The Silk Route. Terdapat Buddhisme aliran Mahayana, Theravada, Hinayana, Chan, Zen, Son, Nichiren, Shingon, Tantric, Tiantai, Yogacara dan Vajrayana yang memiliki beberapa perbezaan mengikut pengaruh setempat. [caption id="attachment_4639" align="alignleft" width="300"] Terdapat pelbagai aliran Buddhisme di seluruh dunia.[/caption] Namun begitu, ada beberapa ciri asas ajaran Buddha yang mungkin kurang diketahui masyarakat umum di Malaysia; khususnya golongan yang bukan mengamal Buddhisme. Konsep “Empat Kebenaran Mulia” (The Four Noble Truths) dan “Jalan Lapan Lapis” (The Noble Eightfold Path) menjadi asas dalam ajaran Buddha. Maklumat menyeluruh mengenai asal usul, ajaran dan perkembangan ajaran Buddha boleh dibaca dalam buku The Complete Illustrated Encyclopedia of Buddhism (2011) yang turut menjadi rujukan saya. Menerusi makalah bertajuk “Buddha Sebar Islam?” (Projek Dialog, 21 Januari 2015) dan “Dari Buddha ke Maitreya” (The Malaysian Insider, 26 Januari 2015), dijelaskan bahawa Gautama tidak pernah mengaku dirinya nabi atau penerima wahyu daripada Tuhan. Gautama juga bukan Tuhan, anak Tuhan atau dewa. Sebaliknya Gautama adalah manusia biasa yang lahir dalam keluarga diraja. Kemudian, Gautama bertapa dan akhirnya mengasaskan apa yang kita kenali sebagai Buddhisme. Apa yang pasti, dalam ajaran Buddhisme, Gautama lahir sebagai manusia, hidup sebagai manusia, dan meninggal dunia sebagai manusia. Mungkin ada pihak yang mendewa-dewakannya, tetapi perbuatan itu tidak mengubah hakikat sebenar. Salah satu bab dalam buku The Fundamentals of Buddhism (2008) yang memuatkan koleksi syarahan Sayadaw U Silananda (1927-2005) turut menghuraikan perkara ini. Mengikut catatan sejarah dan kisah hidup Gautama yang dirakam menggunakan bahasa Pali oleh sami-sami Buddha di Sri Lanka, putera itu melakukan pencarian makna hidup dengan harapan akan mendapat jawapan daripada Tuhan. Akan tetapi, akhirnya Gautama meninggalkan pencarian itu. Dia memutuskan bahawa tidak ada gunanya mencari jawapan bagi pertanyaan yang penuh misteri itu. Ajaran dalam Vinaya, Suttanta dan Abhidhamma Dalam ajaran asal Buddha, kewujudan Tuhan tidak diperkatakan. Sebaliknya, setiap apa yang berlaku di seluruh alam (termasuk hidup manusia) adalah berasaskan hukum alam yang juga disebut sebagai Hukum Karma (atau “kamma” dalam bahasa Pali). Secara mudah, para pengikut Buddha disaran tidak mencari Tuhan. Anggap sahaja Tuhan tidak wujud. Sebaliknya, lakukan segala kebaikan dalam kehidupan mengikut Hukum Karma dan Hukum Dharma (atau “Dhamma” dalam bahasa Pali). [caption id="attachment_4638" align="alignleft" width="300"] Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kavyan membantu peserta lebih memahami ajaran Buddha.[/caption] Bagaimana jika ada Tuhan? Penganut ajaran Buddha tidak perlu risau kerana mereka telah melakukan kebaikan sepanjang hidup. Bagaimana jika Tuhan tidak wujud? Masih tidak perlu risau kerana penganut ajaran Buddha telah melakukan kebaikan. Gautama menyampaikan ajarannya selama 45 tahun. Sekitar tiga bulan selepas Gautama meninggal dunia (pada tahun 544SM), Majlis Buddha yang pertama bersidang. Majlis berkenaan diadakan bagi mengumpulkan segala ajaran Gautama dan merekodkannya dalam bentuk bertulis. Segala ajaran yang dahulu disampaikan secara lisan dalam bentuk sutra (atau “sutta” dalam bahasa Pali) iaitu frasa-frasa pendek yang mudah dihafaz, didokumentasikan mengikut tiga klasifikasi, iaitu Vinaya, Suttanta dan Abhidhamma. Mengikut rekod, sekumpulan orang Hindu daripada kelompok Brahmin turut menjadi pengikut ajaran Buddha. Mereka meminta supaya ajaran-ajaran utama Gautama direkod menggunakan bahasa Sanskrit, iaitu bahasa utama dalam ajaran Hindu dan kitab-kitab Veda. Permintaan itu ditolak kerana Gautama mahukan segala ajaran yang disampaikannya sampai kepada masyarakat umum tanpa sebarang sekatan. Maknanya, ajaran Buddha boleh – malah digalakkan – diajar dan disebarkan menggunakan bahasa-bahasa tempatan. Atas “kelonggaran” itulah juga ajaran Buddha sangat mudah tersebar, disampaikan, diterima dan dihayati penduduk di seluruh pelosok dunia. Hal ini mungkin agak berbeza dengan agama-agama tertentu yang semacam meletakkan syarat ketat kononnya ajaran agama berkenaan hanya boleh disampaikan dan dipelajari menggunakan bahasa tertentu. Ajaran Sanatana Dharma atau Hinduisme adalah ajaran agama tauhid yang pertama dan tertua di dunia. Walaupun Hinduisme amat kompleks dan memiliki syarat/panduan yang ketat dan khusus, kebebasan yang seluas-luasnya diberikan kepada para penganut untuk mengamalkan ajaran mengikut tahap pemahaman dan kemampuan masing-masing. Ada persamaan yang amat ketara antara Hinduisme dan Buddhisme dalam hal ini. Kedua-duanya membenarkan – malah amat menggalakkan – penganut melakukan dialog, pencarian, perbandingan dan menyoal segala ajaran yang dikemukakan. Persamaan, Perbezaan dengan Hinduisme Maknanya, ajaran Buddha tidak harus diterima bulat-bulat. Kita perhatikan ada orang daripada agama tertentu yang hanya menurut segala peraturan dan ajaran walaupun mereka tidak faham serta mahukan penjelasan. Akan tetapi, kerana akur pada syarat ketat dalam agama itu, mereka memilih untuk menutup mulut. Hal ini amat berbeza dengan Hinduisme dan Buddhisme. Gautama sendiri sering mengingatkan para pengikut supaya jangan hanya menurut apa-apa yang diajarkannya. Jangan menurut semata-mata kerana disuruh. Jangan terima sesuatu hanya kerana sudah menjadi tradisi dan ikutan. Jangan terima bulat-bulat semata-mata kerana tercatat dalam kitab. Jangan terima sesuatu semata-mata kerana kita menghormati guru yang menyampaikan ajaran itu. [caption id="attachment_4637" align="alignleft" width="300"] Gautama tidak mahu para pengikut menerima bulat-bulat segala ajarannya.[/caption] Malah, Gautama juga menggalakkan para pengikut mempersoalkan dan membahaskan apa-apa ajaran yang disampaikannya. Pada pendirian Gautama, ajarannya bukan wahyu daripada Tuhan, tetapi falsafah kehidupan. Maka, wajarlah dibahaskan supaya beroleh pemahaman dan penghayatan sebenar. Gautama juga mengingatkan bahawa segala dosa dan pahala dalam Hukum Karma adalah atas tanggungan sendiri. Hal ini berbeza sedikit dengan ajaran Hinduisme di mana terdapat beberapa kategori karma, iaitu prarabdha (tidak boleh diubah), sancita (boleh diubah), dan agami (menyumbang kepada prarabdha). Dalam ajaran Buddha, setiap orang bertanggungjawab atas diri sendiri sahaja. Maknanya, tidak timbul soal ibu bapa masuk neraka jika anak-anak tidak sembahyang. Tidak timbul soal ketua/pemimpin menanggung dan menghapuskan dosa bagi pihak para pengikut. Satu lagi perkara yang ditekankan oleh Gautama adalah mengenai hak sama antara lelaki dan wanita. Sebagaimana sami lelaki boleh menjadi bhikkhu, begitulah juga sami wanita boleh menjadi bhikkhuni. Tidak timbul soal hanya lelaki boleh mengetuai upacara sembahyang dan upacara keagamaan. Peluang, hak dan kedudukan sama adil dan sama rata antara lelaki dan wanita diutamakan dalam ajaran Buddha. Salah sebuah daripada lima epik agung Tamil (Aimperukapiyam) berjudul Manimegalai. Unsur femanisme dan hak wanita diangkat menerusi karya berkenaan. Turut diceritakan bagaimana golongan bhikkhuni diberikan kuasa autonomi dalam menggerakkan dan mentadbir sangha yang dikhaskan untuk mereka. Demikianlah antara keunikan ajaran Buddhisme yang mungkin kurang diketahui umum. Mungkin sahaja aliran ajaran Buddha yang menjadi ikutan setiap individu berbeza antara seorang dengan yang lain. Tidak mustahil apa-apa yang dihuraikan dalam makalah ini dianggap menyentuh sensitiviti. Bagaimanapun, seperti ditegaskan oleh Gautama sendiri, perbahasan dan dialog amat dialu-alukan bagi meningkatkan pemahaman dan penghayatan.
]]>