Projek Dialog

Manipulasi Fakta dalam Buku Teks Sejarah

Sejarah Tingkatan 1 Sejarah Pada Anak-anak Kita Ada masa fakta dimanipulasi untuk menyampaikan propaganda, agenda dan dakyah yang membawa kemusnahan kepada perpaduan kaum yang dipupuk sejak dahulu. Demikianlah juga hal yang dapat diperhatikan dalam isu fakta mengenai kedatangan Portugis seperti yang disajikan kepada pelajar Tingkatan 1 di seluruh negara menerusi buku teks Sejarah. Baru-baru ini, beberapa ibu bapa beragama Kristian meluahkan rasa kurang selesa apabila anak-anak pulang dari sekolah dan bertanya tentang gambaran negatif mengenai orang Kristian dalam buku teks Sejarah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Apabila meneliti kandungan yang dimaksudkan, saya sendiri berasa hairan kerana “fakta” yang dipelajari di sekolah pada tahun 1960-an dan 1970-an tidak sama dengan “fakta” yang disogokkan sekarang. “Kedatangan orang Portugis ke Timur dikaitkan dengan keinginan mereka meneruskan Perang Salib. Mereka ingin menghancurkan kerajaan Islam yang ada di Timur termasuk kerajaan Melaka yang merupakan pusat perkembangan dan penyebaran agama Islam. Pada masa yang sama, Portugis mahu menyebarkan agama Kristian.” Demikian dipaparkan dalam buku teks Sejarah Tingkatan 1 yang ditulis oleh Ahmad Fawzi Mohd Basri, Mohd Fo’ad Sakdan dan Azami Man; serta disunting oleh Wan Norliani Wan Jusoh dan Nazri Mohamad Don. Edisi yang saya baca adalah terbitan 2009 dan dimaklumkan bahawa terbitan 2014 juga sama kandungannya. Saya memaparkan foto halaman buku berkenaan di Facebook pada 30 Jun 2015 untuk mendapatkan reaksi daripada rakan-rakan yang pernah belajar Sejarah di sekolah dahulu. Dalam masa beberapa hari sahaja, paparan itu dikongsi lebih 1,660 orang dari seluruh negara. Masing-masing hairan dengan “fakta” yang dipaparkan sebagai tujuan utama Portugis datang ke Timur. “Apa yang sedang berlaku di negara ini? Sejarah yang saya belajar menyatakan Portugis datang ke Timur untuk rempah-ratus,” komen Kalidas Muniandy. Nagathisen Katahenggam menambah: “Tujuan utama kedatangan Portugis untuk penguasai perdagangan dan meluaskan kuasa.” Manakala Aiza Zizan merujuk kepada konsep Gospel, Gold, Glory (Keagamaan, Kekayaan, Kemegahan) yang memotivasi pelayaran orang Portugis dahulu. Turut melahirkan rasa hairan ialah Hendry Rao yang tertanya-tanya bagaimana konsep 3G yang menjadi asas kedatangan Portugis bertukar menjadi “agenda Kristianisasi” semata-mata. [caption id="attachment_4919" align="aligncenter" width="501"]Fakta dimanipulasi memberikan gambaran negatif tentang orang Kristian. Fakta dimanipulasi memberikan gambaran negatif tentang orang Kristian.[/caption] Pelbagai Pihak Tampil Luah Rasa Hairan dan Kecewa Prabha Rajoo mengimbas apa yang pernah dipelajari sejak sekolah rendah pada 1980-an dan berkata, “Sejarah yang saya belajar menyatakan orang Portugis datang ke Melaka untuk mendapatkan monopoli perdagangan rempah.” Memanglah ada pihak yang tampil berhujah, Portugis turut menyebarkan ajaran Kristian di Timur. Akan tetapi, entah mengapa aspek itu yang diangkat dan dijadikan tujuan utama dalam buku teks sekolah. “Hanya di Malaysia, sejarah boleh diolah, ditukar dan dimanipulasi sesuka hati,” kata Vicknes Loganathan bagi meluahkan kekecewaan terhadap insiden yang berlaku. “Setahu saya, orang Portugis tiba di Melaka untuk memecahkan aliran perdagangan antara China dan Arab. Ini berkaitan aliran perdagangan rempah-ratus yang dibawa ke Venice,” Jayaprakash Jayachandran menghuraikan. S. Annadurai menasihatkan pihak terbabit (KPM) supaya tidak mempolitikkan fakta sejarah demi agenda peribadi. Alexandar Alex menambah, “Sekiranya tindakan mengubah sejarah berterusan, ia tidak boleh digelar sejarah tetapi harus diberi gelaran mitos.” Gopal Subramaniam yang turut memberikan komen menjelaskan hakikat Portugis menawan Melaka pada 1511: “Penjajahan kuasa Barat hanya tamat pada 1957. Selama 446 tahun Tanah Melayu berada di bawah penjajah. Apakan ada bukti sekurang-kurangnya seorang Muslim masuk agama Kristian sepanjang tempoh itu?” Paparan yang dibuat di Facebook turut mendapat perhatian wartawan Malay Mail Online. Apabila dihubungi untuk mendapatkan maklumat, saya meluahkan rasa kecewa kerana Perang Salib dijadikan alasan utama dalam buku teks Sejarah berbanding tujuan sebenar, iaitu perdagangan dan peluasan kuasa. Natijahnya, pelajar (remaja) pelbagai kaum dan agama akan mendapat gambaran tidak tepat mengenai orang Kristian (Portugis). Hal ini saya alami sendiri apabila beberapa pelajar Tingkatan 1 bertanya, apakah orang Kristian jahat kerana menawan Melaka untuk memaksa orang Islam memeluk ajaran Kristian. Selepas isu ini diketengahkan menerusi laporan di Malay Mail Online pada 5 Julai 2015, pensyarah Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Dr Sivachandralingam Sundara Raja tampil mengakui kesilapan dalam buku teks berkenaan. “Portugis datang ke Timur untuk mendapatkan rempah-ratus. Mereka datang untuk berdagang; bukan untuk menjajah dan mengambil alih seluruh negara; serta bukan sesekali untuk meneruskan Perang Salib,” katanya (Malay Mail Online, 5 Julai 2015). Dua hari kemudian, penulis buku sejarah yang amat disegani, Ranjit Singh Malhi, dipetik sebagai berkata, hakikat keinginan Portugis meneruskan Perang Salib di Timur memang ada dinyatakan dalam buku teks Sejarah pada tahun 1960-an. [caption id="attachment_4921" align="aligncenter" width="491"]Pakar bidang mengesahkan buku teks Sejarah dipenuhi kesalahan fakta. Pakar bidang mengesahkan buku teks Sejarah dipenuhi kesalahan fakta.[/caption] Agenda Terancang Kuasawan dan Pemerintah “Tujuan utama kedatangan Portugis ke Melaka adalah untuk menguasai perdagangan rempah. Sebab utama Portugis menawan Melaka adalah untuk menguasai perdagangan rempah,” kata Ranjit sambil mengaku penjajah turut berusaha menyebarkan ajaran Kristian (Malay Mail Online, 7 Julai 2015). Untuk rekod, pada tahun 2010, Ranjit dan seorang lagi pakar sejarah, Ng How Kuen, tampil mendedahkan penipuan, manipulasi dan kesalahan fakta yang disumbat ke dalam buku teks Sejarah bagi tujuan politik pihak pemerintah. Akhbar The Sun (13 Disember 2010) melaporkan kenyataan Ranjit yang menyelar kandungan buku teks Sejarah terbitan 1996 bagi pelajar Tingkatan 1. Contohnya, dinyatakan kononnya beberapa pedagang India meminjamkan kapal mereka kepada Portugis yang mahu menyerang dan menawan Melaka. Pada 26 Mei 2015, Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew mengemukakan pertanyaan di Dewan Rakyat mengenai laporan terdapat 80 kesalahan fakta dalam buku teks Sejarah bagi murid Tahun 5 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). [caption id="attachment_4920" align="aligncenter" width="504"]Buku teks Sejarah di SJKC terpaksa dicetak semula kerana ada kesilapan ketara. Buku teks Sejarah di SJKC terpaksa dicetak semula kerana ada kesilapan ketara.[/caption] Menurut laporan Bernama, Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan mengesahkan KPM sudah mengarahkan buku teks berkenaan dicetak semula selepas 9 kesalahan fakta dibetulkan. Maknanya, manipulasi fakta sejarah yang disajikan kepada generasi muda menerusi buku teks Sejarah bukan sesuatu yang baru. Seperti dikatakan oleh Ng How Kuen, golongan guru yang menulis buku teks Sejarah ketara mengubah fakta sejarah mengikut telunjuk parti pemerintah. Kerajaan yang ada sekarang sudah pun berusaha keras menggunakan Biro Tatanegara (BTN) untuk menanam kebencian orang Melayu dan orang Islam terhadap orang Bukan Melayu dan orang Bukan Islam yang dilabel sebagai “pendatang”. Saya percaya segala manipulasi fakta yang dilakukan dalam buku teks sekolah tidak akan dibetulkan. Sebaliknya akan dibiarkan dengan pelbagai alasan licik, demi meneruskan agenda perkauman yang sudah dirancang penuh teliti. Manipulasi fakta dalam buku teks Sejarah Tingkatan 1 seperti yang didedahkan ini tentulah bukan kesilapan yang tidak disengajakan. Sebaliknya, tentu sahaja salah satu daripada ribuan usaha bagi memberikan gambaran negatif mengenai orang Bukan Melayu di Malaysia. Kononnya orang Kristian meneruskan Perang Salib dan agenda Kristianisasi; sedangkan apa yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya. Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Mei 2014 merupakan salah satu contoh amat nyata. Malangnya, golongan minoriti di negara bertuah ini tidak ada ruang untuk bersuara apabila terus ditekan, dihina, diperlekeh dan dizalimi golongan majoriti yang menguasai bidang politik dan pendidikan.

]]>