Projek Dialog

Salah faham terhadap kesetaraan gender

Mengapa gerakan gender? Jika dahulu saya merupakan seorang lelaki yang sangat konservatif dan skeptikal terhadap gerakan yang saya fahami sebagai “feminism” ini, sesi dialog yang berterusan dan perasaan ingin tahu yang membuak-buak membolehkan saya meneroka dengan lebih jauh. Akhirnya saya jatuh cinta dengan sikap dan apa yang diperjuangkan oleh mereka. Pastinya gerakan kesetaraan gender ini tidak akan muncul suka-suka dan sengaja ingin mencetuskan huru-hara dalam pandangan umat Islam melainkan terdapat krisis ketidakadilan dan penindasan yang begitu sistemik di dalam konteks kita hari ini. Antara masalah-masalah yang disuarakan termasuklah poligami, perkahwinan bawah umur, perkahwinan paksa, masalah ketidakadilan pewarisan harta, keganasan rumah tangga, diskriminasi terhadap wanita berhijab/tidak berhijab dan sebagainya. Para pembentang dan peserta membahas isu-isu tersebut dalam perbincangan-perbincangan yang sangat penting dengan penghujahan ilmiah dan penafsiran semula terhadap teks Al-Quran dan Sunnah bagi mengangkat semula semangat keadilan yang dianjurkan dalam Islam dan mengembalikannya ke tempat yang sepatutnya. Feminisme nusantara Adalah sesuatu yang bersalahan jika kita memukul rata semua gerakan feminisme yang melanda nusantara dengan anggapan bahawa mereka hanya semata-mata bertitik tolak dari pengalaman Barat, khususnya yang memuncak pada abad ke 17 di bawah pengaruh gereja dan juga diskriminasi berterusan yang meminggirkan wanita selepas Revolusi Perancis 1789. Revolusi tersebut kemudiannya mengisytiharkan “Declaration of the Right of Man and the Citizen” di mana  wanita turut diiktiraf dengan satu lagi pengisytiharan “Declaration of the Right of Women and the (female) Citizen”. Terdapat perbezaan yang ketara antara feminism bawaan Barat (yang juga punya banyak kepelbagaian) dengan konteks feminism bawaan kebudayaan nusantara yang kuat dengan tradisi agama. Sebagai contoh, disebut dalam kajian Clare Chambers berjudul “Feminism, Liberalism and Marriage” yang menyatakan bagaimana gerakan feminism di Barat itu begitu kental dan tegar menyerang institusi keluarga. Bagi mereka, wanita itu secara langsung akan tertindas apabila “menyertai” perkahwinan. Wacana sebegini bukanlah apa yang dibawa oleh gerakan gender di Malaysia , Indonesia dan Singapura misalnya, yang harus kita fahami lahir dalam konteks masyarakat beragama Islam khususnya dan juga mencakupi masyarakat majmuk melibatkan orang bukan Islam. Justeru, wacana kesetaraan gender di nusantara bukanlah mencabar institusi perkahwinan dan keluarga akan tetapi memperkukuhkannya dengan semangat keadilan agama (dalam konteks artikel ini, Islam) Antara perjuangan gerakan gender di Malaysia adalah seperti Sisters In Islam (SIS) misalnya, yang antara lain telah menuntut diperkenalkan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Ini merupakan suatu pencapaian yang wajar diberi pujian. Ini kerana, sebelum akta itu diperkenalkan, tiada peruntukan undang-undang keganasan rumah tangga di mana suami yang sewenangnya memukul isteri sehingga menyebabkan kecederaan fizikal boleh didakwa di mahkamah. Ia dianggap “hal rumah tangga yang tidak boleh diganggu” sebelum ia menjadi kes polis seperti hari ini. Di Singapura pula, wujudnya sistem pewarisan harta di bawah dua sistem undang-undang (antara sivil dan AMLA atau Administration of Muslim Law Act) menjadi masalah yang sentiasa menindas wanita. Sebagai contoh, seorang warga wanita kematian suaminya, dan mempunyai dua orang anak perempuan. Di bawah undang-undang sivil Singapura, jika suaminya tidak mewasiatkan apa-apa untuk isteri dan anak-anaknya, si isteri boleh menuntut hak keatas “maintenance” beliau dan anak-anak atas perintah  mahkamah (jumlah ditentukan oleh mahkamah) di bawah Inheritance Family Provision Act. Ini berbeza dengan seorang wanita Islam. Dalam kes yang sama, di bawah AMLA 1966, beliau tidak dibenarkan memilih diadili di bawah mahkamah sivil (hanya boleh berbuat demikian jika menisytiharkan dirinya murtad)  di mana hanya 1/3 harta yang boleh diwasiatkan oleh suaminya kepadanya dan selebihnya dibahagikan mengikut faraid yang mana memberi bahagian yang besar kepada ayah suami dan adik beradik lelakinya. Penindasan berlaku apabila tiadanya peruntukan undang-undang sekiranya keluarga belah suami tidak bertanggungjawab dan tiadanya peruntukan “maintenance” yang boleh dituntut oleh si isteri seperti yang dijamin di bawah undang-undang sivil. Ini menyebabkan si isteri dan anak-anak terbiar tanpa diberikan hak mereka. Di Indonesia pula, tidak kurang hebatnya apabila Kongres Perempuan Indonesia julung kali di buat pada tahun 1928.Gerakan- gerakan gender seperti Gerakan Isteri Sedar dan AMAN (Asian Muslim Action Network) Indonesia, membuahkan beberapa hasil yang progresif seperti yang disebut Siti Mukarramah dalam tesisnya “Pengaruh Feminisme Barat Terhadap Gerakan Feminism di Indonesia” “Perjuangan perempuan di Indonesia sendiri telah banyak menghasilkan perundang-undangan yang melindungi mereka, diantaranya,UU No. 1 Tahun 1997 tentang perkawinan, UU No. 23 Tahun 2004 tentang penghapusan kekerasan dalam rumah tangga, UU No. 10 Tahun 2008 tentang pemilu yang mensyaratkan partai memenuhi 20% caleg dari perempuan, dan lain-lain. Indonesia sendiri pernah dipimpin oleh seorang presiden wanita yaitu Megawati Soekarno Poetri. Gerakan gender (keseteraan gender yang memberdayakan wanita dan penglibatan lelaki) di Indonesia juga mendapat saingan hebat apabila wujudnya variasi gerakan gender yang berideologi feminist Barat, Keluarga Sakinah (gerakan gender Islamik) dan juga gerakan ibuism dan “”houswefization”yang dikatakan bertunjang atas dasar “gender harmony”. Saya hanya sempat menyatakan sedikit sahaja dari ribuan contoh dan kes-kes yang signifikan yang menjadi asas perjuangan gerakan keseteraan gender ini. Tujuannya hanya untuk menaikkan martabat wanita supaya mereka bukanlah dianggap sebagai “second-class citizen”, akan tetapi mempunyai hak-hak asasi manusia. Namun begitu, ini tidak bermaksud lelaki itu harus dicabar dan tidak wajar dihormati. Ia cumalah mengangkat wacana ini bagi memberikan keadilan kepada lelaki dan wanita mengikut konteks yang sebetulnya. Membersihkan pengaruh patriarkal Arab dari semangat keadilan Islam Sesungguhnya, begitu banyak isi-isi penting yang perlu kita rungkai dalam penafsiran semula teks(Quran dan sunnah). Masyarakat Arab di zaman nabi memandang wanita dari sudut status, nilai, dan peranan sebagai inferior kepada lelaki. Nisbah satu lelaki bersamaan perempuan sebanyaknya tetapi lelaki aktif manakala perempuan pasif. Akan tetapi kedatangan Islam menukar semua ini dengan menjadikan status lelaki dan perempuan sama darjatnya di sisi Tuhan sebagai hamba dan khalifah dan memegang peranan melindungi satu sama lain. Sebagai contoh, Islam diturunkan dalam konteks masyarakat Arab yang mengamalkan poligami tanpa batasan. Al-Quran yang diturunkan memberi tamparan hebat kepada struktur masyarakat Arab ketika itu yang begitu partriaki dimana sumber ekonomi kebanyakannya terletak di tangan lelaki dan perempuan sebagai warga kelas kedua yang perlu “dilindungi”. Poligami misalnya, sering di salah erti sebagai galakan kepada suami untuk berkahwin lebih dari seorang. Sedangkan, di dalam Surah An-An-Nisa (4) : 3 yang menyatakan : “Jika kamu takut tidak dapat berlaku adil pada para isteri, maka nikahilah satu orang perempuan saja atau hamba sahaya yang kamu miliki ” Dan juga surah yang sama ayat- 129 yang menyatakan: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya) oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau-lampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awang) dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” Ini bukan suatu galakan poligami bahkan suatu galakan monogami! Bahkan di dalam hadith riwayat Bukhari dan Muslim mencatatkan bahawa, “Sesungguhnya Bani Hisyam bin Al-Mughirah meminta izin mengahwinkan puteri mereka dengan Ali bin Abi Thalib, aku pun tidak mengizinkan sekali lagi, sungguh tidak aku mengizinkan kecuali aku ceraikan puteriku lalu menikai puteri mereka. Sesungguhnya ia (puteriku) adalah bahagian dariku; menyinggungku apa pun yang menyinggungnya dan menyakitiku apa pun yang menyakitinya” Begitu jelas bahawa Nabi juga merasakan kesakitan jika puterinya dipoligami itu menambah lagi hujah betapa kerasnya kritikan keatas poligami. Ini juga hanyalah satu contoh dari banyak contoh-contoh pengaruh praktik Arab kurun ke-7 yang mempengaruhi wacana Islam dalam prinsip umum yang universal berteraskan keadilan yang sesuai mengikut konteks zaman. Gerakan gender merupakan affirmative action Banyak persoalan-persoalan yang melepak di fikiran saya tatlkala meneroka objektif perjuangan gerakan kesetaraan gender ini. Antaranya; 1) bagaimana gerakan gender ini memperkuatkan institusi keluarga? 2) Jika wanita ingin diiktiraf martabat dan kekuatan, mengapa mereka minta dilindungi dan diberi hak yang sama rata? Mengapa tidak bersaing sama dengan lelaki? Antara jawapan yang sama terima di dalam program tersebut bagi jawapan untuk soalan pertama ialah, melawan kezaliman dan penindasan di dalam keluarga itulah yang akan memperkuatkan institusi tersebut. Kestabilan dalam rumah tangga akan lebih terjamin dan harmoni akan wujud. Malah, dalam konteks zaman moden, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, wanita yang terdidik dapat membantu meringankan beban suami dengan sama-sama berkerja dan berkongsi peranan mendidik anak-anak. Bahkan, jika si suami ditimpa kemalangan, cacat , sakit dan sebagainya, wanita lantas boleh mengetuai keluarga dan menyara isi rumah. Bukankah itu memperkasa insitusi keluarga? Jawapan bagi soalan yang kedua pula ialah, tindakan menuntut wanita diberi hak dan perlindungan ini adalah affirmative action, yakni tuntutan yang tidak tetap dan akan lenyap apabila padang sama rata. Jika sejak dari kecil, lelaki dan perempuan tidak diberi akses pendidikan yang sama rata, bagaimana ingin bersaing secara adil? Begitu juga dengan pemberian hak yang lain sebagai tindakan menyaratakan kedudukan lelaki dan perempuan dalam masa yang sama mengiktiraf peranan masing-masing yang boleh berubah mengikut konteks. Kesimpulan Saya amatlah berharap jika artikel yang ringkas ini dapat memberi kesedaran seboleh mungkin kepada pembaca agar persepsi buruk terhadap gerakan gender dapat dikurangkan malah dilenyapkan bagi sama-sama menjunjung prinsip keadilan yang diterapkan atas nama hak asasi manusia mahupun Islam. Sesungguhnya,saya percaya, jika gerakan-gerakan Islam berminat dengan bersungguh-sungguh untuk menaikkan wacana kesamarataan gender ini sebagai keadilan yang ditegakkan di dalam Islam, .nescaya NGO feminism seperti AWARE & NJI (Singapura), SIS (Malaysia), Solidaritas Perempuan (Indonesia) dan sebagainya tidak perlu wujud untuk bangkit dan memperjuangkan nasib wanita-wanita yang tertindas dan dizalimi.         unnamed  

]]>