oleh Faisal Tehrani
MINGGU lalu terdapat satu kenyataan politik berbau kebencian telah diucapkan oleh seorang ahli politik iaitu Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang juga ADUN Jeneri dari Parti Islam Semalaysia. Kenyataan beliau itu ekoran tindakan Majlis Bandaraya Alor Setar merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah. Kuil ini dikatakan berusia lebih 50 tahun dan ia dirobohkan selepas tapak tersebut – yang dimiliki kerajaan negeri – bakal dibangunkan. Menurut laporan media lagi, selain kuil itu, sebuah dewan silat dan lima kawasan parkir turut ditolak untuk dibina gelanggang futsal.
Muhammad Sanusi Md Nor pada mulanya dilaporkan berkata yang pihaknya kesal lantaran ada pihak menyiram minyak ke dalam api mengenai persoalan ini. Beliau mendakwa urusan ini mudah tetapi dipersulitkan oleh agenda politik dan perkauman.
Menteri Besar seterusnya dengan betul menghujahkan betapa tataletak setiap binaan struktur harus mengikut undang-undang dan pentadbiran di bawah agensi kerajaan. Sanusi menurut laporan media memberitahu; “Ia harus bermula sejak dulu lagi, bukan sekarang walaupun belum terlambat untuk melakukannya. Kekecohan yang diapi-apikan ini adalah risiko yang terpaksa kita hadapi untuk membina masa depan yang lebih tenteram dan harmoni. Jangan sampai kita bergaduh pada masa depan hanya kerana ‘mabuk todi populariti’ dan mahu menunjuk jaguh kaum pada masa sekarang,”.
Kenyataan Sanusi di atas akan selamat dan wajar tanpa ungkapan ‘mabuk todi’, yang merupakan satu rujukan lazim kepada bangsa India di Malaysia. Ekoran dari kenyataan itu Sanusi telah dikecam sebagai seorang rasis dan kenyataan beliau itu dikatakan berbau kebencian.
Adakah kenyataan di atas memang satu kenyataan kebencian? Atau sekadar ‘bau’ kebencian sahaja?
Hal ini menarik untuk diteliti apatah lagi kita memang mempunyai satu parameter untuk menilai keadaan ini. Apakah ukurtara tersebut?
Parameter yang dimaksudkan adalah Pelan Tindakan Rabat (Rabat Plan of Action 2013) yang ditawarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Ia adalah satu panduan untuk mengenalpasti apakah yang wajar dinamai sebagai ‘kebencian dan hasutan’ dan apa pula yang boleh dikategorikan sebagai ‘kebebasan bersuara’. Atau adakah ia sekadar satu ‘bau’ yang tentunya busuk.
Apakah poin yang terkandung dalam Pelan Tindakan Rabat? Saya malah pernah menulis di laman Projek Dialog ini enam tahun lalu.
Pertamanya, ia menyediakan polisi dan juga panduan untuk kerajaan, dan masyarakat sivil dalam mencegah kebencian agama secara kolektif. Ia juga menghuraikan apa yang tidak wajar dianggap sebagai ‘kemerdekaan bersuara’ dan dapat dianggap sebagai kebencian terhadap agama secara kolektif.
Kebencian terhadap agama secara kolektif melibatkan;
i. Konteks
Hanya dengan analisis konteks, sesuatu ucapan itu dapat ditentukan latar sosial dan politiknya dan apakah ia ditujukan kepada satu kumpulan sasaran.
ii. Pengucap
Kedudukan individu pengucap adalah penting untuk dikenalpasti. Secara khususnya apakah individu pengucap itu mewakili mana-mana kumpulan agama yang lain, atau apakah statusnya dalam masyarakat.
iii. Niat
Dalam hal ini, niat dan bukan kelalaian atau ketidaksengajaan diberi fokus. Dalam erti kata lain terdapat elemen hasutan, dan mengajak; yang secara aktif dapat ditentukan berdasarkan adanya hubungan antara objek, subjek ucapan dan juga khalayak.
iv. Kandungan dan bentuk
Analisis kandungan dan bentuk ucapan juga sangat kritikal dalam menentukan apakah ia satu pencabulan hak asasi manusia. Kandungan ucapan itu perlu ditentukan apakah ia berbau provokasi, langsung dan apakah hujah-hujahnya tuntas atau tidak.
v. Keluasan
Keluasan ucapan juga dititik beratkan. Dalam konteks ini apakah ucapan tersebut dilakukan secara publik, juga saiz audiennya apakah kecil atau besar, dan apakah ia berbentuk penerbitan, atau media di internet atau arus perdana, dan apakah audien mempunyai akses kepada ucapan atau siaran terbabit.
vi. Potensi risiko
Hasutan dan fitnah yang menanam kebencian terhadap agama secara kolektif ditentukan berdasarkan potensi risiko yang mungkin terjadi lantaran ucapan atau siaran tersebut. Dalam hal ini ucapan kebencian tersebut selalunya adalah langsung dan memang memaksudkan sesuatu yang buruk terhadap sasaran.
Berdasarkan perkara-perkara yang dinyatakan di atas, kita boleh menilai kenyataan ‘mabuk todi’ Sanusi yang diucapkan itu.
Dalam hal pertama, mengenai konteks;Sanusi mengucapkan sesuatu yang jelas mengenai isu kedudukan kuil yang harus dirobohkan untuk memberi laluan kepada ‘pembangunan’. Samada perobohan ini wajar atau tidak semata-mata untuk membina gelanggang futsal bukan isunya di sini. Konteks kenyataan Sanusi adalah memang ditujukan kepada masyarakat Hindu justeru India. Jelas sasaran ‘mabuk todi’ tersebut telah ditentukan tujuannya.
Poin kedua oleh Pelan Tindakan Rabat adalah pengucap; Sanusi mempunyai status penting dalam masyarakat. Beliau adalah seorang Menteri Besar, dan beliau berasal dari sebuah parti berteras agama iaitu Parti Islam Semalaysia. Sebagai kepala negeri dan wakil yang dipilih oleh kawasan beliau, Sanusi memiliki kedudukan penting, di mana kenyataan beliau boleh dibaca sebagai satu isyarat tertentu. Bersekali dengan poin ini ialah keluasan kenyataan beliau itu. Ini bermaksud, kenyataan Menteri Besar telah tersebar dan bukan diucapkan dalam satu majlis tertutup, katakan mesyuarat misalnya. Ia juga bukan ‘dibocorkan’, ia memang dinyatakan. Ramai yang telah membaca laporan media tersebut dan ia sudah menjadi besar.
Manakala jika kita meneliti aspek niat kita akan mendapati Sanusi boleh sahaja mengeluarkan kenyataan yang cermat dan rapi tanpa pun menyinggung mana-mana agama atau kaum. Tambahan pula perobohan tapak kuil tersebut turut melibatkan fasiliti awam yang lain. Adalah jelas Sanusi dengan sengaja menyebutkan ungkapan ‘mabuk todi’ itu untuk menghubungkan satu hubungan dengan objek.
Akan tetapi adakah ia berniat hasutan? Hal ini hanya dapat ditentukan dengan aspek seterusnya.
Hal yang menjadi penting ialah apakah kenyataan itu berbau kebencian atau hasutan dapat ditekuni berdasarkan kandungan dan bentuk; seperti yang disebutkan sebelumnya bahawa ‘analisis kandungan dan bentuk ucapan juga sangat kritikal dalam menentukan apakah ia satu pencabulan hak asasi manusia. Kandungan ucapan itu perlu ditentukan apakah ia berbau provokasi, langsung dan apakah hujah-hujahnya tuntas atau tidak.’
[yotuwp type=”videos” id=”icP7UnVKnwk” ]
Sekarang kita telah mendapati kenyataan ‘mabuk todi’ itu memang sensasi, disengajakan dan jelas berbau provokasi. Namun demikian, menurut saya, sedikit sukar untuk menentukan apakah ia berupa satu pencabulan hak asasi manusia meskipun terdapat ramai pengamal dan penganut Hindu yang mengecamnya; baik dari parti kerajaan (MIC) mahupun parti pembangkang (DAP).
Ini kerana dalam masa yang sama, hak asasi manusia juga melindungi kebebasan bersuara asalkan ia tidak sampai ‘mencabul hak asasi manusia’. Sanusi berhenti setakat ‘mabuk todi’ dan tidak menghina kepercayaan agama Hindu. Beliau tidak menyinggung mana-mana ajaran Hindu dan mengecam doktrin kepercayaan tua tersebut. Justeru, sukar untuk menghujahkan Sanusi benar-benar mencabul hak asasi manusia di sini. Ini tidak menafikan satu fakta bahawa Sanusi bagaimanapun memang seorang pemimpin yang menjengkelkan dan nista, akan tetapi untuk menyatakan beliau melanggar hak asasi, Menteri Besar tersebut agak terselamat dalam hal ini.
Akan tetapi wajib pula dinyatakan di sini bahawa kenyataan ‘mabuk todi’ tersebut memang memiliki ‘potensi risiko’, ini kerana ia berkaitan sebuah rumah ibadat iaitu kuil yang sudah agak lama usianya dan sudah tentu mempunyai ramai pengujung tetap. Dalam hal ini ‘mabuk todi’ boleh jadi dimanipulasi dan menerbitkan keadaan yang tidak stabil seperti kerusuhan atau rasa tidak senang yang berpanjangan. Tindakan meroboh kuil untuk pembangunan tersebut boleh disalaherti lantas menjadi satu kebencian agama apabila dikaitkan dengan ‘mabuk todi’.
Buat masa ini Sanusi, jika diukur dengan hanya ungkapan itu, masih belum melepasi garisan merah Pelan Tindakan Rabat. Akan tetapi apa yang pasti ialah, Sanusi memang berada di atas garisan itu.
Apakah Menteri Besar Kedah ini akan memohon maaf kepada masyarakat Hindu/India atau terus terlajak mengeluarkan kenyataan, itu wajib dipantau dan dikaji khususnya dengan menggunakan parameter Pelan Tindakan Rabat di atas.
Semua pembaca boleh menjadi pemantau bersama-sama Projek Dialog. Kami di sini mengajurkan dialog, jambatan untuk saling memahami sembari menyeru kedamaian, kecintaan dan kasih sayang.
Rujukan
Faisal Tehrani. 2014. Rang undang-undang kebencian kaum dan agama: Syiah diabaikan lagi?. Projek Dialog. 11 Julai. https://projekdialog.com/malay/rang-undang-undang-kebencian-kaum-dan-agama-syiah-diabaikan-lagi/
Roslinda Hashim. 2020. Roboh kuil ikut undang-undang, bukan isu perkauman: MB Kedah. Sinar Harian. 5 Disember. https://www.sinarharian.com.my/article/113385/EDISI/Roboh-kuil-ikut-undang-undang-bukan-isu-perkauman-MB-Kedah
Office of the United Nations High Commissioner for Human Rights. 2012. Rabat Plan of Action on the prohibition of advocacy of national, racial or religious hatred that constitutes incitement to discrimination, hostility or violence. Rabat: Office of the United Nations High Commissioner for Human Rights (OHCHR). Halaman 6-7.