Projek Dialog

Dialog kehidupan, dialog rohani

Melayani Bersama

Selain bergelar mahasiswa di universiti, saya terlibat dengan aktiviti sampingan iaitu melakukan pelayanan di Persatuan Pelajar Katolik. Persatuan ini bukan di bawah universiti, tapi satu perkumpulan untuk pengisian rohani pelajar Sabah Sarawak yang berada jauh dari kampung halaman.

Kebanyakkan pelajar Sabah Sarawak yang melanjutkan pelajaran rata-rata kumpulan yang pertama kali berpijak di Semenanjung Malaysia. Dan mereka menghadapi pelbagai kejutan budaya dari segi bahasa, makanan, cara pembawaan diri dan juga agama.

Jadi untuk membuatkan mereka rasa seperti di kampung halaman, kami akan mengadakan pertemuan setiap minggu di rumah pelajar atau mengatur mereka ke gereja, membuat aktiviti menarik agar mereka tidak kesunyian dan terperap di bilik saja.

Sebagai jawatankuasa utama yang mengatur pelajar-pelajar ini setiap semester, banyak perkara baru yang saya belajar dari ahli-ahli dan para jawatankuasa. Walaupun kami berasal dari Sabah dan Sarawak, tetapi kami juga berbeza. Kami berasal dari pelbagai daerah, yang mana setiap daerah mempunyai etnik, bahasa ibunda, latar belakang, dan dibesarkan dengan cara berbeza.

Malah bunyi dan cara penggunaan bahasa Malaysia juga kadang-kadang berbeza mengikut daerah.

Seni Tinggal Bersama

Kami mempunyai 12 orang dalam rumah pelajar yang saya tinggal itu, dan kedua belas orang mempunyai pelbagai karenah. Ada yang berasal dari Miri, Kuching, Penampang, Tambunan, Ranau, Bundu Tuhan, Tuaran, dan banyak lagi daerah di Sabah dan Sarawak, dan kesemua mempunyai jalan cerita hidup yang menarik.

Pada mulanya, saya fikir walaupun kami dari Borneo maka kami boleh hidup bersama secara aman damai, tapi tidak semudah yang disangkakan.

Setiap orang ada gaya masing-masing dan untuk memahami mereka, dialog berupa perbualan semata-mata tidak akan membantu. Banyak kali kami melalui perdebatan, tidak sependapat, perkongasian dari hati ke hati, faham latar belakang dan rekonsiliasi supaya kami boleh tinggal dan melayani bersama.

Contohnya, setiap hari jumaat kami akan mengadakan aktiviti mingguan di mana pelajar akan datang ke rumah. Jadi, sebelum pelajar datang ke rumah, rumah itu haruslah bersih, tetapi orang rumah masih lagi bermain badminton di luar dan membiarkan orang yang sama membersihkan rumah. Saya pada masa itu, sudah sangat marah dan menjerit “hoi, takkan kami saja yang membersihkan rumah’? Dan seorang kawan cepat-cepat masuk dan mop rumah.

Contoh kedua, ada seorang lagi orang rumah, suara dia besar dan cara dia bercakap sentiasa macam marah walaupun sebenarnya dia tidak marah. Dan ada seorang kawan pula, dia pendiam dan lemah lembut, sekejap terguris hati dan menangis. Jadi apabila yang kawan ganas itu bercakap dengan yang lembut itu, si kawan yang lembut hati ini pandai sakit hati tidak tentu pasal.

Dan ada satu lagi kawan yang sentiasa positif, dia sentiasa memberi kata-kata kerohanian yang positif untuk memberi semangat kepada orang-orang rumah. Dia akan berkata begini, “kita tidak boleh sentiasa bergaduh sesama kita, kerana kalau kita sentiasa bergaduh bagaimana kita hendak melayani pelajar di luar sana”.

Dan jika rumah itu menjadi panas kerana ada orang rumah yang tidak ingin bertegur, maka akan ada seorang yang akan menyejukkan keadaan dan memfasilitasikan keadaan. Disini setiap orang harus menyatakan kepada semua, siapa yang dia tidak suka dan kenapa, lalu meminta maaf kepadanya. Dan orang yang saya pernah jerit semasa main badminton berkata, selama ini dia merasa sakit hati terhadap saya kerana saya sangat ganas.

Mendengar nama saya disebut, saya terkejut kerana selama ini saya langsung tidak pernah terfikir bahawa itu akan menjadi isu. Saya juga langsung tidak tahu bahawa tindakan saya itu akan memberi kesan. Selepas itu kami saling bermaafan.

Dan yang suara besar itu pula, rupa-rupanya di kampung halaman mereka sekeluarga memang bercakap seperti itu. Kerana dia mempunyai keluarga yang besar dan banyak adik, jadi kadang-kadang sifat itu pun terbawa-bawa. Dan yang lemah lembut itu memang mempunyai keluarga yang lemah lembut, dan yang sentiasa positif itu pula memang selalu melayani di gereja di kampungnya dan aktif dalam pelayanan belia serta mempunyai kakak yang sekarang seorang biarawati / suster.

Dalam renungan saya, tanpa pertemuan dengan sesama secara terbuka dan jujur, kita tidak akan tahu mengapa dia begitu dan apa yang membuatkan dia begitu. Dan kerana itu, salah faham senang berlaku jika tidak ada dialog

Dialog dalam Kehidupan

Dan pembelajaran yang paling penting saya pelajari dari pengalaman itu ialah dialog.

Kita perlukan dialog dalam persahabatan, dalam komuniti dan apa lagi dengan mereka yang mempunyai budaya dan agama yang berbeza. Kita hidup di Malaysia memang sangat perlukan dialog. Kerana tak kenal maka tak cinta, dan bagamana kita ingin memahami antara satu sama lain kalau tidak ada dialog. Mengambil contoh diatas, jika kami tidak berdialog dan tidak bersikap terbuka dan jujur antara sesama, kami tidak akan dapat bekerjasama untuk melayani dalam persatuan dan susah untuk hidup bersama.

Begitu juga dengan situasi di negara kita yang berbilang kaum dan agama. Dialog antara agama tidak semestinya kita harus duduk dalam keadaan formal dan berbual mengenai dogma dan agama semata-mata.

Tetapi langkah pertama ialah kita harus mempunyai kawan dari berlainan agama dan kenali mereka. Mengenali bukan dari mana mana media atau dari apa yang kita dengar, tapi mengenalinya dengan berbual dengan kawan kita sendiri, supaya dia boleh kongsi apakah maksud menjadi seorang Hindu, Islam, Kristian, Buddha atau agama tradisi. Ini supaya dia boleh berkongsi apa yang baik dan apa pengalaman mereka, kerana apabila kita mendengar dan berkongsi kita akan mengenali sesama dan akan menjumpai bahawa semua kita sedang melakukan perkara yang sama melalui cara yang berbeza, dengan simbol berbeza dan sebagainya. Tidak ada apa yang sensitif.

Pernah sekali saya dan sekumpulan pelajar dan seorang paderi melawat Kuil Hindu di Johor. Kami dijemput untuk masuk, ternyata banyak simbol yang kami tidak faham, dan kami dibantu oleh imam untuk memberitahu apakah maksud disebalik simbol, tulisan dan patung dalam kuil itu.

Bukan itu sahaja, kami juga berpeluang untuk mengikuti sesi sembahyang mereka, melihat mereka menyanyi dan melihat orang-orang yang pergi sembahyang. Dari situ, saya mengetahui tentang mereka dan ini mengajar untuk menghargai dan melihat kebaikan mereka dan menjadi lebih ramah.

Pertemuan antara satu sama lain

Semasa saya melayani dalam persatuan saya, pernah sekali saya mencadangkan idea yang sama iaitu untuk mengadakan lawatan ke surau berdekatan. Tapi idea saya itu tidak mendapat sambutan kerana sensitif dan takut nanti ada salah faham berlaku.

Ada yang mengatakan bahawa sedangkan iman sendiri tidak tahu apa lagi ingin belajar iman orang lain. Akan tetapi melalui pengalaman saya melawat Kuil Hindu itu tadi, melihat mereka bersembahyang dan belajar mengenai simbol dan kata-kata dalam kuil membuatkan saya sendiri ingin belajar lebih mengenai iman saya sendiri.

Dan ini membuatkan saya untuk mengikuti kem dakwah Islam di universiti saya. Dalam aktiviti ini banyak aktiviti dijalankan seperti penyembuhan, pembangunan pasukan dan pembentukan rohani.

Apabila peserta tahu bahawa saya ini Kristian, maka banyak soalan yang mereka tanya kepada saya. Ternyata kebanyakkan mereka tidak pernah ada kawan dari Sabah dan seorang Kristian, jadi saya menjadi tumpuan untuk banyak soalan yang tulen yang bersifat bona fide.

Antara pengalaman yang paling menyentuh ialah apabila kami duduk bersama dan makan dalam satu dulang yang besar, yang dipanggil makan setalam. Saya diberitahu bahawa budaya ini adalah untuk merapatkan hubungan sesama saudara dan kenalan.

Dalam kumpulan saya, kami bertiga makan setalam dan sambil itu suap sesama sendiri. Ini mengingatkan saya ekspresi “memecahkan roti” (Kisah Para Rasul 27:35).

Yesus: Pelahap, Peminum, Sahabat Pemungut Cukai dan Orang Berdosa (Lukas 7:34 = Matius 11:19)

Bukan sahaja kita perlukan dialog antara agama, tetapi kita juga harus mempunyai dialog antara kelas.

Mengambil cerita zaman kehidupan Yesus yang lalu, dalam masyarakat yang terdapat halangan antara kelas, kaum atau agama, pemisahan dipertahankan dengan membuat pantang larang dalam pergaulan sosial. A nda tidak berkongsi makanan atau sebuah parti makan malam, anda tidak boleh meraikan, atau mengambil bahagian dalam hiburan, dengan orang-orang yang tergolong dalam kumpulan sosial yang berlainan. Di Timur tengah berkongsi makanan dengan seseorang adalah satu bentuk hubungan dan persahabatan yang sangat intim. Mereka tidak akan makan dan minum dengan orang yang mempunyai kelas lebih rendah daripada mereka.

Apabila Yesus bergaul dengan orang-orang berdosa, ia merupakan satu skandal dalam masyarakat pada masa itu dan suatu tindakan yang tidak boleh diterima juga pada masa moden. Kerana ini bermaksud dia menerima mereka dan ingin menjadi kawan kepada pemungut cukai dan orang berdosa (Matius 11:19).

Ketika Yesus makan di rumah orang itu, banyak pemungut cukai dan orang berdosa makan bersama-sama dengan Dia dan murid-muridNya, sebab banyak orang yang mengikuti Dia (Markus 2:15). ‘Lelaki ini’, mereka berkata, ‘berhibur’ dengan orang berdosa dan berpesta bersama orang berdosa (Lukas 15:2). Dan Dia juga dianggap seorang pelahap dan peminum, sahabat pemungut cukai dan orang berdosa (Lukas 7:34; Matius 11:19) .

Pesta atau makan malam tidak perlu dianggap sangat mahal, kerana persahabatan dan perbualan lebih penting daripada makanan. Majlis makan malam itu menjadi perkara biasa dalam kehidupan Yesus sehingga dia dituduh sebagai pemabuk dan pelahap.

Yesus mesti juga pernah menjemput Farisi dan orang kehormat yang lain untuk makan bersama dia. Kalau dia menjemput mereka (Lk 7:36; 11:37, 14:1) Yesus semestinya membalas dengan menjemput para Farisi ke rumahnya. Tapi bagaimankah para Farisi dan pengemis-pengemis boleh duduk dalam satu meja? Bukankah Farisi tersebut akan takut bahawa statusnya akan hilang dengan menerima jemputan ke jamuan makan itu?

Perumpamaan tentang orang-orang yang berdalih

Mungkinkah perumpamaan tentang orang-orang yang berdalih itu (Lk 14: 15-24, Parable of the invited guests) adalah berdasarkan kejadian benar dalam kehidupan Yesus.

Adakah tetamu kehormat mula membuat alasan apabila dijemput oleh yesus dalam jamuan makan? Sehingga Yesus mengantar pengikut-pengikutNya untuk “pergi dengan segera ke segala jalan dan lorong kota” dan bawa “orang-orang cacat dan orang-orang buta dan orang-orang lumpuh” sehingga “ke semua jalan dan lintasan dan paksa orang-orang, yang ada di situ, masuk untuk memenuhi rumahNya”?

Dan pengemis-pengemis juga berasa ragu-ragu pada mulanya dan orang-orang berdosa juga berfikir dua kali sebelum menjemput Yesus ke rumah mereka. Untuk mengatasi perbezaam sosial yeng tertanam dalam masyarakat itu, Yesus kadang-kadang terpaksa memaksa pengemis-pengemis untuk datang, dan menjemput dirinya sendiri ke rumah orang-orang berdosa. Lukas telah mengilustrasikan cerita itu dalam cerita Zacchaeus (19: 1- 10).

Makan Makan

Ini mengingatkan saya kembali pada tahun 2008 dan sebelumnya, ketika itu Presiden kami terkenal dengan selalu menganjurkan makan-makan di rumah pelajar kami. Dia akan menjemput, alumni, senior, ahli-ahli persatuan dan jawatankuasa untuk hanya dengan tujuan makan.

Dan pada tahun-tahun itu jugalah, saya melihat bahawa jawatankuasa begitu erat dan rapat antara sesama, ahli-ahli juga kerap datang ke rumah itu, dan alumni yang sudah bekerja selalu memberi sumbangan kewangan kepada persatuan pelajar kami dan pelayanan juga menjadi hidup.

Jamuan makan makan sebegini memang memberi kesan besar. Pada masa Yesus, dengan menerima mereka sebagai kawan dan sama rata, Yesus telah menghilangkan rasa malu, hina dan perasaan bersalah mereka.

Perjumpaan fizikal di meja makan itu merasakan bahawa mereka diterima, dengan itu Dia telah menaikkan martabat mereka. Dan saya rasa itulah yang sedang dibuat oleh Bapa Suci pada 1hb Julai lalu, di mana beliau menjemput sekumpulan 200 individu yang tiada rumah untuk makan malam di Vatikan.1 Seperti yang pernah dikatakan oleh Ronald Reagen, “all great change begins at the dinner table”. ]]>