Projek Dialog

Kebangkitan Neo-liberalisme: Wawancara bersama Henry Giroux (Bahagian 1)

*Temubual ini pertama kalinya disiarkan di dalam laman Truth-out.org bertarikh 19 Oktober 2014. Diterjemahkan oleh Muhammad Nazreen. Henry Giroux, cendekiawan dan teoris pedagogi kritikal terkemuka dunia, membincangkan impak negatif yang dibawa neo-liberalisme merentasi dunia politik, sosial dan ekonomi, manakala di dalam bidang pendidikan, Giroux menawarkan beberapa solusi yang boleh dimanfaatkan. Secara ringkas, istilah “neo-liberalisme” merujuk kepada fahaman ekonomi yang berlandaskan pasaran dan perdagangan bebas. Ia menganggap dominasi kerajaan (state) sebagai satu ketidakadilan. Namun dominasi korporat, penswastaan dan motif-keuntungan diterima berdasarkan prinsip kebebasan individu untuk melabur, mengambil risiko modal dan meraih keuntungan dalam proses tersebut, walaupun ia membabitkan (dan menjejaskan) institusi dan sistem sosial seperti pendidikan dan kesihatan. Michael Nevradakis buat Dialogics: Kita mulakan dengan perbincangan tentang topik yang sedang rancak saudara tulis dan bahaskan…iaitu tentang neo-liberalisme. Saudara menyebutnya sebagai “kapitalisme kasino”. Bagaimanakah idea sebegini sedang rancak tersebar di seluruh dunia beberapa tahun kebelakangan ini? Henry Giroux: Saya rasa semenjak tahun 1970an, neo-liberalisme adalah idealogi yang tampak dominan, terutamanya di Eropah Barat dan Amerika Utara. Umum diketahui, ia mencetuskan kerusuhan di Amerika Latin, khususnya di Argentina dan Chile. Ia mula mendapat dokongan dan momentum di Chile, kesan daripada pengaruh yang dibawa ‘Chicago Boys’. Milton Friedman dan sekutunya telah pun berkunjung ke sana. Mereka telah menggunakan pengaruh mereka ke atas rejim Pinochet untuk mencipta polisi neo-liberalisme. Tetapi, jikalau kita mengamati secara mendalam, sebenarnya kita sedang bercakap mengenai banyak perkara. Kita sedang bercakap tentang idealogi yang mementingkan keuntungan beberapa pihak dengan menjual hak – hak orang awam ; serangan ke atas provisi sosial; kebangkitan negara korporat yang sistematik menerusi agenda penswastaan, perdagangan bebas dan deregulasi; sambutan ke atas nilai – nilai yang mementingkan diri sendiri menjangkaui keperluan orang awam; nilai yang mengutamakan keuntungan sebagai iltizam sebuah demokrasi dengan gagasan reduktionis yang mendakwa konsumpsi adalah wahana kewarganegaraan. Meski lebih daripada itu, ia menekankan pasaran sebagai tunjang untuk menstruktur semula hubungan sosial : bukan hanya sekadar sistem ekonomi, tetapi cara untuk mentadbir sistem sosial. Saya tidak merasakan perkara itu sebagai contoh yang berkesan dalam sesuatu pentadbiran. Hal ini sebenarnya amat menakutkan kerana ia kerap menghasilkan identiti, subjek dan gaya hidup berpandukan etika “survival of the fittest”, dimana perkara ini sinonim dengan gaya individu yang bebas, berkuasa dan komited terhadap hak individu dan penguasa untuk mengumpul kekayaan daripada perkara tersangkut etika dan sosial. Inilah isu yang paling utama. Perkara ini merupakan agenda politik, ekonomi dan sosial khusus untuk menggembleng kekuatan kelas di tangan golongan 1 peratus teratas yang menguasai ekonomi, tetapi beroperasi dengan andaian bahawa ekonomi tidak bergantung ke atas kos sosial, jadi mereka tidak perlu berhadapan dengan persoalan etika dan tanggungjawab sosial. Saya rasa seluruh dunia mula merasakan kesannya. Polisi neo-liberalisme telah menyebabkan penderitaan, kebuluran dan ketidakadilan dalam pengagihan kekayaan, kekuasaan dan pendapatan. Hatta, kita sedang menyaksikan sejumlah ramainya individu yang membunuh diri kerana mereka kehilangan punca pendapatan. Kita juga melihat bagaimanakah serangan ditujukan ke atas konsep negara berkebajikan; kita memerhatikan bagaimana penswastaan dijalankan ke atas perkhidmatan awam, memansuhkan hubungan di antara isu persendirian dan masalah awam, penjualan fungsi kenegaraan, deregulasi, penekanan terhadap kepentingan diri tanpa semak dan imbang, keengganan untuk mencukai golongan kaya, pengagihan kekayaan golongan pekerja dan kelas menengah kepada kelas penguasa, kelas elit, seperti yang dipanggil oleh gerakan Occupy sebagai golongan 1 persen. Perkara ini telah menciptakan lanskap ekonomi yang malap dan kelam buat 99 peratus jumlah populasi di seluruh dunia. Dan bercakap mengenai implikasi ke atas negara sosial dan golongan 99%, adakah kamu yakin untuk mengatakan bahawa idealogi sebeginilah yang memangkin krisis ekonomi sedunia yang sedang kita hadapi sekarang? Sudah pasti! Saya fikir jika kita menelaah kembali krisis yang terjadi pada tahun 2007, apa sebenarnya kita sedang lihat? Kita sedang melihat penggabungan kuasa kewangan yang tidak terkawal dengan patologi sikap tamak yang diselaraskan menerusi polisi perbankan dan dunia kewangan yang tidak dikawalselia, akhirnya membenarkan golongan elit kewangan, iaitu golongan 1 persen ini, untuk mendokong polisi khususnya di dalam penjualan bon kosong yang kita gelarkan sebagai cagaran sub-prima untuk mereka yang tidak mampu membayarnya. Hal ini menghasilkan buih ekonomi dan seterusnya meletup. Perkara ini disebabkan oleh andaian bahawa pasaran adalah asas untuk memandu gaya hidup politik, ekonomi dan sosial, supaya golongan penguasa dapat menggunakan kekuasaan mereka dengan rakus dan memanipulasi sistem kewangan untuk mengelak daripada tanggungjawab. Apa yang sedang kita alami adalah kegagalan yang disebabkan oleh kejahatan dan kezaliman yang berlaku di seluruh dunia. Lebih penting lagi, perkara tersebut berlanjutan daripada krisis sebelumnya, dan diciptakan kembali di Amerika Syarikat di bawah ‘Rubin boys’ bersama Larry Summer, dengan percubaan untuk menghalang sebarang kebijakan sosial untuk dilaksanakan yang akhirnya bertukar menjadi kegagalan polisi deregulasi pasaran. Hal ini semakin buruk. Berikutan krisis teruk yang melanda, akibat daripada bank dan elit kewangan, kita juga belajar mengenai politik feudal golongan kaya yang diabsahkan dengan pandangan bahawa mereka ini terlalu penting untuk gagal; keangkuhan mereka yang tidak masuk akal ini menyebabkan mereka merasakan diri kebal daripada sebarang tindakan undang-undang. Henry, pada pandangan kamu di dalam poin terakhir saudara telah bincangkan, bagaimanakah perkembangan aliran pemikiran neo-liberal dan doktrin yang mereka ciptakan ini menyumbang kepada defisit demokrasi masakini khususnya seperti yang sedang berlaku di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat? Demokrasi telah berubah wajah dalam menzahirkan kepentingan ahli politik yang anti – demokratik, anti-intelektual dan mereka yang menyokong kebijakan tersebut. Demokrasi lazimnya adalah perkataan – perkataan yang mereka laungkan, tetapi akhirnya mereka menterbalikkan makna asasnya, untuk menghalalkan praktek dan polisi yang sangat tidak demokratik. Justeru, ‘demokrasi’ pada mereka langsung tidak terkait dengan persoalan keadilan, hak mahupun kesahan undang-undang. Malah, ia dijadikan alat penipuan dan mengalih perhatian – kaedah pemalsuan untuk mengabsahkan polisi yang sebenarnya anti – demokratik. Neo-liberalisme adalah antitesis buat demokrasi sebenar kerana ia memangkin ketidakadilan, ia memberi keistimewaan buat golongan kaya, ia mengundang perpecahan besar, dan ia mendokong kezaliman. Kebimbangan saya terhadap neo-liberalisme adalah mereka tidak pernah berlaku apologetik terhadap musibah yang disebabkan oleh mereka. Sikap mereka yang tidak apologetik bukan sekadar diungkapkan dalam perkataan, ‘saya tidak peduli!”, tetapi pada masa yang sama – mereka berbangga untuk mengatakan bahawa mereka mampu melindungi anak – anak masyarakat kulit hitam dan mengatasi sikap kepembangkangan para pelajar dan akademik yang tidak percaya terhadap polisi tersebut. Mereka juga menyalahkan golongan yang menjadi mangsa akibat daripada kerakusan polisi tersebut. Tatabahasa ‘neo-liberalisme’ sebenarnya menzahirkan kepalsuan agenda mereka tentang kebebasan, maka terselindung pula di sebalik gagasan individualisme dan kebebasan untuk memilih. Perbuatan demikian mencadangkan apa sahaja masalah yang dihadapi oleh rakyat, satu-satunya cara untuk menyelami masalah mereka adalah menerusi lensa tanggungjawab individu, perwatakan dan atas kedegilan diri mereka sendiri. Contohnya, diskursus mengenai perbuatan dan tanggungjawab peribadi dijadikan alasan untuk menyanggah rakyat untuk menghubungkan masalah peribadi mereka daripada pertimbangan sosial dan sistemik yang lebih luas. Taktik ini secara patologinya amat teruk. Ia mendorong kehinaan terhadap hubungan komunal, pergerakan buruh, kakitangan kerajaan dan perkara yang dicanangkan untuk kebaikan bersama. Pandangan neo-liberalisme melihat apa sahaja perkara yang mendukung kepentingan orang awam sebagai perkara yang perlu ditolak, samada kita sedang bercakap tentang sistem pengangkutan awam atau sistem pendidikan awam. Hal ini kerana – di mata mereka harus sepenuhnya diswastakan. Mereka menganggap harta awam hanya bernilai sekiranya ia mampu mendatangkan laba dan keuntungan. Ianya tidak dilihat sebagai sebuah institusi yang menyumbang ke arah pembentukan budaya yang penting dalam sesuatu demokrasi. Dan bercakap mengenai sistem pendidikan awam, peningkatan proses penswastaan dalam bidang pendidikan telah menjadi isu yang besar; misalnya di Greece dan negara – negara lain yang tidak kurang penting. Sudah tentu ini adalah perkara yang acap kali dipromosikan semasa krisis ekonomi sedang melanda negara terbabit. Bagaimanakah neo-liberalisme dan kapitalisme kasino memberikan kesan yang buruk terhadap kualiti pendidikan, atau mungkin juga ke atas akses terhadap sistem pendidikan? Soalan yang baik. Berkenaan dengan kualiti pendidikan, terus-terang ia merupakan proses yang sangat membodohkan. Pendidikan sudah menjadi wadah untuk mengabaikan manusia untuk ‘belajar’, merendahkan tahap pendidikan menjadi sekadar sistem latihan, atau mereka mengganggap sistem pendidikan sebagai hub pentadbiran neo-liberal, dan dalam kes tertentu sebagai penswastaan. Imaginasi yang radikal-kritikal kini sedang menghadapi ancaman bagi masyarakat neo-liberal kerana ia ditanggapi sebagai ancaman bagi mereka yang merasakan misi pendidikan adalah untuk melahirkan idea yang kritikal; sebuah gagasan yang mendekati anak muda untuk menggunakan fikiran dan intergriti mereka untuk mengubah dunia. Neo–liberalisme meyakini bahawa kurikulum harus diatur untuk mendidik para pelajar menjadi pasif dan memaksakan pedagogi represif. Lebih penting lagi, serangan yang dijalankan untuk menyerang hubungan komunal masyarakat merupakan serangan ke atas nilai – nilai demokrasi dan ruang awam yang membentur mereka. Ruang awam ini sangat bahaya, kerana mereka mendidik manusia untuk berbicara mengenai perkara yang tak boleh dibicarakan, menzahirkan pemikiran kritikal, melahirkan penentangan dan membentuk warga yang kritikal. Apa yang sedang dibicarakan adalah anggapan bahawa berfikir itu bahaya. Polisi ini mencadangkan bahawa pendidikan bukanlah bertujuan untuk melahirkan anak muda yang kritikal dan serba tahu. Ia sebenarnya dijadikan latihan untuk bekerja. Dasar ini menawarkan keakuran terhadap sistem politik dan idealogi; ia adalah proses nyahpolitik – dan sifatnya sangat opressif, kerana sistem ini menyingkirkan segala usaha dan visi untuk menjadikan pendidikan sebagai usaha untuk membina masa hadapan yang baru, yang tidak lagi mengulangi kesilapan-kesilapan kita mutakhir ini. Pendidikan adalah alat untuk meluaskan fikrah kita untuk mengatasi perkara – perkara yang dianggap mustahil. Sistem ini, pada pandangan saya, hanya menekankan proses menghafal, ujian dan disiplin…kebanyakan daripada sistem sekolah seperti ini akhirnya berubah menjadi akademi ketenteraan, khususnya di kawasan sekitar Chicago. Saya merasakan reformasi yang dijunjung oleh kelompok neo-liberal ini bermakna pengabaian terhadap masalah asasi yang seharusnya diatasi oleh golongan pendidik atas iltizam untuk melahirkan masyarakat yang berfikir. Hal ini tidak mencadangkan mana-mana usaha untuk mereformasi sistem persekolahan harus dihubungkait dengan perlawanan terhadap rasisme, ketidaksaksamaan, kemiskinan, militarisasi dan kebangkitan negara yang bersikap menghukum. Kanak-kanak tidak mampu belajar sekiranya mereka sakit. Kanak-kanak tidak mampu belajar sekiranya sekolah mereka tidak mempunyai mana-mana sumber rujukan. Kanak – kanak juga tidak mampu belajar jikalau setiap bilik darjah mempunyai jumlah empat puluh orang pelajar. Kita tidak perlukan saintis mahupun cendekiawan untuk memahami hal ini. Saya rasakan apa yang perlu kita fahami adalah golongan berhaluan kanan sedar akan hal ini. Cuma, sikap mereka yang sengaja mahu membiarkan kejahilan ini berleluasa. Institusi awam dan sekolah tidak lagi dibiayai bukan kerana kerajaan kita tidak memiliki dana. Tetapi, ia tidak lagi dibiayai kerana golongan berhaluan kanan yang menguasai politik sengaja mahu membiarkan mereka gagal. Dana untuk sekolah dan pendidikan sebenarnya masih mencukupi, tetapi peruntukan tersebut telah disalurkan untuk pembinaan kompleks industri-ketenteraan, bahkan ia digunakan untuk membantu merendahkan beban cukai terhadap orang kaya, dan pendapatan luarbiasa yang diperolehi golongan elit kewangan di Amerika. Ini merupakan polisi yang sistemik untuk memastikan pendidikan adalah keistimewaan untuk golongan elit. Pendidikan tidak lagi penting buat semua insan. Itu adalah sebuah kepastian. Jadi, kamu merasakan pendidikan masakini, khususnya sistem pendidikan tinggi sebenarnya adalah usaha untuk menekankan doktrin neo-liberal di dalam kelas pembelajaran? Saya tidak merasakan ada persoalan di balik perkara ini. Kamu boleh membelek akhbar setiap hari dan membaca betapa bodohnya pandangan yang dikemukakan oleh para pentadbir pendidikan di sini, samada kamu bicara mengenai Texas, Arizona mahupun Florida. Semuanya serupa. Universiti kini telah dijadikan entiti korporat dalam aspek yang tak pernah kita bayangkan sebelum ini. Kita semua sedar apa yang saya sedang ungkapkan; apakah keadaan yang menghasilkan masalah ini? Apa yang membingungkan adalah bagaimana yang dikatakan ‘reformasi’ seperti piawaian yang ditetapkan Common Core bahawa penetapan proses pendidikan dan pembelajaran merumuskan suasana dan cara pembelajaran di sekolah awam sebagai tidak penting! Inilah sistem pendidikan yang menekankan keuntungan dan kepentingan diri, tetapi tidak lagi mengutamakan aspek penting dalam pendidikan, iaitu pembelajaran dan pedagogi. Macam mana kita mahu bercakap tentang pembelajaran tanpa menyentuh hal seputar bagaimana sekolah – sekolah dibiayai, kebijakan politik golongan berhaluan kanan yang menekankan cara pembelajaran yang fundamental seperti kreasionisme dan hanya meremehkan fungsi guru sekadar mengajar untuk peperiksaan? Ini adalah pedagogi secara kiprahnya menindas dan ironisnya dijadikan jagoan buat golongan konservatif, kelab bilionair, tetapi juga mereka yang dikatakan ‘progresif’ ini. Di suatu tahap, kita memiliki gubernur berhaluan kanan yang menganggap diri mereka sebagai hamba abdi golongan kaya, dan mereka memandang setiap perhubungan sosial ini dari kaca-mata komersil. Pandangan alam politik yang pengecut ini telah diterapkan oleh para ‘demokrat’ yang sepatutnya melihat pendidikan bukan sebagai alat untuk meraih keuntungan, tetapi sebagai kelab sosial digelar ‘Republican Lite’. Kedua – dua pihak berkongsi rasa cinta yang sama terhadap masyarakat kapitalis yang dibentuk menerusi ketidaksamarataan kekayaan dan kuasa, keyakinan yang utuh terhadap perluasan wilayah ketenteraan di negara luar, pemantapan militarisasi secara domestic, peralihan kekuasaan yang zalim daripada golongan kelas menengah dan pekerja kepada golongan satu persen ini. Kita mengimbas kembali bagaimana perkongsian idealogi mereka yang mencipta kekaguman terhadap perkakas ketenteraan seperti jet pejuang f-35 yang tidak boleh terbang semasa musim hujan, tetapi menelan belanja sebanyak 200 juta dollar seunit. Ahli politik masakini adalah barua golongan kaya dan berkuasa yang sanggup membelanjakan berbilion dolar untuk menampung kos peperangan tetapi tidak pula sanggup melabur jumlah yang sama untuk membiayai setiap pemuda di Amerika Syarikat yang memerlukan biaya pendidikan yang berkualiti. Imara Jones pernah mengatakan bahawa hampir 4.4 trilion dollar yang telah dibelanjakan untuk menampung kos peperangan di Iraq dan Afghanistan sebenarnya mampu untuk menanggung kos pendidikan percuma buat semua warga Amerika dalam tempoh sepuluh tahun. Maksud saya adalah peruntukan perbelanjaan terhadap bidang ketenteraan itu sangat melampau, malah belanjawan paling besar; malah ia adalah peruntukan ketenteraan Amerika Syarikat adalah peruntukan terbesar di dunia; kita boleh menggabungkan jumlah peruntukan ketenteraan daripada 15 buah negara untuk menyamai jumlah peruntukan ketenteraan yang ditanggung Amerika. Kita sedang membicarakan tentang penyelewengan dana.Ia bukan tentang kita tidak memiliki pembiayaan terhadap pendidikan, tetapi bagaimana kita memanfaatkan dana tersebut. Kita tidak mengagihkan kekayaan kita untuk menanggung sistem kesihatan bayaran tunggal atau menyediakan makanan buat golongan yang memerlukan. Jadi, setelah pendidikan kita sengaja dibobrokkan, apa yang terjadi adalah bagaimana model-model bisnes ini disepadukan di dalam sistem universiti, misalnya peranan yang dimainkan golongan pentadbir berjubahkan “CEO” ini. Sepertimana maklum, mereka adalah kelompok yang paling dominan di dalam universiti buat masakini. Para pentadbir ini sekarang mengalahkan jumlah kakitangan fakulti dan berjaya menarik jumlah sumber yang besar jauh daripada para pelajar. Kedua, fakulti sudah kehilangan kuasa autonomi. Ketiga, mereka memansuhkan kesatuan, dan berbeza pandangan itu umpama perbuatan keji; ini adalah peringatan terhadap sindrom McCarthyisme. Kita memiliki kakitangan fakulti yang terlalu bergantung-harap terhadap geran–geran penyelidikan. Dapat kita bayangkan? Yuran kursus kemanusiaan dan sains sosial masih ditingkatkan sekalipun gubernur berhaluan kanan ini mengatakan ia tidak punya nilai ekonomi yang besar. Sudah tentulah, para pelajar ini terlihat seperti anak – anak manja. Mereka dipandang sebagai slot kecil, dan disebabkan itu ada ketumbukan yang besar buat pelajar asing, kerana mereka adalah sumber kekayaan yang diperoleh universiti. Saya merasakan universiti sedang berdepan dengan krisis dan krisis ini menjadi amat teruk terutamanya dari segi ketidakmampuannya untuk menggembleng misi yang terzahir dalam tempoh 50an dan 60an, disebabkan kontradiksi dan permasalahan yang terjadi, atau sekurankurangnya persepsi yang melihat kolej – kolej tidak lebih sekadar peluang pekerjaan atau universiti sebagai pelopor kompleks-industri-militari. (BAHAGIAN DUA WAWANCARA AKAN MENYUSUL)

]]>