Projek Dialog

MCCBCHST: Perlihara kesetaraan hak ibu bapa dalam isu penukaran agama kanak-kanak

RANG UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 2013 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN TIDAK MENGIKTIRAF PERTUKARAN AGAMA ANAK OLEH HANYA SALAH SEORANG IBU ATAU BAPA  Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu,Sikh dan Taois (MCCBCHST) membantah sebulat suara akan berberapa perkara yang berkaitan dengan RANG UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 2013 yang dibentangkan di Parlimen pada sesi bacaan pertama pada 26 Jun 2013. Ini kerana ia akan menjejaskan hak asasi manusia rakyat bukan Islam. Rang undang-undang tersebut bukan sahaja menyamar sebagai undang-undang Islam, bahkan ia cuba mengubah Perlembagaan Persekutuan secara satu hala dengan menterjemahkan perkataan “ibu bapa” di dalam perlembagaan tersebut kepada “ibu atau bapa”. Pengislaman seorang kanak-kanakoleh hanya salah satu ibu atau bapanya yang telah memasuki Islam akan mengakibatkan ketidakadilan yang serius terhadap ibu bapayang bukan Islam dan  anak-anak yang terlibat dalam perkahwinan tersebut  – Seksyen 107 (b): “”jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan pemelukan agama lslam olehnya”. Peruntukan ini tidak berlandaskan Perlembagaan Persekutuan negara kita dan akan membawa kepada ketidakadilan sosial. Kami berpendirian bahawa Kabinet Persekutuan harus bertanggungjawab terhadap percanggahan ini. Walhal Kabinet pernah memutuskan pada perbincangan 2314/2009 bahawa salah seorang ibu atau bapa tidak berhak untuk menukarkan agama anak yang dibawah umur dalam perkahwinan tersebut. Namun begitu, Kabinet telah bercanggah dengan keputusan ini dan memutuskan dalam perbincangan D. R. 1/2013 bahawa pertukaran agama seorang kanak-kanak oleh hanya seorang ibu bapa adalah sesuai untuk diperkuatkuasakan. Hal ini menunjukkan bahawa kabinet langsung tidak telus akan janji dan tindakannya dalam menangani isu ini. MCCBCHST bersepakat membantah mana-mana penukaran agama anak secara satu hala oleh hanya salah seorang ibu atau bapa, kerana ia akan menjejaskan hak dan kehidupan rakyat bukan Islam. Bahkan, pengIslaman secara satu hala tersebut tidak bermoral mahupun berakhlak. Kami ingin bertanya kepada anggota-anggota Kabinet, apakah perasaan anda jika anak-anak anda dipaksa menukarkan agama tanpa persetujuan anda? Seperti bak kata pepatah, “Alang berjawab, tepuk berbalas.” Kami ingin menegaskan bahawa jika perkataan “Ibu bapa” di dalam artikel 12(4) di-tafsirkan sebagai “salah seorangibu atau bapa”, maka ia akan bercanggah dengan intipati persuratan perkara4 dalam Perlembagaan Persekutuan – yang juga merupakan perundangan tertinggi di negara ini. Malah, jika penafsiran tersebut digunakan dalam perbicaraan perundangan, maka tiada lagi jalan lain yang dapat dilakukan oleh ibu atau bapa yang bukan Islam tersebut bagi mengembalikan anaknya ke agama yang dianuti sebelum agamanya ditukarkan. Kesan daripada penafsiran ini tidak masuk akal kerana ia tidak berlandaskan intipati pengislaman yang sebenar dan sebaliknya hanyalah bersifat cetek . Berdasarkan kes SUBASHINI (2008), keputusan kes tersebut ternyata kelihatan seperti setengah masak kerana sebab-sebab berikut:- I)                 Mahkamah tidak memohon Fasal Tafsiran Berkanun Artikel 160(1) (jadual kesebelas) dimana “perkataan yang berasal daripada jantina maskulin juga membawa maksud perempuan” dan “perkataan yang bersifat singular juga membawa maksud plural, dan perkataan yang bersifat plural juga membawa maksud tunggal”. II)               Akta Penjagaan Kanak Kanak1961 menyatakan bahawa ia menjamin kesamarataan hak penjagaan ibubapa. III)             Jika hanya salah seorang“ibu atau bapa” memilih untuk menukarkan agamanya dan juga melalui proses tersebut menukarkan agama anaknya tanpa persetujuan pasangan mereka, maka ia akan mengakibatkan kesan yang tidak masuk akal dan ironis. Ini kerana pasangan suami atau isteri mereka yang kekal dengan agama asalnya pun secara teknikal boleh mengembalikan anaknya ke agama asal yang dianuti sebelum ini. Kami memahami bahawa Rang Undang-undang tersebut membolehkan Mahkamah Syariah memutuskan sama ada seseorang itu adalah Muslim atau tidak. Sila lihat seksyen 51(3)(b) (x) dan (xi). Selama ini penguatkuasaan perundangan ini adalah dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Sivil dan bukannya Mahkamah Syariah. Oleh itu, pindaan yang dicadangkan tidak sejajar denganPerlembagaan Persekutuan. Justeru itu, MCCBCHST menyaran pihak Kabinet untuk menarik balik Rang Undang-undang di atas, sehingga isu-isu penting yang kami ulas diatas dibahaskan dengan teliti oleh semua pihakyang berkenaan. Mana-mana penguatkuasaan Rang Undang-Undang secara membuta-tuli tidak akan diterima bahkan ia juga tidak sealiran dengan Perlembagaan, mengakibatkan pihak yang terjejas tidak mempunyai pilihan dalam mencari penyelesaian aman melalui saluran undang-undang lain, sama ada dalam ataupun luar negara.

]]>

Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang: Satu Ulasan

Sharifah Nursyahidah Saat saya mengamati semula suasana sekolah yang telah saya tinggalkan lapan tahun yang lepas untuk membandingkan dengan apa yang ada sekarang, barangkali tidak ada bezanya kerana saya merasakan bahawa sekolah itu tetap sama, tidak lebih dari sebuah institusi yang memaksakan manusia. Bahkan, saya kira loceng dan pagar yang mengelilingi kawasan sekolah adalah simbol kepada pemenjaraan, kerana ia begitu tekun mengatur pelajar-pelajar untuk akur kepada arahan. Mungkin kelainannya adalah apabila sebelum memasuki penjara yang sebenar, individu-individu tertentu awal-awal lagi sudah disabitkan bersalah, namun semasa di sekolah para pelajar telah dibentuk untuk menjadi pesalah kepada kehidupan mereka sendiri. Saya tidak bermaksud untuk merendah-rendahkan mana-mana institusi sekolah, namun hal-hal tentang proses persekolahan yang tidak ada debat, kritik dan gugatan sehingga lebih mengarah kepada dehumanisasi jelas ketara sebagaimana yang dibahaskan dalam buku yang ditulis oleh Zul Fikri Zamir, Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang. Isu sentral dalam Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang Buku ini mengandungi pelbagai bahagian, satu himpunan tulisan beliau di bermacam-macam media seperti di The Malaysian Insider dan Projek Dialog. Kalau diperhatikan, tulisan-tulisan beliau ada yang usianya sudah dua tiga tahun yang lepas namun begitu isu-isunya masih segar kerana inilah hakikat yang sedang berlaku sekarang di negara kita, khususnya kepada anak-anak muda kita. Saya tertarik apabila beliau memulakan buku ini dengan mengambil kata-kata daripada Praemodya Ananta Toer, “apalah guna sekolah-sekolah didirikan; kalau tak dapat mengajar mana yang benar, dan mana yang tidak…” dan memilih untuk mengakhiri buku ini pula dengan bab Kritik Teater. Mungkin ada yang tertanya-tertanya kenapa soal seni dan sastra diselitkan sekali dalam buku yang tajuknya cenderung kepada pendidikan. Maka telahan saya, tema sebenar buku ini tidaklah semata-mata kepada pendidikan yang mengongkong, tetapi dalam konteks yang lebih luas seputar permasalahan politik, ekonomi dan sosial melalui perkaitannya dengan persoalan kelas, budaya, etika dan macam-macam lagi. Ringkasnya, beliau cuba untuk menerangkan tentang hegemoni, penindasan dan dominasi sebagaimana yang diketengahkan oleh Gramsci. Ini kerana saya perhatikan peraturan dan polisi yang ditekankan oleh State (negara) banyak mendasari tulisan beliau kerana beliau seolah-olah berpendapat bahawa ianya adalah satu bentuk ketidakadilan kepada masyarakat, khususnya AUKU dan HEP. Ia banyak kali diulang dalam tulisan beliau, kerana realitinya dasar-dasar ini yang melibatkan anak-anak muda telah menyebabkan mereka menjadi tidak luwes dan tidak ada daya untuk memainkan peranan dalam hal-hal masyarakat. Dalam perkara ini, saya bersetuju dengan beliau. Ini kerana anak-anak muda adalah suara kepada rakyat, terutamanya mahasiswa kerana mereka adalah cerminan dan perwakilan kepada rakyat sebab ilmu yang mereka miliki seharusnya berupaya untuk menentang apa-apa penganiayaan oleh para penguasa. Satu kesia-siaan sekiranya mahasiswa hanya duduk dalam kelas belajar semata-mata untuk menjawab soalan peperiksaan tanpa mempraktikkan ilmu-ilmu tersebut di luar kampus. Maka, tidak akan ada proses perkembangan diri di sini. Mereka hanya menerima tanpa mengamal. We don’t need no thought control Melewati keseluruhan buku ini, saya berterusan teringat petikan lirik lagu Pink Floyd – Another Brick in the Wall, “We don’t need no education, We don’t need no thought control, No dark sarcasm in the classroom, Teachers leave them kids alone, Hey teacher leave them kids alone, All in all it’s just another brick in the wall, All in all you’re just another brick in the wall…”. Saya meyakini bahawa hakikat tujuan pendidikan adalah untuk membangun diri sendiri tanpa dikawal mahupun dikongkong oleh mana-mana pihak. Adam Adli, Safwan Anang, Bawani dan lain-lain merupakan contoh-contoh individu yang berjaya melepaskan dan membebaskan diri dari sistem pendidikan yang membelenggu. Benar, mereka hanyalah sebuah sosok. Pandangan mereka mungkin tidak mewakili rata-rata segmen masyarakat kita yang masih lagi pada kebiasaan “apa” dan bukannya “kenapa”, namun begitu mereka berhasil untuk melontarkan sikap dan tindakan yang dipercayai benar dengan sendirinya tanpa menurut membabi buta. Ini kerana pendidikan seharusnya bersifat membebaskan. Ia berperanan besar untuk membentuk peribadi, pemikiran dan perilaku manusia supaya mereka memahami dan dapat bertindak balas terhadap isu-isu sekitar nilai-nilai sejati kemanusiaan yang harus dipelihara. Walau bagaimanapun, sebaliknya pula yang berlaku kerana ia cuma melahirkan produk-produk yang menjadi ‘pengikut buta’ ataupun ‘pak turut’, lebih-lebih lagi dengan campur tangan politik para penguasa di sekolah serta universiti yang mengganggu keharmonian dan makna sebenar pendidikan. Sekiranya dibuat kajian, pasti ramai yang menyatakan tentang perasaan tidak menyenangkan tentang institusi pendidikan yang telah merenggut kebebasan berfikir mereka. Namun berbalik kepada soal AUKU tadi, saya juga percaya bahawa sebahagian besar mahasiswa kita langsung tidak pernah membaca keseluruhan isi undang-undang tersebut, sama ada mereka menyokong mahupun menentangnya. Sastera: Kelas kedua? Dalam bab Pendidikan Nasional, penulis turut ada menyatakan tentang ‘keanehan’ pengasingan murid kepada sistem berdasarkan sains dan sastera di sekolah apabila kelas SAINS terhad kepada murid-murid yang pandai sahaja, sementara kelas sastera khusus kepada mereka yang bukan dalam kategori tersebut. Maka secara tidak langsung, mereka telah diletakkan dalam kelas kedua (second-class) ketika layanan yang lebih baik diberikan kepada pelajar-pelajar sains. Ini kerana mereka dilihat eksklusif berbanding para pelajar yang mengambil sastera. Pernyataan Zul Fikri Zamir ini bukan omong-omong kosong. Saya teringat pengalaman saya dahulu seusainya keputusan peperiksaan PMR. Saya ingin memohon kelas sastera kerana minat saya yang amat dalam bidang itu. Walau bagaimanapun, ada guru di sekolah saya yang menegur dan menyuruh saya untuk memohon kelas sains, dengan alasan bahawa tidak ada apa-apa yang boleh diperoleh di kelas kedua itu. Saya hairan, bukankah sastera juga ilmu? Apakah sekolah memang didirikan untuk tujuan peperiksaan dan industri kerja semata-mata, bukannya makna ilmu itu sendiri yang bermatlamat untuk memberikan pencerahan? Lantaran saya yang ketika itu lurus sangat, saya akur kepada keputusan guru saya, bukannya saya. Sejarah dan kebenaranSejarah ditulis oleh mereka yang menang‘. Kata-kata sinis ini menggambarkan keadaan sejarah yang ditulis cuma dari satu perspektif sahaja, tanpa menimbang keseluruhan cerita ataupun peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu lampau. Lebih-lebih lagi apabila penulisan tersebut menyebelahi semata-mata golongan yang memiliki kuasa. Mereka hanya akan menceritakan hal yang baik-baik sahaja tentang mereka mahupun memanipulasi fakta-fakta yang ada supaya rakyat terus mempercayai pada kemegahan yang dibuat-buat oleh mereka. Nah, perkara ini saya kesan dalam tulisan penulis apabila beberapa kali beliau menulis tentang ’55 tahun Malaysia merdeka’. Zul Fikri Zamir menulis tentang institusi pendidikan yang tenat namun dalam tidak sedar, beliau turut masih terperangkap dalam sejarah yang tidak jujur ini. Pernyataan ini tidak betul sebenarnya kerana kemerdekaan 31 Ogos 1957 hanya untuk Tanah Melayu sahaja, manakala Sabah atau Borneo Utara ketika itu mendapat kemerdekaan dari British pada 31 Ogos 1963. Hanya selama 2 minggu Sabah berdiri sebagai sebuah negara kerana penyatuan bersama Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963 telah membentuk sebuah negara yang baru, yakni Malaysia. Seusainya saya meneliti buku ini, saya rasa puas kerana ia membuatkan saya rasa terkesan. Saya kira buku ini harus dibaca oleh semua, khususnya bakal pendidik dan pendidik. Saya begitu kagum dengan gerakan Teach For the Needs yang dipelopori oleh penulis sendiri dan rakan-rakannya. Saya percaya bahawa ia satu-satunya gerakan di negara ini yang dekat dengan saranan pedagogi kaum tertindas yang dibawa oleh Freire. Saya berharap supaya ia dapat diluaskan lagi kepada lingkungan anak-anak gelandangan, petani, nelayan atau siapa sahaja yang tidak mempunyai ruang dan peluang untuk menghadiri sekolah. Ia tidak harus dibataskan untuk para murid yang kurang berkemampuan menghadiri kelas tuisyen sahaja kerana ‘needs’ yang sebenar harus dapat dimaknai dengan sebetul-betulnya. Inilah kebenaran pendidikan. Untuk semua. Bak kata John F. Kennedy, ‘the goal of education is the advancement of knowledge and the dissemination of truth’. Dan ya, kalau Zul Fikri menyambung kiasan Buya Hamka ‘Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup, Kalau bekerja sekadar bekerja, kera di hutan juga bekerja’ dengan; ‘Kalau mahasiswa setakat belajar, lembu di padang juga belajar’ Izinkan saya pula untuk menambah; ‘Kalau guru cuma mengajar, Ketam di darat juga mengajar’ (Selain mengajar untuk berjalan, ketam juga mengajar untuk bekerjasama!)

]]>