Projek Dialog

Reviu Artikel: Identiti Terancam di Ruang Internet

Permulaan forum bermula dengan penerangan mengenai identiti oleh saudara Faizal Tehrani di mana dia menerangkan bagaimana identiti setiap manusia itu merupakan hak asasi mereka untuk memilih dan memiliki dan identiti itu merangkumi pelbagai elemen termasuklah kepercayaan dan personaliti. Ianya merupakan elemen yang menjadikan seseorang itu dirinya sendiri dan ini dinyatakan melalui dua ruang yang berbeza tetapi berhubungan: peribadi dan awam. Di dalam kes ini, ruang internet dilihat sebagai ruang publik di mana seseorang itu turut menyatakan pendiriannya dan siapa mereka melalui apa yang mereka kongsikan dan laman apa yang mereka ikut. Melalui internet juga, identiti terancam dapat difahami apabila seseorang itu tidak dapat mengekspresi nilai-nilai ataupun karakter-karakter mereka. Kita dapat lihat bagaimana identiti itu terancam sehingga ianya dapat membawa kepada bentuk-bentuk keganasan yang lain dan pada masa yang sama membawa impak yang lebih merbahaya. Saudara Faizal Tehrani memberi contoh bagaimana seseorang telah menyatakan keberanian untuk mengajak yang lain untuk membunuh beliau dan identiti individu tersebut terserlah kecenderungannya melalui beberapa laman yang spesifik, secara tidak langsung menunjukkan identiti yang antagonistik terhadap keberadaan saudara Faizal sendiri. Walaupun ancaman yang wujud hanya berlegar di ruang internet, tidak dapat dinafikan bahawa ianya turut dinyatakan di dalam kehidupan harian seseorang, di mana hal-hal yang kita baca atas talian turut mempengaruhi sudut pandang kita dan tindakan kita di kehidupan yang sebenar. Persoalan identiti bukan hanya berlegar di persoalan mengenai ekspresi ataupun nilai, tetapi berkait rapat juga dengan keputusan untuk tidak menyatakan identiti mereka. Ini juga turut dilihat sebagai hak asas bagi setiap pengguna internet. Wujud juga kes di mana identiti seseorang terancam apabila siapa mereka didedahkan secara meluas, tanpa kebenaran mereka. Kedua-dua kes ini, walaupun berbeza dari segi konteks tetap sama dari segi identiti mereka bercanggah dan menghadapi konflik apabila berada di ruang publik internet. Kemudian tiba giliran saudara Pang Khee Teik untuk menerangkan sedikit sebanyak mengenai pengalaman golongan LGBTQ di dalam kehidupan harian. Golongan LGBTQ merupakan salah satu golongan yang seringkali mendapat ugutan apabila mereka menyatakan identiti mereka di ruang internet, malah menurut saudara Pang, seakan menjadi lumrah bagi mereka untuk menghadapi masalah seperti ini. Apabila membicarakan mengenai cara-cara untuk mengendali ancaman ataupun ugutan seperti ini, beliau memberi contoh berdasarkan pengalamannya. Pang menyatakan bahawa segala bentuk provokasi yang berlaku tidak perlu dibalas melalui sikap provokasi yang sama, kerana ianya seakan memberi sebab yang kukuh bagi si pelaku untuk terus melakukan pembulian yang sama. Secara tidak langsung ini berkait rapat dengan bagaimana pihak yang terancam memahami hal ini dan etika yang bagaimana perlu kita ambil untuk menghadapinya. Kemudian beliau menyentuh persoalan yang menarik di mana persoalan negara-bangsa di bawa ke dalam perbincangan. Persoalan negara-bangsa yang dilihat sebagai ‘komuniti bayangan’ ini seakan-akan memainkan peranan yang besar bagi pembentukan identiti seseorang di ruang awam. Berbeza dengan ruang peribadi, ruang awam menjadi dominan di mana ianya seringkali mengawal tindak-tanduk seseorang sehingga ia mempengaruhi hal-hal yang dinyatakan seseorang itu di ruang peribadi. Menjadi lumrah wacana bagi konsep negara-bangsa itu dikawal dan didominasi oleh kelas penguasa. Jadi secara tidak langsung ianya tidak memberi landasan yang secukupnya bagi golongan-golongan yang terasing. Komuniti seperti LGBTQ dilihat sebagai ‘luar’ daripada konsep yang dibina lalu kekuatan pembentukan identiti yang ingin dinyatakan oleh mereka dihalang dan disokong secara kolektif. Panelis yang terakhir, saudari Syafiqah Othman pula menjelaskan bagaimana identiti seseorang yang menghadapi masalah mental diterukkan lagi di ruang internet. Syafiqah memberi contoh di mana identiti seseorang itu lebih mudah terancam apabila seseorang dapat mengambil kesempatan terhadap mereka setelah mengetahui masalah yang dihadapi oleh seseorang. Ini menjadikan senjata bagi mereka untuk terus mengugut dan membuli, secara tidak langsung mencabar keberadaan si mangsa itu di ruang internet. Dengan menggunakan contoh temannya yang hampir membunuh diri, beliau menjelaskan bagaimana seseorang yang menghadapi masalah mental lebih cenderung untuk menghadapi banyak masalah. Kemudian forum diberikan ruang kepada para hadiran/hadirat untuk berkongsi pendapat dan pertanyaan soalan yang relevan. Antara salah satu hal yang menarik disentuh oleh saudara Azwan Ismail, iaitu mengenai persoalan penggunaan bahasa kebangsaan dan bagaimana ianya dilihat sebagai suatu hal yang mencabar kekuatan hegemoni wacana yang dominan. Dalam konteks ini, bahasa nampaknya tidak terasing daripada persoalan identiti. Langsung wujudnya konflik apabila beberapa wacana dan isu mulai diperdebatkan melalui bahasa tempatan dan ini termasuklah beberapa persoalan seperti isu LGBTQ dan juga pluralisme, hak asasi dan juga liberalisme. Hal ini seperti yang disedari kesemua panelis dan juga pihak awam yang hadir, bersetuju bahawa kebanyakan wacana sudah pun secara bebas berlegar di ruang internet tetapi berlainan pula jadinya apabila ianya dibicarakan di dalam bahasa kebangsaan. Lalu secara tidak langsung, timbulnya persoalan apakah bahasa tempatan itu sendiri masih belum menjadi alat yang inklusif dan berjaya untuk menyediakan wacana yang sihat dan tidak membahayakan bagi golongan minoriti. Konsep negara-bangsa yang merangkumi penggunaan bahasa masih belum dibebaskan daripada kongkongan suatu kerangka yang eksklusif, lalu timbulnya beberapa konflik, seperti wacana mengenai Hinduisme oleh saudara Uthaya Sankar yang aktif menjelaskan mengenai Hinduisme di dalam bahasa kebangsaan. Wacana yang dilangsungkan oleh beliau ditentang oleh beberapa golongan, yang menuduh bahawa beliau cuba untuk menarik bangsa Melayu ke arah Hinduisme dan gagal melihatnya sebagai suatu wadah pertukaran ilmu di dalam bahasa yang difahami oleh seluruh lapisan masyarakat di negara kita. Saudara Pang kemudiannya turut menyuarakan kebimbangan beliau terhadap ruang awam di internet yang seringkali mengasingkan suara-suara ataupun pendapat yang berlainan. Ini turut juga merangkumi kedua golongan, pembuli dan golongan yang dibuli di mana tidak wujudnya ruang bagi mereka untuk berinteraksi bagi meningkatkan rasa empati sesama sendiri. Lalu persoalan pembinaan ruang selamat itu bukannya berkisar kepada golongan minoriti tetapi turut melibatkan golongan majoriti juga. Ini bertujuan bagi mencari suatu ruang yang saksama sesama mereka untuk bersetuju dan dengan harapan, dapat bekerjasama bagi mempertingkatkan kualiti kehidupan bermasyarakat di sesuatu kawasan. Faizal Tehrani pula mengakui akan perlunya pembinaan ruang selamat di mana beliau menekankan isu-isu yang terpinggir pastinya bercambah di bawah keadaan yang autoritarian dan ini pastinya akan menjadi dominan sebagai isu perbualan yang dikongsikan oleh rakyat umum. Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa isu yang terpinggir ini bukan hanya berteraskan hal yang konstruktif tetapi turut juga merangkumi hal yang membinasakan. Dapat disimpulkan, bahawa identiti merupakan hak asasi bagi setiap pengguna dan ianya merupakan hak asas bagi seseorang untuk mencari, membela, mengekspresi dan memilih identiti mereka di ruang internet. Walaubagaimanapun, etika di dalam ruang internet sedikit sebanyak dapat dilihat sebagai cerminan pemikiran dan kebudayaan rakyat kita secara umum. Ini merupakan suatu hal yang perlu dipersoalkan secara terus menerus, sebagai contoh persoalan seperti penggunaan mengenai bahasa, pembinaan ruang yang selamat dan sebagainya. Jarang benar rakyat di negara kita memikirkan implikasi penggunaan mereka di ruang internet dan tidak pula ianya dikawal selia secara sedar oleh pengguna mengenai keadaan psikologi bagi golongan yang terlibat di dalam fenomena pembulian di atas talian. Pihak Projek Dialog berharap agar usaha seperti akan terus dilaksanakan oleh pihak-pihak lain, agar pembinaan ruang perbincangan yang selamat dan penuh hemah dapat dipraktikkan secara penuh dan impak negatif pengguna di ruang internet dapat dikurangkan secara drastik.              ]]>