Projek Dialog

Harapan untuk 2015 sebagai seorang anak muda Kristian Sarawak

Ahli politik Setelah setahun lebih berlalu sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), saya mendapati politikus lebih gemar mencari masalah lain daripada menyelesaikan masalah rakyat. Jika kita lihat apa yang berlaku sejak Januari lalu, sama ada pemerintah mahupun pembangkang rata-rata banyak kontroversi tercipta berbanding dengan pencapaian. Lantaran itu, mengugat fikiran saya bahawa politik partisan di negara ini seakan-akan menjadi hampir tidak relevan kerana masing-masing mempunyai agenda tersembunyi untuk mengekalkan kuasa serta kekayaan. Janji pilihan raya entah kemana apabila manifesto yang menjanjikan kebajikan rakyat sepatutnya dipatuhi. Ambil contoh; janji menurunkan harga kereta ibarat melepas batuk di tangga, janji memberi BR1M dengan kadar RM1200 terpaksa ditunda kepada RM650 sedangkan di dalam manifesto tidak pula dinyatakan akan dinaikan secara beperingkat-peringkat kepada RM1200. Politikus pembangkang juga tidak kurang hebatnya permainannya dengan media dan rakyat dengan isu Hudud, “Kajang Move”, isu Kidex, isu Menteri Besar Selangor, isu air, isu ‘UMNO celaka’, isu pemilihan parti, demonstrasi sana-sini dan pelbagai lagi isu yang seakan-akan tidak begitu penting bagi meringankan rakyat. Rata-rata, politikus pembangkang sengaja mencipta isu-isu remeh bagi menaikkan populariti mereka. Namun, saya juga mahu memuji usaha segelintir mereka yang benar-benar memperjuangkan nasib rakyat sama ada yang tertindas, terpinggir mahupun hak minoriti. Harapan saya buat semua politikus pada tahun mendatang adalah melihat mereka menjadi lebih produktif. Belajarlah merakyat. Itulah sebabnya saya lebih suka jikalau negara ditadbir oleh ‘rakyat’ yang pernah hidup susah mencari rezeki dan bukannya dikalangan bangsawan seperti ahli perniagaan, agamawan dan nepotisme pemimpin lampau dimana mungkin hidup mereka tidak pernah susah, pelajarannya di luar negara dan makanannya mewah. Ekonomi Malaysia dianugerahkan khazanah alam serta kekayaan semula jadinya yang besar dan luas. Namun, dilanda hutang mencecah RM 605 billion berdasarkan maklumat daripada World Debt Clock. Jurang antara pendapatan rendah, sederhana serta atasan amat jauh dan sudah tentu akan mewujudkan ketidak seimbangan ekonomi. Berdepan dengan nilai mata wang ringgit yang rendah serta kadar inflasi yang tidak menentu pada tahun ini telah membuatkan rakyat banyak yang tertekan. Umum diketahui, banyak sudah harga barang dapur meningkat naik akibat kenaikan harga barang minyak. Adakala, saya melihat peniaga sengaja mengambil kesempatan bagi memeras orang ramai dengan menaikkan harga barangan sesuka hati demi nafsu kekayaan mereka. Saya tidak mempunyai harapan banyak untuk ekonomi bagi tahun 2015, kerana saya tahu GST sudah tentu akan membawa impak maksima terhadap kuasa daya beli rakyat Malaysia. Tiada gunanya GST jikalau inflasi tidak dikawal serta urus tadbir kerajaan persekutuan tidak telus dan golongan pendapatan rendah dan sederhana terus tertekan. Kononnya, GST merancakkan ekonomi serta meningkatkan pendapatan negara, saya berharap agar kerajaan telus melaksanakan sebelum digulingkan dek kemarahan rakyat. Isu golongan minoriti   Saya mengakui setiap sistem pentadbiran negara yang ada mempunyai kelemahannya yang tersendiri. Malaysia yang mengamalkan demokrasi berparlimen turut tidak lepas daripada kekurangannya dalam melayani tuntutan golongan minoriti. Ini tidak kurangnya reaksi dan respon masyarakat majoriti terhadap minoriti dan juga respon kelompok arus perdana terhadap kelompok yang ‘lain daripada yang lain’ dan yang dianggap ‘taboo’. Suara majoriti mungkin benar jikalau ianya memberi kesejahteraan umum kepada semua orang. Suara minoriti juga tidak boleh diabaikan jikalau ianya memberi kesejahteraan umum kepada mereka tanpa merosakkan suara minoriti. Suara majoriti adakala salah jika ianya tidak memberi kesejahteraan umum kepada suara minoriti. Prinsipnya mudah, mengikhtiraf keterlibatan masyarakat tanpa mengira fahaman dan ideologi, menghormati, sering mendengar dan berdialog, menerapkan perilaku menolong yang mendokong, memajukan serta mengembangkan keperluan hak asasi manusia yang saksama dan adil tanpa menjejaskan semua pihak. Tuntas, demokrasi tanpa prinsip kesejahteraan umum dengan mudah berubah menjadi totalitarisme terang-terangan atau terselubung. Saya amat tertarik dengan makalah saudara Uthaya Sankar SB yang bertajuk “Minoriti Perlu Berani”. Apa yang saya dapat simpulkan disini, kelompok minoriti sewajarnya tidak boleh membiarkan diri mereka ditindas dan mereka sepatutnya menjadi agen perubahan jika ingin menuntut hak mereka. Isu Sabah dan Sarawak Tahun 2014 merupakan tahun kebangkitan nasionalis Sabah dan Sarawak. Ini dilihat mereka memanfaatkan sepenuhnya kebebasan bersuara mereka di laman media sosial bagi memperjuangkan isu penting seperti Perjanjian Malaysia 1963, hak autonomi, referendum dan sebagainya bersangkut paut dengan hak Sabah dan Sarawak sehingga mendapat liputan luas media. Ramai anak muda dan golongan ‘celik sejarah’ turut tertarik menyokong usaha nasionalis Sabah dan Sarawak dalam mempersoalkan kembali hasil Perjanjian Malaysia 1963 selama 51 tahun ianya dimungkiri. Bahkan kerajaan Persekutuan juga mengugut untuk mengenakan Akta Hasutan 1948 bukanlah penghalang bagi mereka. Tahun 2015 akan menjadi lebih dramatik dalam perjuangan menuntut status quo Sabah dan Sarawak. Harapan Harapan saya untuk melihat Malaysia lebih baik pada tahun 2015 amatlah dinanti-nantikan. Untuk merubah situasi kepada lebih baik memerlukan kaedah “bottom to up” dimana rakyatlah yang perlu menjadi agen perubahan selain daripada mengharapkan golongan politikus mahupun kerajaan. Persoalan penting adalah mampukah rakyat Malaysia menghadapi cabaran yang bakal ditempuhinya? unnamed

]]>