Projek Dialog

Hari Kekasih: larangan atau keizinan?

“Orang yang berkasih sayang, pasti akan disayangi Tuhan yang maha penyayang. Berkasih sayang kamu di dunia, pasti kamu disayangi makhluk di langit”. (Hadis no : 6494( Konsep sayang mengikut neraca dan sumber Islam, tidak dibataskan pada hari-hari tertentu, tetapi ia disuburkan pada setiap hari dan setiap ketika. Ekoran itu, Islam haramkan kezaliman, haramkan permusuhan,  haramkan penipuan dan semua perkara yang boleh menghakiskan kasih sayang sesama manusia; tidak kira sesama Muslim, ataupun dengan mereka yang tidak beragama Islam. Hari Valentine Namun begitu, apabila tiba 14 Februari pada setiap tahun, timbul perbincangan di kalangan sarjana Muslim tentang sambutan hari kekasih. Apa yang pasti, sambutan hari kekasih ini sudah menjadi suatu yang biasa dalam dunia hari ini. Apabila tiba 14 febuari, pasti kedengaran tentang sambutan hari tersebut. Di pihak Muslim, kedengaran ungkapan kata tentang pengharaman hari ini dengan membawa beberapa perkara-perkara dosa yang pasti dalam Islam, terutama sekali adalah dosa zina, sedangkan zina dan sambutan hari kekasih adalah dua perkara yang berbeda. Dengan maksud, sambutan hari kekasih tidak semestinya berlaku penzinaan, begitujuga zina boleh berlaku tanpa berkait pun dengan hari kekasih. Yang pastinya, sambutan hari kekasih ini adalah perkara yang tiada dalam nas secara sahih dan sareh (jelas dan nyata), sebaliknya pengharaman itu masih lagi dalam kerangka ijtihadi atau sesuatu kajian di kalangan ulama fiqh berdasarkan ilmu dan pengetahuan yang mereka tahu tentang hari tersebut. Apabila kita lihat pada isu hukum sambutan hari kekasih ini, kita akan dapati ada dua kelompok yang menyatakan pandangan tentang hal ini, iaitu pendapat yang mengharamkannya seperti pandangan yang paling popular di dunia Islam termasuk fatwa majlis fatwa kebangsaan Malaysia. Majlis fatwa kebangsaan Malaysia menyatakan;  Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam[1] Tetapi terdapat juga fatwa yang mengharuskannya, iaitu pendapat Majlis Ulama Indonesia (MUI) Yogyakarta. Dalam kenyataan media MUI, dinyatakan; “Majelis Ulama Indonesia (MUI) Daerah Istimewa Yogyakarta mengeluarkan fatwa tak haram bagi umat Muslim merayakan hari kasih sayang alias Valentine. “Label haram akan diberikan jika dalam perayaan Valentine diwarnai dengan maksiat,” kata Sekretaris MUI DIY Ahmad Muhsin Kamaludiningrat, di Yogyakarta Sabtu, 12 Februari 2011[2] Hujah Dari sudut hujah, kita dapati pihak yang mengharuskan itu merujuk kepada rasional berikut:“Asal sesuatu perkara adalah harus, selama tiada nas yang saheh dan sareh (nyata dan terang) menyatakan pengharamannya”. Dengan erti kata yang lain, tiada nas yang sahih dan sareh yang menyatakan pengharaman sambutan hari kekasih,  makanya ia tidak boleh dinyatakan pengharamannya. Pihak yang mengharamkan sambutan hari Valentine berhujah dengan menyatakan bahawa sambutan tersebut berasal dari agama Kristian, makanya ia diharamkan kerana dibawah maksud menyerupai perayaan agama lain. Jawab hujah Dijawab hujah itu dengan menyatakan bahawa sambutan hari kekasih bukan sambutan ritual atau keagamaan dalam agama kristian,  ia sekadar sambutan yang melibatkan individu agamawan yang beragama Kristian. Sambutan melibatkan individu agamawan kristian tidak mewakili ritual agama, ekoran itu ia tidak seperti sambutan hari natal dan sebagainya. Apabila didapati ia bukan perayaan keagamaan, maka sudah pasti ia tidak boleh diharamkan, kerana sekadar perayaan kebiasaan atau beradat tidak boleh diharamkan dengan merujuk kepada larangan menyerupai keagamaan. Jika diharamkan juga, sudah pasti perlu diharamkan juga sambutan tahun baru, sambutan hari pahlawan, sambutan kemerdekaan dan sebagainya, sedangkan perkara itu telah diterima ramai sebagai harus. Dan lagi, sebarang kebaikan yang bersifat sejagat seperti konsep kasih sayang, ia tidak boleh diharamkan walaupun ia datang dari kalangan orang bukan Islam, lebih-lebih lagi kebaikan itu tiada kaitan pun dengan ritual keagamaan tertentu. Ini dirujuk kepada kisah Nabi Muhammad SAW pernah memuji konsep pakatan keamanan yang berlaku di rumah Abdullah bin Jad’an pada era sebelum baginda dilantik menjadi Nabi lagi, malahan dinyatakan oleh Nabi bahawa jika diajak sekali lagi di era Islam, sudah pasti Nabi akan mendatanginya. Al-Imam al-Baihaqi ada mendatangkan satu hadis, daripada Talhah bin Abd Allah bin Auf, sesungguhnya Rasulullah saw ada bersabda, “Aku telah saksikan di rumah Abd Allah bin Jad’an satu pakatan yang aku sukainya lebih kepada unta merah. Jika aku diseru kepada perkara yang sama di zaman Islam, sudah pasti aku akan sahutinya” (al-Sunan al-Kubra, hadis no : 13080) Di pihak yang mengharamkan juga menyatakan bahawa perayaan ini boleh membawa kepada zina. Dijawab bahawa sambutan perayaan ini tidak semestinya membawa kepada zina. Malahan, unsur zina itu boleh dibuang dari sambutan perayaan tersebut. Ini dimisalkan seperti pengamalan bank yang popularnya melibatkan riba. Namun, apabila unsur riba itu sudah dibuang, makanya pengamalan bank tidak boleh diharamkan lagi. Begitujugalah dengan perayaan hari kekasih yang boleh dibuang unsur zina. Lebih-lebih lagi, sambutan itu kadangkala boleh menyuburkan kasih sayang antara suami dan isteri yang sudah pasti amat jauh dari zina. Namun begitu, kebimbangan zina berlaku yang melibatkan anak-anak muda boleh di atasi dengan penganjuran sambutan itu dalam kerangka yang dibenarkan oleh syariah, seperti mengadakan majlis pernikahan anjuran kerajaan secara beramai-ramai, menganjurkan kempen murahkan mas kahwin pada hari tersebut dan berbagai-bagai lagi. Jika sambutan ini boleh diwarnai perkara – perkara yang melibatkan syariah, sudah pasti masalah zina yang menjadi kebimbangan pada hari kekasih boleh diatasi. Dinyatakan haram juga dengan alasan bahawa sambutan itu punyai nama perayaan yang menggunakan nama seorang agamawan kristian. Dijawab bahawa hukum itu tidak berlegar pada nama, tetapi berlegar pada kandungannya. Di zaman Umar, Yahudi Bani Tughlub membayar jizyah tetapi menggunakan nama zakat. Dengan maksud, kandungannya adalah jizyah, tetapi nama bayaran itu zakat, walhal dalam fiqh Islam, orang bukan Islam tidak dibebankan dengan zakat. Dari riwayat umar ini, menandakan bahawa hukum itu berlegar pada kandungan yang diberi nama, bukan pada namanya. (al-Qaradawi, al-Siyasah al-Syariyyah, hlmn 147) Dengan itu, sekadar nama perayaan itu bernamakan seseorang lelaki yang tidak beragama Islam, tidak boleh dinyatakan bahawa kandungan perayaan itu haram. Ada pula pihak menyatakan bahawa pendapat Majlis Ulama Indonesia Yogayakarta ini adalah pendapat yang menyalahi pendapat popular, makanya ia tidak wajar dijadikan panduan. Dijawab bahawa pendapat popular tidak bermaksud pendapat itu tidak boleh dikhilafi langsung. Ini kerana, jika dibaca dalam banyak fatwa-fatwa ulama muktabar kontemporari,  seperti Imam Abu Zuhrah, beliau pernah menyalahi pendapat popular dengan beliau menyatakan bahawa tiada hukum rejam dalam Islam, sedangkan hukuman rejam bagi penzina yang telah bernikah adalah pendapat yang cukup popular. Pendapat beliau itu pula dipuji oleh ramai ulama kontemporari, antaranya Dr Yusuf al-Qaradawi. Kesimpulan Perbahasan ini bukan untuk berpihak kepada pendapat tertentu, tetapi lebih kepada membuka kepada masyarakat tentang pendapat yang berbeda dari kebiasaan. Penulis beranggapan bahawa ia amat tidak sesuai untuk umat Muslim memusuhi sambutan hari kekasih atas nama boikot dan sebagainya, kerana hakikatnya zina tidak akan dapat diatasi melalui cara-cara sebegitu pun. Pada penulis, dalam isu yang melibatkan hari kekasih, adalah lebih baik di pihak Muslim mengambil sikap pro-aktif, iaitu menjadikannya sebagai peluang untuk elakkan gejala zina berlaku dengan mengadakan kempen kasih sayang berasaskan syariah, seperti kempen memurahkan mas kahwin, kempen kemesraan antara suami dan isteri dan sebagainya. Lebih-lebih lagi apabila ada pendapat yang menyatakan keharusannya, seperti berdasarkan fatwa dari Majlis Ulama Indonesia Yogyakarta. Moga-moga dengan berfikir secara pro-aktif dalam isu ini, penzinaan berjaya dielak; perkahwinan di kalangan anak muda akan subur dan berlaku. Dengannya,  terbinanya masyarakat yang hebat dari sudut pengamalan agamanya – Insya Allah.    

RUJUKAN:
[1]http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-orang-Islam-menyambut-perayaan-valentines-day
[2] http://us.nasional.news.viva.co.id/news/read/204396-mui-yogya–valentine-tak-haram         unnamed
]]>