Projek Dialog

Kemerdekaan agama dan masyarakat Ahmadiyah: Suatu Tumpuan Kes

Kemeredekaan Kemerdekaan digunakan dalam makalah ini dengan merujuk erti yang diberi oleh Kamus Dewan (2000, halaman 883) iaitu ‘perihal bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan’ dan ‘lepas daripada tebusan, tuntutan’ yang mana merdeka juga dimaknakan sebagai ‘berdiri sendiri’ dan ‘tidak bergantung pada yang lain’. Hari ini kemerdekaan beragama sering disalahertikan sebagai mengiktiraf kepercayaan atau kebenaran lain. Untuk penganut Islam, hal ini menjadi taboo kerana ia dikaitkan dengan keimanan. Mereka, umat Islam amat bimbang jika, sebagai contoh, mengiktiraf kesetaraan agama Hindu dan Islam. Mereka berpendapat hal ini boleh mengakibatkan kerosakan atau kecacatan akidah Islam. Dalam ruang hak asasi manusia sebenarnya, yang ‘merdeka’ adalah manusia, bukan agama atau kepercayaan itu. Itulah puncanya, kemerdekaan BERagama, diberi penekanan kepada imbuhan ‘Ber’. Ia juga bermaksud kemerdekaan BERagama bukan bermaksud kemerdekaan dari agama. Dari segi bahasa, awalan ber- mempunyai beberapa makna, antara lain: (a) mempunyai; berayah = mempunyai ayah atau beribu   = mempunyai ibu Oleh itu beragama adalah mempunyai agama. Kemerdekaan beragama adalah kemerdekaan untuk mempunyai agama. (b) menggunakan; berpayung = menggunakan payung atau bertongkat = menggunakan tongkat Oleh itu beragama adalah menggunakan agama. Kemerdekaan beragama adalah kemerdekaan untuk menggunakan agama, dalam hal ini misalnya untuk melakukan ritual atau ibadah. (c) mengeluarkan atau menghasilkan; berbunga = mengeluarkan bunga atau bertelur = menghasilkan telur Oleh itu beragama adalah menghasilkan agama. Kemerdekaan beragama adalah kemerdekaan untuk mengeluarkan agama dari dalam diri, dalam hal ini misalnya untuk menghasilkan produk berkaitan agama. (d) mengusahakan; bersawah = mengusahakan sawah atau berkedai = mengusahakan kedai Oleh itu beragama adalah mengusahakan agama. Kemerdekaan beragama adalah kemerdekaan untuk mengusaha atau membangunkan agama, dalam hal ini misalnya untuk memberdaya, atau memajukan agama. (e) mengucapkan; berdoa = mengucapkan doa atau berjanji = mengucapkan janji Oleh itu beragama adalah mengucapkan agama. Kemerdekaan beragama adalah kemerdekaan untuk mengucapkan agama, dalam hal ini misalnya untuk melafaz ajaran agama. (f) menunjukkan sikap; berkasar = menunjukkan sikap kasar atau berlembut = menunjukkan sikap lembut Dalam hal ini beragama adalah menunjukkan sikap agama. Kemerdekaan beragama adalah kemerdekaan untuk memaparkan sikap agama masing-masing, dalam hal ini misalnya untuk menunjukkan sikap sesuatu agama dalam satu-satu isu. (g) dalam keadaan; bergembira = dalam keadaan gembira atau berduka = dalam keadaan duka Dalam hal ini beragama adalah merujuk kepada sifat agama itu sendiri. Kemerdekaan beragama adalah kemerdekaan untuk mensifati agama masing-masing, dalam hal ini misalnya untuk menunjukkan sifat kasih-sayang agama dalam mendepani kebencian. (h) ada sesuatunya; berbahaya = ada bahayanya atau berduri = ada durinya Sekali lagi beragama penting untuk merujuk kepada kesesuatuan agama itu. Kemerdekaan beragama adalah kemerdekaan untuk mensesuatukan agama anutan masing-masing. Dalam hal ini beragama berperanan untuk menunjukkan manfaat dan ciri khas agama atau kepercayaan masing-masing. Kemerdekaan agama bukan persamaan semua agama Justeru, kemerdekaan beragama bukan lah bermaksud persamaan agama atau kepercayaan. Perihal ‘sama’ merujuk kepada sifat-sifat. Adalah mustahil semua agama ‘sama’. Konsep kemerdekaan BERagama meraikan kesetaraan BERagama. Setara dalam hal ini adalah setanding. Ini juga bermakna yang ditangani dan diuruskan di sini adalah manusia dan hak BERagama. Justeru, yang ditangani dan diuruskan bukan agama. Sebelum memahami kekangan yang dialami minoriti agama Ahmadiyyah, wajar difahami apakah yang dimaksudkan dengan agama menurut piawai antarabangsa. Definisi agama sangat luas meliputi kepercayaan, panduan baik dan buruk atau moral yang turut merangkumi kepercayaan yang bertuhan, yang tidak bertuhan dan tiada kepercayaan. Dalam sudut pandang hak asasi manusia, sesebuah kerajaan perlu mengiktiraf kemerdekaan agama dan kepercayaan. Sekiranya atas sesuatu alasan keagamaan atau ideologi, sesebuah kerajaan enggan mengiktiraf sesuatu ajaran itu sebagai agama, kerajaan masih bertanggungjawab untuk mengiktirafnya sebagai satu kepercayaan (belief). Sesebuah minoriti agama itu terikat oleh solidariti sesama mereka untuk mempertahankan budaya, tradisi, agama atau bahasa. Adakah pengikut sekte atau kultus tertentu juga ikut diiktiraf sebagai minoriti agama? Apakah bezanya Syiah sebagai satu sekte atau mazhab dengan Ahmadiyyah? Sekte dan kultus Sekte adalah satu pecahan atau kumpulan dalam agama atau tradisi sedia ada, yang menuntut dan mengikat pengikutnya dengan satu standard yang sesuai; eksklusif dari segi ‘keahlian’; yang mana ia berlainan dari kumpulan besar yang sedia ada; sekte juga mendakwa memiliki kebenaran berbanding kumpulan besar tersebut. Dalam hal ini Syafie, Hanafi, Maliki, Hanbali dan Ja’fari mengikat pengikutnya dengan satu standard fikah yang sesuai menurut masing-masing; bersifat eksklusif dan mempunyai pegangan hukum tersendiri. Dalam hal Syiah sebagai sebuah mazhab yang lebih umum, terdapat perbezaan-perbezaan mendasar yang antara lain adalah menerima kepimpinan Saidina Ali sebagai pengganti Rasulullah saw. Ahmadiyyah walaubagaimanapun mempunyai ciri-ciri sebuah kultus. Menurut Lawrence S Cunnibgham dan John Kelsay dalam buku mereka The Sacred Quest: An Invitation to the Study of Religion, tiga ciri sesebuah kultus adalah; i) ia diasaskan oleh seorang tokoh berkarisma yang mana kewibawaannya menjadi perhatian pengikutnya, dan juga di mana tokoh tersebut menjadi sumber untuk ajaran-ajaran kultus itu; ii) terdapatnya dakwaan pewahyuan daripada Tuhan yang memberi perspektif baharu kepada sesebuah tradisi atau agama sebelumnya, samada dalam bentuk merubah atau menyempurnakan agama atau tradisi tersebut; iii) kultus pada permulaannya, atau sepanjang kewujudannya dicurigai oleh komuniti dominan sedia ada dan kesan dakwaan pewahyuan tadi mengakibatkan terbitnya tuduhan sesat, atau menghina agama atau tradisi sedia ada. Pada 18 Jun 1975, kerajaan melalui Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengumumkan bahawa ajarah Ahmadiyah merupakan ajaran yang diharamkan dan bukan ajaran Islam. Ekoran dari itu Kerajaan Negeri Selangor melalui mesyuarat Jawatankuasa Undang-undang Fatwa Negeri Selangor pada 25 November 1975 turut mengharamkan ajaran Ahmadiyyah dan menetapkan pengikutnya sebagai bukan Islam. Lebih dua dekad kemudian, melalui pewartaan Fatwa Tentang Ajaran Ahmadiyah/Qadiani pada 24 September 1998, pengikut-pengikut Ahmadiyyah telah ditetapkan sebagai kafir. Kemudian pada 17 Ogos 2001, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah menggariskan secara lengkap hal-hal yang berkaitan dengan pengikut ajaran ini. Oleh kerana pengikut Ahmadiyyah telah dianggap bukan Islam maka terdapat beberapa implikasi berkaitan dengan undang-undang keluarga Islam yang perlu diberi perhatian. Kecaman dan penindasan Dalam hal ini, Azharudin Mohamed Dali, pengkaji dari Universiti Malaya dalam makalah beliau “Gerakan Ahmadiah (Qadiani) Di Malaysia: Satu Sorotan Sejarah” menjelaskan terdapat banyak hak-hak pengikut ini tergugur dengan sendirinya, khusus melibatkan hal nikah kahwin dan pewarisan apabila mereka dikafirkan: Ini termasuklah menjelaskan bahawa pengikut ajaran ini diistilahkan sebagai telah murtad atau keluar dari Islam hingga boleh membawa akibat sama ada dari hukum syarak mahupun sivil iaitu, perkahwinan orang tersebut boleh dibubarkan dengan pengesahan Mahkamah Syariah mengikut seksyen 46 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 1984. Orang tersebut tidak boleh menjadi wali dalam akad nikah anak perempuannya; orang tersebut tidak boleh mewarisi harta peninggalan kerabat kerabat Muslimnya; dan orang tersebut tidak berhak untuk mendapatkan apa-apa keistimewaan yang diperuntukkan kepada orang Melayu di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Negeri. Sekiranya hak-hak tersebut telah diberi, dinikmati atau diperolehi oleh orang tersebut, ia hendaklah terhenti dari berkuatkuasa dan bolehlah dilucut, ditarik balik dan dibatalkan, mengikut mana berkenaan, oleh pihak yang berkuasa yang berkaitan. Untuk bersikap adil, perlu dinyatakan di sini yang makalah tulisan Azharudin Mohamed Dali di atas agak sendeng untuk mensesat dan menidakkan keIslaman pengikut Ahmadiyyah. Pakar perlembagaan Profesor Shad Saleem Faruqi menegaskan sebagai ‘bukan Islam’, pengikut ajaran ini masih perlu dilindungi hak-hak kemerdekaan beragama mereka: “Every religion has its own jurisdiction to ‘excommunicate’ deviant followers, but in this case [Ahmadiyah] it should be a matter of last resort since the implications are devastating…as the law was concerned, the Ahmadiyya should enjoy constitutional protection for their freedom of religion if they are considered non-Muslims. But if they want to declare themselves Muslim and follow their version of the faith, then the superior courts will defer to the syariah courts.” Oleh kerana makalah ini bukan berpusat dalam bidang teologi dan hanya berminat membincangkan isu kemerdekaan beragama, maka benar atau sesatnya kelompok Ahmadiyyah diketepikan di sini. Makalah ingin menghujahkan kedudukan pengikut Ahmadiyyah yang mengalami diskriminasi dan pelanggaran hak asasi manusia. Sebagai ‘bukan Islam’, minoriti agama Ahmadiyyah masih kerap menerima gangguan walaupun tidak sekerap dan sekeras yang dialami oleh minoriti Syiah. Sebagai contoh, Jabatan Agama Islam Selangor telah mengeluarkan notis larangan mengerjakan sembahyang Jumaat di Baitussalam berlokasi 11A, Jalan Nakhoda Kanan, Kampung Nakhoda. Surat bertarikh 24 April 2009 ini mendorong pengikut Ahmadiyyah menyewa sebuah ruang kedai di nombor 16-2, Dolomite Park Avenue di Jalan Batu Caves untuk mengerjakan sembahyang Jumaat. Pada 11 April 2014, satu serbuan telah dilakukan yang menyebabkan 37 orang dimuatkan dalam sebuah lori untuk disiasat dan ditahan di Shah Alam. Salah seorang dari mereka, iaitu Encik Ainul Yakin Muhammad Zain telah diminta hadir ke mahkamah syariah pada 23 Oktober 2014. Hal ini ternyata mengelirukan memandangkan secara fatwa, beliau bukanlah seorang Islam. Ini bukanlah kali pertama beliau ditahan Jabatan Agama, pada 17 April 2009, beliau diundang memberi ceramah agama di Masjid Othmaniah Perlis. Dalam majlis tersebut, beliau telah ditahan dan kemudian dilokapkan selama 3 hari tanpa diberitahu sebab-musabab beliau ditahan. Masyarakat Ahmadiyah harus dipertahankan Kes yang melibatkan minoriti Ahmadiyyah menunjukkan kedudukan minoriti agama di Malaysia mengalami gangguan kemerdekaan beragama yang serius. Meskipun jumlah pengikut Ahmadiyyah adalah kecil di negara ini tetapi hak-hak kemerdekaan beragama untuk mereka mestilah diberikan dan tidak dientengkan. Mereka malah dinafikan sebagai seorang Islam dan kehilangan status dalam masyarakat. Kemerdekaan beragama adalah komponen paling utama dalam mencapai kebahagiaan dan kerukunan dalam masyarakat. Oleh kerana itu, perlu difahami yang kesejahteraan rakyat tidak selalunya identik dengan kemakmuran negara. Kesejahteraan orang kecil tidak dapat dicapai jika bahagian masyarakat yang paling dominan melakukan pemomokan dan pembulian terhadap kumpulan kecil. Pemomokan adalah satu bentuk untuk meminggir dan meninggalkan bahagian yang ada dalam masyarakat; tentu ia bukan gagasan yang ingin diutarakan oleh pemerintah. Pemomokan dan pembulian terhadap komuniti agama tertentu di Malaysia memberi gambaran sistem yang ada di Malaysia adalah pincang. Pemomokan ialah apabila berlaku empat perkara; iaitu ketika i) ahli masyarakat yang dominan bertindak membeza dan melabel kumpulan tertentu; ii) pelabelan ini, dalam konteks ini adalah minoriti agama, ditanggapi sebagai ‘sesuatu yang tidak dikehendaki’; iii) seterusnya pihak atau sasaran yang dilabel mengalami pengasingan; iv) dan pengasingan itu, membawa kepada pihak yang dilabel kehilangan status dalam masyarakat secara tidak adil. Apa yang dialami oleh minoriti Ahmadiyyah setelah dilabel sesat dan kafir ternyata menjurus kepada pengasingan sehingga mereka kehilangan status dan hak yang mesti. Untuk membaiki keadaan ini kerajaan perlu segera menandatangani International Covenant on Civil and Political Rights dan menyertai masyarakat antarabangsa. Hal ini sangat mendesak apatah lagi Malaysia kini adalah anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. unnamed

]]>