Projek Dialog

Mencipta Semula Islam, sebuah wawancara bersama Ebrahim Moosa

  Profesor Moosa, dalam Islam tradisional, isu-isu seperti murtad dan kekufuran masih dikira sebagai satu jenayah. Bagaimanakah anda berhadapan dengan perkara ini sebagai seorang ahli teologi? Ebrahim Moosa: Kita perlu memikirkan isu-isu ini dari dua peringkat. Pertamanya adalah untuk memahamiapa yang dikatakan kemurtadan itu sebenarnya adalah sebahagian dari teologi yang bersifat penjajahan. Hatta di dalam empayar bukan Islam sekalipun – ambil contoh warisan dari Kristian yang bersifat menjajah – bilamana seseorang itu meninggalkan kepercayaannya, mereka akan dilihat sebagai seorang pengkhianat terhadap sesebuah empayar itu. Anda sedang melakukan satu kenyataan politikal saatnya anda meninggalkan sesebuah kepercayaan. Keadaan ini serupa bagi kedua-kedua empayar, baik Islam mahupun Kristian : murtad adalah sebuah perbuatan khianat yang politikal. Sehingga hari ini, kita masih memandang ketidaksetiaan dalam politik sebagai pengkhianatan.   Dan peringkat yang lain itu? Moosa: Peringkat yang lain itu adalah untuk mengenal pasti bahawa teologi yang bersifat menjajah ini sudahpun tamat tempohnya dengan kebangkitan negara bangsa : idea perihal kewarganegaraan, idea-idea tentang hak individu serta cara baru dalam memahami peranan mereka yang beragama. Hari ini, para teologi Muslim mengambil sikap yang berikutnya tentang soal murtad ; jika anda menukar kepercayaan ia hanyalah soal di antara kamu dan Tuhan; menukar kepercayaan tidak lagi dilihat sebagai satu perbuatan khianat terhadap tatanan politik. Dalam sebuah negara bangsa yang moden, agama adalah soal peribadi dan dekat dengan diri, sementara Negara dan masyarakat madani-lah yang menyelia ruang awam. Begitu pun, kita jangan lupa bahawa idea ini sendiri masih dipersoalkan di Barat. Masih terdapat warga Kristian yang merasakan bahawa nilai-nilai Kristian perlu dilaksanakan oleh Negara. Perkara ini turut menjurus kepada kekaburan dalam memahami perbezaan ini sekaligus mencipta sebuah ruang samar antara ruang awam dan peribadi. Namun begitu, soal kemurtadan masih digunapakai sebagai satu cara untuk menggertak atau membungkam cendekiawan. Moosa: Tidak disangkal lagi bahawa dalam pemahaman teologikal komuniti Muslim, murtad masih dilihat sebagai satu jenayah berlawanan dengan tatanan masyarakat. Sebuah soal selidik yang dijalankan oleh Pew Research Center mendedahkan bahawa dalam masyarakat seperti di Tunisia sekalipun, ramai yang masih mempercayai bahawa murtad adalah sebuah jenayah. Saya percaya yang ahli teologi gagal dalam tugas mereka dalam mendidik masyarakat untuk memahamkan bahawa membuat pilihan berkaitan keagamaan tidak harus dipandang sebagai satu jenayah. Jika anda menjatuhkan hukuman untuk soal ini, ianya sekaligus memaksa mereka dalam soal kepercayaan di mana ianya adalah sebuah antitesis dari apa yang diajar oleh Islam tentang keimanan. Apakahbentuk pemikiran semula teologikal yang diperlukan dalam menyelesaikan permasalahan ini? Moosa: Kita memerlukan satu pemahaman baru tentang apa itu Tuhan dan apa yang dimaknakan dengan Islam dalam suasana politik dan ekonomi yang kita hadapi hari ini. Bagaimana seseorang itu mentafsir agama dalam sebuah masyarakat moden? Sejak meninggalkan politik empayar, kita tidak lagi memerlukan teologi yang berbentuk empayar. Teologi persis seperti itu hanya menyuap soal hierarki yang bias, yang pastinya turut tentang ketuanan sesebuah agama terhadap agama yang lain atau hak keistimewaan sesebuah gender berbanding yang lain. Sebuah negara bangsa yang moden perlu memastikan hak-hak seorang individual. Pada hemat saya, banyak negara Muslim hanya mengambil kerangka negara bangsa yang cetek di mana pengisian serta kandungan undang-undang mereka tidak selari dengan wacana moden tentang hak-hak manusia. Dan teologi Muslim masih terperangkap dengan apa yang diungkap oleh anda; sebuah konsep yang terjajah? Moosa:.Benar, sesetengah undang-undang berasaskan agama yang dijumpai di negara-negara Muslim kebanyakannya adalah peninggalan kepada apa yang saya takrifkan sebagai teologi politikal Islam yang terjajah. Sebagai satu warisan lampau, teologi politik yang terjajah ini perlu dicantas dari imaginasi politik dan keagamaan melalui penilaian kritikal, mempersoal, ijtihad serta pendidikan. Bagaimanakah perkara ini dapat dilakukan semula saat kebanyakan ulama, ahli teologi di negara-negara Arab sangat hampir dengan regim yang menjadi boneka? Moosa: Di sesebuah masyarakat di mana autoritarianisme berleluasa, para ahli teologi seringkali akur kepada sesebuah sistem politik, atau terus merasa jengkel sepenuhnya kepada para penguasa yang tidak mempunyai keabsahan. Ahli politik boleh saja menjadi secular dalam praktis politiknya, namun dalam soal teologi boleh jadi mereka sangat “wedded” terhadap teologi yang lapuk. Banyak sekali kerajaan Muslim yang sekular mengganggu-gugat, memenjara serta menyasarkan cendekia dan ahli teologi untuk membuktikan keIslaman mereka, dalam percubaan mereka untuk menyatakan bahawa mereka lebih Islamik dari tandingan Islamis mereka itu. Apa tujuan mereka berbuat begitu adalah sekadar mahu menyedapkan orang di sekeliling mereka atau ianya benar-benar melambangkan fikrah mereka? Moosa: Mereka fikir yang teologi adalah sebuah sepak bola politikal di mana mereka boleh menggunakan massa. Pada hemat saya, ketiadaan sebuah ajaran teologi yang bermaruah membina sebuah lohong yang besar dalam masyarakat Muslim. Sebuah teologi yang penuh maruah perlu menjadi penanda aras serta sasaran untuk semua nilai-nilai yang dipercayai. Pentafsiran semula teks serta ajaran-ajaran lain yang tidak mencapai penanda aras ini perlu diketepikan. Tugas yang besar amat diperlukan dalam melakukan penilaian semula terhadap undang-undang Islam, teologi serta praktis moral dalam mencapai tujuan ini. Anda mengatakan bahawa teologi Islam sudah mati ketika memberi ucapan di Jerman tempohari. Apakah yang dimaksudkan dengan kenyataan itu? Moosa: Teologi Islam sudah mati saatnya hanya wujud beberapa masyarakat normal di mana warganya dapat melakukan refleksi terhadap alamiah kebaikan dalam suasana yang stabil. Sebahagian besar dunia Muslim hari ini bergelut dengan sengketa politik. Di Indonesia, Malaysia, Turki atau Tunisia, di mana negaranya lebih stabil, warganya dapat menerokai sudut pandang dalam memahami siapa mereka, apakah yang dimaksudkan dengan Tuhan dan bagaimana Tuhan dimaknai di dunia. Begitupun, masih wujud sebuah fahaman teologi, apa yang dipanggil teologi yang penuh kejanggalan dalam memberi keabsahan terhadap keganasan dan kuasa tanpa mengira apa pun contohnya seperti Islamic State atau teologi yang diangkat oleh regim autoritarian. Apakah ada di mana-mana yang anda lihat wujudnya kebangkitan (Islam yang murni)? Moosa: Anda boleh menjumpainya di Lebanon di mana ahli teologi Muslimnya yang baik, di mana masyarakatnya rencam beragama untuk saling memahami, termasuklah cabang Islam Sunni dan Shia, serta kepelbagaian jalur Kristianiti dan arus sekular masyarakatnya. Teologi yang mengangkat maruah seperti inilah yang mencambah harapan serta peluang. Teologi baru mulai wujud khususnya di negara-negara seperti Lebanon, Indonesia serta minoriti Muslim di Afrika Selatan dan Ameriika syarikat contohnya. Ruang politikal yang membuka ruang ekspresi idea-idea baru penting dalam bereksperimen dengan teologi. Anda memerlukan kebebasan bersuara dalam usaha mengelakkan mana-mana ahli teologi yang tidak bersetuju dari menjalankan kempen yang bersifat demogogik terhadap tandingan mereka dan memaksa sesebuah kerajaan untuk melempar lawan mereka ke penjara. Sejarahnya, teologi Islam dicirikan oleh kepelbagaian yang lumayan. Begitupun, hari ini ianya seakan-akan hilang. Moosa: Itulah salah satu tragedi besar Islam moden! Kita amat memerlukan hari ini apa yang telah menjadi bukti kepada kegemilangan kita pada suatu masa dahulu. Sebahagian dari permasalahan ini adalah orang Islam tidak lagi mengenali waktu silam mereka sendiri. We have to study the past to discover the great lessons of diversity, rather than relying on the monolithic, very reductionist and flimsy versions masquerading as Muslim theology today. That is the biggest challenge in both Muslim majority and minority contexts. Kita perlu mengkaji masa lampau dalam usaha untuk menerokai kerencaman pengalaman kita dari terus-terusan bergantung kepada versi Islam yang monolitik, yang sangat bersifat reduksionis serta mengangkat versi yang berpura-pura sebagai apa yang dipanggil teologi Muslim hari ini.Inilah cabaran terbesar dalam konteks Muslim sebagai masyarakat majoriti mahupun minoriti. Jika begitu, apa yang terjadi jika Presiden Mesir, al-Sisi pergi ke al-Azhar dan menggesa sebuah reformasi Islam… Moosa: Gesaan untuk reformasi seperti itu pastinya tidak mempunyai daya tarikan untuk bertahan lama. Mungkin ada ahli teologi yang akur, namun ianya akan tetap berlaku pada permukaan semata-mata dan tidak organik. Pertamanya, kerana dirinya adalah seorang diktator, maka al-Sisi perlu melakukan reformasi terhadap dirinya terlebih dahulu. Namun begitu beliau bukanlah pemimpin yang pertama berkelakuan sebegitu. Nasser mengubah al-Azhar dan membentuknya menjadi alat Negara. Al-Azhar tidak diberikan kebebasan akademik. Apa sahaja yang dikatakan oleh cendekia di Mesir pada hari ini boleh saja menjadi “senjata memakan tuannya” sendiri. Kebebasan politik adalah asas utama kepada reformasi keagamaan dalam skala yang besar, di mana ianya akan membenarkan segala macam idea untuk diperdebatkan. Dua ruang iaitu awam dan politik sangat berkait dengan Islam. Mengapa ianya begitu sukar untuk dipisahkan? Apakah pegangan anda tentang sekularisme? Moosa: Saya tidak mempunyai keberpihakan yang tetap dalam soal ini. Saya merasakan bahawa idea untuk memisahkan ruang, di antara sekular dan agama adalah sebuah fiksyen kognitif (cara fikir) yang berguna. Ianya sebuah fiksyen politik yang muncul dari perjuangan Eropah dalam memisahkan kekuasaan gereja dari kekuasaan kerajaan. Begitulah apa yang terjadi di Eropah namun lain pula sejarahnya di Afrika Utara mahupun Timur Tengah. Untuk menggesa sesebuah model untuk keseluruhan umat manusia di dunia ini boleh menjadi pemaksaan. Kuncinya, isu ini bergantung kepada masyarakat untuk mencari jalan di mana kerajaan serta kekuasaan kerajaan dalam berfungsi secara efektif tanpa menghalang masyarakat dari berkembang. Sekularisme dalam hal ini adalah hanya salah satu eksperimen dalam soal pengasingan ruang kekuasaan. Pastinya wujud beberapa model lain yang memungkinkan. Apa maksud anda wujud pengasingan di antara dua ruang tersebut tanpa menggunakan terma sekularisme itu? Moosa: Terdapat sebilangan besar ahli teologi Kristian, Islam dan Yahudi yang peduli tentang bagaimana “gerabak” sekular yang tidak terkawal ini yang menuju ke satu arah di mana mereka hanya mengemukakan kemegahan sistem sekular sekaligus mengenepikan cara hidup orang lain. Membicarakan hal ini bukanlah bermaksud untuk menjadikan benua Eropah, Kristian semula apatah lagi Muslim mahupun Yahudi. Namun agar warga Eropah untuk turut menerima kritikan terhadap sekularisme itu sendiri. Golongan sekular membuatkan agama untuk memikirkan kedudukannya sendiri. Pastinya, dalam cara yang sama, agama dapat membantu sekularis untuk memikirkan semula beberapa aspek sekularisme itu sendiri. Misalnya, Jurgen Habermas sendiri awalnya mengangkat rasionaliti sekular yang keras tanpa mahu berbicara langsung dengan agama. Namun hari ini, beliau mengujarkan bahawa kita perlu berbicara lanjut tentang agama kerana dirinya sedar peri-pentingnya menghargai agama. Mengapa kita perlu berbicara dengan agama? Moosa: Ianya penting untuk mengembleng usaha berbicara dengan Muslim di Eropah dengan lebih mendalam, tanpa perlu menyatakan bahawa satu-satunya cara untuk berdialog adalah dengan Islam untuk menjadi sekular terlebih dahulu. Warga Eropah perlu berhenti berkata begitu. Berikan Muslim di Eropah ruang untuk mereka merasakan bahawa Eropah adalah rumah mereka. Jika anda mengambil beberapa perlakuan ganas oleh beberapa individual Muslim sebagai satu keabsahan untuk melakukan stigma kepada seluruh umat Islam di Eropah Barat, makanya anda sudahpun meletakkan Muslim di dalam situasi yang sukar. Anda memaksa mereka untuk membuat pilihan di antara kepercayaan mereka – Islam – dengan kedudukan politik di Eropah. Pastinya, mereka akan memilih Islam. Berikan Muslim di Eropah ruang untuk bernafas supaya mereka dapat mengembangkan teologi mereka dan benarkan mereka untuk berhadapan dengan sekularisme, dalam usaha sekularis untuk membetulkan diri mereka jua.

]]>

Kuil Sri Kandaswamy

Kuil Sri Kandaswamy yang berumur 110 tahun ini adalah kuil tertua di Brickfields! Yang unik tentang kuil ni berbanding dengan kuil-kuil Hindu yang lain ialah mereka dengan tekun mengamalkan setiap pantang larang mengikut amalan dan kepercayaan tradisi Hindu. Sebagai contoh, menjadi kebiasaan kuil-kuil Hindu untuk mengamalkan cara pemakanan vegetarian (sayur-sayuran), tetapi di kuil Sri Kandaswamy mereka langsung tidak membenarkan daging atau makanan dari luar dibawa masuk ke dalam kawasan kuil. Hanya makanan yang dimasak di dalam dapur kuil oleh sami-sami Hindu sahaja yang dibenarkan.

]]>

Kuil Buddhist Maha Vihara

FAKTA MENARIK: Kuil Buddhist Maha Vihara di Brickfields ini dibina pada tahun 1894 untuk penganut Theravada Sri Lanka. Menurut En. Hema, salah seorang pengurus kuil ini, ada secebis tulang dari Siddhārtha Gautama Buddha yang disimpan di hujung bumbung bangunan pagoda.

]]>

Khabar dan Angin: Excursus on Faith in Kelantan

KhabarAngin_A5 Flier_Landscape_v1-01   Khabar dan Angin: Excursus on Faith in Kelantan Baru-baru ini, pameran seni Khabar dan Angin, anjuran Projek Dialog bersama Suruhanjaya Tinggi Kanada baru sahaja selesai di Balai Seni Visual Negara. Projek tersebut telah membawa 8 seniman untuk menanggapi realiti kehidupan dan kepelbagaian agama dan kerohanian di Kelantan. Hasilnya ialah pameran seni ini, yang telah mendapat sambutan baik dari kalangan ramai. Banyak yang telah kami pelajari, dari merenung kembali pengalaman ini dan menerima maklumbalas daripada para pelawat tentang karya seni yang dihasilkan. Untuk memanjangkan perkongsian dan dialog yang dicetuskan oleh projek ini, kami telah menghasilkan sebuah naskah yang memuatkan pemerhatian dan buah fikiran daripada pihak penganjur, para kurator, seniman, dan pengkritik seni – mengimbas kembali proses ini, menimbal kelebihan dan kekurangannya, dan apa yang dapat diperolehi dari kesemuanya. Harapan kami ialah untuk membuka perbincangan ini ke ruangan awam, bagi mereka yang tidak berpeluang untuk melihat pameran ini, supaya pertukaran ini mungkin mampu meluaskan pandangan kita tentang tanggapan dan kepelbagaian yang wujud di kalangan kita. Muat turun di sini secara percuma! Kami mengalu-alukan maklumbalas dari anda!  

]]>

In the Name of Mother Fareeda, Daughter Adijuma and Holy Ariani

KAU! Tempik kawan saya nan seorang di hujung gagang. Jom jumpa! Dia menyergah lagi. Selalu, seringnya kalau dia berkeriau seperti ini tentu sahaja ada masalah. Teman saya itu baru berkahwin. Kira-kira lima enam bulan. Dan saya tidak hadir majlisnya kerana berada di Geneva. “Boleh kah jumpa isteri orang tanpa suami”, saya menghilai di sini. “Jangan main-main. Jom jumpa.” Suaranya mendesak, ada getar yang mengesankan. Dan apa keluhnya selepas berkahwin? Bukan, bukan suami minta bukan-bukan. Tak ada posisi anjing, atau kaldai. Bukan kerana dia tidak pandai memasak dan lauknya serasa masin terlebih. Bukan itu semua. “Apa hal?” Tanya saya membalas jerkah. “Semua orang desak aku mengenakan tudung.” “Semua orang?” “Kecuali kau”.  Kata teman saya jujur. Matanya seakan berair. “Mereka, mereka bilang aku pasti ke neraka.” “Oh my.” Balas saya tersedak kopi Somali. “Neraka bukan manusia punya. Neraka Tuhan yang punya. Tiada siapa berhak menghantar ke neraka melainkan Tuhan. Itu pun, Tuhan Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Kau tahu bukan?” Dia angguk. Kemudian bersuara sepatah. “Kau tak pernah kelihatan canggung berteman denganku. Kerana aku membiarkan rambut terlepas begini. Kadang diwarnai merah atau sedikit kuning.” “Freedom of expression.” Aku ketawa. “Mereka, semua memaksaku mengenakan tudung. Sekarang aku harus memilih…apakah hijab yang sesuai untukku.” Teman itu kelihatan hiba. “Aku tak dapat menolong. Aku free hair. Aku tak bertudung.” Sengaja berseloroh. “Hoi…aku perlu bertudung. Kau kan tahu semua..” “Whoaaaaa.” Saya tertawa. “Please. I need this… in the name of Mother Fareeda, daughter Adijuma and holy Ariani, help me.” Makin kuat sangkak tawa saya mendekah. Hingar kafe Gloria Jean itu sejenak dengan dedai gelak kami berdua. “Tentu, kau tidak mahu bertudung semata-mata kerana disuruh orang atau dek kerana tuntutan persekitaran. Itu bukan datang dari kerelaan.” Saya memulai. Dia tekun mendengar. “Susah”. Teman saya itu mengeluh berat. Saya tidak pernah menanda mana-mana teman yang memilih untuk tidak berhijab. “Bukankah ia wajib?” Pernah ada orang menyoal. “Ya…tetapi yang lebih wajib ialah akhlak yang berseri. Falsafah berhijab terletak pada kelakuan. Tentu orang yang bertudung tidak akan meriah mengumpati orang, atau tentu orang yang bertudung tidak akan rajin mengadu-domba ke sana sini.” Teman itu termangu. “Itu yang aku nyatakan kepada Hilal (suaminya), tapi kata Hilal, kalau nak tunggu akhlak sempurna seratus persen alamat tidak ada. Yang juga, betul…kan?” Aku angguk pula. “Biarlah ia datang dari kerelaanmu. Tentu kau tidak mahu bertudung kerana didesak mertua, dimomokkan ipar bahawa kau akan dibakar di nuraka kelak. Tentu kau mahu berhijab dengan nyata dan pasti. Bahawa ia datang dari nurani. Bahawa kau benar-benar mengimani dan meyakini falsafahnya. Untuk apa bertudung kalau mulut masih celoteh, becok membawa hal orang, yang mana juga menjadi alasan untuk dihumban ke nuraka.” “Argh, susah. Orang terlalu berfikir soal syurga dan neraka.” “Yang bukan pun kita punya…” Aku mencelah gesit. Sungguh, kegilaan kepada fikah bukanlah tuntutan agama. Komponen agama yang lain adalah ihsan selain syariat. Apabila Nabi hadir di sebuah peradaban yang penuh kejahilan, perkara yang ditekankan ialah akhlak. Rasulullah saw dibangkitkan di tengah masyarakat tidak beradab, malah biadab, untuk menjadi contoh kemuliaan dan kemurnian akhlak, uswatun hasanah. Itulah peranan nabi di tengah kemaksiatan. Penekanan kepada hijab tidak membantu contohnya populasi yang baru beriman. Saya pernah melihat orang asal yang diIslamkan padahal ia tidak mengerti apa. Akibatnya, seminggu kemudian, orang asal itu kembali top less, menyidai pakaian di tebing sungai berhampiran rumah dengan tetek sebesar nangka selambak. Nah, tidakkah itu gila? Yang benar ialah, agamawan harus mengajar budaya dan akhlak terlebih dahulu. Setelah nilai baik dipupuk dan dibumbu mesra secara intim, barulah kemudiannya fikah didatangkan. Itu pun diterang dan diulas falsafahnya secara jitu. Bukan dipantak, bahawa ‘hah inilah Islam dan inilah kehendak agama maka lakukan sahaja tanpa menyoal apa-apa’. Manusia harus beriman dari tanya. Wajib beriman dari tanya. Mestilah beriman dengan benar-benar kepastian. Namun demikian, cara pandang saya di atas tentulah dianggap batil oleh segelintir orang. Selalunya kita akan terpaksa melakukan kerana budaya kita sudah tunduk kepada keterpaksaan. Yang betul dan masih betul ialah keadilan mesti mengatasi syariah, akhlak mesti mengatasi fikah. Insiden kecil teman saya itu jelas menunjukkan ketidaktenteraman yang mengaburi pilihannya. Bukan itu sahaja, mertuanya mendesak dia mengenakan Fareeda, iparnya mengacukan Adijuma, sementara suami menyuguhkan Ariani. Bukan semua itu tidak anggun, bergaya dan menawan. Memang terliur melihatnya. Warna-warni, kerongsang, cap bunga yang menyerlah dan pintal memintal peragaan yang sungguh penuh tafsiran. Ia menyebabkan sesetengah manusia perempuan berasa bebas. Tetapi untuk segelintir orang yang memang perlu menunggu panggilan naluri, pemaksaan adalah satu penghinaan dan penyeksaan, bahkan satu pemasungan. “Aku malah tak bercakap dengan Hilal buat sementara.” “Ya Allah…” Balas saya kesal. Saya memang mengetahui teman itu kurang suka ditentukan hidupnya. Ibunya sudah meninggal dunia lama dahulu. Ibunya malah tidak memaksakan. Ibunya bahkan mengingatkan, lakukan sesuatu dengan penuh kepercayaan dan kelangsungan. Tentu kita tidak mahu melakukan separuh jalan, bermusiman, atau mengikut lokasi. “Apa yang haru aku lakukan Zal?” Buat sementara saya juga terpaku. Saya hanya berdaya mengatakan, “Berbicaralah dengan Hilal. Beritahu sepenuh hati. Lambat-laun akan terjadi, tetapi ia haruslah benar-benar kepastian.” “Nanti Hilal kata begini, habis kalau dilanggar lori dan mati?” “Wah suamimu mendoakan seperti itu?” “Andai..kalau…” Dia mewaraskan. “Katakanlah, ajal maut di tangan Tuhan. Allah tentu akan menilai kebaikan mengatasi hal seumpama ini. Kerana Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Tak ada gunanya menutup aurat tetapi aurat yang lain terdedah. Aku seorang yang menganut faham bahawa syurga untuk orang yang dimangsai dan lemah, sementara neraka untuk orang yang memeras dan zalim. Jika kau tidak berada di pihak Firaun dan cenderung kepada Asiah, lalu mengapa harus diperkirakan koloni lain dimensi seperti syurga dan neraka yang bukan hak kita? Aurat yang lain itu harus dijaga…” “Aurat yang lain?” Dia terbelalak. “Ya…akhlak juga adalah bahagian aurat. Orang yang melakukan penindasan. Itu mendedahkan aurat. Aurat bukan sahaja urat, aurat adalah keaiban dan kecabulan yang mesti diberi perhatian. Itu yang paling sukar dilindung dan dibatasi sebetulnya. Aurat yang ditutup sebetulnya harus mencerminkan kesempurnaan itu juga. Tetapi hari ini jilbab atau hijab dikenakan kerana ia penuh gaya dan trendy, atau kerana persekitaran menyuruh, atau kerana ia menjadi gaya hidup. Ya, seperti orang menggilai kurus keding sedang yang berdaging dan montok itu patutnya lebih seksi dan bermutu.” Dia ketawa. “Kau sering ada pandangan menyongsong arus.” “Bukan.” Saya membantah. “Habis?” “Aku tidak membantah jika ada keinginan untuk berhijab yang datang dari dalaman. Ia akan menyerlah kekuatan dan kesempurnaan. Namun, jika ia adalah kosmetik, iaitu dilakukan kerana digesa orang; makanya itu amat malang.” Teman itu termenung. Kami minum. Berpindah cerita hal-hal lain. Sebelum beredar dia bertanya lagi, “Mengapa kau sebegini terbuka?” Saya tersenyum,”Kerana aku pernah melihat perempuan bukan islam yang budiman dan baik budi pekerti. Dia tidak berhijab tentunya. Dan aku percaya jika dia menghadap Allah, dia akan diperhitungkan dengan syurga kerana kebaikannya itu melampaui kehodohan dan kejahatan. Benar, ada perkara memang tuntutan agama, tetapi agama menuntut sesuatu yang kita benar-benar imani. Kau tentu tidak mahu berhijab semata-mata kerana  mother Fareeda, daughter Adijuma and holy Ariani.” Dan ketawa kembali mengiringi perpisahan sementara kami. Sempat saya melaungkan, moga Hilal memahami. Matanya kuyu, terperosok. Sesuatu yang mudah serasa dipayah.    

]]>

Sebagai wanita Muslim, saya meminta kalian untuk tidak memakai hijab atas nama solidariti inter agama

Penterjemahan “As Muslim women, we actually ask you not to wear the hijab in the name of interfaith solidarity”  yang diterbitkan di Washington Post pada 21hb Disember 2015. Diterjemahkan oleh Johan Ariff. [caption id="attachment_5447" align="aligncenter" width="1024"]Sumber gambar: Associated Press Sumber gambar: Associated Press[/caption] Pada minggu yang lepas tiga pemimpin agama wanita – seorang rabai agama Yahudi, seorang paderi Episkopal, dan pendeta Unitarian – dan juga seorang imam lelaki berjalan memasuki ruang suci di hadapan mimbar yang diselaputi jubin hiasan di Pusat Islam Khadeeja yang terletak di West Valley City, Utah. Mereka tersenyum lebar, kepala mereka dililiti tudung yang berwarna terang sebagai tanda sokongan bagi hari “Wear a Hijab”. Laman web Salt Lake Tribune menyiarkan gambar gadis-gadis belasan tahun, yang tidak beragama Islam di antara orang ramai dan merupakan antara sebahagian khalayak yang hadir di kawasan masjid. Masing-masing menutup rambut mereka dengan skarf panjang. KSL TV kemudiannya melaporkan: “Hijab – ataupun tudung – adalah simbol kepada sifat rendah diri dan maruah. Apabila golongan wanita Muslim memakainya, itu bermakna bahawa mereka sudah siap siaga untuk dikenali sebagai penganut agama Islam.” Pada kami, wanita kebanyakan yang lahir di Mesir dan India, keadaan yang berlaku di Pusat Islam Khadeeja merupakan sesuatu yang menyakitkan kerana ianya mengingatkan kami kepada usaha yang dibiayai sepenuhnya oleh golongan Muslim konservatif dalam percubaan untuk mendominasi masyarakat Muslim moden. Gerakan konservatif Islam marcapada ini menyebarkan ideologi politik Islam yang diberi nama “Islamisme”, yang mempengaruhi ramai penyokong inter agama yang baik dan media, untuk mempromosi idea bahawa “hijab” merupakan ‘rukun ke enam’ dalam Islam, selepas lima rukun Islam yang  dimaktub tradisi iaitu mengucap dua kalimah syahadah (dan menunaikan Haknya), menunaikan solat fardu lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, membayar zakat dan mengerjakan Haji di Mekah bagi mereka yang mampu. Kami menolak interpretasi bahawa “hijab” ini hanyalah simbol kepada sifat rendah diri dan maruah seperti apa yang dipercayai wanita Muslim. Gerakan zaman moden ini, yang termaktub di Iran, Arab Saudi, Taliban di Afghanistan dan ISIS secara keliru telah menyamakan perkataan arab Hijab dengan perkataan dalam konteks sekular iaitu tudung. Menyamakan hijab dengan tudung kepala merupakan suatu bentuk salah faham agama. “Hijab” secara literal bermaksud “tirai” dalam bahasa Arab. Ia juga membawa maksud “berselindung”, “menghalang” dan “mengasingkan” seseorang atau sesuatu. Dalam Al-Quran, hijab tidak pernah membawa maksud tudung atau skarf di kepala seperti yang difahami umum. Dalam bahasa Arab kolokial, tudung/skarf di kepala adalah tarha. Di dalam bahasa Arab klasik pula, “kepala” adalah al-ra’as dan penutup adalah gheta’a. Walau apa jua formula yang digunakan, “hijab” tidak pernah membawa maksud tudung/skarf di kepala. Media seharusnya berhenti daripada terus menyebarkan interpretasi songsang ini. Lahir pada tahun 1960an di dalam keluarga yang konservatif tetapi tetap mempraktikkan sikap keterbukaan (Hala di Mesir dan Asra di India), kami membesar tanpa disuruh untuk menutup rambut. Tetapi bermula pada tahun 1980an, susulan revolusi Iran pada tahun 1979 oleh minoriti Syiah dan kebangkitan ulama-ulama dari sektarian Sunni yang didanai penuh oleh Arab Saudi, kami dibuli dengan percubaan untuk memaksa kami menutup rambut dari dilihat oleh lelaki waima kanak-kanak. Anak perempuan dan gadis, yang seringkali dipanggil “enforce-hers” dan “Muslim mean girls”, mengambil langkah lebih ‘maju’ dengan mempersenda wanita-wanita yang dianggap salah caranya dari segi pemakaian hijab mereka  Golongan wanita yang memakai jeans skinny seringkali dipanggil “hijabis” selalu dilabel secara biadap sebagai “ho-jabis”, penggunaan istilah yang kasar bagi “pelacur”. Namun dalam pelbagai interpretasi yang wujud dari abad ke tujuh sehingga ke hari ini, dari sarjana Morocco Fatima Mernissi ke ahli akademik dari UCLA, Khaled Abou El Fadl, termasuk jugalah Leila Ahmed (Harvard), Zaki Badawi dari MEsir, hinggalah kepada Abdullah al Judai dari Iraq dan dari Javaid Ghamidi dari Pakistan, masing-masing secara jelas dan terang-terangan menetapkan bahawa golongan wanita Muslim tidak diwajibkan untuk menutup rambut mereka. [caption id="attachment_5448" align="aligncenter" width="477"]Komik dari novel grafik, "Persepolis" Komik dari novel grafik, “Persepolis”[/caption] Mencabar pemakaian hijab Justru, bagi kami, “hijab” merupakan simbol interpretasi agama Islam yang perlu tolak totok kerana ianya bersandarkan suatu pemahaman bahawa golongan wanita adalah makhluk seksual pengalih perhatian (sexual distraction) terhadap golongan lelaki yang senantiasa lemah dan tidak seharusnya dibiar tergoda oleh penampakan rambut wanita. Tentu sekali kami tidak dapat menerima jalur kefahaman sebegini. Ideologi ini telah mempromosi norma sosial yang membenarkan lelaki untuk mengganggu wanita secara seksual dan mengalihkan tanggungjawab kepada mangsa (wanita) yang seharusnya melindungi diri melalui cara pemakaian mereka. Gerakan Pembaharuan Muslim (Muslim Reform Movement), iaitu sebuah jaringan pemimpin dari seluruh dunia yang mendukung hak kemanusiaan, keamanan dan pemerintahan sekular, menyokong hak kebebasan wanita Muslim sama ada untuk memakai atau tidak memakai, tudung atau skarf di kepala. Tetapi malangnya, idea bahawa pemakaian “hijab” ialah wajib  dan mandatori telah disebarluaskan oleh usaha-usaha naif seperti melalui Hari Hijab Sedunia (World Hijab Day), yang dimulakan pada tahun 2013 oleh Nazma Khan, seorang warganegara Amerika-Bangladesh yang memiliki syarikat tudung/skarf di kepala di Brooklyn, dan juga melalui stesen Ahlul Bayt, stesen televisyen yang menyebarkan ajaran Shiah, dan University of Calgary di selatan barat Kanada, turut mempromosikannya bagi menunjukkan keterlibatan mereka dengan Hari Hijab Sedunia ini. Syarikat stesen televisyen Ahlul Bayt ini berhujah bahawa pemakaian tudung adalah perlu bagi golongan wanita untuk mengelakkan “perhatian yang tidak diingini”. Pihak penganjur Hari Hijab Sedunia (World Hijab Day), stesen TV Ahlul Bayt dan pihak University of Calgary tidak memberi apa-apa maklum balas ketika diminta untuk memberi komen mengenai perihal ini. Sambil melampirkan pelbagai sumber di laman sesawang rasminya, stesen TV Ahlul Bayt turut mengaitkan hal bertudung ini dengan konsep bahawa “wanita adalah aurat” atau terlarang (forbidden): suatu konsep yang langsung menjurus kepada pengurungan, sub-ordinasi, paksaan untuk  mendiamkan diri dan penguasaan terhadap suara-suara wanita dan keterlibatan mereka di dalam masyarakat awam. Di laman sesawangnya  stesen TV ini turut memuatkan sebuah artikel bertajuk, “10 alasan yang digunakan wanita Muslim yang tidak memakai hijab dan kelemahan-kelemahan mereka,” (The top 10 excuses of Muslim women who don’t wear hijab and their obvious weaknesses) dengan seruan, “Ayuh naikilah kereta api di landasan taubat ini, saudara seagamaku, sebelum ia berpergian dari perhentianmu.” Gesaan untuk memaksa wanita menutup rambut mereka telah tiba di suatu tahap yang amat membimbangkan dengan wujudnya laman web Muslim ultrakonservatif dan organisasi-organisasi yang terus menyebarluaskan interpretasi sebegini, seperti VirtualMosque.com dan Al-Islam.org, di mana mereka turut menyiarkan rencana bertajuk, “Hijab Jokes”, yang sinis menyindir golongan wanita Muslim yang tidak menutupi rambut mereka secara “Islamik”. Pada minggu lepas, pelajar perempuan dari Vernon Hills High School, di pinggiran Chicago, melilit kepala mereka dengan skarf sempena program “Walk a Mile in Her Hijab”, yang ditaja oleh persatuan konservatif Pertubuhan Pelajar Muslim di sekolah mereka. Aktiviti ini sesuatu yang merisaukan apabila kami melihat gambar-gambar anak-anak ini berkerudung di kepala. Tambahan pula, beberapa kumpulan Muslim sedang giat menyebarkan pelbagai artikel mengenai golongan wanita Muslim berhijab yang mendepani pelbagai ancaman. Kakitangan Majlis Hubungan American-Islamic telah mendakwa dan membuat aduan terhadap syarikat-syarikat di Amerika Syarikat yang melarang pekerjanya daripada memakai hijab di tempat kerja. Malah mereka telah menamakan organisasi mereka sebagai “the hijab legal defense fund”. Kini, pada abad ke 21, kebanyakan masjid di seluruh dunia, termasuklah di Amerika Syarikat, menafikan hak agama kami sebagai wanita Muslim untuk bersolat tanpa kerudung, sekaligus mendiskriminasi kami dengan tidak membenarkan kami masukke dalam masjid jika kami tidak menutupi rambut kami. Seperti Gereja Katolik selepas reformasi Vatican II pada tahun 1965 yang menghapuskan kewajiban untuk golongan wanita untuk memakai kerudung jika hendak memasuki gereja-gereja , masjid juga seharusnya menjadikan skarf di kepala sebagai pilihan dan bukan kewajipan andaikata mereka benar-benar ingin menjadikan masjid sebagai ruang yang “mesra-wanita”. Mujurlah, adanya beberapa individu yang berani mencabar arahan-arahan mandatori seperti ini. Pada awal Mei 2014, jurnalis dari Iran, Masih Alinejad, memulakan kempen baru yang berani, #MyStealthyFreedom, untuk memprotes undang-undang yang mewajibkan wanita untuk memakai hijab. Ia dilaksanakan setelah teokrasi Iran memenangi tampuk kuasa pada 1979. Kempen slogan tersebut adalah: “Ianya ialah hak bagi mana-mana individu wanita Iran untuk memilih sama ada mereka ingin memakai hijab.” [caption id="attachment_5449" align="aligncenter" width="460"]Sumber gambar: Morocco World News Sumber gambar: Morocco World News[/caption] Kepentingan interpretasi kitab Al-Quran Mandat yang memerlukan golongan wanita menutup bahagian rambutnya selama ini telah bersandarkan kepada interpretasi songsang terhadap ayat-ayat Al-Quran. Di dalam kamus bahasa Arab, hijab merujuk kepada “halangan”, tidak semestinya di antara lelaki dan wanita, tetapi juga di antara seorang lelaki dengan lelaki lain. Perkataan “hijab” muncul di dalam Al-Quran (33:53) pada tahun ke-5 penghijrahan Nabi Muhammad ke Madinah, apabila beberapa tetamu berada di rumahnya terlalu lama. Dengan itu termaktublah beberapa peraturan etika apabila ingin berbicara dengan isteri-isteri Nabi Muhammad: “Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka.” Oleh yang demikian,jelas, hijab membawa maksud pembahagi (partition). Perkataan hijab hanya terbit sebanyak lapan kali di dalam Kitab Al-Quran sebagai “halangan” atau “dinding pembahagi” (7:46), sebagai “tirai” (33:53), “tersembunyi” (38:32) dan “dihalang” atau “terdinding dari rahmat Tuhan” (83:15). Di dalam Al-Quran, penggunaan perkataan Hijab tidak membawa konotasi ketaatan pada agama atau kesolehan. Sebaliknya, ia membawa konotasi negatif sebagai halangan yang jelas atau metaforikal dalam  memisahkan golongan “bukan penganut Islam” ke dalam ruang yang gelap, seperti yang jelas tertulis melalui “Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami)(41:5),” sebagai contoh, dinding pembahagi di antara golongan di neraka dan di syurga (7:46) atau “Jangan lagi mereka berlaku demikian! (kalau tidak), mereka pada hari itu, tetap terdinding dari (rahmat) Tuhannya (83:15).” Mahjaboon merupakan kata kerja yang terbit daripada perkataan hijab. Al Quran tafsir dari Arab Saudi menterjemahkannya sebagai “terselindung”. Sebenarnya, dalam konteks penggunaannya melalui ayat ini, ia membawa maksud “tidak mampu mencapai (denied access)”. Ayat yang sering digunakan bagi mempertahankan kewajipan pemakaian tudung (33:59) menyatakan, “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya (jilbab) bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Merujuk kepada kamus Arab, jilbab bermaksud “gaun yang labuh dan panjang” yang juga merupakan pakaian tradisional Arab pada waktu itu. Ayat tersebut tidak mengarahkan golongan perempuan memakai cebisan kain yang baru, cuma sebaliknya membetulkan pakaian yang telah ada. Ia juga tidak membawa maksud kerudung di kepala. Yang membimbangkan, kerajaan Arab Saudi memanipulasi terjemahan ayat tersebut untuk mewajibkan penutup muka (purdah) terhadap golongan perempuan, dan hanya membenarkan wanita untuk melihat dengan hanya “satu mata”. Terjemahan oleh  kerajaan Arab Saudi dibaca seperti ini: “O Prophet! Tell your wives and your daughters and the women of the believers to draw their cloaks (veils) all over their bodies (i.e. screen themselves completely except the eyes or one eye to see the way). That will be better, that they should be known (as free respectable women) so as not to be annoyed, and God is most forgiving, most merciful.” Mengikut konteks, ahli sejarah Islam menyatakan bahawa ayat ini diturunkan di kota Madinah, pada waktu Nabi Muhammad melarikan diri daripada di bunuh di Mekah, dan ayat ini terbit bagi melindungi wanita dari keganasan seksual yang seringkali dihadapi di jalan-jalan Madinah, di mana golongan lelaki selalu mengganggu wanita secara seksual, terutamanya golongan hamba. Pada hari ini, kita mempunyai kod jenayah yang mampu menjadikan tindakan ini sebagai jenayah; negara yang tidak mempunyai kod jenayah seperti perlu mengadakannya, berbanding semata-mata menghukum golongan wanita walhal jenayahnya ialah disebabkan oleh tindakan keganasan oleh pihak-pihak lain. Ayat yang lain (24:31) turut juga digunakan secara meluas bagi menjustifikasikan kewajipan pemakaian tudung, yang menyatakan “….Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;…” Di dalam puisi Arab yang lama, “khemar” adalah skarf sutera yang dipakai oleh golongan wanita kaya. Ianya diletak di bahagian tengah kepala dan ekor kainnya dijatuhkan ke bahagian belakang, sebagai cara untuk memikat para lelaki dan menunjukkan kekayaan yang ada. Ayat ini juga diturunkan pada waktu di mana perempuan menghadapi gangguan apabila mereka menggunakan tandas yang terbuka. Ayat ini juga merupakan arahan bagi menggunakan pakaian tradisional sedia ada pada waktu itu. Ia tidak langsung memaksa untuk menggunakan sesuatu yang baru. [caption id="attachment_5450" align="aligncenter" width="959"]Sumber gambar: WSJ Sumber gambar: WSJ[/caption] Pemerolehan semula agama kami Pada tahun 1919, wanita Mesir berarak di jalanan menuntut hak untuk mengundi; mereka membuka purdah mereka, yang merupakan tradisi budaya yang diambil dari Empayar Uthmaniyah, bukannya sebagai arahan agama. Purdah, setelah itu, menjadi sesuatu yang  lapuk. Kemudian, Presiden Mesir Gamal Abdel-Nasser berkata melalui ucapannya pada awal 1960-an, sewaktu beliau sedang mendamaikan ahli-ahli Muslim Brotherhood kerana percubaan membunuh beliau pada 1954, Pemimpin Agung Ikhwanul Muslimin memberi beliau satu senarai tuntutan, antaranya ialah “menuntut pemakaian hijab pada wanita Mesir”. Para penonton pada waktu itu tidak memahami dengan apa yang dimaksudkan dengan hijab. Apabila Gamal Abdel-Nasser menjelaskannya, para penonton mulai ketawa berdekah-dekah. Sebagai wanita yang membesar di dalam keluarga Muslim yang moden dengan  beberapa ahli teologi dalam keluarga kami ini, kami sedaya upaya cuba untuk memulihkan semula agama kami supaya terlepas dari interpretasi sehala yang terlalu ketat. Misalnya, ketika remaja, kami menjadi saksi kepada percubaan untuk menjadikan ideologi yang ketat ini sebagai satu-satunya versi yang diterima Islam. Kami telah melihat sendiri bagaimana kebangkitan politik Islam mempengaruhi wilayah tempat asal dan di negara tempat tinggal kami kini. Sebagai warga Amerika Syarikat, kami percaya terhadap kebebasan beragama. Namun kita perlu jelas menerangkan kepada mereka di universiti, media, dan forum-forum perbincangan yang mengeksplorasi isu “hijab”, bahawa mereka bukannya mempelajari agama Islam, tetapi sebaliknya sedang menerokai ideologi politik Islam yang dianuti golongan Mulla atau Ulama di Iran dan Arab Saudi, pihak Taliban di Afganistan dan Islamic State (ISIS). Atas nama “inter agama”, warga Amerika Syarikat yang berniat baik tertipu oleh agenda Muslim yang berhujah bahawa maruah wanita bergantung kepada “kesucian” mereka dan dengan relanya memaksa-maksa kewajipan pemakaian hijab ini pada setiap individu wanita. Sebaliknya, sila lakukan ini: Jangan memakai skarf di kepala sebagai tanda “solidariti” dengan ideologi yang seringkali mendiamkan kami, menyamakan tubuh kami dengan “maruah”. Sebaiknya, berdirilah bersama-sama kami dengan keberanian moral menentang ideologi Islamisme yang telah menuntut paksa kami supaya mengerudungi rambut kami. Asra Q. Nomani adalah bekas wartawan Wall Street Journal dan penulis buku “Standing Alone: An American Woman’s Struggle for the Soul of Islam.” Beliau merupakan salah seorang daripada pengasas Muslim Reform Movement, inisiatif golongan Muslim yang baru dan sekutunya, menyokong kedamaian, hak kemanusiaan dan pemerintahan sekular. Beliau boleh dihubungi melalui asra@asranomani.com Hala Arafa adalah wartawan yang sudah bersara, bekerja selama 25 tahun di International Bureau of Broadcasting sebagai program review analyst. Beliau juga pernah menjadi editor berita di bawah cawangan bahasa Arab di Voice of America.  

]]>

Maka Hadirlah Imperialisme: Raja Putih & Pembunuhan Beramai-ramai Masyarakat Kajang

The White Rajah of Sarawak

Terjemahan makalah “Enter Imperialism” tulisan Shanthi Thambiah, yang diterbitkan di Malaysia History.net pada 13 November 2011. Diterjemahkan oleh Maryam Lee.

Sejarah Yang Makin Dilupakan Kira-kira 150 tahun yang lalu, sebuah peristiwa telah berlaku di Sarawak yang catatannya dalam sejarah ingin diperbetulkan penulis. Ini bertujuan untuk menegakkan keadilan untuk orang asal dimana sejarah dari sudut pandangan mereka dinafikan sejak berkurun lamanya. Peristiwa ini adalah mengenai kolonialisme yang merupakan detik yang paling memalukan bagi umat manusia, kerana dengan kolonialisme maka terjadilah eksploitasi, penaklukan, penghapusan kaum dan pembunuhan beramai-ramai. Terlalu berat usaha untuk membongkarkan sistem imperalisme global yang telah berkembang selama lebih 500 tahun ke atas masyarakat orang asal. Walaubagaimanapun, impak kolonialisme terhadap masyarakat orang asal seluruh dunia wajar disoroti, kerana sejarah mereka akan kehilangan ditelan zaman. Bencana kolonialisme boleh dilihat menerusi suatu peristiwa yang melibatkan masyarakat Kajang di Sarawak pada abad ke-19. Sejarah telah merakam peristiwa ini sebagai ‘Ekspedisi Besar Kayan’. Namun bagi kebanyakan orang yang hidup di Balui (kawasan di utara Sungai Rejang), peristiwa ini terpahat sebagai Pembunuhan Beramai-ramai Kajang. Kisah bermula dengan kehadiran Robert Burns (cucu kepada pemuisi terkenal di Scotland) seorang pedagang British  di Borneo pada ketika itu. Burns merupakan warga England pertama menjejakkan kaki ke Rejang, kawasan masyarakat Kayan, pada tahun 1847. Burns adalah seorang lelaki yang angkuh dan hanya berminat dalam aktiviti yang menghasilkan wang. Pada tahun 1850, tiga orang pemimpin masyarakat Kayan telah mengutus surat kepada Raja Putih, James Brooke bagi menyatakan hasrat mereka berdagang dengan Robert Burns. Bagaimanapun, mereka mendapati Burns bukan sahaja telah merampas isteri-isteri orang Kayan, malah telah memerintahkan puak-puak setempat agar membunuh sesiapa sahaja yang datang ke hulu sungai itu. Brooke telah membalas surat itu dengan menyatakan tiada seorang pun warga England yang berkelakuan buruk akan mendapat perlindungan daripada beliau. Burns menetap di Labuan dan kadangkala membuat lawatan perdagangan ke kawasan pedalaman. Pada bulan September 1851, Burns keluar ke pantai utara Borneo bersama Kapten Robertson dari kapal Dolphin untuk menjual senjata. Setibanya mereka di Teluk Marudu, Burns dan Robertson bertengkar dan ketika hendak berlayar pulang ke Labuan, mereka diserang lanun. Burns meninggal dunia dalam serangan tersebut. Bulan kemudiannya, anak saudara Brooke, Charles Brooke telah mengikuti sebuah ekspedisi dengan Admiral Sir Francis Austen untuk membalas dan menghukum lanun-lanun yang telah menyerang kapal Dolphin. Dengan itu, adik lelaki penulis Jane Austen telah membela kematian cucu pemuisi Robert Burns! Sebelum itu, pada bulan April 1851, Charles telah berlayar ke Sungai Skrang, Saribas dan kemudian ke Sungai Rejang serta Sungai Kanowit dimana beliau telah mendirikan sebuah kubu. Kubu tersebut diletakan di bawah kawalan Abang Durop, saudara Datuk Patinggi Sarawak yang kemudiannya telah digantikan oleh seorang pegawai British bernama Henry Steele. Beliau merupakan orang Eropah kedua yang menjejakkan kaki ke kawasan orang Kayan pada tahun 1852. Bermulanya Permasalahan di Sarawak Charles Brooke Masalah besar di Sarawak mula timbul pada 25 Jun 1859 apabila Charles Fox dan Henry Steele, dua orang pegawai Brooke di Bahagian Ketiga telah dibunuh di kubu Kanowit. Tokoh-tokoh utama di sebalik pembunuhan para pegawai Brooke itu adalah dua ketua masyarakat Melanau, Sawing dan Sakalai. Charles Brooke yang merupakan orang yang bertanggungjawab ke atas kerajaan Brooke di Sarawak sewaktu ketiadaan ayah saudaranya bertindak dengan berang. Setelah menyiasat kejadian di Kanowit, Charles kembali ke Kuching dan bersumpah untuk membalas pembunuhan pegawai-pegawainya. Pada akhir Julai 1859, Charles kembali ke Rejang lalu menghukum mati 10 orang tempatan yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan Fox dan Steele. Hukuman yang sama turut dikenakan ke atas lima orang pegawai yang telah meninggalkan tempat tugasan mereka di Kubu Kanowit sewaktu kejadian. Ketua pemberontak Sawing dan Sakalai serta para pengikut Melanau mendirikan benteng di Sungai Kabah, tidak jauh dari Kanowit. Charles Brooke telah melancarkan serangan ke atas mereka dengan bantuan masyarakat Iban tempatan. Rumah panjang berkubu masyarakat Melanau Kanowit diserang dengan banyak kematian menimpa kedua-dua belah pihak. Namun Sawing dan Sakalai berjaya melarikan diri ke arah kawasan Kayan di hulu Sungai Rejang. Charles Brooke yakin orang Kayan adalah kaum yang bermegah dan pembelot serta perlu diberikan pengajaran. Beliau berazam untuk menghukum orang Kayan kerana melindungi pembunuh-pembunuh pegawai beliau. Sejurus kembali daripada lawatan singkat ke Britain, Charles melancarkan Ekspedisi Besar Kayan pada 1863. Kayan Ekspidisi Besar Kayan 1863 Ekspedisi ini merupakan tindakan ketenteraan paling besar yang pernah dilakukan oleh keluarga Brooke. Angkatan Charles terdiri daripada 15,000 orang yang dimuatkan ke dalam 500 perahu besar. Kebanyakan orang yang terlibat dalam ekspedisi ini terdiri daripada orang Iban. Ekspedisi ini menembusi lebih dari 320km ke hulu sungai, melepasi jeram-jeram Pelagus dan Bakun. Walaupun saiz angkatan penyerang yang dan jarak yang diliputi adalah luas tetapi “Ekspedisi Besar Kayan” hanya menelan kos sebanyak £689 dalam mata wang tempatan. Ekspedisi ini tidak bertembung dengan masyarakat Kayan, tetapi telah mengakibatkan banyak kematian dan kemusnahan di kalangan orang Kajang (orang Sekapan, Kejaman, Lahanan dan juga Melanau) yang tinggal bertaburan di hulu sungai. Ramai wanita dan kanak-kanak terbunuh. Ekspedisi ini tidak berjaya menangkap Sawing dan Sakalai yang pada ketika itu mendapat perlindungan daripada orang Kayan yang tinggal jauh di kawasan pedalaman. Mereka berlindung bersama seorang lelaki bernama Talip yang juga dipercayai terlibat dalam pembunuhan Fox dan Steele. Sebelum pulang ke Kuching, Charles Brooke telah memberi sebuah peluru meriam dan sehelai bendera Sarawak kepada salah seorang daripada orang tawanan mereka dengan arahan untuk menyerahkannya  kepada Oyang Hang, pemimpin masyarakat Kayan. Charles mahu pemimpin Kayan itu menyerahkan pembunuh-pembunuh Fox dan Steele kepadanya. Bendera Sarawak bertindak sebagai jaminan keselamatan terhadap wakil-wakil Kayan untuk tiba di kubu Kanowit. Jika tidak, ia akan dianggap bahawa masyarakat Kayan menerima peluru meriam yang merupakan simbol peperangan. Tidak lama kemudian, sebuah rombongan Kayan tiba di kubu Kanowit mengibarkan bendera Sarawak bersama dengan kepala Talip dan Sakalai yang dipenggal. Mereka tidak dibunuh oleh orang Kayan kerana tindakan ini bercanggah dengan adat  yang tidak akan mencederakan tetamu mereka. Talip dan Sakalai mungkin telah dibunuh oleh kaum Iban meskipun hal ini tidak pernah dibuktikan dalam sejarah. Sawing telah berjaya melarikan diri namun ditangkap dan diserahkan kepada kerajaan pada hujung tahun yang sama. Dayak Adat Hukuman, Pembelaan & Pembinaan Negara – Menurut Kolonialisme Masyarakat Kajang telah menjadi mangsa utama dalam ‘Ekspedisi Besar Kayan’ pada tahun 1863, dan mereka melihat ini sebagai tragedi akibat membantu saudara-mara dan rakan taulan dari Kanowit yang telah membunuh Fox dan Steele. Tiada siapa yang mengetahui setakat mana serangan yang dibiayai kerajaan ini telah mengganggu taburan penduduk di bahagian utara Sungai Rejang. Charles Brooke menyesali kekejaman pahlawan-pahlawan Ibannya, namun walaupun jika dia telah dimaklumkan, ia barangkali tidak akan mengubah apa-apa. Matlamat utama beliau ketika itu adalah untuk memastikan kelangsungan pemerintahannya di Sarawak. Beliau percaya kepentingan membela kematian Fox dan Steele bagi mengajar penduduk di sekitar Sungai Rejang bahawa penentangan terhadap kerajaan akan membawa kepada serangan balas yang tidak pernah ditempa dalam sejarah negara itu. Keluarga Brooke menganggap ‘Ekspedisi Besar Kayan’ sebagai sebuah fenomena dalam proses pembinaan negara. Menurut sejarah lisan orang Kayan dan Kajang, pertumpahan darah yang berlaku merupakan balasan mistik dek perlakuan zina Robert Burns. Mereka percaya kelakuan buruk itu akan mengakibatkan bencana alam yang meragut nyawa sekiranya pesalah tidak dihukum dengan sewajarnya. Orang Kayan mahu membunuh Burns tetapi hajat mereka tidak kesampaian. Maka dengan itu, mereka membunuh Fox dan Steele kerana darah perlu mengalir untuk menyanggah balasan mistik ini. Apatah lagi Steele merupakan orang Eropah kedua yang menjejakkan kaki ke kawasan orang Kayan selepas Burns menetap bersama mereka. Orang Kayan mahukan perbicaraan setempat untuk Burns. Menurut adat mereka, beliau akan diminta untuk memberi secuil darah dan membayar denda dalam bentuk manik dan penyembelihan seekor babi hutan – namun permintaan ini ditolak oleh Raja Putih. Hatta, akibat kekurangan sensitiviti terhadap kepercayaan dan adat tempatan, pembunuhan Fox dan Steele telah berlaku. Tambahan lagi, tiada penyiasatan rasmi dijalankan ke atas pembunuhan kedua-dua pegawai tersebut, tidak seperti pembunuhan J.W.W. Birch di Perak. Lagipun, para Raja Putih yang dianggap sebagai pemerintah bertamadun di Sarawak juga merupakan golongan penjajah yang  ingin memerintah dan membina sebuah sistem pentadbiran yang berlainan untuk negeri Sarawak yang baru diasaskan. *Dr. Shanthi Thambiah ialah seorang ahli antropologi sosial di Universiti Malaya yang mengkaji orang-orang asal di Malaysia *Millennium Markers ialah sebuah siri mingguan yang memberi perhatian kepada peristiwa-peristiwa yang membentuk Malaysia dan kawasan sekitarnya sepanjang lebih 1,000 tahun yang lepas ]]>

Perkahwinan Tidak Sejenis

Kahwin SEORANG pelajar bertanyakan kepadaku sesudah usai sebuah wacana di Universiti Kebangsaan Malaysia, “Apakah hematmu mengenai perkahwinan sejenis kerana adanya gerakan agar ia disahkan menurut undang-undang di Malaysia ekoran pengiktirafannya di Amerika Syarikat.” Aku ingin sekali menjelaskan sebelum aku melanjutkan perbicaraan ini bahawa sesuatu yang alamiah tidak semestinya bermoral (natural is not necessarily moral). Misalan seorang yang kencing adalah alamiah (natural) tetapi jika ia dilakukan bersengaja di tengah-tengah pusat membeli belah dengan mendedahkan alat kemaluan maka ia dikira tidak bermoral. Jadi apakah reaksiku kepada perkahwinan sejenis kerana adanya gerakan agar ia disahkan menurut undang-undang di Malaysia ekoran pengiktirafannya di Amerika Syarikat? Aku membalas, “Pertamanya, saya tidak pernah mendengar adanya tuntutan rasmi untuk perkahwinan sejenis di negara ini seperti yang didakwa. Kedua, perkahwinan sejenis bukanlah atau belum satu masalah di Malaysia. Tetapi yang merupakan satu masalah dan patut dilakukan sesuatu oleh awak adalah… perkahwinan lain jenis, lelaki dan perempuan, perkahwinan kelamin… ini jenis perkahwinan yang banyak mendatangkan masalah di negara kita. Tak payah kita bincang hal negara lain…” Apakah masalah yang aku maksudkan di atas? Terdapat paling kurang tiga masalah pada perkahwinan lain jenis yang mesti dilangsai dan diberi jalan penyelesaian oleh kita semua. Masalah Pertama: Perkahwinan Bawah Umur Pertama adalah perkahwinan bawah umur. Ini kerana di Malaysia, undang-undang kita melarang kanak-kanak perempuan di bawah umur 16 tahun untuk memandu atau membeli rokok. Akan tetapi, kanak-kanak perempuan hanya tidak boleh menonton filem 18SX di pawagam. Mereka boleh berkahwin dan boleh melakukan hubungan seks di bawah umur dengan itu. Jadi, ada filem yang tidak dapat ditonton dengan alasan terdapatnya adegan seks atau erotis, tetapi di rumah mereka boleh misalnya melakukan seks oral (dengan suami). Dan, ia sah menurut undang-undang. Statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada tahun  2012 sebagai contoh menunjukkan terdapat 1,165 permohonan untuk berkahwin, yang kebiasaannya bakal pengantin perempuan adalah lebih muda berbanding usia yang dibenarkan dalam undang-undang berkahwin. Statistik itu juga menjelaskan bahawa Mahkamah Syariah meluluskan 1,022 daripada permohonan itu sedangkan rekod 2011 menunjukkan terdapat 900 perkahwinan yang diberi keizinan. Sebagai contoh, Seksyen 8 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) menyatakan bahawa usia paling  minimum untuk berkahwin menurut undang-undang bagi kanak-kanak lelaki Islam adalah 18 tahun, dan bagi anak-anak gadis Islam 16 tahun[1]. Perkahwinan bawah umur adalah masalah yang sangat besar. Ini bukan ciptaan dan dongengan yang aku ciptakan. Aku memberitahu pemuda yang rimas dan marah akan perkahwinan sejenis itu tentang Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106. Para agamawan bersidang pada 21 – 22 Oktober 2014 untuk membincangkan ‘Isu Perkahwinan Kanak-kanak: Kajian Dari Aspek Agama, Kesihatan dan Psikologi’. Hasilnya, Muzakarah membuat keputusan, ‘perkahwinan kanak-kanak  tidak lagi dilihat sebagai satu amalan yang ‘sihat’ pada masa ini’, dan ‘lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan terutama dari aspek kesihatan dan psikologi kanak-kanak terbabit’. Selain itu Muzarakah memperakukan kebanyakan ‘perkahwinan kanak-kanak di Malaysia berlaku oleh kerana keterlanjuran dan keinginan menutup aib atau maruah keluarga yang tercemar’ kerana berlakunya penzinaan. Yang paling penting Muzakarah juga memperakukan laporan ‘pakar-pakar kesihatan dan psikologi’ yang menjelaskan hasil kajian mereka  bahawa ‘masalah kesihatan fizikal dan mental yang dialami pada pasangan perempuan akibat perkahwinan kanak-kanak’ adalah besar[2]. Perkahwinan lain jenis yang kusebut di atas tidak dipungkiri sedang mendapat tempat di negara ini dengan alasan Rasulullah saw pernah memperisterikan Ummul Mukminin Aisyah dalam keadaan Aisyah masih kanak-kanak. Masalah Kedua: Keganasan Rumahtangga Bukan itu sahaja masalah dengan perkahwinan lain jenis , keduanya, perkahwinan lain jenis juga mencatatkan kes keganasan rumahtangga yang tinggi. Pada tahun 2013, Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 1,259 kepada 4,123 kes dengan Johor, Selangor dan Negeri Sembilan merekodkan kes paling tinggi membabitkan keganasan rumah tangga. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Sisatan Jenayah (JSJ) Asisten Komisioner Hamidah Yunus, menjelaskan, “kegagalan mengawal emosi adalah antara punca utama berlakunya keganasan dalam rumahtangga”. Beliau juga menambah  “terdapat lima jenis kes keganasan rumahtangga iaitu dari segi fizikal, psikologi, seksual, sosial dan kewangan”[3]. Masalah keganasan rumah tangga ini amat kronik. Adalah dilaporkan hampir 10 orang wanita menjadi mangsa keganasan rumah tangga setiap hari. Wanita ini kebanyakannya adalah golongan muda yang berumur antara 26 hingga 35 tahun[4]. Selain itu, kes keganasan rumahtangga paling banyak dilakukan oleh mereka yang beragama Islam. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat dalam satu jawapan kepada Dewan Negara untuk Sesi Disember 2011 tentang perihal statistik keganasan rumah tangga memberitahu antara tempoh 2006 hingga bulan Julai 2011:

  1. Terdapat sebanyak 1,635 kes keganasan rumah tangga melibatkan kaum Melayu direkodkan
  2. Ia diikuti oleh 705 kes melibatkan pasangan India
  3. Kemudiannya 487 kes kaum Cina
  4. 79 kes peribumi Sabah, selain 47 kes peribumi Sarawak, 2 kes peribumi Semenanjung; dan
  5. 31 kes melibatkan kaum lain[5].
Sekali lagi isu kita di Malaysia bukanlah perkahwinan sama jenis. Isu kita di Malaysia ialah perkahwinan lain jenis yang gagal diurus dengan baik. Ini merupakan masalah yang perlu diatasi segera. Para ulama tidak harus terbungkam membiarkan nasib wanita terus tertindas dalam kerangka agama ini. Poligami Masalah Ketiga: Eksploitasi Undang-undang Poligami Masalah ketiga yang muncul dari perkahwinan lain jenis di Malaysia adalah eksplotasi dan manipulasi undang-undang berkaitan poligami di Malaysia. Hal ini merupakan duri dalam daging buat kita yang mengamalkan perkahwinan kelamin. Ia merupakan masalah umat Islam. Perhatikan sahaja ketidakseragaman Akta atau Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam mengenai poligami antara negeri-negeri di Malaysia. Peruntukan mendapat izin atau tidak daripada isteri ada terkandung dalam Seksyen 23 Akta 303, Pulau Pinang 1985, Johor 1990, Negeri Sembilan 1984, Seksyen 17 dalam Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 1979, Pahang, Selangor dan Melaka. Akan tetapi,  Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan, Terengganu dan Perak tidak memperuntukan bahawa pandangan isteri diperlukan bagi menentukan layak atau tidak seseorang suami itu berpoligami. Ini kerana Enakmen Undang-Undang Keluarga di negeri Kelantan, Terengganu dan Perak menyatakan memadai untuk suami mendapat kebenaran bertulis daripada Qadi atau Hakim Syar’ie dan keputusan terletak pada kebijaksanaan Hakim sepenuhnya. Dalam masa yang sama syarat-syarat seperti kemampuan suami dari segi kewangan, keizinan atau pandangan isteri pertama tidak diperuntukkan dalam prosedur poligami di tiga buah negeri ini. Dalam makalah monumental beliau ‘Poligami di Malaysia’, Raihanah Abdullah, guruku ketika mengaji di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya menyatakan; “Ketidak seragaman dari segi peraturan poligami ini menyebabkan masyarakat yang ingin berpoligami akan pergi ke negeri-negeri yang dirasakan peraturan poligaminya tidak akan menyekat hasratnya itu”[6]. Beliau seterusnya menyatakan, “Apa yang berlaku di Malaysia, pengamal poligami kebanyakannya tidak mematuhi samada yang ditetapkan oleh al-Quran dan al-Hadith juga sebagaimana yang diperuntukkan dalam Undang-undang Keluarga Islam”[7]. Kezaliman dan ketidakadilan yang berlaku ekoran kecelaruan perkahwinan lain jenis seperti poligami ini ternyata juga menerbitkan masalah sosial yang lain. Justeru perkahwinan lain jenis juga berpotensi menyebabkan kehuru-haraan dalam masyarakat. Jadi, perkahwinan sejenis yang bukan merupakan masalah kita di Malaysia usahlah difikirkan sangat. Kita perlu menyelesaikan isu-isu yang muncul dari perkahwinan lain jenis atau perkahwinan kelamin. Demokrasi, Bukan Jamuan Bufet Islam LGBTKita hidup dan menerima demokrasi sebagai gaya hidup dan sistem politik kita. Di dalam sistem demokrasi satu ajaran yang pasti adalah, “Kita memperjuangkan hak semua orang, atau anda tidak akan beroleh apa-apa pun untuk diri sendiri’. Demokrasi bukanlah satu jamuan bufet di hotel yang mana kita boleh memilih mana yang ingin diambil dan meninggalkan pula hak sivil yang terpakai untuk orang lain. Hak sivil dalam ajaran demokrasi mengajarkan kita semua setara.  Justeru, bayangkan kesukaran saudara-saudara seumat Islam di Amerika Syarikat, atau di Barat yang mestilah berjuang untuk semua golongan marjinal. Mereka tidak boleh berjuang untuk mengenakan hijab dan merungut stigma yang mereka hadapi jika dalam masa yang sama mereka tidak menghormati hak kaum yang ingin mengamalkan perkahwinan sama jenis. Kaum LGBTIQA2-S merasakan stigma yang sama sebagai golongam marjinal[8]. Adakah ini sesuatu yang liberal? Kalian boleh namakan apa sahaja. Aku menamakannya mengutamakan apa yang perlu diutamakan. Benar, sesuatu yang alamiah tidak semestinya bermoral (natural not necessarily moral). Itu adalah sikapku dari awal lagi. Aku percaya kepada kebebasan ekspresi, maka aku akan menyatakan dengan lantang dan jelas jika aku tidak berkenan. Cumanya aku akan melakukan dengan sopan, bukan dengan biadab dan kurang ajar. Aku tidak percaya kepada abuse terhadap mereka yang mengamalkan seks sama jenis. Aku tidak akan menyatakan ia benar, tetapi ia tidak semudah mengatakan ia haram. Perkahwinan sejenis bukan merupakan masalah meruncing buat kita di Malaysia. Kita belum ada masalah besar dengan perkahwinan sama jenis. Tetapi kita memang ada masalah dengan perkahwinan lain jenis atau pernikahan kelamin. Fokus kita semua, umat Islam haruslah ke situ. Kita mesti menyelesaikan masalah sedia ada sebelum menjadi kronik, dari memikirkan masalah lain yang belum pun jelas buat kita. Dan kita mesti akur, kita telah memilih sistem demokrasi dan bukannya teokrasi pada tahun 1957 iaitu ketika Malaya merdeka dan mengiktiraf pelbagai bangsa dan agama, justeru kita telah mengiktiraf rencam cara hidup.   [1] Hariati Azizan. 2013. Perkahwinan Bawah Umur Semakin Meningkat. 6 Oktober. Mstar. http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2013/10/06/perkahwinan-bawah-umur-semakin-meningkat/. Kedah sebagai contoh turut membenarkan perkahwinan bawah umur menerusi Seksyen 18 (1) (a) Enakmen Undang Undang Keluarga Islam Kedah 2008. [2] Portal Rasmi Fatwa Malaysia. 2014. Isu Perkahwinan Kanak-kanak: Kajian Dari Aspek Agama, Kesihatan dan Psikologi. E-Fatwa. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/isu-perkahwinan-kanak-kanak-kajian-dari-aspek-agama-kesihatan-dan-psikologi. [3] Suryati Mohd Nor. 2014. Keganasan Rumahtangga: Kes Meningkat 1,259  Pada 2013. 7 Oktober. Mstar. http://www.mstar.com.my/berita/berita-jenayah/2014/10/07/keganasan-rumahtangga/ [4] Utusan Malaysia. 2013. Hampir 10 wanita jadi mangsa keganasan rumah tangga setiap hari – Rohani. 19 November. Utusan Online. http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131119/dn_12/Hampir-10-wanita-jadi-mangsa-keganasan-rumah-tangga-setiap-hari—Rohani. [5] Blog Dr. S. Ramakrishnan. 2011. Dewan Negara Sesi Disember 2011 – Statistik keganasan rumah tangga. 8 Disember. Blog Rama 4Change.  https://rama4change.wordpress.com/2011/12/08/dewan-negara-sesi-disember-2011-statistik-keganasan-rumah-tangga/ [6]Raihanah Haji Abdullah. 2007. Poligami di Malaysia. Jurnal Syariah 5 (2). 167-186. Hlm. 174. [7] Ibid. Hlm. 180. [8]  Reza Aslan dan Hasan Minhaj. 2015. An Open Letter To American Muslims on Same-Sex Marriage. 7 Julai. Religion Dispatches. http://religiondispatches.org/an-open-letter-to-american-muslims-on-same-sex-marriage/ ]]>