Projek Dialog

Masuk Islam, bukan Masuk Melayu

Oleh: Uthaya Sankar SB (Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya) Baru-baru ini, saya menulis beberapa makalah yang secara khusus menyentuh Perkara 153 (Kedudukan Istimewa Orang Melayu) dan Perkara 160 (definisi “orang Melayu”) dalam Perlembagaan Persekutuan. Turut disentuh mengenai Wasiat Raja-raja Melayu yang ditandatangani pada 5 Ogos 1957 di mana wasiat itu turut menggariskan perkara berkaitan status agama Islam, tanah simpanan Melayu serta kedudukan istimewa orang Melayu. Makalah-makalah berkenaan adalah “Hak Istimewa Orang Melayu” (Free Malaysia Today, 23 Februari 2013), “Takkan Melayu Hilang di Malaysia” (The Malaysian Insider, 25 Februari 2013), “Ketuanan Rakyat dan Bangsa Malaysia” (Roketkini, 26 Februari 2013), “Hidayah Bangga Kekal Cina” (Free Malaysia Today, 4 Mac 2013) dan “Kami Tidak Manuk Melayu” (The Malaysian Insider, 4 Mac 2013). [caption id="attachment_1565" align="alignleft" width="150"]Mohd Hafiz Andrew sempat mengunjungi sebuah kuil di Bukit Bendera, Pulau Pinang. Mohd Hafiz Andrew sempat mengunjungi sebuah kuil di Bukit Bendera, Pulau Pinang.[/caption] Saya memang sudah menjangkakan reaksi yang pelbagai daripada pelbagai pihak. Bagaimanapun, memandangkan niat saya adalah untuk membuka minda orang ramai untuk berdialog dan berbincang secara terbuka mengenai pelbagai perkara yang sebelum ini (mungkin) dianggap sensitif, maka saya menerima kesemua komen dengan gembira. Persoalan paling asas yang menghantui fikiran ramai selepas membaca makalah-makalah berkenaan adalah pertanyaan sama ada seorang individu Bukan Melayu yang memeluk Islam akan lebih gemar menukar identitinya menjadi “orang Melayu” atau tetap berbangga untuk mengekalkan jati diri, budaya dan keunikan keturunan asalnya. Seorang rakan, Azmal Narawi (Azuma) yang berasal dari Kelantan dan kini tinggal di Batu Caves, Selangor menghantar pautan bagi petikan dari Kitab Riyadh as-Solihin berkaitan topik hubungan silatulrahim dengan ibu bapa berlainan agama. Hadis yang dipetik adalah daripada Riwayat Bukhari dan Muslim. Dalam huraian Hadis itu antara lain dijelaskan bahawa Islam menyusuh umatnya menghubungi ibu walaupun ibu itu bukan seorang Islam; hubungan anak dengan ibu adalah kekal walaupun berlainan agama dan kepercayaan; serta harus mengekalkan silatulrahim dengan keluarga asal (Bukan Islam) selagi mereka tidak memerangi Islam. Bagi seorang guru, Mohd Hafiz Andrew Hafiz yang berasal dari Pahang dan sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM), walaupun sudah mendapat hidayah untuk memeluk agama Islam, beliau menegaskan: “Aku kekalkan kaumku.” Seorang lagi individu India-Muslim yang saya kenali sejak Ogos 2011 ialah Haji Effendy Abdullah yang tinggal di Johor Bahru. Agak menarik untuk diperhatikan bahawa bahawa pada bahagian “religion” (agama) di Facebook, beliau menulis “Good Muslim” (Umat Islam yang Baik). “Islam adalah satu agama yang tidak dihakmiliki oleh mana-mana kaum, etnik atau bangsa; sebagaimana juga agama Kristian, Hindu, Buddha, Sikh dan sebagainya. Apabila seseorang memeluk agama Islam, orang itu hanya bertukar agama sedangkan kaum, keturunan atau etnik asalnya akan kekal hingga akhir hayat,” katanya. Effendy turut menceritakan daripada pengalamannya bahawa pada musim haji di Mekah, penganut Islam yang paling ramai adalah dari negara-negara seperti India, China, Pakistan, Bangladesh, Turki, Afrika dan Rusia. Tidak ambil kesempatan atas Perkara 160 “Jemaah haji dari Malaysia, Singapura, Brunei dan Thailand adalah relatif sedikit berbanding bangsa lain. Dalam isu yang dibincangkan pula, istilah ‘masuk Melayu’ adalah tidak betul sama sekali. Saya lahir dalam keluarga kaum India sebelum memeluk Islam. Saya tetap kaum India dan tetap juga mengikut hukum syarak Islam,” katanya. Pesara ini turut menegaskan: “Saya tidak akan menjadi Melayu dan saya juga tidak mahu menjadi Melayu.” [caption id="attachment_1566" align="alignright" width="150"]Pasangan Effendy dan Rohani hidup bahagia bersama keluarga. Pasangan Effendy dan Rohani hidup bahagia bersama keluarga.[/caption] Turut berkongsi pendangan itu adalah isterinya, Rohani Deraman yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan. Novelis ini juga sentiasa sedar dan akur pada hakikat bahawa lelaki yang menjadi pasangan hidupnya adalah lelaki kaum India beragama Islam. “Ramai yang terlupa bahawa Islam itu agama manakala Melayu itu kaum. Islam adalah milik semua makhluk yang Allah berikan hidayah dan petunjuk. Jadi, agama Islam bukan milik mutlak orang Melayu sebagaimana disangka pihak tertentu,” kata Rohani yang juga amat mesra dengan adik-beradik iparnya yang beragama Hindu. Apa yang amat unik mengenai Rohani adalah bahawa sejak berkahwin, dia sentiasa menjaga, menghormati dan melayan ibu mentuanya dengan penuh kasih walaupun mereka berlainan kaum dan agama. Saya melihat tindakan Rohani sebagai “dakwah positif” yang mampu memberikan gambaran tepat mengenai ajaran sebenar dalam Islam. “Jika seseorang itu dilahirkan dalam keluarga kaum Cina, maka tetaplah itu kaumnya sampai ke hujung nyawa. Sekiranya individu itu memeluk agama Islam, apa yang perlu ditukar hanyalah sedikit cara hidup sekiranya didapati bertentangan dengan lunas dan ajaran agama Islam. Akan tetapi, perlu saya tegaskan bahawa seseorang itu tetap orang Cina, India, Portugis, Belanda, Iban atau apa sahaja walaupun selepas memeluk Islam,” tegas penulis sepenuh masa ini yang antara lain menghasilkan novel Jihad Mardina (2012). Wajar juga dinyatakan bahawa Effendy dan Rohani adalah pasangan suami-isteri. Sepanjang saya mengenali mereka, pasangan itu tidak pernah cuba mengkategorikan Effendy sebagai “orang Melayu” walaupun beliau layak mengikut Perkara 160. Perkara seperti ini tentulah berbeza dengan realiti yang dapat kita perhatikan sendiri di sekeliling kita saban hari. Malah, siri artikel saya mengenai topik “Melayu” tercetus berikutan insiden Ridhuan Tee Abdullah (nama asal: Tee Chuan Seng) menulis rencana bertajuk “Kesabaran umat Islam ada had” (Sinar Harian, 18 Februari 2013). Saya ada menulis makalah bertajuk “Antara Konvoi Rumah Ibadat dan Ultra Kiasu” (Projek Dialog, 19 Februari 2013) dan kenyataan media “Ridhuan Tee Perlu Didakwah” (Projek Dialog, 24 Februari 2013). Antara isi penting yang disentuh adalah mengenai individu “Bukan Melayu” yang memeluk agama Islam dan segera menganggap dirinya “lebih Melayu daripada orang Melayu”. Sekali gus, tindakan “ultra kiasu” mereka mencemarkan nama baik orang Melayu (tulen) dan kesudian agama Islam. [caption id="attachment_1567" align="alignleft" width="150"]Anak-anak buah Anim Sri Mastika daripada suku Dusun-Bajau. Anak-anak buah Anim Sri Mastika daripada suku Dusun-Bajau.[/caption] Menyentuh topik perbincangan yang berkaitan, Zuraimi Baharum @ Bani Omar tampil dengan pandangan berikut: “Rasa-rasanya Islam di Malaysia tidak berkembang kerana Islam telah diMelayukan; selain akhlak yang ditunjukkan oleh orang Islam itu sendiri, terutamanya orang Melayu-Islam.” Seorang lagi individu yang mengemukakan pandangan serta berkongsi pengalaman ialah Anim Sri Mastika Yunus, seorang etnik Bajau dari Sabah yang sejak turun-temurun sudah beragama Islam. Beliau yang berasal dari Kota Marudu sedang melanjutkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Malaysia Sabah serta kagum dengan pandangan politik Nabi Muhammad. Kita sepatutnya meraikan kepelbagaian “Dahulu, ketika datuk saya dari suku Dusun memeluk agama Islam, beliau tidak disebut sebagai ‘masuk Islam’ atau ‘masuk Melayu’ tetapi ‘ne kesama’ iaitu ‘masuk Bajau’. Di Sabah, suku Dusun, Murut dan Rungus antara suku/etnik yang secara keturunan beragama Kristian atau pagan,” kata Anim yang turut menguasai bahasa suku Dusun dan Bajau. Beliau adalah anak kacukan Bajau-Dusun. Keturunan bapanya suku Dusun tetapi apabila datuknya memeluk Islam, maka keturunan itu turut mula dikenali sebagai orang Bajau (ne kesama). “Walau bagaimanapun, saya bangga jika dikenali sebagai orang Dusun – bukan Bajau, bukan Melayu. Hal ini kerana asal-usul saya secara biologi dan genetik memang suku Dusun sebelum datuk masuk Islam dan ‘masuk Bajau’. Saya rasa konsep ‘masuk Bajau’ berlaku akibat kurang pengetahuan dan keadaan masyarakat pada zaman datuk saya,” kata Anim. Rosihan Amri Md Zakaria, seorang guru di Pulau Pinang juga berkongsi pandangan dan hujah menerusi dialog yang berlaku dalam keadaan positif dan membuka minda. [caption id="attachment_1568" align="alignright" width="150"]Buku ini amat sesuai dijadikan bahan “dakwah diri” bagi orang Islam. Buku ini amat sesuai dijadikan bahan “dakwah diri” bagi orang Islam.[/caption] “Saya seorang Melayu-Islam. Namun, saya merasakan stigma orang Melayu yang mendesak ‘saudara baru’ atau ‘mualaf’ mengikut sepenuhnya budaya Melayu dan menggunakan nama Melayu adalah salah sama sekali. Kita sepatutnya meraikan kepelbagaian kaum dan budaya; bukannya mengamalkan pemahaman yang sempit iaitu ‘Melayu adalah Islam’ dan ‘Islam adalah Melayu’,” kata guru itu yang tinggal di Sungai Petani. Pandangan yang dikongsikan oleh rakan-rakan ini membuktikan bahawa kebanyakan masyarakat menyedari perbezaan antara “Melayu” dan “Islam”. Malah, apabila seseorang “masuk Islam” tidak semestinya bermakna “masuk Melayu”. Malangnya masih ada puak yang tidak tahu atau berpura-pura tidak tahu. Malah, tidak dapat dinafikan bahawa ada juga puak yang sengaja mengiktiraf dirinya “masuk Melayu” supaya boleh menjadi “orang Melayu” mengikut takrif Perkara 160 dan seterusnya “merampas” hak berupa kedudukan istimewa yang sebenarnya diperuntukkan untuk kaum Melayu di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Wasiat Raja-raja Melayu. Semasa menyertai Konvoi Rumah Ibadat Seremban pada 17 Februari 2013, saya turut menerima cenderamata daripada Pertubuhan IKRAM Negeri Sembilan dan Hidayah Centre Negeri Sembilan. Cenderamata itu adalah sebuah buku berjudul Fiqah Berinteraksi dengan Non-Muslim (2009) tulisan Mohammad Nidzam Abd Kadir. Saya sangat berminat membaca buku terbitan Telaga Biru itu yang disusun secara komprehensif dan mudah dirujuk; khususnya bagi orang Islam (termasuk mualaf) dalam hubungan mereka dengan orang Bukan Islam (termasuk keluarga asal). Puak ultra kiasu, etnosentrik dan fanatik yang tidak mampu atau tidak mahu membezakan antara “Melayu” (kaum) dan “Islam” (agama) amat wajar membaca buku ini sebagai suatu “dakwah diri” yang amat berguna dan pasti menginsafkan. Langkah ini amat wajar bagi memastikan mereka tidak terus “sesat” dan meneruskan “dakwah negatif” yang memberikan gambaran tidak benar mengenai Islam kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

]]>

Ridhuan Tee perlu didakwah

Kenyataan media ini dikeluarkan oleh Uthaya Sankar SB selaku pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya pada 24 Februari 2013, jam 2:00 petang di Shah Alam, Selangor. Ridhuan Tee perlu didakwah 1. Sebagai seorang penulis profesional yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia sejak tahun 1992, saya sesungguhnya kecewa dengan kenyataan yang dikemukakan oleh Ridhuan Tee Abdullah (Tee Chuan Seng) menerusi tulisan bertajuk “Kesabaran umat Islam ada had” yang disiarkan di akhbar Sinar Harian pada 18 Februari 2013. 2. Sehingga kenyataan ini dikeluarkan pada petang 24 Februari 2013 di Shah Alam, Chuan Seng belum dilaporkan mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi memohon maaf atas kandungan tulisannya itu. 3. Pada 22 Februari 2013, penasihat editorial akhbar Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali dilaporkan memohon maaf kepada kaum India beragama Hindu atas penyiaran rencana tulisan Chuan Seng. Beliau turut mengaku bahawa versi yang disiarkan itu sebenarnya sudah disunting untuk mengurangkan nada perkauman. 4. Harapan saya selaku pemilik tunggal ‘Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya’ adalah bahawa akhbar Sinar Harian akan mengekalkan integritinya sebagai sebuah akhbar yang disenangi oleh pembaca pelbagai kaum, agama dan fahaman politik. 5. Saya tidak berhasrat meminta akhbar Sinar Harian atau mana-mana penerbitan lain serta mana-mana organisasi lain mengambil tindakan “menghukum” Chuan Seng dengan memulaukannya. 6. Sebaliknya, tindakan Chuan Seng sepatutnya menjadi suatu “pengajaran” kepada pihak terbabit supaya berhati-hati dengan golongan “ultra kiasu” (mengulangi istilah yang pada asalnya digunakan oleh Chuan Seng terhadap kaum India dan Cina dalam tulisannya) yang menggugatkan keamanan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia. 7. Memandangkan bukan hanya golongan politikus yang ada hak untuk menyeru itu dan menyeru ini, saya juga ingin membuat seruan kepada umat Islam supaya berdakwah kepada golongan “ultra kiasu” seperti itu sebelum keadaan bertambah buruk. 8. Sepertimana dijelaskan oleh Dr Kamariah Kamarudin dalam buku kajian ilmiah berjudul Takmilah dalam Novel Melayu (DBP: 2011), dakwah sebenar dalam Islam bermula dengan dakwah terhadap ahli keluarga, terhadap orang Islam (dalam masyarakat) dan terhadap masyarakat luar (beragama Islam); sebelum memikirkan soal dakwah terhadap orang “Bukan Islam”. 9. Islam sesungguhnya agama yang indah dan menyeru ke arah perpaduan, keamanan dan sikap bertolak ansur. Malah, Tuhan menciptakan manusia berbeza-beza untuk saling mengenali dan memahami. Hakikat ini diakui semua agama. 10. Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pernah menganjurkan Konvoi Rumah Ibadat di Kuala Lumpur pada 2 Oktober 2010 dan 2 Mei 2011. Peserta pelbagai kaum dan agama mengunjungi rumah-rumah ibadat seperti masjid, kuil, tokong, gereja, wat dan gurdwara untuk meningkatkan persefahaman dan sikap tolak ansur. 11. Pada 17 Februari 2013, berlangsung pula Konvoi Rumah Ibadat di Seremban yang menyaksikan penyertaan lebih 50 individu; kebanyakannya peserta beragama Islam yang terlibat secara langsung dalam gerakan dakwah. 12. Wakil dari Hidayah Centre Negeri Sembilan dan Pertubuhan IKRAM Negeri Sembilan menunjukkan minat untuk memahami amalan dan budaya penganut agama Hindu, Kristian, Tao dan Sikh – selain Islam – semasa kami mengunjungi rumah-rumah ibadat. 13. Secara langsung dan tidak langsung, mereka melakukan dakwah positif seperti disarankan Allah dan Rasulullah – iaitu memberi citra sebenar ajaran Islam kepada masyarakat. 14. Malangnya, pada keesokan hari (18 Februari 2013), Chuan Seng pula melakukan tindakan “anti-dakwah” yang memberi gambaran amat negatif terhadap umat Islam. Seolah-olah dalam keghairahan Chuan Seng mengangkat dirinya sebagai pejuang Agenda Melayu dan Agenda Islam, dia terlupa akan ajaran sebenar Islam. 15. Satu-satunya pemimpin Islam yang paling saya kagumi ialah Nabi Muhammad s.a.w. Tentulah keterlaluan untuk saya mengharapkan Chuan Seng memiliki segala keperibadian mulia dan sikap toleransi seperti ditunjukkan oleh Rasulullah. 16. Namun, sekurang-kurangnya, harapan saya adalah agar penulis itu tidak menjejaskan nama baik umat Islam di Malaysia dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang kononnya mewakili orang Melayu dan umat Islam. Apatah lagi apabila kenyataan-kenyataan itu berbaur sikap “ultra kiasu” dan berciri “anti-dakwah”. 17. Dengan itu, permohonan maaf sebenarnya tidak hanya kepada “kaum India beragama Hindu” seperti dilakukan wakil akhbar Sinar Harian; sebaliknya juga kepada umat Islam kerana Chuan Seng telah memberikan suatu gambaran yang amat negatif (dan tidak benar) mengenai sikap umat Islam. 18. Pada pandangan saya, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab umat Islam juga untuk berdakwah kepada orang seperti Chuan Seng; untuk mengajar mereka cara yang betul untuk berdakwah kepada masyarakat luar. 19. Sesungguhnya, pada pandangan saya sejak kecil, sebaik-baik dakwah adalah keperibadian mulia yang ditunjukkan oleh seorang umat Islam. 20. Semoga perkara-perkara yang ditimbulkan di sini turut mendapat perhatian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).    

]]>

Antara Konvoi Rumah Ibadat dan Ultra Kiasu

Oleh: Uthaya Sankar SB (Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya) Kejayaan Konvoi Rumah Ibadat Seremban anjuran Hidayah Centre Negeri Sembilan di bawah Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Sembilan dengan kerjasama Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada 17 Februari 2013 dilaporkan di akhbar Sinar Harian pada keesokan hari. Bagaimanapun, berita berkaitan program yang bertujuan mengeratkan silaturahim dan persaudaraan sesama rakyat pelbagai kaum, etnik, budaya, adat dan agama itu ditenggelami “kehangatan” tulisan Ridhuan Tee Abdullah (nama asal: Tee Chuan Seng) bertajuk “Kesabaran umat Islam ada had” di akhbar sama. [caption id="attachment_1507" align="alignright" width="150"]Persaudaraan terjalin erat menerusi konvoi yang dirancang secara teliti. (Foto:  Shahrul Nizam) Persaudaraan terjalin erat menerusi konvoi yang dirancang secara teliti. (Foto: Shahrul Nizam)[/caption] Individu keturunan Cina beragama Islam (mualaf) itu memulakan tulisan mengenai kontroversi filem Vishwaroopam (2013) lalu mula mengaitkannya dengan MIC yang digelarnya sebagai “parti politik India komponen Barisan Nasional (BN)” yang “jahil sungguh mereka dalam memahami budaya masyarakat Islam” dan “ultra kiasu”. Masyarakat Cina juga diselarnya sebagai “ultra kiasu”. Pernahkah kita bersungut ketika perayaan Thaipusam? Seminggu sebelum perayaan, seluruh kawasan sekitar Batu Caves sesak. Kenderaan diparkir sesuka hati. Lautan manusia satu warna berhimpun, seolah-olah tidak ada warna lain lagi di negara ini,” kata Chuan Seng dalam artikel itu yang entah bagaimana “terlepas” untuk siaran di akhbar Sinar Harian yang selama ini dihormati pembaca pelbagai kaum dan agama. Pada pandangan individu itu, “negara ini tidak ada lagi identiti. Agenda Islam dan Melayu entah ke mana”. Untuk rekod, realiti di Malaysia adalah bahawa apabila seseorang memeluk agama Islam, dia akan mula “meninggalkan” identiti kaum/keturunan asal dan mula mengidentitikan dirinya sebagai “Melayu”. Chuan Seng hanyalah salah satu contoh terdekat dalam hal “krisis identiti” ini. [caption id="attachment_1509" align="alignleft" width="150"]Tiada halangan untuk peserta memasuki mana-mana rumah ibadat. (Foto: Kughan Nadarajah) Tiada halangan untuk peserta memasuki mana-mana rumah ibadat. (Foto: Kughan Nadarajah)[/caption] Bagi saya, individu seperti Chuan Seng adalah orang-orang yang “mencemarkan” keperibadian mulia orang Melayu-Islam di negara ini. Golongan “ultra kiasu” sepertinya cuba secara berlebih-lebihan “menjadi Melayu” sehingga berteriak dan melolong kononnya mewakili golongan Melayu-Islam. Akhirnya, nama baik dan keperibadian mulia orang Melayu-Islam yang tercemar. Bagaikan ada suatu agenda tersembunyi secara terancang untuk menjatuhkan keperibadian mulia, tolak ansur, kasih sayang, sikap memahami dan menghormati yang sebenarnya menjadi jati diri dan ada pada masyarakat Melayu-Islam di negara ini. Di sisi yang lain pula, Konvoi Rumah Ibadat Seremban yang menyaksikan penyertaan lebih 50 individu pelbagai kaum dan agama menjadi bukti bahawa toleransi dan perpaduan masih tidak boleh tergugat/digugat tindakan/hasutan pihak tertentu. Sesungguhnya Tuhan menciptakan kita berbeza-beza untuk kita saling mengenali; sebagaimana juga terbukti menerusi firman Allah dalam Quran (Al-Hujurat: 13). Dalam konvoi itu, peserta mengunjungi lima rumah ibadat – gereja, gurdwara, kuil, tokong dan masjid – untuk memupuk memahaman dan persefahaman. Langkah ini amat penting ke arah menghindarkan apa-apa prejudis dan salah tanggap yang mungkin wujud terhadap agama-agama lain. [caption id="attachment_1510" align="alignright" width="150"]Peserta tidak melepaskan peluang merakam foto kenangan bersama paderi di gereja. (Foto: Ridhwan Ahmad) Peserta tidak melepaskan peluang merakam foto kenangan bersama paderi di gereja. (Foto: Ridhwan Ahmad)[/caption] Saya sempat mendapatkan reaksi daripada empat rakan yang menyertai konvoi ini mewakili Kavyan. Shahrul Nizam Abd Hamid dan Kughan Nadarajah bersama-sama saya menaiki Komuter dari Shah Alam ke Seremban manakala Hussain Sajad memandu sendirian ke sana. Cikgu Roshidayu Che Mat pula berkereta bersama-sama suami dan dua anaknya. Konvoi ini menyedarkan saya bahawa penyatuan manusia boleh dilakukan dengan memahamkan setiap manusia tentang pegangan agama masyarakat di sekeliling. Kepelbagaian budaya dan agama sebenarnya dapat diharmonikan melalui acara-acara sebegini,” kata Shahrul yang turut merakam foto sepanjang konvoi. Katanya, sejak kecil beliau lebih banyak bercampur dengan kawan-kawan Melayu-Islam; lalu pada mulanya timbul kegelisahan dan ketakutan untuk turut serta dalam Konvoi Rumah Ibadat Seremban yang merupakan susulan program sama anjuran Kavyan di Kuala Lumpur pada 2 Oktober 2010 dan 2 Mei 2011.

“Cerita-cerita yang mengatakan bahawa jika melangkah masuk ke gereja kita akan menjadi seorang Kristian; jika masuk ke kuil Hindu pasti tidur malam tidak lena; menjengah ke tokong pasti akan menjadi sasau; dan gurdwara tempat persembunyian Benggali makan budak adalah mitos yang terpahat dalam jiwa saya sejak kecil.

[caption id="attachment_1518" align="alignleft" width="150"]Berlaku komunikasi, dialog dan pertukaran maklumat yang sihat antara peserta pelbagai agama. Berlaku komunikasi, dialog dan pertukaran maklumat yang sihat antara peserta pelbagai agama.[/caption]

“Akan tetapi, menyedari bahawa kegelisahan dan ketakutan itu tidak mampu dipadamkan selagi tidak mengenali, mendekati dan memahami agama dan budaya lain, saya percaya sampai bila-bila pun rasa gelisah dan takut itu akan melekat kukuh di sanubari saya. Sudahnya, saya akan hanya percaya bahawa agama Islam sahaja yang menyeru ke arah kebaikkan,” kata pemuda kelahiran Jitra, Kedah itu yang kini tinggal di Shah Alam.

Menghurai lebih lanjut, Shahrul mengatakan bahawa semua mitos yang membuatkan beliau gelisah dan takut itu akhirnya terungkai apabila turut serta dalam konvoi berkenaan. Shahrul mula menyedari bahawa semua agama sebenarnya menyeru ke arah kebaikan dan sebagai pegangan untuk menjadikan hidup lebih baik.

“Sepanjang konvoi bergerak dan menjelajah dari satu rumah ibadat ke satu rumah ibadat, lalu diberi penerangan tentang agama Islam, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao, hati saya berkata bahawa inilah adunan untuk melihat Bangsa Malaysia yang lebih harmoni,” akuinya.

Pemuda yang berminat membaca itu menyimpulkan bahawa konvoi yang disertai mampu mendekatkan lagi dirinya dengan rakan-rakan bukan Islam dan seterusnya sebagai satu rencah untuk melihat Bangsa Malaysia yang lebih harmoni dan bertoleransi.

 Bagi Hussain, pengalaman menyertai Konvoi Rumah Ibadat Seremban dilihat sebagai sesuatu yang amat berharga. Beliau berharap program seperti ini akan lebih mendapat sambutan pada masa akan datang khususnya daripada golongan muda yang bakal mewarisi negara berbilang kaum ini. Masyarakat kita perlu dididik semula dengan nilai-nilai murni seperti saling menghormati dan mengasihi satu sama lain kerana dewasa ini kita seakan-akan lupa pada nilai-nilai ini; lalu sekadar wujud dalam buku teks sekolah rendah dalam bentuk teori dan jauh daripada praktikal. Masyarakat kita semakin hipokrit, kita cuma tinggal mendabik dada mengatakan kepada orang luar bahawa kita hidup harmoni dalam masyarakat majmuk tapi realitinya kita jahil tentang agama dan budaya satu sama lain. Usaha seperti konvoi rumah ibadat ibi harus dipuji dan diteruskan lagi dalam pelbagai variasi kerana sudah tiba masanya kita mempraktikkan apa yang selama ini sekadar retorik semata,” kata Hussain yang membuat rakaman video sepanjang program. Kughan juga berkongsi pandangan yang hampir senada. Jurutera teknologi maklumat itu mengakui banyak mengetahui tentang pelbagai agama di Malaysia menerusi konvoi ini yang diadakan dalam suasana santai dan muhibah. Malah, beliau kagum dan teruja melihat begitu ramai peserta pelbagai kaum dan agama yang mempunyai fikiran terbuka untuk menyertai “rombangan suci” itu.

“Biasanya, dulu kita beranggapan bahawa orang ramai tidak dibenarkan masuk ke rumah ibadat penganut agama-agama lain dan banyak pula perkara berkaitan rumah-rumah ibadat itu dirahsiakan. Perkara ini telah menimbulkan banyak reaksi negatif lalu menyebabakan jurang perhubungan antara kaum dan agama semakin melebar.

 Tetapi semasa konvoi ini, saya nampak ketua atau wakil rumah-rumah ibadat tampil dengan gembira dan terbuka untuk berkongsi pengetahuan dengan para peserta konvoi. Di gurdwara, misalnya, mereka sanggup mempelawa penganut agama-agama lain masuk ke ruang sembahyang dan menunjukkan buku suci agama Sikh serta menerangan apa yang terkandung dalam buku tersebut,” katanya dengan penuh semangat.

Kughan yang merupakan Setiausaha Kavyan turut kagum dengan sikap saling memahami, bantu-membantu dan persaudaraan yang wujud secara spontan dalam kalangan peserta pelbagai kaum, agama dan latar belakang sepanjang Konvoi Rumah Ibadat Seremban.

 Pada pandangan saya, program ini patut diteruskan dan dikembangkan ke negeri-negeri lain sebagai usaha murni memupuk semangat perpaduan yang jitu dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini,” katanya. Roshidayu pula merumuskan perasaan menyertai konvoi ini dengan kata-kata “teruja, gembira, terbuka minda dan insaf”. Berkenaan perkara baru yang dipelajari, guru itu yang tinggal di Taman Sri Muda, Shah Alam berkata, “Saya semakin yakin, Tuhan untuk semua yang percaya.” Blogger itu turut mengakui bahawa pada mulanya beliau berasa sedikit takut dan janggal kerana inilah kali pertama mengunjungi rumah-rumah ibadat pelbagai kaum dan melihat secara begitu dekat. Namun, berkat layanan mesra dan perasaan persaudaraan yang wujud dengan para peserta dan wakil rumah-rumah ibadat, perasaan janggal itu segera hilang. Kalau ada lagi program seperti ini, saya dan keluarga akan turut serta,” katanya dengan penuh optimis dan bersemangat walaupun datang membawa anak kecil dalam pangkuan. Demikianlah dua “kutub” berbeza yang diperhatikan dalam hubungan antara agama. Di satu pihak, peserta pelbagai kaum dan agama berusaha memupuk silaturahim dan persaudaraan yang ikhlas menerusi Konvoi Rumah Ibadat Seremban. Di sisi lain, seorang individu yang “lebih Melayu daripada orang Melayu” cuba menegaskan konsep “kami tuan, kamu pendatang” secara tersirat tanpa menyedari asal-usul dirinya sendiri! Untuk rekod, saya tidak pernah menaruh walau setitik rasa hormat terhadap Chuan Seng sejak dahulu. Pendirian saya tidak pula berubah walau setitik berikutan penyiaran tulisan “ultra kiasu”nya di Sinar Harian (18 Februari 2013). Dalam hal ini, apa yang dipaparkan oleh Amin Ahmad dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) di ruangan status Facebook pada 19 Februari 2013 segera muncul dalam fikiran: Nabi s.a.w. ajar bantu mereka yang dizalimi dan menzalimi. Sahabat r.a. hairan lalu bertanya, ‘Kami maklum tentang membantu yang dizalimi, tapi bagaimana membantu yang menzalimi?’ Nabi s.a.w. jawab, ‘dengan mencegah kezalimannya’.” Saya percaya bahawa ada sesuatu yang boleh kita pelajari menerusi jawaban itu. Kepada akhbar Sinar Harian pula, semoga ia tidak cuba “mengatasi” rekod Utusan Malaysia yang dikatakan (baca: kononnya) menjadi alat pencetus perpecahan dan perkauman. ]]>

Vishwaroopam dan Interlok

Oleh: Uthaya Sankar SB (Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya) Pada penelitian saya, ada tiga pihak yang “berhak” (jika mahu) mendesak supaya filem Vishwaroopam (2013) diharamkan/dimurnikan di Malaysia. [caption id="attachment_1458" align="alignright" width="148"]Filem ini secara terang-terangan menentang puak pengganas dan keganasan yang dilakukan mereka. Filem ini secara terang-terangan menentang puak pengganas dan
keganasan yang dilakukan mereka.[/caption] Apabila saya menyatakan demikian pada ruangan status Facebook pada 5 Februari 2013, ramai yang bertanya apakah cakera video digital (DVD) filem berkenaan yang ditulis, diarah dan diterbitkan oleh pelakon terkenal Kamal Haasan sudah berada alam pasaran. Sebenarnya, jangan lupa bahawa filem itu ada ditayangkan di Malaysia pada 24 Januari 2013; sehari sebelum saya ke Taiwan selama seminggu atas tajaan One Nusantara Sdn Bhd. Isu serta maklumat lengkap berkaitan penayangan filem tersebut bolehlah dirujuk di media konvensional dan alternatif. Dalam perkembangan terbaru, filem Vishwaroopam khabarnya akan ditayangkan semula di pawagam tempatan (dengan sedikit lagi suntingan) dalam masa terdekat; dengan izin Tuhan. Saya akan pergi menontonnya semula untuk menghayati filem bermutu ini secara lebih mendalam bersama- sama rakan pelbagai kaum dan agama. Sementara itu, sejak pulang dari Taiwan pada 31 Januari 2013, saya sering bermimpi tentang Vishwaroopam dan beberapa pihak yang pada 2011 pernah tampil memberikan komentar berhubung novel Interlok: Edisi Murid iaitu teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas). “Biarpun ada unsur kejelekan pada sesetengah tempat, pengakhirannya membawa kepada pemahaman bersama bahawa perpaduan antara kaum penting, sekali gus mendaulatkan perpaduan kaum yang bersesuaian sebagai pemangkin perpaduan di kalangan penonton.” Demikian presiden sebuah persatuan penulis peringkat nasional yang juga pensyarah di sebuah universiti tempatan berkata semasa sidang media dalam mimpi saya. Dalam mimpi yang sama, seorang ibu dari Kepong menghubungi saya melalui telefon dan mengatakan beliau baru menonton DVD filem Vishwaroopam yang dibawa pulang oleh anaknya yang belajar di Tingkatan Lima. Katanya, kandungan filem itu memang menghina kaum India dan agama Hindu, serta tidak sesuai ditayangkan di Malaysia. Beberapa hari kemudian (masih dalam mimpi, tentunya), si ibu berkenaan menghadiri “Wacana Vishwaroopam: Jujur atau Perkauman” anjuran sebuah akhbar tempatan lalu bertukar menjadi penyair dan pengkaji sastera Melayu yang menyokong filem Vishwaroopam ditayangkan kepada umum tanpa walau satu suntingan. Saya bermimpi malam tadi. Seorang penulis veteran dan bekas pensyarah universiti menjadi panel “Dialog Filem Vishwaroopam” anjuran sebuah persatuan penulis di Kuala Lumpur. Beliau berkata, “Dulu filem Dasavatharam (2008) tulisan dan lakonan Kamal Haasan mendapat sambutan hangat seluruh dunia dan mencapai pungutan US$45.5 juta. Kini, kumpulan tertentu fikir ‘Kamal hebat, kita pancunglah’. Ini punca isu penentangan terhadap Vishwaroopam.” Saya bermimpi bahawa beberapa persatuan penulis serta badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum, meminta Kerajaan Malaysia meneruskan tayangan filem Vishwaroopam. Mereka juga dengan tegas menolak sebarang campur tangan politik yang berpentingan peribadi dan bersifat politik perkauman. Mereka (dalam mimpi saya) menolak tuntutan supaya filem itu disunting jika alasannya adalah kerana wujudnya unsur penghinaan terhadap kaum/agama tertentu. Bagi mereka, tiada unsur penghinaan sama sekali dalam filem itu. [caption id="attachment_1459" align="alignright" width="150"]Kamal Haasan menulis skrip, mengarah dan menerbitkan filem bertaraf antarabangsa ini. Kamal Haasan menulis skrip, mengarah dan menerbitkan filem
bertaraf antarabangsa ini.[/caption] Saya bermimpi malam tadi. Ketua umum sebuah parti politik memberitahu wartawan di Petaling Jaya: “Saya dah tonton filem Kamal Haasan ini sudah lama, saya tidak nampak apa-apa yang rasis pun. Saya rasa kita perlu adakan perbincangan untuk selesaikan perkara ini.” Ternyata pengalaman sebenar dalam isu berkaitan novel Interlok: Edisi Murid pada 2011 kembali bermain dalam mimpi saya. Saya ada menghuraikan mengenai realiti dunia mimpi dalam salah satu bab novel Panchayat: Edisi Khas (2012). Dalam mimpi saya malam tadi, seramai 60 orang hadir dalam perhimpunan besar-besaran di perkarangan pejabat sebuah persatuan penulis bagi membantah tindakan mempolitikkan filem Vishwaroopam. Mereka yang terdiri daripada tidak kurang 30 NGO dan persatuan penulis dari seluruh negara sama-sama bersepakat memperakui Vishwaroopam sebagai sebuah karya yang mempunyai intergriti. Sehubungan itu, mereka meluluskan lapan resolusi bersama. Antaranya menolak sebarang tuduhan bahawa Vishwaroopam adalah sebuah filem yang menghina masyarakat India beragama Islam. [caption id="attachment_1463" align="alignright" width="150"]Reaksi terhadap Vishwaroopam bermula di Tamil Nadu, India sebelum menular ke Malaysia. Reaksi terhadap Vishwaroopam bermula di Tamil Nadu, India sebelum
menular ke Malaysia.[/caption] Mereka juga menolak sebarang cadangan untuk menarik balik tayangan Vishwaroopam di pawagam tempatan serta membantah sekeras-kerasnya sebarang cadangan untuk meminda/menyunting mana-mana bahagian dalan filem tersebut. Dalam mimpi saya, presiden sebuah parti politik juga mengeluarkan kenyataan berhubung kontroversi filem berkenaan. Katanya, ia seharusnya dinilai dan diadili dari kaca mata produk seni filem yang bertujuan menggambarkan konteks sosial sejarah. “Kekeliruan fakta atau maklumat dalam filem ini, sebagaimana yang didakwa oleh pihak tertentu, perlu dibahas secara ilmiah dan dengan keterbukaan intelektual yang tinggi tanpa menjejaskan niat asal filem ini dibikin,” katanya. Dalam mimpi saya, seorang wartawan menghubungi presiden sebuah persatuan penulis untuk mendapatkan reaksi. “Dalam filem tersebut ia menggambarkan bahawa sebahagian masyarakat terbabit sahaja yang terdiri daripada pengganas. Tidak semestinya filem perlukan ketepatan seratus peratus. Ini fiksyen yang menggunakan anakronisme. Mencari ketepatan 100 peratus di dalam filem dan sastera adalah kerja bodoh,” ujar individu terbabit. Saya juga didatangi mimpi yang sangat realistik di mana empat Sasterawan Negara mengeluarkan kenyataan bersama. Saya membaca petikannya (dalam mimpi, tentunya) seperti berikut: [caption id="attachment_1464" align="alignright" width="150"]Kelab peminat Kamal Haasan di Malaysia tampil berkempen menyokong filem Vishwaroopam. Kelab peminat Kamal Haasan di Malaysia tampil berkempen
menyokong filem Vishwaroopam.[/caption] “Kami, Sasterawan Negara Malaysia, ingin menegaskan bahawa sebuah teks sastera dan filem bukanlah sebuah teks politik, dan bukan juga teks sejarah atau geografi. Sebuah karya sastera dan filem ialah sebuah teks yang melukis jiwa manusia, perasaannya, nilai dan kepentingannya dalam konteks zaman dan sejarahnya. Yang dilukis didekatkan sehampir mungkin kepada kenyataan di dalam dan di luar diri manusia, kerana karya sastera dan filem tidak tercipta daripada kekosongan atau vakum. “Peristiwa di luar – peperangan dan kedamaian, kesusahan dan kesenangan, kerusuhan dan ketenangan – dilukis oleh kata-kata dan visual. Kami berpendapat bahawa sastera dan filem ada ruangnya sendiri dengan keseniannya yang khusus pula. Kita harus membaca sastera sebagai sastera, menonton filem sebagai filem, dan bukan buku sejarah atau politik. Membaca sastera dan menonton filem ialah suatu proses berfikir, merasa dan menghayati bahasa, peristiwa dan gagasan.” Saya bermimpi malam tadi. Seorang calon Sasterawan Negara memberitahu saya: “Anggapkan Kamal Haasan salah. Biarkan pelakon dan pengarah itu yang bertanggungjawab kepada kesilapan yang dia buat. Hukumannya adalah bahawa Kamal Haasan tak pandai.” [caption id="attachment_1465" align="alignright" width="150"]Akhbar-akhbar Tamil tidak ketinggalan menyiarkan berita berkaitan isu ini. Akhbar-akhbar Tamil tidak ketinggalan menyiarkan berita berkaitan
isu ini.[/caption] Tentu sahaja kesemua individu yang saya sebut di atas tidak semestinya pernah membuat sebarang kenyataan mengenai filem Vishwaroopam. Sebaliknya, kenyataan-kenyataan yang pernah mereka buat dengan penuh prihatin dalam isu novel Interlok: Edisi Murid kembali muncul dalam mimpi saya. Mungkin kerana ada sedikit (kalau tidak banyak) persamaan dalam kedua-dua isu terbabit. Untuk rekod, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menulis komentar berikut pada 26 Januari 2013: “Vishwaroopam didakwa hina komuniti Islam di Madras; Race 2 pula dedah jenayah niagawan yang paling atas. Satu tidak sempat kutonton; yang ditonton sangatlah gerun. Terhimbas wajah masyarakat – nafsu gelojoh paling dahsyat!” Pada awal tadi, saya menyebut bahawa ada tiga pihak – pada pandangan saya – yang berhak mendesak filem Vishwaroopam tidak ditayangkan di Malaysia. Ini adalah pandangan peribadi saya dan tiga pihak berkenaan adalah seperti berikut: Pertama, penganut agama Hindu – memandangkan ada bahagian tertentu (dialog) yang menyindir cara orang Hindu “menghukum dewa bertangan empat”. Kedua, puak-puak yang secara langsung atau tidak langsung menyokong pengganas dan keganasan – memandangkan filem ini menyelar serta mengutuk pengganas antarabangsa tanpa mengira kaum/agama. Ketiga, puak-puak etnosentrik tertentu – memandangkan mereka tidak memerlukan apa-apa alasan munasabah untuk berbuat apa sahaja di negara bertuah ini. Dalam pada itu, memandangkan saya asyik termimpi akan novel Interlok: Edisi Murid sejak timbul isu filem Vishwaroopam, maka wajar juga saya menegaskan pendirian saya bahawa filem ini masih boleh ditayangkan; dengan label “18PL” misalnya. Walau bagaimanapun, saya sendiri pasti tampil menyatakan bantahan rasmi sekiranya (ulang: sekiranya) ada cadangan daripada mana-mana pihak yang mahu memasukkan versi asal filem bertaraf antarabangsa ini sebagai “teks wajib tonton” bagi Komsas dengan alasan bahawa pelajar kita sudah cukup matang untuk mencerna isu-isu sensitif seperti disajikan dalam Vishwaroopam.

]]>

Jangan Bakar Kitab Suci

Kenyataan ini dikeluarkan oleh Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB pada 24 Januari 2013 di Shah Alam, Selangor:

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan mana-mana pihak membakar buku sebagai tanda protes. Pendirian dan ketegasan Kavyan adalah sama seperti pegangan dalam insiden novel Interlok: Edisi Murid yang dilaporkan dibakar pihak tertentu pada Januari 2011 – BACA DI SINI.
 
Kalaulah Kavyan menentang keras perbuatan membakar buku cerita/fiksyen/novel, tentulah bantahan lebih keras ditujukan kepada mana-mana pihak yang mahu membakar – atau meminta orang lain membakar – buku-buku berupa kitab suci mana-mana agama.
 
Kavyan kecewa dengan tindakan mana-mana pihak yang tergamak menghasut orang ramai membakar mana-mana kitab suci mana-mana agama. Perbuatan itu adalah berbentuk menimbulkan hura-hara dan perlu diambil tindakan tegas demi keharmonian penduduk pelbagai kaum dan agama di Malaysia.
 
Semoga mana-mana pihak/individu yang meminta/menghasut pembakaran mana-mana kitab sudi mana-mana agama segera menarik balik kenyataan itu dan segera insaf atas kesilapan yang dilakukan.
  ]]>

Tergadaikah maruah akhbar Tamil?

Oleh: Uthaya Sankar SB

(Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya)

[caption id="attachment_1380" align="alignleft" width="150"]Nam Naadu (17 Januari 2013) mempersoalkan tujuan Himpunan Kebangkitan Rakyat. Nam Naadu (17 Januari 2013) mempersoalkan tujuan Himpunan Kebangkitan Rakyat.[/caption] Pembaca akhbar-akhbar Bahasa Tamil di Malaysia pasti sudah sedar bahawa sejak lebih dua minggu lalu, hampir tiada berita “positif” berkaitan Pakatan Rakyat (PR) disiarkan. Lima akhbar harian Bahasa Tamil yang terdapat dalam pasaran adalah TamilNesan, MalaysiaNanban, MakkalOsai, ThinaKural dan NamNaadu. Saya bukan penyokong mana-mana parti politik, tetapi sebagai seorang pengamal media yang memantau akhbar-akhbar Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Mandarin, saya mendapati apa yang berlaku dalam kesemua lima akhbar Tamil berkenaan “secara tiba-tiba” mengundang pelbagai pertanyaan. Pada 19 Januari 2013, saya meminta rakan-rakan meneka punca perubahan drastik ini berlaku. Apabila “meneka”, pastilah ada tekaan yang betul dan ada tekaan yang salah. Sebab itulah juga rakan-rakan saya di Facebook memulakan tekaan mereka dengan kata-kata “Mungkinkah …” sebagai bukti bahawa tiada sebarang tuduhan dilemparkan terhadap sesiapa. “Mungkinkah pemerintah menjadikan akhbar Bahasa Tamil sebagai sumber yang sesuai untuk menyebarkan dakyah politik, memandangkan UtusanMalaysia semakin merudum sambutan daripada kalangan pembaca?” tanya RanaenEng. Bukanlah suatu rahsia bahawa akhbar UtusanMalaysia dan MingguanMalaysia sudah secara terang-terangan dikatakan serta disifatkan masyarakat sebagai “lidah rasmi UMNO”. Sebab itulah juga apabila menulis makalah dan analisis, saya suka memetik sumber dari UtusanMalaysia, BeritaHarian dan Bernama kerana pasti penyokong Barisan Nasional (BN) tidak akan mempertikaikan “kesahihan” petikan itu. “Mungkinkah musim propaganda melalui akhbar sudah disemarakkan secara agresif; kerana akhbar-akhbar ini (Tamil) sememangnya membawa propaganda pada setiap masa?” Demikian pertanyaan yang timbul dalam fikiran NizhaPeriaswamy dari Shah Alam. ShahrizalAzwanSamsudin pula yakin bahawa kerajaan (BN) sedang menumpukan perang saraf kepada kaum India. Katanya, “Mungkin kerana ‘bacaan’ mereka (BN) bahawa sokongan kaum India makin berkurangan kepada kerajaan (BN). Mungkinkah kerajaan (BN) berfikir bahawa kaum India yang sudah berpaling lebih mudah ditarik untuk menyokong BN semula berbanding kaum Cina dan Melayu?” Tekaan serta pertanyaan yang dikemukakan oleh mereka memang wajar difikirkan secara teliti. Pada tahun 2005-2008, saya menjadi pengulas akhbar-akhbar Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Mandarin menerusi segmen “Akhbar Hari Ini” di TV1 (RTM). Saya juga perunding media kepada beberapa individu/kumpulan. Maka, saya mendapati pertanyaan yang dikemukakan rakan-rakan tadi amat wajar serta tidak boleh dilihat sebagai menghina sesiapa. [caption id="attachment_1379" align="alignright" width="150"]“Letakkan keyakinan; banyak kami akan buat” (Thina Kural, 14 Januari 2013) berserta sisipan khas 16 halaman bertajuk “PM Rakyat yang menepati janji”. “Letakkan keyakinan; banyak kami akan buat” (Thina Kural, 14 Januari 2013) berserta sisipan khas 16 halaman bertajuk “PM Rakyat yang menepati janji”.[/caption] Pada penelitian saya, akhbar ThinaKural sebelum ini sangat lantang bersuara serta menyiarkan analisis mengenai peratusan pekerja sektor awam mengikut kaum. Tuntutan dasar adalah supaya pengambilan pekerja kaum India ditingkatkan. Bagaimanapun, kelantangan bersuara itu kini sudah hilang. Suatu lagi perkara yang saya perhatian adalah bahawa rata-rata akhbar Tamil sejak lebih dua minggu lalu sangat berminat menyiarkan berita-berita yang memuji-muji dan memuja-muja pihak tertentu. Para pembaca makalah ini pasti dapat meneka siapakah “pihak tertentu” yang dimaksudkan. Etika kewartawanan, objektiviti berita “Adakah akhbar Tamil menyiarkan berita tentang Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) di muka depan atau tidak pada Ahad lalu (13 Januari 2013)? Berapakah jumlah khalayak yang dilaporkan berhimpun? Jika jawapan bagi soalan pertama adalah ‘Tidak’ dan yang kedua pula ‘45,000 orang’ maka kita sudah boleh meneka dengan mudah punca perubahan drastik yang saudara maksudkan,” kata KarlAnwar dalam komennya. Seorang lagi rakan, ElangovanAnnamalai mengakui bahawa topik sama juga belakangan ini dibincangkannya bersama rakan-rakan. Beliau berharap agar pihak terbabit segera menyedari kesilapan mereka dan “jangan biarkan rakyat benci anda selama-lamanya”. Kalau diperhatikan, rata-rata akhbar Tamil pada 13 Januari 2013 tidak menyiarkan berita mengenai kejayaan HKR pada hari sebelumnya. Hal sama juga dilakukan majoriti akhbar Bahasa Malaysia dan Inggeris. Hanya SinarHarian menyiarkan berita yang seimbang dan objektif mengenai HKR. Maka, tidak hairanlah bahawa kebanyakan masyarakat memilih untuk membeli akhbar-akhbar Mandarin pada hari Ahad berkenaan. Walaupun tidak tahu Bahasa Mandarin, sekurang-kurangnya mereka puas hati melihat foto masyarakat pelbagai kaum yang menyertai HKR; memiliki/memegang akhbar yang bersikap objektif serta tidak menjadi “baruah” dan “juak-juak” kepada pihak berkepentingan. [caption id="attachment_1381" align="alignleft" width="150"]“Jangan tukar Kerajaan Pusat, tukar Kerajaan Selangor” kata Najib di Malaysia Nanban (14 Januari 2013). “Jangan tukar Kerajaan Pusat, tukar Kerajaan Selangor” kata Najib di Malaysia Nanban (14 Januari 2013).[/caption] Rata-rata akhbar Tamil pada 13 Januari lalu melaporkan kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur bahawa HKR melanggar beberapa syarat yang ditetapkan. Dan tentu sahaja satu-satunya ruangan yang kekal di semua akhbar Tamil adalah ruangan/sisipan khas berkaitan filem, hiburan dan foto pelakon India yang mendedahkan tubuh. Dalam pertemuan saya bersama beberapa pembaca tegar akhbar Tamil, mereka meluahkan rasa meluat melihat perkembangan dalam akhbar-akhbar berkenaan sejak awal bulan ini. Selama ini mereka membeli/membaca beberapa akhbar Tamil sekali gus untuk mendapatkan berita yang “seimbang” dari pelbagai sudut. Bagaimanapun, kata mereka, akhbar-akhbar berkenaan kesemuanya kini sudah menjadi umpama “lidah rasmi BN”. “Akhbar-akhbar Tamil harus sedar bahawa masyarakat India, terutama golongan muda, akan muak sekiranya kebanyakan berita memihak kepada satu pihak sahaja. Walaupun generasi muda mampu mendapatkan berita terkini menerusi media alternatif, media sosial (Facebook, Twitter) dan sebagainya, mereka masih membeli akhbar Tamil demi memberi sokongan dan galakan kepada penerbit/wartawan Tamil. Akhbar Tamil mungkin akan kehilangan pembaca muda sekiranya berterusan memaparkan berita yang berat sebelah!” Demikian pandangan ikhlas TamilSelvanThirumalai yang juga Pengerusi PIBG SJKT Serdang. Hakikat yang perlu diakui adalah bahawa sentimen dan kecintaan terhadap Bahasa Tamil merupakan antara sebab utama akhbar Tamil terus hidup di negara tercinta ini. Kalaulah sekadar mahu mendapatkan berita terkini, masyarakat India yang menguasai sekurang-kurangnya dua lagi bahasa selain bahasa ibunda boleh mendapatkan berita dari pelbagai sumber lain. Maka, pada penelitian saya, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), kelima-lima akhbar harian Tamil bagaikan sedang “bermain dengan api” serta mempertaruhkan kepercayaan masyarakat terhadap peranan akhbar itu memelihara bahasa ibunda; selain menyiarkan berita yang seimbang. Saya sangat-sangat berharap bahawa saya tersilap dalam membuat tekaan ini tetapi hasil pemantauan dan penelitian secara khusus terhadap akhbar-akhbar berkenaan, didapati bahawa penerbit terbabit memang bagaikan sudah memilih untuk menjadi “lidah rasmi” pihak tertentu. Nasib akhbar Tamil selepas PRU-13 Soalnya, tidak takutkah mereka memikirkan kemungkinan kehilangan pembaca yang memang pun tidak ramai? Saya tidak bermaksud untuk mengatakan bahawa masyarakat India menyokong PR dan menyampah membaca berita-berita yang memuji-muji dan memuja-muja BN. Sebaliknya, mana-mana manusia yang rasional (kata kunci: manusia & rasional) pasti akan menjadi meluat dan termuntah-muntah apabila sesebuah akhbar melakukan puji-pujian dan puja-pujaan secara berlebih-lebihnya. Apatah lagi apabila sesebuah akhbar didapati tiba-tiba sahaja berubah 180 darjah dalam hal ini. Suatu teori mudah adalah kemungkinan (kata kunci: teori & kemungkinan) penerbit terbabit tidak perlu risau memikirkan soal jualan akhbar merudum sepanjang tempoh Januari-Mac 2013. Secara praktikal, seorang penerbit tidak perlu risau jika kos penerbitan dan keuntungan (hasil jualan) sudah ditanggung pihak tertentu sebelum akhbar itu terbit. Sekadar contoh – ingat: contoh sahaja – katakanlah ada pihak tertentu yang tampil memberikan sumbangan atau suntikan modal ikhlas sebanyak RM1 juta bagi sebuah akhbar Tamil. Katakanlah, syarat yang diletakkan adalah bahawa sifar (0%) berita positif mengenai PR boleh disiarkan. Katakan – katakan sahaja – setiap akhbar berkenaan menerima sumbangan ikhlas RM0.3 juta sebulan untuk menampung kos dan kerugian yang terpaksa ditanggung kerana saban hari hanya menyiarkan berita-berita yang mampu membuatkan pembaca meluat dan termuntah (kecuali ruangan tetap melibatkan artis-artis berpakaian seksi, tentunya). [caption id="attachment_1382" align="alignright" width="150"]Tamil Nesan (13 Januari 2013): “Anwar gagal kumpul sejuta orang”. Tamil Nesan (13 Januari 2013): “Anwar gagal kumpul sejuta orang”.[/caption] Tentu sahaja saya tidak menuduh mana-mana akhbar Tamil menerima sumbangan (suntikan modal) seperti itu. Tidak sama sekali! Sebaliknya, semua ini hanyalah teori, analisis dan andaian dengan mengambil kira keperluan (wang) bagi sebuah akhbar harian Tamil untuk terus bernyawa di negara ini. Katakanlah saya pemilik sebuah akhbar Tamil. Katakanlah saya menerima “sumbangan” RM1 juta daripada pihak tertentu dan saya akur untuk menyiarkan hanya berita-berita yang berat sebelah. Saya tidak perlu risau selama tiga atau empat bulan kerana duit masuk setiap bulan daripada penyumbang yang baik hati itu. Ini belum mengambil kira pendapatan daripada iklan. Akan tetapi, apa akan berlaku selepas tempoh itu; selepas PRU-13? Apakah saya selaku penerbit akhbar Tamil yang sudah menggadaikan maruah, bahasa, etika dan integriti akan terus menerima sumbangan lumayan daripada pihak tertentu yang murah hati itu? Bagaimana pula dengan khalayak pembaca (kaum India) yang sudah meluat dan termuntah-muntah selama hampir empat bulan (Januari-April 2013) membaca sampah-sarap serta puji-pujian dan pujaan-pujaan berat sebelah yang saya siarkan atas nama “berita” selama ini? Pasti sahaja mereka akan berhenti membaca akhbar saya dan memilih sumber alternatif. Jangan lupa bahawa portal berita di ruang siber juga terdapat dalam Bahasa Tamil dan boleh diakses dengan mudah untuk mendapatkan berita-berita yang seimbang, objektif, beretika dan membuka minda. Sebagai penerbit akhbar Tamil, saya (contohnya) ada dua pilihan: sama ada menjadi penerbit akhbar yang bermaruah dan beretika, atau menjadi “baruah tidak bermaruah”. Sebagai masyarakat yang mahu terus memastikan Bahasa Tamil mekar di Malaysia mengikut peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, pembaca juga ada dua pilihan apabila terpaksa berdepan dengan mana-mana akhbar Tamil yang sudah “dibeli” pihak tertentu. Mereka boleh sama ada terus memberi sokongan kepada akhbar-akhbar tidak bermaruah demi niat murni memartabatkan bahasa ibunda; atau memilih alternatif lain bagi terus memartabatkan bahasa ibunda dengan cara yang bermaruah. Takkan Bahasa Tamil hilang di Malaysia!   ]]>

Menganyam impian

Oleh: Uthaya Sankar SB Saya tidak mengamalkan budaya membuat azam tahun baru. Hal ini kerana bagi saya, setiap hari adalah anugerah Tuhan dan saya sudah pun amat bertuah kerana diberikan kesempatan untuk terus hidup dan terus melakukan apa-apa yang saya suka: membaca, menulis, menonton filem dan tidur seenaknya. Dalam pada itu, hidup saya amat aman dan bahagia kerana saya tidak menyokong mana-mana parti politik dan politikus; walaupun saya memang ada beberapa rakan (dan musuh) daripada kalangan politikus dan penulis. Memandangkan tahun 2013 adalah suatu tahun yang amat penting – selain daripada umat manusia kononnya “terselamat” daripada kehancuran dunia yang “dinanti-nantikan” pada Disember 2012 – maka ramai juga yang bertanya apakah “senarai impian” (wish list) saya bagi tahun ini dalam hal-hal berkaitan politik. Berikut antara perkara yang sering saya nyatakan apabila ditanya oleh rakan-rakan dan kenalan semasa kami berbual-bual “hal dunia-akhirat” dan “gosip artis tempatan” di restoran/warung mamak. Tentu sahaja susunannya tidak mengikut sebarang urutan. Bil Air dan Elektrik [caption id="attachment_1325" align="alignleft" width="150"] Pembiayaan bil air dan elektrik ada kesan positif.[/caption] Saya hanya seorang penulis sepenuh masa dengan pendapatan tidak seberapa. Saya tinggal di Shah Alam, Selangor dan rumah saya juga adalah pejabat serta tempat kerja saya sejak Mac 2011. Sebagai seorang penduduk yang memang perlu menggunakan elektrik dan air setiap hari, saya berpuas hati dengan sikap “murah hati” yang ditunjukkan oleh kerajaan – Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Umum mengetahui bahawa Kerajaan Negeri Selangor menanggung bil air bagi 20 meter padu yang pertama. Maklumat “bayaran air 20 meter padu pertama oleh Kerajaan Negeri Selangor” tertera pada bil. Bagi saya sebagai seorang marhaen, jumlah itu sudah cukup lumayan dan mengurangkan tanggungan saya. Pada masa sama, sejak 1 Oktober 2008, Kerajaan Persekutuan membiayai RM20 daripada jumlah bil elektrik saya setiap bulan. Amaun rebat berkenaan dicatatkan pada bil bulanan dan dinyatakan sebagai “dibiayai oleh Kerajaan Malaysia”. [caption id="attachment_1329" align="alignright" width="150"] Rakyat adalah “raja” sebenar dalam sistem demokrasi.[/caption] Harap maklum bahawa saya menyebut “Kerajaan Negeri Selangor” dan “Kerajaan Persekutuan” tanpa menyentuh mana-mana parti politik. Hal ini amat wajar diberi perhatian kerana sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR), apa yang penting bagi saya adalah bahawa mereka melakukan kerja dan tanggungjawab demi Rakyat (huruf besar disengajakan), iaitu “raja” sebenar dalam sebuah negara demokrasi. Impian saya adalah agar “bayaran air 20 meter padu pertama oleh Kerajaan Negeri Selangor” dan “RM20 bil elektrik dibiayai oleh Kerajaan Malaysia” berterusan walau siapa yang memegang tampuk kerajaan negeri/persekutuan. Namun, jika BN menguasai kerajaan negeri dan persekutuan – seperti sejak 1957 – tentulah pula kedua-dua manfaat (pembiayaan bil air dan elektrik) tidak mampu dinikmati penduduk marhaen seperti saya. Iklan Sayangi Selangor [caption id="attachment_1326" align="alignright" width="300"] Stesen Komuter “dijajah” iklan pembangkang.[/caption] Pada 22 Disember 2012, saya menaiki Komuter dari stesen Shah Alam ke stesen Kuala Lumpur (KTM) untuk bertemu penulis terkenal, Roslan Jomel untuk sesi perbualan “hal dunia-akhirat” dan “gosip artis tempatan” di Pasar Seni. Pada 1 Januari 2013 pula, saya menaiki Komuter dari Shah Alam ke Seremban untuk bertemu Atriza Umar dan Khalid Abideen bagi menguruskan Konvoi Rumah Ibadat yang dijadualkan pada 17 Februari ini. Saya muak melihat poster kecil-sederhana-besar yang memujuk pengundi di Selangor supaya “Sayangi Selangor” dan mengundi pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Harap maklum bahawa “pembangkang” merujuk kepada BN dalam konteks Negeri Selangor berikutan pilihan pengundi negeri itu pada PRU-12 (2008). Entah berapa banyak wang Rakyat – ulang: wang Rakyat – yang dibazirkan untuk menguruskan kempen besar-besaran “Sayangi Selangor” itu. Impian saya adalah agar BN menghentikan segera kerja sia-sia dan membazir wang Rakyat melalui cara ini. Harap maklum bahawa saya menyebut “BN” di sini kerana kerja-kerja “memujuk” pengundi di Selangor melalui poster-poster yang memaparkan wajah ceria Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak tentu dilakukan BN dan bukannya Kerajaan Malaysia. Kalau Kerajaan Malaysia, tentu kerajaan yang prihatin dan melaungkan slogan “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” akan menggunakan wang berkenaan untuk manfaat Rakyat; bukan untuk perang poster memujuk pengundi dengan cara licik tetapi kurang cerdik. Apa Khabar Pak Samad? Bercakap mengenai Kerajaan Negeri Selangor, saya langsung teringat akan Anugerah Sasterawan Tamu Selangor yang diumumkan pada September 2012. Hal ini mungkin dekat dengan jiwa saya kerana ia melibatkan Datuk A. Samad Said (Pak Samad). [caption id="attachment_1327" align="alignright" width="150"] Pak Samad diumum sebagai Sasterawan Tamu Selangor.[/caption] Akhbar Sinar Harian (28 September 2012) melaporkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai berkata, pengiktirafan itu sejajar dengan perjuangan Pak Samad yang gigih dan konsisten menulis serta memperjuangkan isu kemasyarakatan melalui penulisan. Umum mengetahui bahawa Pak Samad sering terlibat dalam ceramah dan acara baca puisi di Selangor sebelum dan selepas diumumkan menerima anugerah berkenaan. Setahu saya, Pak Samad bukanlah seorang seniman dan sasterawan yang mengejar kebendaan. Namun begitu, anugerah yang diberikan pasti menaikkan semangat serta membuka ruang yang lebih luas kepada Pak Samad untuk melakukan pengisian yang wajar dalam aktiviti seni dan sastera di Selangor. Dengar khabar, Rahmat Haron sedang menyelenggaran antologi “Unjuk Rasa” yang memuatkan sajak-sajak Pak Samad. Menurut maklumat yang tersebar menerusi laman rangkaian sosial, antologi berkenaan akan terbit pada Fabruari ini. Saya percaya bahawa kelahiran antologi ini juga sebahagian daripada “sumbangan” Pak Samad selaku Sasterawan Tamu Selangor. Apabila Wira Bukit Sdn Bhd menerbitkan novel “Salina: Edisi Khas” (2012), saya perhatikan sambutan golongan politikus (PR) kurang mengujakan. Edisi kulit lembut (paperback) novel itu kini sudah ada secara eksklusif di kedai-kedai buku Popular. Impian saya adalah agar sesiapa yang memberikan alasan “Salina: Edisi Khas” terlalu mahal akan tampil membeli – dan membaca – edisi kulit lembut ini; sementara menanti kelahiran “Unjuk Rasa. Pilihan Raya Bersih, Adil, Bebas Seperti saya nyatakan sejak awal, tahun 2013 tidak dapat dipisahkan daripada PRU-13. Walaupun Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN merangkap Presiden Umno kelihatan sedang cuba “mencuri masa”, tempoh wajib membubarkan Parlimen mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan semakin hampir. [caption id="attachment_1328" align="alignright" width="150"] Najib wajar menyarung baju kuning. (Sumber: Internet)[/caption] Sebagai seorang Rakyat dan pengundi berdaftar, impian saya adalah agar proses pilihan raya itu nanti dijalankan secara telus, adil, bebas dan bersih. Tugas itu tentulah terletak pada pundak (bahu) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi amat malang apabila badan bebas itu sendiri bagaikan (ulang: bagaikan) menentang proses pilihan raya yang bebas dan adil. Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) sudah mengesahkan “pihaknya tidak akan campur tangan atau mengadakan perhimpunan lain bagi menyuarakan bantahan terhadap perhimpunan itu (12 Januari 2013)” kerana presidennya, Datuk Ibrahim Ali sedar “kehadiran Perkasa hanya akan mengeruhkan keadaan” (mStar, 4 Januari 2013). Kalau saya menjadi Najib (namun, mohon Tuhan jauhkan!) pula, saya akan memakai kemeja-T kuning bersama-sama Pak Samad, Datuk Ambiga dan Rakyat sebagai usaha murni dan ikhlas menyokong pilihan raya yang adil, bebas dan bersih. Sebagai pengerusi kepada gabungan parti-parti politik yang mantap dan sesungguhnya sudah mendapat mandat serta sokongan padu Rakyat/pengundi sejak negara merdeka, masakan saya (selaku Pengerusi BN) tidak mahu membuktikan kepada dunia bahawa BN terus berkuasa – dulu, kini dan selama-lamanya – menerusi proses pilihan raya yang adil, telus, bebas dan bersih. Impian saya – yang tentu sahaja tidak akan menjadi kenyataan – adalah untuk melihat para pemimpin dan penyokong tegar BN tampil menyokong perhimpunan yang khabarnya dijadualkan pada 12 Januari ini untuk menyeru proses pilihan raya yang bersih, bebas dan adil. Tidak keterlaluan, bukan? Jika Suka, Boleh Kekalkan Pada 7 Januari 2012, saya tertarik dengan kenyataan yang dipaparkan oleh seorang rakan, Amin Ahmad, pada ruangan status Facebook. Kata pemerhati politik itu, “orang ramai perlu dididik untuk memahami bahawa tujuan pilihan raya dibuat secara berkala adalah untuk membolehkan adanya kawalan rakyat terhadap pemerintah. Dalam bahasa mudah, jika suka, boleh kekalkan; jika tidak, boleh undi pihak lain”. Saya sangat bersetuju serta menyokong pandangan itu kerana demikian juga pendirian saya selaku individu yang bersikap apolitikal dan tidak pandai mengampu politikus. Dalam hal ini, terus-terang, sebagai seorang penduduk dan pengundi di Selangor, saya berpuas hati dengan apa yang sedang cuba dilakukan oleh Kerajaan Negeri sejak PRU-12 pada 8 Mac 2008. Kebetulan, kerajaan negeri yang saya maksudkan adalah Kerajaan PR. Walaupun mereka tidak sempurna, saya masih berpuas hati. Ya, memang ada suara-suara sumbang daripada juak-juak politik sejak 2009 yang mengatakan “Kerajaan PR” gagal menyelesaikan isu itu dan isu ini. Hello! Mereka baru sahaja diberi peluang oleh Rakyat (ulang: Rakyat) untuk “bekerja bagi Rakyat Selangor” pada 2008. Antara 50 tahun dan 5 tahun, pastilah ada perbezaan. Untuk berlaku adil, BN telah diberi peluang demi peluang demi peluang – serta diletakkan harapan demi harapan demi harapan – sejak negara merdeka (1957) untuk “bekerja bagi Rakyat Selangor”. Akhirnya, Rakyat/penduduk sendiri yang menggunakan akal dan budi bicara serta kuasa yang ada untuk mengubah tampuk pemerintahan kerajaan negeri. Maka, jangan menghina pilihan Rakyat dengan menghina kerajaan negeri yang dipilih oleh Rakyat Selangor. Tentu sahaja apa yang berlaku di Negeri Perak lebih wajar diberi perhatian dan tumpuan apabila bercakap mengenai “kerajaan negeri yang dipilih oleh Rakyat untuk bekerja bagi Rakyat”. Walaupun saya lahir dan membesar di Taiping, Perak, biarlah saya tidak mengulas lanjut mengenai isu ini. Saya percaya Rakyat/penduduk negeri itu lebih tahu akan hak, kuasa dan kemampuan mereka apabila tiba tarikh PRU-13 nanti. Sebagai pengundi berdaftar di Selangor, sekiranya tiba masa saya mendapati “Kerajaan PR” sudah tidak mampu “bekerja bagi Rakyat Selangor”, tentu saya akan menolak PR. Malah, saya tidak akan teragak-agak untuk sama-sama mendidik Rakyat “untuk memahami bahawa tujuan pilihan raya dibuat secara berkala adalah untuk membolehkan adanya kawalan rakyat terhadap pemerintah” seperti dinyatakan Amin. Impian Bonus Akhir sekali, sebagai seorang penulis sepenuh masa yang menerbitkan sendiri buku-buku saya, impian bonus saya bagi 2013 adalah agar ada “Datin-Datin” dan “Datin Politikus” yang sudi tampil membeli buku-buku saya. Kalau mereka mahu menaja kembara saya ke beberapa tempat di Malaysia untuk mengumpul bahan bagi penulisan, memang lebih bagus dan amat dialu-alukan. Tentunya, tanpa sebarang ikatan (no strings attached). Tidak salah menganyam impian di negara bertuah ini, bukan?  

]]>

Binatang politik dan pluralisme agama

Oleh: Uthaya Sankar SB Selain menulis, membaca dan bercakap, satu lagi aktiviti yang amat saya gemari adalah menonton filem pelbagai bahasa. Saya tidak menganggapnya sebagai hobi atau aktiviti mengisi masa lapang. Sebaliknya sebagai aktiviti intelektual yang mencambah minda; sekiranya kita bijak memilih filem untuk ditonton. Sejak sekian lama, saya tidak membazir masa menonton televisyen yang ketara menyajikan sampah dan propaganda semata-mata. Televisyen di rumah digunakan khusus untuk menonton filem dan siri televisyen bermutu dalam bentuk cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD). [caption id="attachment_1298" align="alignleft" width="300"] Siri “Political Animals” membuka ruang memperkatakan isu
mengenai “binatang politik”.[/caption] “It’s such a pity that ‘Political Animals’ (2012) starts and ends with Season One. There’s so much hope in the political and journalism theme it portrays.” Demikian saya berfikir – saya memang berfikir dalam Bahasa Inggeris – semasa menonton keenam-enam episod dalam siri itu pada 23 Disember 2012. Pada 2 November lalu, USA Network mengumumkan “Political Animals” tidak akan diteruskan. Sebelum ini, pada 13 Mei 2012, National Broadcasting Company (NBC) mengumumkan bahawa siri “The Firm” (2012) tidak akan disambung bagi musim kedua. Drama televisyen 22 episod itu menggambarkan kisah penuh mendebarkan dan mencabar minda berhubung apa yang berlaku kepada watak Mitch McDeere (lakonan Josh Lucas) dan keluarga peguam itu dalam tempoh sepuluh tahun selepas peristiwa dalam novel “The Firm” (1991) tulisan John Grisham dan filem “The Firm” (1993) lakonan Tom Cruise. [caption id="attachment_1301" align="alignright" width="300"] Kisah penjajahan makhluk asing disulam indah dengan tema
konspirasi politik dalam “The Event”.[/caption] Tepat setahun sebelum itu – 13 Mei 2011 – NBC membatalkan siri televisyen fiksyen sains berunsur politik, “The Event” (2010) selepas 22 episod (satu musim). Kisah penuh mendebarkan dan mencabar minda itu pula menampilkan isu konspirasi politik semasa dan kisah makhluk asing yang dijadikan tahanan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) sejak 66 tahun lalu. Ada dua watak yang amat menarik perhatian saya, selain watak Sean Walker (lakonan Jason Ritter). Laura Innes memegang watak Sophia Maguire, ketua kumpulan makhluk asing yang ada beberapa kuasa istimewa dan sudah hidup dalam kalangan manusia. Misinya adalah menyelamatkan orang-orangnya. Untuk itu, Sophia sanggup melakukan apa sahaja; termasuk membunuh Presiden AS. Fiksyen meniru realiti Presiden yang baru dipilih ialah Elias Martinez (lakonan Blair Underwood) dan politikus Afrika-Amerika itu mungkin segera mengingatkan kita kepada presiden ke-44, Barack Hussein Obama II. Walaupun Elias cuba menjadi pemimpin berjiwa rakyat, suasana politik kebinatangan – dan suatu rahsia keluarga – sentiasa menjadi penghalang. Berbalik pada “Political Animals”, Sigourney Weaver yang baru-baru ini saya tonton dan suka akan penampilannya sebagai profesor psikologi bernama Margaret Matheson dalam filem “Red Lights” (2012), kali ini memegang watak Elaine Barrish, bekas Wanita Pertama AS – bukan Wanita Farsa Pulau Cinta atau ‘First Lady’ Malaysia – yang juga bekas Gabenor Illinois dan kini Setiausaha Negara AS. Lakonan mantap Sigourney mengingatkan saya kepada kehebatan Meryl Streep yang saya kagumi sejak “mengenalinya” menerusi filem “The French Lieutenant’s Woman” (1981); hingga kepada “The Iron Lady” (2011). [caption id="attachment_1302" align="alignleft" width="300"] Populariti novel/filem “The Firm” gagal menjamin hayat drama thriller ini.[/caption] Menonton “Political Animals” mungkin segera mengingatkan kita kepada Hillary Rodham Clinton. Watak bekas suaminya, Donald ‘Bud’ Hammond iaitu bekas Presiden AS dan bekas Gabenor North Carolina pasti mengingatkan kita kepada presiden ke-42, Bill Clinton – walaupun penampilan diri Ciaran Hinds yang memegang watak lelaki gila seks itu tiada persamaan fizikal. Anak kembar kepada pasangan yang sudah bercerai itu ialah Douglas (lakonan James Wolk) dan Thomas (lakonan Sebastian Stan) yang berumur 30 tahun. Untuk makluman, Hillary dan Bill Clinton hanya ada seorang anak, iaitu Chelsea Victoria. Secara langsung dan tidak langsung, pasangan kembar itu terlibat sama dalam “politik binatang” sejak kecil. Tambahan pula sejak Thomas mendedahkan orientasi homoseksual pada usia remaja. Dia juga penyalahguna kokain dan pengamal seks bebas yang sukar meninggalkan ketagihannya. Watak wartawan, Susan Berg lakonan Carla Gugino turut perlu diberi perhatian kerana kehadirannya dalam hidup/dunia politik Elaine sejak tahun 1990-an sangat memainkan peranan. Pasti sahaja etika kewartawanan dipaparkan secara tersirat dan terbuka menerusi siri televisyen ini. Etika penulisan dan kewartawanan Namun, rata-rata golongan wartawan dan pengamal media arus perdana di negara kita tidak perlu ambil tahu perihal isu ini (etika kewartawanan) kerana selalunya mereka hanya perlu berperanan sebagai penyampai propaganda pemerintah dan parti politik tertentu. Dalam konteks negara ini, kita lebih sering terpaksa berdepan dengan rata-rata politikus – pemerintah mahupun pembangkang – yang “cakap tak serupa bikin” dan menepati gelaran “janji dicapati”. Karya seni seperti filem, drama televisyen, novel dan cerpen arus perdana pula belum cukup berani untuk mengkritik politikus; khususnya pemerintah. Dan kita semua tahu mengapa. Dalam karier politik, Elaine dari Parti Demokratik tetap bercita-cita untuk bertanding dan mengalahkan Presiden Paul Garcetti (lakonan Adrian Pasdar) untuk muncul sebagai Presiden Wanita Pertama AS – bukan sekadar “wanita pertama” atau “wanita farsa” (farce lady) seperti diimpikan individu tertentu yang tidak berkelayakan di Pulau Cinta. Harus juga dinyatakan bahawa watak Paul selaku Presiden AS dalam siri televisyen ini bukan lelaki Afrika-Amerika seperti presiden ke-44, Barack Obama dalam realiti. Tidak juga seperti watak Elias dalam “The Event”. Siri “Political Animals” yang lahir daripada idea Greg Berlanti mungkin mampu memberi inspirasi kepada politikus wanita – atau isteri politikus – untuk turut memikirkan kemungkinan bertanding merebut jawatan tertinggi dalam parti politik dan seterusnya menjadi Perdana Menteri Wanita Pertama Malaysia. Masakan hanya Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah Anwar yang berhak mengimpikan masa depan seperti itu. Berbalik pada kisah Elaine, pelbagai dugaan – dalam politik dan keluarga – membuatkan fikirannya berbelah-bagi antara mahu melepaskan jawatan yang ada sekarang, bertanding merebut jawatan presiden atau menerima satu jawatan penting yang ditawarkan kepadanya. Namun, amat sayang kerana siri ini – yang menarik perhatian saya tetapi mungkin membosankan bagi orang lain – tamat pada Musim Pertama dengan episod keenam bertajuk “Resignation Day” (Hari Peletakan Jawatan). Pengalaman menonton serta mengulas “Political Animals” sekurang-kurangnya memberi ruang dan peluang untuk memperkatakan pelbagai kisah “politik kebinatangan” yang berlaku dalam kehidupan sebenar. Membuka ruang untuk orang ramai berdialog lebih lanjut dengan bersandar kepada filem dan siri televisyen. Keamanan sejagat Saya pernah belajar mengenai sultan Mughal ketiga di India, Jalaluddin Muhammad Akbar (Akhbar the Great) dalam buku teks di sekolah. Sebagaimana Nabi Muhammad (s.a.w), Akbar juga menggalakkan dialog antara agama – walaupun pada peringkat awal, putera kepada Sultan Humayun itu dilaporkan menindas penganut agama-agama lain. [caption id="attachment_1303" align="alignright" width="229"] Filem “Jodhaa Akbar” turut dialih bahasa ke Tamil dan Telugu.[/caption] Filem Hindi “Jodhaa Akbar” (2008) lakonan Hrithik Roshan membantu kita lebih memahami Islam liberal, sekular dan plural yang diamalkan, ditegakkan dan disebarkan oleh penganut mazhab Syiah-Sunni itu. Filem ini bukan sekadar hiburan, tarian dan lagu-lagu. Akbar mengasaskan ajaran (agama) baru yang dinamakan “Sulh-e-kul” (keamanan sejagat) yang menumpukan pada keamanan, perpaduan dan tolak-ansur sejagat tanpa sebarang diskriminasi agama. Perkara seperti ini pasti kurang didedahkan dalam sistem pendidikan negara. Walaupun dalam versi filem “Jodhaa Akbar” arahan Ashutosh Gowariker, Akbar dikisahkan berkahwin dengan puteri beragama Hindu, Hira Kunwari @ Jodhaa (lakonan Aishwarya Rai), dalam realiti, sultan yang buta huruf itu dilaporkan mempunyai 30 isteri. Ada pula pandangan yang mengatakan bahawa Jodhaa sebenarnya isteri kepada Jahangir iaitu anak Akbar. Wallahu A’lam. Pada akhir Oktober 2012, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengeluarkan kenyataan rasmi menyelar penyiaran filem Hindi “My Name Is Khan” (2010) di TV3 sempena Hari Raya Korban (26 Oktober 2012). Saya ada menulis mengenai isu itu dalam makalah bertajuk “My Name Is Jaclyn Victor” (Projek Dialog, 29 Oktober 2012). Antara alasan yang diberikan Abim adalah bahawa “adegan hero (Rizwan Khan, lakonan Shah Rukh Khan) yang berkahwin dengan heroin yang beragama Hindu (dalam filem itu) jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Menerima dan mencampur-aduk cara penyembahan agama lain dengan Islam sebagai agama adalah sama jelas bercanggah dengan prinsip Islam”. Kalau puak tertentu berpeluang menonton dan memahami mesej serta paparan yang disajikan menerusi “Jodhaa Akbar” maka tentu filem ini juga akan diminta supaya diharamkan segera. Hal ini kerana filem hampir tiga setengah jam itu yang sempat saya tonton pada 23 Disember lalu mendedahkan terlalu banyak fakta sebenar yang mungkin sukar diterima golongan etnosentrik dan fanatik agama. Saya percaya bahawa kata-kata saya tidak keterlaluan dan tidak wajar dilabel sebagai berunsur perkauman. Ulasan saya adalah berdasarkan penelitian terhadap realiti di sekeliling sebagai usaha kecil membuka ruang bagi dialog dan perbahasan intelektual. Namun, saya akui bahawa usaha seperti ini tidak mudah di sebuah negara di mana “bahas bukan budaya kita”. Semuanya berbalik pada “politik kebinatangan” yang diamalkan oleh “binatang politik” yang mahu terus berkuasa dengan apa cara sekali pun. Politikus yang gagal menjiwai keperibadian mulia Nabi Muhammad (s.a.w), satu-satunya pemimpin Islam yang paling saya kagumi.  

]]>