Projek Dialog

9 Mitos mengenai Hinduisme, di bongkar!

Artikel ini diterjemahkan dari laman web CNN: http://edition.cnn.com/2017/03/03/world/believer-hinduism-nine-myths-debunked/index.html Suhag Shukla faham benar bagaimana orang luar memandang agamanya, iaitu Hinduisme. Selaku pengasas bersama Hindu American Foundation, Shukla seringkali menjelaskan silap faham yang terdapat pada agama Hinduisme. Hinduisme adalah agama yang kuno, meskipun tidak ada tarikh yang tepat bagi waktu ianya dibentuk. Namanya berasal daripada perkataan Sanskrit, Hinduisme dan Hindu dipanggil oleh para penjajah sebagai rujukan bagi orang yang mereka temui sewaktu mereka merentas gunung Hindu Kush dan tiba di Sungai Indus. Di Amerika Syarikat, agama Hinduisme dinaikkan oleh imigran India yang membawa ritual dan adat mereka bersama dan juga baru-baru ini, dengan perkembangan populariti ajaran Hindu seperti yoga dan meditasi. Hinduisme adalah agama tertua di dunia dan ketiga terbesar, dengan Kristian dan Islam sebagai agama terbesar. Hinduisme mempunyai pengikut melebihi 1 bilion. Ada juga yang berhujah bahawa Hinduisme merupakan cara hidup dan bukannya agama. Ia tidak mempunyai akidah ataupun gereja yang spesifik. Tidak juga ajarannya berdasarkan ajaran mana-mana pengasas ataupun kitab. Dan ianya tetap kekal misteri bagi kebanyakan orang.

Mitos pertama: Wujudnya 330 juta tuhan Hindu.

Realiti: Adanya satu Tuhan yang agung di mana ianya tidak dapat diketahui ataupun difahami. Hindu diwajarkan untuk mendekati dirinya dengan Tuhan melalui cara-cara yang sesuai dengan mereka, seperti memuja pelbagai dewa yang dipercayai sebagai manifestasi Tuhan. Tiga dewa utama adalah Trimurti ataupun Brahma, si pencipta; Vishnu, si pemelihara; dan Shiva, si pembinasa. Kerana itulah Hinduisme selalu difahami sebagai agama politeisme, ianya adalah hal yang sebaliknya. Tetapi wujud juga hujah mengenai terminologi yang benar bagi Hinduisme. Ada yang memanggilnya sebagai agama monistik, berdasarkan kepercayaan bahawa kesemua di dalam alam ini adalah sebahagian daripada satu inti ataupun alam. Ada yang, seperti Shukla, mengatakan bahawa Hinduism adalah honotheistik, iaitu pemujaan satu tuhan tanpa menafikan kewujudan tuhan-tuhan yang lain. Ada juga yang mengatakan bahawa Hinduisme adalah agama monotheistik. [caption id="attachment_6435" align="alignnone" width="982"] (AP Photo/Rajesh Kumar Singh)[/caption]

Mitos ke-2: Hindu adalah pemuja berhala.

Realiti: Pemujaan hindu merupakan peringatan kepada Tuhan. Tiada penganut Hindu akan mengatakan bahawa mereka memuja berhala. Sebaliknya, penganut Hindu mempercayai perwakilan fizikal Tuhan – melalui bentuk berhala bagi membantu mereka untuk fokus kepada beberapa aspek sembahyang ataupun meditasi. Sebagai contoh, seseorang yang baru sahaja membuka perniagaan yang baru berkemungkinan akan menyembah Ganesh, dewa gajah yang mewakili kejayaan.

Mitos ke-3: Hindu menyembah lembu.

Realiti: Para penganut Hindu tidak bersembahyang kepada lembu, tetapi tidak dinafikan bahawa mereka melihat semua ciptaan dan semua kehidupan sebagai sesuatu hal yang suci. Penganut Hindu mempercayai bahawa setiap kehidupan di dunia mempunyai roh yang tersendiri. Dan ini benar, bahawa lembu diletakkan di posisi yang istimewa di dalam masyarakat Hindu. Inilah sebabnya kenapa penganut Hindu mengelak daripada makan dagingnya. Lembu dilihat sebagai makhluk yang lembut, perwakilan keibuan yang menyediakan susu dan pelbagai bentuk rezeki yang lain. Mereka dihormati kerana nilai-nilai yang wujud pada mereka.

Mitos ke-4: Semua penganut Hindu adalah vegetarian.

Realiti: Majoriti penganut Hindu merupakan pemakan daging. Tetapi lebih kurang 30% tidak makan daging. Ianya berpunca dari kepercayaan asas terhadap Ahimsa, prinsip anti-keganasan. Disebabkan kesemua kehidupan di dunia merupakan manifestasi Tuhan, keganasan terhadap mereka dikirakan bercanggah kepada stabiliti alam yang semula jadi sifatnya.

Mitos ke-5: Hinduisme menyokong sistem kasta yang penuh diskriminasi.

Realiti: Diskriminasi kasta berakar dalam budaya dan bukannya agama. Kasta merupakan sistem kuno yang berdasarkan kelas pembahagian kerja di dalam teks Hindu, di mana ianya menjadi hierarki sosial yang kaku setelah bertahun-tahun ianya berlangsung. Kasta yang terendah ataupun yang tidak dapat disentuh, telah dipinggirkan dan menghadapi penganiayaan. Tetapi kebanyakan penganut Hindu pada zaman moden ini telah berhujah bahawa diskriminasi yang berdasarkan kasta bukan keutamaan Hinduisme dan tidak seharusnya diajar sebagai sesuatu hal yang diabsahkan oleh agama.

Mitos ke-6: Golongan wanita ditundukkan di dalam Hinduisme.

Realiti: Bukan disebabkan agama. Malah, satu ciri yang dapat membezakan Hinduisme daripada, kata Kristian ataupun Islam, adalah ia mengenal pasti bentuk-bentuk Tuhan sebagai feminin. Penganut Hindu menghormati Shakti, ataupun dikenali sebagai personifikasi tenaga Tuhan melalui bentuk wanita. Beberapa dewi yang seringkali dipuja adalah Parvati, bentuk utama Shakti; Saraswati, dewi hikmah; dan Lakshmi, dewi kemakmuran. Wanita di India mungkin sahaja tidak berada di dalam status yang sama dengan golongan lelaki, tetapi ini bukannya disebabkan oleh agama tetapi budaya, dan mereka menggunakan agama untuk merendahkan martabat wanita. Ini dapat sahaja di samakan dengan masyarakat penganut Islam yang memaksa wanita untuk menutup aurat mereka daripada kepala sehinggalah ke kaki. “Saya tak rasa ada asas untuk meminggirkan wanita di dalam agama kita,” terang Shukla. “Kitab Veda tidak memberi apa-apa arahan.”

Mitos 7: Wanita Hindu yang meletakkan ‘titik merah’ di dahi mereka telah berkahwin.

Realiti: Selalunya begitu. Titik merah pada suatu masa merupakan simbol perkahwinan bagi wanita Hindu. Kini, titik tersebut ataupun Bindi panggilannya, hanya sekadar hiasan. Wanita tua dan muda – berkahwin ataupun tidak – memakai bindi yang terdiri daripada pelbagai warna sebagai kenyataan fesyen. Manakala Tilak, yang juga penanda di dahi, mempunyai kepentingan dari segi agama. Ianya secara umum diperbuat daripada pes gaharu, abu ataupun kunyit merah dan ianya boleh sahaja diletak dalam bentuk garisan ataupun satu titik.

Mitos 8: Kitab Bhagavad Gita dilihat sebagai Kitab Injil.

Realiti: Tidak ada satu buku yang utama dan autoritatif di dalam Hinduisme. Tetapi Hinduisme amat kaya dengan pelbagai ayat-ayat suci dengan koleksi penulisan agama yang kuno. Para penganut Hindu percaya bahawa Tuhan menyatakan kebenaran-Nya kepada manusia-manusia agung yang menurunkan apa yang mereka tahu selama beribu-ribu tahun melalui tradisi lisan yang kaya sifatnya. Kitab-kitab tersebut termasuklah Kitab Veda, Upanishad, Purana dan Bhagavad Gita. Sebahagian daripada kisah epik iaitu Mahabharata, 700 ayat Gita adalah puisi yang paling panjang di dunia dan ianya dihasilkan di dalam bentuk dialog mengenai perang di antara dua putera, Arjuna dan Krishna. Ia menangkap beberapa kepercayaan penting di dalam Hinduisme tetapi tidak kesemua Hindu membaca Gita.

Mitos 9: Karma adalah suatu hal yang fatalistik.

Realiti: Kesemua mempunyai kebolehan untuk memilih tindakan di dalam kehidupan. Ini adalah teori di sebalik karma: bagi setiap tindakan yang orang lakukan, pasti wujudnya reaksi darinya. Penganut Hindu mempercayai bahawa mereka perlu menghadapi tindakan yang telah mereka lakukan. Setiap individu mencipta takdir mereka melalui tindakan yang mereka lakukan. Matlamat akhir adalah untuk mencapai karma yang akan membebaskan roh dan mengecapi Moksha, ataupun pembebasan daripada pengulangan kelahiran.                                  ]]>

Reviu: Kebebasan Bersuara Dalam Konteks Malaysia

Kebebasan Bersuara di Malaysia Slot bengkel bersama Masjaliza Hamzah mengupas dengan lebih mendalam mengenai teori dan praktik kebebasan bersuara di Malaysia. Masjaliza merupakan seorang bekas wartawan yang berkecimpung aktif dalam aktivisme sosial. Beliau memberikan mukadimah kepada topik kebebasan bersuara dalam konteks Malaysia dengan mengupas sejarah hak asasi manusia berkaitan kebebasan bersuara pasca Perang Dunia Kedua. Mengaitkan demokrasi dengan kebebasan bersuara, Masjaliza menyatakan bahawa kebebasan bersuara adalah hak yang harus wujud dan ditegakkan dalam sebuah negara demokratik. Dalam konteks Malaysia, sepertimana yang telah dinyatakan sebelum ini, kebebasan bersuara secara bersyarat diperuntukkan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Malaysia mempunyai pelbagai mekanisme undang-undang yang mengawal kebebasan bersuara di negara ini seperti Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, Akta Media Cetak dan Penerbitan 1948 – sekadar memberikan beberapa contoh. Kewujudan undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara ini dijustifikasi atas nama keselamatan dan ketenteraman awam dan masih digunapakai sehingga ke hari ini. Jelas Masjaliza, limitasi ke atas kebebasan bersuara mempunyai rasional: masyarakat perlu tahu bahawa wujudnya larangan tertentu dalam mengekspresikan diri agar tidak melakukan perkara-perkara yang dianggap sebagai melanggar undang-undang. Namun demikian, sekatan atau limitasi perlulah ditentukan oleh badan yang mewakili masyarakat dan tidak dimanipulasi untuk kepentingan pihak-pihak tertentu. Kebimbangan tercetus apabila keputusan untuk menyekat kebebasan bersuara diambil secara semberono tanpa perbincangan mendalam terlebih dahulu. Kewujudan undang-undang yang mengehadkan kebebasan bersuara tanpa limitasi yang jelas atau samar-samar pula membuka ruang bagi pemanipulasian undang-undang untuk berlaku. Iklim Ketakutan Memberi Impak kepada Kebebasan Bersuara Di Malaysia, bilangan individu yang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 meningkat secara drastik pada tahun 2015 dengan 220 individu disiasat di bawah akta terbabit – peningkatan sebanyak 500 peratus berbanding tahun 2014 di mana hanya 44 individu disiasat di bawah akta yang sama. Menurut Masjaliza, daripada 220 individu yang disiasat tersebut, 11 didakwa dan hanya 3 individu disabitkan bersalah oleh mahkamah. Peningkatan mendadak dalam bilangan individu yang disiasat di bawah akta hasutan walaupun hanya sebilangan kecil yang didakwa membawa kepada persoalan sama ada akta terbabit digunakan dengan adil dan telus oleh pihak berkuasa, atau digunakan untuk menimbulkan iklim ketakutan sehinggakan masyarakat takut untuk bersuara? Apakah motif yang digunapakai oleh kerajaan untuk menyekat kebebasan bersuara adalah untuk melindungi demokrasi dan keselamatan awam, ataupun untuk merencat kritikan terhadap urus tadbir negara? Motif untuk menggunakan akta hasutan mahupun mekanisme undang-undang lain yang menyekat kebebasan bersuara haruslah absah (legitimate) dari aspek tujuan dan juga impak. Jika undang-undang yang membatasi kebebasan bersuara ini dimanipulasi oleh pihak berkuasa atau pentadbir untuk kekal berkuasa dengan mengehadkan kritikan rakyat, tindakan sebegini adalah tindakan tidak demokratik yang jelas merupakan sebuah bentuk penyalahgunaan kuasa. Kebebasan Media Berdekad lamanya berkecimpung dalam bidang kewartawanan telah mendedahkan Masjaliza kepada selok-belok dunia kewartawanan dan kesukaran yang dihadapi oleh wartawan untuk melaporkan sesuatu peristiwa secara tepat berserta analisis kritis mengenai peristiwa terbabit. Menurut Masjaliza, media di Malaysia tidak bebas dan dikawal ketat oleh undang-undang seperti Akta Media Cetak dan Penerbitan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1988. Sukar bagi media untuk melaporkan berita dan juga analisis kritikal mengenai sesuatu perkara lebih-lebih lagi peristiwa politik yang tidak menyebelahi pentadbiran atau pemerintah negara. Namun demikian, kewujudan internet dan portal media memaksa media cetak untuk melaporkan peristiwa sebenar dengan telus. Masyarakat tidak lagi disuap dengan maklumat bersifat berat sebelah. Media sosial, walaupun tidak terlepas daripada mengimpak dunia kewartawanan secara negatif, memberikan alternatif kepada informasi yang diterima oleh umum. Dengan memberikan contoh gerakan Bersih, Masjaliza menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai percanggahan laporan media cetak dan arus perdana dengan berita yang bertebaran di laman sosial dan internet. Gerakan Bersih yang sering menjadi mangsa liputan berat sebelah oleh media arus perdana mendapat liputan media alternatif yang cuba untuk memberikan laporan yang lebih telus. Kebebasan Bersuara Tidak Perlu Ditakuti Seorang rakyat yang rasional dan bertanggungjawab tidak akan menyalahgunakan kebebasan bersuara yang diberikan kepadanya untuk menyebarkan ujaran kebencian, sebaliknya kebebasan sedemikian akan digunakan untuk membantu negara bangsa Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang lebih baik dengan memberikan pandangan dan kritikan yang membangun. Pentadbiran yang telus dan bersifat terbuka seharusnya tidak gentar untuk menerima kritikan. Pemanipulasian sekatan undang-undang terhadap kebebasan bersuara untuk kekal berpengaruh adalah tidak beretika. Suara rakyat tidak harus direnggut hanya kerana ianya mampu mencabar elit-elit politik yang tamak kuasa. Tuntasnya, hak kebebasan bersuara perlu dikembalikan semula kepada rakyat. ]]>