Projek Dialog

Pendidikan Merawat Sikap Kediktatoran (Bahagian 1)

Dictatorship Kedikdatoran: Mengenali Suatu Masalah Apabila menyebut tentang kediktatoran dan sifat-sifatnya, antara yang terawal muncul dalam minda sesetengah orang ialah gambaran sebuah pemerintahan mutlak yang berlandaskan pandangan seseorang individu, ataupun beberapa individu tertentu dan tidak terikat dengan perlembagaan mahupun peraturan. Pemerintah diktator lazimnya akan menuju ke arah kezaliman kerana sesebuah kuasa dan pemerintahan mutlak seringkali akan menjadi korup dengan mutlak. Namun demikian perbincangan mengenai kediktatoran sentiasa terhenti sekadar sifat “pemimpin diktator” sambil dilupakan perihal kediktatoran yang wujud dalam diri sesetengah masyarakat dan individu. Saya melihat, kewujudan pemimpin diktator dan zalim tidak sunyi daripada kewujudan awal sebuah masyarakat yang diktator. Justeru, sebuah pemerintahan diktator hanya bisa dijatuhkan sekiranya dijalankan aktiviti merawat masyarakat yang diktator. Masyarakat Diktator Masyarakat diktator yang saya maksudkan ialah sebuah masyarakat individualistik, tamak dan beragama serta berideologi demi kepentingan. Mereka hidup dalam keadaan senang, justeru tiada apa yang perlu diperjuangkan sekalipun pemerintahan di hadapannya mencanggahi demokrasi dan mencabuli hak-hak rakyat sendiri. Respon mereka terhadap sesebuah pemerintahan despotik ialah “asalkan bukan aku dan keluargaku”. Sekiranya sesebuah pemerintahan diktator mahu menentukan cara pemerintahan, undang-undang dan sebagainya menurut kepala mereka semata-mata, masyarakat diktator juga berkongsi sikap sedemikian. Sekiranya mereka majoriti, mereka mahu menentukan cara berpakaian, mazhab dan agama golongan lain dengan kekuasaan ataupun kekuatan yang dimiliki. Pokoknya, masyarakat diktator ingin menentukan semua perkara. Menurut masyarakat diktator, kelompok minoriti ataupun “yang lain” mestilah mengikuti apa yang mereka yakini sekalipun dalam masa yang sama, mereka sendiri tidak gemar jika kehidupan mereka dikawal dan ditentukan oleh orang lain. Justeru dalam hubungan antara kaum dan agama, ruang awam tidak digunakan untuk menyelesaikan perselisihan dan perbezaan, sebaliknya pengharaman buku, serbuan dan undang-undang dianggap sebagai penyelesaian. Anggapan mereka, gunung yang tinggi hanya boleh didaki menerusi laluan yang diambil kelompoknya, adapun laluan lain tidak diizinkan sedangkan tiada sesiapa bisa memaksa apa yang ada dalam nurani manusia. Lantas, demokrasi yang asalnya mahu menjatuhkan kezaliman dan kediktatoran, telah mencetuskan tirani majoriti ke atas kaum minoriti. Kalaupun masyarakat diktator melaungkan slogan kebebasan bersuara, syaratnya suara itu menyebelahi mereka. Jika tidak, orang yang bersuara itu akan dilabel sebagai jumud, tradisional, sesat, “liberal” ataupun kafir. Mereka mahu berkata-kata tetapi enggan mendengar, mereka mahu bebas tetapi enggan membebaskan. Justeru, individualistik menjadi sangat cocok dengan kewujudan masyarakat diktator, sikap individualistik itu menyebabkan kewujudan masyarakat pluralistik langsung tidak diendahkan, apatah lagi dihargai. Barangkali inilah yang dinamakan sebagai minda dogmatik sebagaimana dinyatakan oleh Prof. Dr Tariq Ramadan dalam bukunya The Quest for Meaning: “Minda dogmatik memperlihatkan satu lagi ciri. Salah untuk kita andaikan bahawa ia hanya menerima kewujudan satu pandang arah: minda dogmatik ialah satu minda binari. Sementara ia mengatakan bahawa kebenaran dalam pandangannya itu satu-satunya kebenaran, caranya pula begitu ekslusif dan fahaman universalnya merupakan satu-satunya universal, pada pandangannya – dalam waktu yang sama – sesuatu yang tidak mengikuti kebenaran tersebut, jalan tersebut dan keuniversalan tersebut, paling tidak, merupakan sesuatu yang sama sekali ‘lain’ dan yang paling parah, merupakan sesuatu yang salah.” Dictator Al-Kawakibi, Kediktatoran dan Ilmu Seorang tokoh intelektual Muslim terkenal khasnya pada era kolonial, Abdul Rahman al-Kawakibi (1849-1902) semasa mengulas perihal kediktatoran telah memetik beberapa kata-kata, antaranya ialah: “Kediktatoran merupakan musuh kebenaran, musuh kebebasan dan merupakan pembunuh kedua-duanya. Kebenaran merupakan bapa kepada manusia, sementara kebebasan pula ibu mereka. Rakyat merupakan anak-anak yatim yang tidur dan tidak mengetahui apa-apa, sementara para ilmuan pula merupakan saudara mereka yang bijaksana. Sekiranya mereka (golongan ilmuan) mengejutkan rakyat, pasti rakyat akan bergerak aktif. Adapun jika para ilmuan meninggalkan mereka, mereka akan kekal sebagaimana sebelumnya, lantas akan bersambung tidur mereka (rakyat) dengan kematian.” Kenyataan tersebut wujud dalam buku terkenalnya berjudul Tobai’ al-Istibdad wa Masori’ al-Isti’bad. Menurutnya lagi, antara kediktatoran yang paling hodoh ialah kediktatoran kejahilan ke atas ilmu dan kediktatoran nafsu ke atas akal (rasional). Al-Kawakibi mengulang-ulang hubungan antara ilmu dan akal dalam menangani kediktatoran. Beliau menggambarkan betapa sebuah masyarakat yang diperintah oleh kuasa diktator sebenarnya disebabkan sikap mereka yang menyerahkan akal kepada pihak pemerintah sehingga diperbodohkan. Selain itu mereka tidak berupaya bertindak ke atas projek pembodohan yang sedang ditimpakan ke atas mereka. Al-Kawakibi antara lain menegaskan: “Para ilmuan menggesa kepada pencerahan akal, sementara golongan diktator gigih berusaha memadamkan cahaya pencerahan itu. Dua golongan ini (para ilmuan dan pemerintah diktator) saling menarik orang ramai, siapakah orang ramai itu? Mereka merupakan golongan yang apabila jahil, mereka menjadi takut, apabila takut, mereka menyerah (kepada diktator). Sebagaimana mereka merupakan golongan yang apabila berpengetahuan, mereka berkata-kata, dan apabila mereka berkata-kata, mereka melaksana.” Kaum yang jahil pasti akan memberi keuntungan kepada pemerintah yang diktator. Justeru sekalipun seorang pemerintah diktator memberi ruang demokrasi menerusi pilihanraya yang diadakan beberapa tahun sekali, ruang kebebasan memilih itu ibarat debu-debu yang berterbangan kerana masyarakat terus bodoh dan diperbodohkan. Apa guna kaum yang dibutakan diberi pilihan membuat penghakiman terhadap perkara yang memerlukan penglihatan yang tajam? Apa yang boleh dibanggakan jika kaum yang dipekakkan diberi pilihan membuat penghakiman terhadap sesuatu yang memerlukan pendengaran yang teliti? Oleh yang demikian, kediktatoran pemerintahan sememangnya berasal dari sifat-sifat kediktatoran yang wujud pada sesebuah masyarakat. Adapun antara penawar kepada kediktatoran itu ialah rawatan terhadap masyarakat, salah satunya yang penting ialah menerusi medan pendidikan.   Dictator Image Ketakutan: Individual dan Kolektif Justeru dalam konteks perbincangan kita, apabila berbicara soal kediktatoran, wajar kita timbulkan persoalan; kalau mahu menentang kediktatoran, apa dan siapa yang terlebih dahulu mesti dibetulkan? Saya melihat, jawapannya ialah manusia; iaitu kita semua….. (bersambung ke bahagian dua) [Ulangsiar makalah yang telah diterbitkan pada 27 April 2014]

]]>

Kami Kristian Palestin Menyebut Allahu Akbar

Archbishop Sebastia Theodosis. Gambar: Nadezhda Kevorkova Archbishop Sebastia Theodosis. Gambar: Nadezhda Kevorkova[/caption] Terjemahan makalah “We Palestinian Christians say Allahu Akbar”, terbitan RT pada 30 Januari 2015. Diterjemahkan oleh Yana Rizal. Satu-satunya biskop Kristian Ortodoks Palestin yang bercakap mengenai penderitaan Kristian di Palestin, perpaduan mereka dengan Muslim dalam memperjuangkan Palestin, tentang syahid Kristian Ortodoks, dan Ukraine. Ketua Biskop Sebastia Theodosios (Atallah Hanna), 49, merupakan satu-satunya ketua biskop Kristian Ortodoks dari Palestin yang ditempatkan di Jerusalem dan di Tanah Suci, sementara semua biskop lain dari Patriarki Jerusalem adalah warga Yunani. Pihak berkuasa Israel telah menahan beliau beberapa kali, atau menghalangnya di sempadan, dan mengambil pasportnya. Antara semua paderi Jerusalem beliaulah satu-satunya yang tidak berkeistimewaan melalui pintu VIP di lapangan terbang – kerana kewarganegaraanya. “Bagi pihak berkuasa Israel, saya bukan seorang biskop, tetapi warga Palestin,” jelas beliau. Apabila bercakap di telefon beliau banyak menggunakan perkataan yang biasanya didengari dari seorang Muslim: “Alhamdulillah, Insya’Allah, Masha’Allah”. Beliau berbicara dalam Bahasa Arab, dan bahasa Arab untuk ‘tuhan’ ialah Allah, sama ada anda Kristian atau Muslim. Yang Mulia, bagaimana rasanya sebagai seorang biskop Palestin di Tanah Suci? Pertama sekali, saya ingin mengesahkan bahawa saya satu-satunya biskop Palestin di Patriarki Ortodoks Jerusalem. Seorang biskop sedang berkhidmat di bandar Irbid di utara Jordan; dan di sana terdapat juga beberapa paderi Palestin. Saya berbangga menjadi sebahagian daripada institusi agama yang berusia lebih 2,000 tahun ini. Gereja saya telah melindungi kewujudan Kristian di Tanah Suci serta barangan suci yang berkaitan kehidupan Kristus dan sejarah Gereja Kristian. Saya berbangga dengan agama dan kewarganegaraan saya, saya berbangga menjadi anak watan tanahair ini. Saya warga Palestin, dan saya tergolong dalam kelompok agama yang berjuang demi kebebasan dan martabat untuk impian dan hak kenegaraan mereka. Saya menyokong Palestin dan berkongsi perjuangan dan isu-isu mereka. Kami Kristian Ortodoks Palestin tidak terpisah daripada kesusahan mereka. Isu Palestin merupakan masalah yang membimbangkan kita semua, Kristian dan Islam. Ia adalah masalah setiap intelek bebas yang menginginkan keadilan dan kebebasan di dunia ini. Kami Kristian Palestin menderita bersama-sama seluruh rakyat Palestin kerana penjajahan dan kesusahan ekonomi kita. Muslim dan Kristian sama-sama menderita, tiada perbezaan penderitaan antara kita. Kita semua hidup dalam keadaan rumit yang sama, menghadapi masalah yang sama. Sebagai gereja dan individu kami membela rakyat ini, dan kami berharap suatu hari nanti rakyat Palestin akan meraih kebebasan dan martabat mereka. Mereka yang melawat Tanah Suci berpeluang melihat betapa sukarnya keadaan rakyat Palestin. Apa pesanan anda kepada mereka yang ingin lebih memahami masalah Palestin? Israel melayan rakyat Palestin dengan cara yang tak mampu diterima atau diredhai, pertama sekali kerana Israel menganggap Palestin sebagai warga asing, seolah-olah kami pendatang di tempat sendiri. Rakyat Palestin tidak asing kepada Jerusalem ataupun tanah air keseluruhannya. Israel adalah kuasa penjajahan yang melayan kami sebagai penziarah atau penduduk sementara. Namun kami adalah orang asal negara ini. Kami bukan pendatang, kami sentiasa di sini. Sebaliknya, Israel yang muncul secara tiba-tiba. Mereka melayan kami seperti kami berhijrah ke sini dari tempat lain, seolah-olah kami dengan tidak sengaja baru sahaja sesat ke negara ini. Namun kami adalah pemilik sah tanah ini. Kami bukan menceroboh ke Israel. Israel yang menceroboh hidup kami pada tahun 1948, dan pada 1967 ia menjajah Jerusalem Timur. Kami berada di sini sekian lamanya sebelum Israel. Apabila Israel muncul di sini, nenek moyang kami telah menghuni kawasan ini berabad lamanya. Inilah sebabnya kami tidak mampu menerima layanan Israel terhadap kami seperti orang asing di tanah air sendiri. Saya secara jujur ​​akan mengatakannya sekali lagi: Kristian dan Muslim kedua-duanya mengalami penderitaan yang sama daripada Israel. [caption id="attachment_4926" align="aligncenter" width="588"]Kristian Ortodoks di Sungai Jordan untuk menyambut pesta Epiphany di mana Yesus dibaptiskan oleh John the Baptist.  Gambar: REUTERS/Mohamad Torokman Kristian Ortodoks di Sungai Jordan untuk menyambut pesta Epiphany di mana Yesus dibaptiskan oleh John the Baptist.
Gambar: REUTERS/Mohamad Torokman[/caption] Adakah ianya sama sukar bagi warga Palestin beragama Kristian dari Tebing Barat untuk melawat Jerusalem, seperti ianya sukar buat seorang Muslim? Mereka takkan bertanya sama ada seseorang yang tiba dari Beit Jala atau Ramallah ke Jerusalem adalah seorang Kristian atau Muslim. Mereka hanya akan bertanya, “Adakah kamu mempunyai permit untuk memasuki Jerusalem atau tidak?” Pas yang membenarkan seorang warga Palestin memasuki Jerusalem diluluskan oleh Israel. Tiada siapa yang boleh memasukinya tanpa ia. Dalam melaksanakan dasar perkaumannya terhadap rakyat Palestin, Israel mengabaikan perbezaan agama. Kami semua disasarkan sama sahaja. Ia semua bergantung kepada pas, sama ada anda seorang Kristian atau Muslim. Kami semua adalah sasaran mereka. Selain itu, Israel menguasai banyak harta Gereja Kristian Ortodoks dan mengganggu hal ehwal dalaman Gereja. Mereka memberi tekanan kepada orang-orang Kristian Palestin dengan pelbagai cara untuk cuba memaksa mereka meninggalkan tanah air. Punca penderitaan kedua-dua Kristian dan Muslim di Tanah Suci ini hanyalah satu. Serangan baru-baru ini terhadap majalah satira Perancis telah mencetuskan gerakan perarakan anti-Islam di Eropah. Netanyahu berada di hadapan barisan salah satu perarakan tersebut. Apakah tanggapan kamu terhadap ini? Kami mengutuk serangan di Paris yang dilakukan oleh orang-orang yang kononnya mewakili suatu agama. Namun mereka tidak mewakili mana-mana agama – mereka adalah pembunuh. Serangan ini dilakukan oleh orang-orang yang mendakwa mereka beriman, namun mereka pastinya tidak mewakili Islam dan tidak mampu bertindak atas nama Islam, sebaliknya mereka hanya merosakkan imej Islam dengan apa yang dilakukan. Pada masa yang sama, kami mengutuk operasi keganasan di Syria dan Iraq sama seperti kami mengutuk serangan pengganas di Paris. Mereka yang melakukan keganasan di Paris dan di tempat lain, tergolong dalam kumpulan sama seperti pengganas di Syria dan Iraq yang menyerang tempat suci, merosakkan gereja dan menculik pemimpin agama. Mereka menyerang wanita dan kanak-kanak di Syria, Lubnan dan Iraq. Kami menjadi saksi keganasan di Tripoli, Lubnan beberapa hari yang lalu yang mengorbankan berpuluh-puluh orang yang tidak bersalah di kafe. Kami mengutuk keganasan di Paris dan kami juga sama mengutuk mana-mana serangan seperti itu di dunia. Kami menentang sekeras-kerasnya sebarang kaitan antara serangan tersebut dengan Islam. Kami sekarang membuat persediaan untuk persidangan antarabangsa yang akan disertai tokoh-tokoh agama – Kristian, Muslim dan Yahudi – dari pelbagai negara. Kami ingin menegaskan bahawa kami, sebagai wakil ketiga-tiga agama monoteistik ini, sebulat suara menentang keganasan dan ketaksuban yang dilakukan atas slogan agama. Persidangan tersebut barangkali diadakan di Amman, Jordan. Pada pemikiran Barat, kalimah Allahu Akbar kedengaran seperti ancaman. Apakah tanggapan Kristian di Tanah Suci mengenainya? Kami Kristian juga mengatakan Allahu Akbar. Ini ungkapan pemahaman kita bahawa Sang Pencipta adalah Maha Besar. Kita tidak mahu kata-kata ini dikaitkan dengan keganasan dan jenayah. Kami menolak sebarang kaitan antara perkataan-perkataan tersebut dengan pembunuhan. Kita menentang penggunaan ungkapan tersebut dalam konteks sebegini. Mereka yang berbuat demikian, hanya menghina agama dan nilai-nilai agama kita. Mereka yang menggunakan kata-kata ini ketika melakukan perkara yang tidak beragama, tiada kerohanian, dan tidak bertamadun hanya merosakkan agama. Allahu Akbar adalah ungkapan keimanan kita. Seseorang tidak boleh menggunakan kata-kata tersebut untuk tujuan yang bukan keagamaan demi membenarkan keganasan. Adakah ungkapan Allahu Akbar disebut di dalam gereja? Sudah tentu. Bagi kami, Allah bukanlah istilah Islamik. Ia perkataan Arab yang merujuk kepada Sang Pencipta yang membina dunia kita ini. Jadi apabila dikatakan Allah di dalam doa-doa kami, yang dimaksudkan adalah Pencipta dunia ini. Doa dan seruan kami dalam upacara keagamaan Kristian Ortodoks mengunakan perkataan ini. Kami katakan, pujian kepada Allah untuk setiap masa. Kita banyak menyebut Allah dalam liturgi kami. Ianya salah untuk memikirkan bahawa kalimah Allah hanya digunakan oleh orang Islam. Kami umat Kristian Arab menyebut Allah dalam bahasa kami sebagai cara untuk mengenalpasti dan menyeru Pencipta dalam doa-doa kami. [caption id="attachment_4927" align="aligncenter" width="548"]Misa Krismas di Gereja Natal - Bethlehem, di Tebing Barat. Gambar: REUTERS/Ammar Awad Misa Krismas di Gereja Natal – Bethlehem, di Tebing Barat. Gambar: REUTERS/Ammar Awad[/caption] Adakah ini semua tentang Kristus? Adakah beliau yang mencetuskan perpecahan agama di Tanah Suci? Kristian dan Muslim mengiktiraf bahawa Yesus Kristus dilahirkan, dan mereka sedang menunggu kedatangannya yang kedua, dan hari akhirat. Namun Yahudi menafikan ini, dan menantikan Penyelamat mereka. Umat Kristian mempercayai bahawa Yesus telah datang. Baru-baru ini kami menyambut Krismas sebagai peringatan bahawa Yesus telah tiba ke dunia ini, bahawa dia dilahirkan di Bethlehem, dan memulakan perjalanannya di Tanah Suci ini demi keseluruhan umat manusia, dan menyelamatkan dunia. Jadi bagi kami, Yesus telah datang. Yahudi mempercayai bahawa dia belum tiba, dan menantikan kedatangannya. Inilah perselisihan utama di antara orang Yahudi dengan kami. Kami mempercayai bahawa Yesus telah datang, namun mereka tidak. Pun begitu, kami tidak berperang dengan orang Yahudi. Kami tidak melakukan keganasan terhadap orang Yahudi atau sesiapapun di dunia ini, walaupun berbeza dalam kepercayaan kita. Kami berdoa untuk mereka yang tidak bersetuju dengan kami. Apabila Yesus datang ke dunia ini beliau tidak mengarahkan kami untuk membenci, mengabaikan, atau berperang antara satu sama lain; beliau tidak menyuruh kami untuk membunuh yang ini atau yang itu. Beliau memberikan satu arahan mudah: iaitu saling mengasihi. Apabila Yesus memerintahkan kami untuk saling mengasihi, kasih sayang ini tidak terbatas kepada bagaimana seseorang itu, atau apa yang dia lakukan. Jika kita benar-benar Kristian, maka ia beban hutang kita untuk mengasihi semua orang, dan melayani mereka dengan positif, dan kasih sayang. Apabila kita melihat seseorang yang berdosa, hilang, dan jauh dari Allah dan keimanan, seseorang yang melakukan kesalahan, maka ia tanggungjawab kita untuk berdoa untuknya walaupun dia mungkin berbeza dari kita dan agama kita. Apabila kita berbeza pendapat tentang agama, kita berdoa agar Allah memberi petunjuk kepada mereka ke jalan yang benar. Kebencian, kemarahan, dan tuduhan bahawa kepercayaan seseorang itu salah bukanlah etika kita sebagai umat Kristian. Ini adalah perbezaan utama antara agama Yahudi dengan kami. Agama Yahudi yang wujud sebelum Kristus adalah agama bagi orang yang menunggu kedatangan Yesus. Ramai orang Yahudi yang mengikutinya, namun masih ada yang tidak mempercayainya, dan menolaknya. Kita tahu bahawa Yesus telah dianiaya, dan begitu juga umat Kristian terawal. Sebagai contoh, Raja Herod telah membunuh ribuan bayi di Bethlehem kerana mengesyaki Yesus di antara mereka. Kitab Kisah Para Rasul, serta tradisi suci, menceritakan banyak kisah penganiayaan Kristian terawal. Namun begitu, kami melihat setiap orang yang tidak bersependapat dengan kami tentang agama sebagai saudara, manusia sesama kita. Allah menciptakan kita semua, memberikan nyawa, maka ianya tanggungjawab kita untuk menyayangi setiap seorang, dan mendoakan mereka yang tersilap atau salah faham, supaya Allah membimbing mereka ke jalan yang benar. Adakah itu sebabnya orang Kristian dan orang Islam ditindas? Kami tidak membahagikan rakyat Palestin kepada Kristian dan Muslim, siapa yang alim dan siapa yang tidak, yang berhaluan kiri atau ahli parti yang mana. Kami tidak membahagikan manusia mengikut kepercayaan atau agama. Untuk gerakan penentang ia tidak kira sama ada mereka beragama Islam atau Kristian. Walau apapun pandangan politik mereka, semua rakyat Palestin secara aktif menyokong bahawa mereka patut diberikan hak dan mampu mencapai impian mereka. Ya, beberapa orang Kristian telah terbunuh sejak 1948 hingga ke hari ini. Beberapa orang Kristian telah dihalau keluar dari rumah-rumah mereka. Beberapa perkampungan Kristian telah musnah, dan kini tiada satu pun rumah atau penghuni di sana, contohnya, Al Galil di Golan Heights. Banyak gereja telah diserang di Jerusalem; terdapat beberapa percubaan untuk merampas harta dan tanah mereka. Ada Kristian yang dipenjarakan di Israel – tidak seramai orang Muslim, tetapi ada. Masyarakat Kristian umumnya lebih kecil, namun kami mempunyai para syahid sendiri yang terbunuh dan banduan yang menghabiskan bertahun-tahun lamanya di penjara. Kristian menderita di bawah penjajahan Israel sama seperti orang Islam – penduduk Palestin keseluruhannya menderita di bawahnya. Mereka tidak membezakan antara kita. Adakah terdapat sebarang aspek khas bagi umat Kristian yang tinggal di Tanah Suci? Ini adalah salah satu contohnya, yang berkait dengan Gereja Ortodoks Rusia. Gereja Besar Holy Trinity terletak di bahagian barat Jerusalem dan merupakan milik Gereja Ortodoks Rusia, namun selepas 1948 Israel mengambil kesempatan terhadap keadaan di Rusia untuk merampas beberapa bangunan di sekitar gereja besar tersebut, dan menggunakannya sebagai markas polis dan penjara yang mengamalkan penyeksaan. Apabila seseorang mengatakan “moskobiya”, merujuk kepada sesuatu yang berhubung dengan Patriarki Moscow, iaitu sesuatu yang suci dan spiritual, perkara pertama yang akan terlintas di fikiran seorang Palestin yang hidup di Jerusalem adalah penyeksaan, polis, soal siasat dan penjara. Di Nazareth, sebagai contoh, perkataan “moskobiya” dikaitkan khas dengan sebuah sekolah Rusia lama di mana pelajarnya adalah di kalangan warga elit Palestin, para saintis dan ahli politik. Walaupun ianya telah ditutup selepas Revolusi 1917 di Rusia, kemasyhurannya masih hidup. Jadi, ia hanyalah buat rakyat Palestin di Jerusalem. Apakah pendapat warga Kristian Palestin, maksud saya Kristian Ortodoks terutamanya, tentang krisis di Ukraine? Secara keseluruhannya, kami amat bimbang dengan perpisahan di Ukraine. Kami masih mempercayai semua umat Kristian Ukraine patut kekal di bawah naungan Gereja Ibu iaitu Patriarki Moscow. Saya berharap krisis Ukraine mampu diselesaikan melalui dialog supaya kita dapat melihat perdamaian dan tamatnya keganasan serta pertumpahan darah. Umat Kristian tidak memerlukan peperangan dan pembunuhan. Krisis politik perlu diselesaikan secara aman. Gereja mesti bekerja keras untuk memastikan bahawa jurang dirapatkan dan diatasi. Gereja Ortodoks di Ukraine adalah kuat kerana kebanyakannya berkepercayaan Kristian Ortodoks. Perpecahan mesti diperbetulkan. Kami benar-benar berharap bahawa segala usaha Patriarki Moscow dan Patriarki Constantinople dapat menyatukan semula Gereja Ukraine. Saya percaya perpecahan tersebut mampu dipulihkan dan mereka yang mengasingkan diri dapat kembali semula. Namun untuk itu, kita perlu merendah diri, yakin dan bersemangat teguh. Kami berdoa untuk Gereja Ortodoks di Ukraine.

]]>

Cinta, Harapan & Identiti Malaysia

Malaysia Majmuk Warna-warni Malaysia Malaysia adalah sebuah negera majmuk dengan pelbagai budaya, tradisi and kaum etnik. Keadaan ini membuatkan negara kita unik, dimana kepelbagaian telah mencorakkan identiti kita sebagai rakyat Malaysia. Sejarah masyarakat Malaysia adalah amat berwarna dan bebas. Banyak imigran-imigran yang dibelenggu dengan kemiskinan, kepapaan dan sistem kasta pada masa lampau berhijrah ke tanah Malaya kerana ditawarkan dengan tiket kebebasan dan peluang untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Jadi tidak hairanlah, pertembungan kepelbagaian ini melahirkan komuniti-komuniti yang berdarah kacukan. Sejak kecil, saya tidak pernah terlintas di fikiran bahawa diri saya unik, bagi saya itu merupakan sesuatu yang lazim dalam negara kita. Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang berdarah kacukan. Ayah saya merupakan seorang Cina Hokkien yang mempunyai darah kacukkan Burma-Thai, dan ibu saya pula berdarah campuran Indonesia dan Serani. Jika saya mengupas balik sejarah nenek moyang saya, darah kacukan saya adalah amat luas. Tetapi kini, saya dikenali sebagai seorang Melayu di dalam sijil surat beranak saya. Hal ini adalah amat menghairankan, kerana saya telah ditempatkan di dalam kotak sempit yang dilebelkan Melayu. Dengan itu, saya juga dianggap perlu mempunyai perwatakan, selera dan pemikiran seorang Melayu. Walhal, kehidupan dan identiti saya adalah sama sekali bukan demikian. Politik pecah dan perintah (divide and rule) ini telah menyebabkan saya melalui saat-saat diskriminasi dan kekeliruan terhadap identiti saya semasa kecil. Keterasingan Perkauman di Malaysia Dasar pendidikan dan ekonomi bukan sahaja berat sebelah, malah masyarakat juga dipolitikkan untuk menstereotaip dan syakwasangka antara satu sama lain. Identiti nasional Bangsa Malaysia, langsung tidak diberi perhatian daripada ahli politik, guru-guru, mahupun masyarakat. Bahkan, sejak kecil kami telah dikelompokkan dan diindoktrinasikan dengan ideologi perkauman. Masyarakat kita, walaupun majmuk tetapi jarang sekali bergaul antara satu sama lain. Sejak kecil, saya sering didiskriminasi kerana identiti saya yang kompleks. Saya bersekolah di sekolah Cina dan kawasan perumahan kami kebanyakannya penduduk berbangsa Melayu. Oleh itu saya sentiasa didepani dengan kelompok-kelompok mono-etnik, menyebabkan saya sering keseorangan kerana saya tidak mencerminkan perwatakan mono-etnik. Cinta Malaysia Dahulu Kala Saya cemburu terhadap zaman ibubapa saya, walaupun hidup mereka tidak mempunyai teknologi canggih dan internet seperti kini, tetapi memori mereka tentang zaman itu adalah kebebasan. Ayah saya dari sekolah aliran Inggeris pada zaman British dahulu tetapi rakan-rakan sekolahnya terdiri daripada pelbagai bangsa. Zaman dahulu, adalah kebiasaan bagi masyarakat pelbagai bangsa mengadakan pesta joget di rumah, sama ada untuk jamuan ataupun majlis keramaian. Malaysia MultiracialSeringkali, wanita zaman dahulu memakai miniskirt atau kebaya ketat, membuat rambut ala ‘sarang tebuan’, dan berdandan. Lelaki pula memakai seluar ‘bell bottom’ yang ketat dan memiliki rambut dan kumis ala ‘hippie’. Kisah percintaan ibubapa saya adalah kisah cinta kebanyakan muda-mudi pada zaman mereka, tetapi idea perkauman langsung tidak terlintas difikiran mereka. Kisah cinta ibu dan bapa saya bagaikan cerita ‘Grease’, bapa saya merupakan ‘playboy’ pada zamannya, sentiasa kelihatan macho dan diidami wanita dari pelbagai bangsa, tetapi ibu saya seorang yang lemah-lembut menjadi idamannya. Bagi saya, cinta adalah sesuatu yang sangat berkuasa, ia mampu menyatukan warna kulit dan ideologi. Kisah cinta nenek moyang saya pula berbeza, mereka lebih bebas kerana pada zaman mereka tiada keperluan visa atau passport, seseorang mempunyai mobiliti yang tiada sempadan, jadi tidak hairanlah nenek moyang saya berkahwin campur. Datuk moyang ayah saya berasal dari negara Cina, di sebuah tempat yang bernama ‘Swatow’  di daerah Guangzhou. Kehidupannya sangat miskin dan tiada peluang pekerjaan yang bagus, jadi, seperti kebanyakan imigran-imigran Cina pada zaman dahulu, mereka sanggup menempuh risiko nyawa di lautan Laut Cina Selatan, semata-mata keinginan untuk kehidupan yang baru dan lebih baik. Tanah Malaya merupakan negara yang penuh dengan peluang hidup dan pekerjaan. Datuk moyang saya menjadi seorang ahli bisnes yang berjaya di Kedah, dan pada masa sama, dia telah jatuh cinta terhadap nenek moyang saya yang berbangsa Burma-Thai dari Songkla, yang lazimnya berkebaya dan bersarung. Nenek moyang belah ibu saya juga mempunyai kisah cinta berlainan budaya. Datuk saya seorang wartawan dan sasterawan dan merupakan salah seorang kaum kerabat dari Langkat, Sumatera. Ketika itu Indonesia sedang menghadapi pergolakkan politik dan rusuhan, maka dia telah menjadi pelarian politik ke Tanah Malaya. Namun begitu, dia telah jatuh cinta terhadap nenek saya yang berbangsa Serani. Nenek saya adalah dari masyarakat Kristang keluarga ‘De Rozario’ yang amat berdisiplin, ayahnya adalah seorang Portugis dan ibunya adalah dari kacukan Parsi dan Sri Lanka. Masyarakat Kristang dahulu amat berpegang terhadap agama katolik mereka. Perkauman tidak menjadi masalah pada zaman tersebut, malah agak lazim keluarga-keluarga susah memberi anak mereka kepada keluarga dari bangsa lain tanpa ragu-ragu. Adik angkat kepada nenek saya berbangsa Cina. Saya percaya, sejarah cinta ibubapa saya dan nenek moyang saya bukanlah unik atau berbeza dengan sejarah cinta kebanyakan masyarakat Malaysia dahulukala. Retorik bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain adalah lapuk, hal ini kerana cinta telah membuka ruang kepada kepelbagaian yang terdapat dalam masyarakat Malaysia kini. Budaya dan bangsa juga adalah lebih harmoni dan berkepelbagaian jika ia dibiar bebas untuk berkembang tanpa campurtangan dari kerajaan atau negara. Hakikat Malaysia Zaman Kini Jadi apakah identiti Malaysia dalam abad ke-21 ini? Adakah kita masih perlu melihat diri masing-masing melalui konteks bangsa and perkauman? Di mana-mana sekarang, masyarakat Malaysia kini terlalu taksub dengan identiti bangsa mereka sehinggakan ia memecah-belah kepercayaan dan kesamaan antara satu sama lain. Amat ketara dilihat kelompok-kelompok mono-etnik yang terasing di negara mereka sendiri, yang masing-masing mempunyai realiti hidup dan aspirasi yang berbeza. Identiti nasional kita terlalu lemah, apatah lagi dasar-dasar dan pemerintah kerajaan yang bersifat pecah dan perintah, dan golongan elit serta ahli politik yang lebih selesa dengan status quo. Saya percaya kita mampu mewujudkan identiti nasional yang kukuh, tetapi bukanlah berdasarkan konsep asimilasi. Perhatian kerajaan terlalu mengagungkan konsep kepelbagaian yang retorik dan cetek, pada masa yang sama budaya Melayu dijadikan satu-satunya tunggak identiti Malaysia. Maka wujudnya rasisme secara terang-terangan terhadap sesiapa yang tidak mengikut acuan tersebut sebagai ‘pendatang’ dan rasisme berbalik ‘reverse racism’ oleh kaum-kaum lain terhadap masyarakat Melayu. Kita perlu menghadapi realiti yang Malaysia merupakan negara imigran dan majmuk. malaysia-flag Membentuk Identiti Bangsa Malaysia Pada pandangan saya, identiti Malaysia seharusnya berdasarkan konsep kesamaan nilai dan cita-cita. Ini adalah konsep yang sangat asas dan universal, kerana kesamaan nilai dan cita-cita adalah matlamat asal bagi kebanyakan masyarakat Malaya dahulukala yang berhijrah ke tanah Malaya. Tanah Malaya merupakan bumi yang subur dan kaya dengan pelbagai peluang hidup yang cerah. Saya percaya, datuk dan nenek moyang saya berhijrah dengan harapan untuk membina kehidupan baru, dimana semua kaum dan bangsa diberi peluang untuk maju dengan sama rata. Mungkin idea saya terlalu romantik, namun hakikatnya ini juga adalah dorongan bagi kebanyakan muda-mudi zaman sekarang untuk berhijrah ke negara-negara maju yang lain. Mereka ingin mencari peluang hidup dan pekerjaan yang lebih baik, dan fenomena ‘brain drain’ ini akhirnya menyebabkan kehilangan yang besar bagi ekonomi Malaysia. Jadi, apakah kesamaan nilai dan cita-cita yang ada antara semua rakyat Malaysia? Saya rasa ini tidak susah untuk kita fahami. Kebanyakan rakyat Malaysia inginkan kesetaraan, kebebasan dan keadilan. Kita tidak semestinya perlu berperwatakan mono-etnik, berfikiran sama atau memiliki budaya yang ‘homogeneous’. Setiap manusia adalah berbeda-beda dan unik, tetapi aspirasi hidup kita adalah sama. Saya percaya, kebanyakan masyarakat Malaysia inginkan pendidikan yang bermutu tinggi, sistem pemerintahan yang bebas daripada rasuah dan kronisme, sistem kesihatan percuma dan berkualiti tinggi, pemeliharaan kebajikan pekerja, kos hidup dan perumahan yang rendah, alam sekitar terpelihara, kebebasan menjadi diri kita sendiri tanpa diskriminasi, kualiti kehidupan yang bagus, dan sebagainya. Selain itu, kepercayaan dan perpaduan antara kaum dan bangsa boleh dikecapi jika semua rakyat Malaysia diberi ruang untuk berbincang dan berkongsi untuk memajukan dan memakmurkan negara Malaysia. Pemahaman terhadap sejarah dan budaya Malaysia yang tidak berat sebelah juga penting, hal ini kerana raykat Malaysia dari pelbagai kaum dan bangsa telah bertungkus lumus dan berkeringat darah untuk membina negara ini. Perpaduan kebangsaan atau ‘National Unity’ adalah sebuah proses, dimana nilai-nilai yang utuh dan cita-cita yang universal dijadikan asas identiti Malaysia yang kita semua boleh banggakan. Walaupun aspirasi tersebut masih jauh tetapi saya percaya jika cinta dan harapan telah membawa nenek moyang saya dan ibubapa saya memanggil Malaysia sebagai ‘rumah’; cinta dan harapan juga boleh menjadi matlamat arah tuju bagi membentuk identiti Malaysia zaman kini. [Ulangsiar makalah yang diterbitkan pada 29 November 2012.]

]]>

Rombongan Pusat Islam Berbuka di Gurdwara – Dubai

Tetamu dari Pusat Islam Al Manar di Gurdwara Guru Nanak Darbar. Gambar: Khaleej Times Tetamu dari Pusat Islam Al Manar di Gurdwara Guru Nanak Darbar. Gambar: Khaleej Times[/caption] Terjemahan makalah “Islamic Centre Members Break Fast at Dubai Gurdwara”, terbitan Asia Samachar pada 24 Jun 2015. Diterjemahkan oleh Yana Rizal. Tahun lepas, 10 anggota dari Pusat Islam Al Manar telah melawat Guru Nanak Darbar untuk menggalakkan persefahaman antara agama. Tiba jam 7.16pm, waktu rasmi berbuka puasa pada bulan suci Ramadan di Dubai, suasana di dewan langar (dewan makan di Gurudwara Guru Nanak Darbar, iaitu sebuah kuil Sikh) berkumandang dengan alunan azan, bukan dengan bacaan kirtan seperti biasa, demi menghormati para tetamu dari Pusat Al Manar. Di satu bahagian, sekumpulan manusia duduk bersila dalam barisan menunggu hidangan langar (makan malam), manakala bahagian sebelahnya dikhaskan sebagai ruang solat. Pengalaman ini amat menyentuh hati. “Saya tidak pernah menyaksikan sesuatu sebegini sebelum ini,” kata Surjit Kaur, seorang wanita lanjut usia dari Punjab di utara India, yang sedang melawat anaknya di Dubai. Antara persitiwa julung kalinya buat Gurudwara yang baru dibuka pada bulan Januari 2012 itu, rombongan dari Pusat Islam Al Manar telah melawat pada hari Selasa demi menggalakkan persefahaman antara agama. Kedua-dua pihak saling bertukar mesej keamanan di dewan ibadat utama dan petangnya diikuti dengan hidangan mewah juadah vegetarian untuk Iftar. [caption id="attachment_4914" align="aligncenter" width="517"]Surinder Singh Kandhari (paling kiri) menyertai tetamu untuk berbuka puasa di Gurudwara. Gambar: Khaleej Times Surinder Singh Kandhari (paling kiri) menyertai tetamu untuk berbuka puasa di Gurudwara. Gambar: Khaleej Times[/caption] “Saya rasakan ia usaha baik untuk mengadakan dialog terbuka antara warga berbeza agama dan amalan,” kata Surinder Singh Kandhari, Pengerusi Gurudwara Guru Nanak Darbar. “Lawatan seperti ini membantu menjelaskan salah faham. Dunia ini begitu besar dan ianya sesuatu yang baik untuk mempelajari dari agama lain juga. Sikh sebagai agama memuliakan toleransi, kesetaraan, sikap membantu dan kerendahan hati, dan Islam berkongsi prinsip yang sama,” katanya. “Kami berterima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Shaikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE merangkap Pemerintah Dubai kerana memberikan kami tanah ini secara percuma dan memberi kebenaran untuk membina rumah ibadat dan mengamalkan agama kami secara bebas. “Kami dibenarkan menghidangkan langar sepanjang hari walaupun di bulan suci Ramadan. Lawatan ini melambangkan kemuliaan sama yang telah ditunjukkan pemerintah ke atas agama lain. ” Ketika beramah-mesra, gurudwara tersebut telah menghadiahkan delegasi dengan Saropa, iaitu pakaian kehormatan tertinggi di sebuah gurudwara. “Kami mengambil inisiatif ini ketika di Konvensyen Keamanan Dubai, yang merupakan acara dua tahun sekali. Kami menjemput wakil pelbagai agama; kami pernah menerima delegasi dari gereja dan kuil. Matlamatnya ialah untuk menyebarkan mesej keamanan melalui dialog. Usaha kami adalah supaya orang ramai dapat mengenali intipati Ramadan, mengapa ianya benar-benar istimewa bagi umat Islam,” ujar Abdul Hadi dari Pusat Islam Al Manar. Al Manar adalah pusat pengajian al-Quran dan dakwah yang diselia di bawah naungan Shaikha Hind binti Maktoum bin Juma Al Maktoum, isteri Duli Yang Maha Mulia Shaikh Mohammed. Jumaat lalu, 150 warga Sikh telah dijemput ke Pusat Islam tersebut untuk berbuka puasa dan berbicara.

]]>

Manipulasi Fakta dalam Buku Teks Sejarah

Sejarah Tingkatan 1 Sejarah Pada Anak-anak Kita Ada masa fakta dimanipulasi untuk menyampaikan propaganda, agenda dan dakyah yang membawa kemusnahan kepada perpaduan kaum yang dipupuk sejak dahulu. Demikianlah juga hal yang dapat diperhatikan dalam isu fakta mengenai kedatangan Portugis seperti yang disajikan kepada pelajar Tingkatan 1 di seluruh negara menerusi buku teks Sejarah. Baru-baru ini, beberapa ibu bapa beragama Kristian meluahkan rasa kurang selesa apabila anak-anak pulang dari sekolah dan bertanya tentang gambaran negatif mengenai orang Kristian dalam buku teks Sejarah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Apabila meneliti kandungan yang dimaksudkan, saya sendiri berasa hairan kerana “fakta” yang dipelajari di sekolah pada tahun 1960-an dan 1970-an tidak sama dengan “fakta” yang disogokkan sekarang. “Kedatangan orang Portugis ke Timur dikaitkan dengan keinginan mereka meneruskan Perang Salib. Mereka ingin menghancurkan kerajaan Islam yang ada di Timur termasuk kerajaan Melaka yang merupakan pusat perkembangan dan penyebaran agama Islam. Pada masa yang sama, Portugis mahu menyebarkan agama Kristian.” Demikian dipaparkan dalam buku teks Sejarah Tingkatan 1 yang ditulis oleh Ahmad Fawzi Mohd Basri, Mohd Fo’ad Sakdan dan Azami Man; serta disunting oleh Wan Norliani Wan Jusoh dan Nazri Mohamad Don. Edisi yang saya baca adalah terbitan 2009 dan dimaklumkan bahawa terbitan 2014 juga sama kandungannya. Saya memaparkan foto halaman buku berkenaan di Facebook pada 30 Jun 2015 untuk mendapatkan reaksi daripada rakan-rakan yang pernah belajar Sejarah di sekolah dahulu. Dalam masa beberapa hari sahaja, paparan itu dikongsi lebih 1,660 orang dari seluruh negara. Masing-masing hairan dengan “fakta” yang dipaparkan sebagai tujuan utama Portugis datang ke Timur. “Apa yang sedang berlaku di negara ini? Sejarah yang saya belajar menyatakan Portugis datang ke Timur untuk rempah-ratus,” komen Kalidas Muniandy. Nagathisen Katahenggam menambah: “Tujuan utama kedatangan Portugis untuk penguasai perdagangan dan meluaskan kuasa.” Manakala Aiza Zizan merujuk kepada konsep Gospel, Gold, Glory (Keagamaan, Kekayaan, Kemegahan) yang memotivasi pelayaran orang Portugis dahulu. Turut melahirkan rasa hairan ialah Hendry Rao yang tertanya-tanya bagaimana konsep 3G yang menjadi asas kedatangan Portugis bertukar menjadi “agenda Kristianisasi” semata-mata. [caption id="attachment_4919" align="aligncenter" width="501"]Fakta dimanipulasi memberikan gambaran negatif tentang orang Kristian. Fakta dimanipulasi memberikan gambaran negatif tentang orang Kristian.[/caption] Pelbagai Pihak Tampil Luah Rasa Hairan dan Kecewa Prabha Rajoo mengimbas apa yang pernah dipelajari sejak sekolah rendah pada 1980-an dan berkata, “Sejarah yang saya belajar menyatakan orang Portugis datang ke Melaka untuk mendapatkan monopoli perdagangan rempah.” Memanglah ada pihak yang tampil berhujah, Portugis turut menyebarkan ajaran Kristian di Timur. Akan tetapi, entah mengapa aspek itu yang diangkat dan dijadikan tujuan utama dalam buku teks sekolah. “Hanya di Malaysia, sejarah boleh diolah, ditukar dan dimanipulasi sesuka hati,” kata Vicknes Loganathan bagi meluahkan kekecewaan terhadap insiden yang berlaku. “Setahu saya, orang Portugis tiba di Melaka untuk memecahkan aliran perdagangan antara China dan Arab. Ini berkaitan aliran perdagangan rempah-ratus yang dibawa ke Venice,” Jayaprakash Jayachandran menghuraikan. S. Annadurai menasihatkan pihak terbabit (KPM) supaya tidak mempolitikkan fakta sejarah demi agenda peribadi. Alexandar Alex menambah, “Sekiranya tindakan mengubah sejarah berterusan, ia tidak boleh digelar sejarah tetapi harus diberi gelaran mitos.” Gopal Subramaniam yang turut memberikan komen menjelaskan hakikat Portugis menawan Melaka pada 1511: “Penjajahan kuasa Barat hanya tamat pada 1957. Selama 446 tahun Tanah Melayu berada di bawah penjajah. Apakan ada bukti sekurang-kurangnya seorang Muslim masuk agama Kristian sepanjang tempoh itu?” Paparan yang dibuat di Facebook turut mendapat perhatian wartawan Malay Mail Online. Apabila dihubungi untuk mendapatkan maklumat, saya meluahkan rasa kecewa kerana Perang Salib dijadikan alasan utama dalam buku teks Sejarah berbanding tujuan sebenar, iaitu perdagangan dan peluasan kuasa. Natijahnya, pelajar (remaja) pelbagai kaum dan agama akan mendapat gambaran tidak tepat mengenai orang Kristian (Portugis). Hal ini saya alami sendiri apabila beberapa pelajar Tingkatan 1 bertanya, apakah orang Kristian jahat kerana menawan Melaka untuk memaksa orang Islam memeluk ajaran Kristian. Selepas isu ini diketengahkan menerusi laporan di Malay Mail Online pada 5 Julai 2015, pensyarah Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Dr Sivachandralingam Sundara Raja tampil mengakui kesilapan dalam buku teks berkenaan. “Portugis datang ke Timur untuk mendapatkan rempah-ratus. Mereka datang untuk berdagang; bukan untuk menjajah dan mengambil alih seluruh negara; serta bukan sesekali untuk meneruskan Perang Salib,” katanya (Malay Mail Online, 5 Julai 2015). Dua hari kemudian, penulis buku sejarah yang amat disegani, Ranjit Singh Malhi, dipetik sebagai berkata, hakikat keinginan Portugis meneruskan Perang Salib di Timur memang ada dinyatakan dalam buku teks Sejarah pada tahun 1960-an. [caption id="attachment_4921" align="aligncenter" width="491"]Pakar bidang mengesahkan buku teks Sejarah dipenuhi kesalahan fakta. Pakar bidang mengesahkan buku teks Sejarah dipenuhi kesalahan fakta.[/caption] Agenda Terancang Kuasawan dan Pemerintah “Tujuan utama kedatangan Portugis ke Melaka adalah untuk menguasai perdagangan rempah. Sebab utama Portugis menawan Melaka adalah untuk menguasai perdagangan rempah,” kata Ranjit sambil mengaku penjajah turut berusaha menyebarkan ajaran Kristian (Malay Mail Online, 7 Julai 2015). Untuk rekod, pada tahun 2010, Ranjit dan seorang lagi pakar sejarah, Ng How Kuen, tampil mendedahkan penipuan, manipulasi dan kesalahan fakta yang disumbat ke dalam buku teks Sejarah bagi tujuan politik pihak pemerintah. Akhbar The Sun (13 Disember 2010) melaporkan kenyataan Ranjit yang menyelar kandungan buku teks Sejarah terbitan 1996 bagi pelajar Tingkatan 1. Contohnya, dinyatakan kononnya beberapa pedagang India meminjamkan kapal mereka kepada Portugis yang mahu menyerang dan menawan Melaka. Pada 26 Mei 2015, Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew mengemukakan pertanyaan di Dewan Rakyat mengenai laporan terdapat 80 kesalahan fakta dalam buku teks Sejarah bagi murid Tahun 5 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). [caption id="attachment_4920" align="aligncenter" width="504"]Buku teks Sejarah di SJKC terpaksa dicetak semula kerana ada kesilapan ketara. Buku teks Sejarah di SJKC terpaksa dicetak semula kerana ada kesilapan ketara.[/caption] Menurut laporan Bernama, Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan mengesahkan KPM sudah mengarahkan buku teks berkenaan dicetak semula selepas 9 kesalahan fakta dibetulkan. Maknanya, manipulasi fakta sejarah yang disajikan kepada generasi muda menerusi buku teks Sejarah bukan sesuatu yang baru. Seperti dikatakan oleh Ng How Kuen, golongan guru yang menulis buku teks Sejarah ketara mengubah fakta sejarah mengikut telunjuk parti pemerintah. Kerajaan yang ada sekarang sudah pun berusaha keras menggunakan Biro Tatanegara (BTN) untuk menanam kebencian orang Melayu dan orang Islam terhadap orang Bukan Melayu dan orang Bukan Islam yang dilabel sebagai “pendatang”. Saya percaya segala manipulasi fakta yang dilakukan dalam buku teks sekolah tidak akan dibetulkan. Sebaliknya akan dibiarkan dengan pelbagai alasan licik, demi meneruskan agenda perkauman yang sudah dirancang penuh teliti. Manipulasi fakta dalam buku teks Sejarah Tingkatan 1 seperti yang didedahkan ini tentulah bukan kesilapan yang tidak disengajakan. Sebaliknya, tentu sahaja salah satu daripada ribuan usaha bagi memberikan gambaran negatif mengenai orang Bukan Melayu di Malaysia. Kononnya orang Kristian meneruskan Perang Salib dan agenda Kristianisasi; sedangkan apa yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya. Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Mei 2014 merupakan salah satu contoh amat nyata. Malangnya, golongan minoriti di negara bertuah ini tidak ada ruang untuk bersuara apabila terus ditekan, dihina, diperlekeh dan dizalimi golongan majoriti yang menguasai bidang politik dan pendidikan.

]]>

Malaysia Memihak Warga Palestin tetapi Berdagang dengan Israel

Malaysia Israel Terjemahan makalah “Malaysia Favors Palestinians but Buys from Israel” terbitan Times of Israel pada 14 Sept 2014. Diterjemah oleh Hamizah Hanan. Hubungan dalam Diam Pada musim sejuk tahun 2013, Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak melangkah merentasi sempadan Mesir di Rafah untuk melawat Gaza di bawah pemerintahan Hamas, lawatan luar biasa oleh seorang ketua negara. Beliau, yang negaranya tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, memberitahu wartawan: “Kami mempercayai perjuangan rakyat Palestin. Mereka telah disekat dan ditindas sejak sekian lama.” Ianya jelas beliau berpihak kepada siapa. Namun pada masa yang sama, negaranya mengimport semakin banyak barangan Israel – namun tidak diperkatakan banyak tentangnya, terutama sekali semasa di Gaza. Data rasmi yang diterbitkan oleh Israeli Central Bureau of Statistics (CBS) menggambarkan hubungan perdagangan antara dua negara ini berkembang pesat, tetapi secara senyap, walaupun Perdana Menteri di Jerusalem mengancam keganasan dan kerajaan pimpinan Najib di Kuala Lumpur jelasnya Islamis dan pro-Palestin. Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara pada tahun 2013 mencecah $1.529 billion, hampir dua kali ganda jumlah tahun 2012, menurut CBS. Angka tersebut kebanyakannya terdiri daripada eksport Israel, iaitu sebanyak $1.457 billion. Kadar perdagangan terus meningkat: dari Januari hingga Julai tahun ini sahaja, eksport Israel ke Malaysia melonjak kepada $884.7 million, iaitu peningkatan sebanyak 27% daripada tempoh yang sama tahun lepas. Sebaliknya, statistik perdagangan luar negara Malaysia tidak menyebut nama Israel sama sekali. Dalam data tahunan bagi 2012 misalnya, perdagangan dengan Israel dimasukkan ke dalam kategori “Negara-negara lain”. Intel Israel Mengapa Israel? Sebahagian besar penyumbang kepada perdagangan ini adalah dari Kiryat Gat di dataran pasir selatan Israel, di mana syarikat gergasi global Intel mempunyai kilang cip komputer. Ia dieksport ke kilang pemasangan kedua di Malaysia. Setiap penghantaran direkodkan dalam perangkaan perdagangan luar Israel tetapi sengaja diabaikan oleh Malaysia. Intel sebuah syarikat yang berpusat di Amerika Syarikat, namun kerajaan Israel menjanjikan 5% pelaburan bersama di kilang Kiryat Gat itu, yang dianggarkan berjumlah mencecah satu billion shekel ($290 million). Selain perdagangan barangan secara rasmi ini, terdapat juga perdagangan pesat di bawah tanah, yang nilainya sukar dianggarkan. Para pengeksport Israel dan pembeli yang bersungguh di Malaysia dan juga negara jiran Indonesia – negara yang paling ramai penduduk Islam di dunia – dengan beraninya menentang arus politik demi perniagaan – sebahagian besarnya melalui negara ketiga seperti Singapura. Kedutaan Israel di sana mengatakan bahawa kebanyakan perdagangan dilakukan dengan cara ini, dan dalam kes Indonesia, dengan bantuan keduataan. Jumlah dagangan anatara Israel dan Indonesia, termasuk melalui negara ketiga, dianggarkan bernilai $250 juta pada tahun lalu, 10 kali ganda dagangan secara langsung sebanyak $24.9 juta yang diperincikan dalam perangkaan rasmi negara. Saudi Israel Bukan Perkara Baru, Bukan Terpencil Perdagangan sulit antara Israel dengan negara-negara bermusuhan telah berlangsung selama beberapa dekad, melalui saluran seperti Cyprus, Turki dan Jordan. Malah, sesetengah perdagangan secara langsung juga telah direkodkan kepada negara-negara di luar jangkaan seperti Arab Saudi dan Yamen. Seperti dalam kes Asia Tenggara, tarikan eksport berteknologi tinggi dari Israel melebihi konflik politik pada ahli perniagaan di negara-negara ini. Israel melihat perdagangan sebagai batu loncatan yang boleh membawa kepada lebih kerjasama dengan negara-negara bermusuhan. Jurucakap Kementerian Luar Negara, Paul Hirschson menganggap jumlah perdagangan bersama Malaysia suatu “kejutan baikmanakala Indonesia “menngecewakan kerana rendah “Israel banyak berdagang dengan negara yang tiada hubungan diplomatik dengannya dan kami cukup gembira dengan ini,” katanya. Apa Matlamatnya? Apabila ditanya sama ada wujudnya rancangan untuk dialog rasmi, beliau menjawab: “Ianya bukanlah rahsia yang bahawa kami berdialog secara berkala dengan negara-negara ini. Kami mengalu-alukan kewujudan hubungan diplomatik dan pejabat perwakilan.” Buat masa ini, memulakan hubungan peribadi dalam kancah politik berbahaya ini sudahpun suatu kejayaan dalam sendirinya. “Semasa saya di sana dan bertemu dengan ahli perniagaan swasta, ia seperti biasa,” kata Ron Doron, ahli perniagaan Israel yang berpengalaman di Malaysia. “Orang hanya menakuti pihak atasan.” Sentimen rasmi anti-Israel disuburkan setiap kali warga Malaysia membuka passport mereka, semuanya dicetak dengan kenyataan jelas bahawa “Pasport ini sah untuk semua negara kecuali Israel.” Namun, ini tidak menghindari perdagangan. Bahan kimia, alatan perubatan dan farmaseutikal adalah antara barangan permintaan tinggi. Permainan Persepsi  Mereka yang berpengetahuan tentang perdagangan ini mengatakan semua produk dibuang lambang yang mampu mendedahkan tempat penghasilannya. Ini bagi mengelakkan tercetusnya kemarahan seperti yang berlaku di Kuwait pada Januari lalu apabila khabar angin tersebar luas yang mengatakan kentang Israel dijual di pasaraya tempatan. Perahsiaan adalah penting, kerana potensi kerosakan reputasi dan kewangan kepada syarikat-syarikat yang berurusan dengan Israel akan ada selagi wujudnya konflik Arab-Israel. Menurut Emanuel Shahaf, naib pengerusi Israel-Indonesia Chamber of Commerce, “Ada dua trend yang bercanggah. Trend pro adalah Indonesia menuntut barangan yang lebih berteknologi tinggi… Trend negatif adalah keadaan situasi politik yang semakin parah (berkenaan Israel).” Walaupun begitu, menurut Shahaf, ia tidak semestinya menyekat perdagangan. “Kadangkala di Indonesia… yang dilarang itulah yang semakin menguja.” Israel Indonesia Antara Politik dan Perniagaan Perkembangan politik terbaru nampaknya tidak cerah, namun barangkali kemerosotan perdagangan masih tidak akan berlaku meskipun runtuhnya rundingan damai yang diterajui AS antara Israel-Palestin pada bulan April dan permusuhan dengan Hamas diperbaharui. Buktinya, perdagangan terus berkembang maju selepas kekecohan terakhir di Gaza pada tahun 2012. Ketegangan politik menjadikan hubungan peribadi begitu penting dalam menjalinkan hubungan baru dan mencapai persetujuan dalam perniagaan. “Syarikat-syarikat Israel selalunya tidak mempunyai kesabaran tinggi untuk jangka masa yang panjang,” kata Doron. “Itu salah satu masalah syarikat-syarikat Israel. Di Asia, anda perlu melihat jangka panjang. Anda tidak boleh melakukan perniagaan jangka masa pendek. Ia mengambil masa untuk membina hubungan dan keyakinan.” Hubungan peribadi ini sedikit sebanyak telah membina asas bagi keterbukaan rakyat Indonesia kepada Israel. Steve Stein, yang telah menyelaras program-program kemanusiaan dan pembangunan di sana sejak awal 90-an, mengatakan bahawa rakyat Indonesia melihat Israel “secara positif” dan “ingin mengembangkan perdagangan dan pelaburan.” Ia mungkin merangkumi “program khas jangka panjang Indonesia untuk memperkembangkan kerjasama akademik, pertanian demi keselamatan makanan dan perubatan,” kata Stein. “Ini akan mendedahkan generasi muda Indonesia kepada Israel dan rakyatnya, komuniti akademik dan perniagaannya,” tulis beliau dalam email. November lepas, Menteri Ekonomi dan Perdagangan, Naftali Bennett membuat lawatan ke pulau peranginan Bali di Indonesia, di mana beliau berucap pada sidang kemuncak Pertubuhan Perdagangan Dunia (World Trade Organisation). Ia merupakan lawatan pertama seorang menteri Israel ke negara yang mempunyai penduduk Islam teramai di dunia selama 13 tahun. Walau bagaimanapun, ia difahamkan bahawa beliau tidak bertemu dengan mana-mana wakil kerajaan Indonesia.

]]>

Roh Yang Hidup, Aki Nabalu

Aki Nabalu Aki Nabalu[/caption] Kelahiran Aki Nabalu Suatu ketika dahulu, Kinorohingan ataupun dikenali sebagai TUHAN mempunyai dua orang anak iaitu Taadakon dan Bulantoi. Taadakon merupakan anak sulung kepada Kinorohingan dan Bulantoi adalah anak bongsunya. Taadakon dan Bulantoi mempunyai sifat yang berbeza dimana Taadakon lebih kepada menjadi penjaga di Bumi manakala Bulantoi seringkali membuatkan manusia sakit dan memberikan kehidupan yang susah. Melihat kepada tingkah laku anak-anaknya, Kinorohingan mengarahkan Taadakon untuk tinggal di Gunung Kinabalu manakala Bulantoi hanya berkeliaran di kawasan hutan dan berterusan mengacau manusia. Ini telah memberikan amanat kepada Taadakon untuk menjaga gunung dan mengetuai segala penghuni yang mendiaminya. Pengamal kepercayaan pagan atau agama asal mempercayai roh-roh yang sudah meninggal dunia akan naik ke Gunung Kinabalu untuk menetap disana. Sehingga hari ini, penduduk Sabah memanggil Taadakon sebagai Aki Nabalu. Semangat yang Indah & Suci Penceritaan pendek dari nenek moyang ini memberikan satu gambaran yang sangat mendalam tentang siapakah Aki Nabalu. Aki Nabalu adalah anak kepada Kinorohingan dan itu meletakkan Aki Nabalu sebagai satu semangat yang indah dan suci kepada pengamal agama asal. Bagi mereka, semangat ini adalah hidup dan tidak dapat dipisahkan dari tubuh manusia, sepertimana ungkapan yang sering dikatakan, “Kita adalah Bumi dan Bumi adalah kita”. Penjaga Kota Seperti dalam petikan bible: “Lalu, di dalam roh ia membawa aku ke atas sebuah gunung yang besar lagi tinggi dan ia menunjukkan kepadaku kota yang kudus itu.” (Wahyu 21:10) Petikan ini mencerminkan bagaimana juga Kinorohingan membawa Aki Nabalu ke atas Gunung Kinabalu dan menunjukkan Sabah sebagai sebuah kota yang kudus. Sabah sebagai kota kudus, seharusnya tidak dicelar dan dicemari dengan kemusnahan alam sekitar dan pelbagai pembangunan konkrit. Tetapi malangnya, apa yang diimpikan oleh Aki Nabalu tidak kesampaian, Sabah kini dikatakan sedang dalam pembangunan yang pesat seperti yang diinginkan oleh mereka yang bersifat materialistik. Kinabalu Peak Semangat yang Sentiasa Hidup Aki Nabalu adalah semangat yang hidup berbilion tahun lamanya. Amanda Leonie dalam penulisannya mengungkapkan, “bagaimanakah mampu kita fahami spiritualiti yang lebih lama dari kewujudan bumi sendiri. Umur alam semesta adalah 13.7 bilion tahun, planet Bumi dalam lingkungan 3.8 bilion tahun, kehidupan ialah 2 bilion, dan kewujudan manusia di Bumi hanya dalam 7 juta tahun.” Persoalan yang sama timbul, sejauh manakah kita mampu memahami spiritualiti Aki Nabalu, sekian lama semangat ini hidup, tetapi sejauh manakah kita mendekati semangatnya dan bersatu dengannya. Adakah hanya selepas gempa bumi, baru kita mulai sedar dan rasa yang semangat Aki Nabalu adalah suatu realiti. Ini juga bermakna, Aki Nabalu sudah wujud sebelum kedatangan agama-agama lain seperti Kristian dan Islam di Sabah. Sejak Bumi dibentuk, Gunung Kinabalu sudah tersergam indah berdiri. Hanya selepas kedatangan para penginjil dari Eropah, telah membawa separuh penduduk Sabah kepada agama Kristian. Pemikiran ini dikuatkan lagi dengan penceritaan ringkas oleh nenek moyang, dimana semasa Jepun menawan Sabah, pada masa itu lebih dikenali sebagai Borneo pada tahun 1942, tentera Jepun cuba meletupkan Gunung Kinabalu dengan dua biji bom tetapi tidak meletup. Dengan perasaan tidak puas hati, mereka melontarkan bom yang ketiga ke puncak gunung, disaat itu, keluar satu rumah dan muncul seorang manusia yang bertelinga besar dan menuding jari ke arah kapal tentera Jepun itu. Tentera Jepun ketakutan dan mereka tidak berjaya meletupkan Gunung Kinabalu. Kejadian ini menguatkan pegangan kepercayaan agama asal yang Aki Nabalu memang benar-benar hidup di puncak gunung itu. Aki Nabalu dalam Kemodenan Semangat Aki Nabalu seolah-olah dilupakan dalam kesibukan arus pemodenan sehinggalah gempa bumi yang mengejutkan penduduk Sabah. Penduduk Sabah hanya melihat semangat Aki Nabalu bangkit dalam keadaan marah disebabkan oleh pelancong asing yang berbogel di puncak. Gempa bumi ini membawa kepada bermacam-macam perdebatan seperti pelancong asing berbogel seharusnya menghormati tempat suci, ada juga yang mengatakan gempa bumi bukan disebabkan oleh pelancong tersebut. Saya berfikir, sekiranya gempa bumi tiada, adakah Aki Nabalu terlintas di fikiran kita atau kita terus hanyut dalam khayalan pemodenan yang makin melimpah ruah. Saya cuba membayangkan Aki Nabalu berdiri di puncak dan melihat ke satu pandangan luas iaitu kota kudus Sabah, dengan kesakitan melihat perubahan alam dari rimbunan hijau ke konkrit. Aki Nabalu juga dimodenkan menjadi Gunung Kinabalu sebagai pusat pelancongan untuk tujuan pembangunan ekonomi. Dia menerima ratusan pengunjung setiap hari. Pengunjung yang bertujuan untuk menikmati keindahan puncak gunung dan juga merasai semangatnya. Namun sejauh manakah pengunjung ini betul-betul menyelami isi hati Aki Nabalu, berkomunikasi dengannya dan cuba bersatu dengannya? [caption id="attachment_4901" align="aligncenter" width="546"]Upacara Monogit Upacara Monogit[/caption] Monogit Susulan gempa bumi ini, sekumpulan Bobolian ataupun bomoh melakukan upacara Monogit ataupun dikenali sebagai upacara menyenangkan semangat Aki Nabalu. Ini adalah upacara berkomunikasi dengan Aki Nabalu dan meminta maaf kepadanya. Upacara sebegini sepatutnya dilakukan sekali dalam setahun untuk bersyukur dan berterima kasih kepada Aki Nabalu, akan tetapi, ini seolah-olah tidak berlaku lagi kerana kebanyakan penduduk Sabah sudah menganuti agama Kristian. Sesetengah penganut Kristian mengatakan kamu tidak boleh melakukan atau mengikuti upacara ini kerana ia melanggar pegangan dan dianggap berdosa. Pemikiran sebegini sudah tentunya membawa kesedihan yang teramat kepada Aki Nabalu. Seolah-olah kita cuba menidakkan kewujudannya di Bumi. Jika kita rujuk kepada petikan dalam Kejadian 22:13, “Abraham mengambil domba itu, lalu mengorbankannya sebagai korban bakaran pengganti anaknya”. Kisah Abraham ini jelas menunjukkan penyembahan dengan menggunakan darah binatang kepada Tuhan. Begitu juga dalam konsep Monogit, penyembahan dengan menggunakan darah kerbau kepada Aki Nabalu. Jadi apa bezanya disini, upacara Abraham dengan Bobolian. Maka saya melihat disini, mengikuti upacara Monogit bukanlah satu perbuatan dosa. Mereka yang beragama Kristian dan telah mengikuti upacara Monogit, tidak payah risau terhadap mereka yang menghakimi kamu sebagai orang berdosa. Kita sepatutnya risau terhadap mereka yang sudah jatuh dalam kekuasaan material dunia. Seperti Paus Fransiskus mengatakan dalam khutbahnya, “godaan setiap hari kepada umat Kristian adalah tarikan yang lebih kepada dunia material dan kuasa dan pada masa yang sama cuba membentuk gereja. Hasilnya kita menjadi orang Kristian atas nama sahaja tetapi hati dilaburkan kepada dua kepentingan di atas, maka akibat sikap itu membuatkan iman, misi dan gereja menjadi lemah.” Teguran yang mendalam dari Paus kepada seluruh umat Kristian. Aki Nabalu Dulu & Sekarang Walaupun rupa bentuk Gunung Kinabalu sudah berubah, namun semangat Aki Nabalu tidak berubah. Berlakunya gempa bumi atau tidak, kita seharusnya mula merenung dengan mendalam. Aki Nabalu sebenarnya sentiasa berbicara kepada kita sepanjang masa. Bisikannya yang penuh harapan agar kita sebagai generasi baru tidak melupakan kewujudannya. Kita sebagai Kristian tidak lansung membuangnya. Kita yang mengejar material dunia tidak memusnahkanya. Kita sebagai BUMI harus bersatu dengannya. Article 19

]]>

Menumbangkan Mitos Islam Konservatif

PAS Bahtera PAS – Tidak Lagi Relevan? Jika Haron Din, Hadi Awang, Tantawi, Mahfuz Mohamad, Mokhtar Senik, Nik Abduh, Azli Musa dll yang seangkatan percayakan kekuatan mereka, pastilah mereka tidak membimbangkan ‘anai-anai’ yang mahu menyeberang ke bahtera yang lain. Mereka sebenarnya lebih patut risaukan anai-anai yang munafik ini sekiranya masih berada di dalam bahtera mereka. Habis semua kayu akan ditokak anai-anai ini. Usaha pembersihan golongan konservatif terhadap anasir progresif sewajarnya dilihat melicinkan lagi barisan kepimpinan mereka. Jika benar mereka kuat, mereka tidak perlu membuat cerita mimpi Nabi/Saidina Umar untuk mengabsahkan kedudukan tanpa sanggahan. Apabila dibuat pusingan U-Turn, mereka dilihat sangat lemah, tidak bermaruah, tidak reti buat kerja, dan hanya reti salah-menyalahkan. Mungkinkah kita memerlukan 100 hari lagi untuk melihat apakah hasilnya keputusan pemilihan Muktamar PAS baru-baru ini ? Sebenarnya, PAS tidak perlu lagi menang untuk melaksanakan Islam di Malaysia. Kewujudan PAS sebenarnya semakin tidak relevan dalam perkembangan politik di Malaysia. Dalam bahasa yang lain, apa lagi yang tidak Islamnya di Malaysia ? Lumba-lumba Agama Politik UMNO, memanglah sebuah parti sekular di Malaysia, yang mengadunkan nilai nasionalisme yang pragmatik, dengan unsur agama Islam. Dalam erti kata lain, sungguhpun UMNO sekular, UMNO juga berusaha sedaya mereka untuk melaksanakan Islam yang mereka fahami (versi rasmi / kepercayaan UMNO). Kita tidak memerlukan PAS untuk melaksanakan Islam pun. Masjid-masjid, surau-surau, kuliah agama, sekolah, madrasah, kolej, universiti, bahkan bank juga turut diislamkan oleh rejim UMNO ini. Persaingan Islam versi PAS vs UMNO, hanya menguntungkan UMNO. Persoalan penting yang perlu dijawab adalah; Apa lagi yang tidak Islamnya di Malaysia ? Tetapi perlumbaan antara kekuasaan dan pengaruh, adalah dua hal yang berbeza. PAS sebagai gerakan Islam politikal, nampaknya lebih berpengaruh kepada massa yang bermazhab Islam politikal. Walaupun asyik menang-kalah silih berganti, dan akhirnya PAS hanya mampu mendarat dan bertahan di negeri Kelantan, pengaruh Islam versi PAS sukar dinafikan berbanding Islam versi UMNO. Wajah politik Islam PAS yang nampak lebih reaksioner (selalu dibaca radikal) kelihatan lebih garang, lebih ketat, lebih rigid, lebih keras, dan dilihat adalah suara Tuhan yang sebenarnya (kerana mahu menegakkan hukum Tuhan, yang Tuhan menurut pembacaan mereka, adalah dalam wajah menghukum). UMNO telah berpuluh-puluh tahun diejek sebagai sekular, meski begitu pelaksanaan Islam versi UMNO tak kurang kalah berbanding PAS, jika tak mahu dikatakan lebih baik dari PAS. Tidak ada kemajuan progresif yang dicapai oleh umat Melayu Islam zaman PAS memerintah di Terengganu, Kedah, bahkan Kelantan. PAS tidak boleh mendabik dada bahawa mereka lebih bagus dari segi perancangan ekonomi berbanding UMNO. Adalah memalukan sama sekali jika PAS yang seringkali mengatakan dasar/rujukan mereka adalah Quran & Sunnah (perilaku – contoh Nabi), tetapi sering menggunakan alasan Kerajaan Pusat merompak royalti untuk menjustifikasi kegagalan membangunkan ekonomi rakyatnya. Sedangkan bagaimana Nabi SAW sendiri membangunkan ekonomi masyarakat Madinah tanpa menggunakan alasan hegemoni Quraisy Mekah? Sekonyong-konyongnya, datanglah ISIS, menghancurkan mitos Negara Islam, sebuah mitos yang dipegang oleh hampir keseluruhan pejuang-pejuang Islam seluruh dunia. Semuanya menjadi malu dengan imej Negara Islam versi ISIS dan mula berjarak-renggang dengan konsep Negara Islam. Model AKP (Turki) dan Rashid Ghannouchi (Tunisia) yang ber‘teman tapi mesra’ dengan sekular mula dipertimbangkan.   PAS UMNO Apa Konsep Kenegaraan PAS, sebenarnya? Perlu disebutkan di sini, PAS lebih awal perlahan-lahan mencairkan slogan Negara Islam kepada Negara Berkebajikan (welfare state) sebelum kemunculan ISIS. Anjakan paradigma ini sedikit membingungkan petugas-petugas PAS, yang di dalam usrah/tamrin (program tetap pejuang Islam aliran PAS) beriman akan penubuhan sebuah Negara orang-orang Islam. Dalam mitos Negara Islam ini, mereka sering dikhutbahkan bahawa ada beza antara ‘Negara Islam’ dan ‘Negara umat Islam’. Akan tetapi bila diminta tunjuk sebuah Negara Islam pun, pasti mereka akan garu kepala. Atau jika diminta tunjuk, model klasik Negara Islam mana yang mereka mahu rujuk, sama ada Dinasti Uthmaniyah, Dinasti Abbasiyah, Dinasti Umaiyah, Khulafa’ Rasyidin atau Minhaj Nubuwwah (zaman Nabi menjadi pemerintah), mereka pasti akan terkebil-kebil. Ketika zaman dinasti, raja berkuasa mutlak, kita pun tidak jelas apakah dasar perpolitikan PAS yang sebenarnya: 1) Raja Berpelembagaan, 2) Raja Mutlak atau 3) Republik? Yang pastinya setakat saat ini, PAS sentiasa apologetik (tidak mempunyai “blueprint” rancangan) dengan apa sahaja sistem walaupun selalu melaungkan di mana-mana, bahawa mereka antara gerakan Islam yang terawal melibatkan diri dalam pilihanraya/demokrasi (itupun mereka masih berselisih tentang demokrasi, sebagai alat atau matlamat). Hanya Hudud senjata PAS Maka hanya Hudud yang tinggal, yang menjadi garis pembeza antara Islam versi PAS dan Islam versi UMNO. Jika tidak ada Hudud, apakah lagi yang tinggal kepada PAS ? Jika mereka mahu bercakap tentang ekonomi, parti-parti lain di dalam PR atau non-PR seperti PSM juga turut bercakap. Korupsi, nepotism, kronism, semuanya telah disurahkan oleh parti-parti sekular lain. Kita tidak memerlukan PAS untuk berkisah tentang penyelewengan. Dr. Manuty di dalam PKR sendiri boleh memetik mana-mana ayat suci di dalam Quran, tanpa perlukan Majlis Ulama’ PAS. Dasar-dasar di Malaysia yang kebelakangan ini semakin menuju ke arah Islam ala totalitarian, agak membimbangkan. Satu demi satu negeri di Semenanjung cuba menerapkan Islam ala kekuasaan mereka (sekali lagi, tanpa perlukan PAS pun, kerajaan negeri Terengganu boleh tudungkan semua perempuan). Ruang-ruang awam kian dicerobohi konon atas nama Tuhan, dan pelaksanaan sebegini sangat kacang sama sekali (apatah lagi, jika nak buat hukuman kerat tangan terhadap pencuri-pencuri yang miskin, apa yang susahnya?) tanpa perlukan PAS menjadi kerajaan pun. Kerana pemahaman Islam yang sangat sempit, dangkal, yang hanya memerhatikan dosa-dosa orang kecil, sebaliknya mereka tidak mempunyai pemikiran apa pun tentang pembangunan Negara. Pada kesudahannya, momentum yang memotivasi mereka untuk berjuang perlahan memudar, menyebabkan bergabung dengan kerajaan Pusat yang mempunyai pemahaman Islam Konservatif seperti mereka adalah satu-satunya pilihan yang tunggal. Article 19

]]>