MALAYSIA BERHAK MENDAPAT SEBUAH INSTITUSI POLIS YANG BOLEH DIPERCAYAI CFM (Christian Federation of Malaysia) meluahkan rasa bimbang akan tiga laporan kematian dalam tahanan polis yang berlaku dalam tempoh 11 hari dari 21 Mei hingga ke 1 Jun. Ketiga-tiga mangsa ditahan reman bagi siasatan polis tetapi ditemui mati secara mengejutkan dalam tahanan polis di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Tampin. Nama-nama seperti N. Dhamendran, R. Jamesh Ramesh dan P. Karuna Nithi kini terpaut dalam ingatan kita kerana terlalu banyak kematian dalam tahanan polis yang membabitkan rakyat Malaysia semenjak akhir-akhir ini. Pihak kerajaan perlu bertanggungjawab dan memberi penjelasan yang sepenuhnya terhadap keluarga mereka yang masih berkabung dan juga seluruh rakyat Malaysia. Doa kami ditujukan kepada keluarga-keluarga yang berkabung tersebut. Mantan Kementerian Dalam Negeri pernah menyatakan bahawa diantara tahun 2000 dan September 2012, sejumlah 209 orang telah mati di dalam tahanan polis. Terdapat empat kematian selanjutnya pada tahun 2012. Selain itu, terdapat lapan kematian di dalam tahanan polis sejak Januari tahun ini. Hal ini menunjukkan terdapat sejumlah 221 kematian di dalam tahanan polis. Dalam erti kata lain, secara purata terdapat satu kematian dalam tahanan polis setiap bulan. Statistik yang merisaukan ini mencerminkan keterlampauan pihak berkuasa, dimana kerajaan seharusnya bertanggungjawab. Kebenaran tidak boleh disorokkan. Sesiapa yang bersalah atas melakukan kecuaian dan penyeksaan dalam tahanan polis perlu didakwa di mahkamah dengan segera. Tambahan lagi, kerajaan perlu mengambil langkah-langkah yang berkesan dan telus untuk memastikan bahawa isu kematian dalam tahanan polis tidak berulang lagi. Mereka yang diberi kuasa untuk menjaga keselamatan negara kita juga perlu memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang-orang yang ditahan dalam lokap polis sementara menunggu siasatan. CFM menggesa pihak penguasa untuk menubuhkan dengan serta merta Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dicadangkan oleh Laporan Suruhanjaya Diraja Polis pada tahun 2005 sebagai satu langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kematian dalam tahanan polis. Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) pada dasarnya tidak mampu untuk menangani isu ini dengan memuaskan. Dalam usaha untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi polis, kami menyeru semua pegawai polis yang mematuhi undang-undang untuk sama-sama berdiri dengan rakyat untuk menentang sesiapa sahaja yang menjejaskan imej dan nama baik institusi polis. Malaysia berhak mendapat sebuah institusi polis yang mempunyai integriti dan boleh dipercayai. Yang Ikhlas, Rev. Dr. Eu Hong Seng, Pengerusi dan Jawatankuasa Exekutif, Persekutuan Gereja-gereja Malaysia

]]>