Oleh: Uthaya Sankar SB Di Malaysia, kumpulan minoriti masih menjadi mangsa penindasan, kezaliman, diskriminasi, ketidakadilan dan penipuan. Saya sengaja – dan dengan penuh sedar – memulakan tulisan dengan menyatakan realiti di atas supaya pendirian saya adalah amat jelas sejak awal. Tidak perlulah sesiapa mencari-cari dan tercari-cari apa yang mahu saya tekankan dan dedahkan menerusi tulisan saya. Hakikat yang amat menarik untuk diperhatikan adalah bahawa kumpulan minoriti biasanya dilindungi dan diberikan pelbagai keistimewaan. Malah, undang-undang dan peraturan dibuat ke arah itu. Bagaimanapun, hal sama tidak berlaku di negara tercinta ini; sekurang-kurangnya sejak 1957. [caption id="attachment_853" align="alignright" width="240"] Masih ramai minoriti kaum India yang belum memiliki dokumen pengenalan yang sah.[/caption] Salah satu isu yang sering disuarakan adalah mengenai kumpulan minoriti India yang lahir di negara ini dan tidak memiliki mana-mana kewarganegaraan lain. Walau bagaimanapun, mereka masih dinafikan hak mendapatkan dokumen pengenalan diri. Sebagai minoriti, mereka bagaikan tidak ada pilihan lain selain menanti pihak tertentu “membaling tulang” dari semasa ke semasa; khususnya menjelang pilihan raya. Pandangan, contoh dan hujah yang saya kemukakan adalah berdasarkan pengalaman serta pemerhatian saya sendiri terhadap apa yang berlaku di depan mata melibatkan golongan minoriti. Bercakap mengenai “minoriti”, perkara-perkara yang mahu saya bincangkan bukan semata-mata merujuk pada “kumpulan kecil” berdasarkan kaum dan agama. Sebaliknya turut merujuk pada pendirian politik, ideologi, mazhab, sosial, bahasa, seksualiti dan pelbagai lagi kedudukan yang menjadikan kelompok itu hilang peluang untuk bersuara; selain ditindas golongan majoriti yang berkuasa. Sebagai contoh, ada sebuah kuil di kawasan perumahan saya. Kedudukannya di tepi jalan utama berdekatan sebuah bulatan. Setiap tahun, pada tarikh upacara keagamaan, ramai yang terpaksa meletakkan kereta di sepanjang jalan raya itu untuk ke kuil. Dalam kejadian sebelum tahun 2008 – sebelum Kerajaan Negeri Selangor diubah oleh Rakyat menggunakan kuasa undi – pihak berkuasa tempatan akan mengeluarkan saman kepada pemilik kenderaan terbabit. Bagaimanapun, sepanjang bulan Ramadan, bazar diadakan di lokasi bertentangan kuil berkenaan. Orang ramai bebas meletakkan kenderaan sesuka hati di mana-mana dengan alasan mahu ke Bazar Ramadan. Pihak berkuasa tempatan tidak pernah mengeluarkan saman kerana perbuatan itu melibatkan golongan majoriti. Penulis Interlok jadi minoriti [caption id="attachment_850" align="alignleft" width="240"] Pengarang Interlok menjadi mangsa manipulasi golongan yang mahu menindas kumpulan minoriti.[/caption] Apa yang berlaku dalam contoh di atas pasti membuatkan golongan minoriti (penganut agama Hindu) marah dan kecewa dengan sikap yang ditunjukkan pihak berkuasa. Mahatma Gandhi menegaskan bahawa “even if you are a minority of one, the truth is the truth” – kebenaran tetap kebenaran walaupun kumpulan minoriti itu hanya terdiri daripada seorang individu. Hal ini segera mengingatkan saya kepada isu novel Interlok: Edisi Murid yang menimbulkan kontroversi mulai akhir 2010 apabila dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas). Kehangatan kontroversi membuatkan masyarakat kurang mengetahui keseluruhan cerita. Misalnya, sebagai menghormati dan akur pada bantahan yang dikemukakan masyarakat India (minoriti), Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) selaku pengarang asal novel berkenaan (1968) bersetuju supaya istilah-istilah yang menyentuh sensitiviti kaum India (minoriti) dibuang daripada novel edisi murid (2010). Perkara ini dinyatakan sendiri kepada saya oleh isteri beliau, Datin Siti Saroja. Bagaimanapun, ada pula kumpulan tertentu (majoriti) yang tampil meminta (mendesak) supaya surat izin itu “ditiadakan” dan novel Interlok: Edisi Murid tetap digunakan di sekolah tanpa sebarang pindaan. Maka, Pak Lah yang tidak bersalah terpaksa menjadi minoriti yang ditindas, dizalimi, didiskriminasi, ditipu dan diperalatkan oleh pihak tertentu demi kepentingan peribadi dan apa yang dikatakan “hak kumpulan majoriti”. Usaha menjatuhkan maruah Pak Lah juga dilakukan pihak tertentu menerusi tindakan menggunakan pelekat – “pelekat ajaib” – bagi melakukan pindaan pada novel berkenaan. Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) tetap dengan pendirian tegas walaupun selepas kesemua anggota Panel Bebas Meminda Novel Interlok memilih untuk menjadi minoriti dan berdiam diri serta akur pada apa sahaja tindakan pemerintah (majoriti). Minoriti yang suka ditindas Seorang lagi penulis kaum India sentiasa menjadi minoriti yang dipersenda dan diperlakukan sesuka hati oleh kelompok majoriti. Oleh kerana dia menulis dalam bahasa Melayu dan sering menulis karya bertema agama Islam, maka selalu sahaja pada majlis-majlis rasmi, orang akan meminta (mendesak) dia dan suaminya “masuklah Islam cepat-cepat”. Saya perhatikan bahawa dia hanya mampu berdiam diri dan tersengih kerana menganggap dirinya minoriti yang tidak boleh melawan asakan majoriti yang menentukan masa depannya. Individu yang sama juga pernah membenarkan dirinya (minoriti) dipergunakan sebuah pertubuhan (majoriti) untuk menjadi perisik bagi mengetahui pendirian Kavyan (di mana saya menjadi presiden) dalam isu kontroversi novel Interlok: Edisi Murid. Individu itu sendiri yang kemudian membuat pengakuan kepada saya berhubung perkara ini. Pada masa sama, katanya, oleh kerana dia hanya minoriti (minority of one), maka dia tidak dibenarkan oleh presiden pertubuhan itu untuk menyatakan pendiriannya mengenai novel Interlok: Edisi Murid pada sebuah forum yang dianjurkan oleh pertubuhan itu. Seorang lagi minoriti (minority of one) yang merupakan seorang pensyarah pula cuba meraih tempat dalam kalangan majoriti dengan menyebarkan fitnah mengenai Kavyan kepada para editor di sebuah penerbitan. Kononnya karya para ahli Kavyan perlu diboikot oleh penerbit berkenaan kerana Kavyan (minoriti) bersikap anti-Melayu serta berani melawan menteri (majoriti) dan pertubuhan pengarang (majoriti) dalam isu Interlok: Edisi Murid. Minoriti perlu bersuara Sementara ada minoriti yang sanggup menggadai maruah demi seketul tulang, ada pula minoriti – sama ada minority of one atau minority of many – yang terpaksa menggadai nyawa demi mempertahankan hak dan maruah. [caption id="attachment_851" align="alignright" width="212"] Cara paling mudah menindas LGBT adalah dengan melabel mereka menganjurkan pesta seks bebas.[/caption] Sekadar contoh terdekat adalah asakan demi asakan yang dilakukan pihak tertentu dan juak-juaknya terhadap golongan minoriti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Pada tahun lalu, program Seksualiti Merdeka difitnah sebagai pesta seks bebas. Pihak tertentu (majoriti) menggunakan hampir semua media arus perdana untuk melakukan penindasan, kezaliman, diskriminasi, ketidakadilan dan penipuan terhadap minoriti LGBT. Dalam agama Hindu, terdapat enam mazhab yang saling menghormati dan saling melengkapi. Hal yang berbeza pula saya perhatikan dalam kalangan penganut agama Islam di Malaysia – dan hanya di Malaysia. Tidak sekadar sewenang-wenangnya menuduh orang “Bukan Islam” sebagai kafir, ada pula kumpulan majoriti tertentu yang melakukan penindasan terhadap penganut mazhab selain mazhab yang mereka anuti. [caption id="attachment_852" align="alignleft" width="150"] Semua agama mewajibkan golongan minoriti dilindungi dan berikan hak.[/caption] Akibatnya, kumpulan minoriti yang menganuti mazhab lain dilabel sebagai pengikut ajaran sesat dan dihina sesuka hati. Selalunya pada tahap yang amat bertentangan dengan ajaran sebenar dalam agama Islam itu sendiri. Ternyata, untuk kumpulan majoriti tertentu di negara bertuah ini terus berkuasa, kumpulan minoriti perlu ditindas dengan apa cara sekali pun. Atau demikianlah kepercayaan dan amalan mereka. Seorang penulis dan seorang pensyarah (minority of one each) yang saya jadikan contoh di atas tidak perlu menghayati kata-kata Mahatma Gandhi. Mereka adalah golongan minoriti tanpa maruah yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menjadi hamba kepada golongan majoriti – serta mahu terus menjadi mangsa penindasan, kezaliman, diskriminasi, ketidakadilan dan penipuan. Sebaliknya, golongan minoriti yang bermaruah memerlukan ruang untuk bersuara. Ruang untuk berdialog demi mencari penjernihan minda. Biarlah saya menggunakan ruangan ini untuk memberi peluang kepada mereka. Kerana saya juga sebahagian daripada golongan yang dilabel sebagai “minoriti” di negara bertuah ini.
]]>