Cinta yang satu Menurut tokoh falsafah Jerman, Freidrich Hegel (1770 – 1831) boleh malah perlu dalam soal kenegaraan. Bukan sekadar cinta dan kebebasan, tapi juga melibatkan individu, masyarakat, perundangan, sejarah, malah dengan monarki. Bahkan dengan Tuhan. Kesemuanya harus keseluruhan, jadi Satu. “Jerman bukan lagi sebuah Negara”. Ujar Hegel dalam esei ‘The German Constitution’, bagi menimbulkan dilema perundangan pada waktu Jerman menuju kemodenan di awal kurun ke-19, tapi masih dalam perpecahan wilayah, pada masa yang sama menghadapi ancaman siri peperangan di Eropah. Perundangan dalam sesebuah negara itu tidak sepatutnya hanya berteraskan institusi kuasa serta proses, lebih penting untuk melihat ruang yang lebih luas meliputi kehendak warganya, corak hubungan sosial serta kesedaran budaya masyarakat semasa. Kritikan ini ditujukan terhadap penguasa khususnya pengamal perundangan yang menjadikan undang-undang hanya untuk mengekalkan norma cara hidup kebiasaan dan sekadar senarai peraturan untuk mengawal perilaku rakyatnya tanpa peduli sama ada undang-undang itu masuk akal, rasional atau masih relevan dengan kesedaran masyarakat semasa. Peranan sistem perundangan Keperluan perundangan itu hadir dengan pilihan dan persetujuan para warganya. Bukan berdasarkan kehendak penguasa yang merasakan sepatutnya ada untuk mengawal dan menuntut kepatuhan warganya. Negara bukan hanya tentang institusi dan sistem, tapi lebih utama kesedaran, kemahuan serta semangat rakyat yang secara bebasnya menumpahkan taat setia. Institusi, sama ada perundangan ataupun politik sewajarnya mengikut semangat zaman warganya, bukan sebaliknya. Wujud atau tidak Negara itu akan teruji dalam situasi menghadapi cabaran, khususnya ancaman musuh. Jerman, yang pada waktu itu sedang menghadapi serangan ketenteraan Perancis pimpinan Napoleon Bonaparte, kemudiaannya tewas dalam ‘Pertempuran Jena’ pada 1806. Kekalahan Jerman ini bukan sangat tentang peperangan, tetapi kerana gagalnya menghasilkan warga yang berkesedaran dan taat setia untuk mempertahankan tanah air dan persaudaraan se-Negara. Hegel, seorang Jerman. Namun, dalam peperangan tersebut merasakan selayaknya kemenangan berpihak Perancis dan Napoleon kerana Negara itu sebenarnya bukan pada nama. Makna negara Nama Negara itu tidak penting, begitu juga siapa pemimpinnya. Sistem kenegaraan,cara lantikan pemerintahan, corak pentadbiran, percukaian, malah penentuan nilai, pendidikan, bahasa mahupun identiti beragama, itu semua bukan keutamaan dalam satu negara di era moden, melainkan kesetiaan, semangat dan cinta warganya kepada Negara. Tapi purlu untuk dipersoalkan: apa yang penting sangat sampai perlu ada cinta pada Negara? Dan pastinya cinta itu bukan paksaan. Jadi apa yang membuatkan Negara itu terlalu istimewa sampai menjadi kewajipan untuk berikrar janji taat-setia? Kenapa perlu Patriotisme? “What is rational is real, and what is real is rational.” Petikan terkemuka Hegel ini dari karya Philosophy of Right menjelaskan tentang apa yang rasional itu ada, dan apa yang ada itu mestilah rasional. Konsep realiti ini bukanlah sekadar pengetahuan, tapi mampu untuk dihidupkan, diwujudkan, menghasilkan tindakan. Realiti itu bukan sekadar persoalan makna (essence), tapi juga mampu ada (existence). Rasional itu pula mestilah boleh diterima akal, bukan sekadar ditahap kefahaman, tapi juga penghayatan. Daripada asas ini, Hegel menerangkan perihal pembentukan ideal hubungan sesama manusia dalam masyarakat. Sekiranya cinta yang menjadi asas hubungan sesama manusia itu benar, ia mestilah boleh difahami, dihayati malah membebaskan belenggu yang menimpa manusia. Dinamika keluarga dan masyarakat Perhubungan paling asas sesama manusia melalui institusi kekeluargaan di mana perhubungan sesama pasangan dalam satu perkahwinan berasaskan perasaan dan kasih sayang yang menghasilkan pembebasan jiwa kedua-dua individu dengan matlamat yang sama, mengukuhkan hubungan berkeluarga dengan kelahiran dan pembesaran generasi kemudian. Di tahap masyarakat pula, hubungan sesama ahli berasaskan ‘kontrak’, persetujuan yang saling memenuhi keperluan bersama. Hegel menggunakan terma ‘civil-society’ dalam menjelaskan perhubungan ini yang turut berperanan dalam urusan pasaran, komuniti serta perlindungan. Hubungan bersama ini membawa kepada pembebasan dalam aspek keperluan kehidupan ahli masyarakat yang saling memerlukan satu sama lain. Jadi apa pula yang diperlukan sebagai asas hubungan dalam Negara? Kebersama warga Negara menghasilkan kebersamaan warga yang kemuncaknya terletak pada kesedaran dan nilai-nilai etika yang sama. Kesedaran bersama ini yang akan membentuk persaudaraan dengan jaminan pengekalan kepentingan individu, saling rasa hormat, serta saling memperbaiki antara satu sama lain. Perhubungan ini menjadi asas kepada taat setia, dengan ikrar untuk melindungi kepentingan sesama ahli dengan semangat pemilikan dan tanggungjawab bersama. Hubungan ini hanya akan mampu tercapai dengan rasa cinta antara warga, serta penghargaan akan kebebasan setiap individu untuk mencapai cita-cita. Cinta Negara itu rasional. Cinta Negara itu punya arah dan arahnya ialah kebebasan. Kebebasan, bukan liberalisme Kebebasan itu intipati bagi setiap individu mengembangkan kebolehan diri. Hanya dengan kebebasan, kemuncak kehidupan manusia dapat dicapai. Sama ada dalam bentuk kreativiti seni, imajinasi sains dan falsafah mahu pun pengalaman beragama. Namun kebebasan itu juga perlu rasional. Kebebasan perlu dipastikan faedahnya dinikmati semua. Dalam perhubungan politik, kebebasan itu ada batasan supaya kebebasan individu itu akan meraikan kebebasan individu lain, bukan menyekat, dan tidak terasing. Hegel mengkritik konsep kebebasan liberal yang sering menganggap negara sebagai sekatan kepada kebebasan individu. Kebebasan yang terlalu tertumpu kepada individu ini mengakibatkan berlakunya pengasingan (alienation) antara kehendak individu dengan kepentingan Negara, malah boleh menyebabkan kepentingan individu ataupun sekolompok mengatasi kepentingan umum Negara. Pembebasan itu tak berlaku dalam pengasingan. Bukan sekadar antara individu, malah perbatasan kebebasan juga perlu mengambilkira persoalan sejarah, perundangan dan semestinya Negara. Kerana Negara itu sendiri ialah warganya, maka juga tanggungjawab Negara untuk menjamin pembebasan warga keseluruhannya. Negara itu hanya akan wujud dengan penyatuan kesedaran para warganya, untuk mempertahankan kepentingan dan segala pemilikannya daripada sebarang ancaman, menuju kebebasan dengan dengan semangat cinta dan taat setia. Patriotisme itu hanya boleh berdiri dengan cinta ini, murni, abadi, sejati. Malaysia? Dengan semangat penyatuan keseluruhan ini, sampai Negara itu disifatkan sebagai manifestasi Tuhan di muka bumi. Cukuplah terbang di awangan idealisme Hegel, kembali bertapak di dunia nyata. Cuma persoalannya, Malaysia, sejauhmana kita sudah satu Negara? “Andai Ku terbuang tak diterima, andai Aku disingkirkan. Ke mana harus Ku bawakan cinta ini..? Aku bukanlah seorang perwira, gagah menghunus senjata, namun hati rela berjuang walau dengan cara sendiri demi cinta ini..” Bendera masih gemilang berkibaran, dari dataran sampailah tepian jalan, irama Negaraku pun diberi penghormatan di pawagam. Slogan kenegaraan saling bergantian, yang paling utama, “Syukurlah, Malaysia masih aman”. Jika ini yang jadi kepentingan utama Negara, memadailah, kemerdekaan ini sudah hampir selesai. Kekal dalam keamanan, sembang-sembang perpaduan, sedang segelintir rebut kekayaan. Perjuangan ini sampai bilapun kibar bendera, dendang irama negara. Cukuplah nak digelar pencinta Negara. Pada masa yang sama, para cendekiawan, agamawan serta anak-anak muda yang menyeru pembebasan berhadapan penahanan dan penjara, digelar penghasut-penderhaka. Sering jadi mengelirukan, ketara kesedaran warga sebenarnya masih bertentangan. Tujuan bernegara ini sebenarnya apa, tuntut kesyukuran, atau membebaskan? Siapa sebenarnya pencinta, siapa pula penghasut? Seakan Negara ini masih belum wujud. “Ku ingin kotakan seribu janji, sepanjang kedewasaan ini. Ku ingin sampaikan pesanan, Akulah penyambung warisan” Segalanya satu proses Negara ini masih belum sempurna, masih dalam pembentukan. Terpulanglah kepada para warganya untuk menentukan, kerana di sebalik setiap kata, juga setiap tindakan, kita membuat pilihan. Kita generasi penyambung warisan, cuma yang jadi pilihan warisan siapa yang ingin diperturunkan. Kebebasan itu warisan kemanusiaan, bukan warisan penjajahan. Jadi seharusnya mengikut penghasut zalim gila kuasa, atau pencinta yang mahu merdeka? Namun, kalaulah dianggap Negara idaman itu khayalan sahaja. Cinta dan merdeka itu tak lain mainan kata-kata. Negara itu sekadar hal perundangan dan kuasa. Tapi, sewajarnya masih boleh mengambil pengajaran, buat segalanya yang dimiliki, juga yang memiliki kita. Bukankah bicara Tuhan mengajarkan; “Hak milik siapakah segalanya yang di langit dan yang di bumi? Hak milik Tuhan yang menentukan dengan rahmat dan kasih sayang…” Atau bukan dari Tuhan sebaik pengajaran? Atau bukan Tuhan kemuncak Cinta dan kekuasaan? Atau bicara Tuhan juga satu hasutan? #MansuhAktaHasutan
]]>