Projek Dialog

Gabungan NGO-NGO Malaysia ke proses UPR (COMANGO)

GABUNGAN NGO-NGO MALAYSIA KE PROSES UPR (COMANGO)

Kenyataan Media, 9 Januari 2014

Gabungan NGO-NGO Malaysia ke Proses UPR (COMANGO) amat terkejut dan terganggu atas dakwaan yang dibuat Ketua Setiausaha (KS) Kementerian Dalam Negeri menerusi kenyataan media di mana COMANGO dilabel sebagai sebuah “Pertubuhan Haram”. Di bawah S5, Akta pertubuhan 1966, hanya Menteri Dalam Negeri sahaja yang boleh membuat pengisytiharan bahawa sesebuah pertubuhan itu tidak sah sekiranya pertubuhan tersebut bertujuan untuk menjejaskan atau menentang kepentingan keselamatan Malaysia, ketenteraman awam atau prinsip moral. Antara sebab COMANGO dilabel haram oleh KS adalah andaian bahawa kami memperjuangkan hak-hak yang bercanggah dengan ajaran Islam. Ini adalah tidak benar. Antara sebab-sebab KS menyatakan bahawa pengisytiharan COMANGO tidak sah adalah: banyak pertubuhan yang mengesahkan laporan COMANGO untuk Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodic Review, UPR) Malaysia oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB (United Nations, UN) bukan organisasi berasaskan Islam, tidak berdaftar dan malah COMANGO sendiri juga tidak berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan (RoS). Sebab-sebab yang dikemukakan ini adalah tidak berpandukan S5, Akta Pertubuhan 1966. COMANGO juga berasa hairan dengan kesanggupan Kerajaan menggunakan Islam sebagai alat politik hanya untuk mendiamkan kritikan terhadap pencabulan hak asasi manusia sambil memburuk-burukkan pejuang hak asasi manusia. Kerajaan  seolah-olah menggunakan taktik mengancam sambil bersekongkol menggalakkan penyebaran sentimen melampau dan memecah belah. Proses UPR oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB ini melibatkan penyertaan 193 negara ahli PBB, termasuk negara bermajoriti Muslim. Banyak negara bermajoriti Muslim telah menerima perjanjian Hak Asasi Manusia yang didakwa oleh kumpulan-kumpulan pelampau anti-Comango sebagai tidak selari dengan nilai-nilai Islam. Kami risau bukan sahaja kerana Kerajaan sedang berpendirian sama seperti kumpulan-kumpulan pelampau ini, tetapi juga kerana ia turut menggalakkan sentimen hasutan dengan mendanai kumpulan-kumpulan seperti PERKASA. Kenyataan media oleh Kementerian Dalam Negeri, mengesahkan pandangan kami bahawa kerajaan seolah-oleh terikat oleh agenda kumpulan-kumpulan pelampau ini. Senarai yang dilampirkan bersama kenyataan media tersebut tidak tepat dan mengelirukan. Pertubuhan-pertubuhan di dalam COMANGO termasuk pertubuhan yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966, Akta Syarikat 1965, persatuan-persatuan yang tidak diperbadankan serta gabungan masyarakat sivil. COMANGO menyangkal kenyataan KS yang mendakwa hanya organisasi yang berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan sahaja menjalankan aktiviti secara sah. Kami menegaskan bahawa tindakan COMANGO tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, prinsip-prinsip Hak Asasi Manusia atau komitmen Hak Asasi Manusia Malaysia sendiri sebagai Negara ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Penyertaan masyarakat sivil termasuk penyerahan laporan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB, badan-badan perjanjian, dan prosedur-prosedur khusus diiktiraf dan merupakan sumbangan penting kepada proses UPR. Proses UPR memerlukan kerajaan untuk berkerjasama dengan semua pihak yang ingin memperbaiki keadaan Hak Asasi Manusia dalam sesebuah Negara. Tindakan COMANGO adalah bertepatan dengan proses yang dimandatkan dalam resolusi yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung dan Majlis Hak Asasi Manusia, PBB. Malah, Kerajaan Malaysia telah banyak kali berurusan dengan COMANGO sejak kami menyerahkan laporan pertama kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada 2008. COMANGO telah bertemu dengan ahli perwakilan Kerajaan Malaysia semasa proses penilaian terhadap Malaysia di Geneva pada Oktober 2013, juga sebelum penilaian dibuat pada bulan September. COMANGO juga telah menerima jemputan dalam berberapa sesi rundingan yang lain. Malaysia kini sedang aktif untuk menjadi sebahagian daripada Majlis Keselamatan PBB. Atas sebab itu, Kerajaan tidak boleh hanya menyertai beberapa proses PBB, tetapi pada masa yang sama mengasingkan dirinya daripada proses-proses yang lain, terutamanya kerana Majlis Hak Asasi Manusia merupakan komponen penting dalam rangkuman sistem hak asasi manusia PBB yang lebih luas. Proses UPR ini dirangka untuk menyegerakan, menyokong, dan mengembangkan promosi dan perlindungan Hak Asasi Manusia supaya ia dapat dinikmati bersama oleh semua manusia, melalui matlamat meningkatkan tahap Hak Asasi Manusia di semua Negara. Tindakan kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri bertentangan dengan matlamat ini dan merupakan suatu pencabulan terhadap hak kebebasan kami untuk bersuara dan berpersatuan. Mengisytiharkan COMANGO sebagai tidak sah hanyalah satu taktik politik untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu perpaduan Negara, rasuah yang berleluasa, agihan kekayaan Negara yang tidak sama rata, serta lain-lain keputusan kerajaan yang tidak  diterima oleh rakyat seperti pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), peningkatan kos sara hidup termasuk minyak, tol dan tenaga elektrik. COMANGO akan mengarahkan peguamcara bagi memfailkan semakan undang-undang di mahkamah tinggi untuk membatalkan pengisytiharan yang dibuat oleh KS. Honey Tan Lay Ean                                                                       Yap Swee Seng Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor                             Suara Rakyat Malaysia (EMPOWER)                                                                                   (SUARAM)   Untuk dan bagi pihak Gabungan NGO-NGO Malaysia ke Proses UPR (COMANGO)   Email: empower05@gmail.com, detention@suaram.net Tel: 03–7784 4977 (EMPOWER) and 03-7784 3525 (SUARAM) ]]>

Beragama tanpa makna

“Bismillahirrahmanirrahim..” Dengan nama Allah, yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.. Lazimnya, lafaz ini merupakan pembuka buat setiap tindakan dengan kesedaran ia akan berarah kepada kebaikan buat beroleh rahmat Allah, Tuhan sekalian alam. Zalimnya, suatu tindakan yang didasarkan kepada nama Tuhan, tetapi hanya berasas pada dogma. Hanya dengan kata, namun tanpa makna. Muslim Melayu di persimpangan Jelasnya perihal ini yang berlaku sebagai pembuka tahun baru 2014, cerminan cabaran kedudukan agama yang kian hilang makna. Tahun baru dibuka dengan isu ‘Nama Allah’, namun bukan sebagai rahmat, tetapi masalah antara agama yang jelas ditimbulkan. Tentu sekali bukan suatu kejutan, bila melihat bagaimana berakhirnya tahun 2013, agama sekadar dijadikan bahan konfrontasi. Lazimnya lafaz “Allahu A’lam” diucap dalam penutupan sesuatu pernyataan sebagai tanda rendah diri sebagai manusia yang serba terbatas tahap pengetahuannya, kerana hanya Tuhan Maha Tahu akan kebenaran yang sebenarnya. Zalimnya bila mana penutupan tahun 2013 yang baru berlalu melihatkan hilang rasa rendah diri segelintir agamawan yang sewenangnya menghukum haram sambutan hari Krismas dan Tahun Baru kerana dianggap salah dan menyesatkan. Lebih menyedihkan, kenyataan agamawan yang menghukum halal, darah mereka yang memperjuangkan suara golongan yang berdepan kesempitan hidup, hanya dengan alasan menganggap tunjuk perasaan sebagai tindakan pemberontakan. Mengapa, di saat masyarakat Negara ini semakin parah, namun agama hanya dijadikan penambah bakar masalah? Islam, yang suatu masa dahulu merupakan ‘khabar gembira’ yang membawa rahmat buat sekalian alam, yang mampu menghasilkan harapan buat golongan tertindas walau dalam perit menentang kezaliman, namun kini hanya terperangkap disebalik kata-kata dan perhiasan. Agama ini seakan-akan hampir tiba saat kematian, roh terbang keawangan meninggalkan penganutnya kehilangan tanpa makna.  Yang ditinggalkan cuma amalan yang diambil secara dogma, berdasarkan senarai doktrin yang kaku, terasing daripada intipati asal yang membawa pesanan murni buat manusia. Akibatnya agama yang sepatutnya punya dinamika dengan peranan penting dalam perkembangan ketamadunan manusia kian tersisih. Islam dalam era kegelapan?  Fenomena ini dijelaskan sejarawan agama, Karen Armstrong di dalam karya beliau A History of God, dalam bab penutup, Does God have a Future?, di mana beliau melihat Islam masa ini berada dalam era ‘kegelapan’seperti mana agama-agama lain sebelumnya,. Cuma bagi Islam, keadaan ini disebabkan kekecewaan yang lama di zaman penjajahan, mengakibatkan pendokongnya lebih gemar mengimbau nostalgia zaman kegemilangan silam sebagai asas integriti pada agama. Kesannya, kemajuan agama yang mahu dicapai ditumpukan kepada sejarah lampau. Pendekatan ini membawa kepada kegagalan untuk mencari makna baru yang lebih bersesuaian dengan realiti moden serta menghadapi cabaran semasa. Sememangnya bukan agama yang berhak dipersalahkan, tetapi secara fitrahnya manusia diberi kebebasan memilih sendiri pendekatan bagaimana cara agama dilaksanakan. “The Koran made the creation of a compassionate and just society the essence of the reformed religion of al-Lah. Compassion is a particularly difficult virtue. It demands that we go beyond the limitations of our egotism, insecurity and inherited prejudice.” Ternyata segelintir agamawan memilih pendekatan yang bermasalah dalam menghadapi peristiwa semasa, termasuklah isu perayaan Krismas dihukum sesat dan mengancam kesucian Islam kerana dilihat merayakan upacara agama lain. Mungkin segelintir agamawan ini tidak peka, larangan mereka ini juga sama seperti sesetengah kumpulan Puritan Kristian yang menentang sambutan Krismas di kemuncak zaman reformation. Sedangkan telah menjadi pemahaman umum sambutan Krismas bersempena kelahiran Jesus, atau turut masyhur sebagai nabi yang mulia, Isa A.S. Pendekatan yang lebih positif sepatutnya digalakkan dengan menghayati kehidupan nabi Allah ini, dan menghargai perjuangan yang dilaksanakan beliau. Ahli Teologi, Reza Aslan dalam karya beliau Zealot, menggunakan metodologi sejarah dalam memahami kehidupan Jesus di Palestin sekitar 2000 tahun yang lalu. Keadaan masyarakat yang hidup di bawah penindasan pemerintah Rom, yang mengenakan cukai tinggi terhadap rakyat. Golongan elit agamawan pula hidup dalam kelas tersendiri hanya berperanan dalam upacara ritual, tanpa mengajar nilai kebaikan dan persaudaraan, seperti yang dikisahkan dalam perumpamaan ‘The Good Samaritan’. Jesus yang memahami permasalahan rakyat, bangkit menjadi inspirasi dan penyelamat dengan membantu penduduk miskin, susah dan dalam kesakitan. Mesej kebaikan dan persaudaraan diajarkan kepada para pengikutnya sehinggakan pihak pemerintah dan elit agamawan berasa terancam. Kesalahan pemerintah dan agamawan waktu itu ditentang, hingga beliau dijatuhkan hukuman. Perjuangan beliau ini amat relevan jika diambil pengajaran buat kita dalam kontekshari ini yang berhadapan kesusahan dek permasalahan tekanan ekonomi, kezaliman penguasa serta institusi keagamaan yang semakin jauh daripada peranan membantu pembinaan masyarakat yang sejahtera. Namun, kelihatan para agamawan lebih cenderung melihat masalah berbanding hikmah. Sebagai penganut Islam di era mencabar ini seharusnya kita berjihad dengan mencari makna baru daripada petunjuk yang diberikan Tuhan supaya agama dapat terus menjadi daya kebaikan yang membawa rahmat buat masyarakat. Memilih ‘jihad’ dengan dengan cara kononnya menjadi pembela agama dalam isu seperti ‘nama Allah’ dan pengharaman Bible seakan hanya mengutamakan perkara kulit, bukan intipati sebenar insan berTuhan. Nilai kasih sayang harus dipupuk Muhammad Asad, tokoh yang berjasa membawa pentafsiran agama yang lebih dengan menekankan keutamaan daya fikir dalam memahami agama, menjelaskan dalam catatan beliau, Islam at the Crossroads, bahawa menjadi manusia sempurna itu sepatutnya menjadi aspirasi utama seorang Islam dan kesempurnaan dalam beragama ini hanya mungkin tercapai dengan kesedaran penuh akan Tuhan dalam setiap tatacara kehidupan. Tentu sekali ini tidak akan tercapai sekiranya hanya keutamaan beragama diletakkan pada perkara luaran sehingga mengundang perbalahan sesama masyarakat, tanpa rasa kasih dan sayang sesama manusia walaupun berbeza agama atau ras keturunan. Akhir kata buat warga seNegara yang masih meletakkan Tuhan sebagai rukun utama kenegaraannya, selayaknya ‘Allah’ menjadi asas kepada kesatuan, perpaduan dan keharmonian bersama. Semoga kita beroleh rahmat dan kasih sayangNya. Namun, buat mereka yang bertegas dengan agenda pembodohan dan permusuhan, sekadar berhujah dengan ancaman kekeliruan umat daripada segala hantu-jembalang musuh-musuh Islam: Aku lebih rela keliru, daripada ditakutkan hantu…         unnamed  

]]>