Fiqh Waqi’ bukan alasan untuk kezaliman

Keadilan Sebabnya jelas: keadilan merupakan perkara penting dalam kemaslahatan. Dan keadilan harus memerhati dan menjawab kepada realiti sesuatu keadaan. Jika tidak tercapai keadilan, maka itu bukan kehendak Syariah. Ibn al-Qayyim ada menyatakan bahawa, “syariah itu adalah keadilan Allah terhadap hambaNya, rahmatNya kepada kalangan makhlukNya, bayang-bayangNya do bumiNya.” Beliau juga berkata “apabila nyata tanda-tanda keadilan dan nyata jalan-jalan kearah tercapainya itu, maka dapatilah di sana ada Syariah dan agama Allah.” Memang benar bahawa ulama tidak sepakat dalam penghuraian makna keadilan.  Pemahaman-pemahaman yang ada memang pelbagai. Keadilan yang difahami sebagai meletakkan sesuatu pada tempatnya adalah kefahaman keadilan yang popular di kalangan sarjana Muslim. Di sana, terdapat perbahasan balik terhadap maksud kefahaman keadilan itu, seperti penjelasan Al-Qaradawi dalam satu temuramah beliau yang bertajuk Syariah wa hayah. Dalam temuramah tersebut, beliau ditanya tentang keadilan, lalu beliau menyatakan bahawa keadilan itu adalah memberikan hak kepada mereka yang berhak. Al-Qaradawi berpegang kepada satu hadis sahih dimana Nabi Muhammad SAW ada bersabda, “sesungguhnya pada jasad kamu itu ada hak, pada ahli keluarga kamu itu ada haknya, maka berikan hak kepada yang berhak” Penggunaan fiqh waqi’ adalah untuk menjayakan proses keadilan ini. Ia bertujuan untuk memastikan perlaksanaan itu berjaya memberikan hak kepada mereka yang berhak, tanpa melahirkan sebarang kerosakan. Tapak bagi bangunannya fiqh waqi’ adalah keadilan. Ia merupakan salah satu kaedah untuk menjayakan proses pemberian hak kepada yang berhak, bukan  sebaliknya. Larangan hak Namun ada sebilangan Muslim di Malaysia, yang mendakwa mereka sebagai golongan berilmu, menggunakan alasan fiqh waqi’ untuk menghalang hak orang bukan Islam di Malaysia dari bebas mengamalkan agama mereka. Dakwaan ini tidak lebih hanya mencandukan pemikiran orang awam agar penghujahan mereka kononnya dilihat benar. Hakikatnya, menjadikan fiqh waqi’ sebagai alasan untuk melarang orang bukan Islam dari bebas mengamalkan hak agama mereka, seperti penggunaan kalimah Allah adalah salah dari aturan dan ketetapan bagi fiqh waqi’. Lebih parah, dalam penggunaan kalimah Allah, pemberian hak penggunaan terhadap orang bukan Islam itu adalah pemberian Tuhan. Makanya dengan alasan fiqh waqi’ mereka menafikan hak pemberian itu merupakan proses menolak ketetapan Tuhan dengan menggunakan lebel agama. Lebih membawa kerosakan adalah, apabila ada di kalangan mereka golongan yang mencipta dan membangkitkan sentimen kebencian antara Muslim dan bukan-Muslim. Mereka menimbulkan dakwaan-dakwaan yang tidak benar disebalik pemberian kalimah Allah, kemudian mereka halang penggunaan itu dengan alasan fiqh waqi’. Mereka tidak menjanakan usaha untuk memahami konteks Kristian di Malaysia yang begitu rumit dengan cara yang ilmiah dan mendalam. Mereka rasa hanya cukup untuk memainkan sentimen agama.  Keluh kesah, cabaran dan kehendak masyarakat Kristian di sini langsung tidak dihiraukan. Jadi adakah hujah dan kesimpulan larangan mereka berdasarkan realiti di Malaysia? Apabila agama dimainkan Hakikat Islam itu adalah rahmat untuk sekalian alam. Islam datang untuk menghapuskan permusuhan, bukan sebagai pencetus kepada huru-hara. Islam juga hadir untuk memberikan hak bagi mereka yang berhak. Hak itu hendaklah diperlihara untuk, dan oleh, seseorang itu bagai tubuh badannya sendiri. Islam menganggap bahawa orang yang bekerja sepanjang masa tanpa diberikan rehat sebagai zalim terhadap badannya. Islam juga menjanjikan syurga kepada mereka yang memberi minum dan makan walaupun kepada seekor anjing sekalipun. Dari situ memang jelaslah Islam menganggap ia sebagai zalim, sudah pasti teramat zalim, jika ada penafian hak bagi masyarakat bukan Muslim di Malaysia, terutamanya dalam kehendak mereka beragama. Sudah pasti orang yang menyebarkab kebencian di kalangan manusia (antara Muslim dan bukan-Muslim; antara Melayu dengan bukan Melayu) adalah tindakan yang bercanggah dengan ajaran Islam. Lebih salah, apabila kezaliman yang dilakukan itu bersulamkan lebel-lebel agama.

]]>

Temubual khas bersama ketua pengarang The Herald

Nor Arlene Tan. Nor Arlene Tan: Pertama sekali, saya ingin bertanya mengenai ‘The Herald’. Mengapa pihak gereja Katolik menerbitkan akhbar mingguan tersebut? Rev. Lawrence Andrew: The Herald merupakan sebuah akhbar mingguan Katolik untuk masyarakat beragama Katolik. Maknanya, ia dijual khas untuk orang-orang Katolik sahaja dan bukan kepada orang lain. Setiap akhbar mingguan Herald akan dibungkuskan dan dihantar ke alamat gereja tertentu di seluruh Malaysia, kami tidak menjual dengan sesuka hati di luar kawasan gereja. Ia merupakan sebuah akhbar keagamaan untuk orang Katolik berkenaan isu-isu perkembangan yang berlaku di gereja dalam negara mahupun di luar negara. Masyarakat Katolik akan mendapat pemahaman yang lebih mendalam akan agama mereka sendiri. Nor Arlene Tan: Mengapa menerbitkan akhbar mingguan The Herald dalam Bahasa Melayu? Rev. Lawrence Andrew: Mengapa kami menerbitkan The Herald dalam Bahasa Melayu? Mengapa dalam Bahasa Tamil? Mengapa dalam Bahasa Cina? Mengapa dalam Bahasa Inggeris? Kami menerbitkannya dalam Bahasa yang difahami oleh pembaca-pembaca kami yang rata-ratanya lebih selesa membaca dalam Bahasa Melayu. Nor Arlene Tan: Terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa masyarakat Melayu Islam boleh menjadi keliru jika perkataan “Allah” dipergunakan oleh agama lain. Setujukah anda dengan kenyataan tersebut? Bolehkah anda jelaskan sejarah dan makna “Allah”? Rev. Lawrence Andrew: “Allah” adalah sebuah perkataan Arab, iaitu “Al-Ilah”, dan perkataan tersebut telah wujud sejak dari awal-awal lagi. Sebelum perkataan tersebut wujud dalam perbendaharaan kata Bahasa Melayu, ia telahpun wujud dan dipergunakan dengan luas orang ramai. “Allah” bukan perkataan Bahasa Melayu seperti yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak. [caption id="attachment_2712" align="alignleft" width="225"]Optimized-Lawrence baca herald Ingeris Reveren Lawrence membaca Herald Bahasa Inggeris.[/caption] Sebagai contoh perkataan seperti “suci” dan “dosa” bukan sebuah perkataan Bahasa Melayu. Cuba bertanya dengan orang Melayu apakah perkataan “dosa” dalam Bahasa Arab? Sebaliknya, “suci” dan “dosa” merupakan perkataan Sanskrit yang berasal dari India. Jadi, bila kita mula memahami asal-usul Bahasa Melayu, kita akan dapati Bahasa Melayu adalah berakar daripada pelbagai Bahasa-Bahasa yang lain.* Maka demikian, perkataan “Allah” muncul dari zaman Arab dan juga pra-Arab, sebelum kemunculan agama Kristian yang awal. Dan agama Islam muncul selepas kedatangan Kristian. Tidak sepatutnya wujud kekeliruan dikalangan orang Melayu kerana kamus yang terawal di negara ini adalah kamus terjemahan Latin-Melayu yang diterbitkan dalam tahun 1613, dan di dalam kamus tersebut telahpun terdapat penterjemahan perkataan “Allah” dari Bahasa Latin ke Bahasa Melayu. Yang menariknya, kamus Melayu masih belum wujud, tetapi kamus terjemahan Latin-Melayu telah wujud. Jika kita melihat akan perkara ini, perkataan “Allah” telah wujud lebih awal daripada apa yang diperkatakan oleh sesetengah orang Melayu. Nor Arlene Tan : Apakah sejarah penggunaan kalimah “Allah” di Malaysia? Rev. Lawrence Andrew: Bahasa yang digunapakai oleh gereja Katolik di Malaysia atau Tanah Melayu sebelum jajahan kuasa kolonial British selama ini adalah dalam Bahasa Melayu. Bahasa tersebut ditukarkan ke Bahasa Ingeris selepas kedatangan kuasa kolonial British ke Tanah Melayu. Apabila pihak British menyarankan penggunaan Bahasa Ingeris sebagai Bahasa pengantar dan juga orang ramai menjadi lebih berpendidikan, mereka mulai bertutur dalam Bahasa Ingeris.  Apabila mereka menjadi lebih selesa bertutur dalam Bahasa Ingeris, Bahasa pengantar dalam gereja Katolik ditukarkan sebahagiannya daripada Bahasa Melayu ke Bahasa Ingeris. Selain itu, terdapat juga migrasi daripada India, orang-orang Tamil yang datang ke Tanah Melayu, serta imigrasi orang-orang Cina daripada China ke Tanah Melayu, wujudnya Bahasa-Bahasa penghantar yang lain digunapakai oleh gereja Katolik, bersama-sama dengan Bahasa Melayu, Bahasa kuno yang telah dipakai sekian lama oleh pihak gereja Katolik di Tanah Melayu. Bahasa Melayu bukan Bahasa yang baru sahaja digunapakai oleh gereja Katolik, ia telah digunapakai dalam Bahasa Melayu sebelum negara ini mencapai kemerdekaan. Malah pihak gereja Katolik telah mengunakan Bahasa Melayu sejak kurun awal lagi semasa mesin pencetakan baru-baru digunakan untuk mencetak buku pada kurun ke-16. Pada masa tersebut, gereja Katolik telahpun mempunyai buku-buku dalam Bahasa Melayu, dimana masyarakat Melayu zaman kini mungkin agak sukar membaca dan memahami kerana ejaan dan ayatnya adalah amat kuno. Nor Arlene Tan : Apakah sejarah pengaruh dan perkembangan Bahasa Melayu dalam ilmiah Katolik? Rev. Lawrence Andrew: Pernahkah anda mendengar nama tokoh Munshi Abdullah? Beliau adalah bapa persuratan Melayu. Ramai yang tidak mengetahui bahawa beliau juga telah menterjemahkan kitab Bible ke dalam Bahasa Melayu. Sebutan ejaan Bahasa Melayu pada zaman itu dipengaruhi oleh pihak Portugis, Belanda dan British. Jadi bunyi sebutan tersebut adalah berdasarkan bunyi sebutan Bahasa Portugis. Bahasa Melayu juga mempunyai pengaruhi daripada masyarakat kolonial, sebagai contoh, perkataan “motocycle” dalam Bahasa Ingeris, di dalam Bahasa Melayu adalah “motosikal”, di Indonesia adalah “sepeda motor”. Lihatlah pengstrukturan Bahasanya adalah berbeza; Bahasa Melayu adalah dipengaruhi daripada Bahasa Ingeris, walhal Bahasa Indonesia dipengaruhi daripada Bahasa Belanda. Jadi, kita dapat simpulkan bahawa Bahasa Melayu mempunyai akar pengaruh yang mendalam daripada pelbagai Bahasa-Bahasa yang lain, termasuk juga Bahasa kolonial. Nor Arlene Tan: Bolehkah anda menunjuk contoh bahan ilmiah Katolik dalam Bahasa Melayu pada zaman dahulu? Rev. Lawrence Andrew: Saya akan menunjukkan sebuah buku daripada abad ke-19 bertajuk “Porkara Terakhir”. Ia sebuah buku bacaan doa bagi orang-orang Katolik dalam Bahasa Melayu. Ia BUKAN Bahasa Indonesia. Ia adalah Bahasa Melayu asli. [caption id="attachment_2706" align="alignleft" width="300"]Optimized-sombahyanglah chapter (from buku Porkara Terakhir) Bab “Sombahiang” Porkara Terakhir.[/caption] Sebagai contoh teks dalam buku Porkora Terakhir“Ia, Maha Penebus ku, tiap kali beita sudah buat dosa, sudahlah beita mengalau angkau deri hati ku, sambel choba membunoh Allah sabuleh nha…”, ia adalah sebuah Bahasa sehari-harian di dalam Bahasa Melayu kuno; penggunaan ayat seperti ini tidak wujud dalam Bahasa Indonesia. Yang satu lagi ini adalah buku bacaan doa Katolik bertajuk Kebaktian Se’hari Harian yang diterbitkan pada tahun 1890 juga menggunakan Bahasa Melayu kuno. Sebagai contoh teks dalam buku tersebut adalah “Sapuloh Penhurohan Allah”, ia merupakan 10 Rukun Perintah Allah daripada Bible (Ten Commandments). Kedua-dua buku tersebut menggunakan kalimah “Allah” sebagai erti Tuhan. Selain itu, perkataan lain yang digunapakai dalam Bible dan ilmiah Katolik dalam Bahasa Melayu adalah perkataan “Rasul”. Contohnya di dalam buku Kebaktian Se’hari Harian, perkataan Bahasa Ingeris “St. Paul” (Paul the Apostle) digelar sebagai “Elrasul Paulus” dalam Bahasa Melayu; dan “St. Luke” (Luke the Evangelist) digelar sebagai “Elrasul Lukas”. Maka anda dapat melihat Bahasa Melayu telahpun digunapakai dalam gereja-gereja Katolik di Malaysia sejak lama dahulu sebelum pengaruh bahan ilmiah Katolik Bahasa Indonesia di negara ini. Nor Arlene Tan: Adakah penggunaan kalimah “Allah” oleh masyarakat bukan Islam diterima oleh masyarakat Melayu dan Islam ketika itu? Rev. Lawrence Andrew: Bagaimana masyarakat pada masa itu menerima perkataan tersebut adalah sama seperti bagaiamana masyarakat pada masa itu menerima orang-orang India, Cina dan Eropah sebelum kemerdekaan. Mereka semua adalah kawan. [caption id="attachment_2714" align="alignleft" width="300"]Reveren Lawrence menerangkan mengenai Porkara Terakhir sebagai contoh dalam sejarah penggunaan Bahasa Melayu dalam konteks Kristian di Semenanjung. Reveren Lawrence menerangkan mengenai Porkara Terakhir sebagai contoh dalam sejarah penggunaan Bahasa Melayu dalam konteks Kristian di Semenanjung.[/caption] Tanyalah pada datuk anda, pada masa dulu mereka akan duduk bersama bersembang sambil minum teh tarik atau makan nasi lemak dengan orang Cina dan orang India tanpa masalah perkauman atau agama. Mereka juga akan pergi berkunjung ke rumah masing-masing. Dahulu, kawan-kawan Melayu saya sering berkunjung ke rumah saya, mereka akan datang bermakan sama-sama di rumah saya. Tetapi kini orang Melayu sudah tidak berani mengunjungi rumah orang bukan Islam. Bapa saya mempunyai seorang pemandu Melayu yang selalu memandu kami ke sana-sini, dan dia akan selalu teman makan bersama-sama dengan kami. Oleh kerana kami menghormati amalan agamanya, bila-bila masa kami memasak ayam di rumah, pada masa dahulu tiada supermarket, maka kami akan membeli ayam hidup di pasar dan dia akan menyembelihkan ayam tersebut untuk dimasak dan makan bersama-sama kami sekeluarga. Pada masa dahulu, terdapat penerimaan semua agama dan bangsa, kami saling hormat-menghormati dan menerima amalan budaya dan agama setiap kaum. Nor Arlene Tan: Adakah pihak gereja Katolik menyebarkan ajaran Katolik ke orang ramai? Rev. Lawrence Andrew: Bagi pihak yang menuduh kami menggunakan Bahasa Melayu untuk menukarkan agama orang Melayu Islam, cuba mereka nyatakan berapakah orang Melayu telah menukar agama ke Kristian? Cuba anda bertanya dengan A-G Tan Sri Abdul Gani Patail (Peguam Negara Malaysia) apakah maksud perkataan “Our Father” dan “Hail Mary” dalam Bahasa Ingeris?  Beliau akan memberitahu bahawa beliau pernah belajar di sekolah Katolik. Adakah beliau telah menukarkan agamanya ke Katolik? Tidak, beliau masih seorang Islam. Cuba bertanya dengan Dato’ Sri Najib Razak (Perdana Menteri Malaysia) adakah beliau kenal “Our Father”, beliau juga pernah belajar di sekolah Katolik St. John. Pihak gereja Katolik tidak sesekali pergi untuk menukarkan agama orang lain ke Kristian dengan sesuka hati. Jika mereka telah menukar agama dengan belajar di sekolah Katolik, mereka tidak akan menjadi orang Islam sampai sekarang. Nor Arlene Tan: Barbincang berkenaan keputusan Makamah Rayuan kelmarin, bolehkah anda berkongsi pandangan anda dengan keputusan tersebut? Rev. Lawrence Andrew: Keputusan Makamah yang pertama diputuskan pada 2009 adalah berasaskan undang-undang yang terdapat di negara ini. Ia berdasarkan kuasa kehakiman dan pengintepretasian prinsip undang-undang negara ini. Keputusan tersebut dihujahkan secara logik. Tetapi di dalam Mahkamah Rayuan baru-baru ini, mereka sepatutnya mencari kesalahan dalam proses penghakiman bagi keputusan Makamah yang lepas jika mereka ingin mengubah keputusan di Mahkamah Rayuan. Nor Arlene Tan: Mengapakah terdapat sensitiviti dan tentangan berkenaan isu penggunaan kalimah “Allah” oleh bukan Islam di kalangan sesetengah orang Melayu Islam? Rev. Lawrence Andrew: Siapakah orang-orang tersebut? Ibrahim Ali dan Perkasa. Siapakah mereka? Mereka telah membuat bising dan bersikap anti terhadap orang bukan Melayu dan orang bukan Islam. Mereka memanggil orang bukan Melayu sebagai pendatang dan menyuruh mereka keluar ke negara ini jika tidak puas hati, mereka juga sibuk mengancam untuk membakar Bible, dsb. Adakah ini budaya seorang Melayu? Orang Melayu tidak pernah mempunyai perlakuan sebegini. Dimanakah perangai jahil ini muncul? Orang Melayu tidak pernah biadap seperti ini. Saya sendiri sejak dahulu tidak pernah mengalami atau berjumpa dengan seorang Melayu berakhlak sedemikian. Jika terdapat perselisihan atau persengketaan diantara agama atau kaum, orang Melayu akan duduk berbincang bersama-sama kami untuk menyelesaikan masalah dengan aman. Apabila perkara buruk berlaku, mereka (Perkasa) akan sibuk berdemonstrasi di sana sini, tetapi kami dari pihak gereja tidak akan berdemonstrasi. Kami menghormati undang-undang negara ini. Adakah kami membuat bising? Tidak sama sekali. Kami akur dengan proses undang-undang mahkamah dan bersedia melalui peringkat-peringkat seterusnya dalam prosedur penghakiman. Nor Arlene Tan: Bagaimanakah reaksi masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak berkenaan dengan isu kalimah “Allah” ini? Rev. Lawrence Andrew: Itulah mereka berasa sangat tersinggung. Mereka berkongsi satu Bahasa – Bahasa Melayu. Oleh kerana mereka bertutur dalam Bahasa yang sama, secara tiba-tiba orang Kristian di sana dihalang daripada menggunakan kalimah “Allah”. Di dalam penerbitan The Herald bulan Oktober ini, terdapat nukilan editorial dari akhbar-akhbar utama di Pakistan dan Turki yang mengatakan keputusan penghakiman ini adalah salah. Sesiapa tidak boleh mempunyai hak cipta terhadap perkataan “Allah”, ini termasuk juga orang Melayu. Nor Arlene Tan: Adakah pihak gereja Katolik mengadakan penglibatan komuniti atau dialog antara agama dengan orang Melayu Islam untuk menjelaskan situasi sebenar dan meredakan sentimen? Rev. Lawrence Andrew: Kami aktif dalam Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST). Mereka mengetahui dan simpati tentang isu tersebut, dan hadir memberi sokongan kepada kami semasa pengumuman keputusan Mahkamah Rayuan tersebut. Kami juga menerima banyak sokongan daripada orang Islam dan organisasi Islam seperti Sisters In Islam (SIS). Marina Mahathir juga telah bersuara dan menulis terhadap isu ini. Menariknya, juga terdapat di internet berkenaan cerita “Ayah” – jangan membiarkan anak-anak kamu memanggil dirimu “Ayah”, kerana anak-anak kami memanggil kami “Ayah”. Nor Arlene Tan: Pada pendapat anda, apakah pengislamisasian (Islamization) yang merebak ke negara ini adalah pengaruh daripada perkembangan Islam global atau situasi politik dalam negara ini? Rev. Lawrence Andrew: Ramai yang mengatakan pencambahan pengislamisasian ini berlaku kerana perkembangan Islam global yang berlaku di Iran dan Timur Tengah, seperti kebangkitan Arab (Arab Spring) di Timur Tengah. Pada pendapat saya, peristiwa tersebut tidak memberi kesan mendalam kepada pemikiran masyarakat kita. [caption id="attachment_2716" align="alignleft" width="225"]Penggunaan Bahasa Melayu memang tidak asing dalam sejarah Kristian di Malaysia. Penggunaan Bahasa Melayu memang tidak asing dalam sejarah Kristian di Malaysia.[/caption] Namun begitu, saya akui terdapat pengarabisasian (Arabization) di negara ini semasa zaman 90-an, sebagai contohnya wujudnya pergerakan Al-Arqam yang kini telah diharamkan, wanita mereka berpakaian jubah penuh dan berniqab, ini sememangnya adalah pengaruh daripada budaya Arab. Dahulunya, orang-orang Melayu lebih suka bersongkok. Songkok bukan budaya Islam, ia adalah budaya asli Melayu, dan ia juga budaya di Indonesia. Saya selalu memakai songkok pada masa dulu, dan masyarakat pada masa itu dapat menerimanya. Tetapi jika saya memakai songkok pada hari ini, dan makan pula di kedai makanan Cina, saya mungkin akan dipersoal dan mereka mungkin fikir bahawa saya adalah Melayu (Islam). Kini, jika anda ke Putrajaya anda hanya akan berjumpa dengan orang-orang Melayu sahaja. Walhal pada dahulu kala, ketua bagi tentera laut adalah orang India, termasuk juga dalam pasukan polis, polis-polis dahulu adalah berbilang kaum. Namun sekarang para penjawat awam (civil servants) telah menjadi semakin Melayu (mono-etnik). Jika anda ingin mendapat pekerjaan dalam kerajaan dan anda bukan orang Melayu, lupakan sahaja untuk memohon pekerjaan tersebut. Sesiapa yang ingin dinaikkan pangkat dalam kerajaan terpaksa menukar agamanya ke Islam. Jadi, bukan perkembangan global yang mempengaruhi pengislamisasian di negara ini, ia adalah politik dalaman di kalangan yang berkuasa yang sibuk menyebarkan pengislamisasian di keseluruhan negara ini. Terdapat pertelagahan yang berterusan diantara parti politik PAS dan UMNO untuk saling bersaing bagi mengislamkan negara ini. Malah, keputusan menghalang penggunaan kalimah “Allah” oleh Makamah Rayuan ini juga merupakan salah satu cara pengislamisasian di negara ini. Nor Arlene Tan: Soalan terakhir saya, apakah cabaran terbesar rakyat Malaysia hadapi dinegara ini dalam konteks bangsa dan agama, dimana kerajaan dan masyarakat sivil perlu memainkan peranan yang lebih mendalam? Rev. Lawrence Andrew: Pada pendapat saya, cabaran utama yang kita hadapi, jika kita jujur dengan semangat 1 Malaysia; 1 Malaysia di sini bermaksud semua kaum sama-sama bersatu, dan bukannya asimilasi menjadi satu bangsa sahaja – setakat ini maksud 1 Malaysia adalah Satu Bangsa. Jika kita benar-benar hidup dalam semangat 1 Malaysia seperti saya katakan, setiap kaum sama-sama bersatu, perpaduan diperkukuhkan seperti semasa kita mencapai kemerdekaan, maka apa yang diperlukan oleh kita semua adalah untuk menerima satu sama lain. Jangan memandang rendah kaum lain. Cabaran yang terbesar dalam diri kita semua adalah kita telah mengasingkan diri kita daripada komuniti lain dan kita telah memecahbelahkan negara ini kepada Melayu dan bukan Melayu. Oleh kerana masyarakat kita telah dipolarisasi, ketuanan Melayu telah menjadi agenda utama negara ini. Konteks perbincangan negara ini telah bertukar menjadi ketuanan Melayu atau UMNOputra (seperti dilebelkan oleh sesetengah orang) dimana orang Melayu perlu mendapat keistimewaan yang lebih daripada semua kaum yang lain. Dan ini telah menyebabkan ketegangan antara kaum. Jadi, cara yang bagus untuk meredakan sentimen ini adalah kita semua perlu menerima negara ini sebagai negara kita. Kita semua adalah pendatang, termasuk kesemua perdana menteri negara kita, yang aslinya adalah orang asal dan orang asli di negara ini. Nor Arlene Tan: Terima kasih kerana sudi mengadakan temubual ini bersama Projek Dialog. Rev. Lawrence Andrew: Sama-sama. Nota: *Kata-kata lain yang berasal daripada Bahasa Sanskrit sebagai contoh adalah:   “sandiwara”, “bumi”, “istana”, “merdeka”, dan lebih lagi.  Dalam “Malay Words of Sanskrit Origin” menyatakan:  Hari ini, jika seorang Melayu bertutur dalam sebuah ayat yang mempunyai sepuluh perkataan, kemungkinan besar lima hingga tujuh perkataan tersebut adalah perkataan Sanskrit dan selebihnya adalah berasal dari perkataan Arab, Tamil, Hindi, Inggeris, Cina, Farsi atau dari beberapa asal yang lain.

]]>

Perihal Raja-raja Melayu

The Malay Rulers: Regression or Reform? (2013) adalah edisi yang dikemas kini daripada buku Isu Raja dan Pindaan Perlembagaan (1993). [caption id="attachment_2694" align="alignleft" width="300"]Majlis pelancaran “The Malay Rulers” berlangsung di Petaling Jaya. Majlis pelancaran “The Malay Rulers” berlangsung di Petaling Jaya.[/caption] Buku setebal 86 halaman ini terbitan Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) dan dijangka kurang mendapat “perhatian” puak ultra kiasu memandangkan buku ini ditulis dalam “bahasa asing”. Syed Husin sudah menulis dan menyelenggarakan sekitar 20 buku dan buku terbaru ini dilancarkan di Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya pada 3 November 2013. Saya berpeluang hadir kerana kebetulan menemani Datuk A. Samad Said dan isterinya sempena Deepavali. Harus saya akui bahawa sepanjang ucapan pelancaran oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; serta ulasan buku oleh Profesor Tunku Shamsul Bahrin dan Profesor Aziz Bari, saya lebih tekun membaca The Malay Rulers: Regression or Reform? kerana kandungannya amat mempersonakan. Baru-baru ini, saya menulis sebuah makalah pendek berjudul “Kisah tentang Malayu” (The Malay Mail Online, 21 Oktober 2013) yang mendapat reaksi yang pelbagai daripada pelbagai pihak. Saya menerima segala kritikan dan pandangan itu dengan penuh terbuka demi percambahan minda dan dialog positif. Dalam buku Syed Husin, beliau turut menyentuh beberapa perkara “sensitif” yang menimbulkan kemarahan sesetengah pihak apabila saya menyebut mengenainya dalam makalah saya. Maka buku ini wajar dijadikan bacaan wajib supaya mendapat pencerahan minda. Buku ini terbahagi kepada enam bab dan disusun secara kemas bagi memudahkan pembacaan dan pemahaman. Saya akan memetik serta mengulas beberapa bahagian yang mencuri tumpuan saya semasa membacanya. Terjemahan kesemua petikan adalah oleh saya sendiri dan jika timbul sebarang pertikaian – sebagaimana dalam Perlembagaan Malaysia – maka versi asal Bahasa Inggeris adalah rujukan yang sah. Bab satu dimulakan dengan asal-usul Raja-raja Melayu. Dinyatakan bahawa walaupun Iskandar Zulkarnain dinyatakan dalam Quran, tidak diketahui jika individu itu sama dengan King Alexander the Great “yang hidup, memerintah dan menakluk lebih 2,300 tahun dahulu”. Asal-usul Raja-raja Melayu Syed Husin memetik kisah daripada Sejarah Melayu di mana dinyatakan bahawa raja Melayu pertama di Alam Melayu ialah Seri Teri Buana. “Menurut legenda, dia muncul daripada muntah seekor lembu. Menurut kepercayaan Hindu, lembu adalah binatang suci, dan dalam sejarah awal orang Melayu, mereka menerima pengaruh kuat daripada budaya Hindu. Adalah dipercayai bahawa Seri Teri Buana merupakan keturunan Alexander,” kata Syed Husin dalam bukunya. Perjanjian antara Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana juga dihuraikan dalam buku ini. Antara perkara penting dalam perjanjian itu adalah bahawa orang Melayu tidak akan menderhaka terhadap raja. [caption id="attachment_2693" align="alignleft" width="265"]PD 1Sejarah Teks “Sejarah Melayu” merakamkan pelbagai perkara penting berkaitan Raja-raja Melayu.[/caption] Sesudah dan selepas kedatangan Islam, pengaruh Hindu amat kuat dalam sistem beraja di negara kita; sebagaimana turut terakam dalam Sejarah Melayu serta dapat pula dilihat sendiri sehingga hari ini. Seperti kata Syed Husin, ajaran Hindu dan Islam sama-sama menekankan konsep “raja yang adil” (Just King). Bagaimanapun, dalam sejarah ketamadunan Islam, terdapat beberapa contoh pemerintah (raja/sultan) yang kejam dan kurang bijak (cruel and foolish). Dalam sejarah Kesultanan Melayu juga tidak kurang contoh pemerintah yang memiliki kualiti buruk seperti itu. Pada pandangan Syed Husin, hal ini menunjukkan bahawa ciri-ciri pemerintah seperti digariskan dalam Islam tidak semestinya wujud dalam realiti. Semasa membicarakan sistem feudal, penulis menyebut bahawa salah satu ciri utama yang tampak jelas adalah “minda abdi” (slave psychology) dalam kalangan orang Melayu; dan diperkuatkan pula menerusi konsep “setia” dan “derhaka”. “Konsep ‘derhaka’ ada makna penting dalam budaya Melayu. Dalam Sejarah Melayu, apabila Seri Teri Buana meletakan syarat bahawa rakyat tidak akan menderhaka kepada raja, jelas ada pengaruh tradisi Hindu,” kata bekas tahanan ISA (1974-80) ini. Di Malaysia, pada penelitian Syed Husin, beberapa perkataan/frasa yang digunakan orang/rakyat semasa menghadap raja/sultan berciri menghina diri sendiri (self-denigrating). Contoh yang dikemukakan adalah “patik”, “duli” dan “sembah”. Krisis Perlembagaan 1983 dan 1993 “Istilah ‘patik’ bermakna hamba-abdi atau kadang-kadang digunakan juga untuk merujuk anjing. Mengapa rakyat perlu meletakkan diri pada kedudukan begitu rendah di hadapan raja? “Kata ‘duli’ pula membawa makna kaki (Sanskrit). Mengapa masih perlu menggunakan ‘memohon ampun’ dan ‘menjunjung duli’? Penggunaan ‘sembah’ (worship) mungkin lanjutan daripada kepercayaan bahawa raja adalah umpama Tuhan. Sepatutnya, dalam Islam, hanya Allah layak disembah,” Syed Husin menegaskan. Perubahan yang berlaku dalam Kesultanan Melayu sejak British menguasai Pulau Pinang turut dihuraikan dengan mengkhususkan beberapa insiden penting dan sensitif di Perak, Johor dan Terengganu. Agak menarik untuk diperhatikan bahawa antara motif utama penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union adalah demi memastikan Raja-raja Melayu tidak kehilangan kuasa. Malah, atas dasar itulah juga Umno (lama/asal) ditubuhkan pada 11 Mei 1946. [caption id="attachment_2692" align="alignleft" width="300"]Umno ditubuhkan antara lain bagi mempertahankan kuasa raja-raja. Umno ditubuhkan antara lain bagi mempertahankan kuasa raja-raja.[/caption] Atas sebab itu, tentulah amat menarik untuk meneliti konflik yang muncul antara golongan Raja-raja Melayu dan “pemerintah” (Umno-Barisan Nasional) sejak negara mencapai kemerdekaan. Krisis Perlembagaan yang berlaku pada tahun 1983 tentu sahaja tidak akan dapat dibaca dalam buku teks di sekolah, kolej dan universiti tempatan. Syed Husin menghuraikan dengan jelas tindakan Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamad meminda Perlembagaan yang mula mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong. Agak menarik untuk diperhatikan bahawa tindakan itu khabarnya “terpaksa” dilakukan oleh Mahathir sebelum Sultan Johor “yang sukar dikawal” (difficult to control) menjadi Agong. Akibat bantahan daripada Majlis Raja-raja Melayu, DAP, Pas dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Mahathir terpaksa membatalkan usaha “murni” itu. Bagaimanapun, sedikit pindaan berjaya dibuat pada Perkara 66 (4A) tanpa meminta persetujuan Majlis Raja-raja Melayu! Delegasi Umno yang terdiri daripada Anwar Ibrahim, Abdullah Ahmad, Sanusi Junid, Daim Zainuddin dan Rafidah Aziz bertemu beberapa raja/sultan pada tahun 1991 untuk menyerahkan memorandum dan draf Kod Etika bagi Raja-raja Melayu. Umno ganti peranan Raja-raja Melayu? Parlimen mencatatkan sejarah pada 10 Disember 1992 apabila Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan resolusi berkaitan kejadian Douglas Gomez, guru dan jurulatih hoki pasukan Kolej Sultan Abu Bakar “dipukul dan dicederakan” (beaten and injured) oleh Sultan Johor, Tengku Mahmud Iskandar Shah di Istana Bukit Serene pada 30 November 1992. Pendedahan yang dilakukan oleh Syed Husin menerusi buku ini mengenai Raja-raja Melayu dan keluarga mereka pasti membuatkan pembaca hampir tidak percaya. Misalnya, sebelum insiden Istana Bukit Serene, pada Julai 1992, Tengku Bendahara Johor, Tengku Abdul Majid khabarnya memukul dan mencederakan penjaga gol pasukan hoki Perak, Mohamed Jaafar Mohamed Vello. Kisah lanjut dan terperinci boleh dibaca dalam buku ini. Kisah bagaimana Tengku Mahmud Iskandar Shah terpaksa melepaskan jawatan Tengku Mahkota pada 1972 tetapi kemudian berjaya mendapatkan tandatangan ayahnya, Sultan Ismail, serta menjadi “sultan yang tidak ditabalkan” sangat mengujakan; bagaikan membaca kisah dalam hikayat dan epik klasik. Dalam isu berhubung kekebalan Raja-raja Melayu, Mahathir membuat keputusan membentangkan usul di Parlimen pada 18-19 Januari 1993. Suasana pada waktu itu amat genting. [caption id="attachment_2695" align="alignleft" width="300"]Buku ini wajib dibaca bagi memahami isu sebenar seputar Raja-raja Melayu. Buku ini wajib dibaca bagi memahami isu sebenar seputar Raja-raja Melayu.[/caption] Pindaan yang dicadangkan Mahathir melibatkan Perkara 181 (2) dan akan membuatkan raja/sultan kehilangan banyak kuasa. Soalan yang timbul adalah mengapa Umno yang diasaskan demi mempertahankan kedudukan dan kuasa Raja-raja Melayu kini menjadi punca raja/sultan kehilangan imuniti? Beberapa pemimpin Umno dan pengarang beberapa akhbar yang bekerjasama dengan mereka mengemukakan hujah bahawa Raja-raja Melayu sudah tidak terlalu penting kerana Umno lebih mampu mempertahankan ketuanan dan hak istimewa orang Melayu,” Syed Husin menghuraikan. Bab empat buku ini meneliti beberapa perkembangan terkini yang melibatkan Raja-raja Melayu, Umno-BN, serta konflik di Perlis, Terengganu, Perak dan Selangor. Dalam bab kelima, kes-kes di England, Perancis, Jepun, Indonesia, India dan Iran dikemukakan bagi membantu pembaca lebih memahami – serta membuat perbandingan – peristiwa perebutan kuasa melibatkan golongan raja/sultan dan kerajaan/rakyat. Buku ini amat sesuai dibaca oleh sesiapa sahaja yang berminat memahami realiti dan masa depan Raja-raja Melayu. Sekurang-kurangnya kita akan tahu siapa sebenanya yang sedang cuba menghapuskan (membunuh?) institusi diraja. Malah, kita akan tahu siapa sebenarnya yang “mempertahankan” kekebalan Raja-raja Melayu pada 1993 dan mengapa mereka berbuat demikian.

]]>