Projek Dialog

Roh Yang Hidup, Aki Nabalu

Aki Nabalu Aki Nabalu[/caption] Kelahiran Aki Nabalu Suatu ketika dahulu, Kinorohingan ataupun dikenali sebagai TUHAN mempunyai dua orang anak iaitu Taadakon dan Bulantoi. Taadakon merupakan anak sulung kepada Kinorohingan dan Bulantoi adalah anak bongsunya. Taadakon dan Bulantoi mempunyai sifat yang berbeza dimana Taadakon lebih kepada menjadi penjaga di Bumi manakala Bulantoi seringkali membuatkan manusia sakit dan memberikan kehidupan yang susah. Melihat kepada tingkah laku anak-anaknya, Kinorohingan mengarahkan Taadakon untuk tinggal di Gunung Kinabalu manakala Bulantoi hanya berkeliaran di kawasan hutan dan berterusan mengacau manusia. Ini telah memberikan amanat kepada Taadakon untuk menjaga gunung dan mengetuai segala penghuni yang mendiaminya. Pengamal kepercayaan pagan atau agama asal mempercayai roh-roh yang sudah meninggal dunia akan naik ke Gunung Kinabalu untuk menetap disana. Sehingga hari ini, penduduk Sabah memanggil Taadakon sebagai Aki Nabalu. Semangat yang Indah & Suci Penceritaan pendek dari nenek moyang ini memberikan satu gambaran yang sangat mendalam tentang siapakah Aki Nabalu. Aki Nabalu adalah anak kepada Kinorohingan dan itu meletakkan Aki Nabalu sebagai satu semangat yang indah dan suci kepada pengamal agama asal. Bagi mereka, semangat ini adalah hidup dan tidak dapat dipisahkan dari tubuh manusia, sepertimana ungkapan yang sering dikatakan, “Kita adalah Bumi dan Bumi adalah kita”. Penjaga Kota Seperti dalam petikan bible: “Lalu, di dalam roh ia membawa aku ke atas sebuah gunung yang besar lagi tinggi dan ia menunjukkan kepadaku kota yang kudus itu.” (Wahyu 21:10) Petikan ini mencerminkan bagaimana juga Kinorohingan membawa Aki Nabalu ke atas Gunung Kinabalu dan menunjukkan Sabah sebagai sebuah kota yang kudus. Sabah sebagai kota kudus, seharusnya tidak dicelar dan dicemari dengan kemusnahan alam sekitar dan pelbagai pembangunan konkrit. Tetapi malangnya, apa yang diimpikan oleh Aki Nabalu tidak kesampaian, Sabah kini dikatakan sedang dalam pembangunan yang pesat seperti yang diinginkan oleh mereka yang bersifat materialistik. Kinabalu Peak Semangat yang Sentiasa Hidup Aki Nabalu adalah semangat yang hidup berbilion tahun lamanya. Amanda Leonie dalam penulisannya mengungkapkan, “bagaimanakah mampu kita fahami spiritualiti yang lebih lama dari kewujudan bumi sendiri. Umur alam semesta adalah 13.7 bilion tahun, planet Bumi dalam lingkungan 3.8 bilion tahun, kehidupan ialah 2 bilion, dan kewujudan manusia di Bumi hanya dalam 7 juta tahun.” Persoalan yang sama timbul, sejauh manakah kita mampu memahami spiritualiti Aki Nabalu, sekian lama semangat ini hidup, tetapi sejauh manakah kita mendekati semangatnya dan bersatu dengannya. Adakah hanya selepas gempa bumi, baru kita mulai sedar dan rasa yang semangat Aki Nabalu adalah suatu realiti. Ini juga bermakna, Aki Nabalu sudah wujud sebelum kedatangan agama-agama lain seperti Kristian dan Islam di Sabah. Sejak Bumi dibentuk, Gunung Kinabalu sudah tersergam indah berdiri. Hanya selepas kedatangan para penginjil dari Eropah, telah membawa separuh penduduk Sabah kepada agama Kristian. Pemikiran ini dikuatkan lagi dengan penceritaan ringkas oleh nenek moyang, dimana semasa Jepun menawan Sabah, pada masa itu lebih dikenali sebagai Borneo pada tahun 1942, tentera Jepun cuba meletupkan Gunung Kinabalu dengan dua biji bom tetapi tidak meletup. Dengan perasaan tidak puas hati, mereka melontarkan bom yang ketiga ke puncak gunung, disaat itu, keluar satu rumah dan muncul seorang manusia yang bertelinga besar dan menuding jari ke arah kapal tentera Jepun itu. Tentera Jepun ketakutan dan mereka tidak berjaya meletupkan Gunung Kinabalu. Kejadian ini menguatkan pegangan kepercayaan agama asal yang Aki Nabalu memang benar-benar hidup di puncak gunung itu. Aki Nabalu dalam Kemodenan Semangat Aki Nabalu seolah-olah dilupakan dalam kesibukan arus pemodenan sehinggalah gempa bumi yang mengejutkan penduduk Sabah. Penduduk Sabah hanya melihat semangat Aki Nabalu bangkit dalam keadaan marah disebabkan oleh pelancong asing yang berbogel di puncak. Gempa bumi ini membawa kepada bermacam-macam perdebatan seperti pelancong asing berbogel seharusnya menghormati tempat suci, ada juga yang mengatakan gempa bumi bukan disebabkan oleh pelancong tersebut. Saya berfikir, sekiranya gempa bumi tiada, adakah Aki Nabalu terlintas di fikiran kita atau kita terus hanyut dalam khayalan pemodenan yang makin melimpah ruah. Saya cuba membayangkan Aki Nabalu berdiri di puncak dan melihat ke satu pandangan luas iaitu kota kudus Sabah, dengan kesakitan melihat perubahan alam dari rimbunan hijau ke konkrit. Aki Nabalu juga dimodenkan menjadi Gunung Kinabalu sebagai pusat pelancongan untuk tujuan pembangunan ekonomi. Dia menerima ratusan pengunjung setiap hari. Pengunjung yang bertujuan untuk menikmati keindahan puncak gunung dan juga merasai semangatnya. Namun sejauh manakah pengunjung ini betul-betul menyelami isi hati Aki Nabalu, berkomunikasi dengannya dan cuba bersatu dengannya? [caption id="attachment_4901" align="aligncenter" width="546"]Upacara Monogit Upacara Monogit[/caption] Monogit Susulan gempa bumi ini, sekumpulan Bobolian ataupun bomoh melakukan upacara Monogit ataupun dikenali sebagai upacara menyenangkan semangat Aki Nabalu. Ini adalah upacara berkomunikasi dengan Aki Nabalu dan meminta maaf kepadanya. Upacara sebegini sepatutnya dilakukan sekali dalam setahun untuk bersyukur dan berterima kasih kepada Aki Nabalu, akan tetapi, ini seolah-olah tidak berlaku lagi kerana kebanyakan penduduk Sabah sudah menganuti agama Kristian. Sesetengah penganut Kristian mengatakan kamu tidak boleh melakukan atau mengikuti upacara ini kerana ia melanggar pegangan dan dianggap berdosa. Pemikiran sebegini sudah tentunya membawa kesedihan yang teramat kepada Aki Nabalu. Seolah-olah kita cuba menidakkan kewujudannya di Bumi. Jika kita rujuk kepada petikan dalam Kejadian 22:13, “Abraham mengambil domba itu, lalu mengorbankannya sebagai korban bakaran pengganti anaknya”. Kisah Abraham ini jelas menunjukkan penyembahan dengan menggunakan darah binatang kepada Tuhan. Begitu juga dalam konsep Monogit, penyembahan dengan menggunakan darah kerbau kepada Aki Nabalu. Jadi apa bezanya disini, upacara Abraham dengan Bobolian. Maka saya melihat disini, mengikuti upacara Monogit bukanlah satu perbuatan dosa. Mereka yang beragama Kristian dan telah mengikuti upacara Monogit, tidak payah risau terhadap mereka yang menghakimi kamu sebagai orang berdosa. Kita sepatutnya risau terhadap mereka yang sudah jatuh dalam kekuasaan material dunia. Seperti Paus Fransiskus mengatakan dalam khutbahnya, “godaan setiap hari kepada umat Kristian adalah tarikan yang lebih kepada dunia material dan kuasa dan pada masa yang sama cuba membentuk gereja. Hasilnya kita menjadi orang Kristian atas nama sahaja tetapi hati dilaburkan kepada dua kepentingan di atas, maka akibat sikap itu membuatkan iman, misi dan gereja menjadi lemah.” Teguran yang mendalam dari Paus kepada seluruh umat Kristian. Aki Nabalu Dulu & Sekarang Walaupun rupa bentuk Gunung Kinabalu sudah berubah, namun semangat Aki Nabalu tidak berubah. Berlakunya gempa bumi atau tidak, kita seharusnya mula merenung dengan mendalam. Aki Nabalu sebenarnya sentiasa berbicara kepada kita sepanjang masa. Bisikannya yang penuh harapan agar kita sebagai generasi baru tidak melupakan kewujudannya. Kita sebagai Kristian tidak lansung membuangnya. Kita yang mengejar material dunia tidak memusnahkanya. Kita sebagai BUMI harus bersatu dengannya. Article 19

]]>