Dialog Jalanan Siri Kebebasan Berekspresi #4 Tradisi menghormati kepercayaan dan agama orang lain telah wujud lebih 2,600 tahun dahulu dengan deklarasi Cyrus, Raja Persia. Apakah kesannya kepada dunia masa kini? https://www.youtube.com/watch?v=x0CPRmdCRPU
]]>Wacana Kebebasan: Hak, Batasan, dan Keseimbangan
Oleh Mohd Izzuddin Ramli
Kebebasan merupakan salah satu tunjang utama dalam sistem demokrasi yang dianuti oleh sebahagian besar masyarakat dunia pada hari ini.
Tanpa kebebasan, masyarakat tidak akan mampu untuk menjadi warganegara yang aktif dalam membangunkan negara serta menyuburkan sistem itu sendiri. Kebebasan asas ini merangkumi kebebasan untuk bersuara, berekspresi, berpersatuan, berhimpun dan sebagainya.
Namun demikian, kebebasan juga cenderung untuk disalahgunakan terutamanya dalam menyebarkan unsur-unsur kebencian, baik terhadap individu, kumpulan-kumpulan masyarakat mahupun etnik.
Yang lebih membimbangkan adalah, ucapan-ucapan yang berbaur kebencian ini cenderung untuk mewujudkan keadaan tidak tenteram, perbalahan dan lebih parah mampu mencetuskan konflik kekerasan dalam masyarakat.
Kebelakangan ini kita seringkali diresahkan dengan bermacam isu yang mampu mengganggu-gugat ketenteraman awam. Hal ini dapat dilihat sekurang-kurangnya melalui ucapan-ucapan sebilangan pemimpin dan juga masyarakat awam.
Sebagai contoh isu pergaduhan yang berlaku di sebuah pasaraya di Kuala Lumpur baru-baru ini. Ada sesetengah pihak yang cuba menyiram minyak ke dalam api dengan mengaitkannya dengan isu perkauman.
Hal ini lebih memburukkan apabila negara ini masih tidak mempunyai undang-undang yang mampu untuk mendidik masyarakat dalam menguruskan kebebasan dengan sebaiknya.
Pengenalan undang-undang seperti Akta Hasutan 1948, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), atau yang lebih baru iaitu Akta Majlis Keselamatan Negara 2015 walau bagaimanapun disalahgunakan oleh pihak pemerintah sendiri untuk menghalang suara-suara pengkritik.
[caption id="attachment_5396" align="aligncenter" width="960"] Sesi perbincangan meja bulat di Pulau Pinang[/caption]
Pelan Tindakan Rabat dan Projek Dialog
Menyedari hakikat bahawa masih wujud kelompangan yang luas dalam isu ini, maka sebuah dokumen yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Rabat diwujudkan.
Pelan yang terhasil daripada beberapa siri bengkel yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR) ini merangkumi pelaksanaan undang-undang dan dasar bagi membendung unsur-unsur kebencian dalam bersuara termasuk dalam aspek kaum, agama dan sebagainya.
Pelan ini diwujudkan bukanlah bertujuan untuk mengekang hak kebebasan bersuara setiap rakyat. Akan tetapi ia adalah suatu usaha untuk menghalang sebarang bentuk unsur-unsur ucapan kebencian di semua peringkat baik dalam kalangan pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin agama, pihak media dan juga individu.
Di Malaysia, antara pihak yang memberi sokongan penuh terhadap pelan ini adalah Projek Dialog melalui penganjuran beberapa siri bengkel seperti di Pulau Pinang dan Kedah baru-baru ini.
Bengkel yang dijalankan bertujuan untuk memberi penerangan secara terperinci tentang pelan tindakan ini serta bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan tempatan dan kalangan akademik untuk menambahbaik pelan agar sesuai pelaksanaannya dengan konteks negara ini.
Perbincangan yang diadakan telah berjaya mencadangkan beberapa penambahbaikan terhadap Pelan Tindakan Rabat. Ia merangkumi beberapa aspek penting yang menjadi asas dalam kehidupan bermasyarakat di negara ini.
Antaranya adalah tentang pendidikan hak asasi manusia, pembelaan kaum minoriti, media dan stereotaip, kebebasan akademik, kebebasan berkarya untuk seniman dan perlindungan terhadap bandan-badan bukan kerajaan.
[caption id="attachment_5390" align="aligncenter" width="485"]
Gambar dari: We Are One America[/caption]
Pendidikan hak-hak asasi dan peranan media
Membicarakan persoalan kebebasan dan tanggungjawab sememangnya tidak terlepas untuk membicarakan hal yang lebih mendasar iaitu hak asasi manusia. Hak asasi manusia adalah antara perkara yang paling utama yang harus dilindungi oleh pemerintah untuk setiap warganegaranya.
Namun demikian, masih ramai daripada rakyat negara ini yang tidak memahami hak-hak asas mereka sebagai warganegara.
Keadaan ini cenderung untuk mewujudkan gejala penindasan – baik dari pemerintah ke atas rakyatnya mahupun antara semasa rakyat sendiri.
Dalam hal ini, pendidikan tentang hak-hak asas manusia dilihat penting dan perlu diberikan perhatian pada peringkat awal lagi khususnya kepada para pelajar sekolah mahupun universiti.
Pendidikan boleh diberikan melalui pengenalan terhadap sukatan-sukatan pelajaran yang mengajarkan tentang peri pentingnya sikap bertoleransi antara para pelajar. Kaedah-kaedah yang lebih proaktif dan interaktif perlu digunakan bagi setiap sekolah untuk mengajarkan para pelajar dari pelbagai latarbelakang budaya dengan menggunakan contoh-contoh yang konkrit dan sebenar.
Hak-hak asasi kaum minoriti seperti golongan transgender, orang asli, pekerja asing dan pelbagai lagi juga perlu diutamakan. Dalam hal ini, pendidikan tentang hak-hak asas juga perlu diberikan kepada mereka melalui penyediaan capaian-capaian maklumat yang lebih baik serta sumber-sumber bantuan.
Menyedari hakikat bahawa negara ini memiliki kekayaan dalam kepelbagaian kaum dan budayanya, maka capaian-capaian maklumat adalah penting khususnya dalam aspek budaya, agama dan kepercayaan, gender, orientasi seksual dan sebagainya.
Aspek pelaporan media yang berkecenderungan untuk menyediakan laporan yang tanpa sedar memperkukuhkan stereotaip perkauman dan prejudis turut sama menyumbang kepada ketidaktenteraman awam.
Hal ini menuntut kepada perlunya disediakan garis panduan untuk media bagi menghapuskan streotaip dan menyediakan laporan yang lebih beretika dan tidak memiliki bias perkauman.
Perkara sebegini jelas sekali masih dilihat menebal dalam kebanyakan media di negara ini. Media lebih gemar untuk menggunakan lensa perkauman dalam melihat atau melaporkan pelbagai isu misalnya dengan menggunakan istilah seperti “Cina”, “Melayu” dan “India” bagi menggambarkan masyarakat Malaysia daripada menggunakan istilah “rakyat Malaysia” sendiri.
Contohnya dalam kes pergaduhan di Plaza Low Yatt Kuala Lumpur antara pihak penjual dan pembeli, namun digambarkan sebagai pergaduhan antara kaum. Penggunaan lensa perkauman secara tidak sedar telah memperlebarkan lagi jurang perbezaan antara rakyat negara ini.
[caption id="attachment_5391" align="aligncenter" width="946"]
Gambar dari: Zunar[/caption]
Adakah ahli akademik dan seniman perlu mendapatkan kebenaran untuk menyuarakan pendapat?
Aspek lain yang perlu juga dititikberatkan adalah kebebasan akademik. Dalam kes Dr Azmi Sharom, pensyarah undang-undang di Universiti Malaya misalnya, kebebasan akademik jelas sekali sedang berada dalam keadaan yang membimbangkan di negara ini. Azmi didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 semata-mata memberikan pendapatnya atas kapasiti ahli akademik.
Kebebasan akademik perlu dijamin dengan sebaik mungkin oleh semua pihak. Dengan memahami dan menyuburkan budaya akademik yang bebas akan memastikan kebebasan kalangan akademik dan pelajar menyatakan pendapat mereka tanpa sebarang ancaman rasa takut.
Hal ini perlu diambilkira kerana universiti adalah institusi yang bebas dan menjadi tempat untuk percambahan ilmu. Golongan ini perlu diberikan kebebasan untuk menyatakan pendapat selagi tidak menyatakan kata-kata yang berunsur kebencian.
Kebelakangan ini kita juga seringkali mendengar isu seniman yang diancam kerana berkarya. Kartunis Zunar misalnya sedang didakwa dengan pelbagai tuduhan semata-mata menjalankan tugasnya sebagai pengkarya yang politikal.
Oleh yang demikian, kepercayaan dan penghargaan harus diberikan kepada para seniman dalam mengekalkan kebebasan berekspresi melalui seni. Para seniman sepatutnya bebas untuk menyatakan idea mereka melalui kerja-kerja seni, dalam masa yang sama sedar akan norma-norma sosial dan kawalan-kawalan yang munasabah.
Antara hal lain yang turut sama penting adalah menjamin hak-hak kumpulan-kumpulan masyarakat sivil dan para aktivis untuk bergerak secara bebas dalam mempromosikan pelbagai isu hak asasi manusia.
Oleh yang demikian, adalah sangat mendesak untuk diwujudkan sebuah garis panduan untuk membezakan antara kumpulan-kumpulan bukan kerajaan yang cenderung mempromosikan kebencian dan kumpulan-kumpulan yang tidak.
Peranan semua pihak
Usaha untuk memberikan pemahaman serta mendidik masyarakat dalam menguruskan kebebasan yang dimiliki dengan baik perlulah dilakukan oleh semua pihak, tidak terkecuali desakan untuk dilaksanakan Pelan Tindakan Rabat pada peringkat perundangan negara.
Untuk mencapai hasrat ini, maka usaha-usaha untuk memperkenalkan pelan tindakan ini secara lebih meluas perlu dilakukan.
Penglibatan lebih ramai orang perseorangan serta badan-badan bukan kerajaan bagi membincangkan dan menambahbaik pelan ini perlu dilakukan agar cakupannya menjadi lebih meluas.
KORBAN: Harga sebuah Cinta dan Revolusi
Oleh Lee Slimshady
Senja 19 September aku duduk mengopi di Restoran Yassen Jalan Tuanku Abdul Rahman sambil memerhati rakan-rakan wilayah cinta sedang melayani dan menyantuni anak-anak jalanan di hadapan Alka Ria.
Tetapi kali ini aku tidak menyertai rakan-rakan yang lain dalam menyebar cinta di jalanan buat anak-anak warga miskin kota.
Mungkin memberi peluang kepada “pecinta – pecinta” lain mencurahkan kasih buat anak-anak jalanan ini. Dalam seketika teringat pula kepada seorang rakan berkepala botak yang menggunakan nama pena Sang Pencinta.
Aku mengenali Sang Pencinta yang berkepala botak ketika sama-sama meneroka ruang demokratik dalam #OccupyDataran tapi sayangnya tidak mengenali secara dekat dan mengapa dia menggelarkan dirinya sebagai Sang Pencinta aku sendiri pun tidak tahu.
Sambil menghirup kopi panas aku memerhati anak-anak kecil ini belajar dan sedikit demi sedikit fikiran ku mula menerawang jauh dalam sejarah cinta umat manusia beribu-ribu tahun lamanya.
Dalam simpanan kotak sejarah yang aku ada, hanya satu nama sahaja yang mengaitkan Cinta dalam catatan sejarah tidak kiralah ia dari kitab suci, manuskrip papyrus mahupun catatan hieroglif purba di Babylon mahupun di Mesir.
Paling tepat sosok inilah yang telah mengorbankan cintanya demi wahyu yang telah dikirim dari langit ke-7 yang terselit mesej rahsia buat seluruh umat manusia.
Justeru aku tidak berniat untuk meminggirkan para atheist dalam coretan populis ini hanya sekadar mahu berkongsi semangat revolusi dan fahaman tentang cinta buat seluruh insan di setiap pelosok jagat raya.
Tidak semestinya pandangan dan pendapat aku ini betul dan janganlah sampai diakui keabsahannya sebelum dicabar dan disiasat kebenarannya.
Kisah Ibrahim Alaihissalam
Oleh itu bagi aku satu-satunya individu pertama yang aku rujuk terlebih dahulu sebelum Paderi Saint Valentinus adalah Nabi Ibrahim alaihis salam.
Kerana ketika Ibrahim meninggalkan bayi comel dan isteri tersayang di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang tak mungkin aku dapat membayangkan perasaan hiba yang lahir dari naluri seorang ayah.
Perasaan yang amat pilu tatkala anak yang dinantikan zuriatnya sendiri setelah bertahun lamanya akhirnya terpaksa ditinggalkan begitu sahaja di bawah panas terik mentari.
Hati ayah mana yang tidak emosi apabila saat-saat manis membelai bayi comel dari darah keturunan sendiri terpaksa dilupakan demi menurut perintah dari langit ke-7.
Andai aku berada di tempat Ibrahim secara jujurnya mustahil aku dapat melaksanakan perintah tersebut kerana naluri kebapaan mencengkam kuat dalam jiwa sebaik menatap bayi comel lebih-lebih lagi zuriatku sendiri.
Sedikit demi sedikit wajah isteri yang tercinta hilang di tengah-tengah padang pasir kontang. Hatinya mula resah, jiwanya mula gelisah dan kini naluri bapanya berkecamuk.
Demi cinta kepada isteri, dan kasihnya kepada bayi Ismail yang comel, ditadah kedua belah tangannya lalu dijulang ke langit lantas mengemis Cinta dari Sang Pencipta menagih simpati buat kasih insani.
Ibrahim sedar hamba hina sepertinya tidak layak mengemis Cinta yang Maha Esa meski sang Jibrail yang setia tanpa sempadan pun belum mampu memiliki kasih Sang Pencipta.
Di kala itu berlari-lari kecillah Siti Hajar mendaki menuruni bukit Marwa dan Safa mengejar bayangan fatamorgana yang disangka lautan tatkala bayi Ismail meraung mendahagakan air sedangkan susu dari tubuhnya telah kering.
Mujur Sang Pencipta itu punya nama yang Maha Mengasihani.
Korban emosi, kasih dan sayang hamba Ibrahim itu dibalas bawah hentakan kudus tumit bayi Ismail a.s lalu terpancurlah kejernihan sumur air ditengah-tengah padang pasir tandus yang menghapuskan segala kedahagaan.
Ternyata Cinta yang Maha Esa adalah Cinta yang Teragung. Tanpa Rasul utusan itu sedar, kasih Maha Pencipta itu mengatasi segala-galanya. Cahaya CintaNya merentasi kebencian, kegelapan dan bisikan kejahatan.
Maka berkumpullah seluruh bangsa jurhum demi berkongsi Cinta dari sebuah telaga hasil kurnia ilahi berkat hentakan kudus dari tumit kaki bayi Ismail.
Kisah Cinta Ibrahim ini bermula dari hanya seketil rasa kasih dan akhirnya terbina sebuah kota di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang.
Cinta Seni & Pemburuan Makna
Lalu diabadikan cinta Ibrahim, Siti Hajar dan bayi Ismail itu dalam bait-bait puitis yang dicoret oleh bapa kesusasteraan Melayu moden Hamzah Fansuri.
[caption id="attachment_5164" align="alignleft" width="351"]
Hamzah Fansuri[/caption]
Malah diadaptasi pula bait-bait puitis itu dalam sebuah lagu gubahan penyanyi dan komposer tersohor M. Nasir bertajuk “Raikan Cinta” yang pernah menduduki carta teratas lagu popular tanah air suatu ketika dahulu.
Aku juga turut mengalunkan bait-bait lirik lagu tersebut sambil memetik gitar milik rakan serumah tanpa menghayati dengan tepat makna dan maksud yang cuba disampaikan dalam lirik lagu berkenaan.
Namun dalam pada masa yang sama aku mula mengesyaki ada maksud mendalam dalam bait-bait puitis ini, jika tidak takkanlah lirik tersebut dipetik dari karya tersohor Bapa Kesusateraan Melayu Moden seperti Hamzah Fansuri.
Bermula dari saat itu aku mula memburu jawapan kepada setiap persoalan.
Secara perlahan-lahan aku mula menyiasat segala naratif yang ada di sekeliling hidup aku dan mencungkil kebenaran serta kesahihan setiap naratif tersebut.
“Nak, jiwamu mula memberontak dan mindamu sedang melalui proses evolusi” kata seorang pakcik tua yang aku temui di perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam.
Terkejut dengan perubahan tanpa sedar itu, sebenarnya bukan sahaja dilalui oleh aku seorang malah rakan-rakan lain yang mula melakukan pemburuan terhadap kesahihan naratif.
Cinta, Revolusi & Pengorbanan
Revolusi pada awalnya adalah satu istilah yang amat asing tetapi hebat bagi aku. Setiap kali menyebutnya membuat aku rasa teruja tanpa mengerti lebih mendalam bentuk fiziknya.
Mencari kesempurnaan dan menghapuskan pembodohan juga perlukan cinta untuk membina sebuah masyarakat yang progresif. Namun tanpa revolusi sebagai kaedahnya, maka cinta itu hanyalah sia-sia.
Cinta kepada perubahan dan kebebasan untuk membina dunia baru, tanpa menggerakan perubahan itu secara drastik maka kekallah cinta itu sekadar ilusi maya.
Sebab itu ia bukanlah hanya kisah lagenda antara Romeo dan Juliet atau kisah cinta tragik antara Uda dan Dara, maka secara fiziknya ia menuntut suatu pengorbanan.
Lantas ia menjadi satu perkara yang menghantui minda para reformis.
Banyak antara kita cukup petah dan lantang bila memperkatakan tentang perubahan, tetapi apabila diajukan persoalan tentang pengorbanan maka ramai yang mula memberi alasan untuk melarikan diri.
Penyair terkenal W.S Rendra pernah mengungkapkan;
“Andai takut pada risiko usah bicara pasal perjuangan”
Maka risiko itu adalah pengorbanan yang akan dituntut dalam suatu gerakan perubahan. Kerana itu seringkali para revolusioner mengibarkan warna merah sebagai tanda menjadi korban dalam kebangkitan.
Pengorbanan Helah & Pengorbanan Sebenar
Tapi usah disamakan warna merah ini dengan himpunan baju merah tempoh hari kerana bagi aku himpunan itu bukan satu kebangkitan tetapi sekadar mengampu pemerintah.
Janganlah juga disamakan dengan demonstrasi depan Masjid Ubudiah dan Istana Bukit Chandan Kuala Kangsar ketika rampasan kuasa negeri Perak melalui pintu belakang istana suatu masa dahulu.
Ramai telah ditangkap manakala pada sebelah malamnya pula diadakan ceramah di rumah Menteri Besar dan diceritakan betapa mereka yang ditangkap ini adalah wira rakyat dan kutipan derma dibuat untuk wira-wira ini.
Diumumkan malam itu jumlah kutipan derma untuk menjamin semua para tahanan adalah sebanyak RM13 ribu. Tapi sampai hari ini duit tu tak sampai ke tangan para tahanan sebagai wang jaminan.
Kasihan buat rakan-rakan yang telah dijadikan sebagai mangsa ihsan orang ramai untuk mengaut keuntungan maka berhati-hati agar tidak dijadikan alat kepentingan politik orang lain untuk mengaut keuntungan.
Tidak ada makna pengorbanan malah jauh sekali maksud perubahan di situ kerana keseluruhan ia sekadar helah ahli politik untuk mengekalkan kekuasaan dan mengaut keuntungan atas kesengsaraan orang lain.
Sebab itu dalam sejarah kita lihat sendiri dalam merealisasikan cinta maka banyak jiwa yang telah terkorban. Secara psikologinya ia bukanlah satu perkara yang kita ingini namun itulah realiti yang perlu dihadapi.
Justeru bergerak dari kebangkitan revolusi maka korban adalah perkara subjektif bagi para revolusioner.
Maka tidak hairan jika kita lihat pendukung perjuangan radikal progresif seperti Ahmad Boestamam meletakan slogan “merdeka dengan darah” sebagai konsep perjuangan Angkatan Pemuda Insaf (API).
Maka akan datang suara-suara sumbang memperlekehkan dasar perjuangan tersebut lantas mengaitkannya sebagai satu perkara yang ditegah oleh agama.
Larangan Agamawan & Revolusi Murni
Lalu ujian untuk menulenkan lagi cinta Ibrahim tidak terhenti di situ sahaja kerana perjalanan dan proses baru sahaja bergerak pada fasa pertama. Mesej Tuhan belum lagi jelas untuk diungkapkan meskipun dalam kiasan.
Maka Ibrahim a.s diseru sekali lagi untuk membuktikan kesetiaan kepada Maha Pencipta yang mana ia menuntut satu lagi pengorbanan yang amat besar dalam hidupnya.
Kali ini zuriatnya diperintahkan agar disembelih sebagai korban. Buat kali kedua nalurinya sebagai seorang bapa diuji sepenuhnya.
Tatkala perintah dari langit ke-7 mahu dilaksanakan maka muncul suara-suara sumbang Sang Azazel (Iblis) yang telah dilaknat lantas mengaitkan perintah itu dengan percanggahan dalam ajaran agama.
Maka mempersetankan suara-suara kurang siuman yang mengaitkan suatu usaha murni itu dengan percanggahan dalam ajaran agama bukanlah suatu yang janggal kerana Siti Hajar sendiri melakukan dengan jayanya.
Malah Ibrahim a.s sendiri merejam suara-suara “sial” itu dengan batu sehingga ia kekal ke hari ini sebagai ritual ibadah haji yang wajib dijalani setiap muslim yang mengerjakan haji.
Tetapi malangnya ritual ini gagal dimaknai dalam realiti kehidupan sebenar.
Sebab itu sering aku persoalkan dalam menggerakkan perubahan mengapa harus mempedulikan suara-suara sumbang yang mengaitkan segala usaha murni dalam membuat perubahan dengan penegahan dalam agama.
Sebab itu ketika aku menyoal seorang rakan yang mahu menyertai demonstrasi #Bersih4 tentang kenyataan seorang agamawan yang mengatakan bahawa himpunan itu haram di sisi agama maka jawabnya;
“Kalau semuanya salah di sisi agama macam tu tak payahlah Nabi Ibrahim nak turut perintah Tuhan untuk sembelih Nabi Ismail ”
“Kenapa pula? ” Soalku yang inginkan kepastian.
“Sebab kata Iblis apa yang dilakukan oleh Ibrahim a.s tidak pernah diajar oleh mana-mana agama di dunia ini ” Jelas sahabatku dengan jawapan yang mampu buat aku tersenyum.
Penjelasan yang dibuat sahabatku ini menunjukan andai usaha untuk membersihkan kekotoran itu ditegah kononnya atas nama agama maka haram untuk kita untuk menuruti larangan tersebut.
Maka Tuhan pada awalnya telah mensyari’atkan keatas kita untuk mempersetankan apa sahaja larangan agamawan keatas usaha yang murni dan bersih.
Justeru Imam Al-Ghazali telah mengingatkan dalam Ihya Ulumudin bahawa setiap agamawan yang menjejakkan kakinya ke dalam istana maka akan hilanglah cahayanya.
Maka setiap kebangkitan revolusi itu tidak terlepas dari asosiasi pembohongan agama kerana para agamawan itu telah di rantai lehernya oleh kuasa-kuasa politik kecuali mereka yang cekal untuk bangkit menentangnya.
Pengorbanan Untuk Menegakkan Keadilan
Maka bangkit perlawanan untuk menegakan keadilan, kebebasan dan menuntut hak. Paling penting sekali adalah membina sebuah ketamadunan yang bebas dari parasit pembodohan.
Sudah pasti ia pertarungan yang amat sengit yang akan mengorbankan banyak jiwa. Banyak lulusan agama tempatan enggan mengakui keabsahan naratif ini sebab motif pengorbanan Ibrahim a.s gagal difahami dengan jelas.
Bagi aku ia tidak pelik kerana sang Jibrail juga mempertikaikan hal yang sama khususnya tentang pergorbanan dan pertumpahan darah.
Namun begitu apabila aku meneliti babak akhir kisah korban Ibrahim dan Ismail maka pasti ramai yang akan mendakwa berlaku satu keajaiban.
Di saat yang sepatutnya Ismail a.s dikorbankan, diturunkan seekor kibas lantas Ismail bukanlah korban yang sebenar kerana bagi aku itu bukan satu keajaiban tetapi anugerah.
Lantas di sebalik korban itu maka Tuhan mengajarkan hamba bahawa di dalam hidup ini korban adalah suatu perkara yang subjektif dalam menggembleng sebuah perjuangan.
Tertumpahnya darah merah itu ke bumi demi menuntut sebuah keadilan dan perubahan, biarpun ia perit untuk diterima. Sesetengah bangsa di dunia melihat pengorbanan itu satu kemuliaan.
Ia seperti ibarat membelah dan mengupas sebiji durian yang memiliki kulit berduri tajam. Sudah pasti duri-duri itu melukai tangan yang mengupasnya.
Tetapi andai kulitnya yang berduri tajam berjaya dikupas maka akan kita menikmati betapa lembut dan manisnya isi durian tersebut.
Penghayatan Maksud Korban Yang Hilang
Maka sebelum kemanisan itu dikecapi ia harus melalui proses yang amat perit. Paling pasti ia menuntut nilai korban yang besar sebagai sebuah ganjaran yang harus dibayar untuk sebuah kejayaan.
Maka korban itu perlu untuk meraih kejayaan dalam suatu kebangkitan atau perjuangan. Tanpa pengorbanan takkan ada apa-apa kejayaaan.
Korban adalah harga sebuah revolusi. Korban menjadi pertukaran penting untuk sebuah perubahan dalam hidup.
Apa yang aku kesalkan ialah ibadah korban ini hanya sekadar syarat ritual sebagai muslim setiap kali tiba Aidil Adha tanpa setiap dari kita mengerti dan mempraktikkan maksud korban dalam revolusi hidup sebenar.
Maka mesej Tuhan dalam kisah pengorbanan Ibrahim dan Ismail gagal diterjemahkan dalam hidup manusia
Setiap kali itu juga aku sering teringat kata-kata Sam Witwicky (lakonan Shia Saide LaBeouf) dalam filem Transformers mengungkapkan slogan moyangnya Kapten Archibald Witwicky iaitu;
“No Sacrifice, No Victory” (Tiada kejayaan tanpa pengorbanan)
Salam Aidil Adha buat semua, aku menyusun sepuluh jari memohon ampun maaf zahir dan batin.
*Lee SlimShady adalah bekas aktivis #OccupyDataran yang beriman kepada perjuangan radikal progresif jalanraya.
Projek Dialog di Freedom Film Fest – Filem Apa?
Dialog Melalui Haluan Media Popular
Secara umumnya media popular dilihat sebagai sarana penyebaran maklumat kepada seluruh massa. Ia juga dapat digunakan sebagai landasan kepada beberapa pihak untuk menganalisa sesuatu masalah.
Ia dengan penuh harapan merasakan bahawa medium tersebut mampu mempertingkatkan kesedaran kepada orang awam.
Permasalahan yang diutarakan itu semestinya harus berputar fenomena yang berkait rapat dengan konteks tempatan dan bagaimana ia mempengaruhi kehidupan kita secara tidak sedar.
Menurut pendapat saya, inilah yang jarang benar dilakukan oleh kita semua.
Kalau bukan para akademik ataupun para pemikir yang melaksanakan usaha seperti ini, tidak selalunya timbul inisiatif untuk mengutarakan sesuatu masalah dengan analisis yang jelas tentang apa yang berlaku pada zaman ini.
Projek Dialog selaku landasan yang menganjurkan dialog sesama rakyat turut berusaha untuk melakukan inisiatif penyebaran maklumat menggunakan media popular.
Projek Dialog untuk tahun ini turut terlibat menghasilkan dua karya yang bakal ditayangkan di Freedom Film Fest di PJ Live Arts Centre, Jaya One.
Freedom Film Fest merupakan festival filem terulung di Malaysia yang menggunakan teknologi media sebagai salah satu sarana untuk menekankan aspek demokrasi dan menyarankan penggunaannya di kalangan para aktivis.
Gabungan antara visual, tekstual, dan juga bunyi lebih memberikan impak yang besar, diikuti dengan perbincangan yang memberangsangkan mengenai setiap masalah yang dipaparkan.
Filem yang ditayangkan pula merupakan dokumentari yang jarang benar didanai oleh industri perfileman, sedangkan filem-filem inilah yang benar-benar mengutarakan masalah realiti sosial yang dihadapi oleh kita semua.
Dengan ini mari kita memperkenalkan karya dokumentari yang turut dihasilkan oleh pihak Projek Dialog iaitu Viral,Sial! dan juga Dialog dengan Dendi.
“Viral,Sial!” oleh David Buri
Filem ini berdasarkan fenomena beberapa bulan lalu sewaktu BFM Kupas menayangkan satu episod yang bertajuk “Hudud: Isi Periuk Nasi”.
Pada waktu itu pengacara utamanya, Edry Faisal tidak dapat muncul kerana beliau menjadi sukarelawan di Kelantan. Langsung dia digantikan oleh pengacara wanita, Aisyah Tajuddin.
Nah, bermula dari situlah jelas terlihat isu kebebasan menyatakan pendapat ternyata langsung tidak dapat dipraktikkan dengan sihat tanpa digugat ancaman yang kini sudah tiba pada tahap yang membahayakan.
Seluruh Malaysia termasuklah media arus perdana turut memberi liputan mengenai hal ini. Tidak lupa juga kepada pihak-pihak penguasa yang turun padang menyatakan pendapat mereka mengenai video ini.
Jadi apakah persoalan-persoalan yang timbul dari filem dokumentari ini?
Pertama, adakah fenomena kecaman ini disebabkan oleh gender Aisyah Tajuddin dan kelantangan beliau mempersoalkan isu ini menggunakan medium internet?
Harus juga kita ingatkan bahawa keberanian beliau untuk berdiri di hadapan kamera dan menyindir keutamaan ahli politik PAS tentang hudud adalah sesuatu yang jarang kita lihat di negara ini.
Sedangkan para lelaki sendiri tidak berani untuk menyatakan pendapat mereka di khalayak awam, sebaliknya sibuk berbicara di kedai kopi tanpa apa-apa risiko.
Jika difikirkan lagi, adakah sekiranya ia dilakukan oleh seorang lelaki, maka tingkat kecamannya pasti berbeza? Dan sehubungan dengan itu, adakah agama masih lagi dibawah jagaan pimpinan lelaki?
Bilamana seorang perempuan mula mempersoalkannya, segala struktur sosial mulai tergugat dan tidak lagi menunjukkan piawaian ketakwaan yang seharusnya?
Persoalan inilah yang saya rasakan bakal dikupas. Wujudkah suatu analisa yang mampu menerangkan masalah ini dengan jelas?
Adakah ini semuanya bakal berakhir kepada persoalan kuasa untuk menyebarkan wacana ataupun kesedaran yang selama ini dikuasai oleh golongan lelaki?
Dan lebih teruk lagi, bagaimana pula dengan ruang bagi kita semua untuk menyatakan pendapat?
Adakah negara kita semakin lama semakin dihakis kebebasannya untuk bersuara, sebaliknya bakal digantikan suatu sistem autoritarian yang bakal membungkam kesemua suara yang menentang keadaan sistem sedia ada?
Fenomena ini merupakan sesuatu yang harus difikirkan, kerana beliau secara jelas diugut secara tidak adil.
Hanya kerana seorang wanita dari golongan rakyat biasa memberi pendapat, lalu hampir seluruh rakyat negara mengecamnya.
“Dialog dengan Dendi” oleh Badrul Hisham Ismail
“Dia sudah tak betah duduk di bandar. Bandar yang penuh gelisah. Yang tak kenal manusia dan kemanusiaan, hanya kenal urusan.”
Bagi penduduk kota, persoalan mengenai isu kemodenan dan hiruk pikuk kota adalah realiti yang tidak dapat kita nafikan.
Kelelahan kehidupan adalah sesuatu yang sering dipendam, maka bermula dari situ ada yang mulai mencari jalan keluar. Jalan eskapisme yang mampu mengalihkan pandangan kita jauh dari realiti kota di depan mata.
Filem ini adalah karya yang mengutarakan persoalan mengenai alternatif cara hidup yang meraikan kewujudan manusia.
Di mana pilihan manusia itu tidak lagi dibataskan di ruang-ruang kota, sebaliknya jauh ke dalam kawasan pedalaman hutan.
Ini merupakan persoalan eksistensial, mengikut kata-kata orang muda di kala ini.
Jika tiada yang berbalik atau berselindung di sebalik harapan ataupun ilusi, manusia kota secara amnya mulai hilang arah dan tidak lagi mampu menerima hikmah yang ditawarkan oleh citra kemodenan.
Kesinambungan mekanisme kehidupan di sini pastinya pada suatu masa akan melahirkan suatu persoalan.
Mengapa kita masih melangsungkan kehidupan yang nyata bercanggah dengan naluri kita sebagai manusia? Mengapa manusia di sekeliling kita masih lagi melangsungkan kehidupan mereka tanpa keluhan yang ketara?
Filem ini merupakan hasil kerjasama antara Projek Dialog dan juga Rhu Graha.
Ia menceritakan tentang Ehsan, seorang warga kota yang sudah serik dengan kehidupan kota. Beliau bertemu dengan Dendi, seorang Temiar dan membuat keputusan untuk melawatnya di kawasan pedalaman hutan.
Di situ beliau mulai merenung kembali keberadaan dirinya di kota dan di tempat tinggal Dendi, dan bagaimana perbandingannya berjaya memberikan sudut pandang yang baru terhadap kehidupan beliau.
Apakah tidak ada langsung intipati budaya orang asli yang boleh diambil dan dipelajari untuk kita semua?
Orang asli yang melangsungkan kehidupan berdasarkan agama animisme dapat juga dilihat sebagai agama yang memberi keutamaan kepada alam semula jadi dunia ini.
Mereka tidak sesekali merasakan bahawa alam adalah sumber yang seharusnya diguna pakai untuk kepentingan manusia sesuka hati.
Sebaliknya mereka dengan penuh hormat merasakan kehidupan kita secara biologikal turut juga dipengaruhi oleh keberlangsungan kehidupan alam di sekeliling kita.
Melalui filem ini kita ditawarkan dengan sudut pandang yang berlainan. Ia mempersoalkan keutamaan kita terhadap dunia moden yang tidak lagi mampu memberikan ketenangan dalam kegelisahan kehidupan di kota.
Gambaran Keseluruhan
Secara amnya, kedua-dua filem ini memberikan keutamaan kepada dua perkara.
Pertama, ia mempersoalkan ruang kebebasan kita sebagai rakyat biasa untuk menyatakan pendapat tanpa dibungkam oleh pihak berkuasa.
Ia juga mempersoalkan kecaman zalim oleh para pengguna media sosial yang secara jelasnya begitu berani menyatakan sifat binatang yang mungkin pada bila-bila masa sahaja mampu dilepaskan begitu sahaja.
Ini adalah kondisi psikologikal yang masih belum diterokai dengan jelas, dan punca-puncanya juga masih belum dicari jawapannya.
Secara tidak langsung ia membentuk haluan kepada kita semua untuk terus memikirkan nilai-nilai yang sebenarnya mendominasi wacana negara kita.
Adakah kita diselubungi ketakutan yang melampau atau kekuatan yang nyata untuk menjangkaui keadaan kemunduran negara yang membangun?
Kedua, ia mempersoalkan citra kemodenan yang telah dimulakan oleh arus globalisasi dunia Barat.
Adakah kesinambungan zaman industri benar-benar menghasilkan keadaan yang bagus? Atau adakah ia benar-benar tempang, hanya memberi keutamaan kepada kebolehan dan pengumpulan nilai material semata-mata?
Memang benar persoalan-persoalan seperti ini boleh sahaja dikatakan sebagai suatu klise jika hanya diselitkan dengan retorik tanpa apa-apa bimbingan.
Tetapi melalui penggunaan medium popular, yang turut memaparkan aspek realiti sosial yang nyata, kita dapat mewujudkan rasa empati yang jelas.
Ini bukti bagaimana impak visual berjaya menyampaikan suatu intipati yang menjangkaui batas syarahan, yang selalu sahaja tidak dapat menembusi benak hati-hati manusia.
Dengan ini Projek Dialog mengharapkan bahawa dialog tidak hanya berlaku di ruang fizikal, perbualan antara beberapa sosok individu, tetapi juga melalui karya-karya filem yang mempamerkan isu-isu penting yang perlu difikirkan oleh kita semua.
Dikarang oleh Johan Zolhaidi
Baju Merah: Anti Bersih atau Undur Najib?
Oleh Lee Slimshady
Sejarah Baju Merah
Kumpulan baju merah yang pertama seingat aku muncul ketika himpunan Bersih 2.0 yang dipimpin oleh Khairy Jamaludin dan Reezal Merican di Bukit Bintang.
Kemunculan terawal kumpulan baju merah ini menggunakan patriot di Bukit Bintang bertujuan untuk menyatakan bantahan terhadap himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011.
Ketika itu penggerak himpunan kumpulan baju merah seperti Khairy Jamaludin dan Reezal Merican adalah antara individu yang dilarang masuk ke Kuala Lumpur. Kedua-duanya ditahan polis pada hari berkenaan.
Salah satu puak yang menyertai kumpulan baju merah adalah dari kelompok Pertubuhan Perkasa yang merancang sebuah perhimpunan bertujuan sama.
Perkasa juga dikatakan akan mengadakan perhimpunan pada hari itu dan bersedia menghadapi segala kemungkinan dan akan turun ke jalan untuk berarak jika Bersih 2.0 tidak membatalkan hasrat mereka.
Presiden kumpulan itu, Ibrahim Ali dan timbalannya langsung tidak kelihatan pada 9 Julai 2011 malah tiada seorang pun dari kumpulan itu hadir untuk berhimpun pada hari tersebut.
Namun beberapa minggu sebelum perhimpunan #Bersih4 kumpulan Baju Merah ini muncul semula berkumpul di hadapan pusat membeli-belah Sogo atas tujuan yang sama.
Kali ini kumpulan baju merah bukan sekadar membantah perhimpunan #Bersih4 malah memperagakan pertunjukan seni bela diri dan beberapa aksi akrobatik seperti balik kuang.
Perhimpunan pada hari Selasa itu, mendapat perhatian selepas video menunjukkan peserta memaparkan pelbagai aksi lasak termasuk memukul kepala dengan kayu sehingga patah, selain aksi memecahkan atap genting dengan kepala.
Dilaporkan bahawa kumpulan baju merah akan berlatih dengan parang untuk mempertahankan dirinya dalam perhimpunan tersebut.
Sama ada ia sebagai intimidasi kepada bakal peserta #Bersih4 atau lagak aksi sekadar mempamerkan kehebatan diri aku sendiri pun tidak pasti.
Pengkritik Berubah Menjadi Penyokong Bersih?
Namun menjelang himpunan #Bersih4 pihak yang sering mengkritik Bersih tiba-tiba sahaja mengeluarkan kenyataan membenarkan ahli-ahlinya menyertai perhimpunan itu.
Kenyataan Presiden Perkasa Ibrahim Ali dilihat bercanggah dengan pendiriannya sebelum ini yang melihat himpunan Bersih sebagai apa yang didakwanya menganggu keamanan.
Pada kali ini Ibrahim Ali memberi kebenaran kepada mana-mana ahli Perkasa yang mahu menyertai Bersih. Bagi aku nada Ibrahim Ali dan Perkasa kali ini telah berubah.
Aku mula mengesyaki seperti ada sesuatu yang tidak kena kerana andai Ibrahim Ali membenarkannya, dia hanya perlu berdiam diri tidak perlu menyatakannya, kerana ia hak setiap rakyat termasuk ahli Perkasa untuk berhimpun.
Namun kali ini nada Ibrahim Ali bagai mengisyaratkan bahawa dia bakal mengubah haluannya mengikut agenda yang telah direncanakan, jika tidak “masakan tempua bersarang rendah”.
Paling mengejutkan ketika berlangsung himpunan #Bersih4, orang yang pernah mengkritik himpunan dan pernah menegah anak perempuan sulungnya dari mendekati Bersih tiba-tiba muncul di tengah-tengah para demonstran.
Keadaan yang perlahan-lahan tenang di sekitar Dataran Merdeka tiba-tiba bertukar kecoh apabila orang ramai mula menyedari kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Ali.
Tun Mahathir dilihat muncul dalam himpunan #Bersih4 dilihat bersalaman dengan para demonstran “Teruskan, teruskan,” katanya kepada orang ramai yang berkumpul dan berebut-rebut mahu bersalaman dengan beliau.
Tun Mahathir membuat penampilan sebanyak 2 kali dalam perhimpunan #Bersih yang mana beliau hadir sekali lagi pada keesokan harinya.
Rona Merah Bercanggah?
Justeru itu telah menguatkan lagi syak wasangka bahawa kewujudan puak kumpulan baju merah memang ada di dalam perhimpunan tersebut cuma terlindung disebalik baju kuning bersih.
Manakala dua hari lepas ketika ketibaan Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali disambut oleh kira-kira 100 orang para penyokongnya.
Mereka terdiri daripada ahli PERKASA dan kumpulan yang memakai baju merah muncul dan pada baju mereka tertera perkataan “undur Najib” .
Di sini aku mula melihat wujud 2 kumpulan baju merah dengan tujuan dan agenda yang berbeza. Aku mula mengesyaki kedua-dua kumpulan baju merah ini mula berkonfrantasi kerana percanggahan matlamat dan agenda.
Oleh itu bagaimana pula himpunan yang bakal di adakan pada 16 September nanti dan apa pula tuntutan yang jelas dari kumpulan baju merah ini?
Adakah mereka menuntut untuk menolak perhimpunan #Bersih4 atau mendesak pengunduran Najib dari jawatan Perdana Menteri?
Kita tunggu dan lihat.
*Lee SlimShady adalah bekas aktivis #OccupyDataran dan percaya kepada konsep perjuangan di jalanan.
Solidariti Bersama Rumah Api!
Do-It-Yourself untuk menyalurkan kemarahan dengan positif dalam menolak pengkomersialan syarikat korporat. Rumah Api turut bersetiakawan bersama-sama komuniti “nomad”, “squatters” serta masyarakat di pinggiran justeru menjadikan Rumah Api sebagai ruang untuk didengar dan dihargai. Rumah Api sentiasa membuka pintu untuk kelompok sub-budaya, aktivis-aktivis dan organisasi-organisasi lain untuk perjumpaan, kerja bengkel, forum, “benefit” dan sebagainya. Rumah Api turut terlibat menyediakan ruang dan sumber-sumber lain untuk Food Not Bombs. (alih bahasa dari http://rumahapi.weebly.com/about.html). Berikut merupakan rentetan serbuan Rumah Api :- 1. Pada 28-8-2015, Jumaat, sekitar jam 11 malam, satu serbuan oleh pihak polis telah dilakukan ketika gig sedang berlangsung di Rumah Api. 2. Dalam serbuan tersebut, seramai 120 (±) orang yang telah ditahan. 3. Tanpa memaklumkan sebab, penahanan telah dilakukan. 4. Mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk siasatan. 5. Setelah semalaman penahanan mereka, akhirnya pihak polis mendedahkan bahawa mereka ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 6 Akta Hiburan, Seksyen 4(1) (b) Akta Hasutan dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan. 6. Permohonan mereka untuk mendapatkan khidmat guaman tidak dipedulikan oleh pihak polis sedangkan setiap individu yang ditahan mempunyai hak terhadap akses khidmat guaman. 7. Mereka telah dibawa ke hadapan majistret untuk permohonan reman. Majistret telah membenarkan tempoh reman selama 4 hari terhadap dua tahanan lain dan 3 hari kepada teman-teman yang lain bermula dari 28-8-2015. 8. Antara 120 (±) orang tersebut, terdapat beberapa teman luar negara termasuklah dari Indonesia, Filipina, Amerika Syarikat, Jerman dan Sepanyol. 9. 19 orang tersebut dibawa ke Balai Polis Hulu Kelang manakala teman-teman wanita Rumah Api pula dibawa ke Balai Polis Pandan Indah. 10. Seorang teman telah dibebaskan pada 29-8-2015 atas sebab kesihatan. 11. Teman-teman selebihnya dibebaskan pada tengah hari 31-8-2015. Mon, teman dari Filipina dibebaskan pada 1-9-2015. Bubu, teman dari Indonesia baru sahaja dibebaskan pada 2-9-2015 setelah tahanan remannya dipanjangkan selama 3 hari atas alasan masalah imigresen. 12. Kami dimaklumkan, sewaktu dalam tahanan, ada teman-teman wanita telah dilayan dengan tidak wajar. Mereka hanya dibenarkan menukar tuala wanita di hadapan pegawai polis sebanyak 3 kali sehari sahaja. 13. Bagi teman-teman dari Filipina dan Indonesia pula, mereka tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan pelawat. Hanya wakil dari kedutaan masing-masing sahaja yang dibenarkan. Di dalam melihat rentetan peristiwa yang berlaku sejak 28-8-2015, terdapat beberapa kepincangan dalam Tatacara Pengendalian Piawai (‘SOP’) pihak polis menggunakan kuasa secara sembarangan. Penggunaan kuasa secara semberono ini cukup jelas apabila pihak polis tidak mendedahkan sebab serbuan dan penahanan. Selain itu, proses untuk mendapatkan akses khidmat guaman juga telah dilambatkan serta layanan yang tidak adil kepada beberapa teman-teman yang ditahan. Masalah visa dan rekod imigresen yang digunakan pihak polis sebagai alasan untuk memanjangkan tempoh tahanan reman teman-teman dari Filipina dan Indonesia juga sangat meragukan. Penambahan 3 hari untuk tempoh reman terhadap teman dari Indonesia menambahkan lagi keraguan. Tidakkah 3 hari terlalu lama untuk menyelesaikan masalah-masalah tersebut? Penggunaan Seksyen 4(1) (b) Akta Hasutan terhadap teman-teman juga merupakan penyalahgunaan undang-undang yang drakonian terhadap rakyat, sekaligus ianya membuka risiko kepada penyalahgunaan undang-undang oleh pihak polis terhadap individu mahupun mana-mana pergerakan untuk didakwa dengan akta lapuk. Tindakan pihak polis dalam serbuan dan penahanan ini sekaligus bertentangan dengan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (The Universal Declaration of Human Rights). Ini adalah prejudis pihak polis terhadap imej ruang komuniti termasuk sub-budaya dan muzik. Akhir sekali, solidariti teman-teman Rumah Api ini turut disampaikan buat mereka yang berterusan dalam menggerakkan ruang-ruang autonomi dalam proses pemberdayaan masyarakat menolak ketidakadilan serta kekejaman aparat penguasa. Pernyataan ini disokong oleh: #tahukahkome 265 distro 321 go! Distro Advocates of the Propagation of Science Literacy Angkara AKAJITA Ankbktnoisescape Ansara ANTIFA Terengganu Attack to the Front Azmi Sharom Azrul Mohd Khalib Basic Right Black River City Skinhead Backroom Council Bad Idea BareXHand Benzoate Besut Skinhead Black Demons Bobbie Jaggae Books & Destroy Bukit Beruang Disorderly Buku Jalanan Bandar Melaka Buku Jalanan Dungun Buku Jalanan Embayu Buku Jalanan Ipoh Buku Jalanan Kota Bharu Buku Jalanan Kota Kinabalu Buku Jalanan Klang Buku Jalanan Labuan Buku Jalanan Machang Buku Jalanan Shah Alam Buku Jalanan Temerloh Buku Jalanan Titi Cah’Jinggos Centre for Independent Journalism Chronic Mass Classwar Cookies Street Cookery Darkroom Studio Deleted Books Press DEMO UNTUK RAKYAT Dendang Kampungan Dendo Records DERITAxTERUS Distaste Dorian Wilde Dum Dum Tak Embrace Hall Faisal Tehrani Falsafah Kedai Kopi Far Haus Cafe Fazleena & The Lasykar FCSP Selangor Section foxhole records Frinjan Gang DTSC Geng Kotak Gerakan Hapus Akta Hasutan Glasswar Greg Lopez Guerilla Gardening Malaysia GTHC Hellexist HausKultur Project Hidden Motives Highland Workers Union Hitcock Human First Collective Ineza Roussille Ivy Josiah Jasmine and Sun John McBaren KaryaRaya Resource Kedai Anak Merdeka Kelab Bangsar Utama Keep the Faith keladak Keningau Skinhead Crew KerbauWorks Studio KLHC Kolektif Anak Muda Insaf (KAMI) Kotakata Knowledge and Rights with Young People through Safer Spaces (KRYSS) Kuala Berang Under Lake Kuantan East Side Crew Kuantan Palm City Hardcore Kumpulan Sasterawan Kavyan Kolektif Sarata Kolektif Taring Padi Kratom City Hardcore Kolektif suara kita (KOSUKA) Komisariat Demokrasi KuBu La Letrice LANGGARxLARI Lawyers for Liberty Lee SlimShady Liberal Liberalis Lion City Hardcore Lyana Khairuddin Magic Borneo Beads maimuna merican Makassar Crew Malacca City Hardcore Malacca Lakhanat Skinheads Crew Manusia Stereotypical Marina Mahathir Matt Hamzah Memoir Distro Moncino Punk Mosh Zine Muzzamer Rahman My Ladybugs Chenta Robot Froggie Nadira Ilana Nerve Records Nervhous records Network Of Solidarity Collective Nik Salim dan Saing-Saing Nine noisemongers records North-South Initiative Nyaring Records Oh My Perlis Oi! On Business Old Silver Army Syndicate Orchid std hall Ori Streets Gear Orkes Rakyat Tertindas Osmantikus Ovethrown Pangrok Sulap Parti Sosialis Malaysia Pascatorama Media Patin Rock City Pesakid Plague of Happiness Positive X Youth Poskod.my Puchong Wolfpack Pulling T Plumbum Street Crew Pooks Records And Distribution Projek Dialog Projek Tikus Bandar PUNCA Pusat Sekitar Seni Pustaka kolektif Rawang Region Skinhead Reason to Resist Redrum Region of Love REPULSIVE REGURGITATION ZINE Royal Rebel Kidz Rumah Bayang Rumah Natang School of Acting Justly, Lovingly Tenderly, Treading Humbly scumbag kids Seismic Sekolah Aktivisme Sekolah Demokrasi Sekolah Falsafah Serikat Mahasiswa Sharon Chin Sheiko Reto Sidexkick Silver State United Skinhead Sinopsis Sisterhood Hooligan Sisters in Islam SixTNineth St Slapjaw Soul Savior Sunshine Honey and the Penis Vibrator Steak Daging Kacang Ijo Stick No Bill Street Boundaries Street83Clothing Street Soldier Strength Thru SUARAM Sudut Kiri Sweet Nightmare Skateboard Taufiq Ali Tanpa Nama The BangsArt The Korok The Maniacs The Nationhead Teori Timur The RiceCooker Archive The Wall Titah Tanji Tools of the Trade Turtles Revolt twt_indie UndiMsia! Universiti Kaki Lima Universiti Terbuka Anak Muda Uthaya Sankar SB Urchins Bovverbrigade Wak Kundang Wasted Youth KB Wild Dogs Brigade Workers Junior Stuff Writers Alliance for Media Independence Wroteoff Yee I-Lann Youth Blast Records Zedeck Siew Zine Satu Malam Pernyataan solidariti ini dikarang oleh Buku Jalanan Shah Alam.
]]>Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang: Satu Ulasan
Oleh Sharifah Nursyahidah
Saat saya mengamati semula suasana sekolah yang telah saya tinggalkan lapan tahun lepas untuk membandingkan dengan apa yang ada sekarang, barangkali tiada bezanya.
Saya merasakan sekolah itu tetap sama, tidak lebih dari sebuah institusi yang memaksakan manusia.
Bahkan, saya kira loceng dan pagar yang mengelilingi kawasan sekolah sebagai simbol pemenjaraan, kerana ia begitu tekun mengatur pelajar-pelajar untuk akur kepada arahan.
Mungkin kelainannya adalah sebelum memasuki penjara sebenar, individu-individu perlu disabitkan bersalah, namun di sekolah para pelajar telah dibentuk untuk menjadi pesalah kepada kehidupan mereka sendiri.
Saya tidak bermaksud untuk merendahkan institusi sekolah, namun hal-hal tentang proses persekolahan tidak ada debat, kritik dan gugatan sehingga lebih mengarah kepada dehumanisasi.
Ini jelas ketara, sebagaimana yang dibahaskan dalam buku yang ditulis oleh Zul Fikri Zamir, “Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang”.
Isu Utama dalam Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang
Buku ini mengandungi pelbagai bahagian, satu himpunan tulisan beliau di bermacam media seperti di The Malaysian Insider dan Projek Dialog.
Kalau diperhatikan, tulisan-tulisan beliau ada yang usianya sudah dua tiga tahun yang lepas namun isu-isunya masih segar kerana inilah hakikat yang sedang berlaku di negara kita, khususnya kepada anak-anak muda kita.
Saya tertarik apabila beliau memulakan buku ini dengan mengambil kata-kata Pramoedya Ananta Toer, “apalah guna sekolah-sekolah didirikan; kalau tak dapat mengajar mana yang benar, dan mana yang tidak…”.
Beliau mengakhiri buku ini dengan bab Kritik Teater. Mungkin ada yang tertanya mengapa soal seni dan sastera diselitkan sekali dalam buku yang tajuknya cenderung kepada pendidikan.
Maka telahan saya, tema sebenar buku ini bukanlah semata-mata pendidikan yang mengongkong, namun konteks yang lebih luas seputar permasalahan politik, ekonomi dan sosial melalui perkaitannya dengan persoalan kelas, budaya, etika dan macam-macam lagi.
Ringkasnya, beliau cuba untuk menerangkan hegemoni, penindasan dan dominasi sebagaimana yang diketengahkan oleh Gramsci.
Ini kerana saya perhatikan peraturan dan dasar yang ditekankan oleh State (negara) banyak mendasari tulisan beliau, seolah-olah beliau berpendapat bahawa ianya satu ketidakadilan kepada masyarakat, khususnya AUKU dan HEP.
Ia banyak kali diulang dalam tulisan beliau, kerana realitinya dasar-dasar ini melibatkan anak-anak muda yang telah menyebabkan mereka menjadi tidak luwes dan tiada daya memainkan peranan dalam hal-hal masyarakat.
Dalam perkara ini, saya bersetuju dengan beliau. Ini kerana anak-anak muda adalah suara rakyat, terutamanya mahasiswa kerana mereka adalah cerminan dan perwakilan rakyat.
Ilmu yang mereka miliki seharusnya berupaya untuk menentang apa-apa penganiayaan oleh para penguasa.
Satu kesia-siaan sekiranya mahasiswa hanya duduk dalam kelas belajar semata-mata untuk menjawab soalan peperiksaan tanpa mempraktikkan ilmu-ilmu tersebut di luar kampus.
Maka, tidak akan ada proses perkembangan diri di sini. Mereka hanya menerima tanpa mengamal.
We Don’t Need No Thought Control
Melewati keseluruhan buku ini, saya berterusan teringat petikan lirik lagu Pink Floyd – Another Brick in the Wall:
“We don’t need no education, We don’t need no thought control, No dark sarcasm in the classroom, Teachers leave them kids alone, Hey teacher leave them kids alone, All in all it’s just another brick in the wall, All in all you’re just another brick in the wall…”.
[“Kita tak perlu pendidikan, Kita tak perlu pengawasan fikiran, Tiada sindiran gelap di kelas, Guru biarkan saja murid-murid itu, Hai guru biarkan saja murid-murid itu, Semua ini hanya satu lagi batu-bata di dinding, Sebenarnya kau hanya satu batu-bata di dinding”]
Saya meyakini bahawa hakikat tujuan pendidikan adalah untuk membangun diri sendiri tanpa dikawal mahupun dikongkong oleh mana-mana pihak.
Adam Adli, Safwan Anang, Bawani dan lain-lain merupakan contoh individu yang berjaya melepaskan dan membebaskan diri dari sistem pendidikan yang membelenggu.
Benar, mereka hanyalah sebuah sosok. Pandangan mereka mungkin tidak mewakili rata-rata segmen masyarakat kita yang masih lagi kebiasaan “apa” dan bukannya “kenapa”.
Namun begitu mereka berhasil melontarkan sikap dan tindakan yang dipercayai benar dengan sendirinya tanpa menurut membabi buta.
Ini kerana pendidikan seharusnya bersifat membebaskan.
Ia berperanan besar untuk membentuk peribadi, pemikiran dan perilaku manusia supaya memahami dan dapat bertindak balas terhadap isu-isu sekitar nilai sejati kemanusiaan yang harus dipelihara.
Walau bagaimanapun, sebaliknya pula yang berlaku kerana ia cuma melahirkan produk-produk yang menjadi ‘pengikut buta’ ataupun ‘pak turut’.
Lebih-lebih lagi dengan campur tangan politik para penguasa di sekolah serta universiti yang mengganggu keharmonian dan makna sebenar pendidikan.
Sekiranya dibuat kajian, pasti ramai yang menyatakan perasaan tidak senang tentang institusi pendidikan yang telah merenggut kebebasan fikiran mereka.
Namun berbalik kepada soal AUKU tadi, saya juga percaya bahawa sebahagian besar mahasiswa kita langsung tidak pernah membaca keseluruhan isi undang-undang tersebut, sama ada mereka menyokong mahupun menentangnya.
Sastera: Kelas kedua?
Dalam bab Pendidikan Nasional, penulis turut menyatakan “keanehan” pengasingan murid kepada sistem berdasarkan sains dan sastera di sekolah.
Kelas Sains terhad kepada murid-murid pandai sahaja, sementara kelas sastera khusus kepada mereka yang bukan dalam kategori tersebut.
Maka secara tidak langsung, mereka telah diletakkan dalam kelas kedua, ketika layanan yang lebih baik diberikan kepada pelajar-pelajar sains. Mereka dilihat eksklusif berbanding dengan pelajar yang mengambil sastera.
Pernyataan Zul Fikri Zamir ini bukan omong-omong kosong.
Saya teringat pengalaman saya dahulu seusainya keputusan peperiksaan PMR. Saya ingin memohon kelas sastera kerana minat saya yang amat dalam bidang itu.
Walau bagaimanapun, ada guru di sekolah saya yang menegur dan menyuruh saya memohon kelas sains, dengan alasan bahawa tiada apa-apa yang dapat diperoleh di kelas kedua itu. Saya hairan, bukankah sastera juga ilmu?
Apakah sekolah memang didirikan untuk tujuan peperiksaan dan industri kerja semata-mata, bukannya makna ilmu itu sendiri yang bermatlamat memberikan pencerahan?
Lantaran saya yang ketika itu lurus sangat, saya akur kepada keputusan guru saya, bukannya saya.
Sejarah dan Kebenaran
‘Sejarah ditulis oleh mereka yang menang‘.
Kata-kata sinis ini menggambarkan keadaan sejarah yang ditulis cuma dari satu perspektif sahaja, tanpa menimbang keseluruhan cerita ataupun peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu lampau.
Lebih-lebih lagi apabila penulisan tersebut hanya menyebelahi golongan yang memiliki kuasa semata-mata.
Mereka hanya menceritakan hal yang baik-baik sahaja tentang mereka, memanipulasi fakta-fakta yang ada supaya rakyat terus mempercayai kemegahan yang dibuat-buat oleh mereka.
Nah, perkara ini saya kesan dalam tulisan penulis apabila beberapa kali beliau menulis tentang “55 tahun Malaysia merdeka”.
Zul Fikri Zamir menulis tentang institusi pendidikan yang tenat namun dalam tidak sedar, beliau turut masih terperangkap dalam sejarah yang tidak jujur ini.
Pernyataan ini tidak betul sebenarnya kerana kemerdekaan 31 Ogos 1957 hanya untuk Tanah Melayu sahaja, manakala Sabah atau Borneo Utara ketika itu mendapat kemerdekaan dari British pada 31 Ogos 1963.
Hanya selama 2 minggu Sabah berdiri sebagai sebuah negara kerana penyatuan bersama Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963 telah membentuk sebuah negara yang baru, yakni Malaysia.
Seusainya saya meneliti buku ini, saya rasa puas kerana ia membuatkan saya rasa terkesan. Saya kira buku ini harus dibaca oleh semua, khususnya bakal pendidik dan pendidik.
Saya begitu kagum dengan gerakan Teach For the Needs yang dipelopori oleh penulis sendiri dan rakan-rakannya.
Saya percaya ia satu-satunya gerakan di negara ini yang dekat dengan saranan pedagogi kaum tertindas yang dibawa oleh Freire.
Saya berharap ia dapat diluaskan lagi kepada lingkungan anak-anak gelandangan, petani, nelayan atau sesiapa sahaja yang tidak mempunyai ruang dan peluang menghadiri sekolah.
Ia tidak harus dibataskan kepada para murid yang kurang berkemampuan menghadiri kelas tusyen sahaja kerana ‘needs’ (keperluan) yang sebenar harus dapat dimaknai sebetul-betulnya.
Inilah kebenaran pendidikan. Untuk semua.
Bak kata John F. Kennedy, “the goal of education is the advancement of knowledge and the dissemination of truth” [“matlamat pendidikan adalah kemajuan ilmu dan penyebaran kebenaran”].
Dan ya, kalau Zul Fikri menyambung kiasan Buya Hamka ‘Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup, Kalau bekerja sekadar bekerja, kera di hutan juga bekerja’ dengan;
‘Kalau mahasiswa setakat belajar,
lembu di padang juga belajar’
Izinkan saya pula untuk menambah;
‘Kalau guru cuma mengajar,
Ketam di darat juga mengajar’
(Selain mengajar untuk berjalan, ketam juga mengajar untuk bekerjasama!)
[Ulangsiar makalah yang telah diterbitkan pada 1 Julai 2013]
Poligami Menurut Sisi Reformis: Tafsir Al-Manar
oleh Afiq M. Noor
Perdebatan tentang poligami bukanlah sesuatu yang baru dalam tradisi keilmuan Islam. Sekiranya kita membaca dan mengkaji teks-teks klasik Islam pasti kita akan menemui kepelbagaian hukum dan pendapat tentang poligami. Ada di kalangan ilmuan Islam yang membenarkannya secara mutlak, ada juga di antara mereka yang membenarkan poligami dengan syarat-syarat yang ketat dan ada juga yang mengharamkan poligami secara total. Di kalangan para ilmuan, ada yang mengatakan bahawa adalah satu bentuk diskriminasi terhadap wanita dan merupakan gambaran ketidak adilan status di antara lelaki dan wanita. Pada dasarnya, menurut mereka, poligami, merupakan sisa-sisa perhambaan terhadap wanita, di mana lelaki dengan sewenang-wenangnya memperlakukan kaum wanita sebagai pemuas nafsu seksual mereka semata-mata. Dalam tulisan ringkas ini, penulis akan menghuraikan poligami menurut sisi pandang reformis Islam, dan untuk tujuan itu penulis hanya akan memetik pandangan Sheikh Muhammad Abduh dan Sheikh Rashid Redha serta ulasan di dalam Tafsir Al Manar. Poligami Menurut Al Quran: Sejarah, Syarat & Konsep Keadilan Di dalam Surah Al Nisa’ ayat ke-3, Allah S.W.T menyatakan: “Dan jika kamu takut tidak dapat berlaku adil terhadap perempuan yatim, maka kahwinilah wanita-wanita lain yang kamu senangi; dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka kahwinlah seorang sahaja atau hamba-hamba yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya” Sekiranya kita meneliti ayat tersebut, ternyata Allah tidak hanya membenarkan para lelaki untuk berkahwin lebih daripada satu secara semberono. Terdapat dua pokok persoalan penting yang harus dikaji di dalam ayat tersebut. Pertama, tentang tanggungjawab memelihara anak yatim dan kedua, keizinan untuk beristeri lebih daripada satu. Apakah kaitan di antara dua permasalahan ini? Imam Al Thabari di dalam Jame’ Al Bayan sewaktu menghuraikan tentang ayat ini, memetik riwayat daripada Aishah RA tentang sebab turunnya ayat ini. Diceritakan bahawa Urwah Bin Zubair, anak kepada Asma Binti Abu Bakar sering bertanya kepada Aishah RA sekiranya beliau mempunyai sebarang permasalahan agama. Urwah bertanya kepada Aishah RA tentang bagaimana para lelaki diizinkan berkahwin lebih dari satu dengan alasan untuk memelihara anak yatim? Aishah RA menjawab: “Wahai anak saudaraku! Ayat ini mengenai anak yatim yang dalam penjagaan walinya dan telah bercampur harta anak yatim tersebut dengan harta walinya. Wali yang pada asalnya di amanahkan untuk menjaga anak yatim tersebut dan hartanya telah tertarik kepada harta dan kecantikan anak itu, lalu dia (wali) ingin menikahinya dengan tidak membayar mahar secara adil sebagaimana pembayaran mahar kepada wanita lain. Oleh kerana niat yang tidak jujur ini, maka dia dilarang menikah dengan anak yatim itu, kecuali sekiranya dia membayar mahar secara adil dan layak seperti perempuan lain. Daripada melangsungkan niat yang tidak jujur itu, dia dianjurkan lebih baik menikahi perempuan lain.” Berdasarkan kepada riwayat Aishah RA ini dapat kita mengambil kesimpulan, mengapa terdapat perkaitan di antara tanggungjawab memelihara anak yatim dan keizinan untuk beristeri lebih daripada satu. Sekiranya kita meneliti secara mendalam, ayat 3 Surah Al Nisaa’ ini merupakan lanjutan daripada ayat 2 yang melarang para wali yang diamahkan untuk menjaga anak yatim dan harta mereka agar tidak berbuat zalim dan aniaya terhadap mereka kerana ia merupakan dosa yang besar. Ayat ini diturunkan setelah terjadinya perang Uhud yang telah menewaskan 70 dari 700 orang lelaki Mukmin sehingga menyebabkan ramai wanita yang kehilangan suami dan anak-anak menjadi yatim. Justeru dalam konteks ini, jalan yang terbaik adalah membenarkan para lelaki Mukmin untuk menikahi wanita-wanita yang telah kematian suami dan memelihara anak-anak yang telah kehilangan bapa dengan syarat lelaki tadi perlulah berlaku adil terhadap mereka. Mampukah para lelaki berlaku adil terhadap wanita yang dikahwininya? Di dalam Surah Al Nisaa’ ayat ke- 129, Allah Azza Wa Jalla menyatakan: “Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, maka janganlah kamu terlalu cenderung kepada yang kamu cintai sehingga kamu membiarkan yang lain tergantung. Dan sekiranya kamu mengadakan perbaikan dan memelihara diri maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Melalui ayat ini, dapatlah kita simpulkan bahawa ‘adil’ itu merupakan sesuatu yang sulit dan mustahil untuk diberikan oleh para suami kepada isteri-isterinya. Si suami tadi mungkin boleh memberikan keadilan dari segi kewangan tetapi mustahil memberikan keadilan dari segi emosi dan kasih sayang. Ia secara langsung telah menyalahi objektif perkahwinan yang digariskan oleh Al Quran dalam Surah Al Ruum ayat 21: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanya, adalah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari kalagan kamu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram dengannya, dan dijadikannya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum yang berfikir” Sheikh Muhammd Abduh, Sheikh Rashid Redha & Al Manar Sheikh Muhammad Abduh dan Sheikh Rashid Redha berpendapat bahawa poligami dalam ayat berkenaan adalah dalam konteks anak yatim dan larangan memakan harta mereka meskipun dengan jalan perkahwinan. Perkara ini dinyatakan di dalam Tafsir Al Manar (Juz 4 Mukasurat 348) yang mana mereka melanjutkan bahawa jika khuatir para lelaki akan memakan harta anak yatim yang dikahwini itu, maka janganlah mengahwini mereka, sebaliknya kahwinilah wanita lain, dua, tiga atau empat. Walaubagaimanapun sekiranya si suami takut untuk tidak berlaku adil di antara isteri-isterinya, maka kahwinilah satu sahaja. Sheikh Muhammd Abduh selanjutnya mengaitkan ayat tersebut dengan ayat sebelumnya dan menyatakan – “Dari dua ayat di atas ketahuilah kebenaran untuk berpoligami dalam Islam adalah persoalan kesempitan atau darurat (yang amat berat), yang hanya dibolehkan dengan syarat dia boleh berlaku adil dan memastikan kesejahteraan” Sheikh Muhammad Abduh meskipun memahami ayat tersebut dengan diperbolehkan poligami dalam Islam, akan tetapi beliau sangat menentang poligami dalam masyarakat Mesir pada ketika itu. Menurutnya, poligami tidak akan mampu merealisasikan keadilan di dalam sebuah keluarga sebaliknya ia akan menciptakan permusuhan di antara isteri dan anak-anak dari keluarga masing-masing. Menurut Sheikh Muhammad Abduh lagi poligami merupakan punca kerosakan masyarakat yang terjadi di Mesir. Beliau juga menyatakan: “Berdasarkan kaedah – Dar’ul Al Mafasid Muqaddamu ‘Ala Jalbi Al Masalih (mencegah kemudaratan harus didahulukan atas mengambil manfaat) maka poligami diharamkan apabila tidak mungkin terciptanya keadilan di antara para isteri dan keluarga” Sheikh Rashid Redha sebagaimana gurunya menganggap bahawa secara idealnya Al Quran menganjurkan perkahwinan monogami. Poligami hanya di benarkan dalam keadaan darurat. Akan tetapi beliau berpandangan meskipun dalam keadaan darurat poligami dibenarkan, jaminan untuk tidak akan muncul kejahatan dan kezaliman harus dipenuhi terlebih dahulu. Di dalam Nida’ Li Al Jins Al Latheef, Sheikh Rashid Redha menyatakan bahawa poligami adalah diharamkan bagi mereka yang mempunyai kecenderungan untuk menzalimi isterinya samada secara fizikal mahupun emosional. Menurut beliau lagi syarat penting untuk membenarkan berpoligami adalah berlaku adil yang mana ia adalah sukar untuk dipenuhi. Sheikh Muhammad Abduh dan Sheikh Rashid Redha secara tegas menyatakan bahawa tidak mungkin mendidik bangsa Mesir dengan pendidikan yang baik selagi poligami masih diamalkan secara meluas. Mereka begitu konsisten menentang amalan berpoligami sehingga pernah menyarankan kepada Kerajaan Mesir pada waktu itu untuk mengharamkan amalan berpoligami kecuali dalam keadaan yang benar-benar mendesak. Sheikh Rashid Redha sewaktu mengulas pandangan gurunya tentang poligami menyatakan bahawa pandangan Sheikh Muhammad Abduh yang mencela amalan berpoligami tersebut adalah disebabkan sikap masyarakat Mesir yang mudah berpoligami dan menceraikan isteri-isteri mereka , kerana mereka umumnya lebih mengutamakan kenikmatan seksual dan hanya menurut hawa nafsunya sahaja. ]]>