Projek Dialog

Reviu: Dialog Tertutup Sunni dan Ahmadiyyah

Dan pendekatan untuk berdialog ini dihalang lagi oleh tindakan fatwa yang mengharamkan ajaran Ahmadiyyah di Malaysia, dengan mengatakan mereka menganut ajaran yang dikirakan murtad dan menyeleweng; diterukkan lagi dengan perletakkan penanda yang mengatakan bahawa mereka bukan Islam. Dan disebabkan inilah, kami merasakan bahawa dialog adalah langkah pertama yang seharusnya diambil oleh pihak majoriti; agar dapat memahami intipati dan ajaran sebenar yang difahami oleh mereka dan dengan harapan agar stigma dan prejudis yang berlaku dapat dikurangkan dan suatu proses rehabilitasi terhadap mereka dapat dilaksanakan oleh pihak penguasa sebagai proses untuk menjulang semula sikap keterbukaan. Kemudian tiba giliran saudara Wan Ji yang menerangkan bahawa kebenaran dapat diungkap melalui kebebasan, ujar beliau, “Kebenaran itu tersebar dalam kerangka kebebasan.” Kami bersetuju benar dengan pendapat beliau, kerana melalui kerangka kebebasanlah suatu proses demokratik dapat dijalankan. Melalui proses demokratik kesimpulan dapat dinyatakan secara jelas. Tetapi persoalan ‘halangan’ yang seringkali berlaku inilah yang benar-benar membingungkan pihak kami. Ini juga seperti yang ditegaskan oleh Wan Ji selepas itu, bahawa tiada agama apa-apa pun yang secara esensinya menghalang penyebaran ajaran agama lain. Jadi pastinya hal yang berlaku pada waktu ini merupakan hal yang lain, berhubung kepada suatu persoalan yang lebih besar dan barangkali hampir tidak ada kena mengena dengan persoalan akidah semata-mata dan lebih kepada sikap ataupun barangkali, kekuatan politik. Jadi, bahagian pertama lebih kepada pemahaman pihak masing-masing terhadap keadaan yang berlaku. Kemudian, bahagian kedua pula lebih memberi fokus kepada penyelesaian dan inisiatif yang sedang dilakukan oleh mereka. Seperti apa yang dijelaskan oleh pihak Ahmadiyyah, dan barangkali disebabkan oleh kedudukan mereka selaku ajaran minoriti. Pasti sahaja mereka lebih mengutamakan sikap keterbukaan sebagai langkah pertama dan hal inilah yang seringkali dilupakan oleh pihak majoriti sesuatu agama dan apabila ianya dikaitkan institusi agama yang mempunyai agenda politik yang melampaui tugas asas mereka; mereka seringkali menggunakan kekuasaan aparatus kerajaan sebagai pendekatan untuk menyekat penyebaran ajaran minoriti yang lain. Kemudian apabila soalan ini ditujukan kepada saudara Wan Ji, beliau lebih menekankan aspek sikap sebagai salah satu langkah utama untuk mengubah keadaan ini. Beliau memberi contoh segi pemakaian, bagaimana purdah dan jubah pada suatu masa dilihat sebagai suatu hal yang asing tetapi hal yang sebaliknya berlaku pada waktu ini. Jadi begitu juga dengan sikap keterbukaan dan berdialog, beliau yakin bahawa ianya juga mampu berubah jika usaha sebegini rupa dapat dilaksanakan secara konsisten. Seperti apa yang ditekankan oleh kami pada awal artikel ini, dialog adalah proses yang demokratik dan ini perlu dipraktikkan secara meluas bagi menyelesaikan apa-apa konflik. Walaupun begitu, pihak kami juga turut menyuarakan persoalan mengenai inisiatif politik, kerana jika benar hal ini ingin diselesaikan, bukankah hal yang sebenarnya perlu diangkat adalah sesuatu yang bersifat politik dan berkait rapat dengan isu perlembagaan? Dan apakah dialog yang berlandaskan topik yang sensitif seperti ini dapat dijayakan dengan bebas tanpa ada apa-apa sekatan dari pihak penguasa? Begitulah persoalan-persoalan yang masih terngiang di dalam pemikiran kami dan rasanya, dibiarkan sahaja begitu rupa sehingga realiti menunjukkan hal yang sebaliknya. Akhir forum, kedua-dua pihak bersetuju untuk berjumpa secara konsisten bagi memahami dan berharap untuk bekerjasama pada masa yang akan datang. Yang pastinya, kejahilan muncul apabila kebenaran dihalang untuk tersebar. Kejahilan menyelubungi kesedaran rakyat secara umum apabila budaya berdialog tidak dipraktikkan oleh golongan yang berkuasa. Kejahilan merajalela apabila ia menjadi alat utama golongan penindas. Oleh itu, ayuh kita menjadikan dialog sebagai suatu proses ke arah budaya rakyat yang benar-benar demokratik.    ]]>