“Tuan Yang di-Pertua, memang untuk menakutkan Raja-Raja, selalunya pihak yang pergi berhujah di hadapan Raja mengatakan; “Awas! jangan jadi seperti Iran, di mana rakyatnya bangun menggulingkan Shah Iran, sebuah pemerintah Beraja yang mempunyai kuasa mutlak. Tetapi tidak diterangkan siapa yang mampu menggerakkan rakyat, kenapa rakyat memberi kepercayaan kepada orang yang menggerakkan rakyat? Tidak lain, kerana orang yang menggerakkan rakyat itu ialah Imam Khomeini, yang hidup serba sederhana, dan bila berjaya memerintah, beliau sebagai Ketua Negara dalam negara yang kaya, hanya diam dalam gerobok yang buruk sahaja. Sebab itu rakyat memberi keyakinan kepada beliau. Dan contoh itu, insya Allah, di abad ini cuba diikut oleh Menteri Besar Kelantan, Yang Amat Berhormat Tok Guru Nik Abdul Aziz,telah mencapai kuasa menggerakkan rakyat, rakyat memberi kepercayaan kerana beliau duduk di rumah buruk di Pulau Melaka, rumah lamanya itu, baru ia boleh bercakap bahasa rakyat dan bercakap di atas denyutan nadi rakyat.” Sementara itu Clive Kessler, yang menulis belasungkawa tentang Nik Abdul Aziz, menghimbau kembali pilihanraya 1986 yang menurut beliau dilatari oleh calon-calon PAS yang ghairahkan ‘syariah’ ekoran terpengaruh dari fenomena yang berlaku di Iran: “The 1986 elections —— held when Dr. Mahathir had risen high in his early ascendancy, and before any of the major problems of his prime ministership had asserted themselves —— was also the first election held after the young Shari’ah-minded Islamists around Hadi Awang had seized control of the party from Datuk Asri Haji Muda. It was not a good campaign for PAS, and it was made worse by the fact that it offered a strenuously Shari’ah-minded platform that owed much to recent revolutionary events in Iran.” Dalam majalah Dunia Islam bilangan 56 edisi Febuari 1995, Nik Aziz menyatakan kebolehan Ayatullah Khomeini memimpin sebuah negara sebagai seorang ulama mengkagumkan beliau. Malah Khomeini disebut sebagai hebat oleh Nik Abdul Aziz. [2] Dalam wawancara majalah tersebut itu juga, Nik Aziz menolak dakwaan bahawa Syiah sebagai ‘kafir’. Harus diingatkan di sini, sanjungan Nik Aziz terhadap Ayatullah Khomeini tidak semestinya beliau berminat dengan Syiah, ini kerana beliau pernah menyatakan bahawa beliau tidak berminat dengan Syiah. [3] Seperti yang telah dinyatakan sebelumnya, sehingga setakat ini kita masih belum ada contoh kepimpinan ulama yang progresif. Oleh kerana itu, tidak dapat tidak, sehingga kini, sebarang penilaian mengenai kemampuan ulama (justeru dilihat ‘Islam’) memimpin masih berdasarkan dua contoh kepimpinan ini. Dalam dekad 80an, di era PAS masih dipengaruhi dan mendapat tempias pentadbiran Islam ala Iran, seperti yang dinyatakan oleh Clive Kessler di atas, sikap Nik Abdul Aziz terhadap Iran justeru Syiah dapat ditanggapi positif. Malah hubungan Nik Abdul Aziz dengan seorang ulama Iran, Ayatullah Jaafar Hadi yang ketika itu menetap di Malaysia diketahui sangat akrab. Sebagai sahabat, mereka bertemu kembali selepas lebih sepuluh tahun. AsSajjad Movement pernah menyiarkan foto pertemuan terakhir mereka pada 24 Februari 2011 dalam satu pertemuan tertutup. Majalah Dunia Islam yang dikaitkan dengan PAS pada waktu itu juga sering membuat liputan yang positif mengenai Iran, dan Syiah. Malah terdapat buku-buku karangan ahli atau aktivis PAS secara berani menjadikan wajah Nik Abdul Aziz dan Ayatullah Ali Khamenei (pemimpin Iran sekarang) sebagai kaver buku mereka demi memancing pembeli dan pembaca. Pada tahun 2010, apabila bermulanya gelombang kebencian terhadap masyarakat Syiah ekoran serbuan terhadap sebuah pusat komuniti mereka di Gombak, Selangor, kita dapat melihat bagaimana Nik Abdul Aziz berubah sikap terhadap Syiah dan memaparkannya secara jelas. Dalam teks ucapan bajet 2011 beliau di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Nik Abdul Aziz yang masih Menteri Besar pada waktu itu menyatakan; ‘Program-program pengukuhan akidah diteruskan bagi membasmi mana-mana fahaman, ajaran dan amalan yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah’. Meskipun kenyataan beliau tersebut masih belum dapat dihujahkan sebagai menyebar kebencian terhadap penganut mazhab tersebut, pada hujung tahun 2013 apabila kebencian terhadap mazhab Syiah mencapai kemuncaknya dalam masyarakat, Nik Abdul Aziz akhirnya menyatakan, yang beliau menyokong supaya ‘Syiah tidak wajar wujud di negara ini’. Beberapa minggu sebelum mengeluarkan kenyataan di atas beliau muncul dalam satu majlis penerangan ‘Bahaya Ajaran dan Fahaman Syiah Dalam Masyarakat Islam di Malaysia’ di Kota Bharu. Majlis itu dihadiri oleh beliau selaku Mursyidul Am Pas, turut ‘menghimpunkan pegawai dan kakitangan masjid dari seluruh negeri Kelantan’. Sebelum dari itu pada tahun 2012, Nik Abdul Aziz telah mencegah bahan pameran mengenai mazhab Syiah di Ekspo Perdagangan Dunia Islam 2012 yang di Stadium Sultan Muhammad IV. Kesempatan mendidik masyarakat tentang mazhab Syiah yang pernah beliau sorot secara positif dalam tahun 80an tidak berlaku. Dalam satu kenyataan bertarikh bertarikh 28 Rajab 1433 H bersamaan 18 Jun 2012, Nik Abdul Aziz menyatakan: “Saya dimaklumkan bahawa terdapat bahan-bahan berunsur Syiah yang dipamerkan di Ekspo Perdagangan Dunia Islam 2012 yang sedang berlangsung di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV pada masa ini. Bagi pihak kerajaan negeri Kelantan, saya ingin melahirkan rasa dukacita yang teramat sangat di atas sikap peserta ekspo yang nyata sekali tidak menghormati sentimen umat Islam tempatan yang berpegang dengan akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Justeru, saya telah mengarahkan agar pihak urusetia memastikan semua bahan-bahan ini diturunkan serta merta dengan seberapa segera serta memastikan perkara ini tidak berulang. Saya merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang bertindak segera di dalam memaklumkan perkara ini kepada pihak urusetia khususnya serta pihak kerajaan untuk tindakan. Pada saya, urusan akidah ialah perkara yang tiada tolak ansur.” Apa yang kurang diketahui umum adalah gerai pameran di ekspo perdagangan tersebut disertai oleh sebuah entiti kerajaan Iran yang hanya mempamer poster wajah pemimpin mereka iaitu Ayatullah Khomeini dan Ayatullah Khamenei. Terlepas dari dakwaan beliau seorang ulama kaum muda, atau berpegang kepada akidah menjisimkan Allah, satu hal yang sering dilupakan adalah Nik Abdul Aziz juga adalah seorang ahli politik. Sebagai ahli politik beliau dengan cekap sekali menunggang gelombang pro atau anti Iran ini melampaui tiga dekad. Perubahan pegangan politik ini terserlah berdasarkan sikap beliau sendiri. Ini menjadi satu yang menarik untuk dikaji memandangkan, dalam masa yang sama, iaitu pada tahun 2013, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang agak berhati-hati untuk menolak dan memomok Syiah. Beliau menyatakan: “Para ulama telah menyenaraikan mazhab-mazhab yang keluar daripada agama Islam dan mazhab yang masih dianggap penganut Islam, kerana masih berpegang dengan rukun-rukun asas dalam perkara iman dan Islam walau pun salah ijtihadnya. Mereka membilangkan dua mazhab dalam Syiah, iaitu Imamiyyah dan Zaidiyyah, dan satu mazhab dalam Khawarij iaitu ‘Ibadiyyah dimasukkan dalam kategori umat Islam.” Tidak dapat dinafikan kesederhanaan dalam kehidupan adalah kekuatan Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan. Rata-rata pengulas dan pengenang almarhum menyebut soal rumah kayu, kain pelikat dan pemotongan elaun. Kesederhanaan hidup Nik Abdul Aziz dapat dilihat juga pada gaya hidup Ayatullah Khomeini yang sering dikaitkan dengan beliau. Harus dinyatakan di sini, kesederhanaan dapat menjadi kekuatan yang menonjol seperti yang diperlihatkan oleh kedua-dua ulama ini. Secara objektif pencapaian Nik Abdul Aziz di Kelantan juga sederhana. Sebagai contoh, antara produk yang sempat beliau perkenalkan adalah pajak gadai Islam. Tidak dinafikan pentadbiran beliau sering disandarkan dengan kelahiran produk Ar-Rahn di Kelantan. Ini adalah salah satu sumbangan beliau dalam kemajuan ekonomi negeri tersebut: Sistem pajak gadai Islam (Ar-Rahn) yang dipelopori oleh PAS di Kelantan kini dicontohi oleh Iain-lain pihak adalah satu ikhtiar untuk menghapuskan riba. la menyediakan alternatif kepada amalan riba dan ia juga adalah satu alternatif yang dibuat oleh kerajaan negeri Kelantan dalam memerangi kemiskinan. [4] Selain dari itu, Sisters in Islam turut memuji secara sederhana dua polisi Nik Abdul Aziz ketika menjadi Menteri Besar Kelantan iaitu ‘memanjangkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari’ dan cubaan mempraktikkan ‘tafsiran Asnaf Muallaf dalam pembahagian zakat harus diperluaskan dan memasukkan bukan Islam yang berada dalam kesempitan dan keperluan sebagai penerima zakat’. Untuk lebih adil satu hal yang menjadikan sumbangan beliau sederhana seperti yang dinyatakan di atas adalah kerana faktor keterbatasan ruang. Hal ini menghalang Nik Aziz merasai status lebih besar seperti Ayatullah Khomeini secara globalnya. Ini adalah kerana beliau hanya memimpin sebuah negeri yang kecil, dengan penuh keterhadan dan sumber ekonomi yang kecil. Selain itu Nik Abdul Aziz juga berdepan dengan seteru politik dalam bentuk kerajaan Persekutuan yang banyak memberi ganjalan kepada kelicinan kepimpinan beliau. Pun, kedua-duanya merasai persamaan yang sama di hari pengkebumian mereka. Ayatullah Khomeini dan Nik Abdul Aziz dihantar oleh jumlah besar pengikut dan pencinta kedua-duanya ke pemakaman. Seperti yang dinyatakan di awal, dunia Islam hanya berpeluang melihat dua orang ulama tradisional memimpin di zaman moden. Adalah secara kebetulan mereka datang dari dua mazhab berbeza. Di awal pentadbiran beliau, Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak segan silu menyatakan beliau belajar dari kepimpinan Ayatullah Khomeini. Namun demikian, beliau menjarakkan diri dari imej pemimpin Iran tersebut kerana faktor momokan terhadap Syiah yang kuat melanda masyarakat. Jelas, kekuatan kedua-dua ulama tradisional ini adalah kehidupan mereka yang sederhana dan penuh kezuhudan. RUJUKAN [1] Mohamad Bin Sabu. 1993. Penyata Rasmi Parlimen. Dewan Rakyat. Parlimen Kelapan. Penggal Kedua. Penolakan Majlis Raja-Raja Terhadap Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 1993 [Ruangan 13479]. 18 Januari. Jilid Ii. Bil. 67. Hlm. 13626-13627.) [2] Nik Abdul Aziz Nik Mat. 1995. ‘Wawancara: Saya Sanjung Tinggi Ayatollah Khomeini.” Dunia Islam. 56. Edisi Febuari. 16. [3] Utusan Malaysia. 1993. Nik Aziz Nik Mat menegaskan bahawa beliau tidak berminat dengan ajaran Syiah. Utusan Malaysia. 24 Jun. [4] Surtahman Kastin Hasan dan Norfadzilah Ahmad. 2004. “Pemikiran Tuan Guru Dato’ Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat Dalam Ekonomi.” Jurnal Usuluddin 20 . 83. 69-88.
]]>