Gambar: Fernando Fong, The Rakyat Post[/caption] Di kelas jalanan Chow Kit kemudiannya, Nik mengkhabarkan padaku bahawa ada anak yang tidak mahu belajar. Aku tanyakan kembali kalau budak itu tak mahu belajar atau dia mahu belajar benda lain. Seperti biasa kami bersembang dengan kanak-kanak itu, cuba memujuknya tanpa memaksa. Sebagai manusia dia tidak boleh dipaksa, dan sebagai anak yang sangat kecil dan hidup dalam persekitaran dan budaya dimana dia harus menurut perintah, dia masih tidak mampu memikul autoriti membuat keputusan sendiri sebebasnya. Kami cuba bimbing, cuba cari minat dia. Bersembang-sembang dengan rakan-rakan gerakan lain yang datang memerhati dan berkongsi idea, aku meluahkan harapan kepada seorang kawan untuk mendapatkan tenaga orang-orang yang minat mengajar mereka kemahiran-kemahiran spesifik sesuai dengan minat mereka. Kita beri mereka pededahan, ajar mereka kemahiran itu, bimbing mereka menentukan arah tuju. Semasa aku di sekolah dulu, seperti kau, aku dipaksa belajar semua subjek oleh guru dan fokus pada kesemua subjek itu, akhirnya yang aku minat pun entah ke mana yang aku tak minat pun ke longkang. Aku risau kalau-kalau budak-budak ini pun tidak ada yang mahu melihat mana minat dan bakat sebenar mereka dan apa yang mereka mahu buat dalam hidup. [caption id="attachment_4601" align="aligncenter" width="380"] Gambar: Sciencedaily.com[/caption] Kita boleh katakan ibu bapa mereka memainkan peranan penting, tapi kita juga perlu faham ibu bapa mereka bukan beruntung seperti kita. Ini bukan dari kalangan ibu bapa yang mana ibu melayan muzik Mozart sewaktu mengandung anak dengan suami di sisi memegang tangannya sambil tersenyum, mampu memberi makanan dan nutrisi sihat kepada anak-anak, menghantar mereka ke nurseri kemudian ke sekolah, ulang-alik ke sekolah berdiskusi dengan guru tentang perkembangan anak-anak, menyediakan tusyen serta mengajar di rumah ketika musim cuti, menolong dengan kerja-kerja sekolah, manghantar mereka ke kelas piano, biola dan gimnastik atau kelas seni melukis. Itupun kalau semua yang dilakukan ini benar-benar untuk membentuk anak menjadi manusia baik yang bebas dan faham kebebasan orang lain. Terkadang tampaknya cuma seperti menyerahkan tanggungjawab kita sendiri pada institusi lain supaya anak itu ‘menjadi’. Menyerahkan duit kepada orang lain untuk menghasilkan anak cemerlang. Nah, ibu bapa yang ‘beruntung’ ini pun akhirnya cuma menunggu magis berlaku hasil dari pelaburannya sana sini. Kita juga tidak boleh memaksa pengalaman kita atau gagasan kita semata-mata ke atas mereka. Kita bukan mahu menjadikan mereka seperti kita. Mereka akan menjadi diri mereka, bebas memilih apa yang mereka mahu. Cuma perlu dibimbing cara-cara untuk mereka mendapat kebebasan itu, dan bagaimana untuk menikmatinya tanpa merampas kebebasan orang lain. Di Chow Kit tempat mereka belajar, kenderaan berasak-asak dalam kesesakan lalu lintas sampai ke tengah malam. Adakah kita mahu keluarkan mereka dari kemiskinan mereka dan masukkan mereka ke dalam kemiskinan yang satu lagi ini? Adakah kita mahu mereka jadi seperti kita yang tertipu dengan industri perniagaan pendidikan dan kemudian menjadi robot-robot pejabat dan syarikat-syarikat besar? Itu bukan kejayaan namanya. Ianya tidak membebaskan mereka. [caption id="attachment_4602" align="alignleft" width="140"] Gambar: NBC News[/caption] Kita adalah produk pendidikan yang mengajar kita supaya terlibat dalam perlumbaan tikus (‘rat race’) ekonomi di mana kita diajar untuk memijak kepala satu sama lain untuk menjadi nombor satu dan perkara ini nampaknya akan berlanjutan ke anak cucu kita. Fokus cuma diberi kepada kebolehan individu tanpa mengambil kira kesannya terhadap struktur masyarakat. Kita menghasilkan kuda-kuda lumba yang laju tapi golongan terpinggir terus disisihkan, walhal kita ini orang-orang yang berpendidikan. Kita cuba wujudkan satu persekitaran di Chow Kit di mana anak-anak ini kenal erti kerjasama dan menghormati satu sama lain dalam proses mereka menjadi manusia yang baik. Bukan cuma menjadi apa yang ia mahu jadi tanpa menghiraukan persekitaran. Mereka boleh dibimbing berbincang dan membuat keputusan secara kolektif kerana hakikatnya mereka juga seperti kita, jiwa-jiwa yang bermasyarakat. Di situ kita sendiri akan belajar bagaimana kita pun menjadi seperti itu kerana kita sendiri perlu kesedaran ini. Kita dan mereka, saling belajar dari satu sama lain. Kolektif-kolektif, gerakan-gerakan yang melakukan khidmat masyarakat tidak perlu bersatu di bawah panji sama. Masing-masing mengendali kolektif masing-masing tetapi kita tidak dapat lari dari mempunyai kesefahaman, semangat setiakawan dan solidariti untuk satu sama lain. Ini bukan persaingan antara syarikat korporat, ini bukan permainan mengejar nama baik. Kita belajar dari satu sama lain, bergantung kepada satu sama lain sejurus menyedari bahawa ‘nasib’ kita ini di tangan kita sendiri yang mana semakin kuat kita bekerjasama semakin mudah kita mengharungi kesusahan. Kita tidak perlu ada pengurus-pengurus lantikan yang menguruskan kita dan membuat keputusan untuk kita tanpa bertanya pendapat kita. Kita tidak mahu jadi masyarakat yang pasif dan tidak terlibat dalam keputusan-keputusan yang membabitkan kita di mana demokrasi itu cuma perkataan yang sia-sia, yang diucapkan oleh orang-orang dari mimbar tinggi, orang-orang yang langsung tidak memahami kita atau mewakili kita. Nak tukar mentol pun upah si Parjo.
]]>