Projek Dialog

Kepelbagaian dan kebebasan

The Crooked Timber of Humanity. Memang benar seperti kata kebanyakan orang, slogan ‘kebebasan’, ‘kemanusiaan’ dan ‘kesaksamaan’ merupakan hal yang tidak jelas. Kebebasan? Kebebasan bagi sesetengah orang, mungkin sahaja kekangan buat orang lain. Kebebasan untuk kita mungkin sahaja penindasan buat orang lain, seperti ungkapan masyhur Isaiah Berlin, “the fox knows many things, but the hedgehog knows one big thing”. Persoalan kebebasan, dalam realiti yang rumit, bukan sesuatu yang mudah. Pemahaman terhadapnya bergantung kepada perspektif-perspektif yang berlainan. Intipati khusus setiap perspektif tersebut pula bergantung kepada cara dan nilai hidup yang berbeza, yang kemudiannya akan memengaruhi penafsiran makna “kebebasan”. Ini jelas membawa perbincangan terhadap kebebasan ke lingkungan budaya-budaya yang berlainan, di mana makna kebebasan itu akan difahamkan dalam keadaan unik masing-masing. Persoalan kebebasan tidak boleh diasingkan daripada persoalan kemajmukan adat dan tradisi, satu fenomena yang lebih kerap digelar sebagai multikultuturalisme. Multikulturalisme Oleh itu kita tidak dapat lari untuk membincangkan tentang persoalan multikulturalisme di zaman moden ini. Tidak dapat tidak untuk kita akui bahawa multikulturalisme merupakan sebahagian proses modeniti yang menuntut umat manusia hari ini supaya saling berkenal-kenalan, di sebalik perbezaan dan kemajmukan. Malah, Allah berfirman di dalam Surah Al-Hujurat ayat 13: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku li ta‘ârafû (supaya kamu saling kenal). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” Ayat ini menekankan betapa pentingnya umat manusia supaya saling berkenalan-kenalan antara satu sama lain. Menurut Tafsir Al-Azhar yang ditulis Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka), ayat ini merupakan kesahehan bahawa Islam menolak assabiyah dan perkauman. Hamka menjelaskan ayat ini selanjutnya dengan mengkritik budaya orang Minangkabau yang memberikan penekanan terhadap sistem persukuan, yang dianggapnya sebagai assabiyah. Silaturrahim dan multikulturalisme Ini telah menjadi natijah manusia suka mengeratkan silaturrahim berdasarkan keturunan. Namun demikian, melalui ayat ini manusia diingatkan bahawa pada hakikatnya manusia berasal dari satu keturunan. Mencari perbezaan antara satu sama lain tidak digalakkan kerana yang lebih utama ialah menginsafi bahawa adanya persamaan keturunan. Multikulturalisme merupakan hal yang tak terelakkan kerana ia hakikat yang telah tercipta. Bahawa kita telah dilahirkan berbeza warna kulit, ras dan kepercayaan agama. Namun, kita harus menzahirkan perbezaan ini sebagai rahmatan lil alamin (rahmat buat sekalian alam). Jadi, perbahasan mengenai multikulturalisme atau jama’ kebudayaan merupakan wasilah penting supaya mendekatkan kita dengan pesan – pesan yang diseru agama. Kita sedang berhadapan dengan ancaman fundamentalisme daripada setiap sudut. Kemunculan gerakan fundamentalis agama seperti Islamic State of Syria and Iraq (ISIS) dan Al-Qaeda seperti mengulangi sejarah penindasan barbarik di zaman pra-ketamadunan. Pada masa yang sama, kita menyaksikan dunia menjadi semakin tidak toleran terhadap perbezaan dan kerencaman. Umat Islam di seluruh dunia menjadi semakin konservatif terhadap pegangan mereka. Di saat ini, kita sedang berhadapan dengan gelombang yang menakutkan. Manakan tidak, nama ‘Allah’ juga galak menjadi rebutan. Islam kini sering disalaherti daripada kacamata Barat sebagai agama yang rigid, keras dan kontra-keadilan. Barangkali, kesalahfahaman mereka terhadap Islam merupakan kejahilan umat Islam sendiri. Adalah menjadi tanggungjawab buat umat beragama untuk merisalahkan semula betapa pentingnya nilai-nilai multikulturalisme ini dihayati demi keperluan sejagat. Plural-monoculturalism Pemenang anugerah nobel keamanan, Amartya Sen menulis di dalam Identity and Violence bahawa kita sebenarnya gagal untuk menghayati apa itu multikulturalisme. Sen menganggap sebahagian besar daripada kita sedang keliru, kekeliruan yang disebut Sen sebagai sindrom plural-monoculturalism. Sindrom ini disebabkan salahtafsir terhadap apa itu multikulturalisme. Menurut Sen, masyarakat global hari ini gagal menghadam dengan luwes betapa identiti budaya dan akidah kepercayaan itumerupakan titik tembung (engagement) yang harus disepakati. Amartya Sen menceritakan pengalaman sulungnya berhadapan dengan rusuhan antara agama di India menjelang perpisahan India-Pakistan sepanjang tahun 1947-1951. Beliau mengingati semula peristiwa bagaimana seorang Muslim yang dibiarkan cedera sehingga meragut nyawanya, sedang orang lain di dalam kerumunan itu membiarkan sahaja kerana mangsa adalah seorang Islam, bukan Hindu. Contoh ini mungkin bersifat peribadi. Namun sangat relevan dalam perbincangan ini. Pada pengamatan Sen, kita akan gagal melihat manusia sebagai manusia jika kemanusiaan itu sering dipisah-pisahkan mengikut warna kulit, kaum dan agama. Tolak ansur Andaikan saja jika kita seorang Melayu – Islam; berkongsi meja seorang Cina yang sedang menjamah babi, pasti kita akan terguris hati. Namun sekiranya kita menjamah sajian daging di hadapan seorang vegetarian, kita tidak pernah cuba untuk menyelami perasaan mereka. Itulah yang dimaksudkan oleh Amarta Sen sebagai plural-monoculturalism atau kejamakan budaya sehala. Kenan Malik di dalam bukunya, From Fatwa to Jihad : The Rushdie Affair and Its Aftermath mencatatkan bagaimana multikulturalisme di Britain menghadapi cabaran untuk bertahan selepas peristiwa Rushdie. Di saat itu, gelombang Islamofobia sedang melanda Barat. Seusai peristiwa itu, masyarakat Islam khususnya di barat menjadi sasaran golongan ekstremis. Peristiwa tersebut menyebabkan komuniti imigran yang rata-ratanya beragama Islam di Brixton, Bradford, Handsworth dan Birmingham terpinggir daripada pembangunan akibat jurang sosioekonomi yang begitu ketara di antara golongan kaya dan miskin. Apabila multikulturalisme gagal Pada masa yang sama, golongan fundamentalis Islam menggunakan alasan ini untuk menyebarkan ijtihad terorisme atas nama agama. Maka, ramai anak muda Britain, majoritinya berketurunan Pakistan dan Turki terjerat dan menjadi rekrut para jihadis kerana kebijakan terpengaruh dengan doktrin yang disebar para jihadis. Kenan Malik mengamat bagaimana anak-anak muda imigran ini mengalami krisis identiti dan menyebabkan mereka menjadi semakin terpinggir, Kenan Malik lantas menggelarkannya sebagai ‘community of communities’. Multikulturalisme hanya akan berjaya dengan iltizam kita untuk membangunkan sistem demokrasi yang bertanggungjawab dan berkesan. Hanya itu sahaja lah jalan untuk memerdekakan kebebasan dengan membuka ruang keadilan sosial tanpa mengira warna kulit, kaum dan kepercayaan. unnamed  

]]>

Penyembelihan haiwan dan makna halal

Petikan ini diambil daripada laman ‘Islamic Voice’ (http://islamicvoice.com/february.2002/dialogue.htm). Diterjemahkan oleh Yana Rizal. Pembuka kata penterjemah: Memandangkan Raya Korban yang baru sahaja berlalu, terdapat banyak persoalan tentang hakikat penyembelihan dalam Islam. Di sini kami ingin utarakan apakah sebenarnya etika penyembelihan dalam Islam, seperti yang termaktub dalam hadis dan kisah-kisah Nabi. Moga ini mampu memberi pencerahan tentang layanan terhadap haiwan mengikut ajaran Islam.

  1. Walaupun dengan teknologi sekarang, masih terdapat binatang yang dirantai dan diheret, atau disiram air panas ketika hidup untuk membuang bulu di sesetengah rumah penyembelihan. Operasi besar-besaran yang biasanya mengamalkan kaedah-kaedah tersebut membekalkan daging dalam pelbagai bentuk kepada banyak negara Islam. Boleh saya bertanya samaada layanan begitu terhadap haiwan yang akan menjadi makanan adalah dibenarkan dalam Islam. Dalam konteks yang sama, apakah pandangan Islam mengenai amalan membunuh ikan dan kehidupan lain yang tidak diingini ketika menangkap ikan?
Jawapan: Manusia perlu sentiasa ingat bahawa ia hanya dengan rahmat Tuhan bahawa mereka dibenarkan untuk menyembelih haiwan seperti kambing, lembu dan ayam untuk makanan. Mereka juga dibenarkan untuk menangkap ikan. Oleh itu apabila mereka menyembelih binatang dan menangkap ikan, mereka perlulah menzahirkan kesyukuran kepada Allah untuk berkatNya dengan melaksanakan penyembelihan dengan rendah hati dan kesantunan. Mereka dituntut untuk memahami dan mematuhi ajaran Islam dalam penyembelihan. Rasulullah pernah mengarahkan salah seorang sahabatnya yang hendak menyembelih seekeor kambing untuk menjauhkannya daripada kambing yang lain supaya mereka tidak dapat melihatnya. Rasulullah tidak mahu kambing yang lain untuk menyaksikan penyembelihan tersebut supaya mereka tidak kesedihan. Nabi juga menekankan supaya haiwan yang akan disembelih ditempatkan dalam keadaan yang paling selesa dan harus dibunuh dengan cepat dan dikurangkan kesakitannya. Baginda bersabda bahawa: “Allah sesungguhnya telah memerintahkan supaya semua perkara dilakukan dengan sempurna (ihsan). Oleh itu, apabila anda membunuh, bunuhlah dengan tertib dan apabila anda menyembelih, sembelihlah dengan baik. Biarlah setiap daripada kamu menajamkan mata pisaunya dan hendaklah dia mengurangkan penderitaan kepada haiwan akan disembelih. “(Sahih Muslim) Jelaslah bahawa Rasulullah menganggap pembunuhan yang cepat sebagai sebahagian daripada cara penyembelihan yang betul. Baginda menekankan ini dalam beberapa peristiwa. Dalam hadith yang lain, Rasulullah mengatakan: “Apabila sesiapa di antara kamu menyembelih, maka hendaklah dia memastikan kematian haiwan tersebut.” Rasulullah pernah melihat seorang lelaki menajamkan bilah pisaunya setelah mengiringkan kambingnya. Baginda berkata kepadanya, “Apakah kamu mahu ianya mati berkali-kali? Bukankah kamu boleh mengasah dahulu pisaumu sebelum mengambilnya untuk disembelih. ” Semua ini menunjukkan bahawa Islam mempunyai sikap jelas berkenaan layanan haiwan iaitu dengan perikemanusiaan, terutamanya yang dijadikan sebagai makanan. Apabila ianya diabaikan, ini menunjukkan sikap tidak endah terhadap ajaran Nabi. Semestinya Allah akan menyoal sikap kita tentang ajaran Nabi. Orang sebegitu tidak dapat memberikan alasan yang baik untuk kecuaiannya. Lebih lagi Islam mengharamkan sebarang pengambilan atau pembuangan bahagian tubuh haiwan yang menyakitkan. Orang-orang Arab dahulu biasanya memotong bonggol unta atau bahagian lemak kambing ketika ianya masih hidup. Rasulullah sedar bahawa tindakan tersebut menyeksa haiwan lalu menghentikannya dan menjadikannya haram sebagai makanan. Baginda bersabda: “Apa yang dipotong daripada haiwan ketika ianya hidup adalah bangkai.” Lazim diketahui bahawa bangkai iaitu haiwan yang mati secara semula jadi adalah haram untuk dimakan. Ini menunjukkan bahawa Islam melarang mana-mana amalan yang menyebabkan penderitaan yang tidak perlu untuk haiwan. Memotong leher haiwan kemudian menyiram air mendidih ke atasnya apabila ia masih boleh merasakan kesakitan sudah pasti tidak dapat diterima. Orang yang berbuat demikian sudah tentu akan diadili pada hari kiamat. Begitu juga apabila menangkap ikan. Jika hasil tangkapannya termasuk ikan yang tidak diingini, sepatutnya ia dilepaskan kembali ke dalam air supaya ianya boleh hidup. Begitu juga dengan mana-mana makhluk lain yang dikaut sekali dengan ikan. Apa yang tidak diperlukan harus dibiarkan hidup, melainkan ianya berbahaya. Jika begitu, ianya harus dibunuh secara perikemanusiaan Kaedah-kaedah Penyembelihan
  1. Adakah semua haiwan disembelih dengan cara yang sama dalam Islam?
Dua kaedah penyembelihan yang digunakan menurut Syariah ialah:
  • Zabh – Memotong urat leher. Ini disarankan untuk penyembelihan biri-biri, kambing, lembu dan burung, dan dibenarkan untuk semua haiwan lain.
  • Nahr – Menikam bahagian bawah leher. Ini disarankan untuk menyembelih unta dan dibenarkan untuk penyembelihan lembu.
  • Aqr juga boleh digunakan – Memotong mana-mana bahagian haiwan yang sukar ditangkap ketika memburu atau menggunakan haiwan liar yang dijinakkan. Pemburu seharusnya menggunakan kaedah zabh atau nahr jika haiwan yang ditangkap tersebut masih lagi hidup.
  1. Bolehkah penyembelihan dilakukan oleh sesiapa sahaja? Jika tidak, apakah syaratnya?
Penyembelihan dianggap sah jika orang yang menyembelih adalah dewasa, waras dan seorang Muslim atau ahli kitab (Yahudi atau Kristian). Haiwan yang disembelih oleh orang musyrikin, ateis, Majusi, murtad atau kafir tidak dibenarkan untuk dimakan.
  1. Apakah alat patut digunakan untuk penyembelihan?
Penyembelihan harus menggunakan alat tajam yang memotong secara memanjang dengan mata pisau. Ianya boleh dibuat daripada besi atau apa-apa bahan lain, tetapi bukannya kuku atau taring dan harus menyebabkan pengaliran darah.
  1. Apakah haiwan yang dilarang untuk dimakan oleh umat Islam jika kaedah selain penyembelihan digunakan untuk membunuh haiwan tersebut?
Haiwan-haiwan yang dilarang untuk dimakan adalah seperti berikut:
  • Haiwan dibunuh dengan ganas melalui hentakan alat berat seperti batu atau pemukul
  • Haiwan yang terbunuh disebabkan kejatuhan
  • Haiwan yang ditikam, ditusuk atau dirobek sampai mati
  • Haiwan yang telah dimakan sebahagiannya oleh binatang liar. Akan tetapi ianya boleh dimakan jika ditangkap hidup-hidup dan kemudiannya disembelih.
  1. Adakah menyebut nama Allah itu satu kemestian? Bagaimana jika terlupa?
Nama Allah perlu disebut ketika penyembelihan. Menggunakan alat perakam untuk tujuan tersebut tidak mencukupi. Penyembelihan dianggap sah jika penyembelih terlupa menyebut nama Allah.
  1. Islam adalah agama rahmat. Bolehkah anda meneragkan etika Islam apabila menyembelih haiwan?
Peraturan etika khusus telah ditetapkan dalam Syariah untuk penyembelihan, yang mempertimbangkan ihsan terhadap haiwan sebelum, semasa dan selepas penyembelihan:
  • Alat penyembelihan (pisau) tidak patut ditajamkan di hadapan haiwan.
  • Seekor haiwan tidak boleh dibunuh di hadapan haiwan lain.
  • Ia tidak boleh disembelih menggunkan alat tumpul, dan tidak boleh diseksa.
  • Ketika ianya masih hidup, anggota badannya tidak boleh dipotong, kulitnya ditanggalkan, direndam dalam air panas, atau dicabut bulunya sebelum memastikan kematiannya.
  • Haiwan tersebut hendaklah bebas daripada penyakit yang boleh membuatkan dagingnya berbahaya kepada si pemakan. Kesihatan haiwan perlu dipastikan sebelum ianya dibeli untuk penyembelihan.
  1. Haiwan biasanya direbahkan dengan hentakan atau kejutan elektrik di Barat. Adakah kita dibenarkan untuk memakan daging haiwan yang telah dilakukan sebegitu?
Menyembelih tanpa menggunakan kaedah tersebut adalah prinsip asas dalam Syariah. Inilah yang terbaik dalam menunjukkan ihsan terhadap haiwan dan mengurangkan penderitaannya. Pihak yang bertanggungjawab untuk penyembelihan hendaklah memastikan cara-cara penyembelihan selari dengan prinsip ini. Daging haiwan yang disembelih selepas direbahkan begitu boleh dimakan jika kaedahnya ditelitikan. Syarat-syarat berikut harus diperhatikan oleh pakar:
  • Menghubungkan kedua-dua elektrod di bahagian depan kepala, voltan mestilah antara 100-400 volt, arus antara 0.75-1.0 ampere untuk kambing dan biri-biri dan 2-2.5 ampere untuk lembu, dilakukan hanya dalam 3-6 saat
  • Tidak menggunakan senapang batang besi, kapak, mahupun tukul
  • Kejutan elektrik tidak boleh digunakan terhadap ayam kerana ianya terbukti membunuh sejumlah besar ayam sebelum sempat disembelih
Haiwan itu tidak dianggap haram jika direbahkan dengan menggunakan gas atau senapang bola dengan cara yang tidak membunuhnya sebelum disembelih.
  1. Apakah nasihat anda kepada umat Islam di Barat tentang memakan daging tempatan?
Umat ​​Islam di negara bukan Islam seharusnya berusaha untuk mendapatkan kebenaran undang-undang untuk menyembelih haiwan mengikut Syariah tanpa perlu menggunakan kaedah pengejutan di atas.
  1. Bolehkah pelawat ke negara-negara bukan Islam memakan daging yang mungkin tidak disembelih mengikut Syariah?
Umat Islam melawat atau menetap di negara bukan Islam boleh memakan haiwan yang disembelih oleh Ahli Kitab setelah berusaha untuk memastikan bahawa penyembelihan tersebut tidak melanggar Syariah.
  1. Bolehkah umat Islam memakan daging yang diimport daripada negara-negara bukan Islam?
Daging adalah halal jika ianya diimport dari negara-negara di mana majoriti adalah Ahli Kitab dan haiwannya disembelih di rumah penyembelihan moden yang menggunakan kaedah penyembelihan Syariah seperti yang dinyatakan di atas. Ayat Al-Quran berikut adalah bukti bahawa daging tersebut boleh dimakan: “Makanan Ahli Kitab adalah halal bagi kamu” (Surah Al-Ma’idah). Namun, daging yang diimport dari negara-negara yang majoritinya bukan Ahli Kitab adalah dilarang kerana kemungkinan besar bahawa haiwan tersebut dibunuh dengan cara yang tidak menepati agama. Daging yang diimport dari negara-negara bukan Islam tersebut adalah halal sekiranya haiwan tersebut disembelih mengikut Syariah di bawah penyeliaan sebuah badan Islam yang diiktiraf dan jika penyembelih adalah seorang Muslim atau Ahli Kitab. ]]>

Muslim seharusnya mempertimbangan penyembelihan haiwan ketika Raya

Penterjemahan Should Muslims Reconsider Animal Slaughter on Eid? oleh Anila Muhammad ke Bahasa Malaysia oleh Hamizah Hanan. Sekadar perkongsian renungan.    Hari Raya Aidiladha disambut bagi memperingati kisah kerelaan Nabi Ibrahim untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail, sebagai hari perayaan bagi masyarakat Muslim seluruh dunia.* Namun, bagi berjuta-juta haiwan ianya bukanlah hari kegembiraan kerana ianya menandakan permulaan upacara penyembelihan haiwan. Semakin bertambah muslim di dunia yang berpendirian sama ada enggan untuk mengambil bahagian dalam ibadah ini ataupun lantang bersuara dan meminta untuk menamatkan pengorbanan haiwan-haiwan. Antaranya adalah pencinta haiwan yang diketahui umum seperti Amira Hassan dari Tunisia, Secil Araci dari Turki and Amina Abaza pengasas Persatuan Perlindungan Hak Haiwan di Mesir. Dan bukannya pencinta haiwan ini sahaja yang ingin melihat berakhirnya ritual ini. Malah kebanyakan Muslim yang mula menilai semula adakah ritual ini sebenarnya sebahagian daripada tradisi berbelas kasihan dan rahmat seperti yang ditekankan di dalam Al-Quran dan tauladan daripada kehidupan Nabi Muhammad. Kisah Nabi Ibrahim Shahid ‘Ali Muttaqi ada menulis tulisannya yang mantap dan diedarkan secara meluas berkenaan ketidak tepatan pentafsiran agama dan sejarah yang berkaitan dengan korban Hari Raya itu. Tulisannya menunjukkan bahawa faktor terbesar yang menyumbang kepada penyebab upacara ini berterusan adalah salah tafsir kisah Nabi Ibrahim. Dalam kisah asal Nabi Ibrahim, berdasarkan mimpinya, percaya bahawa tuhan mengarahkan beliau untuk mengorbankan anaknya, Ismail. Seperti yang diceritakan, apabila Nabi Ibrahim mula untuk melakukan pengorbanan tersebut, Tuhan menyelamatkan nyawa Nabi Ismail dengan menggantikan seekor kambing di tempat beliau. Jika kita membuka al-Quran [ayat 37:102] untuk membaca cerita sebenar ternyata tafsirannya agak berbeza: Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. Setelah keduanya berserah (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan pengorbanan yang penuh bermakna. Al-Quran menyatakan bahawa Nabi Ibrahim telah bermimpi di mana beliau mempercayai bahawa Tuhan telah mengarahkannya untuk mengorbankan anaknya. Apa yang jelas, namun kita terlepas pandang, adalah tiada bukti yang menyatakan bahawa mimpi itu dari Allah atau Tuhan menuntut pengorbanan ini. Ini merupakan perbezaan penting yang perlu difikirkan untuk menilai amalan korban haiwan itu adakah berdasarkan tanggapan bahawa mimpi Nabi Ibrahim itu datang dari Allah dan Tuhan mengarahkan Nabi Ibrahim untuk mengorbankan anaknya. Namun, perlu dilihat, Tuhan campur tangan untuk menghentikan perbuatan Nabi Ibrahim daripada mengorbankan anaknya. Perbezaan seterusnya adalah berkaitan dengan pentafsiran ayat yang terakhir: “Dan Kami tebus anaknya itu dengan pengorbanan yang penuh bermakna.” Terdapat tafsir al-Quran yang telah mengantikan istilah “pengorbanan yang penuh bermakna” dengan “binatang sembelihan yang besar”. Nampaknya ada beberapa perdebatan dalam kalangan ulama mengenai ayat terahkir ini, tetapi perlu diingat pentafsiran ayat ini amat penting. Ulama al-Quran seperti Muhammad Asad telah melanjutkan pentafsiran ini dengan membaca isitilah “besar” adalah merujuk kepada Nabi Ibrahim sendiri bukannya kambing yang dikorbankan. Malah pengorbanan Nabi Ibrahim tidak mempunyai kaitan dengan perbuatan fizikal penyembelihan itu. Pengorbanan Nabi Ibrahim adalah mengenai kesediannya melepaskan perkara yang paling penting dalam hidupnya, untuk memenuhi apa yang dilihatnya sebagai kehendak pencipta Ilahi. Bagi memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim ini, adalah amat penting untuk kita bertanya diri sendiri adakah kita bersedia untuk melepaskan sesuatu yang amat bernilai apabila kita korban atau menyembelih haiwan tersebut. Adakah kita benar-benar melakukan pengorbanan emosi dan mental yang sama seperti yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim? Jika tidak, maka bagaimana sebenarnya untuk kita meningkatkan pembangunan rohani kita dengan meneruskan tradisi ini? Kebimbangan untuk pihak yang kurang bernasib baik. Sebab seterusnya dalam pengamalan korban haiwan ini adalah berkaitan dengan pengunaan daging haiwan ini untuk diberkan kepada orang yang kurang bernasib baik. Ya, benar bahawa sebahagian daripada daging haiwan yang dikorban akan diberikan kepada orang miskin. Walau bagaimanapun, kita perlu bertanya kepada diri sendiri- adakah kita hanya bimbang untuk memberi makanan kepada mereka untuk hanya beberapa hari atau mengekalkan mesej keadilan sosial yang ditekankan dalam al-Quran? Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang yang memerlukan dan musafir dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; [2:177] Terdapat banyak ayat yang menekankan keadilan sosial dalam al-Quran. Ayat ini telah ditafsirkan oleh ulama yang bermakna bahawa pengamatan rohani yang bersifat holistic adalah merangkumi pemahaman dan reaksi kepada keadaan orang-orang yang kurang bernasib baik yang terdapat dalam masyarakat kita. Pengagihan ‘harta kekayaan’ tidak hanya bermaksud pemberian wang sahaja tetapi merangkumi masa, penglibatan dan komitmen jangka panjang untuk membantu memperbaiki keadaan mereka. Dan pemantauan pihak beragama hanya dilakukan hanya untuk pengekalan tradisi, seperti dalam kes korban haiwan ini, ianya mempunyai skop yang terhad untuk membantu mengubah keadaan. Jika kita prihatin dengan keadilan sosial dan ingin mewujudkan perubahan yang bermakna, jangka panjang, maka kita umat Islam perlu menimbang semula penyaluran wang kita daripada pengorbanan ini kepada membuat pelaburan lain dalam komuniti untuk membantu yang kurang bernasib baik. Mungkin pelaburan boleh dilakukan kepada organisasi yang bergiat aktif di peringkat akar umbi. Organisasi tersebut melibatkan secara langsung dengan masyarakat yang diperjuangkan. Mereka memberi kuasa kepada pengundi untuk menentukan apa yang mereka perlukan (pendidikan, latihan vokasional, penjagaan kesihatan) dan bukannya menganggap bahawa mereka perlukan (daging), dengan itu “membantu mengubah keadaan sesuatu kaum” [Quran 13:11] untuk jangka masa panjang. Layanan dan syarat-syarat haiwan Ia tidak mungkin untuk dibincangkan isu ini tanpa pengiktirafan kepada makhluk yang dijadikan korban untuk pengekalan tradisi ini –haiwan. Terdapat tradisi yang kuat diamalkan dalam Islam untuk berlaku adil dan berperikemanusiaan kepada haiwan dan terutamanya kepada yang akan disembelih. Nabi Muhammad, yang merupakan seorang pencinta haiwan dan sangat sensitive kepada penderitaan mereka, menasihatkan pengikutnya “Takutlah kepada Allah dalam hal haiwan-haiwan ini yang tidak boleh bercakap kehendak mereka.” Al-Hafiz B.A Masri, salah seorang ulama Islam terkemuka yang menulis berkenaan kebajikan haiwan. “Jika haiwan telah tertakluk kepada kekejaman mereka dalam pembikan, pengangkutan, penyembelihan atau kebajikan umum, dagingnya dianggap tidak suci dan dilarang untuk dimakan (Haram). Isi haiwan yang dibunuh dengan kaedah yang kejam (Al-Muthiah) adalah bangkai (Al- Mujaththamah). Walaupun haiwan ini telah disembelih dengan cara Islam yang rapi , jika kekejaman diperlakukan kepada mereka, daging haiwan tersebut dilaramg untuk dimakan (Haram).” Namun idea tentang layanan berperikemanusiaan terhadap haiwan dalam islam adalah amat bertentangan dengan realiti bagaimana haiwan dilayan. Haiwan-haiwan hidup dieksport dari negara seperti Australia dan New Zealand ke negara-negara Muslim, kebanyakkannya untuk dijadikan korban sempena Hari Raya. Kini terdapat bukti tertulis yang tidak dapat dinafikan lagi, dari kedua-dua penyiasat Muslim dan bukan Muslim, memperincikan tentang tahap kekejaman terhadap binatang ini, yang boleh menyebabkan Rasullullah menangis. Haiwan hidup yang dieksport secara rutin dibungkus padat ke dalam bekas pengangkutan untuk perjalanan yang memakan masa sehingga bermingu-mingu. Pada masa itu haiwan tersebut tidak disediakan makanan, air, dirantai berdiri dan tidak mampu bergerak serta bergelumang dengan air kencing sendiri dan najis mereka. Banyak haiwan mati disebabkan kekurangan air (dehidrasi) dan kekurangan zat makanan. Banyak biri-biri dan lembu yang mengandung melahirkan bayi mereka dalam keadaan ini, hanya mampu melihat mereka mati dengan perlahan, kematian yang menyedihkan. Walaupun kita lupa sejenak bagaimana haiwan-haiwan ini tiba di destinasi mereka. Pertimbangkan bahawa semasa musim Haji, lebih daripada dua juta haiwan dikorbankan dalam satu hari. Ia benar-benar mustahil untuk menyembelih haiwan sebanyak ini, dengan hanya menggunakan beberapa jam dan memikirkan ianya dilakukan dengan cara yang berperikemanusiaan. Dalam kebanyakkan negara Muslim penjual daging kini mengakui bahawa permintaan untuk mengorbankan haiwan dengan mengunakan kaedah berperikemanusiaan yang disarankan oleh Islam, dengan itu menjadikan penyembelihan tersebut adalah bertentangan dengan Islam dan daging menjadi tidak halal (tidak sesuai untuk dimakan oleh umat Islam). Jika ini bukan alasan yang cukup untuk melepaskan pengorbanan haiwan ketika hari raya, fikirkan bahawa industri ternakan adalah penyumbang utama ke arah pencemaran tanah, udara, air dan kemerosotan ekosistem kita. Pertimbangkan bahawa perbuatan melibatkan diri kita dalam ritual pengorbanan haiwan telah menyebabkan bumi kita dalam bahaya. Sebagai umat islam, pada hari raya dan sepanjang tahun, kita harus fikirkan adakah penerusan tradisi tersebut selari dengan tanggungjawab kita sebagai penjaga/ pentadbir bumi ini. Ramai muslim secara peribadinya mempertimbangkan perkara ini dan telah memutuskan bahawa tradisi ini tidak lagi memberikan pemahaman terhadap Islam. Anda boleh menemui beberapa pemikiran dan komen mereka di thecompassionatemuslim.com. Kami menjemput semua Muslim progresif, sederhana, konservatif, ateis atau agnostik untuk menyertai kami dan menyuarakan suara anda, dan memberi inspirasi kepada orang lain, mengubah tradisi pengorbanan haiwan untuk rahmat dan belas kasihan. *Nota: Memandangkan makalah tersebut disiarkan pada 2012, penyunting menggubal pembuka kata untuk disesuaikan untuk konteks sekarang.

]]>

ISIS, Gaza dan kapitalisme: Sebuah wawancara bersama Noam Chomsky

Diterjemahkan oleh Zikri Rahman. Makalah asal dalam Bahasa Inggeris: http://www.truth-out.org/news/item/26538-can-civilization-survive-really-existing-capitalism-an-interview-with-noam-chomsky Berdekad lamanya, Noam Chomsky dimartabat sebagai intelektual cerdas yang tersohor (lapangan bahasa, falsafah serta kritik politik dan sosial) yang juga sosok penentang dasar luar Amerika yang terkemuka sedari zaman Perang Vietnam lagi. Chomsky yang kini sudahpun menerbitkan hampir seratus buah buku serta ribuan esei dan artikel,maka dikurniakan puluhan ijazah kehormatan oleh institusi akademik yang masyhur. Karyanya yang terbaru, Masters of Mankind: Essays and Lectures, 1969-2013, baru sahaja diterbitkan oleh Haymarket Books. Bersempena dengan terbitnya karya ini, Chomsky sudi diwawancara oleh C.J. Polychroniou untuk Truthout secara eksklusif dan meluas yang sebagiannya akan dipaparkan dalam The Sunday Eleftherotypia, sebuah suratkhabar utama di Greece. ISIS C.J. Polychroniou : Di ambang Ulangtahun Ke-13 serangan 11 September ke atas Amerika yang dipancarkan secara meluas di rangkaian televisyen negara, Obama mengumumkan kepada warga Amerika dan dunia bahawa Amerika akan kembali berperang di Iraq, kali ini berhadapan dengan mereka yang mengisytihar diri mereka, Islamic State of Iraq and Syria (ISIS). Adakah Iraq adalah sebuah hutang kerja yang tidak tertunai ketika kemasukan AS pada tahun 2003 ataupun ianya adalah hasil yang tak terelakkan dari agenda strategik sebuah empayar edan? Noam Chomsky: “Tak terelakkan” itu satu pendapat yang keras,tetapi yang jelas pemuka-pemuka ISIS dan penyebaran idea jihad yang radikal memekar hasil dari tindakan keras Washington terhadap warga negara Iraq yang masih lemah, yang terkesan teruk hasil dari sekatan AS-UK yang membebankan sehinggakan ada diplomat antarabangsa yang mewakili PBB meletak jawatan, ekoran dakwaannya bahawa ianya (sekatan) satu genosid. Graham Fuller, bekas pegawai CIA, merangkap seorang penganalisis Timur Tengah arus perdana, ada menulis yang,” Saya berpendapat bahawa Amerika Syarikat adalah yang menjadi tonggak utama ISIS. Amerika Syarikat tidak merancang pembentukan ISIS, tetapi campurtangannya yang membinasakan di Timur Tengah dan perang di Iraq adalah asas wujudnya ISIS.” Saya berpendapat, ada benarnya pendapatnya itu. Situasinya adalah satu bencana,ianya kesan langsung dari penjajahan. Yang lebih menggerunkan,hasil dari pencerobohan AS-UK adalah nyalaan konflik sektarian yang memporak-perandakan Iraq, tersebar ke rantau sekitarnya, yang pasti dahsyat akibatnya. C.J. Polychroniou : ISIS seakan-akan manifestasi sebuah pergerakan jihadis yang baru, dengan kecenderungan untuk melakukan keganasan dalam kegigihan misinya untuk memantapkan penubuhan Khalifah Islam, dengan keupayaan merekrut lebih ramai warga muda yang berpusat di Eropah, malahan hingga ke Australia, melangkaui kemampuan Al-Qaeda itu sendiri. Pada hemat anda, mengapakah kecenderungan ketaksuban berunsur keagamaan menjadi daya pemacu di sebalik kebanyakan gerakan Muslim di seluruh dunia? Noam Chomsky: Seperti Britain sebelumnya, Amerika juga mempunyai kecenderungan mendokong Islam Radikal dan menentang nasionalisme sekular, di mana kedua-dua negara empayar itu berpendapat yang ianya (nasionalisme sekular) lebih mengancam terhadap sasarannya untuk mendominasi dan mengawal. Saatnya pilihan untuk menjadi sekular digagalkan, seringkali yang mengisi lohongnya adalah ekstremisme agama. Tambahan pula, sekutu utama AS sejak sekian lama, Arab Saudi, sebuah negara Islam radikal yang juga pusat penyebaran doktrin ekstremis Wahabi / Salafi dengan menggunakan sumber minyak yang tidak terhad,menubuhkan banyak sekolah dan masjid,malahan menjadi sumber utama dalam mendanai gerakan Islamis radikal, seiring dengan negara-negara teluk – yang kesemuanya adalah negara sekutu Amerika. Diperhatikan, kecenderungan agama yang fanatik turut tersebar meluas juga di Barat, langsung menghakis demokrasi. US adalah contoh yang baik. Tidak banyak negara (Amerika Syarikat), di mana majoriti populasinya percaya bahawa Tuhan memandu proses evolusi, dan hampir sebahagiannya percaya bahawa dunia baru hanya tercipta hanya ribuan tahun dahulu. Dengan Parti Republikan yang semakin ekstrem mengikut telunjuk kuasa korporat dan kemewahan menjadikan mereka jauh dari tuntutan polisi awam yang tuntas, menjadikan mereka (kuasa korporat) yang akhirnya mempengaruhi polisi secara meluas. C.J. Polychroniou : Amerika sudahpun melakukan jenayah perang yang besar di Iraq, yang lebih memeranjatkan adalah keganasan terhadap warga awam, lebih-lebih lagi terhadap kanak-kanak dan warga rencam etnik dan komuniti agama. Dalam pada itu, Iraq di bawah era Saddam Hussein mempamerkan betapa stabil politiknya, apakah yang boleh ditekuni untuk pengajaran kita berkait suasana runcing di belahan dunia sebelah itu? Noam Chomsky : Pengajaran paling asas adalah kebijakan untuk memperakui norma ketamadunan dan perundangan antarabangsa. Akibat yang tertimpa hasil jenayah keganasan yang dilakukan negara-negara penyangak persis US dan UK adalah tidak terjangka, yang pasti usah terkejut jika meneliti apa yang mampu mereka lakukan. C.J. Polychroniou : ISIS yang berpengkalan di Syria diserang AS tanpa persetujuan dan kolaborasi regim Syria di bawah Bashar al-Assad adalah menyanggahi perundangan antarabangsa, dakwa Damascus, Moscow dan Tehran sejak sebelum pengeboman berlaku lagi. Ada pun begitu, bukankah kehancuran ISIS di Syria justeru akan mengukuhkan lagi regim Syria? Atau regim Assad lebih waspada perihal nasibnya kelak? Noam Chomsky : Regim Assad tampaknya memilih untuk berdiam diri dalam hal ini. Contohnya, mereka tidak merayu kepada Jawatankuasa Keselamatan PBB untuk membatalkan serangan, yang tanpa kemusykilan menyanggahi Piagam PBB, iaitu asas perundangan moden antarabangsa (dan bagi mereka yang peduli, yang juga sebahagian dari “Perundangan Tertinggi” di US, di bawah Perlembagaannya). Bagi regim Assad yang terkutuk, mereka beranggapan seperti warga dunia lain menganggap bahawa; serangan US terhadap ISIS akan melemahkan musuh utama mereka. C.J. Polychroniou : Selain dari negara-negara Barat, negara-negara Arab turut menyatakan dokongan dengan bantuan ketenteraan serangan AS ke atas ISIS di Iraq dan Syria. Dalam soal ini, adakah ianya mempamerkan fundamentalisme Islam (sebagai contoh, Arab Saudi) terhadap bentuk fundamentalisme Islam yang lainnya (ISIS)? Noam Chomsky : Seperti yang dilaporkan New York Times, dokongan ini berlaku suam-suam kuku sahaja. Regim (Arab Saudi) pastinya gentar akan ISIS, tetapi yang nyata mereka (ISIS) terus-terusan mendapat dokongan kewangan dari penderma yang kaya dari Arab Saudi dan Emiriyah, dan seperti yang saya nyatakan, akar ideologikalnya adalah pada ektremisme Islam warga Saudi yang radikal yang tidak terbendung. GAZA C.J. Polychroniou : Kehidupan di Gaza kembali seperti sediakala selepas Hamas dan Israel mempersetujui gencatan senjata. Berapa lama kali ini? Noam Chomsky : Saya enggan menggunakan terma “sediakala”. Pencerobohan baru-baru ini lebih dahsyat dari yang sebelumnya, kesannya sangat membinasakan. Pemerintahan diktator tentera Mesir, yang tanpa segan silu anti Hamas, menambah akan derita tragedi. Apakah yang akan terjadi seterusnya? Seakan-akan ada satu corak semenjak persetujuan pertama yang dicapai antara Israel dan pihak berkuasa Palestin sedari November 2005 lagi. Seringkali ianya termaktub (dalam perjanjian) begini,”satu laluan antara Gaza dan Mesir melalui Rafah untuk pengeksportan barangan dan transit warga, operasi berterusan di laluan antara Israel dan Gaza untuk import / eksport barangan, dan juga transit warga, pengurangan halangan untuk pergerakan dalam linkungan Tebing Barat, konvoi bas dan trak antara Tebing Barat dan Gaza, pembinaan pelabuhan di Gaza, (dan juga) pembukaan semula lapangan terbang di Gaza” yang akhirnya pengeboman oleh Israel merampas segalanya. Persetujuan (dalam siri Perjanjian Pelan Damai) yang dicapai untuk kali yang seterusnya adalah pelbagai tetapi mengekalkan tema yang serupa, termasuk yang paling terkini,juga sama. Setiap kali, Israel akan mengkhianati dengan Hamas akur mematuhi perjanjian sehinggalah ketegangan di pihak Israel memaksa Hamas untuk bertindak-balas, sekaligus memberi Israel peluang untuk “sapu bersih” hak warga Palestin. Tempoh “bertenang” yang sementara membenarkan Israel untuk menjalankan polisi merampas apa yang bernilai di Tebing Barat, justeru meninggalkan warga Palestin sehelai-sepinggang. Semuanya, pastinya, dengan dokongan US : ketenteraan, ekonomi, diplomatik dan ideologikal, dengan merangka perspektif beriringan dengan kemahuan asas penubuhan Israel. Yang pasti, itulah tujuan Israel menarik diri dari Gaza pada tahun 2005 – sambil mengerahkan cemgkaman penjajahan, seperti yang diperakui dunia (kecuali Israel sendiri), malahan termasuk AS. Tujuan asal “menarik diri” ini ada digariskan oleh Dov Weissglass, rakan subahat Perdana Menteri Ariel Sharon. Beliau menyatakan kepada media bahawa “hasil signifikan dari pelan “menarik diri” adalah untuk membekukan proses damai. Dan jika kita membekukan proses damai, sekaligus ianya menghalang pengisytiharan negara Palestin, menghalang perbincangan tentang pelarian, sempadan dan Jerusalem. Secara efektif, agenda Negara Palestin, dan yang berkaitannya, dikeluarkan sepenuhnya dari agenda kami. Dan ini semuanya dengan izin Presiden AS dan sokongan perwakilan kongres. Dan corak ini diulang berulang-kali, dan nampaknya akan digubal kembali. Walaupun begitu, terdapat sesetengah komentator Israel yang arif menyarankan Israel untuk mengendurkan tekanan terhadap Palestin. Pengambilan tanah secara tidak sah di Tebing Barat (Termasuk Greater Jerusalem) berjalan sewenang-wenangnya tanpa ada usaha menyelesaikannya. Dan kini mereka mempunyai sekutu di dalam bentuk diktator ketenteraan Mesir yang sudi bekerjasama. Tambahan pula, kebangkitan ISIS dan rantau yang kian porak-peranda menambah-baik perselingkuhan dengan diktator Saudi dan mungkin mereka yang lain (Negara-negara Teluk). Barangkali, Israel tidak lagi menjalankan dasar penolakan (rejectionism), walaupun buat masa sekarang, ianya tidaklah begitu jelas. C.J. Polychroniou : Sentimen umum semakin membuak-buak membelakangi Israel selepas siri terbaru pembunuhan di Gaza. Pada tahap manakah dokongan tanpa syarat oleh AS terhadap Israel menyaingi faktor politik domestik mereka (AS) dan seperti yang termaktub di bawah syarat yang bagaimana untuk kita melihat peralihan polisi Washington terhadap Tel Aviv? Noam Chomsky : Terdapat beberapa faktor domestik yang kukuh. Salah satunya apa yang terjadi di ambang serangan Israel yang terkini. Dari satu sudut,sumber senjata Israel terlihat berkurangan, lantas Amerika dengan baik hatinya menyediakan senjata yang lebih canggih, justeru membantu serangan yang lebih dahsyat. Senjata-senjata ini diambil dari simpanan AS yang terletak di Israel, yang pada mulanya untuk digunakan tentera Amerika, ini antara perkaitan hubungan yang sangat rapat terjalin sekian lama. Interaksi perisikan juga terjalin lebih rapat. Israel yang juga sebuah rakan dagang AS yang diminati, bukan sahaja dalam ekonomi melibatkan ketenteraan yang canggih. Terdapat juga blok pengundi Kristian Evangelikal yang pro-Israel secara taksub. Dan para pelobi Israel yang efektif, yang sering membuka jalan – dan berunding bila berhadapan kuasa AS, ianya sesuatu yang tidak memeranjatkan. Walaupun begitu, terdapat peralihan sentimen yang mendadak, khususnya dalam kalangan warga muda, termasuk komuniti Yahudi. Yang saya sendiri alami, bahkan tidak terkecuali orang lain juga. Tidak lama dahulu, secara jujurnya saya sehingga memerlukan perlindungan pihak polis ketika bersyarah tentang hal ini di kolej dan kampus,malahan di universiti sendiri. Kini segalanya berubah. Hari ini, setiakawan dengan warga Palestine menjadi komitmen teras di banyak kampus. Perubahan ini mengambil masa panjang yang bergabung dengan banyak faktor lain yang akan mempengaruhi dasar AS. Ianya pernah terjadi sebelum ini. Tetapi ianya memerlukan satu usaha yang gigih. UKRAINE C.J. Polychroniou : Selain mengganggu-gugat dan membiarkan kuasa lain melakukan kerja kotor, apa sasaran dan objektif polisi AS di Ukraine? Noam Chomsky : Sejurus kejatuhan Tembok Berlin dan kejatuhan USSR, AS mula meluaskan pengaruhnya, yang turut melibatkan ahli-ahli NATO, terhadap rantau yang keluar dari pengaruh Rusia – mengkhianati janji yang dilakukan terhadap Gorbachev dengan menafikan protes darinya (Gorbachev). Pastinya, Ukraine adalah sasaran mudah AS seterusnya. C.J. Polychroniou : Adakah Rusia punyai sebab yang absah terhadap potensi Ukraine bergabung dengan NATO kelak? Noam Chomsky : Ya, ianya sebab yang absah untuk diberi perhatian, lebih-lebih lagi dasar perluasan NATO itu sendiri. Malahan ianya begitu jelas di mana artikel utama dalam isu terbaharu jurnal terkemuka, Foreign Affairs, oleh cendekiawan perhubungan antarabangsa, John Mearsheimer. Menurut pemerhatiannya, AS merupakan akar kepada krisis di Ukraine. C.J. Polychroniou : Merujuk kepada situasi terkini di Iraq, Syria, Libya, Nigeria, Ukraine, perairan China dan sebagian tempat di Eropah, komen terkini Zbigniew Brzezinski di MSNBC bahawa, “Kita berdepan satu dinamika yang menjabarluaskan ketidakstabilan di sebagian muka bumi” seakan tepat pada masanya. Pada takat mana perkembangan ini berkaitan langsung dengan keruntuhan daulah global serta pertimbangan kuasa yang wujud sejak era Perang Dingin? Noam Chomsky : AS mencapai kemuncak kuasanya pada tahun 1945 dan mengalami penurunan yang konsisten sedari itu. Terdapat banyak perubahan sejak beberapa tahun yang lalu. China bangkit sebagai sumber kuasa baru. Pada perkembangan lain, Amerika Latin meloloskan diri dari kawalan penjajahan (kawalan Amerika, sejak abad lepas) buat pertama kali selepas 500 tahun. Berkaitan dengan itu juga adalah kebangkitan blok BRICS (Brazil, Rusia, Indonesia, China, Afrika Selatan) dan Shanghai Cooperation Organization berpusat di China termasuk juga India, Pakistan, Asia Tengah dan lain-lain lagi. Tetapi AS tetap mengekalkan daulah yang mendominasi peringkat global. C.J. Polychroniou : Bulan lalu,ulangtahun ke-69 peristiwa pengeboman AS terhadap bandar Hiroshima dan Nagasaki di Jepun, tetapi pelucutan senjata nuklear masih tinggal khayalan. Dalam artikel anda yang lepas, ada dinyatakan bahawa kita patut bersyukur sehingga hari ini kerana masih dapat mengelakkan perang nuklear. Pada hemat anda, seterusnya, adalah tentang persoalan bila senjata nuklear akhirnya akan dimiliki kumpulan pengganas,bukan? Noam Chomsky : Senjata nuklear sudahpun dimiliki kumpulan pengganas : negara pengganas, AS adalah diantaranya. Besar kemungkinan yang senjata pemusnah besar-besaran turut kan terjatuh pada tangan “pengganas yang berdagang”, sekaligus pasti lebih besar bencananya. KAPITALISME C.J. Polychroniou : Sejak 1970-an, ekonomi paling canggih berubah menjadi kapitalisme bersifat pemangsa. Hasilnya, pendapatan dan jurang kekayaan semakin melebar, kemiskinan yang berakar-umbi, pengganguran kian melangit dan kualiti kehidupan jatuh merudum. Tambahan lagi, “kapitalisme yang terwujud” hari ini mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan di mana, dengan populasi yang meningkat sekaligus kan menjurus kepada bencana yang tak terbendung. Adakah ketamadunan kan bertahan dalam suasana kapitalisme hari ini? Noam Chomsky : Pertamanya, biar saya mengungkap bahawa terma ” Kapitalisme yang terwujud” hari ini adalah asasnya kapitalisme. Amerika Syarikat adalah satu hal yang penting,untuk sebab yang jelas. Terma “kapitalisme” itu sendiri samar-samar untuk meliputi keseluruhan hal. Biasanya ia diungkap merujuk kepada sistem ekonomi US, yang menerima campurtangan yang luas oleh Negara, dari inovasi kreatif sehinggalah sebesar-besar hal pentadbiran seperti polisi insurans untuk bank, di mana ianya dimonopoli, sekaligus mengehadkan kebergantungan terhadap pasaran. Perlu diingatkan, bagaimana perubahan dari “Kapitalisme Yang Terwujud” dari apa yang diberi nama “Kapitalisme Pasar Bebas” itu. Sekadar mengingatkan beberapa contoh, sejak 20 tahun yang lepas, perkongsian keuntungan 200 perusahaan terbesar telahpun meningkat dengan mendadak, mendokong terus ciri-ciri oligopoli ekonomi AS. Ianya memberi kesan langsung terhadap pasaran, mengelakkan persaingan harga melalui perbezaan produk yang tidak bermakna melalui pengiklanan besar-besaran, di mana ianya digunakan untuk menjejaskan pasaran secara terangan-terangan, berdasarkan konsumer yang memilih secara rasional. Komputer dan internet, seiring keperluan asas yang memacu industri IT, hampir keseluruhannya dalam sektor dipacu Negara (R&D, subsid, jual-beli dan lain-lain) berdekad lamanya sebelum dipindah kepada perusahaan swasta untuk disesuaikan dengan pasaran komersil dan keuntungan. Polisi insurans pentadbiran yang menyediakan bank-bank besar dengan kelebihan yang luas, dianggarkan secara kasar oleh ahli ekonomi dan media bisnes bernilai sekitar $ 80 bilion setahun. Walaubagaimanapun, kajian terbaharu oleh Bank Dunia menyatakan bahawa “bank terbesar dunia bukanlah sesuatu yang menguntungkan” dan menambah “berbilion dollar yang dikatakan diterima oleh pemegang saham,hampir keseluruhannya dari duit cukai warga AS”. Sekaligus ianya memberi sokongan terhadap pemerhatian Martin Wolf dari London Financial Times yang mengujarkan bahawa “sektor kewangan yang tidak terkawal sedang meratah ekonomi moden yang berasaskan pasar dari dalam, seperti larva dari labah-labah yang memakan perumahnya di mana ianya dilahirkan. Secara tidak langsung, semua ini menerangkan tentang bencana ekonomi yang terzahir melalui Kapitalisme kontemporari yang dinyatakan di atas. “Kapitalisme Yang Terwujud” – secara radikalnya tidak bersesuaian dengan demokrasi. Pada pendapat saya,ianya mustahil untuk ketamadunan kan bertahan dalam kapitalisme yang wujud dan melemahnya demokrasi yang turut wujud di dalamnya. Apakah demokrasi yang berfungsi akan melakukan perubahan? Persoalan tentang suatu sistem yang tidak wujud lagi akan menjadi spekulatif tetapi ianya sesuatu yang bernilai yang perlu difikirkan. Dan Kapitalisme yang terwujud hari ini adalah ciptaan manusia, yang boleh diubah dan digubal. C.J. Polychroniou : Karya terbaru anda, Masters of Mankind, yang diterbitkan pada September oleh Haymarket Books, adalah kumpulan karangan ditulis antara 1969 dan 2013. Dunia berubah secara mendadak di antara dua tempoh masa ini, soalnya : Apakah cara anda memahami dunia turut berubah sepanjang masa, dan jika begitu, apakah peristiwa yang memangkin pandangan anda terhadap politik? Noam Chomsky : Kebijakan saya tentang dunia seringkali berubah sepanjang masa kerana saya menelusurinya dengan mempelajari masa lalu dan peristiwa yang berlangsung lagi ditokok-tambah oleh pandangan yang kritikal. Sukar untuk saya mengenalpasti satu-satu peristiwa atau warga (yang mengubah pandangan tentang politik). Ianya bercambah hasil proses berterusan dalam penilaian semula didokong maklumat baharu dan gesaan dalam mempelajari apa yang tidak saya fahami. Walaubagaimanapun, hierarki dan kuasa sewenang-wenangnya yang masih menjadi teras politik dunia kita pada hari ini adalah sumber segala kejahatan. C.J. Polychroniou : Dalam pertemuan kita yang lalu, saya ada mengutarakan kegusaran tentang spesis umat manusia. Anda membalasnya, “Saya berkongsi kegusaran, tetapi jangan pernah lupa sepotong ayat yang sering saya kongsikan dari Analects, tentang memberi definisi “mereka yang ditauladani” – adalah mereka yang bertekad : “Mereka yang terus-terusan mencuba, walau dirinya tahu tiada lagi daya harapan.” Apakah ianya sedahsyat itu? Noam Chomsky : Kita takkan pernah tahu. Apa yang kita tahu, adalah, sekali kita menyerah dan berputus asa, seringkali yang terburuk akhirnya kan terlaksana. Dan jika kita memasang tekad bahawa harapan masih ada dan bersungguh-sungguh melaksanakannya, pastikan wujud dunia yang lebih baik. Kita tidak lagi ada banyak pilihan lain.

]]>

Matinya universiti

Penterjemahan The Death of Universities oleh Terry Eagleton. Diterjemah oleh Muhammad Nazreen.   Adakah ilmu kemanusiaan semakin hilang daripada dunia universiti? Soalan ini janggal. Ia serupa seperti pertanyaan adakah minuman keras akan lenyap daripada pub, atau egoisme hilang daripada dunia Hollywood. Tanpa minuman keras, pasti tidak ada bar, begitu juga tanpa kemanusiaan, universiti tidak akan wujud. Jika matapelajaran sejarah, falsafah dan sebagainya lenyap daripada dunia akademik, apa yang ia akan tinggalkan mungkin fasiliti latihan teknikal, atau paling tidak institut penyelidikan korporat. Tetapi, ia tidak akan digelar universiti, sekurang-kurangnya daripada makna klasik, dan tentu ia mengelirukan untuk menggunakan gelaran demikian. Walaubagaimanapun, adakah wujud universiti yang mengasingkan cabang ilmu kemanusiaan daripada disiplin ilmu yang lain. Cara paling cepat untuk merendahkan taraf subjek-subjek ini – selain daripada melonggokkan cabang-cabang ilmu dalam satu wadah – adalah dengan meletakkannya pada suatu taraf yang bisa mencapai kompromi. Iaitu, ilmu kejuruteraan dan undang-undang untuk manusia pandai, manakala ilmu yang membahaskan idea dan sivik itu hanya layak untuk mereka yang lemah. Ilmu kemanusiaan sepatutnya membentuk asas kepada pembentukan sesuatu universiti itu. Pengajian undang-undang dan falsafah, dipimpin dengan pengenalan terhadap seni dan kesusasteraan, perlu diajarkan kepada pengamat undang-undang dan jurutera termasuklah buat mereka yang masih menuntut di dalam fakulti kesenian. Sekiranya ilmu kemanusiaan tidaklah menghadapi ancaman yang serius di Amerika Syarikat, mungkin kerana ilmu kemanusiaan masih dianggap sebagai asas pengukuhan institusi pengajian tinggi. Semasa ilmu kemanusiaan muncul pada lewat abad ke 18, disiplin kemanusiaan menggalas tugas sosial yang penting. Ia penting untuk melebarkan dan melindungi sistem nilai daripada kebutaan orde sosial yang herot semasa zaman tersebut. Kemunculan ilmu kemanusiaan moden dan sistem kapitalisme industri merupakan kembar semasa ia dilahirkan. Untuk melindungi set nilai dan idea terus terhimpit daripada arus kebutaan zaman, kita membutuhkan institusi-institusi yang dikenali sebagai universiti terpinggir daripada aktiviti sosial harian yang lain. Keterpencilan bermaksud pembelajaran ilmu kemanusiaan akan menjadi tidak berguna. Tetapi ia membenarkan ilmu kemanusiaan dijadikan banteng untuk menyanggah ‘conventional wisdom’. Daripada masa ke semasa, di waktu akhir 1960an dan beberapa minggu lepas di Britain, sanggahan itu dibawa ke jalanan, bersemuka dengan bagaimana kita sebenarnya hidup dan bagaimana kita seharusnya hidup. Apa yang telah kita saksikan ketika ini adalah kematian universiti – universiti sebagai pusat perdebatan. Semenjak pentadbiran Margaret Thatcher, golongan akademia telah menjadi hamba kepada status quo, bukan untuk mencabarnya di atas nama keadilan, tradisi, imaginasi, kebajikan manusia, kemerdekaan minda atau visi alternatif untuk masa hadapan. Kita tidak akan mampu mengubahnya dengan meningkatkan dana kerajaan untuk membiayai ilmu kemanusiaan sepertimana memotong perbelanjaan sehingga sifar. Kita akan mengubahnya dengan memberi penekanan terhadap refleksi kritikal te nilai-nilai dan prinsip kemanusiaan supaya ia menjadi tunggak utama universiti-universiti, bukan hanya pengamatan terhadap Rembrandt atau Rimbaud. Akhirnya, ilmu kemanusiaan hanya boleh dipertahankan dengan menekankan betapa pentingnya ia; dan ini bermakna penekanan terhadap peranan-peranan mutakhir di dalam urusan pembelajaran akademik. Bagaimanakah perkara ini dapat diterjemahkan kepada tindakan? Secara kewangannya, kita mungkin tak mampu. Kerajaan berniat untuk mengecilkan peranan ilmu kemanusiaan, bukan mengembangkannya. Mungkin bukan pelaburan yang terlalu besar untuk mengajar Shelley bermakna merundum di belakang pesaing-pesaing ekonomi kita? Tetapi, tiada universiti yang dibina di atas asas pertanyaan kemanusiaan, maka ia mengukuhkan pendapat bahawa institusi pengajian tinggi dan kapitalisme canggih berbeza secara fundamental. Dan implikasi politik tersebut membuahkan pertanyaan yang lebih penting daripada persoalan yuran-yuran mahasiswa.

]]>

Kebebasan bersuara dan toleransi agama di Malaysia

Takrifan kebebasan beragama Kita akur akan Perlembagaan Persekutuan Malaysia bahawa Islam merupakan agama rasmi. Manakala dalam Sabah dan Sarawak melalui Perjanjian Malaysia 1963 Perkara 1 diperakukan bahawa tiada agama rasmi. Ketetapan kepada undang-undang ini menjamin kedudukan majoriti pada masa yang sama tidak mengabaikan golongan minoriti dalam mengamalkan mereka. Namun, saya ingin berbeza dengan menyatakan bahawa kebebasan beragama sewajarnya dilandaskan pada martabat peribadi manusia dan bahawa kebebasan itu mesti dipertahankan sebagai sebuah hak sivil dalam tatanan hukum bermasyarakat. Kebebasan beragama ini menuntut hak individu untuk hidup menurut kebenaran imannya sendiri sesuai dengan pilihan dirinya tanpa dipaksa melawan hati nurani mahupun ditindas oleh batas-batas undang-undang serta tekanan individu perseorangan mahupun kelompok secara umum. Kebebasan bersuara dalam beragama di Internet Setiap manusia berhak menyebarkan, mengajar serta mengamalkan ajaran agama mereka masing-masing di Internet. Tiada sekatan serta tekanan wajar diperakukan kepada sesiapa. Kehidupan manusiawi di muka bumi yang mempunyai kepadatan penduduk 7 bilion serta capaian penggunaan Internet yang meliputi hampir separuh penduduknya memungkinkan maklumat serta perkongsian ajaran serta tafsiran semua agama disampaikan serta diperoleh. Penerimaan serta keterbukaan dalam beragama perlu terutama sekali apabila berada di laman sosial. Di samping itu, kebebasan beragama bukanlah sesuatu anutan terhadap kekeliruan tetapi lebih kepada penghormatan serta pemahaman terhadap dinamika agama secara interaktif tanpa meletakkan pemikiran jumud serta penglabelan yang tidak tepat dari sudut kaca kita sendiri. Pemupukan pluralisme yang sihat adalah harus kerana ianya membantu menyerlahkan keterbukaan dalam berdialag bagi menggalakkan keadilan, persaudaraan, perdamaian dan kekuatan peribadi manusia. Sebagai contoh, mengangkat usaha Projek Dialog dalam memupuk pluralrisme beragama adalah perkara yang wajar seperti konvoi rumah ibadat, forum serta kempen-kempen kemanusiaan dalam kalangan massa. Semua ini dicapai dengan pengunaan laman sosial serta blog yang interaktif dan bertanggungjawab. Cabaran kebebasan bersuara dan toleransi agama di Malaysia Malaysia merupakan negara persekutuan yang mempunyai dinamika penduduk yang berbeza kaum, bangsa, agama dan aliran. Jika diteliti memang ianya kelihatan indah, aman dan sentosa. Namun hakikatnya, saya mendapati tahap perkauman kita masih berada pada paras membimbangkan. Saya berpendapat ancaman serta ketakutan merupakan faktor yang mendorong perkauman berlaku. Perlu diingatkan untuk menyuarakan pendapat sama kritikan serta bersikap jujur di laman sosial perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat sekeliling. Jadi ianya bukan sesuatu yang mudah dan harus selektif agar dapat menghindari kekeliruan dan konflik. Dalam konteks Malaysia, adalah lebih baik menggunakan lenggok bahasa yang sopan apabila melontar kritikan. Lebih parah, kelompok majoriti saling menganggap mereka terancam manakala kelompok minoriti sering anggap mereka tertindas. Ini mungkin terjadi kerana campur tangan politik bagi hak majoriti serta provokasi pihak tidak bertanggunjawab dan faktor pencabulan hak terhadap yang minoriti yang sering kali dianggap tidak setara dengan majoriti. Ditambah juga dengan kurangnya pemahaman yang tepat terhadap agama yang lain selain dari agama asalnya sehingga mendatangkan prejudis. Berdasarkan pengamatan serta pengalaman saya, kesedaran bersuara di laman sosial dalam kalangan rakyat Malaysia amat lemah terutama dalam menyampaikan isu-isu yang bersangkut paut dengan agama. Dilema utama yang saya lihat adalah ketidakpedulian terhadap budaya sopan santun apabila melontarkan pendapat serta tidak dapat membezakan antara kritikan dan penghinaan. Oleh itu, seminar serta kesedaran sivik wajar diterapkan bagi mengatasi kudis ini. Begitu juga pendekatan yang wajar diambil apabila merasa tersinggung dengan kritikan serta pendapat yang diterima dalam laman sosial. Daripada menyimbah minyak ke atas api, adalah wajar mengambil pendekatan paradoks dalam menerima pendapat tersebut. Jika ianya tidak benar, pertahankanlah sehingga ianya benar-benar mencapai kata sepakat secara hemah. Jika tidak, abaikan sahaja. Salah satu masalah besar dalam perundangan negara adalah Akta Hasutan 1948. Akta tinggalan British tersebut wajar dimansuhkan dan diganti dengan akta yang benar-benar menjamin kebebasan bersuara. kta tersebut bukan sahaja tidak jelas dari segi perlaksanaannya bahkan menampakan penyalahgunaan oleh kerajaan pemerintah bagi menyekat mana-mana rakyat yang ingin bersuara terutama aktivis. Perkara sama juga boleh dilakukan terhadap Akta Keterangan Seksyen 114a. Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah serta politikus untuk memperjuangkan kewujudan kesejahteraan umum dengan cara menciptakan sebuah persekitaran sosial yang manusiawi, di dalamnya rakyat dijamin menikmati hak-hak asasinya secara sungguh-sungguh serta memenuhi kewajibannya secara penuh dan menyeluruh seturut dengan martabat mereka. Kegagalan berbuat demikian, mengakibatkan kerosakan serta ketidakstabilan negara. Kesimpulan Justeru, setiap manusia adalah dipertanggunjawabkan akan apa amanah yang diberi kepada mereka. Sama ada percaya atau tidak, manusia tidak boleh angkuh dengan apa yang mereka ada. Kepelbagaian dinamika serta perbezaan pendapat bukanlah penghalang untuk hidup rukun dalam bermasyarakat. Sikap agree to disagree wajar diterapkan dalam setiap diri bagi menghindari konflik yang pastinya tidak menguntungkan sesiapa. Dengan menyemai juga kesedaran cause and effect pada setiap amalan, manusia sewajarnya menuju ke arah kebaikan dan bumi ini pasti akan bertahan sebagai tempat yang terbaik untuk generasi akan datang. unnamed

]]>