Projek Dialog

Bolehkah Menyebarkan Kebencian Menerusi Sastera?

oleh Faisal Tehrani

 

BARU-BARU ini saya terbaca satu hantaran di blog Projek Dialog dengan judul ‘Hate Speech: An Infographic’. Hal ini sangat menarik kerana dalam minggu yang sama juga saya bersama-sama beberapa rakan pengarang meraikan ketibaan PEN Malaysia. Kami telah menganjurkan suatu pesta sastera atas talian tiga siri dengan nama ‘Sembang Baru’.

Selepas acara itu seorang novelis muda telah mengajukan satu soalan iaitu, jika PEN meraikan penuh kebebasan bersuara, bolehkah PEN mengizinkan karya sastera yang menyebarkan misalnya kebencian? Apakah batasnya?

Pertanyaan di atas bukanlah biasa-biasa dan tidak harus juga dianggap enteng, apatah lagi remeh. Dalam sejarah penubuhan PEN International sejak tahun 1921, pertubuhan besar ini pernah berdepan dengan kemelut mengenai kebebasan bersuara yang melibatkan kebencian.

PEN, untuk makluman anda adalah sebuah kelab sejagat yang menghimpunkan pengarang, editor, pemilik kedai buku, penerjemah dan pengamal teater-filem (khusus dramaturgis) yang berpangkalan di London. Sejak kelahirannya, PEN memberikan tumpuan kepada kerja-kerja membela dan melindungi pengarang dari tekanan dan kezaliman pihak berkuasa. PEN juga meraikan apa sahaja bahasa yang dipilih oleh pengarang dalam karyanya – tanpa prejudis – asalkan karya itu tujuannya demi kemanusiaan.

Berdepan dengan soalan apakah PEN pernah menangani isu kebencian menerusi karya sastera, jawapannya ialah; pernah. Dalam hal ini, ada satu masa PEN berdepan ancaman oleh kebangkitan Nazisme di Jerman. Ia menjadi lebih jelas dan ketara dalam Persidangan PEN di Dubrovnik pada tahun 1933. Jauh sebelum itu, Parti Nazi telah membakar ribuan naskah buku yang dianggap sebagai ‘nista’ – dan dalam hal ini ia nista atau tercemar kerana karya-karya ini tidak menyokong atau menentang dasar-dasar mereka.

Ekoran dari itu, ketika Persidangan di Dubrovnik, Presiden PEN ketika itu, H. G. Wells, telah menegaskan kembali resolusi yang dibawa oleh John Galsworthy selaku pengasas dan Presiden PEN yang pertama di mana kebebasan berkarya itu tidak meraikan apa yang mengancam kemanusiaan, dalam hal ini tindak-tanduk Nazi. 

Seorang Nazi, yang hadir dalam delegasi dari Jerman telah menghalang Ernst Toller, seorang penulis teater Yahudi-Jerman yang hidup dalam buangan daripada berucap mengutuk Nazisme (dan tindakan membakar buku). Satu suara yang solid, kuat, formidable dan meyakinkan telah terbit dari persidangan itu. Para pengarang bersetuju untuk menolak usul Jerman mendokong kebebasan bersuara penuh (justeru menerima Nazisme) lantas kembali memihak kepada prinsip-prinsip yang telah mereka mandatkan. Pasukan dari Jerman marah lantas membantah, langsung bertindak untuk keluar dari Persidangan. Mereka malah memilih untuk keluar daripada PEN, sehinggalah selepas Perang Dunia Kedua.

Kejadian di atas menjadi ingatan buat semua pengarang di mana dalam persidangan pertama selepas perang, PEN berkumpul lagi di Stockholm pada tahun 1946. PEN Amerika dan Inggeris membuat satu daya-sepakat untuk mengusulkan dua resolusi penting. 

Yang pertama, PEN diseru agar mendesak ahli-ahli PEN terus ‘menunjangi idea untuk sebuah kemanusiaan yang aman makmur sejagat’; dan kedua, membawa perhatian kepada isu penapisan (sensor). 

Resolusi ini tidak diterima dengan mudah, malah perdebatan di Stockholm berlanjutan sehingga Persidangan PEN di Zurich pada tahun 1947. Hanya ketika itu lah para penulis bersetuju dan bersepakat. Resolusi inilah yang menjadi asas kepada tatacara keempat dalam Piagam PEN.

Pada tahun 2017, dalam Persidangan ke 83 di Ukraine, Artikel 3 Piagam PEN telah digubah semula. Para wakil PEN ketika itu bersetuju bahawa ‘kebencian’ terhadap kaum tertentu, kelas dan semua identiti harus digubal semula kepada ‘semua bentuk kebencian’, dan perkataan ‘saksama’ dibawa masuk untuk mengukuhkan Piagam PEN. Prinsip-prinsip Piagam inilah yang menyatukan semua pusat PEN di seluruh dunia (berada lebih dari 100 buah negara).

Apakah bentuk kebencian yang ditolak dalam karya sastera? 

Ini kerana karya sastera harus diberi kemerdekaan dalam ruang lingkupnya untuk menyatakan kritikan secara jujur dan benar terhadap apa juga elemen budaya manusia termasuklah agama, politik dan sejarah. Seseorang pengarang misalnya mestilah merdeka mempersoalkan amalan agama yang mungkin tidak adil terhadap penganutnya. Seseorang pengarang juga mestilah diizinkan secara penuh menujah kritik dan menanyakan tindak-tanduk politik yang membahayakan. Contohnya seperti polisi diskriminasi yang didorong oleh Parti Nazi sehingga membawa kematian ramai manusia tidak bersalah ekoran perang. Pengarang juga dibenarkan bebas membongkar semula sejarah dalam karya sastera mereka.

Kebencian yang tentu sahaja tidak dapat diterima ialah kebencian yang membawa kepada keganasan di mana ia mendorong orang ramai untuk keluar menghukum kumpulan minoriti (katakan LGBT), atau memprovokasi supaya minoriti dinafikan hak sebagai manusia (katakan kumpulan marjinal agama). 

Karya sastera begini tentu sahaja berbahaya kerana ia mempengaruhi masyarakat untuk melakukan sesuatu yang berlawanan dari hasrat murni kesusasteraan itu sendiri iaitu mengangkat kemanusiaan.

Jika seseorang pengarang, atau sehimpunan penulis berkarya dan menerbitkan buku dengan niat mengangkat ketuanan kaum tertentu dan menafikan hak kaum lain, maka itu adalah satu kebencian yang melampau. Namun demikian jika himpunan pengarang ini contohnya telah mulai menyuntik propaganda keganasan atas nama patriotik, maka keadaan ini bukanlah satu keadaan yang boleh diterima dan PEN akan berganding bahu atas nama ikrarnya untuk melawan ‘kebebasan atas nama kebencian’ ini.

Sesebuah karya haruslah berperanan untuk mengangkat kebaikan dan kebajikan sesama umat manusia, bukan membawanya ke lembah jahanam yang boleh mendorong keganasan dan perang yang memusnahkan.

Pengalaman Perang Dunia Kedua sangat pahit untuk diulangi. 

Menulislah demi kemanusiaan, bukan kebencian.

 

Rujukan

Projek Dialog. 2020. Hate Speech: An Infographic. Projek Dialog.com. 30 Oktober. https://projekdialog.com/blog/hate-speech-an-infographic/