Projek Dialog

Hijab: Antara agama dan budaya

Oleh Afiq Noor Hijab, atau bertudung, merupakan satu amalan yang diterima sebagai sesuatu yang fardhu oleh kebanyakkan kita di Malaysia dan negara-negara Muslim lain. Anjuran untuk berhijab ini disokong oleh dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadith yang menurut saya tidak perlu dihuraikan dengan panjang lebar lagi. Namun saya tertarik untuk membawa perhatian kita kepada perbahasan alternatif seputar isu Hijab yang jarang sekali diketengahkan dalam wacana keislaman di Malaysia. Hijab dalam Al-Quran Anjuran untuk memakai Hijab dapat kita temui di dalam Surah Al-Nuur ayat 31 yang menyatakan: “Katakanlah kepada wanita-wanita mukminah hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau kepada lelaki yang tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya” Dan di dalam Surah Al-Ahzab ayat 59, Allah memerintahkan: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Inilah dasar pijakan hukum yang menjadi asas kepada perintah agar perempuan-perempuan Muslimah untuk menutup rambutnya dan melabuhkan tudungnya sehingga menutupi dada. Aurat berdasarkan fiqh klasik Aurat ditakrifkan sebagai kekurangan atau sesuatu yang memalukan dan mengaibkan dari anggota tubuh badan sekiranya di dedahkan untuk tatapan umum. Menurut Imam Al-Nawawi di dalam Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, aurat diertikan sebagai anggota tubuh manusia yang menurut pandangan umum buruk atau mengaibkan sekiranya diperlihatkan kepada umum dan sekiranya dibiarkan terbuka akan menimbulkan fitnah. Fitnah yang dimaksudkan oleh Al-Nawawi adalah fitnah seksual, oleh yang demikian majoriti ulama’ berpendapat bahawa aurat wajib ditutup. Sekiranya kita meneliti perbahasan fiqh tentang aurat, terutamanya aurat perempuan. Kita akan menemui perbezaan di antara batas aurat perempuan merdeka (Al-Hurrah) dan batas aurat hamba (Al-Amah). Di dalam Mazhab Syafie, batas aurat perempuan merdeka adalah keseluruhan tubuh mereka kecuali muka dan tapak tangan. Bahkan Al-Muzani menambah bahawa tapak kaki perempuan juga bukan termasuk dalam batas aurat yang harus ditutup. Begitu juga pendapat tentang batas aurat perempuan merdeka menurut Mazhab Maliki, walaubagaimanapun menurut Muhammad Bin Abdullah Al-Maghribi sekiranya perempuan merdeka tersebut merasa bimbang terhadap fitnah, maka ia harus menutup muka dan tapak tangannya. Manakala menurut Ibnu Qudamah batas aurat perempuan menurut Mazhab Hanbali adalah keseluruhan tubuh badannya bahkan menurut Abu Bakr Al-Harits, keseluruhan tubuh perempuan adalah aurat termasuklah kukunya. Batas aurat perempuan merdeka dan perempuan hamba Manakala batasan aurat bagi perempuan hamba menurut Imam Al Nawawi boleh dibahagikan kepada tiga pendapat. Pertama, majoriti ulama’ Syafieyah menyatakan bahawa batas aurat bagi perempuan hamba adalah sama seperti batasan aurat lelaki merdeka, iaitu di antara pusat sehingga lutut. Kedua, menurut Al-Thabari batas aurat perempuan hamba sama seperti batas aurat perempuan merdeka kecuali kepala tidak wajib ditutupi. Ketiga, aurat perempuan hamba adalah sama dengan perempuan merdeka kecuali bahagian tubuh badan yang diperlukan untuk membuat kerja seperti kepala, leher dan lengan. Al-Marghinani dalam kitabnya Al-Hidayah Syarh Al-Bidayah menyatakan bahawa batas aurat lelaki adalah sama dengan batas aurat perempuan hamba, perut dan punggung perempuan hamba dan lelaki adalah aurat. Selain dari itu seluruh tubuhnya adalah bukan aurat. Kesimpulan ini dibuat berdasarkan kisah Umar Al Khatab yang telah memerintahkan agar Daffar (seorang hamba perempuan) untuk membuka tudung kepalanya. Umar bertanya kepada Daffar – “Adakah engkau ingin menyerupai perempuan merdeka?” Menurut Al-Marghinani lagi, aurat perempuan hamba tidak sama dengan perempuan merdeka kerana pada kebiasaannya hamba perempuan ini harus keluar dari rumah untuk melunaskan pekerjaan sebagaimana yang diarahkan oleh tuannya. Muhammad Ali Al-Shobuni di dalam Rawa’i Al-Bayan Tafsir Ayat Al Ahkam Min Al Quran senada dengan Al-Marghinani dalam hal aurat perempuan hamba. Menurut beliau perempuan hamba akan terbeban dengan urusan-urusan pekerjaan sehingga terpaksa keluar dari rumah, pergi ke pasar dan memenuhi segala keperluan tuannya. Sekiranya diperintahkan untuk berpakaian seperti perempuan Muslimah merdeka, sudah pasti ia akan menyusahkan dan membebankan hamba perempuan tersebut menyelesaikan urusan pekerjaannya. Sementara itu, Ibnu Hazm di dalam Al-Muhalla’ berpendapat bahawa batas aurat bagi perempuan merdeka dan perempuan hamba adalah sama dalam apa keadaan sekalipun kerana tidak ada dalil dari Al-Quran mahupun Hadith yang menyatakan perbezaan di antara batas aurat perempuan merdeka dan perempuan hamba. Makna aurat berbeza berdasar tafsiran Secara umumnya, sekiranya kita meneliti teks-teks klasik fiqh yang membahaskan tentang persoalan aurat kita pasti akan berjumpa dengan perbahasan-perbahasan tentang perbezaan aurat di antara perempuan merdeka dengan perempuan hamba. Dan perbezaan ini sangat ketara kerana para ulama menyatakan bahawa alasan perbezaan tersebut rata-ratanya adalah untuk memudahkan, keperluan dan mengelakkan kesulitan bagi perempuan hamba tersebut melakukan urusan kerja yang diarahkan oleh tuannya. Ibnu Hajar Al-Asqalani di dalam Fath-Al Bari menyatakan bahawa pakaian (Al-Malabis) adalah berbeza-beza di setiap negeri. Sekiranya kita meneliti dari sudut sejarah dan latar sosial masyarakat arab pada masa tersebut pakaian-pakaian seperti khimar dan jalabib sebagaimana yang disebutkan di dalam Surah Al Nuur ayat 31 merupakan pakaian kebudayaan bagi masyarakat Arab pada ketika itu. Muhammad Tahir Ibn Ashoor di dalam bukunya Maqasid Syariah Al Islamiyah menyatakan bahawa adat kebiasaan sesuatu kaum tidak boleh dipaksakan ke atas kaum lain atas nama agama. Beliau sewaktu menghuraikan Surah Al-Ahzab ayat 59 yang memerintahkan agar isteri-isteri Nabi dan perempuan beriman untuk melabuhkan jilbab mereka sehingga menutupi dada menyatakan – “Ini adalah ajaran yang mempertimbangkan adat orang-orang Arab sehingga bangsa-bangsa lain yang tidak menggunakan jilbab tidak diwajibkan atas syariat ini”. Makna “aurat” bergantung kepada budaya masyarakat dan zaman Tafsiran aurat sendiri begitu subjektif dan berbeza-beza di antara ulama’ walaupun objektif utama penutupan aurat adalah untuk mengelakkan berlakunya fitnah seksual (Khauf Al-Fitnah) terhadap perempuan. Pemahaman terhadap batas anggota tubuh yang membawa keaiban juga berbeza dari setiap tempat dan banyak dipengaruhi oleh keadaan budaya masyarakat setempat. Perempuan, sebagaimana lelaki, mempunyai hak yang sama ke atas tubuh badannya dan berhak diberikan kebebasan untuk memilih pakaian yang menurut pandangannya adalah sesuai dan mampu mengelakkan fitnah. Sekiranya dia memilih untuk bertudung, itu baik untuknya dan sekiranya dia memilih untuk tidak bertudung itu juga baik untuknya. Yang lebih penting ialah mereka memakai pakaian yang terhormat. unnamed

]]>