Takrifan kebebasan beragama Kita akur akan Perlembagaan Persekutuan Malaysia bahawa Islam merupakan agama rasmi. Manakala dalam Sabah dan Sarawak melalui Perjanjian Malaysia 1963 Perkara 1 diperakukan bahawa tiada agama rasmi. Ketetapan kepada undang-undang ini menjamin kedudukan majoriti pada masa yang sama tidak mengabaikan golongan minoriti dalam mengamalkan mereka. Namun, saya ingin berbeza dengan menyatakan bahawa kebebasan beragama sewajarnya dilandaskan pada martabat peribadi manusia dan bahawa kebebasan itu mesti dipertahankan sebagai sebuah hak sivil dalam tatanan hukum bermasyarakat. Kebebasan beragama ini menuntut hak individu untuk hidup menurut kebenaran imannya sendiri sesuai dengan pilihan dirinya tanpa dipaksa melawan hati nurani mahupun ditindas oleh batas-batas undang-undang serta tekanan individu perseorangan mahupun kelompok secara umum. Kebebasan bersuara dalam beragama di Internet Setiap manusia berhak menyebarkan, mengajar serta mengamalkan ajaran agama mereka masing-masing di Internet. Tiada sekatan serta tekanan wajar diperakukan kepada sesiapa. Kehidupan manusiawi di muka bumi yang mempunyai kepadatan penduduk 7 bilion serta capaian penggunaan Internet yang meliputi hampir separuh penduduknya memungkinkan maklumat serta perkongsian ajaran serta tafsiran semua agama disampaikan serta diperoleh. Penerimaan serta keterbukaan dalam beragama perlu terutama sekali apabila berada di laman sosial. Di samping itu, kebebasan beragama bukanlah sesuatu anutan terhadap kekeliruan tetapi lebih kepada penghormatan serta pemahaman terhadap dinamika agama secara interaktif tanpa meletakkan pemikiran jumud serta penglabelan yang tidak tepat dari sudut kaca kita sendiri. Pemupukan pluralisme yang sihat adalah harus kerana ianya membantu menyerlahkan keterbukaan dalam berdialag bagi menggalakkan keadilan, persaudaraan, perdamaian dan kekuatan peribadi manusia. Sebagai contoh, mengangkat usaha Projek Dialog dalam memupuk pluralrisme beragama adalah perkara yang wajar seperti konvoi rumah ibadat, forum serta kempen-kempen kemanusiaan dalam kalangan massa. Semua ini dicapai dengan pengunaan laman sosial serta blog yang interaktif dan bertanggungjawab. Cabaran kebebasan bersuara dan toleransi agama di Malaysia Malaysia merupakan negara persekutuan yang mempunyai dinamika penduduk yang berbeza kaum, bangsa, agama dan aliran. Jika diteliti memang ianya kelihatan indah, aman dan sentosa. Namun hakikatnya, saya mendapati tahap perkauman kita masih berada pada paras membimbangkan. Saya berpendapat ancaman serta ketakutan merupakan faktor yang mendorong perkauman berlaku. Perlu diingatkan untuk menyuarakan pendapat sama kritikan serta bersikap jujur di laman sosial perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat sekeliling. Jadi ianya bukan sesuatu yang mudah dan harus selektif agar dapat menghindari kekeliruan dan konflik. Dalam konteks Malaysia, adalah lebih baik menggunakan lenggok bahasa yang sopan apabila melontar kritikan. Lebih parah, kelompok majoriti saling menganggap mereka terancam manakala kelompok minoriti sering anggap mereka tertindas. Ini mungkin terjadi kerana campur tangan politik bagi hak majoriti serta provokasi pihak tidak bertanggunjawab dan faktor pencabulan hak terhadap yang minoriti yang sering kali dianggap tidak setara dengan majoriti. Ditambah juga dengan kurangnya pemahaman yang tepat terhadap agama yang lain selain dari agama asalnya sehingga mendatangkan prejudis. Berdasarkan pengamatan serta pengalaman saya, kesedaran bersuara di laman sosial dalam kalangan rakyat Malaysia amat lemah terutama dalam menyampaikan isu-isu yang bersangkut paut dengan agama. Dilema utama yang saya lihat adalah ketidakpedulian terhadap budaya sopan santun apabila melontarkan pendapat serta tidak dapat membezakan antara kritikan dan penghinaan. Oleh itu, seminar serta kesedaran sivik wajar diterapkan bagi mengatasi kudis ini. Begitu juga pendekatan yang wajar diambil apabila merasa tersinggung dengan kritikan serta pendapat yang diterima dalam laman sosial. Daripada menyimbah minyak ke atas api, adalah wajar mengambil pendekatan paradoks dalam menerima pendapat tersebut. Jika ianya tidak benar, pertahankanlah sehingga ianya benar-benar mencapai kata sepakat secara hemah. Jika tidak, abaikan sahaja. Salah satu masalah besar dalam perundangan negara adalah Akta Hasutan 1948. Akta tinggalan British tersebut wajar dimansuhkan dan diganti dengan akta yang benar-benar menjamin kebebasan bersuara. kta tersebut bukan sahaja tidak jelas dari segi perlaksanaannya bahkan menampakan penyalahgunaan oleh kerajaan pemerintah bagi menyekat mana-mana rakyat yang ingin bersuara terutama aktivis. Perkara sama juga boleh dilakukan terhadap Akta Keterangan Seksyen 114a. Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah serta politikus untuk memperjuangkan kewujudan kesejahteraan umum dengan cara menciptakan sebuah persekitaran sosial yang manusiawi, di dalamnya rakyat dijamin menikmati hak-hak asasinya secara sungguh-sungguh serta memenuhi kewajibannya secara penuh dan menyeluruh seturut dengan martabat mereka. Kegagalan berbuat demikian, mengakibatkan kerosakan serta ketidakstabilan negara. Kesimpulan Justeru, setiap manusia adalah dipertanggunjawabkan akan apa amanah yang diberi kepada mereka. Sama ada percaya atau tidak, manusia tidak boleh angkuh dengan apa yang mereka ada. Kepelbagaian dinamika serta perbezaan pendapat bukanlah penghalang untuk hidup rukun dalam bermasyarakat. Sikap agree to disagree wajar diterapkan dalam setiap diri bagi menghindari konflik yang pastinya tidak menguntungkan sesiapa. Dengan menyemai juga kesedaran cause and effect pada setiap amalan, manusia sewajarnya menuju ke arah kebaikan dan bumi ini pasti akan bertahan sebagai tempat yang terbaik untuk generasi akan datang.
]]>