Projek Dialog

Pengalaman Spiritual dan Kefanaan Segala Sesuatu

Artikel ini merupakan sebuah reviu filem Melancholia oleh saudara Hazman Baharom   Maka berkatalah Meitreyi: “Tuan, andai kini seluruh pelosok bumi dipenuhi harta kekayaan, dan seluruh kekayaan itu milikku, akankah aku hidup kekal abadi?” “Tidak”, ujar Yajnavalkya. “Engkau hanya akan hidup sepertimana orang berharta. Pun, akan hidup kekal abadi, tiadalah harta benda mampu memberi akan dia.” Maka berkata Maitreyi lagi: “Apakah patut aku lakukan, andai harta itu tiada mampu menjadikan hidup ini kekal abadi? Khabarkan kepadaku apa yang Tuan tahu. Apakah dia, khabarkanlah!” [Brihadaranyaka Upanishad; 2.4.2]   Manusia dan segala makhluk hidup senantiasa melihat imej kematian di hadapan mereka, suatu kepastian di penghujung terowong perjalanan kehidupan. Kematian ialah motif yang sentiasa hidup dan tidak pernah mati, dan ini terpapar lewat pemikiran, perasaan, dan perlakuan insan zaman-berzaman. Mati ialah alat untuk mengawal manusia lain, mati juga ialah sesuatu yang mengawal diri sendiri. Kematian, dan kemusnahan diri itu sendiri merupakan satu persoalan yang menuntut satu pemerhatian mendalam. Jika kita menelusuri pelbagai ranah keagamaan, imej kematian dan kemusnahan ialah sesuatu yang biasa kelihatan. Daripada imej ini, refleksi tentang kehidupan di dunia yang sementara menjadi satu latar belakang kepada kehidupan beragama serta moral manusia. Sebab itulah, kita melihat dalam beberapa agama terutamanya agama-agama monoteisme—misalnya Islam, Kristian, atau Yahudi—imej Hari Kiamat yang merupakan hari kemusnahan segala sesuatu, melainkan zat Tuhan, terlakar dengan jelas sekali. Pada zaman industri yang membataskan segala konsep kepada proses dan prosedur semata-mata, manusia beragama seolah-olah kehilangan sisi pencarian makna dari dalam diri sendiri, terutamanya yang bersangkut dengan kepastian kemusnahan dunia. Kita mula beribadah seolah-olah Tuhan ialah sejenis “mesin jual air tin,” yakni tatkala kita memasukkan wang, dapatlah air tin yang dihajati. Lebih banyak wang kita, lebih banyaklah air tin yang boleh dibeli. Begitulah sempitnya kita semua melihat segala sesuatu, dan kita mendakwa kita sedang beragama. Filem Melancholia (2011) arahan Lars von Trier cuba menelusuri sisi spiritual manusia apabila kemusnahan dunia merupakan sesuatu yang pasti berlaku beberapa jam lagi. Ia cuba masuk ke ruang paling dalam di sanubari seorang insan yang sedang bersedia untuk majlis perkahwinannya—yang dianggap antara majlis paling besar dalam hidup seorang manusia. Namun, apabila Justine, watak utamanya, mengetahui bahawa dunia akan musnah dalam masa beberapa jam, segalanya sudah tidak bermakna lagi, dan akhirnya, segala kelakuan manusia menjadi karut, absurd! Simtom Melancholia, Manusia, dan Narsisisme Melancholia merupakan satu filem yang tidak mudah ditonton. Istilah tersebut juga sebenarnya digunapakai oleh Freud untuk membicarakan sejenis simtom psikologi yang boleh dihadapi manusia yang sedang berputus asa daripada semua harapan. Dalam esei beliau, diterjemahkan ke Bahasa Inggeris sebagai Mourning and Melancholia, simtom melancholia dihuraikan sebagai satu kesedihan dan keputusasaan seorang insan terhadap sesuatu yang ia sendiri nanar dan tiada memahaminya. Ia, menurut Freud, berlaku di peringkat minda separa sedar, dan seiring peredaran masa, ia akan sedikit demi sedikit memamah jiwa insan yang mengalaminya. Inilah juga yang cuba ditonjolkan pengarah menerusi perubahan perasaan, gaya fikir, dan cara berinteraksi antara dua adik-beradik Justine dan Claire dalam filem tersebut.    Latar keluarga Justine dan Claire ialah sebuah keluarga borjuis yang kaya-raya, digambarkan mereka memiliki segala kesenangan material. Lihat saja majlis perkahwinan yang ditaja oleh suami Claire itu, yang diadakan di sebuah resort dan kelab golf 18-lubang. Maka semua ini bisa menonjolkan kepada kita betapa senangnya mereka dari sudut material, dan mereka tidak perlu risau tentang masalah tidak cukup makan, kesempitan wang, dan sebagainya. Pun begitu, kita mula melihat kontra antara sikap dua watak ini tatkala peristiwa kehancuran bumi itu kian mendekat. Justine mula menerima dan mendakap realiti tersebut, dan beliau terperosok ke dalam pengamatan dan penaakulan dalam dirinya sendiri. Sebab itulah, kita dapat melihat satu babak di mana Justine tidak mahu melakukan apa saja yang memberi makna kepada kewujudan insan di sekelilingnya, bahkan dia tidak mahu mandi sekalipun, walaupun diheret oleh kakaknya ke bilik air. Satu lagi babak menunjukkan Justine berbogel di bawah sinar planet Melancholia yang kian mendekat itu. Kesemua imejan ini jelas menunjukkan betapa dia mula menerima nasib yang akan menimpa, dan kepasrahan mendalam terhadap apa saja yang bakal tiba. Satu perkara yang amat penting untuk disebut ialah dalam filem ini, tidak ada langsung babak-babak klise dalam filem-filem bertemakan kemusnahan dunia yang lain—seperti pasukan tentera bersedia membantu evakuasi rakyat, kenyataan media para pemimpin dunia, usaha para saintis untuk mengelakkan ancaman tersebut, dan lain-lain lagi. Hal ini sebenarnya sesuatu yang serius untuk ditanggapi, apabila tujuan filem ini akhirnya bukanlah untuk menunjukkan betapa masyarakat yang berada di ambang kemusnahan itu sedang resah, tetapi ia mahu masuk menerobos ke lohong-lohong jiwa seorang insan, dan insan ini dibaluti segala kemewahan material. Dunia moden adalah dunia yang penuh dengan optimisme. Manusia meninggalkan sifat pasrah dan menerima nasib warisan zaman pramoden, dan mengangkat idea bahawa manusia mengawal nasibnya sendiri. Selepas kapitalisme industri mengembangkan kekayaan material, sains memberi makna baru kepada kehidupan, dan politik demokrasi menawarkan kekuasaan tiap individu bagi menentukan kuasa negara, dunia yang kian optimis mula terbentuk. Inilah dunia moden, dunia yang mana manusia berada di ambang revolusi menjatuhkan Tuhan daripada takhta-Nya. Melancholia cuba menawarkan penawar kepada optimisme yang membarah ini. Sepertimana yang diratap para pemikir eksistensialis, akhirnya tiada satu pun yang memberi makna dalam kehidupan manusia, melainkan hakikat bahawa kita semua akan mati. Bahkan, tatkala kita terlalu yakin dengan semua orde dongengan yang sekian lama kita anuti seperti kewujudan pasukan keselamatan negara, keberkesanan sains dan teknologi, atau kekuatan politik antarabangsa, filem ini menempelak kita secara terang-terangan. Pada akhirnya, tiada apa pun yang bermakna lagi melainkan bagaimana kita memahami diri kita sendiri, bukannya apa yang masyarakat boleh buat untuk kita, mampukah pasukan keselamatan negara menjaga keluarga kita, ataupun bolehkah skim pencen kita menampung perbelanjaan hari tua. Modeniti telah menumbuhkan sisi narsisisme yang kuat berakar dalam atma setiap insan hari ini, sehingga kita menganggap dunia ini wujud untuk kepuasan serakah kita. Walhal, ketika kita semua berseronok memuaskan nafsu masing-masing, bukankah dunia sedang berdarah? Namun, kepasrahan yang terpapar lewat watak Justine itu ternyata bukanlah kepasrahan kosong semata-mata. Ia disulami dengan usaha untuk menanggapi kewujudan diri sendiri dan juga segala yang hidup di sekeliling mereka. Apa yang akan terjadi jika setelah kemusnahan bumi, semua makhluk hidup mati serta-merta, dan hanya bumilah tempat tinggal makhluk hidup di alam semesta ini? Maka tiada lagi yang hidup, yang akan tinggal hanyalah jasad-jasad tak bernyawa yang saling terapung di angkasa raya. Adakah keadaan ini lebih baik daripada keadaan di mana wujudnya makhluk yang bernyawa? Inilah salah satu persoalan yang cuba dilontarkan, biarpun secara tidak langsung, oleh filem ini untuk ditanggapi secara serius. Kita semua, yang merupakan sebahagian daripada banyaknya makhluk yang hidup, sentiasa merasakan bahawa kewujudan kita adalah sesuatu yang “baik,” malah “diperlukan” oleh alam semesta. Inilah naratif yang cuba disuguhkan oleh semua kepercayaan agama, sekurang-kurangnya. Dan jelasnya, ia perlu dinilai secara teliti—adakah benar begitu? Kita semua tidak akan terlepas daripada pandangan berat sebelah dalam meletakkan nilai ke atas sesuatu, dan pada saat kita bertanyakan “adakah kewujudan manusia di dunia ini sesuatu yang baik? Atau lebih baik jika semua manusia mati sahaja?” kemungkinan besar jawapan kita akan berat sebelah akibat kita sendiri merupakan sebahagian daripada spesis “manusia” itu. Saya bersetuju dengan filasuf Slavoj Zizek bahawa pada dasarnya, Melancholia merupakan satu filem yang optimis, bukan pesimis. Kita perlu melihat kemusnahan bumi dan kematian manusia bukan sebagai sesuatu yang buruk, tetapi sesuatu yang baik untuk alam semesta. Ia menggambarkan satu refleksi kejiwaan seorang insan yang berfikir tentang segala kebiadapan yang pernah dilakukan oleh spesisnya sendiri di atas muka bumi, sehinggakan spesis ini menjadi terlalu narsisistik, malah cuba untuk mengawal segala kewujudan di alam semesta ini. Kesimpulannya, kemusnahan bumi adalah sesuatu yang pasti dalam masa terdekat. Jika bukan sebuah planet menghentam bumi sepertimana yang digambarkan lewat Melancholia, politik dunia hari ini menunjukkan bahawa perang nuklear adalah sesuatu yang bakal berlaku tidak lama lagi. Pada masa yang sama, sains telah membuktikan bahawa beberapa spesis serangga mampu bertahan dalam keadaan radiasi selepas letusan nuklear. Mungkinkah selepas kita semua mati akibat letupan bom nuklear suatu hari nanti, serangga-serangga ini akan terus berevolusi dan mereka pula akan menjadi makhluk pintar yang mendiami planet ini? Harapnya, mereka tidak menjadi narsisistik seperti kita.      ]]>