Projek Dialog

BFMkupas: Tahun pertama

Bfm Kupas yang dibentang oleh Edry Faizal (setelah mengambilalih daripada Ehsan Shahwahid) mengambil inisiatif untuk mewujudkan suatu ruang wacana atau pendebatan melalui saluran media Youtube. Seperti pengguna media di Malaysia, salah satu program yang paling diminati ramai (walaupun fokus utama mereka adalah penduduk bandar) adalah program ‘The Effing Show’ yang dikendalikan oleh PopTeeVee. Tetapi perbezaan ‘The Effing Show’ dan ‘Bfm Kupas’ adalah pendekatan ataupun penyelesaian yang berbeza, dimana The Effing Show hanya mengutamakan komedi dan menyindir secara tersirat melalui parodi. Bfm Kupas tidak mengutamakan sindiran, tetapi lebih kepada cara-cara alternatif tentang dialog yang harus dibangkitkan oleh penonton video tersebut. Inisiatif seperti ini dilihat sebagai sesuatu yang benar-benar positif kerana alternatif seperti ini bukan sahaja memberi ruang wacana yang baru, malah memudahkan lagi anak-anak muda untuk membincangkan tentang isu-isu yang diutarakan kerana ianya lebih senang untuk dicerna, tanpa paksaan pembacaan artikel ataupun esei yang penuh dengan istilah akademik. Mari kita ambil salah satu video terbaru dari pihak mereka, isu bantahan pembinaan gereja, isu posisi logo halal yang diletak bersebelahan dengan gambar kuil, dan isu ideologi yang dikecam oleh pihak ISMA itu disajikan secara santai dan pengacara di dalam video, Edry mencetuskan pelbagai jenis persoalan yang harus bagi kita sebagai rakyat untuk difikirkan. Seperti kemunculan NGO yang mula aktif di dalam ruang wacana politik, dan mempersoalkan konsep wira yang dipegang oleh bangsa melayu. Menarik untuk diperhatikan apabila persoalan-persoalan yang diutarakan oleh mereka lebih untuk membimbing para penonton untuk meneruskan wacana melalui komen-komen dibawah video, atau mungkin sahaja boleh dibawa ke topik kedai kopi dan sebagainya. Dan memberi ruang ataupun keselesaan untuk rakyat membicarakan setiap isu, walaupun tidak dapat kita nafikan bahawa keberanian untuk berfikir tanpa dorongan itu adalah sebenar-benarnya isu yang harus diutarakan. Membawa perbahasan kritis Barangkali mereka ingin membawa peranan sebagai orang tengah, hanya memainkan seni perbidanan untuk mempersoalkan setiap kata-kata ataupun pernyataan yang dibuat oleh pihak-pihak yang terbabit. Kerana saluran alternatif seperti video di Youtube, lebih senang untuk mengambat hati anak-anak muda, dan lebih bagus lagi ia dapat membantu mereka berfikir dengan lebih kritis dan bertanggungjawab untuk menggunakan pemikiran mereka secara mandiri semasa mencerna berita-berita yang dikeluarkan oleh media. Di dalam masa satu tahun, Bfm Kupas berusaha untuk mengeluarkan persoalan-persoalan yang diperlukan oleh kita semua. Selalunya terdapat tiga isu utama di dalam satu video, dan pengacara berjaya mempersoalkan isu-isu tersebut dengan halus. Episod pertama dikeluarkan semasa berlakunya siasatan ke atas Dr. Kassim Ahmad berdasarkan premis sensitiviti orang Islam di Malaysia. Kemudian diteruskan lagi dengan pernyataan ISMA (Ikatan Muslimin Malaysia) tentang perlunya pihak antarabangsa mengakui keberadaan Melayu sebagai pemilik utama negara ini. Pengacara Ehsan Shahwahid berjaya menyentuh bahagian-bahagian yang menjadikan setiap isu itu beralih menjadi rapuh, dan mempersoalkan kapasiti setiap pihak yang terbabit. Seperti kes Kassim Ahmad, pengacara menyatakan dengan jelas tentang keperluan dialog ataupun sesi debat untuk menyelesaikan segala silap faham ataupun kemelut yang berlaku, kerana suatu proses berdialog selari dengan tuntutan di dalam perundangan Islam, dan lebih elok daripada melakukan persidangan akhbar dan mengecam kesemuanya pihak-pihak yang berlainan pendapat daripada ketetapan dominan yang disokong oleh pihak yang berkuasa. Diteruskan lagi dengan kes pernyataan ISMA, pihak Bfm Kupas dengan jelas menyatakan percanggahan yang ketara, iaitu pengutamaan ISMA terhadap isu kedaulatan bangsa Melayu. Bukankah Islam menjangkaui batasan ras, dan bukankah cinta tuhan melebihi pergelutan ideologi ataupun politik? Tidak lari daripada hal sensitif Pihak Bfm Kupas berjaya menunjukkan (mungkin secara tersirat) bahawa pergolakan yang dihasilkan ini adalah disebabkan pengaruh kuasa, dan mengutip kata Ali Shariati di dalam bukunya ‘Religion VS Religion’, puak yang menyebarkan silap faham dan menghancurkan nilai-nilai agama itu sendiri adalah puak-puak agamawan yang menggunakan agama untuk mengukuhkan pengaruh politik mereka. Mereka memulakan dahulu usaha-usaha yang harus dilakukan oleh kita semua sebagai masyarakat. Iaitu suatu usaha untuk mempersoalkan segala masalah ataupun isu yang disebarkan melalui pihak media. Tidak dapat saya nafikan, memang terdapat segelintir daripada kita yang bersetuju dengan pendapat mereka, bahawa isu-isu disebalik semua ini adalah bersendikan suatu proses pembodohan yang ingin disumbatkan kepada rakyat, tetapi mereka mulai mengambil inisiatif untuk menyuarakan dengan cara yang lebih elok, tidak menuduh, tidak sinikal, pesimistik dan tidak juga membabi buta menyatakan alasan yang bakal menimbulkan segala jenis tidak faham yang tidak diingini. Mereka mengambil jalan tengah, jalan yang hanya membuka ruang untuk kita semua memikirkan segala kemelut yang berlaku ini dengan sendiri, dan bimbingan mereka harus dihargai seadanya. Kerana usaha-usaha sebegini juga harus diteruskan lagi oleh pihak-pihak lain, harus menjangkaui pendirian politik kepartian ataupun batasan bangsa dan agama. Mungkin sahaja segala penat lelah dan kebingungan yang berlaku pada masa ini hanya akan membawa kita ke arah sikap sinikal dan pesimistik terhadap cara-cara bagi menangani masalah-masalah yang ada. Tetapi atas nama kemajuan negara kita sendiri, bukan dari segi pembangunan fizikal ataupun dari pengumpulan harta persendirian, tetapi atas nama kesejahteraan manusia dan mampu mengiringi kita ke kerangka pemikiran yang lebih bagus. Tanpa sandaran kepada mana-mana inisiatif pihak luar, sebaliknya kukuh berdiri di atas kaki sendiri. Pihak mereka melalui usaha-usaha video mereka berjaya menunjukkan bukti bahawa kita sebagai rakyat biasa mampu berfikir secara kritis, suatu kondisi pemikiran yang berjaya menggugat naratif pihak berkuasa yang ingin berselindung disebalik sikap feudalisme, dimana rakyat biasa tidak mampu dan tidak boleh mempersoalkan apa-apa tindakan yang dilakukan oleh mereka. Mereka berdiri di atas dasar amateurism, seperti yang diajukan oleh Edward Said, “…keinginan yang tidak digerakkan oleh keuntungan atau ganjaran tetapi oleh nilai cinta dan minat yang tidak dapat dihilangkan dalam melihat sesuatu isu yang lebih besar dan menyeluruh, mencari hubung kaitnya, dan menolak untuk diikat di dalam suatu bidang kepakaran, dan kasih benar terhadap idea-idea dan nilai-nilai sejagat meskipun dibatasi oleh sesuatu karier.” Peranan utama yang dibawakan oleh mereka bersesuaian dengan objektiviti Projek Dialog dan buat masa ini, ianya satu-satunya platform media yang mempersoalkan niat ataupun agenda disebalik isu-isu sosio-politik melalui laman web youtube. Khas untuk masyarakat tempatan dan tidak disertakan individu yang berpengaruh, barangkali untuk mengelakkan tanggapan bahawa mereka merupakan platform yang berat sebelah. unnamed

]]>