Projek Dialog

Perisytiharan Baru Mardin

Diambil daripada laman ‘Iqra.ca’ (http://iqra.ca/2010/the-new-mardin-declaration/). Diterjemahkan oleh Yana Rizal. Satu inisiatif dari empat tahun lepas yang patut dikenang kerana ia membuktikan kebolehan masyarakat Muslim untuk menjangkaui pemikiran sempit dan kebelakang. – Editor   Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam dan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad, yang dikurniakan sebagai rahmat sekalian alam, keluarga serta sahabat-sahabat baginda. Satu Sidang Kemuncak Kedamaian (Mardin: Kediaman Perdamaian) telah diadakan di kampus Universiti Artuklu, bandar Mardin, Turki pada hari Sabtu dan Ahad (27-28 Mac 2010) di bawah naungan Global Center for Renewal and Guidance (GCRG – berpusat di London) dengan kerjasama Canopus Consulting (berpusat di Bristol) dan ditaja oleh Universiti Artuklu. Persidangan ini dihadiri sarjana-sarjana Islam terkemuka dari seluruh dunia, dengan pelbagai pengkhususan dan kemahiran. Mereka berkumpul untuk mengkaji bersama salah satu dasar (juridikal klasik) terpenting dalam hubungan antara umat Islam dan manusia sejagat, iaitu: klasifikasi (juridikal klasik) ‘kediaman’ (diyar), seperti yang difahami dalam Islam, dan konsep-konsep lain yang berkaitan seperti jihad, kesetiaan dan permusuhan, kewarganegaraan, dan perpindahan (ke wilayah-wilayah bukan Islam). Mereka memilih untuk menghalusi konsep perundangan ini kerana kepentingannya sebagai asas keaman dan keharmonian dalam kehidupan dan kerjasama antara Muslim dan bukan Muslim, demi kebaikan dan keadilan, selagi pemahamannya selaras dengan kitab-kitab dan prinsip normatif agama, dan untuk mencapai matlamat yang lebih tinggi dalam perundangan Islam. Sebagai tema utama kajian persidangan tersebut, pihak penganjur telah memilih fatwa yang diluluskan oleh Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyah tentang klasifikasi kota Mardin semasa hayat beliau. Fatwa tersebut dipilih kerana kepentingannya dari segi intelektual, ketamadunan dan makna simbolik. Secara ringkasnya, Ibnu Taimiyah dalam pengklasifikasian beliau untuk kota Mardin – melalui pemahaman syariah yang mendalam serta kesedaran konteks kehidupan di sana – melangkaui pengklasifikasian biasa di kalangan pakar perundangan Islam terdahulu: iaitu membahagi wilayah kepada Kediaman Islam (di mana keadaan umumnya keamanan), Kediaman Kufr (kafir) (di mana keadaan umumnya peperangan), dan Kediaman ‘Ahd (Perjanjian) (di mana keadaan umumnya perdamaian), di antara pembahagian-pembahagian lain (yang telah ditetapkan). Daripada menggunakan klasifikasi yang biasa pada zaman itu, Ibnu Taimiyah telah menggunakan pengklasifikasian gabungan/komposit, yang berjaya menghindari peperangan saudara di kalangan Muslim, dan kehidupan, harta serta kehormatan mereka terjaga, dan keadilan di antara mereka dan yang lain termaktub. Fatwa beliau adalah suatu yang luar biasa dalam pembentukannya dan juga mendepani konteks yang hampir sama dengan masa kini, suatu keadaan politik dunia yang berbeza dari zaman ahli perundangan terdahulu, yang menjadi asas kepada cara pembahagian wilayah mereka pada waktu itu. Perubahan konteks yang ketara diambil kira oleh Ibnu Taimiyah dalam memberikan fatwa beliau, dan dengan itu menjadikannya penting buat ahli perundangan kini untuk mempertimbangkan semula klasifikasi klasik, kerana keadaan semasa yang berubah: umat Islam kini terikat dengan perjanjian antarabangsa di mana keselamatan dan keamanan dicapai untuk seluruh umat manusia, dan di mana mereka menikmati keselamatan dan perlindungan untuk harta, martabat serta tanah air mereka. Dari itu, umat Islam berinteraksi dengan kaum lain dengan cara yang belum pernah dialami sebelum ini: dari segi politik, sosial dan ekonomi. Ahli perundangan kini juga perlu mempertimbangkan semula klasifikasi klasik ‘kediaman’ kerana perlunya visi perundangan Islam yang wajar tanpa menyanggah kitab agama Islam, selaras dengan matlamat syariah yang lebih tinggi, dan sesuai dengan konteks semasa. Oleh kerana itu, para peserta di persidangan tersebut telah membentangkan dan membincangkan kertas kajian, dan mencapai kesimpulan dan saranan berikut: Kesimpulan

  1. Fatwa Ibnu Taimiyah mengenai Mardin tidak boleh dalam keadaan apa sekalipun digunakan sebagai bukti untuk menjatuhkan tuduhan kufur (kafir) sesama muslim, memberontak terhadap pemerintah, menghalalkan nyawa dan harta mereka, mengganas terhadap mereka yang menikmati keselamatan dan perlindungan, mengkhianati sesiapa yang hidup (harmoni) dengan umat Islam atau sesiapa yang menumpangkan umat Islam (dengan harmoni) melalui ikatan kewarganegaraan dan keamanan. Sebaliknya, fatwa tersebut menganggap semua itu menyalahi undang-undang, meskipun tujuan asalnya ialah untuk mengukuhkan sebuah negara Islam terhadap negara bukan Islam. Ibnu Taimiyah bersetuju dengan semua ini, dan mengikuti teladan sarjana Islam yang sebelumnya dalam hal ini, tanpa menyimpang dari pendirian mereka. Sesiapa yang mencari sokongan dari fatwa ini untuk membunuh umat Islam atau bukan Islam adalah salah penafsirannya dan menyalahgunakan ayat-ayat suci.
  1. Klasifikasi kediaman dalam perundangan Islam adalah berdasarkan ijtihad (proses logik perundangan Islam) yang diperlukan untuk situasi dunia Islam dan keadaan hubungan antarabangsa yang wujud sewaktu itu. Walau bagaimanapun, keadaan telah berubah sekarang: Kewujudan perjanjian antarabangsa yang diiktiraf, yang menganggap sebagai jenayah peperangan yang bukan untuk menentang keganasan atau penjajahan; kemunculan negara sivil yang menjamin, secara keseluruhannya, hak-hak agama, etnik dan nasional, telah mengharuskan pengisytiharan seluruh dunia sebagai kawasan toleransi dan kewujudan damai antara semua agama, kumpulan dan puak dalam konteks mewujudkan kebaikan dan keadilan sesama manusia, dan di mana mereka menikmati keselamatan dan perlindungan untuk kekayaan, tempat tinggal dan martabat mereka. Inilah yang ditegaskan dan diiktiraf oleh syariah, matlamat yang ingin ditujui oleh umat manusia, sejak penghijrahan Nabi (SAW) ke Madinah dan kesimpulan perjanjian pertama /perjanjian perdamaian yang menjamin kewujudan harmoni bersama antara pelbagai puak dan kumpulan kaum/etnik dalam kerangka keadilan dan kepentingan bersama. Kekurangan dan pencabulan yang dilakukan oleh sesetengah negara yang merosakkan proses ini tidak boleh dan tidak patut digunakan untuk menafikan kesahihannya dan mewujudkan konflik antara ia dan syariat Islam.
  1. Antara yang patut diutamakan oleh sarjana Islam dan institusi akademik Islam ialah analisis dan penilaian idea-idea yang menyemai ekstremisme, takfir (penuduhan Muslim lain sebagai kafir) dan keganasan atas nama Islam. Langkah-langkah keselamatan, walau betapa adil dan saksama, tidak dapat menggantikan penerangan jelas (secara ilmiah) yang disokong bukti. Oleh itu, ianya tanggungjawab sarjana keagamaan umat untuk menentang segala bentuk keganasan dalam percubaan-untuk-mengubah atau protes, di dalam atau di luar masyarakat Islam. Penentangan sebegini mestilah jelas, dan merupakan manifestasi sebenar keberanian untuk berkata benar, untuk menghapuskan sebarang kekeliruan atau kekaburan.
  1. Sarjana Islam, zaman-berzaman, sentiasa menegaskan dan menekankan bahawa jihad yang dianggap kemuncak agama Islam, bukanlah suatu jenis sahaja, tetapi banyak, dan perjuangan di jalan Tuhan hanyalah satu daripadanya. Pengesahan, kebenaran, dan pelaksanaan jihad sebegini diperuntukkan oleh syariah hanya kepada mereka yang memimpin masyarakat (ketua negara yang sebenar). Ini kerana keputusan peperangan adalah keputusan politik yang mendatangkan kesan dan akibat yang besar. Oleh itu, ia bukanlah keputusan seorang individu mahupun kumpulan Muslim untuk mengumumkan atau mengisytiharkan perang, atau terlibat dalam jihad peperangan, sewenang-wenangnya dan secara persendirian. Sekatan ini penting untuk mencegah kejahatan, dan menegakkan ayat-ayat suci Islam yang berkaitan dalam hal ini.
  1. Asas kesahihan jihad hanyalah apabila ia menolak/melawan keganasan (“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, kerana Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas” – Surah al-Baqarah, 190), atau menolong orang-orang yang lemah dan tertindas (“Dan mengapa kamu tidak berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang disebabkan kelemahannya, dianiaya (dan ditindas)?” – Surah al-Nisa ‘, 75), atau untuk mempertahanan kebebasan beragama (“bagi orang-orang yang diperangi, telah diizinkan (berperang), kerana mereka telah dianiaya; – dan sesungguhnya Allah Maha Kuasa untuk menolong mereka” – Surah al-Haji, 39). Ianya tidak sah untuk berperang kerana perbezaan agama, atau mencari harta rampasan perang.
  1. Isu fatwa dalam Islam adalah sesuatu yang serius. Kerana inilah para sarjana telah menetapkan syarat-syarat yang ketat untuk Mufti (pihak berkuasa mengeluarkan fatwa). Antara syaratnya ialah dia mesti berkelayakan penuh dalam pengajian ilmiah/pengetahuan. Antara syarat yang khusus buat fatwa ialah ianya menetapkan matlamat yang sesuai (manat) mengikut tempat, masa dan orang, keadaan, dan akibat/hasil masa hadapan.
  1. Konsep kesetiaan dan permusuhan (al-wala wa al-bara) tidak boleh digunakan untuk mengisytiharkan sesiapa keluar daripada Islam, melainkan kekufurannya sendiri diperakui. Dalam semua kes lain, ianya melibatkan beberapa pertimbangan mengikut skala lima-kali-ganda perundangan: (dibenarkan, disarankan, tidak disarankan, tidak dibenarkan, dan diperlukan). Oleh itu, tidak dibenarkan untuk menyempitkan konsep ini dan menggunakannya untuk mengisytiharkan seorang Muslim keluar daripada kelompok Islam.
Saranan Para peserta persidangan mencadangkan saranan-saranan berikut:
  1. Mengadakan persidangan tahunan di Eropah untuk mengkaji dan meneliti konsep Islam mengenai keamanan, dan kewujudan damai bersama antara negara, masyarakat dan agama.
  1. Menubuhkan Pusat Kajian Teori Politik Islam Mardin.
  1. Mewujudkan unit dan jabatan penyelidikan di universiti-universiti dan institusi lepasan ijazah Islam untuk penyelidikan, latihan dan pemberian kelayakan kepada calon-calon yang berpotensi, dalam bidang pembentukan dan pengeluaran fatwa mengenai isu-isu awam yang berkaitan dengan seluruh umat Islam.
  1. Menggalakkan pengajian teori dan praktikal berkenaan syarat-syarat dan keadaan sejarah yang mempengaruhi pengeluaran fatwa dan pendapat.
  1. Menggalakkan pengajian akademik dan saintifik yang bertumpu kepada syarat dan keadaan sejarah yang menyebabkan pengeluaran fatwa sarjana-sarjana terunggul pada masa lalu.
  1. Usaha yang lebih dalam penilaian semula, menyunting, dan mendalami warisan Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyah – semoga Allah merahmati beliau – dan warisan sarjana terhormat, dalam memahami implikasi mereka terhadap dunia Islam dan pengajaran daripada pemahaman yang betul dan wajar tentang warisan mereka dalam membimbing dan memberi panduan kepada masyarakat umum dan ahli pakar.
  1. Merujuk perisytiharan ini kepada ahli-ahli akademik fiqh (perundangan) dunia Islam dengan tujuan untuk memperkayakannya, mendalami perbincangan dan memperluaskan manfaatnya (kepada khalayak ramai).
Kesimpulannya, pihak penganjur dan peserta ingin merakamkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan persidangan ini, dan terutamanya Gabenor Mardin, Presiden Universiti Artuklu, dan Mufti Mardin. Semoga Allah memberi selawat dan salam ke atas junjungan kami, Muhammad, keluarganya dan para sahabatnya, dan segala puji bagi Allah, yang menerusi rahmat dan kurniaNya sesuatu usaha kebaikan itu dapat dilaksanakan. ]]>